Monday 14 March 2016

RABIATUL ADAWIYAH [ BAB 22 - MILIK SIAPA ]






MILIK SIAPA




Sebenarnya  para menteri dan pegawai istana sudah bersetuju apabila dikhabarkan yang Rabiatul Adawiyah sudah dijadikan calon utama bagi menjadi permaisuri takhta Basrah. Mereka kemudian merancang sebaik mungkin bagi memastikan Rabiah menerima lamaran sultan mereka itu.

     Semasa mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa rombongan meminang Rabiah Perdana Menteri berkata, "Sultan kita sangat bijaksana. Beliau telah membuat pilihan yang tepat dengan menerima Rabiah sebagai calon isterinya."

     Bendahara kemudiannya mengiakan. Sambil mengelus janggutnya dia bersuara, "Saya juga amat bersetuju sekiranya Rabiah yang menjadi isteri sultan kita. Semua orang Basrah tahu ketinggian akhlak dan kejelitaannya. Ini melonjakkan populariti sultan kita di mata rakyat apabila Rabiah menjadi isterinya. Kita juga pasti disayangi kerana berjaya melamar Rabiah."

     "Tetapi saya mendengar khabar yang Rabiah bukan seperti wanita biasa kerana sudah ramai yang kecewa apabila menaruh perasaan kepadanya." Si panglima melahirkan kebimbangannya.

     "Tidak mengapa, kita cuba dahulu," kata perdana menteri cuba menenangkan hadirin.

     Bendahara kemudian memberi cadangan, "Bagaimana sekiranya kita bawa hadiah merisik yang mahal-mahal lagi mewah. Perempuan mana yang tidak cair hatinya melihat keindahan emas dan intan berlian? Mereka sememangnya dilahirkan untuk itu."

     "Saya yakin, itu bukan sifat Rabiah."

     "Sekiranya begitu, minta sultan tuliskan surat bagi meyakinkan Rabiah," cadang panglima pula.

     "Alangkah bagusnya cadangan itu."

     Si panglima tersenyum bangga, namun dia dan mereka tidak sedar yang Rabiah bukanlah seperti yang mereka sangkakan, iaitu tunduk pada kuasa lain selain Allah."

     "Mari kita berangkat ke rumah Rabiah. Saya sudah mendapatkan surat daripada Tuanku sendiri," kata perdana menteri.

     Raut wajahnya menunjukkan kesungguhan bagi menyempurnakan misi itu.

     "Sekiranya begitu, mari kita berangkat."

     Apabila mereka sampai ke pondok Rabiatul Adawiyah, mereka sangat terkejut melihat rumahnya yang sangat daif. Mereka seakan tidak percaya, seorang wanita yang tersohor, mulia dan hebat itu hanya diam di dalam pondok ini sahaja.

     "Tuan, apakah benar Rabiah yang kita maksudkan berada di sini?" tanya panglima.

     "Mengikut orang ramai, begitulah."

     "Apakah tuan tidak pelik?"

     "Mengapa? Apa yang peliknya? Dia memang sengaja memilih hidup sebegini."

     "Saya hanya khuatir kita tersalah orang."

     Perdana menteri tidak melayan pertanyaan panglima itu, dia kemudian terus sahaja masuk ke laman rumah dan memberi salam.

     Seketika kemudian keluarlah Abdah binti Abi Syawal menyambut mereka, "Apakah hajat tuan-tuan sekalian?"

     "Khabarkan kepada Rabiah, kami membawa perutusan sultan," jawab perdana menteri.

    "Sekiranya begitu, masuklah dahulu sementara saya mendapatkan guru," jawab Abdah lembut.

     "Tidak mengapa, kami menunggunya di luar ini sahaja."

     "Baiklah," jawab Abdah ringkas seraya masuk semula ke dalam.

     Selepas beberapa lama menunggu, Rabiah pun keluar. Sekalian yang ada terpaku pada lembaga manusia yang berbungkus serba putih tanpa mendedahkan wajahnya itu. Namun mereka semua berbisik, "Ini adalah secantik-cantik dan seindah-indah akhlak manusia yang ada di muka bumi."

     "Khabarnya ada perutusan daripada Raja Basrah kepada saya?" tanya Rabiah lembut. Suaranya hanya didengar dalam lingkungan terdekat sahaja.

    "Benar, di sini saya sampaikan warkah yang diutus untuk saudari daripada sultan kita," beritahu perdana menteri dengan cermat. Dia tahu orang sufi amat sensitif.

     Rabiah menerima sampul itu lantas membukanya. Sejurus menatap warkah sultan itu, wajah Rabiah berubah, ada mendung yang menjengah.

     Wahai Rabiah yang dimuliakan,
    
     Terdetik di hati beta bagi mengkhabarkan kepada kamu yang Allah dengan kekuasaan-Nya menganugerahkan beta 70 ribu dinar setiap hari.

     Saya berjanji kepada kamu, mahu serahkannya kepada kamu sekiranya kamu bersetuju menerima lamaran beta bagi menjadi isteri, sekali gus permaisuri beta.

     "Mana mungkin dia menolaknya lagi. Siapa tidak mahu menjadi permaisuri?" getus panglima dalam hatinya.

