Thursday 15 September 2016

HASAN AL-BANNA [ BAB 20 - MASJID PERTAMA IKHWAN MUSLIMIN ]






MASJID PERTAMA IKHWAN MUSLIMIN








Mereka yang berjuang pada jalan Allah diteguhkan pendirian mereka, dan dikurniakan nilai-nilai peribadi yang melayakkan mereka melaksanakan tugas berat itu. Pada suatu malam, 20 orang anggota Ikhwan Muslimin mengadakan mesyuarat di rumah Haji Mustafa.

     "Sudah sampai masanya kita mempunyai sebuah tempat bagi dijadikan pusat gerakan dakwah Islamiah di Ismailiyah. Ini kerana para pendakwah kita terdiri daripada para pegawai kerajaan yang selalu sahaja bertukar dari satu tempat ke satu tempat," kata Hafiz Abdul Hamid mencadangkan.

     "Saya berpendapat lebih baik kita membina sebuah masjid. Masjid itu juga boleh dijadikan pusat gerakan dakwah kita. Tambahan pula di Ismailiyah ini cuma ada sebuah masjid," kata Ahmad Al-Husari pula.

     Abdul Rahman Hasbullah menyokong cadangan itu. "Saya sokong cadangan membina masjid itu. Kita lakukan secara bergotong-royong. Saya yakin ramai umat Islam di Ismailiyah ini akan membantu kita."

     "Bagaimana pula pendapat ketua kita?" tanya Fuad Ibrahim yang mengajukan pertanyaannya kepada Hasan Al-Banna yang sejak mula berdiam diri sahaja.

     "Menurut kajian yang saya lakukan, penduduk Islam di Ismailiyah berjumlah 20 ribu orang, dan cuma ada sebuah masjid. Sedangkan penduduk bukan Islam cuma empat ribu orang dan mereka mempunyai empat buah gereja. Kerana itu daripada segi prinsipnya, pendapat ini baik. Tetapi daripada segi pelaksanaannya, ada beberapa syarat tertentu yang perlu diteliti sekiranya usaha ini hendak menjadi kenyataan. Pertama sekali, niat ia dilakukan hanya bagi mencari keredhaan Allah. Yang kedua adalah kita semua mesti menyediakan diri kita untuk bekerja keras, bersabar, dan bertolak ansur. Perkara ini perlu dirahsiakan dan kita semua mestilah berusaha dengan ikhlas bagi mencapai cita-cita kita ini," kata Hasan Al-Banna.

     "Kami bersetuju memenuhi syarat-syarat tersebut," kata semua yang hadir.

     "Kita semua menjadi contoh dalam kerja-kerja kebajikan ini. Sekiranya niat kita semua ikhlas, berilah sumbangan sekurang-kurangnya 50 Junaih seorang sebagai sedekah. Jumlah yang sama dikongsi oleh semua ahli Ikhwan yang hadir dalam mesyuarat ini. Setiap ahli akan menyerahkan sumbangannya kepada Syed Afandi Abul Sa'ud dalam masa seminggu dari sekarang," kata Hasan Al-Banna mencadangkan.

     "Sekiranya ada ahli yang mahu bersedekah lebih daripada itu dialu-alukan asalkan dengan niat ikhlas bukan untuk menunjuk-nunjuk. Jangan beritahu rancagan ini kepada sesiapa pun. Perkara ini juga tidak boleh diberitahu dalam sebarang perhimpunan khas dan umum. Kita akan bertemu semula pada malam hari, seminggu dari sekarang. Sekiranya kamu semua dapat mengumpul jumlah tadi dalam masa yang ditetapkan serta menjaga rahsia ini, Allah akan menolong kita menyempurnakan rancangan kita," kata Hasan Al-Banna.

     "Semua bersetuju dengan cadangan tersebut. Pada minggu hadapannya, mereka datang semula serta memberikan duit seperti yang ditetapkan kepada Afandi Abdul Sa'ud.

     Kira-kira setengah jam selepas perjumpaan itu, barulah datang Al-Asti Ali Abul A'la. Dia memohon maaf atas kelewatannya. Hasan Al-Banna mengambil berat dengan kehadiran ahli Ikhwan Muslimin pada setiap kali mesyuarat ataupun perjumpaan. Mereka telah diajar supaya menepati waktu yang dijanjikan.

     "Boleh jelaskan mengapa kamu datang lambat?" tanya Hasan Al-Banna.

     "Saya berjanji mahu memberi 150 Qursh kepada tabung kewangan Ikhwan. Tetapi saya tidak dapat mengumpulkan wang sebanyak itu. Oleh kerana itu, saya menjual basikal bagi mendapatkan wang sebanyak itu. Saya terpaksa datang dengan menaiki bas, kemudian berjalan kaki ke sini. Kerana itu saya terlambat," jawab Al-Asti Ali Abu A'la lalu menyerahkan 150 Qursh kepada Afandi Abdul Sa'ud.

     Semua yang hadir berasa kagum dan bersimpati terhadap Al-Asti Ali Abul A'la yang sanggup menjual basikalnya untuk tabung kewangan Ikhwan. Kemudian mereka mengambil keputusan mengumpul wang bagi membeli basikal baru untuk dihadiahkan kepadanya sebagai menghargai pengorbanannya.

     Selepas beberapa bulan berlalu dan setelah banyak wang terkumpul, mereka mengambil keputusan memberitahu orang ramai mengenai cadangan membina sebuah masjid. Mereka juga mencari sebidang tanah bagi mendirikan masjid yang telah dirancangkan itu. Allah memudahkan urusan mereka apabila seorang dermawan menawarkan sebidang tanah miliknya sebagai tapak masjid itu. Beliau seorang yang baik dan pemurah, dan pernah berniat membina sebuah masjid di atas tanah itu tetapi belum tercapai.

