Wednesday 30 March 2016

RABIATUL ADAWIYAH [ BAB 28 - HADIAH-HADIAH MEREKA ]






HADIAH-HADIAH MEREKA




Salah satu pegangan para ahli sufi adalah tidak tertarik kepada kekayaan dunia, jawatan, perhatian, dan pengaruh. Mereka juga hanya makan sekadar bagi melapik perut. Mereka sebenarnya memandang dunia dan isinya sebagai tempat persinggahan yang tiada nilainya di sisi Allah.

     Ramai yang datang berjumpa Rabiah, bukan sahaja bagi mengambil ilmu dan nasihat, malah datang mahu bersedekah ataupun membuat kebajikan kepada Rabiah. Kebanyakan mereka terdiri daripada saudagar dan hartawan yang kaya-raya.

     Namun akhirnya, semuanya pulang dengan hampa kerana Rabiah tidak menerima hadiah-hadiah mereka.

     Jamal, seorang saudagar yang sangat kaya sedang berbual-bual dengan ahli perniagaan yang lain di pasar Basrah.

     "Saya bersumpah tidak pernah menjumpai manusia yang tidak menadah tangannya, pada saat saya menghulurkan harta."

     "Maksud kamu?"

     Jamal kemudian menjelaskan dengan penuh rasa takjub. "Pernah saya ke rumah Rabiah dengan tujuan mahu bersedekah dengan hasil perniagaan yang Allah kurniakan ini. Namun apabila sampai dan menyuarakan hajat saya, Rabiah segera menyuruh saya pulang."

     Sahabat yang berada dalam kumpulan itu menyampuk, "Apakah mungkin ada antara kamu yang mempunyai niat yang tersirat?"

     "Apakah kamu semua tidak mengenali Rabiah? Habuan dunia apakah yang boleh kita harapkan daripada dirinya? Saya berani bersumpah, dengan rela hati mahu menginfakkan sedikit daripada harta saya kerana hanya mengharapkan sedikit keberkatan dengan berbuat demikian."

     Jamal menjelaskan dengan panjang lebar supaya sahabat-sahabatnya tidak memandang serong pada niatnya yang mahu bersedekah kepada Rabiah.

     Tiba-tiba, seorang lelaki bernama Kadir dengan janggut dan rambut yang beruban bersuara dengan penuh cermat dan wibawa.

     "Sebab itulah Rabiah tidak sudi menerima sumbangan kamu."

     Semua tercengang, semua mengalihkan tumpuan kepada Kadir.

     "Maksud pak cik?" Jamal bertanya, mahukan penjelasan.

     Kadir tersenyum penuh hikmah, lalu dengan lembut kamu menjawab, "Kamu katakan tadi yang kamu harapkan daripada sedekah itu adalah keberkatan. Sebab itulah Rabiah tidak menerimanya. Tambahan pula Rabiah tidak menerima pemberian orang."

     "Saya masih kurang jelas," getus Jamal kembali.

     "Sepatutnya kamu bersedekah hanya kerana Allah. Selayaknya yang memberi kamu keberkatan juga adalah Allah. Tidak semestinya hanya kerana kamu bersedekah kepada Rabiah, kamu mendapat keberkatan. Kepada sesiapapun sekiranya sedekah kamu itu ikhlas kerana Allah, sudah cukup bagi Allah mengurniakan keberkatannya kepada kamu."

     Kini mereka mengerti, Jamal sendiri sudah sedar niatnya mahu bersedekah bukan semata-mata kerana Allah. Rabiah juga tidak menerimanya kerana tidak mahu orang ramai terpesong.

    Hasan al-Basri sendiri pernah menjadi saksi betapa Rabiah berpegang teguh pada etika kezuhudan yang tidak meletakkan habuan, harta, pangkat, wang dan emas sebagai penghibur sementara.

     Daripada Hasan al-Basri, orang ramai menceritakan, "Pada suatu hari Hasan al-Basri mengunjungi rumah Rabiatul Adawiyah. Apabila sampai di sana, dia dapati seorang pedagang sedang duduk bersimpuh dalam tangis di tepi rumah Rabiah."

     Hasan al-Basri bertanya, "Mengapa kamu menangis?"

     "Saya ini mahu menitipkan hadiah buat Rabiah. Namun saya khuatir sekiranya hadiah ini ditolak olehnya, hancur luluhlah harapan saya. Kebetulan tuan pula sudah muncul, maka sudilah saya meminta tuan menyampaikan tujuan saya ini kepada Rabiah."

