Friday 16 September 2016

HASAN AL-BANNA [ BAB 23 - IKHWAN BERKEMBANG DI LEMBAH NIL ]






IKHWAN BERKEMBANG DI LEMBAH NIL








Mahmood Afandi Abdul Latip pulang ke Bahrul Sagheer di Jamaliah dengan satu azam mahu menubuhkan cawangan Ikhwan Muslimin di tempatnya. Semasa berada di Pelabuhan Said, dia begitu tertarik dengan perjuangan Ikhwan Muslimin selepas mendengar ceramah yang disampaikan oleh Hasan Al-Banna di majlis perhimpunan. Dia menemui Hasan Al-Banna selepas selesai majlis bagi mengetahui lebih lanjut mengenai Ikhwan Muslimin dan perjuangannya.

     "Saya tertarik dengan perjuangan ini. Bolehkah saya menjadi ahlinya?" tanya Mahmood Afandi Abdul Latip.

     Dengan gembira Hasan Al-Banna berkata, "Kami mengalu-alukan sesiapa sahaja yang mahu bersama perjuangan ini."

     Selepas diterima menjadi ahli, Mahmood Afandi Abdul Latip menyatakan hasratnya mahu menubuhkan cawangan Ikhwan Muslimin di Bahrul Sagheer.

     "Sebaiknya tinjau dahulu pendapat orang ramai di sana. Sekiranya ramai yang bersetuju, baru dibincangkan penubuhan cawangannya," kata Hasan Al-Banna.

     Semasa berada di Pelabuhan Said, Mahmood Afandi Abdul Latip berkenalan dengan seorang pemuda bernama Umar Affandi Ghanam, seorang wakil penjual syarikat Singer dari Daqhiliyah. Kedua-duanya datang ke Pelabuhan Said dengan tujuan yang berbeza. Mahmood Afandi Abdul Latip datang bagi bertemu nenek saudaranya, manakala Umar Afandi Ghanam kerana urusan perniagaan. Semasa berada di kedai kopi, mereka mendengar perbualan orang ramai mengenai Ikhwan Muslimin dan majlis ceramah yang akan diadakannya. Mahmood Afandi Abdul Latip dan Umar Afandi Ghanam tertarik hati lalu menyertai perhimpunan tersebut. Dari situ mereka berazam mahu menubuhkan cawangan Ikhwan Muslimin di tempat masing-masing.

     Selepas pulang ke Bahrul Sagheer, Mahmood Afandi Abdul Latip segera mengadakan perbincangan dengan kawan-kawannya. Mereka tertarik hati selepas mendengar penerangan yang diberikan. Selepas mendapat persetujuan ramai, mereka mengutus surat kepada Hasan Al-Banna berkenaan perkara tersebut.

     Selepas beberapa kali mengutus surat dan selepas mendapat kata-kata panduan dan nasihat daripada Hasan Al-Banna, akhirnya cawangan Ikhwan Muslimin di Bahrul Sagheer berjaya ditubuhkan. Mereka melantik Syeikh Mustafa At-Theer sebagai Yang Dipertua. Beliau juga adalah lepasan Universiti Al Azhar.

     Dengan adanya cawangan Ikhwan Muslimin di Bahrul Sagheer, penyampaian risalah kepada orang ramai berjalan lancar. Ramai yang tertarik dengan perjuangan Ikhwan Muslimin lalu menjadi ahlinya. Tiga bulan kemudian, sebuah lagi cawangan Ikhwan Muslimin di buka di rumah Abdul Latif di Thaweelah dan mereka menamakannya 'Jadidatul Manzila'. Dakwah Islam semakin berkembang di Bahrul Sagheer.

     Hasan Al-Banna kemudiannya mengadakan lawatan ke cawangan-cawangan yang baru dibuka. Selepas melawat Pelabuhan Said, mereka sampai di Bahrul Sagheer. Berita kedatangan Hasan Al-Banna itu dimaklumkan kepada cawangan-cawangan yang lain termasuk cawangan yang dibuka di Al-Manzila. Mereka berkumpul bagi menyambut kedatangan Hasan Al-Banna. Di Manzila, ramai orang terkemuka menjadi ahli Ikhwan Muslimin. Mereka turut datang bagi menyambut kedatangan ketua mereka.