     "Kamu boleh dirikan masjid di atas tanah itu dan saya memberinya secara percuma," kata Abdul Karim.

     Hasan Al-Banna berkata dengan penuh hemah, "Kami ikut cara Nabi Muhammad s.a.w. mendirikan masjid di atas tanah milik dua orang anak yatim. Rasulullah s.a.w. membeli tanah itu walau pemiliknya mahu memberinya secara percuma."

     Abdul Karim akur lalu dibuat perjanjian secara bertulis dan beliau pun menyerahkan hak milik tanah tadi kepada Ikhwan Muslimin. Mereka gembira serta mengucapkan rasa syukur dan menganggap itu satu kejayaan pada perjuangan mereka.

     Beberapa hari kemudian, Abdul Karim dikunjungi beberapa orang lelaki yang dikenalinya. Kedatangan tetamu itu disambutnya dengan baik, tambahan pula beliau memang terkenal sebagai orang yang memuliakan tetamu.

     "Kami mendapat tahu Tuan menyerahkan sebidang tanah kepada Ikhwan Muslimin. Benarkah apa yang kami dengar itu?" tanya Abdul Majid.

     Tanpa ragu-ragu Abdul Karim menjawab, "Memang benar. Pada mulanya saya mahu beri tanah itu secara percuma, tetapi mereka berkeras mahu membelinya. Jadi saya pun jual tanah itu dengan harga yang berpatutan. Mengapa Tuan bertanya mengenainya? Ada masalahkah?"

     "Mereka ada beritahu Tuan tujuan membeli tanah itu?" tanya Husin pula.

     "Mereka kata mahu mendirikan sebuah masjid," beritahu Abdul Karim.

     Abdul Majid bertanya dengan nada sinis, "Tuan yakin dengan kata-kata mereka? Tidakkah Tuan tahu emreka adalah penipu dan sedang menyebarkan ajaran sesat?"

     "Saya yakin mereka tidak menipu saya, dan mereka bukan menyebarkan ajaran sesat," kata Abdul Karim.

     "Baiklah, cuba Tuan fikir. Siapa yang menjadi ketua mereka? Hasan Al-Banna itu orang luar, bukan orang Ismailiyah. Dia bukan seorang ulama, malah belajar setakat di Darul Ulum. Kemudian dia menubuhkan satu persatuan yang diberi nama Ikhwan Muslimin. Dia mengajak pengikutnya supaya tidak memasuki kumpulan sufi ataupun salafi. Dia seolah-olah mahu mewujudkan mazhab yang kelima," kata Husin.

     Kemudian katanya lagi, "Hasan Al-Banna menyuruh ahli Ikhwan Muslimin mengutip derma daripada orang ramai kononnya hendak membina masjid. Tujuan sebenarnya mahu menipu orang ramai. Apabila sudah banyak duit terkumpul, dia akan meninggalkan Ismailiyah."

     "Sekiranya begitu, apa tujuan mereka membeli tanah saya? Sekiranya Hasan Al-Banna itu penipu, tentu dia mahu menerima tanah saya itu dengan percuma," bantah Abdul Karim.

     "Itu cuma helah dia bagi mengaburi mata orang ramai. Tidak lama lagi, mereka akan jual tanah Tuan itu dengan harga berlipat kali ganda mahalnya," hasut Abdul Majid.

     "Jika begitu, apa yang patut saya lakukan?" tanya Abdul Karim yang akhirnya berjaya dipengaruhi mereka yang membenci Ikhwan Muslimin.

     "Tanah itu Tuan ambil semula. Pulangkan semula duit yang mereka beri. Sekiranya Tuan mahu bantuan, kami sedia membantu," pujuk Abdul Hamid.

     Abdul Karim terkenal sebagai seorang yang lurus dan mudah dipengaruhi. Dia bersetuju dengan pujukan Abdul Majid dan kawan-kawannya. Dia mengajak mereka menemui Hasan Al-Banna.

     "Maafkan saya kerana sudah berubah fikiran. Saya mahukan semula tanah milik saya itu dan sanggup memulangkan semula duit yang kamu sudah beri," kata Abdul Karim.

     "Bukan saya yang membeli tanah itu, tetapi atas nama Ikhwan Muslimin. Sekarang tanah itu sudah jadi milik ramai bukan milik saya seorang," kata Hasan Al-Banna.

     "Tuan punya tanah ini sudah menuntut semula tanah miliknya. Kerana itu kamu perlu pulangkan semula. Sekiranya tidak, kami akan buat laporan polis," ugut Abdul Majid pula.

     Hasan Al-Banna berkata, "Perkara ini antara kami dengan Abdul Karim. Kamu jangan masuk campur."

     "Tuan tanah iaitu Abdul Karim mahu menjual tanah itu kepada aku dengan harga sepuluh kali ganda daripada yang kamu beli. Sama ada kamu setuju ataupun tidak, tanah itu sudah menjadi milik Abdul Karim semula," kata Abdul Majid.

     "Untuk makluman kamu, tanah yang itu dijual ada surat perjanjiannya. Kami membelinya mengikut undang-undang," kata Hasan Al-Banna lalu menunjukkan salinan surat perjanjian itu.

     "Surat perjanjian itu boleh dibatalkan apabila Tuan tanah menarik balik persetujuannya. Serahkan semula surat itu kepada Abdul Karim. Sekiranya tidak, kami bawa ke mahkamah," gertak Abdul Majid.

