Wednesday 2 March 2016

RABIATUL ADAWIYAH [ BAB 18 - ABDAH BINTI ABI SYAWAL ]






ABDAH BINTI ABI SYAWAL




"Wahai Abdah, tahukah kamu apa yang terbuku dalam hati saya?" tanya Rabiah kepada anak murid yang sudah dibajainya sejak pucuk lagi, malah Abdah diambil tinggal bersamanya. Rabiah tertarik kepada Abdah kerana terdapat ciri-ciri pada diri Abdah yang sama dengan dirinya. Nama sebenar Abdah ialah Abdah binti Abi Syawal.

     "Hanya Allah yang tahu wahai guruku," jawab Abdah lembut. "Namun sekiranya diizinkan bagi membuat andaian, saya rasa guru kurang senang dengan pekerjaan sekarang."

     Rabiah tersenyum sambil menatap wajah anak muridnya itu. "Saya berasa sangat bahagia dengan nikmat Allah kerana bukan sahaja dapat menyampaikan dan mengajak mereka menjadi perindu Allah, malah Allah turut kurniakan saya seorang anak yang solehah seperti kamu walaupun tidak berkahwin."

     Abdah diselubungi rasa sayu, "Saya juga amat menyayangi guru lebih daripada segala makhluk Allah yang hidup. Saya mahu bersama guru sampai bila-bila."

     "Tahukah kamu mengapa saya berasa kurang senang mahu berada di majlis zikir?"

     "Mengikut pemerhatian saya, guru kurang bahagia kerana masa yang diperuntukkan untuk majlis itu lama dan para hadirin juga sudah semakin ramai."

     "Benar anakku, saya rasakan hanya mahu bersama Allah sehari semalam tanpa gangguan kerja-kerja yang lain."

     "Bagaimana pula dengan majlis itu?"

     "Insya-Allah saya serahkan kepada mereka yang selayaknya bagi mengambil alih."

     "Sekiranya begitu kata guru, saya menurut sahaja. Tiada lain yang lebih bahagia pada saya selain dapat bersama guru."

     Ketika itu Basrah sudah heboh berkenan Rabiah yang tidak muncul dalam majlis zikir. Ramai juga yang kecewa kerana harapan mereka mahu melihat dan mendengar alunan zikir-zikir itu tidak tercapai.

     Seorang peserta setia majlis zikir itu berkata sesama mereka di Basrah. Sambil mengurut-urut janggut putihnya yang panjang dia bersuara, "Saya merasakan Rabiah ada sebabnya tersendiri untuk tidak muncul dalam majlis zikir itu."

     "Maksud saudara?" tanya seseorang yang berada di situ.

     Selepas menghela nafas panjang, dia kembali bersuara, "Saya pernah terdengar ura-ura yang mengatakan Rabiah mahu berhenti daripada bernasyid dan bermain seruling dalam majlis zikirnya."

     "Tapi mengapa? Bukankah itu mengecewakan orang ramai?"

     "Masakan mungkin majlis zikir itu berlangsung tanpa Rabiah," sampuk seorang lagi.

     "Itulah yang dibimbangi oleh Rabiah. Orang ramai yang hadir majlis zikir itu kerana dirinya dan bukannya kerana Allah."

     "Mungkin juga, tetapi bukankah lama-kelamaan keikhlasan itu hadir dengan sendirinya." Salah seorang daripada mereka melontarkan pandangan.

     Lama mendiamkan diri, lelaki berjanggut putih itu kemudiannya menjawab, "Kita perlu bersangka baik kepada Rabiah. Saya rasa sebab yang paling utama Rabiah berhenti adalah kerana dia mahu sentiasa dan hanya berdamping dengan Allah secara berterusan."

     "Kami juga dengar anak didik Rabiah, Abdah binti Abi Syawal bakal menggantikannya bagi mengetuai majlis zikir itu," kata seorang lelaki muda.

     "Apakah benar bicaramu?"

     "Saya mendapat tahu daripada sumber yang rapat dengan Rabiah."

     "Siapa pula Abdah binti Abi Syawal itu?"

     "Dia adalah anak didik Rabiah dan sudah lama bersama Rabiah. Abdah juga sangat alim dan warak orangnya, pergi gurunya, Rabiah. Walaupun makamnya masih berbanding Rabiah, namun ciri-ciri Rabiah sangat menonjol pada dirinya," jawab pemuda itu.

     Lelaki tua itu kemudian menjelaskan, "Seharunya kita hadir ke majlis zikir kerana mahu mendekatkan diri dengan Allah, namun majlis zikir Rabiah itu hanya penyebabnya. Selebihnya bergantung pada diri kita."

     Dia kemudian menyambung lagi, "Kita boleh alunkan zikir-zikir yang boleh merapatkan lagi kita kepada Allah, tidak semestinya dengan mendengar nasyid dan tiupan serulingnya sahaja kita mampu khusyuk kepada Allah."

