Friday 16 September 2016

HASAN AL-BANNA [ BAB 22 - RAHMAT TURUN DI PELABUHAN SAID ]






RAHMAT TURUN DI PELABUHAN SAID








Ahmad Afandi Misri turun daripada kereta api yang berhenti di stesen Ismailiyah. Pemuda bertubuh gempal, berambut kerinting, dan usianya hampir 18 tahun itu berjalan pantas menuju ke hotel yang akan dijadikan tempat tinggalnya selama berada di Ismailiyah. Ini adalah kali pertama anak muda itu datang ke Ismailiyah kerana diarahkan ayahnya membeli barang-barang di Ismailiyah, untuk dijual di Pelabuhan Said.

     Mengikut jadual, Ahmad Afandi Misri berada di Ismailiyah selama seminggu. Selesai membeli barang-barang yang diperlukan, dia akan pulang semula ke Pelabuhan Said. Selepas seminggu berlalu, Ahmad Afandi Misri mengambil keputusan menangguhkan kepulangannya kerana ada sesuatu yang menarik perhatiannya. Dia menulis surat kepada ayahnya memaklumkan dia akan berada di Ismailiyah seminggu lagi kerana ada perkara mustahak. Barang-barang yang dibelinya di Ismailiyah dihantar ke Pelabuhan Said melalui kereta api.

     Kisahnya bermula semasa Ahmad Afandi Misri sampai ke Masjid Ikhwan Muslimin lalu menunaikan sembahyang zuhur. Selesai bersembahyang, dia berbual dengan beberapa orang pemuda yang sebaya dengannya yang sama-sama sembahyang di masjid itu.

     "Pernah dengar nama Ikhwan Muslimin?" tanya pemuda itu.

     Ahmad Afandi Misri menggeleng lalu menjawab, "Ini baru pertama kali mendengarnya."

     "Ini Masjid Ikhwan Muslimin. Di sini pusat pergerakan Ikhwan Muslimin. Kami sering mengadakan ceramah di sini dan ia terbuka kepada orang ramai," kata pemuda itu yang memperkenalkan dirinya dengan nama Abdullah Afandi.

     Malam itu Ahmad Afandi Misri datang sekali lagi ke Masjid Ikhwan Muslimin bagi mendengar ceramah yang disampaikan oleh Hasan Al-Banna. Selepas tiga kali mendengar ceramah, akhirnya Ahmad Afandi Misri mahu menemui Hasan Al-Banna.

     "Saya mahu menjadi ahli Ikhwan Muslimin. Apa sahaja syaratnya saya setuju," kata Ahmad Afandi Misri.

     Keinginan Ahmad Afandi Misri itu diterima dengan baik. Beliau secara rasmi menjadi ahli Ikhwan Muslimin. Walaupun baru sahaja menjadi ahli Ikhwan Muslimin, semangat Ahmad Afandi Misri untuk berdakwah bersama pertubuhan itu berkobar-kobar. Beliau pulang ke Pelabuhan Said dengan membawa bersamanya obor perjuangan Ikhwan Muslimin. Kemudian Ahmad Afandi Misri menceritakan pengalamannya bersama Ikhwan Muslimin itu kepada sahabat baiknya. Akhirnya kedua-duanya berjaya mengajak para pemuda di Pelabuhan Said menyokong perjuangan Ikhwan Muslimin. Perjumpaan demi perjumpaan diadakan di pelbagai tempat di bandar itu. Akhirnya mereka bersetuju sebuah cawangan Ikhwan Muslimin ditubuhkan di Pelabuhan Said.

     Kemudian Ahmad Afandi Misri menulis surat kepada Hasan Al-Banna, menjemputnya datang ke Pelabuhan Said bagi bertemu dengan para pemuda yang sudah menyertai Ikhwan Muslimin serta merasmikan cawangannya.

     Hasan Al-Banna berasa amat gembira mendengar berita itu. Tanpa berlengah lagi, beliau pergi ke Pelabuhan Said bersama beberapa orang pengiringnya. Kedatangan pemimpin Ikhwan Muslimin itu disambut dengan meriah. Majlis perasmian penubuhan cawangan Ikhwan Muslimin Pelabuhan Said diadaka di rumah Ahmad Afandi Misri selepas sembahyang isyak.