     Kemudian katanya lagi, "Ikhwan Muslimin adalah pertubuhan haram kerana tidak didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan. Kerana itu pergerakannya adalah haram. Surat perjanjian itu tidak sah kerana Ikhwan Muslimin adalah pertubuhan haram."

     Kerana tidak mahu bergaduh, Hasan Al-Banna menyerahkan semula surat perjanjian itu kepada Abdul Karim dan menerima semula jumlah wang yang diberikan. Abdul Majid dan kawan-kawannya berasa sangat gembira kerana usaha mereka berjaya.

     Abdul Hamid Askariya seorang guru yang juga ahli Ikhwan Muslimin berasa amat marah dengan tindakan Abdul Majid dan kawan-kawannya itu. Dia menyatakan sokongan terhadap usaha yang dilakukan Hasan Al-Banna. Malah beliau mengajak orang ramai turut memberi sokongan terhadap usaha mendirikan masjid itu.

     Abdul Hamid Askariya merupakan seorang yang alim. Beliau beramal ibadat sepanjang malam dari waktu Isyak sehingga waktu subuh. Beliau sanggup menjalankan dakwah Islamiah dari rumah ke rumah, kedai ke kedai, dan juga di tempat-tempat orang berhimpun. Dalam bulan Ramadan, kerap kali dia terlupa bersahur kerana terlalu sibuk dengan usaha dakwahnya. Apabila beliau mengajak orang ramai membantu Ikhwan Muslimin, ramai yang memberikan bantuan.

     Abdul Majid dan kawan-kawannya berasa amat marah terhadap Abdul Hamid Askariya. Mereka menghantar surat bantahan kepada Pusat Dakwah Islamiah Kaherah dan kementerian pelajaran menuduh Abdul Hamid Askariya terlibat dengan gerakan bawah tanah serta menganut fahaman komunis. Mereka mendesak supaya Abdul Hamid Askariya dikeluarkan dari Ismailiyah.

     Pusat Dakwah Islamiah menghantar seorang pegawainya yang bernama Syeikh Abdur-Rabbah Miftah bagi membuat siasatan. Syeikh Abdur-Rabbah Miftah menemui Hasan Al-Banna dan anggota Ikhwan Muslimin di Ismailiyah. Pada malam itu beliau menginap di rumah Ikhwan Muslimin di Al-'Araisyiyyah. Syeikh Abdur-Rabbah Miftah melihat setiap anggota Ikhwan mempunyai kunci untuk masuk ke rumah tersebut. Apabila bertemu, mereka saling memberi salam dan berpelukan penuh kemesraan.

     Keesokan paginya, anggota Ikhwan datang membawa sarapan pagi. Syeikh Abdur-Rabbah Miftah tertarik hati dengan suasana persaudaraan dan kasih sayang yang ada pada ahli-ahli Ikhwan.

     Dengan penuh terharu, dia pun bertanya, "Apa yang kamu lakukan sehingga mereka begitu mesra dan berpadu sekali? Bagaimana kamu berjaya membuat mereka berkasih sayang dengan sepenuh hati? Bagaimana kamu boleh menarik hati mereka dengan daya pengasih?"

     Hasan Al-Banna tersenyum lalu berkata, "Apa yang Tuan saksikan itu bukanlah kerana usaha saya. Ia merupakan keberkatan Allah Yang Maha Besar."

     Syeikh Abdur-Rabbah Miftah berasa senang hati melihat persaudaraan Ikhwan Muslimin, tidak seperti lapora yang disampaikan kepada Pusat Dakwah Islamiah.

     Tidak lama kemudian, Abdul Hamid Askariya mendapat surat perintah bertukar tempat bertugas ke Syabrakhiyat. Semua anggota Ikhwan Muslimin berasa sedih dan marah kerana akan kehilangan seorang ahli yang amat penting dalam Ikhwan Muslimin.

     "Syeikh Abdur-Rabah Miftah mengkhianati kita dengan memberi laporan yang salah terhadap pihak Pusat Dakwah Islamiah. Dia berpura-pura baik dengan kita dan kita melayannya dengan mesra. Tidak sangka ini balasannya," marah seorang anggota Ikhwan Muslimin.

     Hasan Al-Banna menenteramkan mereka dengan berkata, "Saya yakin Syeikh Abdur-Rabah Miftah membuat laporan yang baik mengenai kita. Tetapi mereka didesak oleh orang-orang tertentu supaya tindakan diambil terhadap Abdul Hamid Askariya."

     "Sekiranya begitu, apa pula yang patut kita lakukan?" tanya Abdul Fatah pula yang juga berasa terkejut apabila mendapat tahu Abdul Hamid Askariya dipindahkan dari Ismailiyah.

     Hasan Al-Banna bertindak menenangkan sahabat-sahabatnya dengan berkata, "Biarkanlah saudara kita Abdul Hamid Askariyah berpindah ke Syabrakhiyat. Apa yang berlaku ada hikmahnya. Penukaran ini akan menguntungkan gerakan Islam. Seorang Mukmin menjadi duta ke mana sahaja dia pergi."

     Benar seperti kata Hasan Al-Banna, selepas Abdul Hamid Askariya berpindah ke Syabrakhiyat, beliau menjalankan usaha dakwah sehingga akhirnya sebuah cawangan Ikhwanul Muslimin dibuka di Syabrakhiyat. Cawangan itu bergerak aktif. Mereka berjaya menubuhkan sebuah Madrasah Tahfiz Al-QUran, mendirikan sebuah masjid, dan bangunan Yayasan Madrasah.

