Friday 27 April 2018

NABI ISMAIL A.S. [ BAHAGIAN 1 ]






BAHAGIAN 1








SAMPAILAH Nabi Ibrahim yang berhijrah meninggalkan Mesir bersama Sarah, isterinya dan Hajar, dayangnya di tempat tujuannya iaitu Palestin. Dia juga telah membawa semua binatang ternaknya dan harta milik yang telah diperolehinya sebagai hasil usaha niaganya di Mesir.

     Al-Bukhari meriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a. berkata: "Wanita pertama yang menggunakan barut ialah Hajar ibu Nabi Ismail, tujuannya untuk menyembunyikan kandungannya dari Siti Sarah yang telah lama bersama dengan Nabi Ibrahim A.S. tetapi belum juga hamil. Tetapi walau bagaimanapun juga akhirnya terbukalah rahsia yang disembunyikan itu dengan lahirnya Nabi Ismail A.S..

     Sebagaimana lazimnya seoran gisteri seperti Siti Sarah merasa telah dikalahkan oleh Siti Hajar sebagai seorang dayangnya yang diberikan kepada Nabi Ibrahim A.S. dan sejak itulah isteri Siti Sarah merasa bahawa Nabi Ibrahim A.S. lebih banyak mendekati Hajar kerana merasa sangat gembira dengan memperolehi puteranya yang tunggal, dan pertama itu, hal inilah yang menyebabkan permulaan adanya keretakan dalam rumahtanggan Nabi Ibrahim A.S. sehingga Siti Sarah merasa tidak tahan sakit hati jika melihat Siti Hajar, dan minta pada Nabi Ibrahim A.S. supaya menjauhkannya dari matanya dan menempatkannya di tempat lain.

     Untuk sesuatu hikmah yang belum diketahui dan disedari oleh Nabi Ibrahim A.S., Allah SWT mewahyukan kepadanya agar keinginan dan permintaan Sarah, isterinya dipenuhi dan dijauhkanlah Ismail bersama Hajar ibunya dari Sarah ke suatu tempat di mana dia sendiri belum memikirkan atau merencanakan ke tempat mana yang dia akan tuju dan di mana Ismail puteranya bersama ibunya akan ditempatkan dan kepada siapa akan ditinggalkan.

     Maka dengan bertawakal kepada Allah SWT berangkatlah Nabi Ibrahim meninggalkan rumah membawa Hajar dan Ismail yang memboncengnya di atas untanya tanpa tempat tujuan yang tertentu. Dia hanya berserah diri kepada Allah SWT yang akan memberi arah kepada binatang tunggangannya. Dan berjalanlah unta Ibrahim dengan tiga hamba Allah SWT yang berada di atas untanya keluar kota masuk ke lautan pasir dan padang terbuka di mana matahari dengan pedihnya menyengat tubuh dan angin yang kencang menghambur-hamburkan debu-debu pasir.


A. Ismail Dan Ibunya Hajar Ditinggalkan Di Makkah


     Setelah berminggu-minggu berada dalam perjalanan jauh yang memenatkan, tibalah pada akhirnya Nabi Ibrahim bersama Ismail dan ibunya di Makkah, kota suci di mana Kaabah didirikan dan menjadi pujaan manusia dari seluruh dunia. Di tempat di mana Masjidil Haram sekarang berada, berhentilah unta Nabi Ibrahim mengakhiri perjalanannya dan di situlah dia meninggalkan Hajar bersama puteranya dengan hanya dibekali dengan sebakul berisi bekal makanan dan minuman, sedangkan keadaan sekitarnya tiada tumbuh-tumbuhan, tiada air mengalir, yang terlihat hanyalah batu dan pasir kering.

