Wednesday 21 September 2016

HATI YANG KOSONG






HATI YANG KOSONG








Dalam hati kita, ada satu lompong. Kosong. Tidak terisi. Kita semua merasakan kekosongannya. Ruang itu sunyi. Kita takut dengan kesunyian yang ada dalam ruang itu. 

     Akhirnya kita mula mencari sesuatu bagi mengisinya. Ada yang mencari harta, ada yang mencari pasangan, ada yang mencarinya dengan memanjat gunung, dan menyelam ke dasar lautan. Ada yang berusaha mengisinya dengan menganiaya orang lain, dan ada juga yang mengisinya dengan cara menggembirakan orang lain.

     Tetapi, semuanya ibarat berpusing dalam bulatan. Perasaan kosong itu tetap tidak terisi. Kita berasa takut dengan kekosongan itu.

     Apakah kekosongan itu? Apakah yang patut diisi?

     Itu adalah ruang khas untuk Allah s.w.t. Kosong, kerana kita tidak mengisinya dengan perkara yang patut kita isikan padanya, iaitu kepatuhan dan ketaatan, serta pergantungan kita kepada-Nya.

Kesedaran bahawa Pergantungan Kita adalah Rapuh

Hidup kita diisi dengan pelbagai pengisian. Kita bergantung dalam pelbagai pergantungan. Kita mengharapkan kasih sayang insan itu berkekalan. Kita dambakan kebahagiaan yang berterusan.

     Tetapi sebagai manusia yang berfikir, kita akan terfikir, sejauh manakah kesenangan kita berkekalan? Selama manakah keamanan yang ada pada kita berterusan?

     Adakah kita dapat meneruskan kebahagiaan ini seperti biasa selepas kematian orang yang memberikan kita kasih sayang? Adakah harta ini dapat memuaskan kita selama-lamanya?

     Akhirnya, kita melihat terdapat 1001 kemungkinan dalam perjalanan hidup kita atas dunia ini, yang mampu membawa kepada kesengsaraan.

     Kemalangan, tragedi, musibah, dugaan, dan kematian, semuanya mungkin terjadi. Lantas, kita sedar bahawa diri ini lemah. Tidak berkuasa. Tidak mampu berbuat apa-apa sebenarnya.

     Di sinilah kita melihat kerapuhan.

     Perasaan takut mulai muncul.

     Gerun dengan hari esok tanpa pergantungan yang utuh.

Allah yang Terampuh

Akhirnya, kita melihat kekosongan itu hanya terisi apabila kita mendekatkan diri dengan Allah. Apabila kita mengadu kepada-Nya. Apabila kita bernaung di bawah-Nya. Apabila kita meminta kepada-Nya. Apabila kita melaksanakan semua perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya.

     Kita yakin bahawa Allah adalah yang terampuh.

     Dia yang menciptakan kita. Dia yang memberikan kita bahagia dan sengsara. Dia yang menyusun atur seluruh alam ini. Dia yang menciptakan semuanya. Dia yang Maha Tahu, Maha Mendengar, Maha Melihat, Maha Berkuasa atas segala-gala.

     Tidak ada yang mampu menandingi-Nya.

     Hatta, kehebatan mentari juga dalam kekuasaan-Nya.

     Hatta, keindahan bulan juga dalam genggaman-Nya.

     Allah menjelaskan dalam surah Al-An'am ayat 74 hingga ayat 80 yang bermaksud:

        74. "Ingatlah ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya,
              'Patutkah ayah menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan?
              Sesungguhnya saya melihat ayah dan kaum ayah dalam
              kesesatan yang nyata.'

        75. Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan
              kekuasaan Kami di langit dan di bumi, supaya beliau menjadi
              golongan yang percaya dengan penuh yakin.

        76. Ketika beliau berada pada waktu malam yang gelap, beliau
              melihat sebuah bintang bersinar-sinar. Lalu beliau berkata,
              'Inikah Tuhanku?' Apabila bintang terbenam, beliau
              berkata pula, 'Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang.'

        77. Kemudian, apabila dilihatnya bulan terbit menyinarkan
              cahayanya, beliau berkata, 'Inikah Tuhanku?' Selepas bulan
              terbenam, beliau berkata, "Sesungguhnya, sekiranya
              aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhan aku, nescaya aku 
              tergolong dalam kaum yang sesat.