     "Mengapa mereka tersenyum-senyum dan memandang saya dengan pandangan yang pelik?" tanya Hasan Al-Banna kepada Syeikh Mustafa At-Theer, Yang Dipertua Ikhwan Muslimin Al-Manzila.

     "Kerana Tuan berbeza daripada apa yang mereka duga. Mereka menyangka Tuan seorang ulama tua yang hebat. Sebaliknya mereka melihat seorang pemuda yang baru berumur 25 tahun. Sekarang Tuan perlu tunjukkan kehebatan peribadi Tuan agar keyakinan mereka kembali pulih," jawab Syeikh Mustafa At-Theer.

     "Kejayaan itu berada di tangan Allah. Kerana itu kita perlukan kekuatan ataupun pertolongan daripada Allah sahaja. Sebarang ketentuan daripada Allah pasti terjadi. Manusia adalah nama kepada dua anggota. Anggota yang pertama adalah lidah dan anggota yang kedua adalah hati," kata Hasan Al-Banna.

     Kemudian Hasan Al-Banna dijemput untuk berucap. Ternyata mereka tertarik apabila mendengar ucapan yang disampaikan. Selepas berucap, Hasan Al-Banna dikerumuni orang ramai yang menyatakan rasa tertarik hati mendengarnya. Mereka yakin kedatangan Hasan Al-Banna membawa rahmat. Selepas itu banyak lagi cawangan Ikhwan Muslimin ditubuhkan.

     Akhirnya gerakan pertama menentang dakyah Kristian dilancarkan oleh Ikhwan Muslimin di Al Manzila. Kemudian ia merebak ke Pelabuhan Said, dan akhirnya usaha itu menjangkau ke seluruh negara. Mereka juga membina rumah-rumah anak yatim dan hospital-hospital untuk orang-orang Islam yang miskin.


===================


Pada suatu hari, Hasan Al-Banna melakukan lawatan ke Suez, kerana hendak berjumpa dengan gurunya, Syed Muhammad Al-Hafiz At-Tijani dan sahabat-sahabatnya. Kebetulan pada masa itu, hakim mahkamah syariah, iaitu Syeikh Muhammad Abul Sa'ud mengadakan syarahan di Masjid Al-Gharib. Beliau sering mengadakan cermaah di dalam masjid itu dalam usaha mengajak orang ramai berpegang teguh pada ajaran Islam. Syeikh Muhammad Al-Hafiz At-Tijani menjemput Hasan Al-Banna supaya turut hadir.

     Pada malam itu, ramai alim ulama hadir termasuk seorang peguam bela mahkamah syariah, yang bernama Encik Muhammad Al-Hadi Athiya, dan sahabat beliau yang bernama Muhammad Hasan As-Syed.

     Selesai ceramah, Hasan Al-Banna menemui Syeikh Muhammad Abul Sa'ud, Encik Muhammad Al-Hadi dan Muhammad Hasan As-Syed. Semasa berbual, Hasan Al-Banna menerangkan tentang perjuangan Ikhwan Muslimin.

     Syeikh Muhammad Abul Sa'ud tertarik mendengarnya lalu mempelawa Hasan Al-Banna memberi ceramah di Masjid Al-Gharib pada bulan hadapan. Hasan Al-Banna memenuhi jemputan itu bagi menerangkan kepada orang ramai apa yang berlaku terhadap umat Islam di Mesir, serta perjuangan Ikhwan Muslimin. Ramai yang tertarik hati mendengarnya, termasuk beberapa orang lelaki iaitu Muhammad Al-Hadi, Muhammad Hasan, Muhammad Tahir Muneer Affandi, Syeikh Abdul Hafiz, dan Syeikh Afifi Asy-Syafi'ie 'Atwah.

     Mereka berbincang bagi menubuhkan cawangan Ikhwan Muslimin di Suez dan melantik Syeikh Afifi Asy-Syafi'ie, seorang ulama yang terkenal menjadi Yang Dipertuanya. Ramai penduduk Suez yang menyertainya termasuk mereka yang terkenal dan berpengaruh. Ikhwan Muslimin bergerak aktif sehingga berjaya mempunyai bangunan sendiri serta menubuhkan beberapa cawangan.

