Friday 27 April 2018

NABI ISMAIL A.S. [ BAHAGIAN 1 ]






BAHAGIAN 1








SAMPAILAH Nabi Ibrahim yang berhijrah meninggalkan Mesir bersama Sarah, isterinya dan Hajar, dayangnya di tempat tujuannya iaitu Palestin. Dia juga telah membawa semua binatang ternaknya dan harta milik yang telah diperolehinya sebagai hasil usaha niaganya di Mesir.

     Al-Bukhari meriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a. berkata: "Wanita pertama yang menggunakan barut ialah Hajar ibu Nabi Ismail, tujuannya untuk menyembunyikan kandungannya dari Siti Sarah yang telah lama bersama dengan Nabi Ibrahim A.S. tetapi belum juga hamil. Tetapi walau bagaimanapun juga akhirnya terbukalah rahsia yang disembunyikan itu dengan lahirnya Nabi Ismail A.S..

     Sebagaimana lazimnya seoran gisteri seperti Siti Sarah merasa telah dikalahkan oleh Siti Hajar sebagai seorang dayangnya yang diberikan kepada Nabi Ibrahim A.S. dan sejak itulah isteri Siti Sarah merasa bahawa Nabi Ibrahim A.S. lebih banyak mendekati Hajar kerana merasa sangat gembira dengan memperolehi puteranya yang tunggal, dan pertama itu, hal inilah yang menyebabkan permulaan adanya keretakan dalam rumahtanggan Nabi Ibrahim A.S. sehingga Siti Sarah merasa tidak tahan sakit hati jika melihat Siti Hajar, dan minta pada Nabi Ibrahim A.S. supaya menjauhkannya dari matanya dan menempatkannya di tempat lain.

     Untuk sesuatu hikmah yang belum diketahui dan disedari oleh Nabi Ibrahim A.S., Allah SWT mewahyukan kepadanya agar keinginan dan permintaan Sarah, isterinya dipenuhi dan dijauhkanlah Ismail bersama Hajar ibunya dari Sarah ke suatu tempat di mana dia sendiri belum memikirkan atau merencanakan ke tempat mana yang dia akan tuju dan di mana Ismail puteranya bersama ibunya akan ditempatkan dan kepada siapa akan ditinggalkan.

     Maka dengan bertawakal kepada Allah SWT berangkatlah Nabi Ibrahim meninggalkan rumah membawa Hajar dan Ismail yang memboncengnya di atas untanya tanpa tempat tujuan yang tertentu. Dia hanya berserah diri kepada Allah SWT yang akan memberi arah kepada binatang tunggangannya. Dan berjalanlah unta Ibrahim dengan tiga hamba Allah SWT yang berada di atas untanya keluar kota masuk ke lautan pasir dan padang terbuka di mana matahari dengan pedihnya menyengat tubuh dan angin yang kencang menghambur-hamburkan debu-debu pasir.


A. Ismail Dan Ibunya Hajar Ditinggalkan Di Makkah


     Setelah berminggu-minggu berada dalam perjalanan jauh yang memenatkan, tibalah pada akhirnya Nabi Ibrahim bersama Ismail dan ibunya di Makkah, kota suci di mana Kaabah didirikan dan menjadi pujaan manusia dari seluruh dunia. Di tempat di mana Masjidil Haram sekarang berada, berhentilah unta Nabi Ibrahim mengakhiri perjalanannya dan di situlah dia meninggalkan Hajar bersama puteranya dengan hanya dibekali dengan sebakul berisi bekal makanan dan minuman, sedangkan keadaan sekitarnya tiada tumbuh-tumbuhan, tiada air mengalir, yang terlihat hanyalah batu dan pasir kering.

     Alangkah sedih dan cemasnya Hajar ketika akan ditinggalkan oleh Ibrahim seorang diri bersama dengan anaknya yang masih kecil di tempat yang sunyi sepi dari segala-galanya kecuali batu gunung dan pasir. Dia lalu merintih dan menangis, memegang kuat-kuat baju Nabi Ibrahim memohon belas kasihnya, janganlah dia ditinggalkan seorang diri di tempat yang kosong itu, tiada seorang manusia, tiada seekor binatang, tiada pohon dan tidak terlihat pula air mengalir, sedangkan dia masih menanggung beban mengasuh anak yang kecil yang masih menyusu.

     Nabi Ibrahim mendengar keluh-kesah Hajar, merasa tidak tergamak meninggalkannya seorang diri di tempat itu bersama puteranya yang sangat disayangi, akan tetapi dia sedar bahawa apa yang dilakukannya itu adalah kehendak Allah SWT yang tentu mengandungi hikmah yang masih terselindung baginya dan dia sedar pula bahawa Allah SWT akan melindungi Ismail dan ibunya dalam tempat pengasingan itu dengan segala kesukaran dan penderitaan. Ia berkata kepada Hajar:

     "Bertawakallah kepada Allah SWT yang telah menentukan kehendak-Nya, percayalah kepada kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya. Dialah yang memerintahkan aku membawamu ke sini dan Dialah yang akan melindungimu dan menyertaimu di tempat yang sunyi ini. Sekiranya bukan kerana perintah dan wahyunya, tidak sekali-kali aku akan tergamak meninggalkan engkau di sini seorang diri bersama puteraku yang sangat kucintai ini. Percayalah wahai Hajar bahawa Allah SWT Yang Maha Kuasa tidak akan membiarkan kamu berdua tanpa perlindungan-Nya. Rahmat dan barakah-Nya akan tetap turun di atas kamu untuk selamanya, Insya Allah."

     Mendengar kata-kata Ibrahim itu, segera Hajar melepaskan genggamannya pada baju Ibrahim dan dilepaskannya, beliau menunggang untanya kembali ke Palestin dengan iringan air mata yang bercucuran membasahi tubuh Ismail yang sedang menetek. Sedangkan Nabi Ibrahim pun tidak dapat menahan air matanya ketika dia turun dari dataran tinggi meninggalkan Makkah menuju kembali ke Palestin di mana isterinya Sarah dengan puteranya yang kedua Ishak sedang menanti. Dia tidak henti-henti selama dalam perjalanan kembali berdoa dan memohon kepada Allah SWT perlindungan, rahmat dan barakah serta kurniaan rezeki bagi putera dan ibunya yang ditinggalkan di tempat terasing itu. Dia berkata dalam doanya: "Wahai Tuhanku! Aku telah tempatkan puteraku dan anak-anak keturunannya dekat rumah-Mu (Baitullahil Haram) di lembah yang sunyi dari tanaman dan manusia, agar mereka mendirikan solat dan beribadat kepada-Mu. Jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan berilah mereka rezeki dari buah-buahan yang lazat, mudah-mudahan mereka bersyukur kepada-Mu."


B. Mata Air Zamzam


     Sepeninggalan Nabi Ibrahim, tinggallah Hajar dan puteranya Ismail, di tempat yang terpencil dan sunyi itu. Dia harus menerima nasib yang telah ditetapkan oleh Allah SWT atas dirinya dengan kesabaran dan keyakinan penuh akan perlindungan-Nya.

     Bekalan makanan dan minuman yang dibawanya dalam perjalanan pada akhirnya habis dimakan selama beberapa hari sepeninggalan Nabi Ibrahim. Maka mulalah terasa oleh Hajar beratnya beban hidup yang harus ditanggungnya sendiri tanpa bantuan suami. Dia masih harus menyusukan anaknya, namun air susunya makin lama makin mengering, disebabkan kekurangan makan. Anak yang tidak dapat minuman yang memuaskan dari susu ibunya mulai menjadi cerewet dan tidak henti-hentinya menangis.

     Ibunya menjadi panik, bingung dan cemas mendengar tangisan anaknya yang sangat menyayat hati itu. Dia menoleh ke kanan dan ke kiri serta lari ke sana sini mencari sesuap makanan atau seteguk air yang dapat meringankan kelaparannya dan meredakan tangis anaknya, namun sia-sia saja usahanya itu.

     Dia pergi berlari dari Marwah menuju ke bukit Safa kalau-kalau dia boleh mendapatkan sesuatu yang dapat menolongnya, tetapi hanya batu dan pasir yang ditemuinya di situ, kemudian dari atas bukit Safa dia melihat bayangan air yang mengalir di atas bukit Marwah dan larilah dia menghala ke tempat itu, namun ternyata bahawa disangkanya air adalah bayangan belaka dan kembalilah ke bukit Safa kerana mendengar seakan-akan ada suara yang memanggilnya tetapi gagal dan melesetlah dugaannya.

     Demikianlah, maka kerana dorongan hajat hidupnya dan hidup anaknya yang sangat disayangi, Hajar mundar-mandir berlari sampai tujuh kali antara bukit Safa dan Marwah yang pada akhirnya dia duduk termenung merasa penat dan hampir berputus asa.

     Diriwayatkan bahawa Hajar berada dalam keadaan tidak berdaya dan hampir berputus asa, kecuali dari rahmat Allah SWT dan pertolongan-Nya, datanglah kepadanya malaikat JIbril bertanya: "Siapakah sebenarnya engkau ini?" "Aku adalah hamba sahaya Ibrahim." Jawab Hajar. "Kepada siapa engkau diamanahkan di sini?" Tanya Jibril. "Hanya kepada Allah SWT," jawab Hajar. Lalu berkata Jibril: "Jika demikian, maka engkau telah dititipkan kepada Zat Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih, yang akan melindungimu, mencukupi keperluan hidupmu dan tidak akan mensia-siakan kepercayaan ayah puteramu kepada-Nya."

     Kemudian diajaklah Hajar mengikutinya pergi ke suatu tempat, di mana Jibril menginjakkan telapak kakinya kuat-kuat di atas tanah dan segeralah keluar dari bekas telapak kaki itu air yang jernih dengan kuasa Allah SWT itulah dia mata air Zamzam yang hingga kini dianggap keramat oleh jemaah haji bersesak-sesak sekelilingnya bagi mendapatkan setitik atau seteguk air daripadanya dan kerana sejarahnya mata air itu disebut orang "Injakan Jibril".

