Sunday 1 April 2018

NABI ADAM A.S. [ BAHAGIAN 2 ( AKHIR ) ]






NABI ADAM A.S. ( BAHAGIAN 2 )








E. IBLIS MULAI BERAKSI


     Sesuai dengan ancaman yang diucapkan ketika diusir oleh Allah SWT. dari syurga akibat pembangkangannya dan terdorong pula oleh rasa iri hati dan dengki terhadap Adam yang menjadi sebab sampai dia terkutuk dan terlaknat selama-lamanya, tersingkir dari singgahsana kebesarannya. Iblis mulai menunjukkan rancangan penyesatannya kepada Adam dan Hawa yang sedang hidup berdua di syurga yang tenteram, damai dan bahagia.

     Dia menyatakan kepada mereka bahawa dia adalah kawan mereka dan ingin memberi nasihat dan petunjuk untuk kebaikan dan mengekalkan kebahagiaan mereka. Segala cara dan kata-kata halus digunakan oleh Iblis untuk mendapat kepercayaan Adam dan Hawa bahawa dia betul-betul jujur dalam nasihat-nasihat dan petunjuk-petunjuknya kepada mereka. Dia membisikkan kepada mereka bahawa larangan Tuhan kepada mereka memakan buah-buah yang ditunjuk itu adalah kerana dengan memakan buah-buah yang ditunjuk itu adalah kerana dengan memakan buah itu mereka akan menjelma menjadi malaikat dan akan hidup kekal. Diulang-ulangilah pujukannya dengan menunjukkan akan harumnya bau pohon yang dilarang, indah bentuk buahnya dan lazat rasanya. Sehingga pada akhirnya termakanlah pujukan yang halus itu oleh Adam dan Hawa dan mengingkari larangan Tuhan.

     Allah SWT mencela perbuatan mereka itu dan berfirman yang bermaksud:

"Tidakkah Aku mencegah kamu mendekati pohon itu dan memakan dari buahnya dan tidakkah aku telah ingatkan kamu bahawa syaitan itu adalah musuhmu yang nyata."

     Adam dan Hawa mendengar firman Allah SWT itu, sedarlah bahawa mereka telah melanggar perintah Allah SWT dan bahawa mereka telah melakukan suatu kesalahan dan dosa yang besar. Sambil menyesal berkatalah mereka: "Wahai Tuhan kami! Kami telah menganiaya diri kami sendiri dan telah melanggar perintah-Mu kerana terkena pujukan Iblis. Ampunilah dosa kami kerana nescaya kami akan tergolong orang-orang yang rugi bila Engkau tidak mengampuni dan mengasihi kami."


F. Adam Dan Hawa Diturunkan Ke Bumi


     Allah SWT telah menerima taubat Adam dan Hawa serta mengampuni perbuatan pelanggaran yang mereka telah lakukan. Hal ini telah melegakan dada mereka dan menghilangkan rasa sedih akibat kelalaian peringatan Tuhan tentang Iblis sehingga terjerumus menjadi mangsa pujukan dan rayuannya yang manis namun beracun itu.

     Adam dan Hawa merasa tenteram kembali setelah menerima pengampunan dari Allah SWT dan selanjutnya akan menjaga, jangan sampai tertipu lagi oleh Iblis dan akan berusaha agar pelanggaran, yang telah dilakukan dan menimbulkan murka dan teguran Tuhan itu menjadi pengajaran bagi mereka berdua untuk lebih berhati-hati menghadapi tipu daya dan pujukan Iblis yang terlaknat itu.

     Harapan akan tinggal terus di syurga telah pudar kerana perbuatan pelanggaran perintah Allah SWT, hidup kembali dalam hati dan fikiran Adam dan Hawa yang merasai kenikmatan dan kebahagiaan hidup mereka di syurga tidak akan terganggu oleh sesuatu dan bahawa redha Allah SWT serta rahmat-Nya akan tetap melimpah di atas mereka untuk selama-lamanya.

     Akan tetapi Allah SWT telah menentukan dalam takdir-Nya apa yang tidak terlintas dalam hati dan tidak terfikirkan oleh mereka. Allah SWT yang telah menentukan dalam takdir-Nya bahawa bumi yang penuh dengan tanda kebesaran dan keagungan Tuhan, penuh dengan kekayaan untuk dikelolanya, akan dikuaskaan kepada manusia, keturunan Adam, memerintahkan Adam dna Hawa turun ke bumi sebagai benih pertama dari hamba-hamba-Nya yang bernama manusia itu. Berfirmanlah Allah SWT kepada mereka: 

"Turunlah kamu ke bumi, sebahagian daripada kamu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain, kamu dapat tinggal tetap dan hidup di sana sampai waktu yang telah ditentukan."

