Sunday 13 March 2016

RABIATUL ADAWIYAH [ BAB 21 - IDAMAN RAJA BASRAH ]






IDAMAN RAJA BASRAH




Suatu hari, penduduk Basrah sekali lagi riuh-rendah dengan berita yang gempar. Ada berita mengatakan yang Sultan Muhammad bin Sulaiman Al-Hasyimi menghantar rombongan meminang Rabiah. Beliau berkenan mengambil Rabiah sebagai pemaisurinya.

     Kelihatan seorang lelaki sedang berbual-bual di tangga masjid sejurus selesai menunaikan solat zuhur. Salah seorang yang bernama Yahya berkata, "Saya amat kagum kepada Rabiah. Meskipun dilamar raja, namun dia tetap menolak."

     Sekumpulan yang ada di situ terkejut lalu salah seorang daripada mereka berkata, "Daripada mana saudara mendapatkan berita ini? Adalah tidak wajar kita bercakap mengenainya kerana ia berkenaan sultan kita."

     "Hal ini saya dengar sendiri daripada salah seorang pekerja istana yang dihantar bagi meminang Rabiah," tegas Yahya pula.

     "Jadi benarlah Rabiah menolak lamaran itu?" Muhaimin, pemuda yang paling tinggi antara mereka bersuara.

     "Rabiah itu adalah wali Allah yang terpilih. Dia menolak menerima lamaran-lamaran sebelumnya kerana sebab-sebab tertentu," kata seseorang pula.

     "Ya, ramai juga yang mengatakan Rabiah hanya menunggu mereka yang benar-benar sesuai bagi dijadikan suami. Nyata ia hanya fitnah semata-mata," ujar Muhaimin pula.

     "Tetapi mengapa sampai lamaran raja kita juga ditolak? Saya fikir sekiranya Rabiah menerimanya, kita semua berlapang dada dan dapat menerimanya. Memang selayaknya perempuan luar biasa seperti dirinya berada di atas singgahsana negara." Ada yang melontarkan soalan pula, seolah-olah mempertikaikan tindakan Rabiah.

     Mereka masing-masing mengerutkan dahi, mencari jawapan.

     Beberapa saat kemudian, Yahya kembali bersuara, "Bukankah sebelum ini kita sudah tahu yang Rabiah sememangnya tidak mahu berkahwin, walau dengan sesiapa pun. Dia sudah buktikan yang dia adalah seorang yang sangat berpegang pada prinsipnya."

     Ada yang kurang setuju dengan hujah itu. "Mana boleh begitu, Islam bukan agama yang menghalang perkahwinan, bahkan perkahwinan itu menjadi sunnah Rasulullah. Rasulullah sendiri pernah menggambarkan, sesiapa yang tidak berkahwin bukan daripada kalangan umatnya."

     Tiba-tiba berlaku perdebatan yang hangat. Ada yang setuju dengan tindakan Rabiah menolak lamaran Raja Basrah dan tidak kurang pula yang mempertikaikannya.

     Seseorang bangun lantas menjawab, "Sekiranya yang sedang kita bincangkan adalah Rabiah, semua sudah maklum caranya. Dia punya alasan tersendiri dalam tindakannya. Rabiah bukan berniat menentang sunah Rasulullah melainkan hanya mencintai Allah tanpa berbelah bahagi kepada sesama makhluk."

     "Kami harap wanita sebaik dirinya boleh menjadi pemaisuri kami dan kami sedia bernaung di bawahnya, walaupun bukan dengan kami dia menikah."

     "Saya yakin sekiranya Rasulullah masih hidup sekalipun, beliau pasti meredakan tindakan Rabiah," jawab Yahya.

     Muhaimin segera membantah, "Kita perlu menghormati prinsip Rabiah. Apakah sekiranya dirimu sudah ditawan dengan kecintaan yang maha agung mengatasi kecintaan kepada dunia dan isinya, kamu mahu tinggalkannya?"

     "Tentu sekali tidak."

     "Begitulah keadaan Rabiah. Seluruh tulang, denyut nadi, hela nafas dan alir darahnya hanya mengalir kerinduan dan kecintaan hakiki kepada Kekasih tunggalnya itu. Apakah kamu fikir dia sanggup tinggalkan itu semua?"

     "Nafsu yang mendorong lampias zina sudah lama Rabiah tewaskan. Apakah perlunya lagi nikah bagi dirinya? Dia sudah berasa cukup dengan Allah. Bahkan hanya kerana dia mampu menyebut kalimah-kalimah zikir itu dia masih hidup."

     Persoalan itu mengakhiri perdebatan mereka, kerana masing-masing sedar yang makam Rabiah tentunya jauh mendahului mereka bagai langit dan bumi. Sedangkan Rabiah, walaupun bukan seorang yang maksum, namun dia sentiasa merasakan dirinya sangat rapat dengan Allah.

     Apakah sebab yang membuatkan dirinya tidak mahu menikah dan meninggalkan antara sunah yang terbesar daripada Rasulullah itu, hanya diri dan Kekasihnya sahaja yang mengerti.

     Namun perdebatan tetap berlaku antara yang menyokong dan menentang tindakan Rabiah. Nyata itu bukannya masalah bagi Rabiah kerana masalah pada dirinya hanya satu. Rabiah tidak mahu kehilangan cinta sang Kekasih rinduannya kerana tidak mampu menumpukan sepenuh perhatian dan masa kepadaNya.