     Alangkah gembiranya dan lega dada Hajar melihat air yang muncul itu. Segera dia membasahi bibir puteranya dengan air keramat itu dan segera pula terlihat wajah puteranya segar kembali demikian pula wajah si ibu yang merasa sangat bahagia dengan datangnya mukjizat dari sisi Tuhan yang mengembalikan kesegaran hidup kepadanya dan kepada puteranya sesudah dibayang-bayangi oleh bayangan mati kelaparan yang mencengkam dada.

     Memancutnya air Zamzam telah menarik perhatian burung-burung berterbangan mengelilingi daerah itu, dan pada gilirannya burung-burung itu menarik pula perhatian sekelompok bangsa Arab dari suku Jurhum yang merantau dan sedang berkhemah di sekitar Makkah. Mereka mengetahui dari pengalaman bahawa di mana ada terlihat burung di udara, nescaya di bawahnya terdapat air, maka diutuslah oleh mereka beberapa orang untuk memeriksa kebenaran teori ini. Para pemeriksa itu pergi mengunjungi daerah di mana Hajar berada, kemudian kembali membawa berita gembira kepada kaumnya tentang mata air Zamzam dan keadaan Hajar bersama puteranya. Segera kelompok suku Jurhum itu memindahkan perkhemahannya ke tempat sekitar Zamzam, di mana kedatangan mereka disambut dengan gembira oleh Hajar, kerana dengan adanya kelompok suku Jurhum di sekitarnya, dia memperoleh jiran-jiran yang akan menghilangkan kesunyian dan kesepian yang selama ini dirasakan di dalam hidupnya berduaan dengan puteranya saja.

     Hajar bersyukur kepada Allah SWT yang dengan rahmatnya telah membuka hati orang-orang itu cenderung datang meramaikan dan memecahkan kesunyian lembah di mana ia ditinggalkan sendirian oleh Ibrahim.


C. Nabi Ismail Sebagai Korban


     Nabi Ibrahim dari masa ke semasa pergi ke Makkah mengunjungi dan menjenguk Ismail di tempat pengasingan bagi menghilangkan rasa rindu hatinya kepada puteranya yang dia sayangi serta menenangkan hatinya yang selalu rungsing bila mengenangkan keadaan puteranya bersama ibunya yang ditinggalkan di tempat yang tandus, jauh dari masyarakat kota dan pergaulan umum.

     Sewaktu Nabi Ismail mencapai usia remajanya, Nabi Ibrahim A.S. mendapat mimpi bahawa dia harus menyembelih Ismail puteranya. Dan kerana mimpi seorang nabi adala salah satu dari cara-cara turunnya wahyu Tuhan, maka perintah yang diterimanya dalam mimpi itu harus dilaksanakan oleh Nabi Ibrahim. Dia duduk sejenak dan termenung memikirkan ujian yang maha berat yang dia hadapi.

     Sebagai seorang ayah yang telah dikurniakan seorang putera yang sejak puluhan tahun diharap-harapkan dan diinginkan, seorang putera yang telah mencapai usia di mana jasa-jasanya sudah dapat dimanfaatkan oleh si ayah seorang putera yang diharapkan menjadi pewarisnya dan penyambung kelangsungan keturunannya, tiba-tiba dijadikan korban dan harus diragut nyawanya oleh tangan ayahnya sendiri.

     Namun dia sebagai seorang Nabi, pesuruh Allah SWT dan pembawa agama, yang seharusnya menjadi contoh dan teladan bagi para pengikutnya dalam mentaati Allah SWT, menjalankan segala perintahNya dan menempatkan cintanya kepada Allah SWT di atas cintanya kepada anak, isteri harta-benda dan lain-lain, dia harus melaksanakan perintah Allah SWT yang diwahyukan melalui mimpinya, apa pun yang akan terjadi sebagai akibat pelaksana perintah itu.

     Sungguh amat berat ujian yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim, namun sesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud:

"Allah lebih mengetahui di mana dan kepada siapa Dia mengamanahkan risalahnya."

     Nabi Ibrahim tidak membuang masa lagi, berazam (niat) tetap akan menyembelih Nabi Ismail sebagai korban sesuai dengan perintah Allah SWT yang telah diterimanya. Dan berangkatlah serta merta Nabi Ibrahim menuju ke Makkah untuk menemui dan menyampaikan kepada puteranya apa yang Allah SWT perintahkan.

     Nabi Ismail sebagai anak yang soleh dan sangat taat kepada Allah SWT dan bakti kepada orang tua, ketika diberitahu oleh ayahnya maksud kedatangannya kali itu, tanpa ragu-ragu dan tanpa berfikir panjang berkata kepada ayahnya: "Wahai ayahku! Laksanakanlah apa yang diperintahkan oleh Allah SWT kepadamu. Engkau akan menemuiku, Insya Allah sebagai seorang yang sabar dan patuh kepada perintah."

     "Aku hanya meminta dalam melaksanakan perintah Allah SWT itu, agar ayah mengikatku kuat-kuat supaya aku tidak banyak bergerak sehingga menyusahkan ayah, kedua agar menanggalkan pakaianku supaya tidak terkena darahku yang dapat menyebabkan berkurangnya pahalaku dan terharunya ibuku bila melihatnya, ketiga tajamkanlah parangmu dan percepatlah melaksanakan penyembelihan agar meringankan penderitaan dan rasa pedihku, keempat dan yang terakhir sampaikanlah salamku kepada ibuku, berikanlah kepadanya pakaianku ini untuk menjadi penghiburnya dalam kesedihan dan cenderahati serta kenang-kenangan baginya dari putera tunggalnya."

     Kemudian dipeluknya Ismail dan dicium pipinya oleh Nabi Ibrahim sambil berkata: "Bahagialah aku mempunyai seorang putera yang taat kepada Allah SWT, berbakti kepada orang tua, dengan ikhlas hati menyerahkan dirinya untuk melaksanakan perintah Allah SWT."

     Saat penyembelihan yang mengerikan tiba. Diikatlah kedua tangan dan kaki Ismail, dibaringkanlah dia di atas lantai, lalu diambillah parang tajam yang sudah tersedia dan sambil memegang parang di tangannya, kedua mata Nabi Ibrahim yang tergenang air berpindah memandang dari wajah puteranya ke parang yang berkilat di tangannya, seakan-akan pada masa itu hati beliau menjadi tempat pertarungan antara perasaan seorang ayah di satu pihak dan kewajipan seorang rasul di lain pihak. Pada akhirnya dengan memejamkan matanya, parang diletakkan pada leher Ismail dan penyembelihan dilakukan. Akan tetapi apa daya, parang yang sudah sedemikian tajam itu ternyata menjadi tumpul di leher Nabi Ismail dan tidak dapat berfungsi sebagaimana sepatutnya dan sebagaimana yang diharapkan.

     Kejadian tersebut merupakan suatu mukjizat dari Allah SWT yang menegaskan bahawa perintah pengorbanan Ismail itu hanya suatu ujian bagi Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sampai sejauh mana rasa cinta dan taat mereka kepada Allah SWT keduanya telah lulus dalam ujian yang sangat berat itu. Nabi Ibrahim telah menunjukkan kesediaan yang tulus dengan mengorbankan puteranya, jantung hatinya. Untuk berbakti melaksanakan perintah Allah SWT, sedang Nabi Ismail tidak sedikit pun ragu atau bimbang dalam melaksanakan kebaktiannya kepada Allah SWT dan kepada orang tuanya dengan menyerahkan jiwa raganya untuk dikorbankan, sehingga terjadi ketika merasa bahawa parang itu tidak dapat memotong lehernya, berkatalah dia kepada ayahnya: "Wahai ayahku! Rupa-rupanya engkau tidak sampai hati memotong leherku kerana melihat wajahku, cubalah telangkupkan aku dan laksanakanlah tugasmu tanpa melihat wajahku."

     Akan tetapi parang itu tetap tidak berdaya mengeluarkan setitis darah pun dari daging Ismail walaupun dia telah ditelangkupkan dan dicuba memotong lehernya dari belakang.

     Dalam keadaan bingung dan sedih hati, kerana gagal dalam usahanya menyembelih puteranya, datanglah kepada Nabi Ibrahim wahyu Allah SWT dengan firmanNya: "Wahai Ibrahim Engkau telah berhasil melaksanakan mimpimu, demikianlah, Kami akan membalas orang-orang yang berbuat kebajikan." Kemudian sebgaai tebusan, ganti nyawa Nabi Ismail yang telah diselamatkan itu, Allah SWT memerintahkan Nabi Ibrahim menyembelih seekor kambing yang telah tersedia di sampingnya dan segera disembelih leher kambing itu oleh beliau dengan parang yang tumpul di leher puteranya Ismail itu. Dan inilah asal permulaan sunnah berkorban yang dilakukan oleh umat Islam pada tiap hari raya Aidiladha di seluruh pelusuk dunia.









N / F : DARIPADA "KISAH-KISAH PARA NABI & RASUL", OLEH ABDULLAH BIN AHMAD MUBARAK.

Tuesday 24 April 2018

NABI IBRAHIM A.S. [ BAHAGIAN 3 (AKHIR) ]






NABI IBRAHIM A.S. [ BAHAGIAN 3 (AKHIR) ]








I. Lahirnya Ismail, Putera Ibrahim Yang Pertama


     Sarah, yang walaupun sudah bertahun-tahun bersuamikan Nabi Ibrahim, ternyata bahawa dia adalah seorang wanita mandul, yang tidak dapat diharapkan akan memberi keturunan bagi Nabi Ibrahim yang sangat dirindukan dan yang selalu dalam tiap kesempatan mengatakan kepada isterinya bahawa dia ingin sekali memperolehi seorang putera yang akan meneruskan usahanya dan melanjutkan tugasnya menyebarkan iman dan tauhid kepada masyarakat yang masih berada dalam kegelapan.

