Tuesday 17 April 2018

NABI IBRAHIM A.S. [ BAHAGIAN 1 ]






NABI IBRAHIM A.S. [ BAHAGIAN 1 ]








A. NASAB Dan Tempat Lahirnya Nabi Ibrahim A.S.


     Nabi Ibrahim A.S. adalah putera Aazar (Tarih) bin Tahur bin Saruj bin Rau' bin Falij bin Aabir bin Syalih bin Arfakhsyad bin Saam bin Nuh A.S.. Dia dilahirkan di sebuah tempat bernama "Faddam A'raam" dalam kerajaan "Babylon" yang pada waktu diperintah oleh seorang raja bernama "Namrud bin Kan'aan".

     Kerajaan Babylon pada masa itu termasuk kerajaan yang makmur, rakyatnya hidup senang, sejahtera dalam keadaan serba-serbi cukup serta dipenuhi dengan kemudahan-kemudahan yang menjadi keperluan pertumbuhan jasmani mereka. Akan tetapi peningkatan hidup rohani mereka masih berada di tahap jahiliyah. Mereka tidak mengenal Tuhan Pencipta mereka yang telah mengurniakan mereka dengan segala kenikmatan dan kebahagiaan duniawi. Mereka menyembah patung-patung yang mereka pahat sendiri dari batu-batu atau diperbuat daripada lumpur dan tanah.

     Raja mereka Namrud bin Kan'aan menjalankan tampuk pemerintahannya secara kuku besi dan kekuasaan mutlak. Semua kehendaknya harus dilaksana dan segala perintahnya merupakan undang-undang yang tidak dapat dilanggar atau ditawar. Kekuasaan yang besar yang berada di tangannya itu dan kemewahan hidup yang berlebih-lebihan yang dia nikmati, lama-kelamaan menjadikan dia tidak puas dengan kedudukannya sebagai raja. Dia merasa dirinya patut disembah oleh rakyatnya sebagai tuhan.

     Dia berfikir, kalau rakyatnya mahu dan rela menyembah patung-patung yang terbina daripada batu, yang tidak dapat memberi manfaat dan mendatangkan kebahagiaan bagi mereka, mengapa bukan dia sahaja yang disembah sebagai tuhan. Dia yang dapat berbicara, dapat mendengar, dapat berfikir, dapat memimpin mereka, membawa kemakmuran bagi mereka dan melepaskan mereka dari kesengsaraan dan kesusahan. Dia yang dapat mengubah orang miskin menjadi kaya dan orang yang hina diangkatnya menjadi orang yang mulia. Di samping itu semuanya, dia adalah raja yang berkuasa dan memiliki negara yang besar dan luas.

     Di tengah-tengah masyarakat yang sedemikian buruknya, lahir dan besarlah Nabi Ibrahim dari seorang ayah yang bekerja sebagai pemahat dan pedagang patung. Dia sebagai calon Rasul dan pesuruh Allah SWT yang akan membawa pelita kebenaran kepada kaumnya. Sejak awal-awal lagi dia telah diilhamkan akal sihat dan fikiran tajam serta kesedaran bahawa apa yang diperbuat oleh kaumnya termasuk ayahnya sendiri, adalah perbuatan yang sesat yang menandakan kebodohan dan kecetekan fikiran dan bahawa sembahan kaumnya kepada patung-patung itu adalah perbuatan mungkar yang harus dibanteras dan diperangi agar mereka kembali kepada sembahan yang benar, iaitu menyembah kepada Tuhan Yang Maha Esa, Tuhan pencipta alam semesta ini.

     Semasa remaja Nabi Ibrahim sering disuruh ayahnya keliling kota menjaja patung-patung buatannya, namun kerana iman dan tauhid yang telah diilhamkan Tuhan kepadanya, dia tidak bersemangat menjajakan barang-barang itu, bahkan secara mengejek dia menawarkan patung-patung ayahnya kepada calon pembeli dengan kata-kata: "Siapakah yang akan membeli patung-patung yang tidak berguna ini?"


B. Nabi Ibrahim A.S. Ingin Melihat Bagaimana Makhluk Yang Sudah Mati Dihidupkan Kembali Oleh Allah SWT


     Nabi Ibrahim yang sudah tetapkan hati, hendak memerangi syirik dan penyembahan berhala yang berlaku dalam masyarakat kaumnya, ingin lebih dahulu mempertebal iman dan keyakinannya, mententeramkan hatinya serta membersihkan dirinya dari keraguan yang mungkin sesekali mengganggu fikirannya dengan memohon kepada Allah SWT supaya diperlihatkan kepadanya bagaimana Dia menghidupkan kembali makhluk-makhluk yang sudah mati.

