Saturday 10 September 2016

HASAN AL-BANNA [ BAB 13 - DAKWAH PERTAMA DI KEDAI KOPI ]






DAKWAH PERTAMA DI KEDAI KOPI








Pada hari terakhir Hasan Al-Banna di Mahmodiyah, dia menutup kedainya selepas sembahyang asar dan menyerahkan kunci kepada Yazid. Kemudian dia menuju ke rumah Ahmad Afandi Sakri. Menurut ibunya beliau sedang memancing ikan di Sungail Nil. Hasan Al-Banna pergi mendapatkan sahabat baiknya itu.

     "Tidakkah kamu tahu hari ini adalah hari terakhir saya di Mahmodiyah? Esok saya akan berangkat ke Kaherah," beritahu Hasan Al-Banna.

     "Saya tahu," jawab Ahmad Afandi Sakri.

     "Tidakkah kamu tahu betapa berat hati saya hendak meninggalkan Mahmodiyah ini terutama kamu, sahabat baikku?' tanya Hasan Al-Banna lagi.

     Ahmad Afandi Sakri mengangguk lemah lalu berkata, "Saya tahu dan saya sedang menangis."

     "Mengapakah engkau menangis? Saya juga sedih tetapi tidaklah sampai menangis," kata Hasan Al-Banna pula.

     "Saya dapat rasakan ini adalah kali terakhir kamu datang ke Mahmodiyah. Selepas ini kamu pasti tidak datang lagi," kata Ahmad Afandi Sakri.

     "Mengapa kamu berfikiran seperti itu? Bukankah Mahmodiyah ini tempat kelahiranku? Di sini masih ada rumahku. Saya pasti datang lagi," kata Hasan Al-Banna.

     "Cuti musim panas tahun depan kamu tentu sibuk dengan pelajaran sehingga tidak ada masa lagi untuk datang ke Mahmodiyah," balas Ahmad Afandi Sakri.

     "Mengapa kamu cakap begini? Saya datang untuk bertemu dengan kamu. Kerana esok pagi saya akan naik kereta api ke Kaherah," kata Hasan Al-Banna.

     "Itu yang bermain dalam fikiranku. Maaf jika menyinggung hatimu," ujar Ahmad Afandi Sakri.

     Hasan Al-Banna turut sedih dengan kata-kata kawannya itu. Dia berkata, "Kita bersahabat baik sejak dari kecil. Saya juga rindu sekiranya tidak lama berjumpa dengan kamu. Kerana itu saya cadangkan kamu ikut kami berpindah ke Kaherah. Di sana kamu boleh jalankan perniagaan."

     "Sebenarnya saya ada cita-cita yang lebih baik dari itu," kata Ahmad Afandi Sakri pula.

     Hasan Al-Banna teruja mendengar kata-kata sahabatnya itu. "Boleh beritahu saya, wahai sahabatku?"  

     "Saya akan dikahwinkan dengan gadis pilihan ibu saya tidak lama lagi. Ayah saya pula akan membuka sebuah kedai di Jalan Maliki. Kerana itu saya tidak dapat mengikut kamu ke Kaherah," jawab Ahmad Afandi Sakri.

     Hasan Al-Banna berasa amat gembira dan mengucapkan tahniah kepada sahabat baiknya itu.

     "Pada hari perkahwinanmu nanti saya datang," kata Hasan Al-Banna.

     Keesokan harinya Hasan Al-Banna pulang ke Kaherah bagi meneruskan perjuangannya menuntut ilmu di Darul Ulum. Kesungguhannya belajar menjadikan beliau penuntut cemerlang dalam pelajaran.

     Namun ada sesuatu yang merunsingkan fikiran Hasan Al-Banna apabila melihat keadaan masyarakat di Kaherah. Ramai di antara mereka yang runtuh akhlaknya. Di merata tempat terdapat pelbagai kegiatan maksiat yang jauh dari akhlak Islam. Kelab malam dan pusat hiburan tumbuh bagaikan cendawan pada musim hujan. Keadaan menjadi semakin parah dengan pengaruh daripada setengah akhbar yang menyiarkan berita-berita yang bertentangan dengan ajaran Islam. Pembaca dihidangkan dengan pelbagai hiburan yang melalaikan.