     Sarah sebagai wanita yang bijaksana dapat mengerti dan memahami keinginan suaminya yang memang sudah menjadi maklum, bahawa setiap suami dan ketua keluarga memerlukan keturunan untuk meneruskan seruan Nabi Adam yang ditentukan oleh Allah SWT tatkala diturunkan ke bumi. Dengan menyedari hal tersebut di atas dan menyedarkan bahawa dirinya sendiri tidak dapat memenuhi keinginan suaminya itu maka dengan membuang sifat cemburu yang ada di dalam hatinya, bahkan dalam hati setiap wanita, Sarah memberi izin kepada Nabi Ibrahim untuk mendekati Hajar, dayang hadiah yang diperolehinya dari Raja Mesir itu. Dan sebagai hasil dari itu Nabi Ibrahim dengan Hajar, lahirlah "Ismail" putera pertamanya.

     
J. Nabi Ibrahim Menerima Tetamu


     Nabi Ibrahim adalah seorang yang murah hati, suka kepada tetamu dan merasa senang sekali bila dia menerima tetamu. Pada suatu waktu datanglah kepadanya tiga orang tetamu lelaki yang diterimanya dengan penuh ramah-tamah dan dihormatinya dengan jamuan makan besar yang mana telah disembelihkan seekor lembu yang dimasak sendiri oleh isterinya kemudian dijamukannya kepada para tetamu sebagai hidangan yang istimewa, lazat dan sedap.

     Nabi Ibrahim, dan isterinya, merasa hairan melihat para tetamu itu enggan menyentuh masakan yang telah dihidangkan, yang dianggapnya cukup sedap untuk membangkitkan selera setiap orang yang melihatnya atau mencium baunya. Sarah merasa tersinggung perasaan kewanitaannya melihat sikap tetamu-tetamunya itu, seolah-olah mereka tidak menghargai susah payahnya menyiapkan hidangan yang dijamukan itu, sedangkan dalam hati Nabi Ibrahim timbul rasa curiga dan tanda-tanya tentang sikap para tetamunya yang aneh itu.

     Dia tidak dapat menahan lama rasa curiganya itu dan ditegurlah para tetamunya. Ternyatalah kemudian bahawa para tetamu itu bukanlah tetamu-tetamu biasa, akan tetapi mereka itu adalah malaikat yang menyamar sebagai tetamu yang datang kepada Nabi Ibrahim untuk memberitahu kepadanya, bahawa mereka diutus oleh Allah SWT untuk mengajar dan memberi pembalasan kepada penduduk Sadum dan A'murah yang dikenal dan disebut sebagai kaum Luth.

     Mendengar berita ancaman para malaikat itu, teringatlah oleh Nabi Ibrahim, Nabi Luth, anak saudaranya yang berada di Sadum, maka berpesanlah dia kepada para malaikat itu, agar saudaranya dapat diselamatkan dan tidak terkena musibah yang akan dijatuhkan di atas penduduk Sadum yang tenggelam dalam maksiat homoseks itu. Para malaikat memberi jaminan kepada Nabi Ibrahim bahawa Lut dan keluarganya bebas dan tidak akan terkena azab yang akan diturunkan. Mereka berkata: "Kami telah mengetahui itu dan mengetahui kepada siapa pembalasan Allah SWT itu ditujukan."

     Juga Nabi Ibrahim dalam kesempatan itu, terdorong oleh rasa kemanusiaannya, cuba memohonkan keringanan dan rahmat keampunan bagi kaum Lut yang terancam bahaya itu, namun kehendak dan hukuman Allah SWT tidak dapat ditunda atau dikurangi.

     Dalam kesempatan bercakap-cakap dengan para malaikat itu, Nabi Ibrahim mendengar berita gembira dari para tetamunya, bahawa dia akan dikurniai oleh Allah SWT seorang putera. Berita tersebut diterima oleh Nabi Ibrahim dengan kehairanan dan keraguan sambil berkata: "Bagaimana aku akan memperolehi seorang anak dalam keadaan usiaku sudah selanjut ini, sedangkan isteriku adalah seorang wanita mandul, di samping dia telah melampaui usia di mana seorang wanita dapat mengandung dan melahirkan anak."

     Demikian pula Sarah, isteri Nabi Ibrahim, yang turut hadir mendengar percakapan suaminya dengan para tetamu, merasa hairan dan ragu-ragu dan sambil tertawa tanda gembira berkatalah dia kepada para malaikat: "Adakah mungkin bahawa aku akan mengandung dan melahirkan anak, dalam keadaan aku sudah setua ini dan suamiku sudah lanjut usia dan menjadi orang yang tua bangka."

     Para tetamu malaikat itu hanya mengembalikan persoalan itu kepada Allah SWT Yang Maha Kuasa yang telah menciptakan Adam dari tanah dan lumpur, tidak usah dihairankan atau diragukan bila Dia akan mengurniai keturunan kepada sepasang suami-isteri yang mandul atau sudah sangat lanjut usia. Allah SWT yang bila mengkehendaki sesuatu hanya berfirman "Kun" dan terjadilah apa yang dikehendaki-Nya "Fayakun".


K. Adat Kebiasaan "Khatan"


     Allah SWT memerintahkan kepada Nabi Ibrahim sewaktu ia sudah berusia sembilan puluh sembilan tahun agar mengkhatan dirinya dan mengkhatan Ismail, puteranya, yang waktu itu berusia tiga belas tahun, juga para keluarganya semua. Perintah tersebut segera dilaksanakan oleh beliau dan sejak waktu itu menjadi sunnah yang turun-temurun dilaksanakan oleh para nabi, tidak terkecuali Nabi Besar Muhammad SAW yang diikuti oleh semua penganut agama Islam sehingga kini dan akan tetap diikuti dan dilaksanakan hingga akhir zaman nanti.


L. Kisah Nabi Ibrahim Dalam Al-Quran


     Kisah Nabi Ibrahim dalam Al-Quran diceritakan oleh 102 ayat pada 13 surah, di antaranya surah "Al-Baqarah" ayat 260 sebagai berikut:

Ertinya:

"Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berkata: "Ya Tuhanku, perlihatkanlah padaku bagaimana Kamu menghidupkan orang mati." Allah berfirman: "Belum yakinkah kamu?" Ibrahim menjawab: "Aku telah menyakininya, akan tetapi agar hatiku tetap mantap (dengan imanku)." Allah berfirman: "(Kalau demikian) ambillah empat ekor burung, lalu cincanglah semuanya. Lalu letakkan di atas setiap satu bukit satu bahagian dari bahagian-bahagian itu, kemudian panggillah mereka, nescaya mereka datang kepadamu dengan segera. Dan ketahuilah bahawa Allah Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana." (Al-Baqarah: 260)

     Surah Maryam ayat 41 sehingga 48 sebagai berikut:

Ertinya:

"Ceritakanlah (wahai Muhammad) kisah Ibrahim di dalam al-Kitab (al-Quran) ini. Sesungguhnya dia adalah seorang yang sangat membenarkan lagi seorang nabi. Ingatlah ketika dia (Ibrahim) berkata kepada bapanya: "Wahai bapaku! Mengapa kamu menyembah sesuatu yang tidak mendengar, tidak melihat dan tidak dapat menolongmu sedikit pun?" "Wahai bapaku! Sesungguhnya telah datang kepadaku sebahagian ilmu pengetahuan yang tidak datang kepadamu, maka ikutilah aku, nescaya aku akan menunjukkan kepadamu jalan yang lurus." "Wahai bapaku! Janganlah kamu menyembah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu derhaka kepada Tuhan Yang Maha Pemurah." "Wahai bapaku! Sesungguhnya aku khuatir bahawa kamu akan ditimpa azab daripada Yang Maha Pemurah, maka kamu menjadi kawan bagi syaitan." Bapanya berkata: "Bencikah kamu kepada tuhan-tuhanku, wahai Ibrahim? Jika kamu tidak berhenti, maka nescaya kamu akan aku rejam, dan tinggalkanlah aku untuk waktu yang lama." Ibrahim berkata: "Semoga keselamatan dilimpahkan kepadamu, aku akan meminta ampun bagimu kepada Tuhanku. Sesungguhnya Dia sangat baik kepadaku." "Dan aku akan meninggalkan kamu dan apa yang kamu seru selain Allah dan aku akan berdoa kepada Tuhanku, mudah-mudahan aku tidak akan kecewa dengan berdoa kepada Tuhanku." (Maryam: ayat 41-48)

     Surah "Al-Anbiya" ayat 51 sehingga 72 yang bermaksud:

Ertinya:

"Dan sesungguhnya telah Kami anugerahkan kepada Ibrahim, hidayah kebenaran sebelum (Musa dan Harun) dan adalah Kami mengetahui (keadaan)nya. (Ingatlah) ketika Ibrahim berkata kepada bapa dan kaumnya: "Patung-patung apakah ini yang kamu tekun beribadat kepadanya?" Mereka menjawab: "Kami mendapati bapa-bapa kami menyembahnya." Ibrahim berkata: "Sesungguhnya kamu dan bapa-bapamu berada dalam kesesatan yang nyata." Mereka menjawab: "Apakah engkau datang kepada kami dengan sungguh-sungguh ataukah kamu termasuk orang yang bermain-main." Ibrahim menjawab: "Sebenarnya Tuhan kamu ialah Tuhan langit dan bumi yang telah menciptakannya dan aku termasuk orang yang dapat memberikan bukti atas yang demikian itu." "Demi Allah, sesungguhnya aku akan melakukan tipu daya terhadap berhala-berhalamu sesudah kamu pergi meninggalkannya. Maka Ibrahim memecahkan berhala-berhala itu sehingga ia hancur berkecai, kecuali yang terbesar (induk); daripada patung-patung yang lain; agar mereka kembali (untuk bertanya) kepadanya. Mereka berkata: "Siapakah yang melakukan perbuatan ini terhadap tuhan-tuhan kami, sesungguhnya dia termasuk orang yang zalim." Mereka berkata: "Kami dengar ada seorang pemuda yang mencela berhala-berhala ini yang bernama Ibrahim." Mereka berkata: "(Kalau demikian) bawalah dia dengan cara yang dapat dilihat orang ramai, agar mereka menyaksikannya." Mereka bertanya: "Apakah kamu yang melakukan perbuatan ini terhadap tuhan-tuhan kami, wahai Ibrahim?" Ibrahim menjawab: "Sebenarnya patung yang besar itulah yang melakukannya, maka tanyakanlah kepada mereka (berhala itu), jika mereka dapat berbicara." Maka mereka telah kembali kepada kesedaran mereka, lalu berkata: "Sesungguhnya kamu sekalian adalah orang yang menganiaya (diri sendiri)." Kemudian kepala mereka jadi tertunduk (lalu berkata): "Sesungguhnya kamu (wahai Ibrahim) telah mengetahui bahawa berhala-berhala itu tidak dapat berbicara." Ibrahim berkata: "Maka mengapakah kamu menyembah selain Allah sesuatu yang tidak dapat memberi manfaat sedikit pun dan tidak (pula) memberi mudarat kepada kamu? Ah, (celakalah) kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah! Maka apakah kamu memahami?" Mereka berkata: "Bakarlah dia dan bantulah tuhan-tuhan kamu, jika kamu benar-benar hendak bertindak." Kami berfirman: "Wahai api! Jadilah kamu dingin dan selamat sejahtera kepada Ibrahim." Mereka hendak berbuat jahat terhadap Ibrahim, maka Kami jadikan mereka itu orang yang paling rugi. Dan Kami selamatkan Ibrahim dan Lut ke sebuah negeri yang Kami telah berkatinya untuk sekalian manusia." (Surah Al-Anbiyaa': 51-72)

