Tuesday 20 September 2016

MAHU ATAUPUN TIDAK?






MAHU ATAUPUN TIDAK?








Benteng pemisah antara kecermalangan dunia dan akhirat, dan juga kegagalan seseorang adalah benteng mahu ataupun tidak. Ini adalah benteng ajaib. Sekiranya kita sebutkan mahu, muncul pada pintu itu. Sekiranya kita menyebutkan tidak, yang kelihatan hanyalah dinding dan kita kekal berdiri di hadapan dinding itu tanpa mahu meneruskan perjalanan.

     Manusia yang tidak mampu berjaya, hakikatnya mereka tersekat pada dinding bernama mahu ataupun tidak.

     Kebiasaannya, mereka memilih tidak.

     Mereka tertipu dengan benteng majazi yang tidak wujud itu. 

     Perhatian, dalam membicarakan mahu ataupun tidak ini, saya membicarakan dalam konteks mahu ataupun tidak ke arah kebaikan dan sekutu dengannya. Saya tidak membicarakan perihal mahu ataupun tidak dalam erti kata membuat keburukan dan sekutu dengannya.

Pilihan yang Diberikan oleh Allah s.w.t.

Allah menjelaskan dalam surah Al-Baqarah, ayat 256 yang bermaksud:

     "Tidak ada paksaan dalam Islam, kerana sesungguhnya sudah
     nyata kebenaran Islam daripada kesesatan dan kufur. Oleh                                          itu sesiapa yang tidak percayakan selain daripada Allah dan                                        beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia berpegang                                            kepada simpulan tali agama yang teguh dan tidak akan putus.                                      Ingatlah, Allah maha mendengar, lagi maha mengetahui."

Allah menyatakan bahawa tidak ada paksaan dalam Islam. Tetapi, Allah menegaskan juga, tidak ada paksaan itu tidak bermakna Dia menghilangkan efek memilih kebenaran dan efek memilih kejahatan.

     Sesiapa yang memilih kebenaran pasti selamat. Sesiapa yang memilih keburukan, pasti hancur. Hukum ini tidak berubah, walaupun paksaan tidak diletakkan pada kita dalam memilih baik ataupun buruk.

     Setiap pilihan mempunyai efek. Apabila kita memilih mahu, ia mempunyai efek, dan sekiranya kita memilih tidak mahu, juga mempunyai efeknya. Tidak ada sebarang paksaan dalam membuat pilihan, Pilihan ini tidak sesekali menghilangkan efek sama ada mahu ataupun tidak.

Efek Memilih Mahu

Apabila kita memilih mahu, kita memilih satu jalan yang sukar. Kadangkala jalan ini memerlukan kita meninggalkan apa yang kita suka. Jalan ini juga perlu ditempuhi dengan 1001 ujian dan halangan serta cabaran. Ini adalah kesan sampingan kepada mahu.

     Sebagai contoh, apabila membicarakan perihal mengubah masyarakat kepada masyarakat yang mentaati Allah, Syed Qutb menjelaskan keadaan kepada pilihan itu dengan kata-katanya yang masyur, "Jalan ini tidak ditaburi oleh bunga-bunga, tetapi ditaburi oleh duri-duri yang terpacak."

     Ini adalah contoh kesan sampingan terhadap mahu.

     Kesan sampingan ini ditakuti manusia, dan menyebabkan ramai yang tidak berani memilih mahu. Namun, kesan sampingan ini hanya wujud dalam waktu pendek sahaja. Kesan utamanya adalah beribu kali ganda lebih menyenangkan daripada 1001 ujian tadi. Sekiranya kita membicarakan perihal akhirat pula, kesan itu menyenangkan kita dan juga bersifat abadi.

     Allah menjelaskan dalam surah Asy-Syarh, ayat 5 hingga ayat 6 yang bermaksud:

     "Oleh itu, tetapkanlah kepercayaan kamu, sesungguhnya
     setiap kesukaran disertai kemudahan. Sekali lagi ditegaskan
     sesungguhnya setiap kesukaran disertai kemudahan."

     Namun, ramai yang terlalu takut dengan kesan sampingan pada jalan memilih mahu. Ini menyebabkan ramai yang memilih kepada tidak.