     Aktiviti dakwah yang dijalankan Ikhwan Muslimin menarik minat dua orang pelajar Sekolah Perdagangan di Jalan Al Falaki, bernama Abdur-Rahman As-Sa'ati dan Mahmood Sa'adi Al-Hakeem. Kedua-duanya mengajak kawan-kawan mereka menubuhkan cawangan di sekolah tersebut, tetapi dicemuh penuntut yang lain. Namun kedua-dua pelajar itu tidak berputus asa. Mereka terus juga bergiat dalam kegiatan dakwah secara senyap dan sabar sehingga tamat pengajian.

     Abdur-Rahman As-Sa'ati dan Mahmood Sa'adi Al Hakeem kemudiannya mendapat kerja di bahagian kejuruteraan kereta api Mesir. Hati mereka semakin dipenuhi kecintaan terhadap Islam. Mereka begitu bersedia untuk berjuang pada jalan Allah dengan penuh tanggungjawab. Mereka sedia berkorban untuk agama Islam dan orang-orang Islam.

     Waktu itu, jalan paling baik bagi memperjuangkan Islam adalah dengan menubuhkan sebanyak-banyaknya pertubuhan Islam. Lantaran itu, mereka pun bersepakat mahu menubuhkan satu pertubuhan yang memperjuangkan Islam. Pertubuhan yang diasaskan oleh mereka adalah Persatuan Kebudayaan Islam. Mereka telah menjadikan sebuah bilik di halaman pejabat sebagai tempat kegiatan mereka. Sejumlah besar pada cendekiawan menyertai gerakan mereka. Mereka kerap menyampaikan syarahan dan ceramah yang menyentuh Islam. Mereka menyeru dan mengajak orang ramai kepada Islam dengan cara yang amat menarik. Antara mereka yang menyertai pertubuhan itu adalah Syeikh Muhammad Ahmad Syariyyat, Hamid Syariat, Mahmood AlBarari, Syeikh Muhammad Farghali, dan Syeikh Jamil Uqqad.

     Dalam satu perhimpunan, mereka mencadangkan supaya disatukan Persatuan Kebudayaan Islam dengan Ikhwan Muslimin. Cadangan itu mendapat sokongan ramai. Mereka mengunjungi Ikhwan Muslimin Ismailiyah lalu mengadakan perbincangan bagi menyatukan perjuangan itu. Hasrat itu disambut baik lalu ditubuhkan cawangan Ikhwan Muslimin di Kaherah.

     Bagi memudahkan aktiviti dakwah, mereka mencari sebuah tempat bagi dijadikan bilik gerakan Ikhwan Muslimin Kaherah. Akhirnya mereka mendapat sebuah bilik di Bangunan Saleem Basya Hijazi di Jalan Souqul As-Silah. Tetapi bilik itu sudah lama kosong dan banyak kerosakan. Tuan punya tempat itu menawarkan harga yang rendah kerana tidak ada pihak lain yang mahu menyewanya.

     Para anggota Ikhwan Muslimin Kaherah memperbaiki tempat itu sehingga ia sesuai untuk kegiatan mereka. Namun begitu, kerana masalah kewangan, mereka hanya mampu membayar sewa bilik itu, tetapi tidak mampu menyediakan kelengkapan serta mengubah bilik itu menjadi pusat kegiatan. Kerana masalah kewangan juga, anggota Ikhwan Muslimin Kaherah tidak mampu membiayai kegiatan dakwah dan kemasyarakatan.

     Pada suatu hari, mereka dikunjungi oleh seorang wakil dari pejabat perdana menteri Mesir, Sidqi Basya, yang mengatakan sanggup memberi bantuan kewangan yang besar, dengan syarat Ikhwan Muslimin Kaherah mesti menyokong segala rancangan pihak kerajaan. Anggota Ikhwan Muslimin Mesir mengadakan mesyuarat sebelum membuat keputusan.

     "Sekiranya kita menolak tawaran itu, tangan kita mungkin dipotong. Tetapi tangan-tangan ini tidak boleh menerima bantuan kewangan yang ditawarkan, dengan tujuan memesongkan kita daripada Islam ataupun sebagai keuntungan peribadi. Tetapi sekiranya kita berpuas hati dengan dasar kerajaan sekarang ini, maka kita berkewajipan menyokongnya walaupun kita terpaksa mengorbankan nyawa dan harta benda kita. Pastinya pengorbanan kita itu tidak meminta sebarang balasan," kata Abdur Rahman As-Saati dengan penuh bersemangat.