     Mereka semua akhirnya insaf dan menyedari yang niat mahu menghadiri majlis zikir itu perlu diperbaiki dan hanya kerana Allah.

     Di rumah Rabiah, dia dikunjungi oleh mereka yang cuba memujuknya supaya tidak meninggalkan majlis zikir itu.

     "Wahai guru, alangkah ruginya umat Islam khususnya yang berada di Basrah sekiranya guru berhenti daripada mengetuai majlis itu," kata seorang muslimah yang datang memujuk Rabiah.

     "Betul kata sahabatku itu. Apakah kamu sakit? Nescaya kami boleh sediakan tabib yang hebat bagi merawat kamu," kata seorang lagi.

     Rabiah hanya mendiamkan diri sambil mulutnya mengungkap kata-kata rindu kepada Kekasihnya yang sejati.

     "Kami mewakili jemaah zikir kita datang bagi memujuk guru kembali ke majlis kita kerana ramai jemaah mengharapkan guru kembali bersama kami."

     Rabiah kemudian mengangkat kepalanya lalu memandang mereka yang hadir satu per satu sambil tersenyum. Kelihatan juga Abdah di samping gurunya itu, sedia dan setia memenuhi keperluan guru yang disayanginya itu.

     "Wahai saudaraku sekalian, sesungguhnya kerana apa kalian menghadiri majlis zikirku?" tanya Rabiah kepada hadirin lembut.

     "Semestinya kerana Allah." Hampir serentak jawapan yang diberi.

     "Benarkah begitu? Pada mulanya kalian menyertai majlis zikir itu dahulu adakah kerana merasa tertarik dengan nyanyian dan tiupan seruling saya ataupun kerana zikir-zikir yang dialunkan?"

     Kelihatan para hadirin serba salah dan mereka sudah faham maksud persoalan Rabiah.

     Kemudian seorang daripada mereka memberanikan diri menjawab, "Kami mengakui pada awalnya kami hadirkan diri kerana kelunakan suara dan keasyikan tiupan seruling kamu. Namun akhirnya, kami menemui kenikmatan dan kelazatan zikir itu hingga merasakan roh kami terpisah dan melayang mencari kecintaan yang sejati, dan kami merasakan begitu dekat dengan Allah."

     "Sekiranya begitu kata kamu, benarlah apa yang menjadi kebimbangan saya."

     "Maksud guru?"

     "Pada awal penglibatan saya dalam jemaah zikir, saya sudah fikirkan apakah kesannya kelak. Saya risau sekiranya jemaah sekalian berpendapat hanya dengan alunan suara dan tiupan seruling saya menyebabkan mereka rapat dengan Allah, walhal sebenarnya ia hanya penyebabnya."

     Abdah yang dari tadi hanya berdiam diri mulai bersuara, "Begitulah maksud guru. Beliau sudah memulakan, maka tinggallah kita bagi meneruskan."

     "Siapa pula yang paling layak menggantikan tempat guru kelak?" tanya hadirin yang masih keliru.

     "Sesiapa sahaja. Miskin ataupun kaya, alim ataupun tidak, asalkan punya keikhlasan yang utuh," kata Abdah lembut. Dia masih di samping gurunya, Rabiatul Adawiyah.

     "Kemudian apakah yang mahu guru lakukan? Bukankah tidak elok meninggalkan kami dan ummah yang masih dahagakan ilmu dan amal daripada guru?"

     Rabiah hanya mendiamkan diri. Dia mengisyaratkan kepada Abdah bagi menjawab.

     "Guru akan beruzlah sepanjang masa, namun untuk persoalan dan perbincangan agama, kamu semua boleh menemui guru pada masa-masa tertentu. Apakah menjadi persoalan bagi kita menghormati keputusan guru?"

     Akhirnya hadirin akur dan faham tujuan sebenar Rabiah berhenti daripada mengetuai majlis zikir. Walau apapun berlaku, majlis zikir itu tetap berjalan tanpa dirinya. Lama-kelamaan barulah para jemaah faham maksud Rabiah.

     Rabiah tidak mahu jemaah zikirnya menjadi seperti Umar al-Khattab tatkala mendapat tahu Rasulullah wafat.

     Kemudian, Abu Bakar dengan kewibawaannya berpidato di hadapan umat yang kekalutan dengan berita kewafatan Rasulullah. Beliau berkata, "Sekiranya kita beriman kerana Muhammad, nescaya beliau itu mati, namun sekiranya kita beriman kerana Allah, ternyata Allah itu kekal dan tidak mati."

     Begitulah maksud Rabiah. Dia mahu orang ramai berzikir kerana Allah dan bukan kerana dirinya. Dia bimbang timbulnya syirik di sebalik ibadat yang dilakukan itu. Tanpa sedar jemaah yang berzikir itu jauh terpesong daripada ajaran tauhid dan akidah Islam itu sendiri.




N / F : DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI SRIKANDI YANG BENAR, OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.

No comments:

Post a Comment