     "Saya harap hati Rabiah tertawan dengan tawaran sultan. Demi Allah, hanya dia yang selayaknya menjadi permaisuri kami." Perdana menteri juga berbisik dalam hati.

     Rabiah kemudian memandang tajam kepada mereka yang berada di depannya. Tatkala itu hanya diri mereka sendiri yang tahu betapa ajaibnya panahan mata si wali Allah itu. Rabiah kemudian masuk ke dalam rumahnya selepas memberi isyarat kepada hadirin supaya menunggu.

     Si panglima kemudiannya berbisik kepada perdana menteri, "Apakah Rabiah boleh membaca isi hati kita?"

     "Apa maksud tuan?"

     "Semasa dia memandang kita tadi, saya tidak sanggup bertentang mata dengannya. Dia seakan-akan memberi amaran jangan memperlekehkannya dengan apa yang dihajati ini."

     "Sebenarnya saya juga berasa seperti tuan."

     "Walaupun saya gagah perkasa, namun saya yakin akan tersungkur kepada gadis yang bernama Rabiatul Adawiyah ini hanya dengan panahan amarah matanya."

     Perbualan mereka terhenti tiba-tiba apabila Abdah, anak murid kepada Rabiah keluar membawa surat balas.

     Surat itu menimbulkan reaksi yang berlainan. Ada yang seakan gembira kerana beranggapan yang Rabiah sudi menerima lamaran sultan, manakala yang lain berfikir sebaliknya. Bahkan ada yang mengkritiknya kerana dikatakan Rabiah sudah cair dan melupakan prinsipnya selepas dihidangkan dengan habuan duniawi.

     "Guru, banyak sekali kata-kata yang kurang manis selepas kedatangan rombongan meminang daripada sultan tempoh hari." Abdah berasa sayu ketika berbicara. Dia merasakan tidak patut gurunya dilanda kontroversi yang menimbulkan fitnah.

     "Saya sedar hal itu, tidak mengapa, anakku. Sesungguhnya Allah maha mengetahui segala-galanya. Gadis yang sehebat Mariam juga diuji dengan tuduhan zina, apatah lagi saya ini yang hanya bernama Rabiah."

     Abdah menangis sayu.

     "Janganlah menangis, anakku. Menangislah hanya kerana takutkan Allah, ketika mengharapkannya dan ketika merindukannya. Selain itu, tidak layak air mata kita ditumpahkan ke muka bumi ini."

     "Saya mengerti, guru."

     Selepas surat balas daripada Rabiah sampai kepada sultan, seisi istana gempar. Mereka menantikan apakah tulisan yang terukir pada warkah itu.

     Semua orang menanti dalam debaran. Selepas Sultan Muhammad al-Hasyimi membacanya beberapa ketika, beliau kemudiannya terduduk. Mata memandang ke atas lalu nafas panjang ditarik dalam-dalam. Lama dia begitu, seisi istana cemas. Mereka sudah boleh mengagak apakah jawapan daripada Rabiah.

     Biarpun surat itu berjela panjangnya dan sangat puitis bahasanya, namun ternyata kesimpulan daripada surat itu adalah....

     "Tidak!"

     Sultan terpana. Seisi istana pula menunduk murung.

     "Biar patik pergi menangkap si Rabiah itu. Berani dia ingkar perintah tuanku!" laung panglima, lagak singa mengaum.

     Biarpun tertolak dan hatinya terluka, Sultan Muhammad al-Hasyimi masih waras. Beliau adalah seorang yang bijak bestari dan tidak menjadikan amarah sebagai pakaian diri.

     "Biarlah, sudah takdir jodoh beta bukan dengannya, jangan kalian membuat sebarang tindakan di luar batasan pula. Perkahwinan itu tidak boleh didasarkan dengan paksaan melainkan hanya dengan ikatan suci."

     Beliau menambah lagi, "Beta reda, pasti Allah sudah rencanakan yang lebih baik untuk beta. Yakinlah."

     Kemudian Basrah menjadi gegak gempita. Surat penolakan Rabiah yang ditujukan kepada sultan tersebar kepada masyarakat awam. Macam-macam reaksi mereka, ada memuji, ada mencemuh, ada simpati, ada terharu dan pelbagai ragam lagi.

     Raja yang dimuliakan,

     Kesenangan itu akan diperoleh dengan mudah apabila kita menjauhi keduniaan. Secara jelas ataupun tersembunyi, secara lahir mahupun batin. Kekecewaan dan kerugian adalah teman rapat mereka yang memburu dunia.

     Sewajarnya kita mempersiapkan diri kita malah menjadi penasihat diri kita sendiri. Andai penasihat itu selain daripada diri kita sendiri, maka kelemahan kita terbongkar.

     Sekiranya mampu, berpuasalah selamanya. Waktu ketika ajal datang menjengah adalah waktu bagi berbuka yang paling afdal.

     Sekiranya Allah mengurniakan saya kekayaan lebih daripada apa yang Tuanku miliki itu, pasti juga saya tidak mengubah keputusan saya. Saya tetap menyerahkan diri saya bagi berzikir kepada-Nya sehingga masa terhenti dengan sendiri. Semoga Tuanku dan saya diberkati dan dirahmati oleh Allah.




N / F : DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI SRIKANDI YANG BENAR, OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.




No comments:

Post a Comment