Thursday 12 April 2018

NABI HUD A.S. [ BAHAGIAN 2 ]






NABI HUD A.S. [ BAHAGIAN 2 ]








C. KISAH NABI HUD DALAM AL-QURAN


     Kisah Nabi Hud diceritakan oleh 68 ayat dalam 10 surah, di antaranya surah Hud, ayat 50 sehingga 60, sebagai berikut:

Ertinya:

"Dan kepada kaum Aad (Kami utuskan) saudara mereka, Hud. Dia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada bagi kamu Tuhan selain Dia. Kamu hanya mengada-adakan perkara dusta (terhadap Allah)." "Wahai kaumku! Aku tidak meminta upah daripada kamu bagi seruanku ini. Upahku hanya daripada Allah yang telah menciptakanku. Maka tidakkah kamu memikirkan(nya)?" Dan (Hud berkata): "Wahai kaumku! Mohonlah keampunan kepada Tuhan kamu, kemudian bertaubatlah kepadaNya, nescaya Dia menghantarkan hujan yang sangat lebat ke atas kamu dan menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa." Kaum Aad berkata: "Wahai Hud! Engkau tidak mendatangkan kepada kami suatu bukti yang nyata dan kami sekali-kali tidak akan meninggalkan sembahan-sembahan kami kerana perkataanmu dan kami sekali-kali tidak akan mempercayai kamu." "Kami hanya mengatakan bahawa sebahagian sembahan kami telah menimpakan penyakit gila ke atas dirimu." Hud menjawab: "Sesungguhnya aku menjadikan Allah sebagai saksiku, dan saksikanlah olehmu sekalian bahawa sesungguhnya aku berlepas diri daripada apa yang kmau persekutukan," "selain daripadaNya. Sebab itu jalankanlah tipu daya kamu semua terhadapku dan janganlah kamu memberi tempoh kepadaku." "Maka jika kamu berpaling, maka sesungguhnya aku telah menyampaikan kepada kamu apa yang menjadi tugasku sebagai rasul kepada kamu. Dan Tuhanku akan menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain, sedang kamu tidak dapat mendatangkan mudarat kepadaNya sedikit pun. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pemelihara segala sesuatu." Dan tatkala datang azab Kami, Kami selamatkan Hud bersama dengan umatnya yang beriman dengan rahmat Kami; dan kami selamatkan (pula) mereka (di akhirat) daripada azab yang keras. Dan itulah (kisah) kaum Aad yang mengingkari tanda-tanda kekuasaan Tuhan mereka dan menderhakai para rasul Allah dan mereka mengikut perintah semua penguasa yang bermaharajalela lagi derhaka menentang (kebenaran). Dan mereka selalu diikuti dengan laknat di dunia ini dan (begitu pula) di hari kiamat. Ingatlah, sesungguhnya kaum Aad itu ingkar terhadap Tuhan mereka. Ingatlah, sesungguhnya kebinasaanlah akhirnya bagi kaum Aad (iaitu) kaum Hud itu." (Surah Hud: 50-60)

     Surah "Al-Mukminun" ayat 31 sehingga ayat 41 sebagai berikut:

Ertinya:

"Kemudian setelah mereka, Kami ciptakan umat yang lain. Lalu Kami utuskan kepada mereka seorang rasul daripada kalangan mereka sendiri (yang berkata): "Sembahlah Allah! Tiada Tuhan (yang berhak disembah) bagimu selain Dia. Maka mengapa kamu tidak bertakwa (kepadaNya)?" Dan berkatalah ketua-ketua orang kafir dari kaumnya dan yang mendustakan pertemuan hari akhirat serta mereka yang telah Kami beri kemewahan dan kesenangan dalam kehidupan di dunia: "(Orang) ini tidak lain hanyalah manusia seperti kamu, dia makan apa yang kamu makan dan dia minum apa yang kamu minum." Dan sesungguhnya, jika kamu mentaati manusia yang seperti kamu, nescaya kamu pasti rugi. Adakah dia menjanjikan kepada kamu bahawa apabila kamu telah mati dan menjadi tanah dan tulang-belulang, sesungguhnya kamu akan dikeluarkan (dari kuburmu)? Jauh! Jauh sekali (daripada kebenaran) apa yang diancamkan kepada kamu. (Kehidupan itu) tidak lain hanyalah kehidupan kita di dunia ini, (di sanalah) kita mati dan hidup dan tidak akan dibangkitkan (lagi). Dia tidak lain hanyalah seorang lelaki yang mengada-adakan pembohongan terhadap Allah dan kita tidak akan mempercayainya. Dia (Hud) berdoa: "Ya Tuhanku, tolonglah aku kerana mereka mendustakan aku." Dia (Allah) berfirman: "Tidak lama lagi mereka pasti akan menyesal." Lalu mereka benar-benar dimusnahkan oleh suara pekikan yang kuat, dan Kami jadikan mereka (seperti) sampah yang dibawa banjir. Maka binasalah bagi orang yang zalim." (Surah Al-Mukminun: 31-41)