     Selain Abdul Hamid Askariya, ada lagi seorang anggota Ikhwan Muslimin berhati mula. Namanya Syeikh Muhammad Hussain Zamlot. Dia bukan sahaja memberi sokongan moral malah material. Syeikh Muhammad Hussain Zamlot menderma wang berjumlah 500 Junaih kepada tabung gerakan Ikhwan Muslimin. Tindakannya ini membina keyakinan dan kelegaan dalam hati para sahabat yang lain.

     "Kita mesti mencari tanah baru untuk pembinaan masjid selepas tanah Abdul Karim yang kita beli diambilnya semula," kata Afandi Abdul Sa'ud.

     "Ikhwan Muslimin mesti didaftarkan dahulu di bawah akta pertubuhan supaya tidak dituduh pertubuhan haram," kata Syeikh Muhammad Hussain. Dia berjanji akan mengusahakan pendaftarannya.

     Tidak lama kemudian, urusan itu selesai dan sejak itu, Ikhwan Muslimin bukan lagi sebuah pertubuhan haram kerana sudah didaftarkan. Usaha mereka seterusnya adalah mencari sebidang tanah sebagai tapak bangunan masjid. Mereka menemui sebidang tanah yang sesuai di hujung perkampungan Arab. Tanah itu kepunyaan Muhammad Afandi Sulaiman. Mereka pun membeli tanah itu dan surat perjanjian ditandatangani oleh Muhammad Hussain dan Haji Hussain As-Souli bagi pihak Ikhwan Muslimin, dan Muhammad Afandi Sulaiman.

     "Saya menjual tanah itu kepada Ikhwan Muslimin. Demi Tuhan, saya tidak akan membatalkan perjanjian ini walau dalam keadaan apa sekalipun," kata Muhammad Afandi Sulaiman bersumpah setia dan berjanji.

     Kemudian mereka membeli batu sebanyak dua lori dan mengangkat batu-batu itu menyeberangi sungai ke kawasan tapak masjid. Hasan Al-Banna sendiri turut memikul batu itu. Apabila melihat ketua mereka turut bermandi peluh, maka yang lain turut bekerja keras. Orang ramai melihat keadaan itu dan mereka bertambah yakin dengan kesungguhan Ikhwan Muslimin hendak mendirikan masjid. Derma daripada orang ramai semakin mencurah.

     Selepas semua batu itu diangkut ke tapak pembinaan masjid, Hasan Al-Banna menetapkan 5 Muharam 1348 sebagai tarikh upacara meletakkan batu asas pada tapak pembinaan masjid. Timbul persoalan siapa yang akan meletakkan batu asas tersebut.

     "Saya mencadangkan ketua kita Hasan Al-Banna," kata Al-Asti Ali Abul A'la.

     "Jika saya melakukannya, itu tidak menguntungkan rancangan kita. Lebih baik kita cari orang yang paling sesuai seperti pegawai tinggi kerajaan yang terkenal di bandar Ismailiyah, ataupun ulama yang berpengaruh dan kaya supaya orang ramai lebih yakin bagi memberikan kerjasana," kata Hasan Al-Banna pula.

     "Kami setuju dan kami serahkan kepada Tuan untuk mencadangkan nama orang yang paling layak bagi meletakkan batu asas itu," kata Al-Asti Ali Abul A'la.

     "Apa pendapat kamu jika saya mencadangkan Syeikh Muhammad Hussain Zamloot? Dia terlibat bersama kita sejak awal lagi dan dia juga banyak memberi bantuan kebendaan. Dia adalah seorang yang benar dan bertakwa. Dia juga seorang yang kaya dan pemurah. Kita semua boleh mendapat keberkatan Allah dan juga wang daripadanya," kata Hasan Al-Banna.

     Kesemua anggota Ikhwan Muslimin bersetuju dan menjawab serentak, "Itu adalah pilihan yang paling baik dan menguntungkan."

     Syeikh Muhammad Hussain Zamloot menyatakan persetujuannya sebagai orang yang akan meletakkan batu asas masjid Ikhwan Muslimin. Pihak Ikhwan juga memasang sepanduk besar menyatakan tarikh upacara tersebut dan menjemput orang ramai dari semua lapisan masyarakat menghadirinya.

     Pada pagi 5 Muharam 1348, orang ramai berkumpul bagi menyaksikan upacara meletak batu asas pembinaan masjid. Sebelum acara tersebut berlangsung, Hasan Al-Banna berucap menyatakan rasa syukur kepada Allah dan terima kasih kepada orang ramai yang memberikan derma. Kemudian Syeikh Muhammad Hussain Zamloot tampil ke hadapan dan meletakkan batu asas masjid. Para anggota Ikhwan Muslimin pun mengisytiharkan masjid tersebut akan disiapkan sebelum berakhirnya tahun itu. Insya Allah.

     Kejayaan Ikhwan Muslimin meletakkan batu asas serta memulakan pembinaannya mengejutkan Abdul Majid dan kawan-kawannya. Mereka merancang untuk menggagalkan pembinaan masjid itu dengan menulis surat bantahan yang kononnya ditandatangani penduduk Islam Ismailiyah. Surat itu dihantar kepada Perdana Menteri Mesir, Siddiq Basya.

     Antara kandungan surat itu adalah:

     Hasan Al-Banna adalah seorang komunis. Dia mempunyai hubungan dengan Moscow. Sekarang dia sedang membina sebuah masjid dan pusat gerakan haram, membelanjakan banyak wang untuk kegiatannya, tidak mengumpul derma daripada orang ramai. Sumber kewangannya masih samar-samar dan, dia menyokong Parti Wafd.

     Bagi mendapat perhatian daripada Perdana Menteri, mereka menambah lagi beberapa tuduhan yang serius. Antaranya, Hasan Al-Banna dan Ikhwan Muslimin menjalankan kegiatan menentang kerajaan secara terbuka. Dia mengeluarkan pendapat mengatakan pilihan raya sekarang tidak adil dan Perlembagaan 1930 membahayakan. Dia pergi ke Buheera bagi menjalankan kegiatan menentang kerajaan.