     Surah "Al-An'am" ayat 74 sehingga 83 yang bermaksud:

Ertinya:

"Dan (ingatlah) pada waktu Ibrahim berkata kepada bapanya, Azar: "Patutkah kamu menjadikan berhala-berhala sebagai Tuhan? Sesungguhnya aku melihat kamu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata." Dan demikianlah Kami memperlihatkan kepada Ibrahim tanda-tanda keagungan (Kami yang terdapat) di langit dan di bumi, dan (Kami memperlihatkannya) agar Ibrahim itu termasuk golongan orang yang yakin. Ketika malam yang gelap, dia melihat sebutir bintang, (lalu) dia berkata: "Inilah Tuhanku." Tetapi tatkala bintang itu terbenam, dia berkata: "Aku tidak suka kepada yang terbenam (hilang)." Kemudian tatkala dia melihat bulan terbit, dia berkata: "Inilah Tuhanku." Tetapi setelah bulan itu terbenam, dia berkata: "Sesungguhnya jika Tuhanku tidak memberi petunjuk kepadaku, pastilah aku termasuk orang yang sesat." Kemudian tatkala dia melihat matahari terbit, dia berkata: "Inilah Tuhanku, ini lebih besar", maka tatkala matahari itu terbenam, dia berkata: "Wahai kaumku! Sesungguhnya aku berlepas diri daripada apa yang kamu persekutukan." Sesungguhnya aku menghadapkan diriku kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, dan aku tetap berada di atas dasar tauhid, dan aku bukanlah termasuk orang yang mempersekutukan Tuhan. Dan dia dibantah oleh kaumnya. Dia berkata: "Apakah kamu hendak membantahku tentang Allah, padahal sesungguhnya Allah telah memberi petunjuk kepadaku? Dan aku tidak takut kepada (malapetaka dari) sembahan-sembahan yang kamu persekutukan dengan Allah, kecuali di kala Tuhanku menghendaki sesuatu (dari malapetaka) itu. Pengetahuan Tuhanku meliputi segala sesuatu. Maka apakah kamu tidak dapat mengambil pegajaran (daripadanya)? Bagaimana aku takut kepada sembahan-sembahan yang kamu persekutukan (dengan Allah), padahal kamu tidak takut mempersekutukan Allah dengan sembahan-sembahan yang Allah sendiri tidak menurunkan sebarang keterangan kepada kamu mengenainya. Maka yang manakah di antara dua golongan itu yang lebih berhak mendapat keamanan (dari malapetaka), jika kamu mengetahui? Orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang yang mendapat keamanan dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk. Dan itulah hujah Kami yang Kami berikan kepada Ibrahim untuk menghadapi kaumnya. Kami tinggalkan beberapa darjat untuk sesiapa yang Kami kehendaki. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui." (Surah Al-An'am: 74-83)

     Dan surah Al-Zariyaat ayat 24 sehingga 37 sebagai berikut:

"Sudahkah sampai kepadamu (Muhammmad) cerita tetamu Ibrahim (malaikat) yang dimuliakan? (Ingatlah) ketika mereka masuk ke tempatnya lalu mengucapkan: "Salam sejahtera kepadamu", Ibrahim menjawab: "Salam sejahtera kepada kamu." (Sambil berkata di hati): Mereka ini orang yang tidak dikenali, Maka diam-diam dia (Ibrahim) pergi menemui keluarganya, kemudian dibawanya daging anak sapi gemuk (yang dibakar). Lalu dihidangkan kepada mereka (tetapi mereka tidak mahu makan). Ibrahim berkata: "Mengapa kamu tidak makan?" Maka dia rasa takut terhadap mereka. Mereka berkata: "Jangan engkau takut." Dan mereka memberi khabar gembira kepadanya dengan (kelahiran) seorang anak yang berpengetahuan (Ishak). Lalu isterinya datang memeluk (tercengang) dan menepuk wajahnya sendiri seraya berkata: "(Aku ini) seorang perempuan tua yang mandul." Mereka berkata: "Demikianlah Tuhanmu berfirman: Sesungguhnya, Dialah Yang Maha Bijaksana, Lagi Maha Mengetahui." Dia (Ibrahim) berkata: "Apakah urusanmu yang penting wahai para utusan?" Mereka menjawab: "Sesungguhnya kami diutus kepada kaum yang berdosa (kaum Luth). Agar kami menimpakan mereka dengan batu-bata dari tanah (yang keras). Yang ditandakan daripada Tuhanmu untuk (membinasakan) orang yang melampaui batas." Lalu Kami keluarkan orang yang beriman yang berada di dalamnya (negeri kaum Luth) itu. Maka Kami tidak mendapati di dalamnya (negeri itu), kecuali sebuah rumah daripada orang muslim (Luth). Dan Kami tinggalkan padanya (negeri itu) suatu tanda bagi orang yang takut kepada azab yang pedih." (Al-Zariyat: 24-37)




"Maka iblis memujuk keduanya (untuk 
memakan buah itu) dengan tipu daya.
Tatkala keduanya telah merasai buah pohon
kayu itu, tampaklah bagi keduanya aurat-
auratnya, dan keduanya mulalah menutup
dengan daun-daun dari syurga. Kemudian
Tuhan mereka menyeru kepada mereka:
"Bukankah Aku telah melarang kamu berdua
menghampiri dari pohon kayu itu dan Aku
telah mengatakan bahawa sesungguhnya
syaitan (iblis) itu adalah musuh yang nyata
bagi kamu berdua?"
(Surah Al-A'raf: 22)









N / F : DARIPADA "KISAH-KISAH PARA NABI & RASUL", OLEH ABDULLAH BIN AHMAD MUBARAK.














Friday 20 April 2018

NABI IBRAHIM A.S. [ BAHAGIAN 2 ]






NABI IBRAHIM A.S. [ BAHAGIAN 2 ]








E. Nabi Ibrahim Dibakar Hidup-Hidup


     Keputusan mahkamah telah jatuh. Nabi Ibrahim harus dihukum dengan dibakar hidup-hidup dalam api yang besar, seperti melakukan dosa yang sangat besar. Persiapan bagi upacara pembakaran yang akan disaksikan oleh seluruh rakyat sedang diatur. Tanah lapang bagi tempat pembakaran disediakan dan diadakan pengumpulan kayu api dengan banyaknya, di mana setiap penduduk secara bergotong-royong harus mengambil bahagian membawa kayu api sebanyak yang ia dapat sebagai tanda bakti kepada tuhan-tuhan sembahan mereka yang telah dihancurkan oleh Nabi Ibrahim.

     Berduyun-duyunlah para penduduk dari segala pelusuk kota membawa kayu api sebagai sumbangan dan tanda bakti mereka kepada tuhan mereka. Di antara mereka terdapat para wanita yang hamil dan orang yang sakit, yang membawa sumbangan kayu apinya dengan harapan memperoleh barakah dari tuhan-tuhan mereka dengan menyembuhkan penyakit mereka atau melindungi yang hamil di kala ia bersalin.

     Setelah terkumpul kayu api di tempat yang disediakan untuk upacara pembakaran dan tertumpuk serta tersusun laksana sebuah bukti, berduyun-duyunlah orang datang untuk menyaksikan pelaksanaan hukuman ke atas diri Nabi Ibrahim. Kayu lalu dibakar lalu terbentuklah gunung api yang dahsyat, yang lidahnya menjulang ke ketinggian di mana burung-burung yang sedang terbang di atasnya berjatuhan terbakar oleh panasnya asap yang ditimbulkan oleh api yang menggunung itu.

     Kemudian dalam keadaan terbelenggu, Nabi Ibrahim didatangkan dan dari atas sebuah bangunan yang tinggi dilemparkanlah dia ke dalam longgokkan kayu yang menyala-nyala itu dengan iringan firman Allah SWT dalam Surah Al-Anbiya ayat 69:

"Kami berfirman: "Wahai api! Jadilah kamu dingin dan selamat sejahtera kepada Ibrahim." (Surah Al-Anbiya: 69)

     Sejak keputusan hukuman dijatuhkan sampai saat dia dilemparkan ke dalam bukit api yang menyala-nyala itu, Nabi Ibrahim tetap menunjukkan sikap tenang dan tawakkal, kerana iman dan keyakinannya bahawa Allah SWT tidak akan rela melepaskan hamba pesuruhnya menjadi makanan api dan korban keganasan orang-orang kafir, musuh Allah SWT.