     Namun sinar Islam masih wujud di Kaherah. Selain Universiti Al-Azhar yang menjadi gedung ilmuwan Islam, terdapat banyak lagi pusat pengajian Islam yang mengeluarkan graduan setiap tahun. Para ulama di Kaherah juga masih sanggup menyampaikan ajaran Islam di masjid-masjid. Antara ulama yang gigih berdakwah adalah Ustaz Abdul Aziz Al-Khouli, Ustaz Syeikh Muhammad Mahfudz, dan Syeikh Muhammad Al-Alwi. Namun kegiatan mereka terhad di dalam masjid sahaja.

     Pada suatu malam, Hasan Al-Banna mengadakan mesyuarat di Masjid Syaikhon di Solibah. Mereka yang hadir terdiri daripada pelajar Universiti Al Azhar dan Darul Ulum.

     "Setiap hari kita melihat semakin ramai penduduk Kaherah yang rosak akhlaknya. Kaum wanita ramai yang keluar tidak menutup aurat. Kaum lelaki pula ramai mengunjungi kelab malam dan pusat hiburan. Akibatnya masjid hanya didatangi orang-orang tua. Kita sebagai pelajar Islam yang menjadi harapan umat tidak boleh berdiam diri. Kita perlu lakukan sesuatu bagi memulakan semula kegiatan dakwah. Sesungguhnya dakwah adalah senjata ampuh bagi menangkis pengaruh luar itu," kata Hasan Al-Banna dengan panjang lebar.

     "Saya bersetuju dengan kata-kata kamu itu. Sekiranya Tuan dikurniakan ilham, boleh kongsikan dengan kami supaya dapat kami memberi sokongan," kata Ustaz Muhammad Madkur, pelajar Universiti Al-Azhar.

     "Kita tidak boleh biarkan beberapa orang ulama sahaja yang berdakwah di masjid. Kita perlu bantu mereka berdakwah kepada orang ramai," kata Hasan Al-Banna.

     "Cadangan yang menarik. Tetapi bagaimana?" tanya Ustaz Ahmad Abdul Hamid.

     Hasan Al-Banna menyatakan cadangannya, "Kegiatan dakwah bukan di masjid sahaja tetapi juga di tempat awam termasuk di kedai-kedai kopi. Kita mesti membentuk satu kumpulan yang bergerak ke kampung-kampung, dan bandar-bandar bagi menyebarkan dakwah."

     Hamid Askariyyah kelihatan ragu-ragu dengan cadangan itu. "Apakah kita mampu melakukannya? Bagaimana pula pandangan masyarakat terhadap kita yang masih muda?"

     "Kita lengkapkan diri kita dengan ilmu untuk berdakwah. Saya mempunyai perpustakaan sendiri yang mengandungi banyak buku dan kitab agama. Saya boleh pinjamkan buku-buku itu kepada kamu untuk dijadikan rujukan semasa berdakwah," kata Hasan Al-Banna.

     "Jika begitu saya setuju," kata Ustaz Muhammad Madkur.

     Hasan Al-Banna berpesan, "Apa yang penting selepas melengkapkan diri dengan ilmu, hendaklah dilengkapkan dengan amalan. Ilmu yang tidak diamalkan ibarat pokok yang tidak berbuah. Oleh itu kita perlu tunjukkan contoh yang baik terhadap masyarakat."

     "Saya tertarik dengan cadangan Tuan tadi mengenai berdakwah di kedai kopi. Perkara itu menarik tetapi belum pernah dibuat orang," kata Ustaz Ahmad Abdul Hamid.

     "Saya berasa ganjil dan khuatir mereka yang berada di kedai kopi itu tidak akan membenarkan kita berbuat demikian dan kerana mengganggu keseronokan mereka," kata Hamid Askariyyah.

     Kemudian Hamid Askariyyah menyambung hujahnya, "Sepertimana yang kita maklum, mereka yang suka duduk di kedai kopi itu terdiri daripada orang yang suka berfoya-foya. Kerana itu tentulah sukar bagi mereka untuk menerima nasihat kita. Bagaimana kita hendak bercakap mengenai agama dan akhlak kepada orang yang memikirkan keseronokan dunia semata-mata?"

     "Memang benar perkara ini dianggap ganjil kerana tidak pernah dilakukan oleh para ulama kita. Tetapi saya berpendapat sebaliknya pula. Saya percaya mereka itu sanggup dan bersedia mendengar sebarang nasihat daripada kita kerana bagi mereka, ini adalah satu perkara yang baru. Dengan syarat kita hendaklah bijak memilih tajuk-tajuk yang sesuai, dan janganlah bercakap sesuatu yang boleh melukakan perasaan mereka. Kita perlu menyampaikannya dengan cara yang lembut, dan tidak memanjang-manjangkan percakapan," kata Hasan Al-Banna.