     Alangkah sedih dan cemasnya Hajar ketika akan ditinggalkan oleh Ibrahim seorang diri bersama dengan anaknya yang masih kecil di tempat yang sunyi sepi dari segala-galanya kecuali batu gunung dan pasir. Dia lalu merintih dan menangis, memegang kuat-kuat baju Nabi Ibrahim memohon belas kasihnya, janganlah dia ditinggalkan seorang diri di tempat yang kosong itu, tiada seorang manusia, tiada seekor binatang, tiada pohon dan tidak terlihat pula air mengalir, sedangkan dia masih menanggung beban mengasuh anak yang kecil yang masih menyusu.

     Nabi Ibrahim mendengar keluh-kesah Hajar, merasa tidak tergamak meninggalkannya seorang diri di tempat itu bersama puteranya yang sangat disayangi, akan tetapi dia sedar bahawa apa yang dilakukannya itu adalah kehendak Allah SWT yang tentu mengandungi hikmah yang masih terselindung baginya dan dia sedar pula bahawa Allah SWT akan melindungi Ismail dan ibunya dalam tempat pengasingan itu dengan segala kesukaran dan penderitaan. Ia berkata kepada Hajar:

     "Bertawakallah kepada Allah SWT yang telah menentukan kehendak-Nya, percayalah kepada kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya. Dialah yang memerintahkan aku membawamu ke sini dan Dialah yang akan melindungimu dan menyertaimu di tempat yang sunyi ini. Sekiranya bukan kerana perintah dan wahyunya, tidak sekali-kali aku akan tergamak meninggalkan engkau di sini seorang diri bersama puteraku yang sangat kucintai ini. Percayalah wahai Hajar bahawa Allah SWT Yang Maha Kuasa tidak akan membiarkan kamu berdua tanpa perlindungan-Nya. Rahmat dan barakah-Nya akan tetap turun di atas kamu untuk selamanya, Insya Allah."

     Mendengar kata-kata Ibrahim itu, segera Hajar melepaskan genggamannya pada baju Ibrahim dan dilepaskannya, beliau menunggang untanya kembali ke Palestin dengan iringan air mata yang bercucuran membasahi tubuh Ismail yang sedang menetek. Sedangkan Nabi Ibrahim pun tidak dapat menahan air matanya ketika dia turun dari dataran tinggi meninggalkan Makkah menuju kembali ke Palestin di mana isterinya Sarah dengan puteranya yang kedua Ishak sedang menanti. Dia tidak henti-henti selama dalam perjalanan kembali berdoa dan memohon kepada Allah SWT perlindungan, rahmat dan barakah serta kurniaan rezeki bagi putera dan ibunya yang ditinggalkan di tempat terasing itu. Dia berkata dalam doanya: "Wahai Tuhanku! Aku telah tempatkan puteraku dan anak-anak keturunannya dekat rumah-Mu (Baitullahil Haram) di lembah yang sunyi dari tanaman dan manusia, agar mereka mendirikan solat dan beribadat kepada-Mu. Jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan berilah mereka rezeki dari buah-buahan yang lazat, mudah-mudahan mereka bersyukur kepada-Mu."


B. Mata Air Zamzam


     Sepeninggalan Nabi Ibrahim, tinggallah Hajar dan puteranya Ismail, di tempat yang terpencil dan sunyi itu. Dia harus menerima nasib yang telah ditetapkan oleh Allah SWT atas dirinya dengan kesabaran dan keyakinan penuh akan perlindungan-Nya.

     Bekalan makanan dan minuman yang dibawanya dalam perjalanan pada akhirnya habis dimakan selama beberapa hari sepeninggalan Nabi Ibrahim. Maka mulalah terasa oleh Hajar beratnya beban hidup yang harus ditanggungnya sendiri tanpa bantuan suami. Dia masih harus menyusukan anaknya, namun air susunya makin lama makin mengering, disebabkan kekurangan makan. Anak yang tidak dapat minuman yang memuaskan dari susu ibunya mulai menjadi cerewet dan tidak henti-hentinya menangis.