     Dan memang demikianlah apa yang terjadi tatkala dia berada dalam perut bukit api yang dahsyat itu, dia merasa dingin sesuai dengan seruan Allah SWT pelindungnya dan hanya tali-temali dan rantai yang mengikat tangan dan kakinya yang terbakar hangus, sedang tubuh dan pakaian yang melekat pada tubuhnya tetap utuh, tidak sedikit pun tersentuh oleh api, yang mana merupakan suatu mukjizat yang diberikan oleh Allah SWT kepada hamba pilihannya, Nabi Ibrahim, agar dapat melanjutkan penyampaian risalah yang ditugaskan kepadanya kepada hamba-hamba Allah SWT yang tersesat.

     Para penonton upacara pembakaran hairan, tercengang tatkala melihat Nabi Ibrahim keluar dari bukit api yang sudah padam dan menjadi abu itu dalam keadaan selamat, utuh dengan pakaiannya yang tetap berada seperti biasa, tidak ada tanda-tanda sentuhan api sedikit jua pun. Mereka bersurai, meninggalkan tempat itu dalam keadaan hairan sambil bertanya-tanya pada diri sendiri dan di antara satu sama lain, bagaimana hal yang ajaib itu boleh terjadi, padahal, menurut anggapan mereka dosa Nabi Ibrahim sudah nyata menderhakai tuhan-tuhan yang mereka puja dan sembah. Ada sebahagian daripada mereka yang dalam hati kecilnya mulai meragukan kebenaran agama mereka, namun tidak berani melahirkan rasa ragu-ragunya itu kepada orang lain, sedang para pemuka dan para pemimpin mereka berada kecewa dan malu, kerana hukuman yang mereka jatuhkan ke atas diri Nabi Ibrahim dan kesibukan rakyat yang mengumpulkan kayu api selama berminggu-minggu telah berakhir dengan kegagalan, sehingga mereka merasa malu kepada Nabi Ibrahim dan para pengikutnya.

     Mukjizat yang diberikan oleh Allah SWT kepada Nabi Ibrahim sebagai bukti nyata kebenaran dakwahnya, telah menimbulkan kegoncangan dalam kepercayaan sebahagian penduduk terhadap sembahan dan patung-patung mereka dan membuka mata hati mereka untuk memikirkan kembali ajakan Nabi Ibrahim dan dakwahnya, bahkan tidak kurang daripada mereka yang ingin menyatakan imannya kepada Nabi Ibrahim, namun khuatir akan mendapat kesukaran dalam penghidupannya, akibat kemarahan dan balas dendam para pemuka dan para pembesarnya, yang mungkin akan menjadi hilang akal bila merasa bahawa pengaruhnya telah beralih ke pihak Nabi Ibrahim.


F. Nabi Ibrahim dan Raja Namrud


     Terdengar oleh Raja Namrud tentang kegiatan Nabi Ibrahim berdakwah mengingkari sembahan-sembahan berhala, mengajak orang menyembah Allah SWT yang Maha Esa dan penghancuran patung-patung yang menggusarkan dan menimbulkan kemarahan rakyatnya serta hukuman pembakaran yang gagal itu. Raja Namrud merasa khuatir bila Nabi Ibrahim dibiarkan bebas berdakwah terus, akan dapat mengurangi kewibawaannya, melemahkan kekuasaannya bahkan mungkin menghancurkan kerajaannya kelak. Maka dipanggillah ia menghadap kepadanya.

     Berkatalah Namrud kepada Nabi Ibrahim yang berada di hadapannya: "Apakah itu fitnah yang engkau sebarkan dan api kerusuhan yang engkau kobarkan di tengah-tengah rakyatku? Dan siapakah Tuhan yang engkau perintahkan dengan orang menyembahnya? Adakah tuhan yang engkau kenal dan patut disembah menurut anggapanmu, selain aku? Siapakah yang mempunyai kedudukan setinggi kedudukanku dan memiliki kekuasaan seluas kekuasaanku? Tidakkah engkau melihat bahawa aku berkuasa mengatur kerajaanku yang luas ini, menetapkan atau membatalkan sesuatu menurut kehendakku tanpa ada seorang pun yang dapat menghalanginya?

     Perintah-perintahku ditaati dan keputusan-keputusanku mutlak dilaksanakan tanpa ditunda atau dibantah. Orang ramai pada menggantungkan harapan-harapan dan keinginan-keinginannya hanya kepadaku dan kepadaku pula mereka mengharapkan pertolongan bagi kesukaran dan penderitaannya. Adakah engkau melihat atau menemukan orang yang berani melanggar perintahku atau melawan kekuasaanku? Mengapa engkau berani berbuat demikian? Menyimpang dari cara-cara dan adat-istiadat yang sudah berlaku di dalam kerajaanku? Mencela dan menghina bahkan merosak dan menghancurkan sembahan-sembahan rakyatku?"

     Nabi Ibrahim menjawab dengan tenang dan lantang: "Aku tidak menyebarkan fitnah atau membuat kekacauan, aku membawa kebenaran dan ingin menghilangkan kebatilan dan kesesatan. Aku mengajak orang-orang meninggalkan sembahan kepada patung-patung yang tidak berguna dan agar mereka beriman dan menyembah Allah SWT, Tuhan Yang Maha Esa, Tuhan Yang menciptakan manusia dan alam sekitarnya, Tuhan yang menghidupkan dan mematikan, memberikan kehidupan kepada makhluk-Nya dan mencabutnya. Itulah Tuhan yang aku sembah dan mengajak orang-orang untuk menyembahnya dan bukan patung-patung yang mereka buat dan ada-adakan sendiri lalu dipuja dan disembahnya sebagai tuhan."

     Berkata lagi Namrud: "Jika Tuhanmu yang engkau sembah dapat menghidupkan dan mematikan orang, aku pun dapat berbuat demikian. Seorang yang seharusnya menjalani hukuman mati, bila aku beri ampun kepadanya, maka itu bererti bahawa aku telah menghidupkan dia, dan sebaliknya orang yang aku jatuhi hukuman mati, bererti aku mematikan dia. Dengan demikian tidak ada bezanya antara Tuhanmu dan aku, mengapa engkau tidak menyembah aku sahaja?"

     Nabi Ibrahim segera mengalihkan pertanyaannya kepada soal lain. Dia berkata kepada Namrud: "Baiklah, Tuhanku telah menciptakan matahari dengan memberinya arah dan haluan yang sudah ditentukan yang tidak pernah dan tidak akan menyimpang daripadanya sedikit pun. Ia terbit tiap hari dari arah Timur dan terbenam di arah Barat, maka cubalah jika engkau mendakwa mempunyai kekuasaan tuhan, ubahlah haluan itu dan terbitkanlah matahari itu dari Barat. Dapatkah engkau berbuat demikian?"

     Namrud tidak dapat menjawab tentang soalan Nabi Ibrahim dan tidak mengucapkan sepatah kata pun seakan-akan tersumbat mulutnya dengan batu. Dan sejak saat itu pula Namrud melihat dalam diri Nabi Ibrahim seorang musuh besar baginya yang harus diperlakukan dengan bijaksana dan hati-hati. Dia tidak segera menunjukkan permusuhan atau memperlihatkan tanda-tanda kebencian kepada Nabi Ibrahim. Dia bahkan bersikap seakan-akan acuh tak acuh terhadap gerak-geri dan tindak-tanduk Nabi Ibrahim yang dibiarkannya tinggal tetap di dalam kerajaannya bebas berdakwah dan menyebarkan ajarannya.

     Akan tetapi dia menubuhkan pasukan pengintip dan polis rahsianya untuk mengamat-amati gerak-geri Nabi Ibrahim, serta menjauhkannya sedapat mungkin dari rakyat agar tidak termakan oleh pengaruhnya. Namrud hanya menunggu kesempatan yang tepat untuk memberi pukulan yang sewajarnya kepada Nabi Ibrahim. Dia merasa bahawa wujudnya Nabi Ibrahim di tengah-tengah rakyatnya yang bodoh merupakan ancaman yang berbahaya bagi kerajaannya yang dapat membinasakannya bila dia kurang bijaksana atau salah bertindak. Kerana itu dia tidak mahu menggunakan kekerasan terhadap Nabi Ibrahim sebelum kesempatan yang tepat tiba.

     Nabi Ibrahim merasa lama-kelamaan bahawa gerak langkahnya diamat-amati dan bahawa dia dikelilingi oleh para pengintip dan polis rahsia Raja dan bahawa Raja hanya menunggu kesempatan untuk melampiaskan dendam hatinya kepadanya dan membunuhnya bila tiba masanya. Di samping itu dia melihat tidak ada manfaatnya untuk tinggal lebih lama di tempat itu, kerana dia tidak mendapat tanah subur bagi dakwahnya. Hati kebanyakan penduduknya sudah tertutup rapat dengan kebodohan dan ajaran Iblis. Maka berangkatlah Nabi Ibrahim meningggalkan tanah airnya, tanah yang gersang bagi dakwahnya, menuju tempat di mana dia mungkin dapat menemukan hati-hati yang terbuka luas bagi ajaran dan risalah Allah SWT yang dia bawa, hati-hati yang masih lurus belum menjadi sarang syaitan dan iblis.


G. Nabi Ibrahim Berada Di Daerah Palestin


     Dalam perjalanan meninggalkan tanah airnya tibalah Nabi Ibrahim di "Harran" suatu tempat yang terletak antara Sungai Dajlah dan Furat dan buat sementara menetaplah beliau di sana dengan harapan mendapatkan udara yang lebih baik bagi dakwahnya dan tanah yang lebih subur bagi ajaran dan risalah yang ditugaskan oleh Allah SWT kepadanya.

     Di kota Harran, Nabi Ibrahim mendapati penduduknya menyembah bintang-bintang yang gemerlapan di langit dan tidak mengenal Tuhan Penciptanya. Dalam menghadapi para penyembah bintang itu, Nabi Ibrahim dalam dakwahnya menggunakan cara dan sistem lain daripada yang digunakannya sewaktu menghadapi kaum kafir Babylon. Dia tidak secara langsung mencela dan menghina peribadatan mereka atau mencemuhkan kepercayaan mereka, tetapi dengan cara yang halus, dengan mengikuti jalan berfikir mereka, dia mengharapkan akan berhasil membawa mereka kepada ajarannya menyedari bahawa peribadatan mereka itu keliru dan tersesat.

