Tuesday 3 April 2018

HABIL & QABIL PUTERA ADAM A.S. [ BAHAGIAN 1 ]






HABIL & QABIL PUTERA ADAM A.S.








TATACARA hidup suami isteri Adam dan Hawa di bumi mulai tertib dan sempurna tatkala Hawa bersedia untuk melahirkan anak-anaknya yang akan menjadi benih pertama bagi umat manusia di dunia ini.

     Siti Hawa melahirkan kembar dua pasang. Pertama lahirlah pasangan Qabil dan adik perempuannya yang diberi nama "Iqlima", kemudian menyusul pasangan kembar kedua Habil dan adik perempuannya yang diberi nama "Lubuda".

     Kedua orang tua, Nabi Adam dan Siti Hawa, menerima kelahirkan keempat putera-puterinya itu dengan senang dan gembira, walaupun Hawa telah menderita apa yang lumrahnya diderita oleh setiap ibu yang melahirkan bayinya. Mereka mengharapkan dari keempat anak pertamanya ini akan melahirkan anak cucu yang akan berkembang biak untuk mengisi bumi Allah SWT dan menguasainya sesuai dengan amanah yang telah dibebankan di atas bahunya.

     Di bawah naungan ayah ibunya yang penuh cinta dan kasih sayang, maka membesarlah keempat-empat anak itu dengan cepatnya melalui masa kanak-kanak dan menginjak masa remaja. Yang perempuan sesuai dengan qudrat dan fitrahnya menolong ibunya mengurus rumah tangga dan melakukan hal-hal yang menjadi tugas wanita, sedang yang lelaki masing-masing menempuh jalannya sendiri mencari nafkah untuk memenuhi keperluan hidupnya. Qabil berusaha dalam bidang pertanian, sedang Habil di bidang penternakan.

     Penghidupan sehari-hari keluarga Adam dan Hawa berjalan tertib, sempurna diliputi oleh rasa kasih sayang, saling cinta-menyintai, hormat-menghormati, masing-masing meletakkan dirinya dalam kedudukan yang wajar, si ayah terhadap si isteri dan putera-puterinya, si isteri terhadap suami dan anak-anaknya. Demikian pula pergaulan di antara keempat bersaudara berlaku dalam harmoni damai dan tenang, saling bantu-membantu, hormat-menghormati dan bergotong-royong.


A. Keempat Anak Adam Memasuki Masa Remaja


     Keempat putera-puteri Adam mencapai usia remaja dan memasuki masa akil baligh, di mana nafsu berahi dan syahwat serta hajat kepada hubungan kelamin makin hari makin nyata dan nampak pada gaya dan sikap mereka, hal mana menjadi pemikiran kedua orang tuanya dengan cara bagaimana menyalurkan nafsu berahi dan syahwat itu agar terjaga kemurnian keturunan dan menghindari hubungan kelamin yang bebas di antara putera-puterinya.

     Kepada Nabi Adam, Allah SWT memberi ilham dan petunjuk, agar kedua puteranya dikahwinkan dengan kedua puterinya. Qabil dikahwinkan dengan adik Habil yang bernama Lubuda dan Habil dengan adik Qabil yang bernama Iqlima.

     Cara yang telah diilhamkan oleh Allah SWT kepada Nabi Adam A.S. disampaikan kepada kedua puteranya sebagai keputusan si ayah yang harus dipatuhi dan segera dilaksanakan untuk menjaga dan mengekalkan suasana damai dan tenang yang meliputi keluarga dan rumah tangga mereka. Akan tetapi dengan tiada diduga dan disangka, rancangan yang diputuskan itu ditolak mentah-mentah oleh Qabil dan menyatakan bahawa dia tidak mahu mengahwini Lubuda, adik Habil, dengan mengemukakan alasan bahawa Lubuda adalah buruk dan tidak secantiknya adiknya sendiri Iqlima.

