Saturday 12 March 2016

RABIATUL ADAWIYAH [ BAB 20 - PINANGAN ]






PINANGAN




Kedewasaan Rabiah semakin terserlah, dia juga tumbuh mekar bak mawar kembang setaman. Keayuan dan kejelitaannya menjadi buah mulut sekalian penduduk Basrah terutamanya di kalangan muda-mudi. Tidak kurang juga mereka yang sudah berumur tetapi masih punya keinginan menambah isteri.

     Abdullah, seorang pemuda yang gagah dan tampan. Dia juga seorang yang banyak hartanya. Pernah sekali dia menghadiri majlis zikir Rabiah dan terus sahaja dia terpikat kepada Rabiah.

     "Alangkah bertuah sekiranya Rabiah sudi menjadi isteriku," katanya.

     Abdullah meluahkan perasaannya di hadapan kawan-kawannya. Mereka semua tersenyum sinis.

     "Mustahil, sahabatku. Kamu tidak mengenali Rabiah... dia lain daripada yang lain." Salam, kawan Abdullah mengingatkan.

     "Benar sekali kata Salam itu. Bukan kamu sahaja, bahkan seisi Basrah mahu memiliki Rabiah sebagai isteri." Bersungguh pula sahabat mereka Jamal, mengiayakan kenyataan sahabatnya.

     Abdullah tidak berpuas hati. Cinta kepada khabar kejelitaan dan keayuan Rabiah sudah menguasai dirinya. Sambil mengetap bibirnya dia berkata, "Mengapa kamu semua berkata begitu? Adakah kamu semua memandang rendah pada saya?"

     Salam cuba menenangkan Abdullah. Sambil mengusap-usap belakang Abdullah, dia berkata, "Kamu tidak mengenali Rabiah sedalamnya... makamnya jauh tinggi daripada kita. Bahkan para ulama sufi, hadis dan fikah juga hormat kepadanya. Masakan dia sudi menerima lamaran kamu."

     "Belum cuba belum tahu, apa salah saya mencuba? Semua mahu memiliki gadis sejelita dan sebaik Rabiah dan mereka yang gila sahaja yang tidak mahu," ujar Abdullah keras.

     "Sudah saya katakan, seisi Basrah sudah meminangnya, namun hampa. Saya khuatir kamu juga kecewa kelak." Itulah nasihat ikhlas daripada Jamal. Dia faham kerana dia juga salah seorang daripada mereka yang pernah melamar Rabiah.

     Abdullah tetap berkeras, "Rabiah akan saya hadiahkan rantai emas dan cincin berlian. Mana mungkin dia menolak lamaran saya. Saya yakin dengan harta yang saya miliki, saya mampu memilikinya."

     "Sekiranya itu yang kamu fikirkan, ternyata kamu silap. Sifat Rabiah bukan begitu. Dia seorang yang zuhud dan sudah lama putus nafsu kepada dunia. Keinginannya mahu berumah tangga juga sudah hilang sebelum dirinya didatangi haid yang pertama lagi."

     "Apa benar katamu?" Abdullah mencari kepastian kata-kata Jamal.

     "Benar sahabat, cuba kamu tanyakan penduduk kota ini. Apakah jawapan mereka sekiranya kamu katakan mahu melamar Rabiah."

     Abdullah terdiam. Hati kecinya membenarkan kata-kata sahabatnya itu.

     Salam kemudian menambah, "Sesungguhnya Rabiah itu adalah wali Allah yang sangat rapat dengan-Nya. Apakah dia masih perlukan suami sedangkan dia sudah memiliki cinta sejatinya sekarang."

     "Pasti ada caranya bagi saya memiliki Rabiah. Sahabat sekalian, bantulah saya," pinta Abdullah lembut. Dia kelihatan benar-benar mabuk cinta.

     Salam kemudian bersuara selepas beberapa lama membisu, "Beginilah sahabatku Abdullah, saya cadangkan kamu pergi sendiri ke pondok Rabiah dan berbicara dengannya."

     "Benarkah begitu?"

     "Ya, hanya itu cara terbaik bagi menyelesaikan perkara ini."

     "Sekiranya begitu, saya berangkat ke pondok Rabiah sekarang."

     Selepas Abdullah ghaib di pandangan, Jamal memarahi Salam kerana mengesyorkan tindakan tadi kepada Abdullah.

     "Kamu dan saya juga tahu apakah jawapan yang bakal diterima oleh sahabat kita itu. Saya fikir sekiranya kita terus menasihatinya pun sia-sia kerana hatinya sudah dirasuk cinta. Hanya Allah yang mampu menguraikan peristiwa ini," jawab Salam.

     "Jadi tujuan saudara menyuruh Abdullah sendiri ke rumah Rabiah itu kerana...." Kata-kata Salam hanya tergantung di situ.

     Fahamlah Jamal situasi sebenarnya yang berlaku di situ.

     Abdullah sampai ke pondok Rabiah dan memberi salam. Kemudian anak murid Rabiah yang bernama Abdah muncul.