     Nabi Ibrahim berlagak seakan-akan dia sependirian dan satu kepercayaan dengan mereka. Dalam pertemuannya dengan mereka di waktu senja atau petang lalu duduk bersama berbincang-bincang. Nabi Ibrahim secara tiba-tiba menarik perhatian mereka kepada suatu bintang di langit yang ditunjuk dengan jari manisnya sambil berkata: "Oh, inilah tuhanku."

     Akan tetapi segera bila bintang itu lenyap dari pandangan mata, berkatalah Nabi Ibrahim: "Aku tidak menyukai tuhan-tuhan yang berubah-ubah tempat dan timbul-tenggelam di angkasa."

     Kemudian dia menunjuk ke arah bulan yang sedang bersinar di ufuk sambil berkata: "Inilah Tuhanku."

     Tetapi segera berbalik ketika bulan itu lenyap ditutupi awan yang gelap dan berucap: "Oh Tuhanku, aku tersesat. Sekiranya Tuhan tidak memberikan hidayah-Nya kepadaku, nescaya aku akan tergelincir masuk ke dalam barisan orang-orang yang derhaka."
   
     Pada esok harinya tatkala melihat matahari bersinar memberi kesegaran hidup di atas bumi berkatalah beliau: "Inilah dia tuhanku yang lebih besar dari yang lain yang patut aku sembah." Akan tetapi di kala matahari itu terbenam di waktu senja, berkatalah Nabi Ibrahim kepada para penyembah bintang-bintang itu: "Sebetulnya kamu telah tersesat dan terbawa oleh ajakan Iblis dengan penyembahanmu kepada bintang-bintang, makhluk yang diciptakan oleh Tuhan Yang Maha Kuasa, yang sepatutnya Dialah yang kamu sembah dan bukan bintang-bintang atau planet-planet ciptaan-Nya. Aku bebas dari sembahan kepada tuhan-tuha yang kamu persekutukannya kepada Allah SWT, Tuhanku Yang Maha Esa, Tuhanku yang menciptakan langit dan bumi, yang kepada-Nya aku hadapkan wajahku dengan tulus ikhlas dan iman serta keyakinan penuh dan bukanlah aku dari orang-orang yang musyrik."

     Para penyembah bintang-bintang itu, melihat bahawa Nabi Ibrahim telah berubah pendirian dan mengingkari ketuhanan bintang-bintang yang mereka sembah, diajaklah beliau untuk berdialog dan berdebat tentang ketuhanan, dengan harapan bahawa mereka dapat menyedarkan Nabi Ibrahim dan mengembalikannya kepada kepercayaan mereka. Nabi Ibrahim menolak ajakan itu, kerana melihat tidak ada manfaatnya, dan berkata: "Kamu ingin aku bermujadalah dengan kamu tentang ketuhanan, krana kamu berharap bahawa aku dapat kamu pengaruhi mengikut kamu dalam sembahanmu yang batil dan tersesat itu. Harapan kamu akan sia-sia belaka dan tidak ada gunanya berdialog dengan aku, kerana Allah SWT telah memberi penerangan dan petunjuk kepadaku ke jalan yang benar dan aqidah yang hak dan murni sesuai dengan fitrah dan martabat manusia sebagai makhluk Tuhan yang utama."


H. Nabi Ibrahim Berada Di Mesir


     Musim kemarau melanda negeri Syam, menjadikan keadaan ladang dan sawah-sawah kering, barang makanan sukar didapati dalam pasaran, kos sara hidup meningkat tinggi dan pencarian nafkah seharian makin sempit, di mana mendorong banyak penduduk berhijrah mencari tempat hidup yang subur, tidak terkecualikan Nabi Ibrahim yang segera meninggalkan Harran berhijrah bersama isterinya Sarah menuju Mesir yang pada waktu itu diperintah oleh seorang raja yang zalim dan kejam.

     Sarah, isteri Nabi Ibrahim adalah seorang wanita yang cantik dan ayu, mempunyai paras yang menarik perhatian ramai lelaki. Raja Mesir yang berhidung belang, yang sangat gemar pada paras cantik dan wajah ayu, mendengar berita kedatangan Nabi Ibrahim dengan seorang wanita yang ayu, dipanggillah beliau menghadap di istana, bersama isterinya.

     Di hadapan raja itu, Nabi Ibrahim mengaku bahawa Sarah adalah saudaranya, bukan isterinya, untuk menghindari pembunuhan yang biasa dilakukan oleh raja ke atas diri setiap suami yang dia inginkan isterinya bila dia tertarik oleh rupa parasnya. Raja itu segera memerintahkan agar Sarah dibawa masuk ke istananya. Sedang Nabi Ibrahim diizinkan pulang seorang diri dengan diliputi oleh rasa sedih dan sayang mengenang nasib isterinya yang harus berjuang melawan kehendak dan nafsu kebinatangan raja yang buas itu. Nabi Ibrahim cukup kenal dengan watak dan sifat-sifat isterinya yang tidak mudah akan terjerumus ke dalam perbuatan maksiat dan dia yakin bahawa isterinya cukup bijaksana untuk mempertahankan kehormatan dirinya dengan modal iman dan takwa yang berada di dalam dadanya, namun Nabi Ibrahim tidak berdiam diri, dia terus menghadap kepada Allah SWT mohon perlindungan bagi isterinya yang dia kasihi dan sayangi.

     Sarah diberinya bilik khusus dengan berperabot mewah. Disediakan pakaian dan perhiasan-perhiasan yang menyilaukan mata, akan tetapi semuanya itu tidak sedikitpun menggerakkan hati Sarah yang sedih memikirkan nasib suaminya dan selalu duduk menyendiri, acuh tak acuh terhadap kemewahan yang mengelilinginya, sambil berdoa mohon perlindungan daripada Allah SWT dari godaan syaitan dan niat jahat raja itu.

     Doa Nabi Ibrahim dan doa isterinya tidaklah disia-siakan oleh Allah SWT yang lebih mengetahui pada siapa Dia menyerahkan amanahNya dan menugaskan risalahNya. Sarah, tidak berapa lama dikembalikan oleh raja kepada suaminya Nabi Ibrahim dalam keadaan bersih, suci, tidak tersentuh oleh tangan raja yang kotor itu, bahkan kepadanya diberi hadiah oleh raja seorang hamba abdi wanita untuk menjadi pembantu rumahtangganya. Hal yang demikian terjadi kerana raja pada suatu malam bermimpi bahawa Sarah sudah bersuami dan harus dikembalikan kepada suaminya tanpa gangguan, dan segera esok harinya dia memerintahkan agar Sarah dipulangkan dan disertai seorang dayang bernama "Hajar" sebagai hadiah dari raja.

     Nabi Ibrahim tinggal di Mesir selama beberapa waktu bersama Nabi Luth, saudaranya, sambil berniaga dan berusaha dalam bidang pertanian dan penternakan, di mana dalam waktu singkat telah dapat memberi hasil dan keuntungan bagi keduanya menjadikan hidup mereka tenang dan tenteram. Hasil pertaniannya berlebih-lebihan dan binatang ternaknya berkembang biak sehingga tidak tertampung dalam kandang dan tempat yang tersedia. Akhirnya perkongsian Ibrahim dan Luth dipecah menjadi dua, masing-masing mendapat separuh dari kekayaan syarikat dan berpisahlah mereka. Nabi Luth pindah ke Sadum di daerah Jordan dan Nabi Ibrahim tetap berada di Mesir di tempat yang lama.

     Perpecahan perkongsian itu, juga untuk menghindari rasa iri hati dari setengah penduduk yang tidak rela melihat kemajuan pesat yang telah berjaya dicapai oleh perkongsian Ibrahim dan Luth itu. Akan tetapi walaupun perkongsian Ibrahim dan Luth telah pecah menjadi dua, penduduk asal negeri Mesir tetap merasa tidak senang dengan kemajuan usaha Nabi Ibrahim, yang mana mereka telah mengganggu ketenangan dan ketenteraman beliau sehingga terpaksalah pada akhirnya meninggalkan Mesir dengan membawa seluruh miliknya berpindah kembali ke Palestin.









N / F : DARIPADA "KISAH-KISAH PARA NABI & RASUL", OLEH ABDULLAH BIN AHMAD MUBARAK.

Tuesday 17 April 2018

NABI IBRAHIM A.S. [ BAHAGIAN 1 ]






NABI IBRAHIM A.S. [ BAHAGIAN 1 ]








A. NASAB Dan Tempat Lahirnya Nabi Ibrahim A.S.


     Nabi Ibrahim A.S. adalah putera Aazar (Tarih) bin Tahur bin Saruj bin Rau' bin Falij bin Aabir bin Syalih bin Arfakhsyad bin Saam bin Nuh A.S.. Dia dilahirkan di sebuah tempat bernama "Faddam A'raam" dalam kerajaan "Babylon" yang pada waktu diperintah oleh seorang raja bernama "Namrud bin Kan'aan".

     Kerajaan Babylon pada masa itu termasuk kerajaan yang makmur, rakyatnya hidup senang, sejahtera dalam keadaan serba-serbi cukup serta dipenuhi dengan kemudahan-kemudahan yang menjadi keperluan pertumbuhan jasmani mereka. Akan tetapi peningkatan hidup rohani mereka masih berada di tahap jahiliyah. Mereka tidak mengenal Tuhan Pencipta mereka yang telah mengurniakan mereka dengan segala kenikmatan dan kebahagiaan duniawi. Mereka menyembah patung-patung yang mereka pahat sendiri dari batu-batu atau diperbuat daripada lumpur dan tanah.