     Hasan Al-Banna menyampaikan ceramah di Kelab Buruh pada bulan Oktober, 1930. Tajuk ceramahnya adalah 'Abu Bakar Siddiq'. Dalam ceramahnya itu, dia mengatakan Abu Bakar tidak dipilih secara sah kerana pilihan Abu Bakar tidak berdasarkan dua peringkat.

     Hasan Al-Banna juga telah memburukkan nama Raja Fuad. Dia telah memberi satu lagi ceramah dalam bulan Oktober, 1930. Tajuknya adalah 'Umar bin Abdul Aziz'. Dia berkata, 'Umar bin Abdul Aziz tidak mengambil satu sen pun dari baitulmal (Perbendaharaan Negara). Tetapi para pemimpin sekarang sedang merompak harta rakyat dengan cara yang salah'.

     Surat pertuduhan itu menarik perhatian Perdana Menteri Mesir Siddiq Basya. Sebelum itu seorang guru bernama Aqqad dipenjarakan kerana mengecam Raja Fuad. Empat orang guru dibuang kerja atas sebab yang sama. Sekarang mereka menuduh Hasan Al-Banna dengan tuduhan yang lebih berat iaitu seorang komunis, mendapat bantuan dari Moscow dan tuduhan paling berat memburukkan Raja Fuad dan menentang kerajaan. Mereka juga menuduh Hasan Al-Banna melanggar peraturan sebagai para pegawai kerajaan tidak dibenarkan mengutip derma dari luar.

     Pada suatu pagi, sedang Hasan Al-Banna berjalan masuk ke sekolah, dia melihat pengetua sekolah iaitu Ustaz Ahmad Abdul Hadi Sabiq sedang memandang dengan cara yang aneh. Hasan Al-Banna mendekatinya dan memberi salam. Pengetua itu tersenyum sambil menyambut salam. Namun cara pengetua itu tidak seperti biasa dan itu membuat Hasan Al-Banna hairan.

     Hasan Al-Banna terus bertanya, "Tuan Pengetua, adakah saya melakukan apa-apa kesalahan?"

     "Kamu seorang guru yang baik. Saya harap kamu akan terus jadi orang baik," jawab pengetua.

     "Saya berasa ada sesuatu yang Tuan pengetua sedang sembunyikan," kata Hasan Al-Banna.

     "Saya dimaklumkan kamu akan dihadapkan ke mahkamah dan pihak sekolah dimarahi oleh kerajaan," akhirnya pengetua berterus terang.

     Terkejut Hasan Al-Banna mendengar kata-kata itu lalu dia bertanya, "Mengapa saya dihadapkan ke mahkamah? Apa kesalahan yang telah saya lakukan?"

     Menteri pelajaran menerima sepucuk surat dari perdana menteri Mesir. Di dalam surat itu kamu dituduh sebagai komunis yang sedang menentang kerajaan. Kamu juga dituduh menentang raja, bahkan menentang seluruh dunia," jawab pengetua sekolah.

     "Adakah Tuan pengetua percaya dengan pertuduhan terhadap saya itu?" tanya Hasan Al-Banna.

     "Kamu seorang guru yang baik. Itu saya akui. Tetapi nama sekolah sudah tercemar dengan tuduhan itu. Bersedialah menghadapinya," jawab pengetua.

     Dengan tenang Hasan Al-Banna menjawab, "Sekiranya jihad dan dakwah Islam yang kami jalankan bertujuan menipu rakyat, percayalah bahawa orang-orang yang menggunakan agama untuk menipu rakyat, balasannya, ditentukan oleh mahkamah-mahkamah dan juga seksaan di neraka. Hanya segelintir mereka yang berbuat begitu. Tuan pengetua jangan berasa bimbang. Serahkan sahaja perkara ini kepada ketentuan Allah."

     "Saya harap akan tahu kebenarannya," kata tuan pengetua.

     "Saya yakin kebenaran akan menyebelahi kita. Saya memohon diri kerana sebahagian dari masa sudah berlalu dan ini bertentangan dengan peraturan sekolah. Saya tidak suka melanggarnya," kata Hasan Al-Banna lalu beredar dari situ menuju ke bilik darjah. Selepas tamat waktu mengajar, Hasan Al-Banna dipanggil ke bilik pengetua.

     "Saya diarah melakukan penyiasatan rapi ke atas kamu mengenai tuduhan-tuduhan yang disebut dalam surat perdana menteri. Saya akan menggunakan pelbagai cara yang saya mampu. Saya harap kamu mahu memberikan kerjasama," kata tuan pengetua.

     Hasan Al-Banna berkata tanpa ada rasa takut, "Saya sedia memberikan kerjasama bagi memudahkan Tuan membuat siasatan."

     "Saya mahu kamu bawa semua buku latihan pelajar kamu sekarang juga," perintah pengetua.

     Tanpa banyak bicara lagi, Hasan Al-Banna mengambil semua buku latihan pelajarnya dan memberikannya kepada pengetua. Apabila pengetua menyemak buku yang pertama, didapati tajuk karangan yang ditulis oleh Hasan Al-Banna adalah mengenai lawatan Raja Fuad ke Suez. Dalamnya mengandungi kata-kata pujian kepada Raja Fuad. Ditulisnya juga usaha yang raja itu lakukan demi kebajikan rakyat. Pengetua menyemak buku yang lain dengan tajuk yang sama.