     Berserulah ia kepada Allah SWT: "Ya Tuhanku! Tunjukkanlah kepadaku, bagaimana Engkau menghidupkan kembali makhluk-makhluk-Mu yang sudah mati." Allah SWT menjawab seruanya dengan berfirman: "Tidakkah engkau beriman dan percaya kepada kekuasaan-Ku?" Nabi Ibrahim menjawab: "Betul wahai Tuhanku, aku telah beriman dan percaya kepada-Mu dan kepada kekuasaan-Mu, sesuai dengan wahyu yang aku telah terima daripada-Mu, namun aku ingin sekali melihat itu dengan mata kepalaku, agar aku mendapat ketenteraman serta ketenangan dalam hatiku dan agar semakin menjadi tebal dan kukuh keyakinanku kepada-Mu dan kepada kekuasaan-Mu."

     Allah memperkenankan permohonan Nabi Ibrahim A.S., lalu diperintahkanlah dia menangkap empat ekor burung, lalu setelah memperhatikan dan meneliti bahagian tubuh-tubuh burung itu, memotongnya menjadi berkeping-keping, mencampur-baurkan, kemudian tubuh empat ekor burung yang sudah hancur lulur dan bercampur-baur itu dibahagi menjadi empat bahagian, setiap bahagian diletakkan di atas puncak setiap bukit dari empat bukit yang letaknya berjauhan satu dari yang lain.

     Setelah dikerjakan apa yang telah diisyaratkan oleh Allah SWT itu, diperintahnya Nabi Ibrahim memanggil burung-burung yang sudah terkoyak-koyak tubuhnya dan terpisah jauh tiap-tiap bahagian tubuh burung dari bahagian yang lain.

     Dengan izin Allah SWT dan kuasa-Nya datanglah berterbangan empat ekor burung itu dalam keadaan bernyawa seperti sediakala, sebaik saja mendengar seruan dan panggilan Nabi Ibrahim kepadanya, lalu hinggaplah empat ekor burung yang hidup kembali itu di hadapannya, dilihat dengan mata kepalanya sendiri bagaimana Allah SWT Yang Maha Kuasa dapat menghidupkan kembali makhluk-Nya yang sudah mati sebagaimana Dia menciptakannya dari sesuatu yang diinginkan oleh Nabi Ibrahim untuk mententeramkan hatinya dan menghilangkan kemungkinan ada keraguan di dalam iman dan keyakinannya, bahawa kekuasaan dan kehendak Allah SWT tidak ada sesuatu pun di langit atau di bumi yang dapat menghalangi atau menentangnya dan hanya dengan kata "Kun" yang difirmankan oleh-Nya terjadilah apa yang dikehendaki "Fayakun".


C. Nabi Ibrahim Berdakwah Kepada Ayah Kandungnya


     Azar, ayah Nabi Ibrahim, tidak terkecuali sebagaimana kaumnya yang lain, bertuhan dan menyembah berhala, bahkan dia adalah pedagang dari patung-patung yang dibuat dan dipahatnya sendiri dan daripadanya orang membeli patung-patung yang dijadikan sembahan.

     Nabi Ibrahim merasa bahawa kewajipan pertama yang dia harus dilakukan sebelum berdakwah kepada orang lain ialah menyedarkan ayah kandungnya, orang yang terdekat kepadanya, bahawa kepercayaan dan sembahannya kepada patung berhala itu adalah perbuatan yang sesat dan bodoh. Beliau merasa bahawa kebaktian kepada ayahnya mewajibkannya memberi penerangan kepadanya agar melepaskan kepercayaan yang sesat itu dan mengikutinya beriman kepada Allah SWT Yang Maha Esa.

     Dengan sikap yang sopan dan adab yang patut ditunjukkan oleh seorang anak terhadap orang tuanya dan dengan kata-kata yang halus dia datang kepada ayahnya, menyampaikan bahawa dia diutus oleh Allah SWT sebagai Nabi dan Rasul dan bahawa dia telah diilhami dengan pengetahuan dan ilmu yang tidak dimiliki oleh ayahnya. Dia bertanya kepada ayahnya dengan lemah-lembut, gerangan apakah yang mendorongnya untuk menyembah berhala seperti lain-lain kaumnya, padahal dia mengetahui bahawa patung berhala itu tidak berguna sedikit pun, tidak dapat mendatangkan keuntungan bagi penyembahnya atau mencegah kerugian atau musibah.