     Sebelum itu di istana pemerintah Basrah, Sultan Muhammad bin Sulaiman al-Hasyimi yang sedang mencari bakal permaisuri, berfikir berkenaan sesuatu.

     Sambil bersemayam di atas singgahsana yang hebat dan indah itu, Sultan Muhammad al-Hasyimi tiba-tiba merasakan ada kekurangan pada dirinya.

     "Apakah yang tidak cukup lagi pada diri beta? Sehinggakan singgahsana ini pun terasa hambar sekali."

     Lama memendam perasaan dan berteka-teki dengan dirinya sendiri, barulah beliau sedar kekurangan pada dirinya.

     "Rupa-rupanya beta belum pun mempunyai suri bagi menjadi permaisuri dan melahirkan pewaris takhta ini."

     Beliau kemudian bermonolog lagi, "Mungkin kerana beta terlalu sibuk dengan urusan negara hingga beta terabai memikirkan diri sendiri. Kini sudah tiba waktunya beta mendapat seorang permaisuri. Siapa pula, siapa yang layak menjadi permaisuri beta?"

     Lama berfikir, Sultan Muhammad al-Hasyimi masih buntu, siapakah nanti yang mahu beliau pilih menjadi permaisurinya.

     Beliau kemudian bertitah kepada pengawal, "Panggilkan semua menteri dan pegawai istana, beta mahu bermesyuarat dengan segera."

     Para menteri dan pegawai istana sudah berkumpul. Mereka menanti dalam keadaan tertanya-tanya apakah gerangan keributan yang berlaku hingga sultan mahu bermesyuarat dengan segera.

     Lama menunggu Sultan Muhammad al-Hasyimi pun tiba dan mesyuarat dimulakan.

     "Adapun beta memanggil kalian semuanya kerana mahu bertanya, ada apa cacatnya lagi dalam pemerintahan beta?"

     Para menteri dan pegawai terkejut.

     "Pentadbiran tuanku setakat ini tiada masalahnya," ujar perdana menteri.

     "Semua dalam keadaan terkawal dengan rahmat Allah," jawab panglima pula.

     "Urusan dagang dan cukai juga lancar." Bendahara pula menyampai sembah.

     Sultan Muhammad al-Hasyimi memandang mereka semua satu per satu. Beliau kemudian bertitah, "Namun, mengapa beta merasakan ada kekurangan dalam kerajaan ini?"

     "Maksud tuanku?" tanya perdana menteri.

     Beliau hanya mendiamkan diri. Masing-masing tidak berani bersuara.

     Tiba-tiba penasihat kepada Sultan Muhammad al-Hasyimi yang juga adalah guru kepadanya bersuara, "Pada hemat saya, yang masih kurang pada kerajaan tuanku adalah sekuntum bunga."

     Hadirin kehairanan.

     "Apa kaitannya bunga dengan kerajaan Basrah?" tanya salah seorang.

     "Tahukah kamu semua yang Tuanku masih belum mempunyai isteri yang sah bagi dijadikan permaisuri kerajaan Basrah sekali gus bagi melahirkan pewaris takhta?" kata penasihat sultan, lantang.

     Barulah sekalian yang hadir gempar dan sedar tujuan Sultan Muhammad al-Hasyimi memanggil mereka bermesyuarat.

     "Beta tidak mahu membuat keputusan terburu-buru. Beta jemput kalian semua bagi mencadangkan sekiranya ada calon yang paling sesuai bagi dijadikan isteri beta sekaligus menjadi permaisuri takhta Basrah."

     "Calon itu mesti disenangi oleh semua rakyat dan tuanku sendiri. Namun masih adakah wanita yang sebaik itu di Basrah?" kata perdana menteri.

     "Dengan kehendak Allah, yang merancang agenda seluruh urusan di petala bumi dan petala langit, pasti ada yang layak," kata tuan guru kepada sultan, sekaligus penasihat kepadanya.

     "Sekiranya begitu, guru ada calonnya? Khabarkan," titah sultan kepada gurunya.

     "Memang ada, namun bagi dia menerima tuanku adalah mustahil."

     "Mengapa, guru?"

     "Maksud tuan, Rabiatul Adawiyah?" kata Perdana Menteri terkejut.

     Tuan Guru merangkap penasihat sultan mengangguk. "Sekiranya dengan Rabiah, saya juga setuju. Namun seperti yang dikatakan tadi, agak mustahil bagi mendapatkan gadis sufi yang alim lagi zuhud itu."

     Sultan Muhammad bin Sulaiman al-Hasyimi semakin teruja.

     "Kami juga sebulat suara setuju sekiranya Rabiah diangkat menjadi permaisuri Basrah. Kejelitaan, keayuan serta kebaikan akhlaknya sudah lama diperkatakan. Dia juga seorang yang sangat patuh pada agama malah alim lagi warak. Sebenarnya tuanku, dia sudah diiktiraf oleh para ulama sebagai wali Allah yang dilindungi," kata perdana menteri.

     Sultan Muhammad bin Sulaiman al-Hasyimi gembira mendengarnya lalu terus diutuskan rombongan dari istana bagi meminang Rabiah.




N / F : DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI SRIKANDI YANG BENAR, OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.

No comments:

Post a Comment