Tuesday 29 March 2016

RABIATUL ADAWIYAH [ BAB 26 - OMELAN DI BIBIR RABIAH ]






OMELAN DI BIBIR RABIAH




Hidup orang soleh sentiasa dihiasi dengan ketaatan kepada Allah. Ini jelas dilihat pada kehidupan seharian mereka. Cara mereka bertutur, makan, berbahas, mendengar, menuntut ilmu, dan memberi ilmu. Malah keadaan tidur sekalipun mereka tidak lepas daripada akhlak sebagai seorang mukmin.

     Rabiah jika dilihat dengan mata kasar ternyata tiada cacat celanya lagi sebagai seorang muslimah yang sejati. Bahkan setiap untaian tutur katanya hanya berorientasikan kasih sayang dan kecintaan kepada Allah. Zikir kepada Allah tetap menjadi omelan di bibir Rabiah.

     Pernah diceritakan seseorang berjumpa Rabiah, dan bertanya, "Ketika mana kami hidup di dunia ini, bagaimanakah hubungan kamu dengan Allah?"

     Rabiah menjawab, "Hubungan saya dengan Allah ibarat seorang tamu yang bertandang ke rumah sahabatnya. Dia tidak perlu bersusah payah kerana dilayani oleh tuan rumah dengan sepenuh hati."

     Orang yang bertanya itu terdiam, seakan memikirkan analogi ringkas itu.

     Dia kemudian bertanya lagi, "Kita diminta berdoa kepada Allah, sama ada susah ataupun senang."

     "Benar."

     "Mengapa pula kamu tidak pernah berdoa memohon sesuatu kebaikan ataupun dihindarkan sesuatu keburukan?" Belum sempat dijawab soalan ditambah lagi, "Bukankah Allah berjanji mengabulkan doa orang Islam?"

     Rabiah memejam mata, nafas ditarik dalam-dalam, dia kemudian menjawab lembut, "Tidak perlu saya sibukkan diri dengan perkara itu apabila sudah mendapat jaminan daripada Allah. Dia lebih mengetahui dan memahami apa yang diperlukan oleh saya sebelum saya berkata sesama makhluk."

     Orang itu akhirnya berlalu dengan penuh persoalan dan kekaguman. Dia mengerti apa yang dimaksudkan oleh Rabiah sebentar tadi, namun dalam masa yang sama datang keraguan dan kekaburan dalam dirinya.

     Dia akhirnya mengakui bahawa dia tidak faham kerana dirinya bukan di makan Rabiah lagi.

     Dalam majlis yang sama juga, Rabiah terus menjadi tempat tuju soalan. Sudah kebiasaan Rabiah menjadi tempat rujuk dalam segala hal. Dari hal kesufian hingga kepada akidah dan fiqah. Dengan kealiman dan kewarakannya semua soalan dijawab dengan sempurna.

     "Kami mendapati kamu sentiasa menangis dan meratap sepi, bukankah ini satu kezaliman kepada diri sendiri? Kami hairan mengapa kamu sanggup berbuat demikian, tidakkah kamu mengasihi diri anda sendiri?"

     Soalan itu biasanya daripada mereka yang masih tidak faham hakikat kesufian itu sendiri. Akhirnya amalan kesufian yang dianggap ganjil oleh mereka itu juga dianggap keterlaluan.

     Dengan itu Rabiah pun menjawab dengan tegas. Ada nada keras dalam laras suaranya.

     "Sekiranya dijanjikan suatu kenikmatan daripada kasih sayang Allah di akhirat kelak, adakah kamu berasa rugi untuk bekerja keras pada hari ini? Sesungguhnya, mereka yang bekerja kuat itu adalah manusia yang paling bahagia di akhirat."

     "Soalnya kenapa pula kamu sentiasa bersedih dan berdukacita? Kami sering tertanya, mengapakah perkara ini menjadi akrab dengan diri kamu?"

     "Saya sentiasa dirundum perasaan sedih kerana, walau sebanyak manapun amalan saya kepada-Nya namun saya tidak mengetahui sama ada Allah reda ataupun tidak kepada saya. Tidak mustahil juga Allah murka kepada saya. Adakah kamu ada jawapannya?"

     "Ceritakanlah asal kamu, Rabiah. Sekiranya dilihat secara kasar nescaya orang ramai beranggapan kamu hanya manusia buangan."

     "Saya berasal dari jauh, sebuah negeri yang kekal abadi. Negeri yang dipanggil sebagai akhirat."

     "Sekiranya kamu dari negeri akhirat, di manakah pula hala tujumu?"

     "Ke alam akhirat itulah hala tujuku."

     "Jika demikian, apakah pula yang kamu lakukan di dunia ini?"

     "Saya kira saya hanya bermain-main sahaja."