     Surah "Al-Ahqaf" ayat 21 sehingga ayat 26 sebagai berikut:

Ertinya:

"Dan ingatlah (Hud) saudara kaum Aad, iaitu ketika dia mengingatkan kaumnya tentang bukit-bukit pasir dan sesungguhnya telah berlalu beberapa orang pemberi peringatan sebelumnya dan setelahnya (dengan berkata): "Janganlah kamu menyembah selain Allah, aku sungguh khuatir nanti kamu ditimpa azab pada hari yang besar." Mereka menjawab: "Apakah kamu datang kepada kami untuk memalingkan kami daripada (menyembah) tuhan- tuhan kami? Maka datangkanlah kepada kami azab yang telah engkau janjikan kepada kami, jika engkau termasuk orang yang benar." Dia (Hud) berkata: "Sesungguhnya ilmu (tentang itu) hanya ada pada Allah dan aku (hanya) menyampaikan kepadamu apa yang diwahyukan kepadaku, tetapi aku melihat kamu adalah kaum yang berlaku jahil (mengenai tugas rasul)." Maka ketika mereka melihat azab itu berupa awan yang menuju ke lembah-lembah mereka, mereka berkata: "Inilah awan yang akan menurunkan hujan kepada kita." (Bukan!) Tetapi itulah azab yang kamu minta agar disegerakan datangnya, (iaitu) angin yang mengandungi azab yang pedih, Yang menghancurkan segala sesuatu dengan perintah Tuhannya, sehingga mereka (kaum Aad) menjadi tidak kelihatan lagi (di bumi) kecuali hanya (kesan) tempat tinggal mereka. Demikianlah Kami memberi balasan kepada kaum yang berdosa. Dan sesungguhnya, Kami telah meneguhkan kedudukan mereka (dengan kemakmuran dan kekuatan) yang belum pernah Kami berikan kepada kamu dan Kami telah memberikan kepada mereka pendengaran, penglihatan, dan hati; tetapi pendengaran, penglihatan dan hati mereka itu tidak berguna sedikit pun bagi mereka, kerana mereka (selalu) mengingkari ayat-ayat Allah dan (ancaman) azab yang dahulu mereka mengejek-ejek telah mengepung mereka." (Surah Al-Ahqaf: 21-26)

     Dan surah "Al-Haaqqah" ayat 6, 7, dan 8 sebagai berikut:

Ertinya:

"Sedangkan kaum Aad, mereka telah dibinasakan dengan angin taufan yang sangat sejuk. Allah menimpakan angin itu kepada mereka selama tujuh malam lapan hari terus-menerus; maka kamu melihat kaum Aad pada waktu itu mati bergelimpangan seperti batang-batang pokok kurma yang telah tumbang (lapuk). Maka adakah engkau melihat seorang pun yang masih tersisa (hidup) di antara mereka?" (Surah Al-Haaqqah: ayat 6-8)


D. Pengajaran Yang Dapat Dipetik Daripada Kisah Nabi Hud A.S.

    
     Nabi Hud telah memberi contoh dan sistem yang baik yang patut ditiru dan diikuti oleh pendakwah dan para ilmuan agama. Beliau menghadapi kaumnya yang sombong dan keras kepada itu dengan penuh kesabaran, ketabahan dan kelapangan dada. Dia tidak sekali-kali membalas ejekan-ejekan dan kata-kata kasar mereka tetapi menolaknya dengan kata-kata yang halus yang menunjukkan bahawa beliau dapat menguasai emosinya dan tidak sampai kehilangan akal atau kesabaran.

     Nabi Hud tidak marah dan tidak gentar ketika kaumnya mengejek dengan menuduhnya telah menjadi tidak siuman dan gila. Dia dengan lemah lembut menolak tuduhan dan ejekan itu dengan hanya mengatakan:

     "Aku tidak gila dan bahawa tuhan-tuhanmu yang kamu sembah tidak dapat menggangguku atau mengganggu fikiranku sedikit pun, tetapi aku ini adalah rasul (pesuruh) Allah SWT kepadamu dan aku betul-betul adalah seorang penasihat yang jujur bagimu, mengkehendaki kebaikanmu, kesejahteraan hidupmu dan agar kamu terhindar dan selamat dari azab serta seksaan Allah SWT di dunia mahupun di akhirat."

     Dalam berdialog dengan kaumnya. Nabi Hud selalu berusaha mengetuk hati nurani mereka dan mengajak mereka berfikir secara rasional menggunakan akal dan fikiran yang sihat, dengan memberikan bukti-bukti yang dapat diterima oleh akal mereka tentang kebenaran dakwahnya dan kesesatan jalan mereka, namun hidayah itu adalah dari Allah SWT, Dia akan memberinya kepada siapa yang Dia kehendaki.









N / F : DARIPADA "KISAH-KISAH PARA NABI & RASUL", OLEH ABDULLAH BIN AHMAD MUBARAK.

No comments:

Post a Comment