     Sambil menyelak helaian buku-buku itu, pengetua berkata, "Tidak benar laporan yang menuduh kamu menghasut pelajar membenci Raja Fuad. Saya akan sertakan buku ini dalam laporan nanti."

     "Laporan kedua adalah kamu menyokong Parti Wafd. Pegawai kerajaan dilarang menyertai parti itu. Tetapi apabila saya memeriksa tajuk-tajuk dan mata pelajaran yang kamu sediakan untuk mengajar di dalam bilik darjah, tidak terdapat pula kata-kata pujian ataupun pengaruh Parti Wafd," kata pengetua.

     "Terima kasih kerana Tuan pengetua sudah memeriksanya...," kata Hasan Al-Banna.

     "Saya juga diarah menyiasat perjalanan Ikhwanul Muslimin, tujuan, matlamat dan juga kegiataannya. Saya juga mahu kamu menghantar satu laporan lengkap mengenai diri dan perjuangan kamu," kata pengetua.

     "Esok saya beri semua laporan yang Tuan pengetua mahukan itu," kata Hasan Al-Banna.

     Keesokan harinya Hasan Al-Banna memberikan laporan tersebut termasuk satu salinan Perlembagaan Ikhwan Muslimin yang mengandungi tujuan dan matlamatnya. Pengetua mula menjalankan penyiasatan. Dia meminta kerjasama hakim tempatan, pendakwa raya, inspektor polis, dan penolong inspektor polis.

     Pegawai tinggi polis Ismailiyah, Kapten Hassan Asy-Syarif An-Nabayusi berasa hairan dan tersinggung apabila dia membandingkan laporan yang ditulisnya dengan tuduhan-tuduhan yang terkandung di dalam surat rasmi. Dalam laporan siasatannya, beliau menafikan tuduhan tersebut.

     "Mengapa kamu tersinggung dengan tuduhan-tuduhan tersebut?" tanya seorang kerani Syarikat Terusan Suez berbangsa Perancis yang datang menemui pegawai tinggi polis itu.

     Tuduhan itu seolah-olah mengatakan saya tidak tahu buat kerja sebagai ketua polis di Ismailiyah. Apakah saya tidak tahu ada orang yang jadi penyokong komunis di Ismailiyah? Apakah saya tidak tahu ada orang mendapat bantuan dari Moscow? Apakah saya berdiam diri apabila Hasan Al-Banna dalam ceramahnya menghina raja?" marah Kapten Hassan Asy-Syarif An-Nabayusi.

     "Memang benar semua itu karut belaka. Saya sendiri melihat sikap Hasan Al-Banna ketika Raja Fuad tiba di Ismailiyah. Dia menyuruh para pekerja buruh pergi ke Askala bagi memberi sambutan hangat kepada Raja Fuad supaya orang-orang asing dapat melihat betapa sayang dan hormatnya mereka kepada Raja mereka. Dengan cara itu, orang-orang asing akan lebih hormat kepada mereka," kata Kerani Syarikat Terusan Suez itu. Dia juga sanggup memberi keterangan secara bertulis dalam bahasa Perancis.

     Akhirnya Kapten Hassan Asy-Syarif An-Nabayusi membuat laporan seperti berikut:

     'Kerap kali saya dapati cara dan pendekatan rohani yang digunakan oleh Ikhwan Muslimin ternyata berkesan apabila hukuman mahkamah gagal memulihkan para penjenayah daripada terus melakukan jenayah. Ramai penjenayah telah pulih hasil dari usaha pertubuhan ini. Saya, (Kapten Hasan asy-Syarif an Nabayusi), mengesyorkan kepada kerajaan supaya menggalakkan kegiatan Ikhwan Muslimin dan membantu ia membuka cawangannya di seluruh negara. Hal ini akan membantu negara ini memelihara undang-undang dan keamanannya.'

     Selepas penyiasatan yang rapi itu, satu laporan yang tebal sudah disiapkan oleh pihak di Ismailiyah dan dihantar ke kementerian pelajaran. Selepas beberapa hari, ketua pengarah pelajaran, iaitu Ali bin Kailani sudah datang melawat sekolah Ismailiyah. Dia terus memasuki kelas ketika Hasan Al-Banna sedang mengajar. Ketua pengarah pelajaran itu diiringi oleh pengetua. Dia memerhati Hasan Al-Banna mengajar untuk beberapa ketika.

     Kemudian dia senyum dan bertanya kepada pengetua, "Inikah guru yang bernama Hasan Al-Banna?"

     "Ya, dialah Hasan Al-Banna yang dituduh menjalankan kegiatan bawah tanah itu," jawab pengetua. Kemudian mereka pun beredar dari situ.

     Selesai mengajar, Hasan Al-Banna dipanggil masuk ke bilik pengetua. Ketua pengarah pelajaran sedang duduk di situ. Hasan Al-Banna memberi salam dan menemuinya.

     "Encik Hasan Al-Banna, surat itu sangat mengganggu kami. Perdana menteri menghantar surat itu kepada menteri pelajaran dan menteri pelajaran pula menghantarnya kepada saya. Saya memberitahu tidak ada kena-mengena dengan orang yang dituduh komunis dan pengacau itu, yang sudah mengumpul beribu-ribu orang pengikut seperti yang disebutkan dalam surat aduan itu. Saya pun memberi surat itu kepada penolong ketua pelajaran, iaitu Abdul Rahim bin Othmani. Dia datang menemui saya dan berkata, 'Sekiranya guru ini betul-betul melakukan kesalahan seperti yang disebut dalam aduan itu, ia adalah satu hal yang membahayakan. Mungkin ada beberapa rahsia di sebalik penyiasatan yang akan kita jalakan."