     Ibunya menjadi panik, bingung dan cemas mendengar tangisan anaknya yang sangat menyayat hati itu. Dia menoleh ke kanan dan ke kiri serta lari ke sana sini mencari sesuap makanan atau seteguk air yang dapat meringankan kelaparannya dan meredakan tangis anaknya, namun sia-sia saja usahanya itu.

     Dia pergi berlari dari Marwah menuju ke bukit Safa kalau-kalau dia boleh mendapatkan sesuatu yang dapat menolongnya, tetapi hanya batu dan pasir yang ditemuinya di situ, kemudian dari atas bukit Safa dia melihat bayangan air yang mengalir di atas bukit Marwah dan larilah dia menghala ke tempat itu, namun ternyata bahawa disangkanya air adalah bayangan belaka dan kembalilah ke bukit Safa kerana mendengar seakan-akan ada suara yang memanggilnya tetapi gagal dan melesetlah dugaannya.

     Demikianlah, maka kerana dorongan hajat hidupnya dan hidup anaknya yang sangat disayangi, Hajar mundar-mandir berlari sampai tujuh kali antara bukit Safa dan Marwah yang pada akhirnya dia duduk termenung merasa penat dan hampir berputus asa.

     Diriwayatkan bahawa Hajar berada dalam keadaan tidak berdaya dan hampir berputus asa, kecuali dari rahmat Allah SWT dan pertolongan-Nya, datanglah kepadanya malaikat JIbril bertanya: "Siapakah sebenarnya engkau ini?" "Aku adalah hamba sahaya Ibrahim." Jawab Hajar. "Kepada siapa engkau diamanahkan di sini?" Tanya Jibril. "Hanya kepada Allah SWT," jawab Hajar. Lalu berkata Jibril: "Jika demikian, maka engkau telah dititipkan kepada Zat Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih, yang akan melindungimu, mencukupi keperluan hidupmu dan tidak akan mensia-siakan kepercayaan ayah puteramu kepada-Nya."

     Kemudian diajaklah Hajar mengikutinya pergi ke suatu tempat, di mana Jibril menginjakkan telapak kakinya kuat-kuat di atas tanah dan segeralah keluar dari bekas telapak kaki itu air yang jernih dengan kuasa Allah SWT itulah dia mata air Zamzam yang hingga kini dianggap keramat oleh jemaah haji bersesak-sesak sekelilingnya bagi mendapatkan setitik atau seteguk air daripadanya dan kerana sejarahnya mata air itu disebut orang "Injakan Jibril".

     Alangkah gembiranya dan lega dada Hajar melihat air yang muncul itu. Segera dia membasahi bibir puteranya dengan air keramat itu dan segera pula terlihat wajah puteranya segar kembali demikian pula wajah si ibu yang merasa sangat bahagia dengan datangnya mukjizat dari sisi Tuhan yang mengembalikan kesegaran hidup kepadanya dan kepada puteranya sesudah dibayang-bayangi oleh bayangan mati kelaparan yang mencengkam dada.

     Memancutnya air Zamzam telah menarik perhatian burung-burung berterbangan mengelilingi daerah itu, dan pada gilirannya burung-burung itu menarik pula perhatian sekelompok bangsa Arab dari suku Jurhum yang merantau dan sedang berkhemah di sekitar Makkah. Mereka mengetahui dari pengalaman bahawa di mana ada terlihat burung di udara, nescaya di bawahnya terdapat air, maka diutuslah oleh mereka beberapa orang untuk memeriksa kebenaran teori ini. Para pemeriksa itu pergi mengunjungi daerah di mana Hajar berada, kemudian kembali membawa berita gembira kepada kaumnya tentang mata air Zamzam dan keadaan Hajar bersama puteranya. Segera kelompok suku Jurhum itu memindahkan perkhemahannya ke tempat sekitar Zamzam, di mana kedatangan mereka disambut dengan gembira oleh Hajar, kerana dengan adanya kelompok suku Jurhum di sekitarnya, dia memperoleh jiran-jiran yang akan menghilangkan kesunyian dan kesepian yang selama ini dirasakan di dalam hidupnya berduaan dengan puteranya saja.