     "Apakah maksud bermain-main itu?"

     "Walaupun saya memakan roti untuk dunia, namun segala amalan saya adalah untuk akhirat."

     Dengan jawapan yang tegas itu, Rabiah seakan menyatakan bahawa tiada yang mampu menggugat prinsipnya. Seolah dia mahu berkata, "Janganlah kalian cuba mencuri atau merampas kecintaan aku kepada Allah, kelak kalian pasti akan menyesal."

     Mungkin darjat keimanan Rabiah sudah jauh tinggi sehingga mencapai darjat keimanan para sahabat Rasulullah. Ini adalah perkara yang tidak mustahil sekiranya dilihat kepada dirinya. Ini bersesuaian dengan dialog Rasulullah dan sahabatnya.

     Suatu hari, Harithah bin Malik berjalan di hadapan Rasulullah. Baginda menegurnya dengan bertanya khabar, "Wahai Harith, apa khabar kamu pagi ini?"

     Harithah menjawab, "Wahai Rasulullah, pagi ini saya sudah menjadi mukmin yang sebenarnya."

     Rasulullah bertanya kembali, "Wahai Harithah, apakah kamu sedar apa yang ucapkan? Setiap sesuatu ada hakikatnya? Nyatakah kamu akan hakikat iman itu?"

     Harithah menjawab, "Sungguh saya sudah menjauhkan dunia. Pada malam hari saya dirikan solat dan siangnya pula saya berpuasa. Kini seolahnya Arasy itu berada di hadapan saya. Saya juga melihat ahli syurga yang saling menziarahi dan ahli neraka yang saling mendengki."

     Selepas mendengar penyataan Harithah, Rasulullah bersabda, "Wahai Harithah, kamu sudah menemui hakikat iman. Maka berpegang teguhnya padanya."

     Ada juga mereka yang berbahas berkenaan gaya hidup Rabiah.

     Kata mereka, "Bagaimana mungkin Rabiah hidup tanpa teman hidup."

     Kawannya menjawab, "Siapa yang cakap dia tidak punya teman."

     "Maksud kamu."

     "Tahukah kamu bahawa rumah Rabiah itu adalah tempat berkumpul para alim ulama dan wali-wali Allah."

     "Benarkah begitu."

     "Ya, benar sekali. Tidak ada ulama yang pernah hidup di Basrah ini tidak mengunjungi rumah Rabiah. Di situlah medan mereka berdiskusi, ilmu yang tidak mampu difahami oleh orang awam."

     "Siapa yang kamu maksudkan?"

     "Hasan al-Basri, Sufian al-Tsauri, Malik bin Dinar, Abdul Wahid bin Zaid dan banyak lagi. Mereka menjadikan rumah Rabiah sebagai rumah kedua mereka."

     "Apa yang dilakukan oleh mereka."

     "Mereka berdiskusi dan berbincang perihal batiniah sehingga tidak sedar mereka sudah berada di dalamnya. Mereka bersolat tanpa henti setiap malam sehingga makan dan minum tidak menjadi penting."

     "Bukankah dahulu ulama-ulama itu adalah guru kepada Rabiah."

     "Ya."

     "Bagaimana pula guru-guru itu seolah-olahnya mengambil pelajaran daripada Rabiah?"

     "Itulah kelebihan Rabiah. Pada asalnya dia hanya murid namun ternyata kecerdasan dan kepintarannya menyebabkan dia dijadikan tempat rujukan pula oleh guru-gurunya."

     Orang yang bertanya itu belum puas hati, dia mempersolkan pula berkenaan status Rabiah.

     "Mengapakah perempuan sepertinya tidak mahu bernikah? Apakah tidak ada lelaki yang inginkannya?"

     "Jaga tutur kamu. Sedangkan pinangan Sultan Muhammad bin Sulaiman al-Hasyimi dan ulama besar Abdul Wahid bin Zaid pun ditolaknya, apakah perlu dibicarakan tentang jodoh?"

     "Tidak adakah keinginannya untuk berkasih sayang mengikut fitrah dan suruhan agama Islam?"

     "Rabiah tidak perlukan kasih sayang jenis itu."

     "Maksud kamu?"

     "Rabiah sudah biasa mendapat dan merasai nikmat kecintaan kepada Allah. Apakah kamu fikir dia masih teringin untuk bercinta dan berkasih sayang sesama makhluk?"

     Lelaki yang bertanya itu terdiam, dia tersedar yang Rabiah bukan wanita biasa. Memang menjadi keganjilan kepada mana-mana manusia yang tidak mahu mendirikan rumah tangga, kerana kenikmatan berumah tangga memang sengaja Allah syariatkan bagi menghindari manusia daripada berzina.




N / F : DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI SRIKANDI YANG BENAR, OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI. 

No comments:

Post a Comment