     Diterangkan pula kepada ayahnya bahawa penyembahan kepada patung berhala itu adalah semata-mata ajaran syaitan yang memang menjadi musuh manusia sejak Adam diturunkan ke bumi. Dia berseru kepada ayahnya agar merenungkan dan memikirkan nasihat dan ajakannya berpaling dari berhala dan kembali menyembah kepada Allah SWT yang menciptakan manusia dan semua makhluk yang dihidupkan, memberi mereka rexeki dan kenikmatan hidup serta menguasakan bumi dengan segala isinya kepada manusia.

     Azar menjadi merah mukanya dan terbeliak matanya mendengar kata-kata seruan puteranya, Nabi Ibrahim yang ditanggapinya sebagai telah berdosa dan bahawa puteranya telah berani mengecam dan menghina kepercayaan ayahnya, bahkan mengajaknya untuk meninggalkan kepercayaan itu dan menganut kepercayaan dan agama yang dia bawa. Dia tidak dapat menyembunyikan murka dan marahnya tetapi dinyatakannya dengan kata-kata yanf kasar dan dalam maki hamun, seakan-akan tidak ada hubungan apa-apa antara dia dan puteranya Nabi Ibrahim. Dia berkata kepada Nabi Ibrahim dengan nada gusar: "Hai Ibrahim! Berpalingkah engkau daripada kepercayaan dan sembahanku? Dan kepercayaan apakah yang engkau berikan kepadaku yang menggesa aku untuk menganutnya? Janganlah engkau membangkitkan amarahku dan cuba menderhakaiku. Jika engkau tidak menghentikan penyelewenganmu dari agama ayahmu dan tidak engkau hentikan usahamu dari mengecam dan memburuk-burukkan sembahanku, maka keluarlah engkau dari rumahku ini. Aku tidak sudi bercampur denganmu di dalm suatu rumah di bawah suatu atap. Pergilah engkau dari pandanganku sebelum aku menimpamu dengan batu dan mencederakan engkau."

     Nabi Ibrahim menerima kemarahan ayahnya, pengusirannya dan kata-kata kasarnya dengan sikap tenang, normal selaku anak terhadap ayah sampai berkata: "Oh ayahku! Semoga engkau selamat, aku akan tetap memohonkan keampunan bagimu dari Allah SWT dan akan meninggalkan kamu dengan sembahan selain kepada Allah SWT mudah-mudahan aku tidak menjadi orang yang celaka dan malang dengan doaku untukmu." Lalu keluarlah Nabi Ibrahim meninggalkan rumah ayahnya dalam keadaan sedih dan prihatin kerana tidak berjaya membawa keluar ayahnya dari lembah syirik dan kufur.


D. Nabi Ibrahim Menghancurkan Berhala-Berhala


     Kegagalan Nabi Ibrahim dalam usahanya untuk menyedarkan ayahnya yang sesat itu sangat menusuk hatinya, kerana dia sebagai putera yang baik, ingin sekali melihat ayahnya berada dalam jalan yang benar keluar dari lembah kesesatan dan syirik, namun dia sedar bahawa hidayah itu adalah di tangan Allah SWT, dan bagaimana pun dia ingin dengan sepenuh hatinya agar ayahnya mendapat hidayah, tetapi sia-sia sahaja keinginan dan usahanya.

     Penolakan ayahnya terhadap dakwahnya dengan cara yang kasar dan kejam itu, tidak sedikit pun mempengaruhi ketetapan hatinya dan melemahkan semangatnya untuk berjalan terus memberi penerangan kepada kaumnya untuk menyapu bersih sembahan-sembahan yang batil dan kepercayaan-kepercayaan yang bertentangan dengan tauhid dan beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya.

     Nabi Ibrahim tidak henti-henti dalam tiap kesempatan mengajak kaumnya berdialog dan bermujadalah tetang kepercayaan yang mereka yakini dan ajaran yang dia bawa. Dan ternyata bahawa bila mereka sudah tidak berdaya menolak dan menyanggah alasan-alasan dan dalil-dalil yang dikemukakan oleh Nabi Ibrahim tentang kebenaran ajarannya dan kebatilan kepercayaan mereka, maka dalil dan alasan yang usanglah yang mereka kemukakan, iaitu bahawa mereka hanya meneruskan apa yang bapa-bapa dan nenek-moyang mereka lakukan dan sekali-kali mereka tidak akan melepaskan kepercayaan dan agama yang telah mereka warisi.