     "Lantaran itu, kami pun mengkaji kemungkinan tuduhan-tuduhan itu palsu dan tidak berasas. Terdapat pertentangan dalam kenyataan-kenyataan yang diberi. Hal ini mengukuhkan lagi pendapat bahawa tuduhan-tuduhan tadi palsu dan tidak berasas. Kami berpendapat adalah lebih selamat sekiranya perkara tersebut diserahkan kepada pengetua. Pengetua telah menghantar laporan yang lengkap dan memuaskan kepada kami. Walau bagaimanapun, saya mahu melihat sendiri orang yang menjadi perbualan ramai itu. Saya datang semata-mata bagi menziarahi kamu sebagai lawatan peribadi. Janganlah menganggap kedatangan saya ini sebagai satu tugas ataupun siasatan rasmi. Saya hanya hendak melihat kamu secara peribadi," kata ketua pengarah pelajaran.

     Hasan Al-Banna sangat gembira dengan penerangan daripada ketua pengarah pelajaran itu. Dia berkata, "Kata-kata Tuan itu benar. Saya sangat bersyukur kerana Tuan sudah bersusah payah datang ke sini bagi melihat saya. Tuan sungguh baik hati. Sempena lawatan Tuan ke sini, saya ingin mengambil kesempatan menjemput Tuan melihat sendiri kerja-kerja pembinaan masjid, dan perjalanan sekolah kami supaya Tuan mendapat ganjaran jelas mengenai pertubuhan dan perjuangan kami."

     "Baiklah, malam ini saya bermalam di Ismailiyah. Ada mesyuarat penting dengan pegawai tinggi polis. Saya akan datang pada waktu tengah hari esok. Harap tidak menyusahkan kamu dan orang-orang kamu," kata ketua pengarah pelajaran.

     Hasan Al-Banna memaklumkan perkara itu kepada kawan-kawannya. Mereka membuat persiapan mengadakan majlis menyambut kedatangan ketua pengarah pelajaran. Mereka turut menjemput beberapa orang kenamaan Ismailiyah dan mereka yang dikenali sebagai penulis surat tuduhan palsu itu.

     Ketua pengarah pelajaran bernama Ali Bek Kailani itu tiba pada waktu yang dijanjikan. Dia menyangka perjumpaan yang diaturkan adalah satu perjumpaan biasa sahaja. Dia terkejut melihat majlis yang dihadiri ramai orang. Seperti biasa, apabila orang kenamaan dijemput ke satu majlis, mereka diminta memberikan sepatah dua kata.

     Sebelum ketua pengarah pelajaran berucap, dia meminta lencana Ikhwan Muslimin daripada Hasan Al-Banna. Kemudian dia meletakkan pada bajunya. Semasa berucap, dia mengisytiharkan dengan penuh semangat bahawa dia sudah menjadi ahli Ikhwan Muslimin.

     "Tidak ada apa lagi yang saya hendak katakan mengenai pertubuhan ini melainkan ia adalah sebuah sekolah yang unggul, dan pemimpin pertubuhan ini pun adalah seorang yang penuh hemah. Mulai sekarang, saya isytiharkan diri saya sebagai ahli Ikhwan Muslimin. Semoga permohonan saya diterima. Dalam masa beberapa bulan lagi, saya akan bersara. Andainya Allah memanjangkan umur saya, saya akan menumpukan sepenuh masa saya untuk perjuangan Islam yang sedang dilancarkan oleh Ikhwan Muslimin," demikian ucapan ketua pengarah pelajaran, Ali Bek Kailani.

     Ramai yang menitiskan air mata mendengar ucapan ikhlas daripada ketua pengarah pelajaran itu. Mereka yang memusuhi Ikhwan Muslimin pula rasa bagaikan halilintar meletup di depannya.

     Tidak lama kemudian, Ali Bek Kailani bersara daripada jawatannya. Hajat beliau bagi menyertai perjuangan Ikhwan Muslimin tidak tercapai kerana meninggal dunia tidak lama selepas bersara.

     Tidak lama kemudian, seorang Kristian yang merasa tercabar membuat tuduhan terhadap Hasan Al-Banna. Antara tuduhannya:

     1.     Hasan Al-Banna adalah pemimpin satu pertubuhan melampau Ikhwan Muslimin.

     2.     Hasan Al-Banna sengaja mengancam para penuntut Kristian dan juga tidak                        mempedulikan mereka ketika di dalam kelas. Dia tidak menghiraukan langsung                  pelajara dan kebajikan anak-anak orang Kristian.

     3.     Hasan Al-Banna cuba mewujudkan jurang antara para penuntut Islam dan para                  penuntut Kristian yang belajar di dalam kelasnya.

     4.     Hasan Al-Banna mengutamakan para penuntut Islam dalam pelbagai segi.

Orang Kristian itu juga mengingatkan, sekiranya jabatan pelajaran tidak bertindak memindahkan Hasan Al-Banna dari Ismailiyah, perkara itu akan menjadi lebih teruk lagi. Sebaik sahaja pengetua menerima surat aduan itu, beliau menghebahkannya kepada orang ramai. Para penduduk Kristian di Ismailiyah berasa tersinggung dengan berita itu. Mereka mengutuk tindakan orang Kristian itu.

     Satu perwakilan Kristian yang dipimpin oleh Paderi Besar Gereja Ortodoks datang ke sekolah tempat Hasan Al-Banna mengajar, bagi menyatakan bantahan terhadap tuduhan itu. Mereka menganggap orang Kristian itu cuba memburukkan masyarakat Kristian dengan membuat tuduhan-tuduhan palsu dan tidak berasas terhadap Hasan Al-Banna.