     Dia berpendapat bahawa dia lebih patut mempersuntingkan adiknya sendiri Iqlima sebagai isteri dan sekali-kali ia tidak rela menyerahkannya untuk dikahwini oleh Habil. Dan memang demikianlah kecantikan dan keelokan paras wanita selalu menjadi fitnah dan rebutan lelaki yang kadang-kadang menjurus kepada pertentangan dan permusuhan yang sampai mengakibatkan hilangnya nyawa dan timbulnya rasa dendam dan dengki di antara sesama keluarga dan sesama suku.

     Kerana Qabil tetap berkeras kepala tidak mahu menerima keputusan ayahnya dan meminta supaya dikahwinkan dengan adik kembarnya sendiri, Iqlima, maka Nabi Adam A.S. untuk menghindari penggunaan kekerasan atau paksaan yang dapat menimbulkan perpecahan di antara sesama saudara, serta mengganggu suasana damai yang meliputi keluarga beliau secara bijaksana mengusulkan agar menyerahkan masalah perjodohan itu kepada Tuhan untuk menentukannya. Caranya ialah bahawa masing-masing dari Qabil dan Habil harus menyerahkan korban kepada Tuhan, dengan ketentuan bahawa barangsiapa di antara kedua saudara itu diterima korbannya, dialah yang berhak menentukan pilihan jodohnya.

     Qabil dan Habil menerima dengan baik jalan penyelesaian yang ditawarkan oleh ayahnya. Habil keluar dan kembali membawa seekor kambing yang paling dicintai di antara binatang-binatang peliharanya, sedang Qabil datang dengan sekarung gandum yang dipilihnya dari hasil cucuk tanamnya yang rosak dan busuk, kemudian diletakkanlah kedua korban itu, kambing Habil dan gandum Qabil, di atas sebuah bukit, lalu pergilah keduanya menyaksikan dari jauh apa yang akan terjadi atas dua jenis korban itu.

     Kemudian dengan disaksikan oleh seluruh anggota keluarga Adam yang menantikan dengan hati berdebar apa yang akan terjadi di atas bukit di mana kedua korban itu diletakkan, terlihatlah api besar yang turun dari langit menyambar kambing, binatang korban Habil, yang seketika itu musnah disambar oleh api, sedang karung gandum kepunyaan Qabil tidak tersentuh sedikit pun oleh api dan tetap tinggal utuh.

     Maka dengan demikian keluarlah Habil sebagai pemenang dalam pertaruhan itu kerana korbannya kambingnya telah diterima oleh Allah SWT sehingga dialah yang mendapat keutamaan untuk memilih siapakah di antara kedua gadis, saudaranya itu yang akan disunting untuk menjadi isterinya.


B. Pembunuhan Pertama Dalam Sejarah Manusia


     Dengan telah jatuhnya keputusan dari langit yang menerima korban Habil dan menolak korban Qabil, maka pudarlah harapan Qabil untuk mempersuntingkan Iqlima. Dia tidak puas hati dengan keputusan itu, namun tidak ada jalan untuk menolaknya. Dia menyerah dan menerimanya dengan rasa kesal dan marah sambil menaruh dendam terhadap Habil yang akan dibunuhnya di kala ayahnya tidak ada.

     Ketika Adam hendak pergi dan meninggalkan rumah, beliau mengamanahkan rumah tangga dan keluarganya kepada Qabil. Dia berpesan kepadanya agar menjaga baik-baik ibu dan saudara-saudaranya selama dia tidak ada di rumah. Dia berpesan pula agar kerukunan keluarga dan ketenangan rumah tangga terpelihara sebaik-baik, jangan sampai terjadi hal-hal yang mengeruhkan suasana atau merosakkan hubungan kekeluargaan yang sudah akrab dan harmoni.

     Qabil menerima pesanan dan amanah ayahnya dengan kesanggupan akan berusaha sekuat tenaga menyelenggarakan amanah ayahnya dengan sebaik-baiknya dan sempurnakannya dan menjamin bahawa bila ayahnya pulang dari kepergiannya akan mendapatkan segala sesuatu dalam keadaan baik dan menyenangkan.

     Demikianlah kata-kata dan janji yang keluar dari mulut Qabil, namun dalam hatinya dia berkata bahawa dia telah diberi kesempatan yang baik untuk melaksanakan niat jahatnya dan melepaskan rasa dendam dan dengkinya terhadap Habil saudaranya.