     Nabi Ibrahim pada akhirnya rasa tidak bermanfaat lagi berdebat dan bermujadalah dengan kaumnya yang berkepala batu dan yang tidak mahu menerima keterangan dan bukti-bukti nyata yang dikemukakan oleh beliau dan selalu berpegang pada satu-satunya alasan, bahawa mereka tidak akan menyimpang dari cara sembahan nenek-moyang mereka, walaupun Nabi Ibrahim dinyatakan berkali-kali bahawa mereka dan bapa-bapa mereka keliru dan telah tersesat mengikuti jejak syaitan dan iblis.

     Nabi Ibrahim kemudian merancang akan membuktikan kepada kaumnya dengan perbuatan yang nyata, yang dapat mereka lihat dengan mata kepala, bahawa berhala-berhala dan patung-patung mereka betul-betul tidak berguna bagi mereka dan bahkan tidak dapat menyelamatkan dirinya sendiri.

     Adalah sudah menjadi tradisi dan kebiasaan penduduk kerajaan Babylon, bahawa pada setiap tahun mereka keluar kota beramai-ramai pada suatu hari raya yang mereka anggap sebagai keramat. Berhari-hari mereka tinggal di luar kota di suatu padang terbuka, berkhemah dengan membawa bekal makanan dan minuman yang cukup. Mereka bersukaria dan bersenang-senang sambil meninggalkan kota-kota mereka kosong dan sunyi. Mereka berseru dan mengajak semua penduduk agar keluar meninggalkan rumah dan turut beramai-ramai menghormati hari-hari suci itu. Nabi Ibrahim yang juga dipelawa turut serta, berlagak pura-pura sakit dan diizinkan dia tinggal di rumah, apalagi mereka merasa khuatir bahawa penyakit Nabi Ibrahim yang dibuat-buat itu dapat menular dan berjangkit di kalangan mereka bila dia turut serta.

     "Inilah dia kesempatan yang kunantikan," kata hati Nabi Ibrahim tatkala melihat kota sudah kosong dari penduduknya, sunyi-sepi tidak terdengar kecuali suara burung-burung yang berkicau, suara daun-daun pohon yang gemersik ditiup angin kencang. Dengan membawa sebuah kapak di tangannya dia pergi menuju tempat peribadatan kaumnya yang sudah ditinggalkan tanpa penjaga, tanpa juru kunci dan hanya deretan patung-patung yang terlihat di serambi tempat peribadatan itu. Sambil menujuk kepada bunga-bunga dan makanan yang berada di tiap kaki patung, berkatalah Nabi Ibrahim, mengejek: "Mengapa kamu tidak makan makanan yang lazat yang disajikan bagi kamu ini? Jawablah aku dan berkatalah kamu."

     Kemudian disepak, ditamparlah patung-patung itu dan dihancurkannya dengan kapak yang berada di tangannya. Patung yang terbesar ditinggalkan utuh, tidak diganggu, dan pada lehernya dikalungkanlah kapak Nabi Ibrahim itu.

     Terperanjat dan terkejutlah para penduduk, tatkala pulang dari berpesta ria di luar kota, dia melihat keadaan patung-patung, tuhan-tuhan mereka sudah hancur bertaburan dan menjadi bongkak kecil berselerakan di atas lantai. Bertanya antara satu kepada yang lain dengan nada hairan dan takjub. Gerangan siapakah yang telah berani melakukan perbuatan yang jahat dan keji ini terhadap tuhan-tuhan sembahan kita dan pujaan kami ini.

     Berkata seorang daripada mereka: "Ada kemungkinan bahawa orang yang selalu mengolok-olok dan mengejek persembahan kami yang bernama Ibrahim itulah yang melakukan perbuatan yang berani ini."

     Seorang daripada mereka pun menambah keterangan dengan berkata: "Bahkan pasti dialah yang berbuat, kerana dia adalah satu-satunya orang yang tinggal di kota sewaktu kami semua berada di luar merayakan hari suci dan keramat itu."