     Pengetua juga menerima surat-surat bantahan daripada pertubuhan-pertubuhan Kristian Mesir yang lain. Pengetua mengumpul semua surat-surat bantahan itu, kemudian menulis laporan.

     "Saya memohon supaya kementerian pelajaran tidak membebankan kami dengan aduan-aduan yang tidak berasas. Saya berharap pihak kementerian menjalankan siasatan melalui sumber-sumbernya sendiri kerana jelas sekali, aduan-aduan ini tidak benar dan merupakan satu komplot."

     Kerja-kerja pembinaan Masjid Ikhwan Muslimin diteruskan walaupun bermacam-macam halangan. Pada suatu hari, pengarah Syarikat Terusan Suez berjalan di kawasan pembinaan masjid. Dia bertanya kepada pekerja, siapa yang bertanggungjawab dan mereka katakan Hasan Al-Banna. Keesokan harinya, seorang pekerja Syarikat Terusan Suez datang menemui Hasan Al-Banna lantas menyatakan keinginan pengarahnya untuk berjumpa di pejabatnya. Hasan Al-Banna pun pergi menemuinya. Pengarah Syarikat Terusan Suez itu mengatakan pihaknya mahu memberi bantuan. Hasan Al-Banna mengucapkan terima kasih dan terus pulang.

     Selepas dua bulan berlalu, sekali lagi Hasan Al-Banna dipanggil menemui pengarah Syarikat Terusan Suez. Setibanya di pejabat, pengarah Hasan Al-Banna dimaklumkan pihak syarikat hanya mampu memberi 500 Junaih. Hasan Al-Banna mengucapkan terima kasih atas bantuan tersebut.

     "Saya tidak menyangka sebuah syarikat yang terkenal memberi wang yang sangat sedikit. Saya mendapat tahu sebuah gereja yang cantik sedang dibina oleh syarikat ini dengan pembiayaan sebanyak 500,000 Junaih, sedangkan jumlah wang yang ditawarkan untuk masjid hanya 500 Junaih," kata Hasan Al-Banna.

     "Benar kata kamu. Tetapi duit itu bukan saya yang punya. Jumlah itu diputuskan oleh lembaga pengarah Syarikat Terusan Suez. Sebaiknya kamu terima sahaja walaupun sedikit," kata Pengarah Syarikat Terusan Suez.

     "Saya tidak boleh menerima wang itu. Orang yang boleh menerima wang itu adalah bendahari kami, iaitu Syeikh Muhammad Hussain Zamloot. Saya akan beritahunya mengenai wang sambung itu dan beliau akan mengambil wang itu daripada kamu," kata Hasan Al-Banna.

     Tidak lama kemudian, tersebar berita Ikhwan Muslimin membina masjid daripada sumbangan mereka yang bukan beragama Islam. Seorang ulama mengeluarkan fatwa tidak sah sembahyang di dalam masjid yang dibiayai oleh mereka yang bukan beragama Islam.

     Orang ramai berasa gelisah dengan fatwa itu, terutama mereka yang pernah memberi sumbangan derma untuk pembinaan masjid itu. Mereka menemui Hasan Al-Banna bagi meminta penjelasan.

     "Syarikat itu adalah kepunyaan kita. Wang itu adalah kepunyaan kita, termasuk syarikat itu dan Terusan Suez. Kerana itu kami menerima pemberian mereka," kata Hasan Al-Banna.

     "Kamu boleh ambil duit mereka, tetapi kami tidak mahu duit yang mereka beri itu digunakan untuk pembinaan masjid," kata Haji Muhammad Sayuti.

     "Pembinaan masjid itu kami gunakan duit daripada orang ramai. Kami tidak gunakan duit yang diberi oleh mereka yang bukan beragama Islam," kata Syeikh Muhammad Hussain Zamloot, bendahari Ikhwan Muslimin.

     Bagi meyakinkan orang ramai, Syeikh Muhammad Hussain Zamloot menunjukkan sekeping cek yang diberi oleh Syarikat Terusan Suez. Cek itu masih belum dimasukkan ke bank. Dengan itu bersihlah Ikhwan Muslimin daripada tuduhan membina masjid daripada derma orang yang bukan Islam.

     Masjid Ikhwan Muslim pun siap dan dibuka dengan rasminya pada waktu isyak, 17 Ramadan 1348 hijrah, mengambil sempena berlakunya Perang Badar.

     Acara perasmian masjid itu diadakan secara meriah. Semua anggota Ikhwan Muslimin dijemput hadir. Mereka sepakat meminta Hasan Al-Banna menjadi imam sembahyang berjemaah pertama di masjid itu. Anggota Ikhwan Muslimin juga meminta Hasan Al-Banna merasmikan masjid itu.

     Setelah terbinanya Masjid Ikhwan Muslimin, penduduk Ismailiyah membina sebuah lagi masjid di pinggir bandar Ismailiyah. Haji Yusof mengetuai pembinaan masjid itu sehingga siap lalu dinamakan Masjid Haji Yusof. Mereka mencontohi cara Ikhwan Muslimin membina masjid. Apabila siap, mereka menjemput anggota Ikhwan Muslimin hadir dalam acara perasmian.

     Terdapat sebuah lagi kawasan di Ismailiyah yang memerlukan masjid. Kali ini usaha itu diambil oleh Haji Muhammad Jadullah, seorang yang soleh di Ismailiyah. Dia sangat terpengaruh dengan kegiatan Ikhwan Muslimin lalu mengambil keputusan untuk membina sebuah masjid yang ketiga di Ismailiyah. Dengan itu, Ikhwan Muslimin meneroka pembinaan masjid di Ismailiyah.




N / F : DARIPADA "HASAN AL-BANNA", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

      

No comments:

Post a Comment