     "Mengapa saudara, ada apa-apa yang boleh saya bantu?"

     "Kamu Rabiatul Adawiyah?"

     "Bukan, itu adalah guruku. Mengapa tuan mencarinya?"

     "Saya mahu menyampaikan satu hasrat dan ia kurang sesuai diberitahu secara umum."

     Abdah sudah boleh mengagak tujuan Abdullah yang sebenar. Abdah kemudiannya menjemput Abdullah masuk sementara dia memanggil gurunya.

     Selepas beberapa lama menunggu, terdengar satu suara bertanya kepada Abdullah yang sedang bersila di ruang tamu dengan pandangan ke bawah.

     "Apakah hajatmu wahai saudaraku?"

     Abdullah mendongak dan terkejut dengan apa yang dilihatnya. Gentar sanubarinya saat matanya bertembung dengan mata Rabiah. Timbul perasaan yang sukar digambarkan. Dia segera menginsafi kata-kata takburnya sebelum ini.

     "Tidak... tidak ada apa, saya minta diri dulu." Terus sahaja dia berlari pulang sekuat hati.

     Sahabat Abdullah, Salam dan Jamal masih di tempat mereka berjumpa tadi. Masing-masing menunggu dengan sabar bagi mengetahui kesudahan kisah sahabat mereka.

     Tiba-tiba dari jauh mereka melihat kelibat Abdullah berlari sepantas lipas kudung. Apabila tiba di tempat sahabatnya itu, Abdullah terus sahaja berkata, "Benar... benar... benar katamu." Ada getaran di hujung kata-kata Abdullah itu.

     Abdullah ditenangkan oleh sahabatnya yang berdua itu.

     "Apa yang terjadi?" tanya Salam.

     "Kamu seperti dikejar unta gila sahaja tadi," kata Jamal yang juga masih bersama mereka.

     Abdullah meneguk air liur, kemudian mengumpul tenaga sebelum berkata, "Saat saya bertentang mata dengan Rabiah, tiba-tiba timbul rasa gerun dalam hati. Barulah saya sedar yang saya sudah tersalah anggap pada dirinya... sememangnya dia adalah malaikat."

     "Rabiah tetap manusia seperti kita, cuma dia menunggangi nafsunya supaya tunduk dan patuh kepada kecintaan dan kerinduan kepada Allah," kata Salam pula.

     "Sebenarnya boleh dikatakan kedudukan Rabiah lebih tinggi berbanding para malaikat." Jamal mengungkap kagum.

     "Sekiranya benar kata-kata kalian, adakah saya sebentar tadi melihat malaikat? Benar, dia lain daripada yang lain kerana dia bukan manusia." Abdullah masih dalam kejutan.

     Sebenarnya hampir setiap hari pondok Rabiah dikunjungi mereka yang mahu menyuntingnya sebagai suri. Bilangannya terlalu ramai bagaikan air bah  yang datang melanda, namun semuanya ditolak baik oleh Rabiah.

     Ramai juga yang menjadi seperti Abdullah.

     Ada antara mereka yang berkata, "Alangkah beruntung siapa yang menjadi suami Rabiah kerana dia bukan sahaja jelita malah solehah pula."

     Ada juga yang keterlaluan dalam bermadah, "Sekiranya dipersembahkan kepadaku seribu orang wanita Basrah yang paling cantik dan rupawan akhlaknya, ternyata saya pilih Rabiah sahaja."

     Ada pula yang berkata, "Siapa yang dapat mengahwini Rabiatul Adawiyah, seolah-olah dia mengahwini seluruh wanita di Basrah."

     Namun ternyata kata-kata, ungkapan dan pujian itu tidak dapat melembutkan hati empunya badan kerana hanya satu sebab.

     Hatinya sudah dicuri.

     Malah Rabiah sudi mempersembahkan hatinya bagi dicuri supaya dia tergolong dalam kumpulan perindu dan pencinta sejati kepada Tuhannya.

     Abdah ketika ditanya, "Apakah gurumu sudah mempunyai calon pasangan hidupnya?"

     "Sudah," jawab Abdah dengan yakin.

     "Siapakah dia?"

     "Tidak terlintas pada akalmu," jawab Abdah lagi.

     "Mengapa?" 

     "Guru berkahwin setiap malam." Abdah menjawab sambil tersenyum.

     Orang yang bertanya amat terkejut. "Mustahil Rabiah boleh berkahwin setiap malam?"

     "Setiap malam guru bersama Kekasihnya itu, guru melayari lautan kemanisan iman dan ihsan dengan zikir-zikir dan munajat kepada Kekasihnya. Dia tidak pernah merasakan yang dunia sedang berputar dan masa sedang berjalan apabila memadu kasih."

     "Ternyata saya tidak layak untuk Rabiah," kata lelaki itu kesal.

     "Sebenarnya yang selayak dirimu adalah yang paling layak untuk dirimu."

     "Bagaimana pula selayak gurumu?"

     Abdah hanya mendiamkan diri.




N / F : DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI SRIKANDI YANG BENAR, OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.

No comments:

Post a Comment