     Hajar bersyukur kepada Allah SWT yang dengan rahmatnya telah membuka hati orang-orang itu cenderung datang meramaikan dan memecahkan kesunyian lembah di mana ia ditinggalkan sendirian oleh Ibrahim.


C. Nabi Ismail Sebagai Korban


     Nabi Ibrahim dari masa ke semasa pergi ke Makkah mengunjungi dan menjenguk Ismail di tempat pengasingan bagi menghilangkan rasa rindu hatinya kepada puteranya yang dia sayangi serta menenangkan hatinya yang selalu rungsing bila mengenangkan keadaan puteranya bersama ibunya yang ditinggalkan di tempat yang tandus, jauh dari masyarakat kota dan pergaulan umum.

     Sewaktu Nabi Ismail mencapai usia remajanya, Nabi Ibrahim A.S. mendapat mimpi bahawa dia harus menyembelih Ismail puteranya. Dan kerana mimpi seorang nabi adala salah satu dari cara-cara turunnya wahyu Tuhan, maka perintah yang diterimanya dalam mimpi itu harus dilaksanakan oleh Nabi Ibrahim. Dia duduk sejenak dan termenung memikirkan ujian yang maha berat yang dia hadapi.

     Sebagai seorang ayah yang telah dikurniakan seorang putera yang sejak puluhan tahun diharap-harapkan dan diinginkan, seorang putera yang telah mencapai usia di mana jasa-jasanya sudah dapat dimanfaatkan oleh si ayah seorang putera yang diharapkan menjadi pewarisnya dan penyambung kelangsungan keturunannya, tiba-tiba dijadikan korban dan harus diragut nyawanya oleh tangan ayahnya sendiri.

     Namun dia sebagai seorang Nabi, pesuruh Allah SWT dan pembawa agama, yang seharusnya menjadi contoh dan teladan bagi para pengikutnya dalam mentaati Allah SWT, menjalankan segala perintahNya dan menempatkan cintanya kepada Allah SWT di atas cintanya kepada anak, isteri harta-benda dan lain-lain, dia harus melaksanakan perintah Allah SWT yang diwahyukan melalui mimpinya, apa pun yang akan terjadi sebagai akibat pelaksana perintah itu.

     Sungguh amat berat ujian yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim, namun sesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud:

"Allah lebih mengetahui di mana dan kepada siapa Dia mengamanahkan risalahnya."

     Nabi Ibrahim tidak membuang masa lagi, berazam (niat) tetap akan menyembelih Nabi Ismail sebagai korban sesuai dengan perintah Allah SWT yang telah diterimanya. Dan berangkatlah serta merta Nabi Ibrahim menuju ke Makkah untuk menemui dan menyampaikan kepada puteranya apa yang Allah SWT perintahkan.

     Nabi Ismail sebagai anak yang soleh dan sangat taat kepada Allah SWT dan bakti kepada orang tua, ketika diberitahu oleh ayahnya maksud kedatangannya kali itu, tanpa ragu-ragu dan tanpa berfikir panjang berkata kepada ayahnya: "Wahai ayahku! Laksanakanlah apa yang diperintahkan oleh Allah SWT kepadamu. Engkau akan menemuiku, Insya Allah sebagai seorang yang sabar dan patuh kepada perintah."

     "Aku hanya meminta dalam melaksanakan perintah Allah SWT itu, agar ayah mengikatku kuat-kuat supaya aku tidak banyak bergerak sehingga menyusahkan ayah, kedua agar menanggalkan pakaianku supaya tidak terkena darahku yang dapat menyebabkan berkurangnya pahalaku dan terharunya ibuku bila melihatnya, ketiga tajamkanlah parangmu dan percepatlah melaksanakan penyembelihan agar meringankan penderitaan dan rasa pedihku, keempat dan yang terakhir sampaikanlah salamku kepada ibuku, berikanlah kepadanya pakaianku ini untuk menjadi penghiburnya dalam kesedihan dan cenderahati serta kenang-kenangan baginya dari putera tunggalnya."