Effek Memilih Tidak

Apabila kita memilih tidak, kita memilih satu jalan yang mudah. Kita tidak memilih bagi melepasi benteng, tetapi sekadar berdiri tanpa melakukan apa-apa di hadapan benteng itu. Jalan ini tidak susah dan sukar kerana kita tidak memerlukan usaha dan pengorbanan. Malah, kita mampu berbuat sesuka hati, tanpa perlu mengawal sebarang peraturan. Kesenangan dan kemudahan adalah kesan sampingan kepada tidak.

     Kesan sampingan ini menyenangkan semua orang. Menyebabkan ramai yang suka memilih tidak. Namun, perlu diketahui bahawa kesan sampingan ini hanya wujud dalam jangka masa sementara sahaja. Kesan utamanya dan hakikatnya adalah menakutkan dan merosakkan diri berkali ganda lebih daripada kesenangan tadi. Sekiranya kita membicarakan perihal akhirat, kesenangan sementara di dunia sehingga meninggalkan hukum-hakam Allah, akan dibayar dengan keperitan neraka yang dasyat dalam keadaan abadi, selama-lamanya.

     Allah menjelaskan dalam surah Toha, ayat 131 yang bermaksud:

     "Janganlah kamu menujukan pandangan kedua-dua matamu
     dengan keinginan kepada apa yang Kami berikan kepada
     beberapa orang golongan kafir itu, iaitu keindahan kehidupan dunia
     ini. Kami mengujikan mereka sedangkan limpah kurnia Tuhanmu di
     akhirat lebih baik dan lebih kekal."

Namun, ramai yang terpedaya dengan kesan sampingan pada jalan memilih tidak. Ini menyebabkan ramai yang tidak memilih mahu.

Pilihan di Tangan Kita. Efek Tetap Berjalan

Pilihlah. Sekiranya kita mahu kebaikan, kita pasti merasai kesan sampingannya yang sementara itu dan kemudian mendapat kesannya yang abadi di syurga-Nya. Sekiranya kita memilih tidak pada kebaikan, dan mahu kepada keburukan, kita pasti merasai kesan sampingannya yang sementara itu dan kemudian mendapat kesannya yang dasyat dalam syurga Allah s.w.t.

     Allah menjelaskan dalam surah Ar-Ra'd, ayat 11 yang bermaksud:

     "Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada
     setiap kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada
     mereka sendiri."
sua
Melewat-lewatkan pemilihan mahu ataupun tidak menyebabkan kita melakukan pembaziran dan merugikan diri sendiri. Akhirnya, mencampakkan kita dalam golongan yang memilih tidak.

     "Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian."
     Maksud dalam surah Al-'Asr ayat 1 hingga ayat 2.

     Keputusan perlu dibuat.

     Tidak ada paksaan. Tetapi, kita pasti mendapat apa yang sesuai dengan pilihan kita.

     
Allah Maha Pengasih

Pada pandangan saya, besar kasih sayang Allah kepada manusia. Dia tidak memaksa. Tetapi, dengan lembut dan penuh berhikmah Allah memberikan kita amaran. Dengan kuasa-Nya, Allah mampu membuatkan semua makhluk beriman kepada-Nya. Tetapi, Dia tidak melakukan demikian. Dia mahu menguji para hamba-Nya dan memberikan mereka ikhtiar.

     Allah menegaskan dalam surah Al-Mulk, ayat 2 yang bermaksud:

     "Dia yang mentakdirkan adanya mati dan hidup bagi menguji dan
     menzahirkan keadaan kamu. Siapakah di antara kamu yang lebih
     baik amalnya dan Dia Maha Kuasa membalas amal kamu, lagi Maha
     Pengampun untuk golongan yang bertaubat.

Allah tidak memaksa kita mentaati-Nya ataupun tidak, hendak berjaya ataupun tidak. Tetapi Allah menceritakan keburukan tidak mentaati-Nya, dan keburukan apabila memilih kegagalan.

     Oleh itu, Allah melarang sesiapa sahaj ayang mentaati-Nya, berputus asa. Ini kerana, berputus asa adalah antara jalan dalam pilihan tidak. Sesiapa yang tidak berputus asa, sentiasa memilih mahu kebaikan.

     Ini antara kasih sayang Allah yang besar untuk manusia.

     Kita yang memilih.

     Namun, balasan tetap wujud pada pilihan yang kita pilih.

     Berbalik pada diri kita, adakah kita percaya ataupun tidak dengan balasan terhadap pilihan kita.




N / F : DARIPADA "UNTUK KITA PENDOSA, HARAPAN SELALU ADA", OLEH HILAL ASYRAF.







No comments:

Post a Comment