     Turunlah Adam dan Hawa ke bumi menghadapi cara hidup baru yang jauh berlainan dengan hidup di syurga yang pernah dialami dan yang tidak akan berulang kembali. Mereka menempuh hidup di dunia yang fana ini dengan suka dan dukanya dan akan menurunkan umat manusia yang beraneka ragam sifat dan tabiatnya, berbeza-beza warna kulitnya dan kecerdasan otaknya.

     Umat manusia yang akan berkelompok menjadi suku-suku dan bangsa-bangsa, di mana yang satu menjadi musuh bagi yang lain, saling bunuh-membunuh, aniaya-menganiaya dan tindas-menindas, sehingga dari waktu ke waktu Allah SWT mengutuskan nabi-nabi-Nya dan rasul-rasul-Nya, memimpin hamba-hamba-Nya ke jalan yang lurus penuh damai kasih sayang di antara sesama manusia, jalan yang menuju kepada redha-Nya dan kebahagiaan manusia di dunia dan akhirat.


G. Kisah Adam Dalam Al-Quran


     Al-Quran menceritakan kisah Adam dalam beberapa surah di antaranya (surah Al-Baqarah, ayat 30-38) sebagai berikut:

Ertinya:

"Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." Mereka berkata: "Adakah Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan menyucikanMu?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui." Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya, kemudian mengemukakan kepada para malaikat, lalu berfirman: "Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda itu jika kamu memang golongan yang benar!" Mereka menjawab: "Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain dari apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami, sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana." Allah berfirman: "Wahai Adam, terangkanlah kepada mereka nama benda-benda ini!" Maka setelah diterangkan kepada mereka nama benda-benda itu, Allah berfirman: "Bukankah Aku sudah katakan kepadamu bahawa sesungguhnya Aku mengetahui rahsia langit dan bumi dan mengetahui apa yang kamu zahirkan dan apa yang kamu sembunyikan?" Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam!" Maka sujudlah mereka kecuali iblis, ia enggan dan takbur dan ia termasuk golongan orang yang kafir. Dan Kami berfirman: "Wahai Adam, tinggallah engkau dan isterimu di syurga ini dan makanlah makanannya yang banyak lagi baik di mana saja yang kamu sukai dan janganlah kamu mendekati pohon ini yang menyebabkan kamu termasuk orang yang zalim." Lalu keduanya digelincirkan (diperdaya) oleh syaitan dari syurga itu dan dikeluarkan dari keadaan asal dan Kami berfirman: "Turunlah kamu! Sebahagian kamu menjadi musuh bagi yang lain dan bagi kamu ada ada tempat kediaman di bumi dan kesenangan hidup sampai waktu yang ditentukan." Kemudian Adam menerima beberapa kalimah dari Tuhannya, maka Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang. Kami berfirman: "Turunlah kamu semua dari syurga itu! Kemudian jika datang petunjukKu kepada kamu, maka sesiapa yang mengikuti petunjukKu, nescaya tidak ada kebimbangan atas mereka dan tidak (pula) mereka berdukacita." (Surah Al-Baqarah: 30-38)

     Dan surah Al-A'raf ayat 11-25 yang bermaksud:

Ertinya:

"Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu (Adam), lalu Kami bentuk tubuh(mu), kemudian Kami berfirman kepada para malaikat: "Bersujudlah kamu kepada Adam", maka mereka pun bersujud kecuali Iblis. Ia (iblis) tidak termasuk mereka yang bersujud. Allah berfirman: "Apakah yang menghalangmu untuk bersujud (kepada Adam) pada waktu Aku menyuruhmu?" Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripada dia. Kamu ciptakan aku daripada api, sedangkan dia kamu ciptakan daripada tanah." Allah berfirman: "Turunlah kamu dari syurga itu; kerana kamu tidak sepatutnya menyombong diri di dalamnya. Maka keluarlah! Sesungguhnya kamu termasuk makhluk yang hina." Iblis menjawab: "Berilah tempoh kepadaku sampai waktu sampai dibangkitkan." Allah berfirman: "Sesungguhnya engkau termasuk emreka yang diberi tempoh." Iblis menjawab: "Kerana Engkau telah menghukum aku sebagai sesat, aku benar-benar akan (menghalang) mereka dari jalanMu yang lurus. Kemudian aku akan mendatangi mereka dari depan dan belakang mereka, dari kanan dan kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakn mereka bersyukur (taat)." Allah berfirman: "Keluarlah dari syurga itu sebagai makhluk terhina lagi terusir! Sesungguhnya barang siapa di kalangan mereka ada yang mengikutimu, pasti Aku akan isikan neraka Jahannam dengan kamu semuanya." (Dan Allah berfirman): "Wahai Adam! Tinggallah kamu dan isterimu di dalam syurga dan makanlah olehmu berdua (buah-buahan) di mana saja yang kamu berdua suka. Dan janganlah kamu berdua mendekati pohon ini, jika tidak, jadilah kamu berdua termasuk orang yang zalim." Kemudian syaitan (iblis) membisikkan fikiran jahat kepada keduanya untuk menampakkan kepada keduanya apa yang tertutup daripada mereka, iaitu auratnya dan iblis berkata: "Tuhan kamu tidak melarang kamu daripada mendekati pohon ini, melainkan (kerana Dia tidak suka kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi orang yang kekal (dalam syurga)." Dan ia (iblis) bersumpah kepada keduanya: "Sesungguhnya aku adalah pemberi nasihat kepada kamu berdua." Maka iblis memujuk keduanya (untuk memakan buah itu) dengan tipu daya. Tatkala keduanya telah merasai buah pohon kayu itu, tampaklah bagi keduanya aurat-auratnya, dan keduanya mulalah menutup dengan daun-daun dari syurga. Kemudian Tuhan mereka menyeru kepada mereka: "Bukankah Aku telah melarang kamu berdua menghampiri dari pohon kayu itu dan Aku telah mengatakan bhawa sesungguhnya syaitan (iblis) itu adalah musuh yang nyata bagi kamu berdua?" Allah berfirman: "Turunlah kamu sekalian! Sebahagian kamu mejadi musuh bagi sebahagian yang lain. Dan kamu mempunyai tempat kediaman dan kesenangan (tempat mencari kehidupan) di muka bumi sampai waktu yang telah ditentukan." Allah berfirman: "Di bumi itu kamu hidup dan di bumi itu kamu mati dan dari bumi itu (pula) kamu akan dibangkitkan." (Surah Al-A'raf: 11-25)