     Raja mereka Namrud bin Kan'aan menjalankan tampuk pemerintahannya secara kuku besi dan kekuasaan mutlak. Semua kehendaknya harus dilaksana dan segala perintahnya merupakan undang-undang yang tidak dapat dilanggar atau ditawar. Kekuasaan yang besar yang berada di tangannya itu dan kemewahan hidup yang berlebih-lebihan yang dia nikmati, lama-kelamaan menjadikan dia tidak puas dengan kedudukannya sebagai raja. Dia merasa dirinya patut disembah oleh rakyatnya sebagai tuhan.

     Dia berfikir, kalau rakyatnya mahu dan rela menyembah patung-patung yang terbina daripada batu, yang tidak dapat memberi manfaat dan mendatangkan kebahagiaan bagi mereka, mengapa bukan dia sahaja yang disembah sebagai tuhan. Dia yang dapat berbicara, dapat mendengar, dapat berfikir, dapat memimpin mereka, membawa kemakmuran bagi mereka dan melepaskan mereka dari kesengsaraan dan kesusahan. Dia yang dapat mengubah orang miskin menjadi kaya dan orang yang hina diangkatnya menjadi orang yang mulia. Di samping itu semuanya, dia adalah raja yang berkuasa dan memiliki negara yang besar dan luas.

     Di tengah-tengah masyarakat yang sedemikian buruknya, lahir dan besarlah Nabi Ibrahim dari seorang ayah yang bekerja sebagai pemahat dan pedagang patung. Dia sebagai calon Rasul dan pesuruh Allah SWT yang akan membawa pelita kebenaran kepada kaumnya. Sejak awal-awal lagi dia telah diilhamkan akal sihat dan fikiran tajam serta kesedaran bahawa apa yang diperbuat oleh kaumnya termasuk ayahnya sendiri, adalah perbuatan yang sesat yang menandakan kebodohan dan kecetekan fikiran dan bahawa sembahan kaumnya kepada patung-patung itu adalah perbuatan mungkar yang harus dibanteras dan diperangi agar mereka kembali kepada sembahan yang benar, iaitu menyembah kepada Tuhan Yang Maha Esa, Tuhan pencipta alam semesta ini.

     Semasa remaja Nabi Ibrahim sering disuruh ayahnya keliling kota menjaja patung-patung buatannya, namun kerana iman dan tauhid yang telah diilhamkan Tuhan kepadanya, dia tidak bersemangat menjajakan barang-barang itu, bahkan secara mengejek dia menawarkan patung-patung ayahnya kepada calon pembeli dengan kata-kata: "Siapakah yang akan membeli patung-patung yang tidak berguna ini?"


B. Nabi Ibrahim A.S. Ingin Melihat Bagaimana Makhluk Yang Sudah Mati Dihidupkan Kembali Oleh Allah SWT


     Nabi Ibrahim yang sudah tetapkan hati, hendak memerangi syirik dan penyembahan berhala yang berlaku dalam masyarakat kaumnya, ingin lebih dahulu mempertebal iman dan keyakinannya, mententeramkan hatinya serta membersihkan dirinya dari keraguan yang mungkin sesekali mengganggu fikirannya dengan memohon kepada Allah SWT supaya diperlihatkan kepadanya bagaimana Dia menghidupkan kembali makhluk-makhluk yang sudah mati.

     Berserulah ia kepada Allah SWT: "Ya Tuhanku! Tunjukkanlah kepadaku, bagaimana Engkau menghidupkan kembali makhluk-makhluk-Mu yang sudah mati." Allah SWT menjawab seruanya dengan berfirman: "Tidakkah engkau beriman dan percaya kepada kekuasaan-Ku?" Nabi Ibrahim menjawab: "Betul wahai Tuhanku, aku telah beriman dan percaya kepada-Mu dan kepada kekuasaan-Mu, sesuai dengan wahyu yang aku telah terima daripada-Mu, namun aku ingin sekali melihat itu dengan mata kepalaku, agar aku mendapat ketenteraman serta ketenangan dalam hatiku dan agar semakin menjadi tebal dan kukuh keyakinanku kepada-Mu dan kepada kekuasaan-Mu."

     Allah memperkenankan permohonan Nabi Ibrahim A.S., lalu diperintahkanlah dia menangkap empat ekor burung, lalu setelah memperhatikan dan meneliti bahagian tubuh-tubuh burung itu, memotongnya menjadi berkeping-keping, mencampur-baurkan, kemudian tubuh empat ekor burung yang sudah hancur lulur dan bercampur-baur itu dibahagi menjadi empat bahagian, setiap bahagian diletakkan di atas puncak setiap bukit dari empat bukit yang letaknya berjauhan satu dari yang lain.

     Setelah dikerjakan apa yang telah diisyaratkan oleh Allah SWT itu, diperintahnya Nabi Ibrahim memanggil burung-burung yang sudah terkoyak-koyak tubuhnya dan terpisah jauh tiap-tiap bahagian tubuh burung dari bahagian yang lain.

     Dengan izin Allah SWT dan kuasa-Nya datanglah berterbangan empat ekor burung itu dalam keadaan bernyawa seperti sediakala, sebaik saja mendengar seruan dan panggilan Nabi Ibrahim kepadanya, lalu hinggaplah empat ekor burung yang hidup kembali itu di hadapannya, dilihat dengan mata kepalanya sendiri bagaimana Allah SWT Yang Maha Kuasa dapat menghidupkan kembali makhluk-Nya yang sudah mati sebagaimana Dia menciptakannya dari sesuatu yang diinginkan oleh Nabi Ibrahim untuk mententeramkan hatinya dan menghilangkan kemungkinan ada keraguan di dalam iman dan keyakinannya, bahawa kekuasaan dan kehendak Allah SWT tidak ada sesuatu pun di langit atau di bumi yang dapat menghalangi atau menentangnya dan hanya dengan kata "Kun" yang difirmankan oleh-Nya terjadilah apa yang dikehendaki "Fayakun".


C. Nabi Ibrahim Berdakwah Kepada Ayah Kandungnya


     Azar, ayah Nabi Ibrahim, tidak terkecuali sebagaimana kaumnya yang lain, bertuhan dan menyembah berhala, bahkan dia adalah pedagang dari patung-patung yang dibuat dan dipahatnya sendiri dan daripadanya orang membeli patung-patung yang dijadikan sembahan.

     Nabi Ibrahim merasa bahawa kewajipan pertama yang dia harus dilakukan sebelum berdakwah kepada orang lain ialah menyedarkan ayah kandungnya, orang yang terdekat kepadanya, bahawa kepercayaan dan sembahannya kepada patung berhala itu adalah perbuatan yang sesat dan bodoh. Beliau merasa bahawa kebaktian kepada ayahnya mewajibkannya memberi penerangan kepadanya agar melepaskan kepercayaan yang sesat itu dan mengikutinya beriman kepada Allah SWT Yang Maha Esa.

     Dengan sikap yang sopan dan adab yang patut ditunjukkan oleh seorang anak terhadap orang tuanya dan dengan kata-kata yang halus dia datang kepada ayahnya, menyampaikan bahawa dia diutus oleh Allah SWT sebagai Nabi dan Rasul dan bahawa dia telah diilhami dengan pengetahuan dan ilmu yang tidak dimiliki oleh ayahnya. Dia bertanya kepada ayahnya dengan lemah-lembut, gerangan apakah yang mendorongnya untuk menyembah berhala seperti lain-lain kaumnya, padahal dia mengetahui bahawa patung berhala itu tidak berguna sedikit pun, tidak dapat mendatangkan keuntungan bagi penyembahnya atau mencegah kerugian atau musibah.

     Diterangkan pula kepada ayahnya bahawa penyembahan kepada patung berhala itu adalah semata-mata ajaran syaitan yang memang menjadi musuh manusia sejak Adam diturunkan ke bumi. Dia berseru kepada ayahnya agar merenungkan dan memikirkan nasihat dan ajakannya berpaling dari berhala dan kembali menyembah kepada Allah SWT yang menciptakan manusia dan semua makhluk yang dihidupkan, memberi mereka rexeki dan kenikmatan hidup serta menguasakan bumi dengan segala isinya kepada manusia.

     Azar menjadi merah mukanya dan terbeliak matanya mendengar kata-kata seruan puteranya, Nabi Ibrahim yang ditanggapinya sebagai telah berdosa dan bahawa puteranya telah berani mengecam dan menghina kepercayaan ayahnya, bahkan mengajaknya untuk meninggalkan kepercayaan itu dan menganut kepercayaan dan agama yang dia bawa. Dia tidak dapat menyembunyikan murka dan marahnya tetapi dinyatakannya dengan kata-kata yanf kasar dan dalam maki hamun, seakan-akan tidak ada hubungan apa-apa antara dia dan puteranya Nabi Ibrahim. Dia berkata kepada Nabi Ibrahim dengan nada gusar: "Hai Ibrahim! Berpalingkah engkau daripada kepercayaan dan sembahanku? Dan kepercayaan apakah yang engkau berikan kepadaku yang menggesa aku untuk menganutnya? Janganlah engkau membangkitkan amarahku dan cuba menderhakaiku. Jika engkau tidak menghentikan penyelewenganmu dari agama ayahmu dan tidak engkau hentikan usahamu dari mengecam dan memburuk-burukkan sembahanku, maka keluarlah engkau dari rumahku ini. Aku tidak sudi bercampur denganmu di dalm suatu rumah di bawah suatu atap. Pergilah engkau dari pandanganku sebelum aku menimpamu dengan batu dan mencederakan engkau."

     Nabi Ibrahim menerima kemarahan ayahnya, pengusirannya dan kata-kata kasarnya dengan sikap tenang, normal selaku anak terhadap ayah sampai berkata: "Oh ayahku! Semoga engkau selamat, aku akan tetap memohonkan keampunan bagimu dari Allah SWT dan akan meninggalkan kamu dengan sembahan selain kepada Allah SWT mudah-mudahan aku tidak menjadi orang yang celaka dan malang dengan doaku untukmu." Lalu keluarlah Nabi Ibrahim meninggalkan rumah ayahnya dalam keadaan sedih dan prihatin kerana tidak berjaya membawa keluar ayahnya dari lembah syirik dan kufur.