        78. Kemudian, apabila beliau melihat matahari sedang terbit
              menyinarkan cahayanya, beliau berkatalah, 'Inikah 
              Tuhanku? Ini lebih besar.' Selepas matahari terbenam, beliau
              berkata pula, 'Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas
              diri daripada apa yang kamu sekutukan.

        79. Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada
              Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang
              aku tetap di atas dasar tauhid dan bukan daripada
              golongan yang menyekutukan Allah dengan sesuatu
              yang lain.

        80. Dan beliau dibantah oleh kaumnya. Beliau pun berkata,
              'Patutkah kamu membantah aku berkenaan Allah,
              sesungguhnya Allah memberi petunjuk kepada aku? Aku
              tidak takut sebarang bahaya daripada apa yang kamu
              sekutukan dengan Allah, kecuali Tuhan aku menghendaki
              sesuatu daripada bahaya itu. Sesungguhnya pengetahuan
              Tuhan aku meliputi tiap-tiap sesuatu, tidakkah kamu insaf 
              dan mengambil ikhtibar?'."

Dengan Allah, Kekosongan Itu Terisi

Apabila mendekati Dia, kekosongan hati terisi sepenuhnya. Perasaan takut mulai hilang. Perasaan gelisah hilang. Perasaan resah juga punah. Yang ada hanyalah ketenangan.

     Ketenangan yang ditunjukkan oleh Bilal bin Rabah pada saat batu menghempap di atas dadanya.

     Ketenangan yang ditunjukkan oleh Suhaib Ar-Rumy pada saat beliau mengorbankan seluruh hartanya.

     Ketenangan yang ditunjukkan oleh Bara' bin Malik pada saat beliau melemparkan dirinya ke kubu musuh.

     Ketenangan yang ditunjukkan oleh Saad bin Abi Waqqas pada saat beliau ingin merentas sungai yang luas dan dalam.

     Ketenangan yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. pada saat beliau hanya berdua bersama Abu Bakar di dalam Gua Tsur.

     Sehingga ke tahap nyawa di hujung tanduk, ketenangan itu wujud seperti yang ditunjukkan oleh Khubaib bin 'Adi, pada saat tubuhnya dilapah hidup-hidup oleh Abu Jahal, dan juga ditunjukkan oleh Ali bin Abi Talib pada saat menggantikan tempat tidur Rasulullah s.a.w.

     Apatah lagi sekadar kehidupan kita.

     Ketenangan, perasaan selamat, perasaan bahagia, dan perasaan aman ini wujud ketika menghadapi kesukaran dan pada saat kritikal. Perasaan ini hanya diperoleh apabila merapatkan diri dengan Allah. Ini adalah hakikat yang kita cari-cari.

     Pada Allah tempat kita menuntutnya kini.

Kembali kepada Allah dengan Sebenar-Benarnya

Dekatilah Allah s.w.t.

     Bukan semata-mata dalam solat dan ibadah kita di masjid, bukan semata-mata pada masa kita bangun pada tengah malam. Tetapi, di pejabat, di meja makan, di rumah, di tempat belajar, di tengah padang permainan, dan di taman-taman rekreasi.

     Mendekati-Nya dan tunduk kepada-Nya, sepanjang masa dan ketika. Kehidupan kita perlu dibina atas apa yang diredhai-Nya.

     Kita melihat golongan manusia sebelum kita yang melakukan perkara yang sama dengan mendekati Allah s.w.t. dan tunduk kepada-Nya sepanjang masa. Apakah yang mereka peroleh di dunia dan akhirat? Allah menyatakan dalam surah Al-Fajr, ayat 27 hingga ayat 30 yang bermaksud:

          "Sesudah menerangkan akibat orang-orang yang tidak menghiraukan
          akhirat, Tuhan menyatakan bahawa orang-orang yang beriman
          dan beramal soleh disambut dengan kata-kata, 'Wahai insan
          yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang dengan kepercayaan.
          Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati
          dengan segala nikmat yang diberikan lagi diredhai di sisi Tuhanmu,
          serta masuklah engkau dalam kumpulan para hamba-Ku yang
          berbahagia, masuk dalam syurga-Ku.'."

Tidakkah kita melihat, ini jawapan kepada 'kekosongan' itu? Apakah yang patut kita lakukan sekarang?




N / F : DARIPADA "UNTUK KITA PENDOSA, HARAPAN SELALU ADA", OLEH HILAL ASYRAF.  

No comments:

Post a Comment