     Tidak lama setelah Adam meninggalkan keluarganya, datanglah Qabil menemui Habil di tempat penternakannya. Berkata dia kepada Habil: "Aku datang ke mari untuk membunuhmu. Masanya telah tiba untuk aku lenyapkan engkau dari atas bumi ini."

     "Apakah salahku?" tanya Habil. "Dan dengan alasan apakah engkau hendak membunuhku?"

     Qabil berkata: "Ialah kerana korbanmu diterima oleh Allah SWT, sedang korbanku ditolak, yang bererti bahawa engkau akan mengahwini adikku Iqlima yang cantik molek itu dan aku harus mengahwini adikmu yang buruk dan tidak mempunyai gaya yang menarik itu."

     Habil berkata: "Adakah aku berdosa, bahawa Allah SWT telah menerima korbanku dan menolak korbanmu? Tidakkah engkau telah menyetujui cara penyelesaian yang diusulkan oleh ayah sebagaimana telah kami laksanakan? Janganlah tergesa-gesa, wahai saudaraku, memperturutkan hawa nafsu dan hasutan syaitan! Kawallah perasaanmu dan fikirlah masak-masak akan akibat perbuatanmu kelak! Ketahuilah bahawa Allah SWT hanya menerima korban dari orang-orang yang bertakwa yang menyerahkan korbannya dengan tulus ikhlas dari hati yang suci dan niat yang murni. Adalah mungkin sekali bahawa korban yang engkau serahkan itu, engkau pilihkannya dari gandummu yang telah rosak dan busuk dan engkau berikannya secara terpaksa bertentangan dengan kehendak hatimu, sehingga ditolaknya oleh Allah SWT, berlainan dengan kambing yang aku serahkan sebagai korban, yang sengaja aku pilihkan daripada ternakanku yang paling sihat dan paling sayangi, dan kuserahkannya dengan tulus ikhlas disertai permohonan dapat diterimanya oleh Allah SWT.

     Renungkanlah, wahai saudaraku, kata-kataku ini dan buangkanlah niat jahatmu yang telah dibisikkan kepadamu oleh Iblis itu, musuh yang telah menyebabkan turunnya ayah dan ibu dari syurga, dan ketahuilah bahawa jika engkau tetap berkeras kepada hendak membunuhku, tidaklah akan aku angkat tanganku untuk membalasmu, kerana aku takut kepada Allah SWT dan tidak akan melakukan sesuatu yang tidak diredhainya. Aku hanya berserah diri kepada-Nya dan kepada apa yang akan ditakdirkan bagi diriku."

     Nasihat dan kata-kata mutiara Habil itu didengar oleh Qabil, namun masuk telinga kanan dan keluar dari telinga kiri dan sekali-kali tidak sampai menyentuh lubuk hatinya yang penuh rasa dengki dendam dan iri hati, sehingga tidak ada tempat lagi bagi rasa damai cinta dan kasih sayang kepada saudara kandungnya. Qabil yang dikendalikan oleh Iblis, tidak diberinya kesempatan untuk menoleh ke belakang mempertimbangkan kembali tindakan jahat yang dirancangkan terhadap saudaranya, bahkan bila api dendam dan dengki di dalam dadanya mulai akan padam, dikipasinya kembali oleh Iblis agar tetap menyala-nyala dan ketika Qabil bingung tidak tahu bagaimana di harus membunuh Habil saudaranya, menjelmalah Iblis dengan seekor burung yang dipukul kepalanya dengan batu sampai mati. Contoh yang diberikan oleh Iblis itu diterapkannya atas diri Habil ketika dia tidur dengan nyenyaknya dan jatuhlah Habil sebagai korban keganasan saudara kandungnya sendiri dan sebagai korban pembunuhan pertama dalam sejarah manusia.









N / F : DARIPADA "KISAH-KISAH PARA NABI & RASUL", OLEH ABDULLAH BIN AHMAD MUBARAK.

No comments:

Post a Comment