D. Nabi Ibrahim Menghancurkan Berhala-Berhala


     Kegagalan Nabi Ibrahim dalam usahanya untuk menyedarkan ayahnya yang sesat itu sangat menusuk hatinya, kerana dia sebagai putera yang baik, ingin sekali melihat ayahnya berada dalam jalan yang benar keluar dari lembah kesesatan dan syirik, namun dia sedar bahawa hidayah itu adalah di tangan Allah SWT, dan bagaimana pun dia ingin dengan sepenuh hatinya agar ayahnya mendapat hidayah, tetapi sia-sia sahaja keinginan dan usahanya.

     Penolakan ayahnya terhadap dakwahnya dengan cara yang kasar dan kejam itu, tidak sedikit pun mempengaruhi ketetapan hatinya dan melemahkan semangatnya untuk berjalan terus memberi penerangan kepada kaumnya untuk menyapu bersih sembahan-sembahan yang batil dan kepercayaan-kepercayaan yang bertentangan dengan tauhid dan beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya.

     Nabi Ibrahim tidak henti-henti dalam tiap kesempatan mengajak kaumnya berdialog dan bermujadalah tetang kepercayaan yang mereka yakini dan ajaran yang dia bawa. Dan ternyata bahawa bila mereka sudah tidak berdaya menolak dan menyanggah alasan-alasan dan dalil-dalil yang dikemukakan oleh Nabi Ibrahim tentang kebenaran ajarannya dan kebatilan kepercayaan mereka, maka dalil dan alasan yang usanglah yang mereka kemukakan, iaitu bahawa mereka hanya meneruskan apa yang bapa-bapa dan nenek-moyang mereka lakukan dan sekali-kali mereka tidak akan melepaskan kepercayaan dan agama yang telah mereka warisi.

     Nabi Ibrahim pada akhirnya rasa tidak bermanfaat lagi berdebat dan bermujadalah dengan kaumnya yang berkepala batu dan yang tidak mahu menerima keterangan dan bukti-bukti nyata yang dikemukakan oleh beliau dan selalu berpegang pada satu-satunya alasan, bahawa mereka tidak akan menyimpang dari cara sembahan nenek-moyang mereka, walaupun Nabi Ibrahim dinyatakan berkali-kali bahawa mereka dan bapa-bapa mereka keliru dan telah tersesat mengikuti jejak syaitan dan iblis.

     Nabi Ibrahim kemudian merancang akan membuktikan kepada kaumnya dengan perbuatan yang nyata, yang dapat mereka lihat dengan mata kepala, bahawa berhala-berhala dan patung-patung mereka betul-betul tidak berguna bagi mereka dan bahkan tidak dapat menyelamatkan dirinya sendiri.

     Adalah sudah menjadi tradisi dan kebiasaan penduduk kerajaan Babylon, bahawa pada setiap tahun mereka keluar kota beramai-ramai pada suatu hari raya yang mereka anggap sebagai keramat. Berhari-hari mereka tinggal di luar kota di suatu padang terbuka, berkhemah dengan membawa bekal makanan dan minuman yang cukup. Mereka bersukaria dan bersenang-senang sambil meninggalkan kota-kota mereka kosong dan sunyi. Mereka berseru dan mengajak semua penduduk agar keluar meninggalkan rumah dan turut beramai-ramai menghormati hari-hari suci itu. Nabi Ibrahim yang juga dipelawa turut serta, berlagak pura-pura sakit dan diizinkan dia tinggal di rumah, apalagi mereka merasa khuatir bahawa penyakit Nabi Ibrahim yang dibuat-buat itu dapat menular dan berjangkit di kalangan mereka bila dia turut serta.

     "Inilah dia kesempatan yang kunantikan," kata hati Nabi Ibrahim tatkala melihat kota sudah kosong dari penduduknya, sunyi-sepi tidak terdengar kecuali suara burung-burung yang berkicau, suara daun-daun pohon yang gemersik ditiup angin kencang. Dengan membawa sebuah kapak di tangannya dia pergi menuju tempat peribadatan kaumnya yang sudah ditinggalkan tanpa penjaga, tanpa juru kunci dan hanya deretan patung-patung yang terlihat di serambi tempat peribadatan itu. Sambil menujuk kepada bunga-bunga dan makanan yang berada di tiap kaki patung, berkatalah Nabi Ibrahim, mengejek: "Mengapa kamu tidak makan makanan yang lazat yang disajikan bagi kamu ini? Jawablah aku dan berkatalah kamu."

     Kemudian disepak, ditamparlah patung-patung itu dan dihancurkannya dengan kapak yang berada di tangannya. Patung yang terbesar ditinggalkan utuh, tidak diganggu, dan pada lehernya dikalungkanlah kapak Nabi Ibrahim itu.

     Terperanjat dan terkejutlah para penduduk, tatkala pulang dari berpesta ria di luar kota, dia melihat keadaan patung-patung, tuhan-tuhan mereka sudah hancur bertaburan dan menjadi bongkak kecil berselerakan di atas lantai. Bertanya antara satu kepada yang lain dengan nada hairan dan takjub. Gerangan siapakah yang telah berani melakukan perbuatan yang jahat dan keji ini terhadap tuhan-tuhan sembahan kita dan pujaan kami ini.

     Berkata seorang daripada mereka: "Ada kemungkinan bahawa orang yang selalu mengolok-olok dan mengejek persembahan kami yang bernama Ibrahim itulah yang melakukan perbuatan yang berani ini."

     Seorang daripada mereka pun menambah keterangan dengan berkata: "Bahkan pasti dialah yang berbuat, kerana dia adalah satu-satunya orang yang tinggal di kota sewaktu kami semua berada di luar merayakan hari suci dan keramat itu."

     Selidik punya selidik, akhirnya terdapat kepastian yang tidak diragukan, bahawa Ibrahimlah yang merosakkan dan memusnahkan patung-patung itu. Rakyat kota ramai membicarakan kejadian yang dianggap suatu penghinaan yang tidak dapat diampuni terhadap kepercayaan dan sembahan mereka. Suara marah dan kutukan terdengar dari setiap penjuru, yang menuntut agar si pelaku dihukum dengan hukuman yang berat setimpal dengan dosa besar yang telah dilakukan. Mereka menuntut agar si pelaku diminta bertanggungjawab dalam suatu pengadilan terbukan, di mana seluruh rakyat penduduk kota dapat turut serta menyaksikannya.

     Dan memang itulah yang diharapkan oleh Nabi Ibrahim, agar pengadilannya dilakukan secara terbuka di mana semua masyarakat dapat turut menyaksikannya. Kerana dengan cara demikian, beliau dapat secara terang-terangan dapat berdakwah dan menyerang kepercayaan kaumnya yang batil dan sesat, sambil menerangkan kebenaran agama dan kepercayaan yang ia bawa, kalau-kalau di antara yang hadir ada yang masih boleh diharap terbuka hatinya bagi iman dari tauhid yang ia ajarkan dan dakwahkan.

     Hari pengadilan ditentukan dan datanglah rakyat dari segala pelusuk berduyun-duyun mengunjungi padang terbuka yang disediakan bagi sidang pengadilan itu.

     Ketika Nabi Ibrahim datang menghadap para hakim yang akan mengadilinya, dia disambut oleh para hadirin dengan teriakan kutukan dan cercaan, menandakan sangat gusarnya para penyembah berhala terhadap beliau yang telah berani menghancurkan persembahan mereka.

     Ditanyalah Nabi Ibrahim oleh para hakim: "Apakah engkau yang melakukan penghancuran dan merosakkan tuhan-tuhan kami."

     Dengan tenang dan sikap dingin, Nabi Ibrahim menjawab: "Patung besar yang berkalung kapak di lehernya itulah yang melakukannya. Cuba tanya sahaja kepada patung-patung itu siapakah yang menghancurkannya."

     Para hakim yang menanya terdiam sejenak sambil melihat yang satu kepada yang lain dan berbisik-bisik, seakan-akan berunding apa yang harus dikatakan sebagai jawapan ke atas kata-kata Ibrahim yang mengandungi ejekan itu. Kemudian berkatalah si hakim: "Bukankah engkau tahu bahawa patung-patung itu tidak dapat bercakap dan berkata, mengapa engkau minta kami bertanya kepadanya?"

     Tibalah masanya yang dinanti-nantikan oleh Nabi Ibrahim maka sebagai jawapan atas pertanyaan yang terakhir dari hakim itu beliau berpidato membentangkan kebatilan sembahan mereka, yang mereka pertahankan bermati-matian, semata-mata hanya kerana adat itu adalah warisan nenek-moyang.

     Berkata Nabi Ibrahim kepada para hakim itu: "Jika demikian halnya, mengapa kamu sembah patung-patung itu, yang tidak dapat berkata, tidak dapat melihat dan tidak dapat mendengar, tidak dapat membawa manfaat atau menolak mudarat, bahkan tidak dapat menolong dirinya dari kehancuran dan kebinasaan? Alangkah bodohnya kamu dengan kepercayaan dan sembahan kamu itu! Tidakkah kamu dapat berfikir dengan akal yang sihat, bahawa sembahan kamu adalah perbuatan yang keliru yang hanya difahami oleh syaitan. Mengapa kamu tidak menyembah Tuhan yang menciptakan kamu, menciptakan alam sekeliling kamu dan menguasakan kamu di atas bumi dengan segala isi dan kekayaan. Alangkah hinanya kamu dengan sembahan kamu itu."

     Setelah selesai Nabi Ibrahim menghuraikan ceramahnya, para hakim menetapkan keputusannya bahawa Nabi Ibrahim harus dibakar hidup-hidup sebagai ganjaran atas perbuatannya menghina dan menghancurkan tuhan-tuhan mereka, maka berserulah para hakim kepada rakyat yang hadir menyaksikan pengadilan itu: "Bakarlah dia dan belalah tuhan-tuhanmu jika kamu benar-benar setia kepadanya."









N / F : DARIPADA "KISAH-KISAH PARA NABI & RASUL", OLEH ABDULLAH BIN AHMAD MUBARAK.