     Kemudian beliau menyambung hujahnya pula. "Mengapa kita tidak mahu menjadikan ini sebagai percubaan dalam kegiatan dakwah kita. Sekiranya tidak berjaya, kita tidak rugi apa-apa malah kita tetap mendapat pahala. Bukankah tujuan kita berdakwah untuk mencari keredhaan Tuhan, bukan mencari keredhaan manusia. Mari kita contohi Nabi Muhammad s.a.w yang sanggup berdakwah kepada sesiapa sahaja termasuk orang seperti Abu Lahab dan Abu Jahal. Apakah kita takut dan tidak mahu mencontohi Nabi berdakwah?"

     "Saya setuju untuk menyahut cabaran ini. Tetapi saya mahu bertanya, apakah kita perlu memakai serban dan jubah?" tanya Ustaz Muhammad Madkur pula.

     "Persoalan itu bergantung pada apa yang kita pakai setiap hari. Mereka yang memakai jubah dan serban boleh terus memakainya," jawab Hasan Al-Banna.

     Akhirnya mereka faham dan bersetuju dengan cadangan Hasan Al-Banna. Keesokan harinya selepas sembahyang isyak di Masjid Syaikhon di Solibah, Hasan Al-Banna dan kawan-kawannya keluar dan memulakan dakwah di kedai kopi yang terletak di Medan Salahuddin. Untuk hari pertama itu, mereka meminta Hasan Al-Banna sahaja yang bercakap kerana yang lain mahu mendengar dan mempelajarinya terlebih dahulu.

     Kedai pertama yang mereka singgah adalah kedai kopi As-Sayyidah Aisyah. Kedatangan Hasan Al-Banna dan kawan-kawannya menarik perhatian pelanggan di kedai itu.

     "Kamu mahu minum dan makan apa?" tanya tuan punya kedai.

     "Kami tidak mahu apa-apa. Tujuan kami untuk bercakap dalam 10 minit sahaja. Tuan-tuan semua boleh terus makan dan minum sambil mendengar apa yang saya katakan," kata Hasan Al-Banna.

     "Baikla, saya benarkan asalkan kamu tidak mengganggu pelanggan di kedai saya," kata tuan punya kedai.

     "Saya mahu mengingatkan diri saya dan kawan-kawan saya termasuk tuan-tuan semua bahawa Allah itu Esa. Dia yang menghidup dan mematikan kita. Dia mengutus Nabi Muhammad s.a.w bagi menyampaikan risalah-Nya kepada kita. Yakinlah tuan semua bahawa kita semua akan mati. Dan yakinlah tuan semua bahawa di sana ada alam kubur, ada padang mahsyar, ada syurga dan ada neraka...." Demikian mukadimah Hasan Al-Banna memulakan dakwahnya.

     Semua pelanggan yang berada di dalam kedai itu tunduk mendengarnya dan tidak ada yang membantah. Malah selesai Hasan Al-Banna berdakwah, ada yang mempelawa minum kopi tetapi ditolak oleh Hasan Al-Banna dan kawan-kawannya.

     Kemudian Hasan Al-Banna bergerak dari satu kedai kopi ke satu kedai kopi yang lain. Kemudian mereka pergi hingga sampai di kedai kedia kopi yang berselerak di kawasan Toulon. Seterusnya sampai ke Thariq Al-Jabal dan Syare'i Salamah. Tidak ketinggalan juga kedai kopi As-Saiyyidah Zainab.

     Setiap kedai kopi yang mereka singgah, Hasan Al-Banna bercakap mengenai agama antara 5 hingga 10 minit sahaja. Mereka yang ada di situ mendengar dengan rasa hairan serta mendiamkan diri bagi menumpukan perhatian terhadap apa yang disampaikan. Pada mulanya mereka merasa sesuatu yang ganjil. Lama-kelamaan mereka meminta bagi menambahkan lagi percakapan itu.

     Hasan Al-Banna tidak minum ataupun meminta sesuatu. Mereka hanya memohon sedikit waktu bagi mengingatkan mereka kepada Allah. Keadaan ini memberi kesan kepada mereka. Tidak ada yang marah ataupun membantah. Menjelang tengah malam, baru mereka pulang semula ke Masjid Syaikhon. Semua berasa gembira di atas kejayaan itu dan berazam mahu meneruskan lagi pada malam esoknya.




N / F : DARIPADA "HASAN AL-BANNA", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment