Wednesday 4 April 2018

HABIL & QABIL PUTERA ADAM A.S. [ BAHAGIAN 2 ]






HABIL & QABIL PUTERA ADAM A.S.









C. Penguburan Jenazah Habil


     Qabil merasa gelisah dan bingung menghadapi mayat saudaranya. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukan dengan tubuh saudaranya yang makin lama makin busuk itu.

     Diletakkannya tubuh itu di dalam sebuah peti yang dipikulnya dengan mundar-mandir oleh Qabil dalam keadaan sedih melihat burung-burung sedang berterbangan hendak menyerbu tubuh jenazah Habil yang sudah busuk itu.

     Kebingungan dan kesedihan Qabil tidak berlangsung lama, kerana ditolong oleh suatu contoh yang diberikan oleh Tuhan kepadanya bagaimana dia sepatutnya menguburkan jenazah saudaranya. Allah SWT Yang Maha Pengasih lagi Maha Bijaksana, tidak rela melihat mayat hamba-Nya yang soleh dan tidak berdosa itu tersia-sia sedemikian rupa, maka ditunjukkanlah kepada Qabil bagaimana seekor burung gagak menggali tanah dengan kaki dan paruhnya, lalu menyodokkan gagak lain yang sudah mati dalam pertarungan, ke dalam lubang yang telah digalinya, dan menutupinya kembali dengan tanah. Melihat contoh dan pengajaran yang diberikan oleh burung gagak itu, termenunglah Qabil sejenak, lalu berkata pada dirinya sendiri: "Alangkah bodohnya aku, tidakkah aku dapat berbuat seperti burung gagak itu dan mengikuti caranya menguburkan mayat saudaraku?"

     Kemudian kembalilah Adam dari perjalanan jauhnya. Dia tidak melihat Habil di antara putera-puterinya yang sedang berkumpul. Bertanyalah dia kepada Qabil: "Di manakah Habil berada? Aku tidak melihatnya sejak aku pulang."

     Qabil menjawab: "Entah, aku tidak tahu dia ke mana! Aku bukan hamba Habil yang harus mengikutinya ke mana sahaja dia pergi."

     Melihat sikap yang angkuh dan jawapan yang kasar daripada Qabil, Adam dapat meneka bahawa telah terjadi sesuatu ke atas diri Habil, puteranya yang soleh, bertakwa dan berbakti terhadap kedua orang tua itu. Pada akhirnya terbukti bahawa Habil telah mati dibunuh oleh Qabil sewaktu peninggalannya. Dia sangat kesal di atas perbuatan Qabil yang kejam dan ganas, di mana rasa persaudaraan, ikatan darah dan hubungan keluarga diketepikan sekadar untuk memenuhi hawa nafsu dan bisikan Iblis yang menyesatkan.

     Menghadapi musibah itu, Nabi Adam A.S. hanya pasrah kepada Allah SWT dan menerimanya sebagai takdir dan kehendak-Nya, sambil memohon dikurniakan kesabaran dan keteguhan iman baginya dan kesedaran bertaubat dan beristighfar bagi puteranya Qabil.


D. Kisah Qabil dan Habil Dalam Al-Quran


     Al-Quran mengisahkan cerita kedua putera Nabi Adam itu dalam surah "Al-Maidah" ayat 27 sehingga ayat 32 sebagai berikut:

Ertinya:

"Ceritakanlah kepada mereka kisah dua orang putera Adam (Habil dan Qabil) yang telah berlaku dengan sebenarnya, ketika keduanya mempersembahkan korban, maka diterima korban salah seorang daripada mereka berdua (Habil) dan tidak diterima daripada yang lain (Qabil). Dia (Qabil) berkata: "Aku pasti membunuhmu!" Habil berkata: "Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) daripada orang yang bertakwah." Sungguh kalau kamu menggerakkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku sekali-kali tidak akan menggerakkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan sekalian alam." Sesungguhnya aku ingin agar kamu kembali dengan (membawa) dosa (membunuh) ku dan dosamu sendiri, maka kamu akan menjadi penghuni neraka; dan yang demikian itulah pembalasan bagi orang yang zalim." Maka hawa nafsu Qabil telah menjadikannya tergamak untuk membunuh saudaranya, sebab itu dibunuhnya, maka jadilah dia termasuk orang yang rugi. Kemudian Allah menyuruh seekor burung gagak menggali-gali di bumi untuk menunjukkan kepadanya (Qabil) bagaimana dia seharusnya menguburkan mayat saudaranya. Qabil berkata: "Aduh, celaka aku! Mengapa aku tidak mampu berbuat seperti burung gagak ini, lalu aku dapat menguburkan mayat saudaraku ini?" Maka jadilah dia termasuk orang yang menyesal. Oleh kerana itu, Kami tetapkan (suatu hukum) bagi Bani Israel, bahawa barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana (dia) membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya. Dan sesungguhnya telah datang kepada mereka para rasul Kami dengan (membawa) keterangan-keterangan yang jelas, kemudian banyak di antara mereka setelah itu bersungguh-sungguh melampaui batas dalam membuat kerosakan di muka bumi." (Surah Al-Maidah: 27-32)


E. Pengajaran Yang Dapat Dipetik Daripada Kisah Habil Dan Qabil


1. Bahawasanya Allah SWT hanya menerima korban daripada seseorang yang menyerahkannya dengan tulus ikhlas, tidak dicampuri dengan sifat-sifat riyak, takkabur atau inginkan pujian. Barang atau binatang yang dikorbankan harus yang masih baik dan sempurna dan dikeluarkannya dari harta dan penghasilan yang halal. Jika korban itu berupa binatang sembelihan, harus yang sihat, tidak mengandungi penyakit ataupun cacat, dan jika berupa bahan makanan harus yang masih segar, baik dan belum rosak atau busuk.

2. Jalan penyelesaian jenazah manusia yang terbaik adalah dengan cara penguburan sebagaimana yang telah diajarkan oleh Allah SWT kepada Qabil. Itulah cara yang paling sesuai dengan martabat manusia sebagai makhluk yang dimuliakan dan diberi kelebihan oleh Allah SWT di atas makhluk-makhluk lainnya, menurut firman Allah SWT.

     Dalam surah "Al-Isra" ayat 70 yang bermaksud;

Ertinya:

"Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam, Kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezeki daripada yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang lebih sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan." (Surah Al-Isra: 70)




"Kemudian aku akan mendatangi mereka dari depan dan belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat)." 
(Surah Al-A'raf: 17)









N / F : DARIPADA "KISAH-KISAH PARA NABI & RASUL", OLEH ABDULLAH BIN AHMAD MUBARAK.

No comments:

Post a Comment