     Akhirnya mereka sebulat suara menolak bantuan kewangan daripada pihak kerajaan Mesir. Penolakan itu pastinya menyinggung perasaan perdana menteri Mesir. Namun mereka sanggup menghadapi apa sahaja kemungkinan.

     Apabila Hasan Al-Banna mendapat tahu perkara itu, beliau mengadakan mesyuarat dan Ikhwan Muslimin Ismailiyah bersetuju memberikan bantuan kewangan sehingga Ikhwan Muslimin Kaherah mampu berdikari.


===================


Jabasat terletak tidak jauh dari Ismailiyah. Di sana terdapat 300 orang buruh yang bekerja dengan Syarikat Terusan Suez. Mereka mendapat berita telah wujud satu pergerakan dakwah di Ismailiyah dan beberapa tempat lain. Akhirnya mereka menghantar seorang wakil untuk pergi ke Ismailiyah bagi menemui Hasan Al-Banna. Dalam pertemuan itu, wakil kesatuan buruh Jabasat mempelawa Hasan Al-Banna datang ke Jabasat bagi memberikan ceramah.

     Jemputan itu disambut baik, lalu Hasan Al-Banna pergi ke Jabasat bagi menyampaikan ceramah kepada buruh-buruh tersebut. Ceramah yang disampaikan Hasan Al-Banna itu menarik minat mereka sehingga membawa perubahan kepada pemikiran mereka. Akhirnya semua buruh di Jabasat menjadi anggota Ikhwan Muslimin.

     Tidak lama selepas itu, mereka meminta Syarikat Terusan Suez membina sebuah masjid dengan alasan terdapat lebih 300 buruh yang beragama Islam di situ. Pada mulanya permintaan itu tidak dihiraukan, tetapi apabila permintaan demi permintaan diajukan sehingga tersebar khabar angin para buruh itu mahu mengadakan mogok, akhirnya Syarikat Terusan Suez bersetuju membina sebuah masjid bagi dijadikan tempat ibadat untuk buruh yang beragama Islam.

     Apabila terdirinya sebuah masjid, kaum buruh di Jabasat mahukan seorang yang alim untuk menjadi imam dan mengajar Al-Quran di masjid tersebut. Pihak Syarikat Terusan Suez terpaksa akur dengan permintaan mereka, lalu menghubungi Ikhwan Muslimin di Ismailiyah bagi mendapatkan seorang ulama supaya dihantar ke Jabasat.

     Ikhwan Muslimin di Ismailiyah menghantar Syeikh Muhammad Farghali, seorang guru di Sekolah Islam Hira bagi bertugas di Jabasat. Beliau tiba di Jabasat Al-Balah dan terus menjalankan tugasnya di masjid itu. Bagi memudahkan tugas beliau menjadi imam dan mengajar Al-Quran, dibina sebuah rumah berdekatan dengan masjid tersebut.

     Syeikh Muhammad Farghali menjalankan tugas yang diamanahkan kepadanya dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh. Dalam masa yang singkat, beliau berjaya mengubah pemikiran buruh-buruh di Jabasat. Para buruh itu tidak lagi berasa hina dan rendah diri apabila berhadapan dengan pegawai Inggeris di Syarikan Terusan Suez. Mereka berasa berharga kerana hati mereka sudah dipenuhi tenaga iman. Mereka sedar kewajipan menegakkan perintah Allah di atas muka bumi.

     Mereka bekerja dengan tekun dan bersungguh-sungguh, serta tidak meminta sesuatu yang bukan hak mereka. Mereka juga menjauhkan diri daripada sebarang godaan dan sifat tamak. Setiap buruh menghadapi pegawainya dengan rasa bangga, tetapi dengan cara yang tertib. Percakapan mereka bersopan dan bersuara rendah. Mereka tidak berkasar ataupun biadab. Mereka tidak mencela orang tetapi mereka tidak berdiam diri apabila mereka dicela. Buruh-buruh tadi menjadi orang-orang yang baik dan bermaruah melalui ikatan persaudaraan Islam.

     Perubahan sikap dan tutur kata para buruh itu tidak disenangi para pegawai Syarikat Terusan Suez. Mereka bimbang sekiranya perkara itu dibiarkan, lambat laun Syeikh Muhammad Farghali dapat mempengaruhi para buruh itu melakukan sesuatu yang boleh merosakkan kepentingan syarikat.