H. Beberapa Pengajaran Yang Dapat Dipetik Daripada Kisah Adam A.S.


1. Bahawasanya hikmah yang terkandung dalam perintah-perintah dan larangan-larangan Allah SWT dan dalam apa yang diciptakannya kadangkala tidak atau belum dapat dicapai oleh otak manusia bahkan oleh makhluk-Nya yang terdekat, sebagaimana telah dialami oleh para malaikat tatkala diberitahu bahawa Allah SWT akan menciptakan manusia keturunan Adam untuk menjadi khalifah-Nya di bumi sehingga mereka seakan-akan keberatan dan bertanya-tanya mengapa dan untuk apa Allah SWT menciptakan jenis makhluk lain daripada mereka yang sudah patuh, rajin beribadat, bertasbih, bertahmid dan mengagungkan nama-Nya.

2. Bahawasanya manusia walaupun dia telah dikurniai kecerdasan, berfikir dan kekuatan fizikal dan mental dia tetap mempunyai beberapa kelemahan pada dirinya, seperti sifat lalai, lupa dan khilaf. Hal ini telah terjadi pada diri Nabi Adam yang walaupun dia telah menjadi manusia yang sempurna dan dikurniai kedudukan yang istimewa di syurga, dia tetap tidak terhindar dari sifat-sifat manusia yang lemah itu. Dia telah lupa dan melalaikan peringatan Allah SWT kepadanya tentang pohon yang terlarang dan tentang Iblis yang mejadi musuhnya dan musuh seluruh keturunannya, sehingga terperangkap ke dalam tipu dayanya dan terjadilah pelanggaran pertama yang dilakukan oleh manusia terhadap larangan Allah SWT.

3. Bahawasanya seseorang yang telah terlanjur melakukan maksiat dan berbuat dosa, tidaklah dia sepatutnya berputus asa dari rahmat dan ampunan Tuhan, asalkan dia sedar akan kesalahannya dan bertaubat tidak akan melakukannya kembali. Rahmat Allah SWT dan maghfirah-Nya dan memaafkan segala dosa yang diperbuat oleh hamba-Nya kecuali syirik bagaimana pun besar dosa itu asalkan diikuti dengan kesedaran bertaubat dan pengakuan bersalah.

4. Sifat sombong dan bongkak selalu membawa akibat kerugian dan kebinasaan. Lihatlah Iblis yang turun dari singgahsananya, dilucutkan kedudukannya sebagai seorang malaikat dan diusir oleh Allah SWT dari syurga dengan disertai kutukan dan laknat yang akan melekat kepada dirinya hingga hari kiamat. Kerana kesombongan dan kebanggaannya dengan asal-usulnya sehingga ia menganggap dan memandang rendah kepada Nabi Adam dan menolak untuk sujud menghormatinya walaupun diperintahkan oleh Allah SWT.




"Allah berfirman: "Turunlah kamu dari syurga itu; kerana kamu tidak sepatutnya menyombong diri di dalamnya. Maka keluarlah! Sesungguhnya kamu termasuk makhluk yang hina." 
(Surah Al-A'raf: 13)




N / F : DARIPADA "KISAH-KISAH PARA NABI & RASUL", OLEH ABDULLAH BIN AHMAD MUBARAK.

No comments:

Post a Comment