     Hasan al-Basri menjadi serba salah. Sekiranya disampaikan hadiah itu kepada Rabiah, dia sudah tahu akibatnya nanti. Namun sekiranya tidak disempurnakan hasrat pedagang itu, tidak sampai hati pula. Akhirnya Hasan al-Basri mengalah. Pedagang itu mahu menghadiahkan dua bungkusan emas kepada Rabiah.

     "Baiklah sekiranya begitu, namun jangan kamu berharap sangat, kerana Rabiah itu bukan mengharap titipan hadiah duniawi daripada makhluk."

     Pedagang itu mengangguk faham.

     Hasan al-Basri kemudian masuk dan menyampaikan hasrat pedagang itu. Seperti yang dijangka, Rabiah kemudian menatap wajah Hasan al-Basri. Pandangannya tajam sambil mata putihnya mula dilatari warna darah. Urat-urat halus melakari bebola matanya.

     Dengan lantang Rabiah berkata kepada Hasan al-Basri, "Wahai Hasan al-Basri, adakah kamu tidak sedar yang Allah sentiasa mencukupkan keperluan dan rezeki hamba-Nya yang sentiasa beribadah kepada-Nya? Adakah Allah tidak kurniakan secebis hal yang sama kepada para pencinta-Nya? Sejak saya memahami dan mengenali Allah, semua makhluk bukan lagi keperluan saya. Kini kamu pula sedang memujuk saya bagi menerima harta pemberian makhluk Allah ini. Adakah kamu sedar akan haram ataupun halal harta itu?"

     Selepas beberapa berada di dalam rumah, Hasan al-Basri keluar dan mendapatkan pedagang yang mahu memberikan hadiah tadi dan menceritakan apa yang berlaku.

     Hasan al-Basri menyampaikan kembali apa yang diungkapkan oleh Rabiah sebentar tadi. "Katanya pernah berlaku rumahnya kehabisan minyak, sedangkan ketika itu dia sedang menjahit baju jubahnya. Rabiah kemudian pergi ke tepi dinding istana bagi mendapatkan biasan cahaya bagi menampal jubahnya yang koyak."

     Hasan al-Basri berhenti sejenak lantas menyambung, "Dia katakan, sejak hari itulah hatinya menjadi gundah gulana tidak keruan. Sehinggalah dia mengoyakkan kembali jubah yang baru dijahitnya. Saya mahu sampaikan kepada kamu wahai pedagang yang baik hati. Rabiah tidak mahu menerimanya. Saya fikir elok kamu sedekahkan kepada orang yang lebih memerlukan, kerana itu yang lebih baik."

     Pedagang itu diam membisu. Dia benar-benar tidak menyangka yang Rabiah tidak mahu menerima emas-emas yang dibawanya.

     "Tahukah kamu ketika Rabiah menolak menerima emas-emas itu, rumahnya tiada apa pun yang boleh dimakan." Hasan al-Basri menjelaskan.

     "Mengapa sampai begitu sekali sikap Rabiah kepada pemberian orang?" tanya pedagang itu kepada Hasan al-Basri dengan perasaan hampa.

     "Rabiah lebih mementingkan halal dan haram serta kesannya kelak kepada dirinya. Dia sentiasa mempersoalkan sama ada harta yang mahu diberi kepadanya itu benar-benar halal ataupun sudah terpalit najis haram."

     "Bukankah sudah kami nyatakan yang harta-harta ini kami peroleh dengan cara yang halal lagi sah di sisi syarak."

     "Hanya kamu yang beranggapan begitu, tetapi tidak bagi Rabiah. Bukan kamu sahaja yang hadiahnya ditolak, semua pemberi yang berniat mahu memberikan Rabiah hadiah juga menerima nasib yang sama."

     Begitulah Rabiah yang begitu tegar dengan prinsipnya. Walaupun sesetengah prinsipnya itu bercanggah dengan norma kemanusiaan dan agama, namun dia yakin dengan segla tindakannya kerana perasaan cinta kepada Kekasihnya, sehingga tiada lagi nikmat cinta yang mampu mengatasi kecintannya itu.




N / F : DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI SRIKANDI YANG BENAR, OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI. 

No comments:

Post a Comment