     Kemudian dipeluknya Ismail dan dicium pipinya oleh Nabi Ibrahim sambil berkata: "Bahagialah aku mempunyai seorang putera yang taat kepada Allah SWT, berbakti kepada orang tua, dengan ikhlas hati menyerahkan dirinya untuk melaksanakan perintah Allah SWT."

     Saat penyembelihan yang mengerikan tiba. Diikatlah kedua tangan dan kaki Ismail, dibaringkanlah dia di atas lantai, lalu diambillah parang tajam yang sudah tersedia dan sambil memegang parang di tangannya, kedua mata Nabi Ibrahim yang tergenang air berpindah memandang dari wajah puteranya ke parang yang berkilat di tangannya, seakan-akan pada masa itu hati beliau menjadi tempat pertarungan antara perasaan seorang ayah di satu pihak dan kewajipan seorang rasul di lain pihak. Pada akhirnya dengan memejamkan matanya, parang diletakkan pada leher Ismail dan penyembelihan dilakukan. Akan tetapi apa daya, parang yang sudah sedemikian tajam itu ternyata menjadi tumpul di leher Nabi Ismail dan tidak dapat berfungsi sebagaimana sepatutnya dan sebagaimana yang diharapkan.

     Kejadian tersebut merupakan suatu mukjizat dari Allah SWT yang menegaskan bahawa perintah pengorbanan Ismail itu hanya suatu ujian bagi Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sampai sejauh mana rasa cinta dan taat mereka kepada Allah SWT keduanya telah lulus dalam ujian yang sangat berat itu. Nabi Ibrahim telah menunjukkan kesediaan yang tulus dengan mengorbankan puteranya, jantung hatinya. Untuk berbakti melaksanakan perintah Allah SWT, sedang Nabi Ismail tidak sedikit pun ragu atau bimbang dalam melaksanakan kebaktiannya kepada Allah SWT dan kepada orang tuanya dengan menyerahkan jiwa raganya untuk dikorbankan, sehingga terjadi ketika merasa bahawa parang itu tidak dapat memotong lehernya, berkatalah dia kepada ayahnya: "Wahai ayahku! Rupa-rupanya engkau tidak sampai hati memotong leherku kerana melihat wajahku, cubalah telangkupkan aku dan laksanakanlah tugasmu tanpa melihat wajahku."

     Akan tetapi parang itu tetap tidak berdaya mengeluarkan setitis darah pun dari daging Ismail walaupun dia telah ditelangkupkan dan dicuba memotong lehernya dari belakang.

     Dalam keadaan bingung dan sedih hati, kerana gagal dalam usahanya menyembelih puteranya, datanglah kepada Nabi Ibrahim wahyu Allah SWT dengan firmanNya: "Wahai Ibrahim Engkau telah berhasil melaksanakan mimpimu, demikianlah, Kami akan membalas orang-orang yang berbuat kebajikan." Kemudian sebgaai tebusan, ganti nyawa Nabi Ismail yang telah diselamatkan itu, Allah SWT memerintahkan Nabi Ibrahim menyembelih seekor kambing yang telah tersedia di sampingnya dan segera disembelih leher kambing itu oleh beliau dengan parang yang tumpul di leher puteranya Ismail itu. Dan inilah asal permulaan sunnah berkorban yang dilakukan oleh umat Islam pada tiap hari raya Aidiladha di seluruh pelusuk dunia.









N / F : DARIPADA "KISAH-KISAH PARA NABI & RASUL", OLEH ABDULLAH BIN AHMAD MUBARAK.

No comments:

Post a Comment