     Akhirnya pihak Syarikat Terusan Suez mengambil keputusan memecat Syeikh Muhammad Farghali daripada jawapan Imam Masjid. Beliau dianggap seorang yang tidak diperlukan lagi dan mesti segera keluar dari Jabasat.

     "Pengarah Syarikat Terusan Suez memberitahu saya bahawa perkhidmatan kamu tidak diperlukan lagi di sini. Pihak syarikat bercadang hendak melantik orang lain bagi menggantikan tempat kamu. Dia akan menjalankan tugas sebagai imam di masjid Jabasat. Kerana itu pengarah menyuruh saya menyampaikan gaji terakhir kamu," seorang pegawai yang disuruh menemui Syeikh Muhammad Farghali.

     Dengan tenang Syeikh Farghali berkata, "Encik Francoise, saya bukan bekerja dengan Syarikat Terusan Suez. Sekiranya pihak syarikat yang menawarkan kerja ini, saya tidak akan menerimanya."

     "Kamu bekerja dengan siapa?" marah Francoise.

     "Saya adalah wakil Ikhwan Muslimin Ismailiyah. Saya tidak akan menerima sebarang bayaran daripada kamu, dan juga tidak akan berhenti bertugas di masjid walaupun kekerasan digunakan terhadap saya. Saya dilantik oleh ketua Ikhwan Muslimin. Oleh itu, saya hanya akan pergi sekiranya ketua Ikhwan Muslimin meminta saya berbuat demikian. Sepatutnya kamu pergi ke Ismailiyah dan berbincang dengan ketua saya," jawab Syeikh Muhammad Farghali.

     Francoise kembali ke pejabat bagi melaporkan kepada ketuanya. Pengarah Syarikat Terusan Suez mengarahkan pegawainya supaya jangan membayar gaji Syeikh Muhammad Farghali. Tidak lama kemudian, Syeikh Muhammad Farghali datang ke pejabat, tetapi tujuannya bukan meminta gaji.

     "Saya hendak memberitahu kamu bahawa saya mahu pergi ke Ismailiyah berjumpa dengan ketua Ikhwan Muslimin, Hasan Al-Banna," kata Syeikh Muhammad Farghali.

     Francoise menjawab dengan sombongnya, "Kamu boleh pergi ke mana sahaja tetapi pihak syarikat tidak akan membayar apa-apa gaji ataupun elaun kepada kamu."

     "Saya tidak akan menerima apa-apa pemberian dari syarikat kamu," tegas Syeikh Muhammad Farghali pula. Kemudian dia pulang ke Ismailiyah bagi melaporkan perkara itu kepada Hasan Al-Banna.

     "Kamu mesti bertegas dengan keputusan itu, dan jangan meninggalkan Jabasat walau dalam keadaan apa sekalipun. Kamu jangan bimbang kerana tindakan itu betul dan tidak mengambil apa-apa daripada pihak syarikat," pesan Hasan Al-Banna.

     Syeikh Muhammad Farghali berasa senang hati mendengarnya, kerana keputusannya itu direstui oleh Hasan Al-Banna. Beliau kembali ke Jabasat dan menjalankan tugasnya seperti biasa. Pihak pengurusan Syarikat Terusan Suez berasa tidak senang hati kerana tindakan mereka untuk memecat dan mengusir Syeikh Muhammad Farghali tidak berjaya. Akhirnya pengarah syarikat meminta bantuan Gabenor Suez dengan membuat laporan kononnya berlaku huru-hara di Jabasat.

     Serta-merta Gabenor Suez mengarahkan pasukan polis pergi ke Jabasat Al Balah bagi mengawal keadaan. Inspektor polis meminta Syeikh Muhammad Farghali datang menemuinya di pejabat. Waktu itu, Syeikh Muhammad Farghali berada di masjid.

     Syeikh Muhammad Farghali menjawab dengan tenang, "Saya tidak ada urusan dengan pengarah syarikat ataupun inspektor polis. Urusan saya adalah di masjid. Sekiranya salah seorang daripada mereka ingin berjumpa saya, biarlah dia datang ke sini."

     Akhirnya Inspektor Polis itu datang ke masjid lalu mendesak Syeikh Muhammad Farghali supaya mematuhi arahan pengarah syarikat dengan meletakkan jawatannya dan kembali ke Ismailiyah.

