Friday 11 March 2016

RABIATUL ADAWIYAH [ BAB 19 - PERAWI RABIAH ]






PERAWI RABIAH




Abdah binti Abi Syawal sering ditanya berkenaan kehidupannya bersama Rabiah, sebagaimana Rasulullah yang didampingi oleh Abu Hurairah, perawi hadis Rasulullah yang terbanyak selepas Aisyah. Tentunya Rabiah menjadi tempat rujukan yang paling dipercayai oleh sesiapa yang mahu merujuk perihal gurunya itu.

     Pernah Abdah ditanya oleh sekumpulan wanita Basrah, "Wahai Abdah, mengapa kamu mahu bersama Rabiah?"

     Abdah menjawab, "Kerana saya mahu mendapatkan apa yang guru saya dapat."

     "Apa pula yang guru kamu ada sehingga dirimu sanggup bersamanya sentiasa?"

     "Guruku insan yang terpilih, karamahnya sudah kelihatan sejak kecil lagi. Ayahnya, Ismail Al-Adawiy pernah mendapat pesanan daripada Rasulullah berkenaan dirinya."

     "Mana mungkin ayah Rabiah boleh bertemu Rasulullah, sedangkan zaman mereka berbeza?"

     "Rasulullah menziarahi ayahanda guruku melalui mimpinya selepas tertidur semasa tadarus."

     Pernah juga ada yang bertanya, "Apakah yang kamu dapat ketika bersama gurumu itu?"

     Abdah menjawab dengan lemah lembut dan berhikmah, "Yang ada pada guruku adalah apa yang tiada pada diri orang lain."

     "Maksudmu?"

     "Hidup guruku sentiasa disulami zikir dan ibadah lainnya. Ketenangan bersamanya hanya saya yang merasai." Abdah menjawab penuh berhikmah.

     "Bolehkah kamu jelaskan?"

     "Kamu semua hanya bersama guru dalam majlis zikirnya. Malah dari situ pun saya sudah melihat kamu semua seakan sangat bahagia apabila mendengar gemersik suara dan bunyian serulingnya, apakah kamu rasa saya tidak rasa lebih bahagia daripada kalian kerana saya sentiasa bersama guru?" Abdah sengaja membuatkan mereka berfikir.

     Orang yang bertanya tidak mampu berkata apa-apa lagi.

     Kadang-kadang kedengaran ahli jemaah zikir Rabiah berbicara tentang Abdah. Mereka tertanya-tanya siapakah anak gadis yang sentiasa bersama Rabiah.

     "Siapakah gadis itu? Adakah dia anak ataupun adik kepada Rabiah?" tanya seorang jemaah.

     "Mana mungkin, setahu saya Rabiah sebatang kara selepas kematian kedua orang tuanya dan kehilangan tiga orang kakaknya bertahun-tahun dahulu. Sekiranya dikatakan adiknya, tentu sahaja bukan, kerana dia adalah anak keempat Ismail al-Adawiy, sebab itu dia dinamakan Rabiah. Tambahan pula, dia adalah anak bongsu." Jemaah yang paling berumur antara mereka menerangkan.

     "Apa mungkin itu anaknya?" Ada suara nakal yang cuba membuat andaian.

     Namun dia segera dibantah oleh hampir kesemua jemaah yang ada.

     "Mustahil itu adalah anak Rabiah kerana dia tidak pernah berkahwin. Janganlah pula kita membibitkan fitnah pada guru kita itu. Sesungguhnya nafsunya hanya kepada cintanya yang satu."

     "Siapa?" soal jemaah itu pantas.

     "Tuhan kita dan dia. Tuhan yang satu iaitu Allah."

     "Begitu sekalilah cinta Rabiah kepada Allah?" tanya yang lain pula.

     Orang tua itu bertanya kembali, "Kamu pernah ke majlisnya?"

     "Belum."

     "Hadirkan dirimu, kemudian kamu pasti faham maksud saya tadi."

     Begitulah Rabiatul Adawiyah yang sentiasa menjadi topik perbualan di kalangan penduduk Basrah, tidak kira kecil mahupun besar, tua mahupun mudah bahkan lelaki mahupun perempuan.

     Ada juga yang memuji Abdah yang saling tidak tumpah persis Rabiah. Ramai yang pernah berjumpa Rabiah dan Abdah, lantas menyangka mereka adalah anak-beranak.

     Seorang memuji dengan berkata, "Sungguh bertuah budak perempuan bernama Abdah itu. Walaupun dia hanya budak perempuan yang biasa-biasa sahaja, namun kerana dia bergurukan orang yang luar biasa, dirinya juga semakin luar biasa."

     "Apakah maksudmu itu wahai sahabat?" Teman kepada lelaki itu mengajukan persoalan kerana kurang faham dengan kenyataan lelaki tadi.

     "Kamu pernah berjumpa Rabiah?"

     "Pernah, ketika berkunjung ke majlisnya. Tengok dari jauh sahaja, mengapa? Saya dengar dia mempunyai seorang anak gadis yang menjadi anak muridnya?"