     Selepas majlis perasmian itu, mereka bersumpah setia untuk berdakwah serta melancarkan jihad terhadap golongan yang menentang Islam, sehingga mereka berjaya ataupun lenyap. Buat sementara waktu, mereka menjadikan rumah Ahmad Afandi Misri sebagai tempat berkumpul.

     "Sudah tiba masanya kita menyebar risalah Islam secara terbuka kepada orang ramai. Kerana itu kita perlu memiliki tempat sendiri, bagi dijadikan Pusat Gerakan Ikhwan Muslimin Pelabuhan Said. Saya cadangkan kita menyewa sebuah rumah kedai di Jalan Al-Maniyya," kata Ahmad Afandi Misri dalam satu mesyuarat.

     Beliau dilantik menjadi Yang Dipertua Ikhwan Muslimin Pelabuhan Said. Walaupun usianya masih muda, beliau menunjukkan bakat kepimpinan yang baik.

     "Cadangan itu memang baik, tetapi kita masih belum mempunyai sumber kewangan yang kukuh," kata Farid yang menjadi bendahari.

     Taufiq mencadangkan, "Kita boleh mengutip derma daripada orang ramai."

     Ahmad Afandi Misri menolak cadangan itu dengan berkata, "Kita tidak boleh mengutip derma daripada orang ramai kecuali mereka yang telah menjadi ahli Ikhwan Muslimin sahaja."

     "Saya cadangkan kita minta bantuan daripada Ikhwan Muslimin Aboo Suwair," kata Ahmad Afandi Misri.

     Mereka sebulat suara menyokong cadangan itu. Ahmad Afandi Misri pergi menemui pemimpin Ikhwan Muslimin cawangan Aboo Suwair bagi meminta bantuan. Tetapi jumlah yang diberi masih belum mencukupi, menyebabkan mereka meminta bantuan dari Ikhwan Muslimin Ismailiyah. Hasan Al-Banna menyokong cadangan tersebut lalu menghantar bantuan yang diperlukan.

     Selepas mempunyai sebuah bangunan sendiri dan setelah Pusat Ikhwan Muslimin di Pelabuhan Said kukuh, para ahli Ikhwan di situ mengambil keputusan bagi menyebarkan risalah Islam secara terbuka kepada orang ramai. Bagi tujuan itu, mereka bercadang mengadakan majlis perhimpunan umum pada 15 Muharam, tahun 1349 Hijrah di Pusat Gerakan Ikhwan Pelabuhan Said. Mereka menjemput Hasan Al-Banna datang ke Pelabuhan Said bagi membuat syarahan pada perhimpunan itu. Beliau bersetuju dan merancang menaiki kereta api ke Pelabuhan Said. Tetapi sehari sebelum pergi, Hasan Al-Banna demam sehingga tekaknya sakit.

     "Kesihatan kamu akan tergugat dan sakit ini jadi bertambah teruk sekiranya kamu terus mengembara pada siang hari dan bersyarah pada waktu malam. Kerana itu walau dalam keadaan apa sekalipun dan walau apapun alasannya, kamu dilarang pergi ke Pelabuhan Said," kata Doktor Muhammad bin Sadiq yang merawat Hasan Al-Banna.

     "Saya sudah dijemput untuk memberi syarahan dan kehadiran saya diperlukan," kata Hasan Al-Banna pula.

     Doktor Muhammad Bin Sadiq memarahi Hasan Al-Banna, "Bagaimana kamu mahu pergi ke Pelabuhan Said dalam keadaan demam yang teruk begini? Bagaimana pula kamu mahu bersyarah sekiranya tekak kamu sakit dan suara tidak boleh keluar dengan jelas."