     "Ini surat daripada pengarah yang menyatakan perkhidmatan kamu sudah ditamatkan," kata pegawai Syarikat Terusan Suez yang mengiringi Inspektor polis itu.

     "Saya hanya akan meninggalkan tempat ini sekiranya kamu membawa surat tamat perkhidmatan dari pejabat Ikhwan Muslimin di Ismailiyah. Bukan surat daripada pengarah, kerana saya tidak bekerja dengan Syarikat Terusan Suez. Tanpa surat daripada Ikhwan Muslimin, saya tidak akan meninggalkan tempat ini. Sekiranya kamu mahu menggunakan kekerasan terhadap saya, silakan. Saya tidak akan berganjak dari tempat ini walaupun seinci. Hanya mayat saya yang akan meninggalkan tempat ini," tegas Syeikh Muhammad Farghali.

     Apa yang berlaku terhadap Syeikh Muhammad Farghali itu sampai ke pengetahuan para buruh Syarikat Terusan Suez. Mereka bertindak dengan berkumpul beramai-ramai, kemudian berarak ke masjid. Keadaan menjadi tegang apabila pasukan polis cuba menghalang kemaraan orang ramai itu. Bagi mengelakkan berlaku perkara yang buruk, Inspektor polis mengarahkan anggotanya berundur serta meninggalkan Jabasat. Kemudian inspektor polis itu pergi ke Ismailiyah menemui Hasan Al-Banna.

     "Adakah Syeikh Muhammad Farghali sudah melakukan jenayah?" tanya Hasan Al-Banna.

     "Syarikat sudah menamatkan perkhidmatannya. Kerana itu dia perlu pulang ke Ismailiyah dengan segera," kata inspektor polis itu.

     Hasan Al-Banna menjawab, "Syeikh Muhammad Farghali bukan bekerja dengan syarikat. Dia tidak pernah menerima gaji daripada mereka. Kerana itu syarikat tidak boleh kata perkhidmatannya sudah ditamatkan."

     "Kami diberitahu, pihak syarikat tidak mahu Syeikh Muhammad Farghali menjadi imam di masjid itu lagi. Masjid itu syarikat yang membinanya, kerana itu mereka berhak menentukan siapa imamnya. Kami berharap Tuan selesaikan perkara ini dengan baik," kata Inspektor polis.

     Hasan Al-Banna berjanji akan pergi ke Kaherah untuk bertemu dengan Pengarah Syarikat Terusan Suez. Dalam perbualan itu, pengarah hanya menyalahkan Syeikh Muhammad Farghali.

     "Saya berkawan dengan ramai pemimpin Islam. Saya pernah tinggal di Algeria selama 20 tahun. Namun begitu, saya belum pernah berjumpa dengan orang seperti Syeikh Muhammad Farghali yang ingin menguasai kami seperti seorang jeneral tentera," kata pengarah.

     Hasan Al-Banna berbicara dengan cara yang lembut, dan berusaha sedaya upaya meyakinkan bahawa Syeikh Muhammad Farghali tidak salah.

     "Syarikat berlaku zalim terhadap buruh-buruh Islam dan merampas hak-hak mereka yang sah. Mereka tidak dilayan seperti manusia. Syarikat mendapat keuntungan banyak, tetapi membayar gaji yang sedikit kepada buruh-buruh mereka. Perkara ini perlu dibetulkan ataupun kami laporkan kepada pemerintah," kata Hasan Al-Banna.

     Pengarah mula berlembut kerana khuatir kelemahan pengurusan Syarikat Terusan Suez diadukan kepada pemerintah. Akhirnya pengarah bersetuju membenarkan Syeikh Muhammad Fargahli berkhidmat selama dua bulan lagi di Jabasat.

     "Kami meminta pihak Ikhwan menghantar seorang imam lain selepas Syeikh Muhammad Farghali tamat. Kami sanggup membayar gaji dua kali ganda, menyediakan rumah, dan lain-lain kemudahan untuk imam baru itu," kata Pengarah Syarikat Terusan Suez.

     Hasan Al-Banna akhirnya bersetuju. Selepas tempoh dua bulan, Syeikh Farghali kembali ke Ismailiyah dan Syeikh Syafie Ahmad dilantik menggantikan tempatnya.




N / F : DARIPADA "HASAN AL-BANNA", OLEH ABDUL LATIP TALIB.


No comments:

Post a Comment