     "Betul, namanya Abdah binti Abi Syawal. Dia sudah dibela oleh Rabiah sejak kecil lagi."

     Lelaki itu kemudiannya memuji kedua-duanya dengan berkata, "Rabiah bukan sahaja berjaya membentuk dirinya sebagai seorang yang bertakwa, zuhud dan sentiasa berasa cukup dengan nikmat Allah. Dia juga mampu membentuk Abdah menjadi seperti dirinya."

     "Nampak gayanya begitulah. Sekiranya guru hebat, tentu sahaja muridnya juga hebat."

     "Dia bukan sahaja hidup secara sederhana walaupun berpeluang hidup dengan lebih baik. Selepas bersama Rabiah, dia sudah menjauhi segala bentuk kenikmatan dunia dan sentiasa berusaha meningkatkan tahap ibadatnya  kepada Allah."

     "Nampaknya dia benar-benar mahu mencontohi Rabiah, dan ternyata jalan itu amat jarang dipilih oleh gadis-gadis biasa."

     Abdah bukan sahaja tinggal bersama Rabiah dan mempelajari ilmu-ilmu daripada Rabiah, dia juga cuba mengikuti Rabiah dalam semua urusan lahiriah dan batiniah seperti akhlak, pemikiran dan pergaulan.

     Abdah sendiri pernah ditanya oleh Rabiah, "Wahai anakku, mengapa kamu mahu mendampingi diriku?"

     "Tiada yang lebih indah dan bahagia selain bersama seorang insan yang sungguh rapat dan mesra dengan sang khaliq. Saya dapat merasakan kemanisannya setiap saat dan waktu ketika bersama guru."

     "Adakah kamu tidak menyesal usia remajamu dihabiskan begini, walhal gadis-gadis seusiamu sedang berseronok dengan dunia mereka?" Rabiah bertanya kepada Abdah.

     "Itu adalah dunia mereka, saya yakin di dunia inilah tempat saya. Saya tidak menyesal dan mahu terus bersama guru," jawab Abdah sambil tersenyum.

     Abdah menyambung lagi, "Saya juga mahu mengkaji kehidupan kamu yang sentiasa dihiasi dengan jalur-jalur kesufian dan tasawuf. Sesungguhnya saya melihat tiada orang lain yang lebih memahami hakikat tasawuf berbanding kamu."

     Sebagai orang yang terdekat dengan Rabiah juga, Abdah tidak terlepas daripada disoal perihal gurunya, terutama daripada sudut amalannya.

     "Sebagai orang yang paling rapat dengan guru kita, Rabiah Adawiyah, ceritakan kepada kami perihal amalan beliau ketika tidak berada dalam majlis zikir."

     Abdah dengan tenang menjawab, "Maha suci Allah yang menemukan saya dengan guru kita, sesungguhnya guru kita adalah wanita paling istimewa yang pernah saya jumpa."

     "Teruskan saudari," sampuk seorang jemaah.

     "Sesungguhnya guru tidak pernah walau sekalipun meninggalkan cebisan waktu pada malam hari melainkan hanya dengan solat. Beliau mula bersolat sejurus selepas isyak hingga ke waktu fajar menyingsing, kemudian guru berehat seketika dengan melelapkan matanya. Hanya seketika kemudian, guru bangun dan seraya bersyair."

     'Wahai diri ini,
     Berapakah lamanya engkau perlukan bagi melelapkan dirimu,
     Sampai bila pula dirimu akan terbaring,
    Hampir sahaja dirimu terlelap lena dalam pembaringanmu,
    Hampir juga engkau terus tidak mampu bangkit,
    Kecuali tatkala sangkakala ditiupkan,
    Ketika manusia lena dibuai nikmatnya tidur,
    Maka bangkitlah diri ini dan wajibkan dirimu,
    Kerana diri ini akan mendatangi-Nya.'

     "Sebenarnya yang paling tepat berkenaan diri guruku ini adalah, setiap detik nadi hidupnya diselangi hanya dengan zikir kepada Allah, bahkan hela nafas saat beliau tidur sejenak dihiasi dengan zikir kepada Allah. Kerana dia pencinta yang sejati, cinta yang hakiki dan abadi kepada Rabbnya," jelas Abdah panjang lebar berkenaan guru kesayangannya, Rabiatul Adawiyah.

     "Mungkinkah Rabiah sudah mencapai makam malaikat?" Pernah juga soalan yang sebegitu menyinggah.

     "Tidak, guru tetap manusia biasa, wanita seperti kita. Cuma cintanya kepada Tuhan lebih jauh mengatasi kita."

     Begitulah keadaannya yang perlu diharungi oleh Abdah, dalam menyangkal dan menjawab soalan serta memberi penjelasan yang benar tentang gurunya supaya tidak disalah erti oleh masyarakat umum."




N / F : DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI SRIKANDI YANG BENAR, OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.

No comments:

Post a Comment