     Akhirnya Hasan Al-Banna mengambil keputusan tidak mempedulikan nasihat doktor itu. Dia tetap mahu pergi ke Pusat Ikhwan Muslimin Pelabuhan Said. Keesokan petangnya selepas sembahyang asar, Hasan Al-Banna menaiki kereta api ke Pelabuhan Said. Kerana terlalu lemah dan sakit, maka Hasan Al-Banna terpaksa bersembahyang maghrib secara duduk. Selepas memberi salam dan berdoa, tiba-tiba satu perasaan ganjil menyelubungi dirinya.

     Terbayang di matanya anggota Ikhwan Muslimin Pelabuhan Said sedang menunggu kedatangannya dengan rasa gembira. Mereka sudah meletakkan harapan yang tinggi kepada perhimpunan itu dengan menjemput ketua mereka untuk datang dan memberi ucapan. Mereka juga sudah bersusah payah menjemput orang ramai dalam perhimpunan tersebut.

     Hasan Al-Banna berasa amat terharu memikirkan perkara itu hingga membuat dia menangis. Dia terus menangis dan berdoa supaya diberi kekuatan bagi melaksanakan tugas itu. Selepas puas menangis dan berdoa sampai masuk waktu isyak, tiba-tiba Hasan Al-Banna merasa tenaganya kian pulih dan sakitnya beransur sembuh. Dia mengucapkan rasa syukur kerana dapat menunaikan sembahyang isyak dengan berdiri. Menjelang waktu subuh, kereta api yang dinaikinya sampai di Pelabuhan Said. Hasan Al-Banna disambut oleh Ahmad Afandi Misri.

     "Selamat datang ke Pelabuhan Said. Wajah Tuan nampak sedikit pucat. Apakah Tuan tidak sihat?" tanya Ahmad Afandi Misri.

     "Saya demam tetapi sekarang sudah sembuh. Alhamdulillah," jawab Hasan Al-Banna.

     Ahmad Afandi Misri perasan sesuatu pada ketuanya itu lantas dia bertanya, "Suara Tuan masih serak. Semoga tidak mengganggu Tuan berucap pada perhimpunan itu."

     "Insya-Allah," kata Hasan Al-Banna dengan penuh yakin.

     Hasan Al-Banna berasa gembira melihat orang ramai berhimpun di Pusat Kegiatan Ikhwan Muslimin Pelabuhan Said. Majlis dimulakan dengan bacaan Al-Quran. Kemudian Hasan Al-Banna dijemput memberikan ucapan.

     Semasa mula berucap, Hasan Al-Banna sendiri tidak dapat mendengar perkataan-perkataan yang diucapkan kerana tekaknya sakit dan suaranya tidak jelas keluar. Dia berdoa semoga diberi kekuatan bagi menyampaikan ucapan pada perhimpunan yang amat penting itu. Tiba-tiba dengan kuasa Allah, Hasan Al-Banna dapat merasakan sakit tekaknya sembuh, dan suaranya semakin jelas dan kuat sehingga dapat didengari di dalam dan di luar bangunan itu.

     Hasan Al-Banna berucap tanpa menggunakan pembesar suara. Namun suaranya begitu jelas sehingga menimbulkan rasa hairan pada dirinya sendiri. Semua yang hadir dapat menghayati ucapannya yang mengambil masa selasa dua jam itu. Perhimpunan itu berakhir dengan penuh kejayaan. Hasan Al-Banna mengucapkan rasa syukur. Sesungguhnya dia yakin semua itu adalah rahmat dan kasih sayang Allah yang merestui usaha-usaha Ikhwan Muslimin Pelabuhan Said.

     Selepas perhimpunan itu, ahli-ahli Ikhwan Muslimin Pelabuhan Said menyampaikan dakwah secara terbuka kepada orang ramai. Berkat usaha yang ikhlas dan bersungguh-sungguh, dakwah yang mereka lakukan mendapat kejayaan demi kejayaan.

     Kerana sambutan daripada orang ramai yang begitu hebat, empat cabang Ikhwanul Muslimin ditubuhkan di Pelabuhan Said. Setiap satunya menyediakan sebuah padang permainan. Ramai anak muda yang menjadi ahli Ikhwan Muslimin.




N / F : DARIPADA "HASAN AL-BANNA", OLEH ABDUL LATIP TALIB.






No comments:

Post a Comment