     Selidik punya selidik, akhirnya terdapat kepastian yang tidak diragukan, bahawa Ibrahimlah yang merosakkan dan memusnahkan patung-patung itu. Rakyat kota ramai membicarakan kejadian yang dianggap suatu penghinaan yang tidak dapat diampuni terhadap kepercayaan dan sembahan mereka. Suara marah dan kutukan terdengar dari setiap penjuru, yang menuntut agar si pelaku dihukum dengan hukuman yang berat setimpal dengan dosa besar yang telah dilakukan. Mereka menuntut agar si pelaku diminta bertanggungjawab dalam suatu pengadilan terbukan, di mana seluruh rakyat penduduk kota dapat turut serta menyaksikannya.

     Dan memang itulah yang diharapkan oleh Nabi Ibrahim, agar pengadilannya dilakukan secara terbuka di mana semua masyarakat dapat turut menyaksikannya. Kerana dengan cara demikian, beliau dapat secara terang-terangan dapat berdakwah dan menyerang kepercayaan kaumnya yang batil dan sesat, sambil menerangkan kebenaran agama dan kepercayaan yang ia bawa, kalau-kalau di antara yang hadir ada yang masih boleh diharap terbuka hatinya bagi iman dari tauhid yang ia ajarkan dan dakwahkan.

     Hari pengadilan ditentukan dan datanglah rakyat dari segala pelusuk berduyun-duyun mengunjungi padang terbuka yang disediakan bagi sidang pengadilan itu.

     Ketika Nabi Ibrahim datang menghadap para hakim yang akan mengadilinya, dia disambut oleh para hadirin dengan teriakan kutukan dan cercaan, menandakan sangat gusarnya para penyembah berhala terhadap beliau yang telah berani menghancurkan persembahan mereka.

     Ditanyalah Nabi Ibrahim oleh para hakim: "Apakah engkau yang melakukan penghancuran dan merosakkan tuhan-tuhan kami."

     Dengan tenang dan sikap dingin, Nabi Ibrahim menjawab: "Patung besar yang berkalung kapak di lehernya itulah yang melakukannya. Cuba tanya sahaja kepada patung-patung itu siapakah yang menghancurkannya."

     Para hakim yang menanya terdiam sejenak sambil melihat yang satu kepada yang lain dan berbisik-bisik, seakan-akan berunding apa yang harus dikatakan sebagai jawapan ke atas kata-kata Ibrahim yang mengandungi ejekan itu. Kemudian berkatalah si hakim: "Bukankah engkau tahu bahawa patung-patung itu tidak dapat bercakap dan berkata, mengapa engkau minta kami bertanya kepadanya?"

     Tibalah masanya yang dinanti-nantikan oleh Nabi Ibrahim maka sebagai jawapan atas pertanyaan yang terakhir dari hakim itu beliau berpidato membentangkan kebatilan sembahan mereka, yang mereka pertahankan bermati-matian, semata-mata hanya kerana adat itu adalah warisan nenek-moyang.

     Berkata Nabi Ibrahim kepada para hakim itu: "Jika demikian halnya, mengapa kamu sembah patung-patung itu, yang tidak dapat berkata, tidak dapat melihat dan tidak dapat mendengar, tidak dapat membawa manfaat atau menolak mudarat, bahkan tidak dapat menolong dirinya dari kehancuran dan kebinasaan? Alangkah bodohnya kamu dengan kepercayaan dan sembahan kamu itu! Tidakkah kamu dapat berfikir dengan akal yang sihat, bahawa sembahan kamu adalah perbuatan yang keliru yang hanya difahami oleh syaitan. Mengapa kamu tidak menyembah Tuhan yang menciptakan kamu, menciptakan alam sekeliling kamu dan menguasakan kamu di atas bumi dengan segala isi dan kekayaan. Alangkah hinanya kamu dengan sembahan kamu itu."

     Setelah selesai Nabi Ibrahim menghuraikan ceramahnya, para hakim menetapkan keputusannya bahawa Nabi Ibrahim harus dibakar hidup-hidup sebagai ganjaran atas perbuatannya menghina dan menghancurkan tuhan-tuhan mereka, maka berserulah para hakim kepada rakyat yang hadir menyaksikan pengadilan itu: "Bakarlah dia dan belalah tuhan-tuhanmu jika kamu benar-benar setia kepadanya."









N / F : DARIPADA "KISAH-KISAH PARA NABI & RASUL", OLEH ABDULLAH BIN AHMAD MUBARAK.

No comments:

Post a Comment