Tuesday 15 March 2016

RABIATUL ADAWIYAH [ BAB 23 - ABDUL WAHID ]






ABDUL WAHID




Dengan penolakan lamaran daripada Raja Basrah itu, ramai jejaka yang membatalkan hasrat mahu menyunting bunga di taman larangan itu.

     Mereka berkata, "Sekiranya lamaran sultan kita sendiri pun Rabiah tolak, apatah lagi dengan kita?"

     "Agaknya susuk yang bagaimanakah diidamkan Rabiah?"

     "Itu bukan soalnya."

     "Bukankah kita semua sudah sedia maklum yang Rabiah sudah bertekad tidak mahu berkahwin?"

     "Apakah dia itu bukan manusia? Mana mungkin seorang manusia itu bersikap seperti dirinya?"

     "Hanya Allah yang tahu. Sekiranya dikatakan makamnya lebih tinggi daripada malaikat, kita tidak perlu hairan. Dengan sifat zuhud, warak dan alimnya, ternyata tiada yang mustahil bagi dirinya."

     "Seandainya semua perempuan sebegitu, tanduslah dunia ini."

     "Mustahil kerana hanya ada seorang Rabiah yang bersifat sedemikian."

     "Ulama yang memulakan pemikiran begini adalah Hasan al-Basri?"

     "Benar, dia juga adalah guru dan teman seperjuangan Rabiah. Namun akhirnya dia yang banyak belajar daripada Rabiah."

     "Itu tidak menghairankan. Bahkan ulama-ulama sufi, fikah dan hadis juga senang ditunjuk ajar oleh Rabiah walaupun dulunya mereka itu adalah guru kepada Rabiah."

     "Maha suci Allah, ternyata benar Rabiah itu satu dalam sejuta."

     "Jadi bagaimana?"

     "Bagaimana apa?"

     "Masih ada keinginan kamu mahu melamar Rabiah?"

     Pemuda itu hanya tersenyum pahit kepada sahabatnya itu. Bagaikan menunggu kucing bertanduk, itulah perumpamaan yang sesuai bagi mereka yang mahu melamar dan menjadikan Rabiah sebagai isteri mereka.

     Pada masa yang sama, lain pula ceritanya yang berlaku kepada seorang ulama besar Basrah yang juga rakan seperjuangan Rabiah. Ulama itu sangat disegani di Basrah. Dia bernama Abdul Wahid bin Zaid.

     Apabila mengetahui Rabiah menolak lamaran Sultan Muhammad bin Sulaiman al-Hasyimi, Abdul Wahid segera mengatur rencananya.

     "Alhamdulillah, nampaknya Allah memang memihak kepada saya. Saya mesti bertindak segera bagi meminang Rabiah. Demi Allah dia adalah rahmat Allah yang paling besar dalam hidupku sekiranya ditakdirkan kami bernikah."

     Abdul Wahid kemudiannya meminta anak muridnya supaya ke pondok Rabiah dan menyampaikan hajatnya. "Wahai Abdullah, guru mempunyai hajat yang memerlukan pertolonganmu. Apakah kamu sudi menolong?"

     Abdullah dengan tenang menjawab, "Khabarkan guruku kerana menjadi kegembiraan saya dapat berkhidmat kepada guru."

     "Guru berhajat membina keluarga berasaskan ketakwaan seperti yang dilakukan oleh pasangan sufi yang abid lagi zuhud iaitu Ahmad al-Hawari dan isterinya, juga pasangan Ma'azah al-Adawi dan suaminya."

     "Maksudnya guru mahu bernikah?"

     "Benar, Abdullah."

     "Tetapi siapakah calonnya?"

     "Itu yang menjadi kerisauan dalam hati saya."

     "Mengapa?"

     "Calonnya memang ada, namun wanita ini sangat lain daripada yang lain. Dia manusia terpilih. Saya sebenarnya sudah lama memendam hajat ini."

     "Begitu juga guru, saya yakin guru dan wanita itu secocok."

     "Sebab itulah saya perlukan bantuanmu bagi menyampaikan maksud ini."

     "Baiklah, saya segerakan hajat guru itu. Dengan izin Allah dan berkat ilmu serta amal guru, saya doakan semoga Allah mempermudahkannya."

     "Amin... insya-Allah."

     "Guru malu mahu berdepan dengan wanita itu."

     "Sekiranya begitu, ke mana perlu saya tuju bagi melaksanakan tugasan ini?"

     "Pergilah kamu ke pondok di hujung Basrah ini kerana perempuan itu berada di sana."

     "Abdullah tiba-tiba teringat sesuatu, hatinya berdebar-debar. Dia sudah dapat membaca maksud gurunya, malah orang yang dimaksudkan oleh gurunya itu juga amat dia kenali. Dadanya tiba-tiba bergolak hebat, namun dia sembunyikan perasaannya kerana itu adalah hasrat gurunya dan menjadi kewajipan dia sebagai murid bagi menunaikan permintaan gurunya.

     Abdullah melangkah ke rumah yang dimaksudkan oleh gurunya dengan ragu dan tidak putus-putus berdoa.

     "Saya pasti dimarahi oleh Rabiah kerana datang membawa perkhabaran berkenaan perkahwinan, sedangkan Rabiah sendiri memang tidak mahu berkahwin."

     Abdullah terus mengelamun sambil tangannya tidak henti-henti memutar tasbih di tangan kanannya. Putaran tasbih itu laju tidak sekata menggambarkan keresahan hatinya.

     "Namun ini adalah hasrat guru, seharusnya saya laksanakan jua Ya Allah permudahkan urusan ini. Sesungguhnya saya tidak punya apa-apa selain bergantung pada-Mu."

     Dalam tidak Abdullah sedari, dia kini terpacak di hadapan pondok Rabiah. Ada getar di hatinya. Masih cuba dia melawan dengan zikir-zikir, namun kurang berkesan.

     Tiba-tiba Abdah bin Abi Syawal keluar kerana dia perasan ada orang sedang terpacak di luar rumah gurunya.

     Dia menyapa, "Wahai tuan yang mulia, bukankah tuan murid kepada Tuan Guru Abdul Wahid bin Said?"

     "Benar," jawab Abdullah ringkas.

     "Apakah hajat tuan?"

     "Ada pesanan daripada guru saya untuk guru kamu."

     "Sekiranya begitu, sila masuk ke dalam sementara saya mendapatkan guru saya."

     Peluh dingin mula membasahi tubuh Abdullah.

     Rabiah kemudiannya keluar dengan ramah dan berkata, "Selamat datang wahai Abdullah, murid teman seperjuangan saya Abdul Wahid bin Said."

     "Terima kasih, guru."

     "Apakah hajat guru kamu menghantar kamu ke mari?"

     Lama Abdullah diam, dia tidak berani bersuara. Empat butir mata memandang tepat ke arahnya. Selepas mengumpul tenaga, dia bersuara perlahan. "Guru saya menghantar saya dengan izin Allah bagi menyampaikan hajatnya mahu menyunting guru sebagai isterinya."

     Dengan senafas sahaja dia menghabiskan kalimah itu. Memang Allah permudahkan bicaranya, namun bukan urusan itu sepenuhnya. Abdullah menunduk tanpa berani mendepani kedua-dua wanita abid di hadapannya itu.

     Seketika kemudian, Abdullah terdengar Rabiah menarik nafas. Panjang dan dalam nafasnya seakan-akan menahan amarah.

     "Kembalilah kamu ke pangkuan guru kamu Abdul Wahid, dan sampaikan pesan yang mulai hari ini saya tidak mahu lagi berjumpa dengannya."

     Sejurus habis kata-kata itu, Abdullah segera meminta diri. Dalam perjalanan pulang dia hanya berdiam diri. Hanya mulutnya berkumat-kamit mengalunkan zikir kepada Allah.

     Abdullah menyampaikan apa yang dikatakan oleh Rabiah kepada gurunya. Abdul Wahid sedikit terkilan.

     "Rabiah, apakah saudari malu dan mahu saya sendiri yang menyuarakan hasrat itu?"

     Namun dia tetap berfikiran positif supaya nanti tidak kecewa. "Baiklah, saya berjumpa dengannya sendiri."

     "Tetapi guru...."

     "Mengapa Abdullah?"

     "Pada pendapat saya, usah guru melamar Rabiah. Saya hanya risau hubungan baik guru dengannya renggang kerana dia kelihatan tidak mahu berkahwin sampai bila-bila."

     Abdul Wahid terdiam.

     "Tidak salah mencuba, kali ini saya bersedia dengan hujah-hujah yang lebih rapi. Semoga Allah mempermudahkan urusan ini."

     Abdullah masih tidak menyetujui hasrat gurunya itu, tetapi dia tidak mahu dianggap melawan cakap gurunya apatah lagi itu adalah hal peribadi gurunya.

     "Dengan izin Allah, Rabiah faham yang perkahwinan bukanlah penghalang bagi seseorang itu terus beribadah kepada Allah. Malah ia adalah sumber dorongan dan nyalaan obor kepada usaha yang lebih gigih kerana buktinya sudah ada."

     Abdul Wahid sekali lagi merujuk pada Ahmad al-Hawari dan isterinya serta Ma'azah al-Adawi dan suaminya.

     "Apakah guru sudah mendapatkan nasihat mereka?"

     "Ya, malah mereka juga sudah belajar bagaimana caranya mahu menguruskan hidup rumah tangga tanpa mengabaikan ibadah-ibadah rutin kami."

     Di pihak Rabiah tentunya lain keadaannya. Dia bermonolog, "Tidak disangka Abdul Wahid juga termasuk daripada mereka yang bernafsu mahu menikah."

     Rabiah seakan-akan tidak percaya yang sahabatnya itu sanggup melamar dirinya bagi dijadikan isteri.

     "Mungkin dia mempunyai sebab tertentu." Abdah cuba menenangkan jiwa gurunya yang sedang bergelojak itu.

     "Sekiranya begitu, saya juga mempunyai sebab yang tersendiri," jawab Rabiah pula.




N / F : DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI SRIKANDI YANG BENAR, OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.  

No comments:

Post a Comment