Monday 12 September 2016

HASAN AL-BANNA [ BAB 17 - PERISTIWA BULAN RAMADAN ]






PERISTIWA BULAN RAMADAN








Sejak berada di Ismailiya, Hasan Al-Banna sembahyang subuh di Masjid Al-Abbasi. Hanya itu satu-satunya masjid yang ada di Ismailiyah. Beberapa hari sebelum menjelangnya bulan Ramadan, Hasan Al-Banna mengambil kesempatan membacakan hadis-hadis yang berkaitan dengan kelebihan bulan Ramadan. Dia melakukannya selepas sembahyang subuh.

     "Pada bulan Ramadan kali ini, kami mahu mengerjakan sembahyang sunat tarawih di masjid ini," kata imam Masjid Abbasi.

     Hasan Al-Banna sedikit terkejut dengan penyataan itu lantas bertanya, "Apakah sebelum ini tidak dibuat sembahyang tarawih di masjid ini?"

     "Kami hanya melakukannya di rumah," jawab imam itu perlahan.

     "Mengapa?" tanya Hasan Al-Banna.

     Menurut tuan imam, di Ismailiyah terdapat perbezaan pendapat mengenai rakaat sembahyang tarawih. Ada berpendapat Nabi Muhammad s.a.w. mengerjakan sembahyang tarawih hanya 10 rakaat. Ada yang mengatakan sembahyang tarawih boleh dilakukan sehingga 20 rakaat.

     "Supaya tidak berlaku kekecohan dan pergaduhan, kami sembahyang tarawih di rumah sahaja," beritahu tuan imam.

     "Mengapa pula tahun ini mahu diadakan di masjid?" tanya Hasan Al-Banna lagi.

     Tuan imam itu menjawab, "Atas permintaan ramai dan bagi menghidupkan masjid ini pada bulan Ramadan."

     Hasan Al-Banna bersetuju dengan cadangan Tok Imam itu. Perkara itu dimaklumkan kepada orang ramai. Pada malam pertama bulan Ramadan, orang ramai berkumpul di masjid untuk sembahyang tarawih. Makan timbul kekecohan kerana sebahagian daripada makmum mahu sembahyang tarawih itu dilakukan 10 rakaat dan sebahagian lagi mahu dilakukan 20 rakaat. Maka pertengkaran itu berakhir dengan pergaduhan.

     Melihat keadaan itu, Hasan Al-Banna pun naik ke atas mimbar lalu berkata dengan suara yang lantang, "Sembahyang tarawih itu hukumnya sunat. Kamu bergaduh itu hukumnya haram, apatah lagi di dalam masjid."

     Kata-kata Hasan Al-Banna itu menyedarkan orang ramai terhadap kesilapan mereka. Tidak lama kemudian, mereka yang bergaduh itu keluar dari masjid dan pulang ke rumah masing-masing. Hasrat tuan imam mahu mengadakan sembahyang tarawih di masjid tetap diteruskan, walaupun hanya beberapa orang yang tinggal. Mereka mengerjakan tarawih 20 rakaat.

     Pada suatu malam, Hasan Al-Banna dijemput berbuka puasa di rumah seorang hakim mahkamah syariah. Turut hadir di rumah itu adalah inspektor polis, hakim mahkamah awam, seorang pengetua sekolah rendah, seorang pengawas pelajaran, para ulama, orang-orang terpelajar, para peguam, dan orang penting Ismailiyah yang lain. Suasana di majlis itu sangat menarik. Hasan Al-Banna melihat air minuman dihidangkan di dalam cawan-cawan perak.

     Hasan Al-Banna meminta kepada pelayan, "Boleh berikan saya air yang diisi di dalam cawan biasa?"

     "Apakah kamu tidak mahu minum air di dalam cawan perak?" tanya hakim mahkamah syariah yang juga tuan rumah.

     Hasan Al-Banna mengangguk lalu berkata, "Benar, lagipun saya sedang berada di rumah seorang hakim mahkamah syariah."

     "Keengganan kamu seorang sahaja, yang tidak mahu minum di cawan perak, boleh menimbulkan perselisihan dan perkara ini boleh kita bincangkan. Mengapa kita perlu bertegas dalam perkara ini, pada hal kita tidak menurut dasar-dasar Islam yang lain?" kata hakim mahkamah syariah itu.

     "Tidak ada khilaf mengenai peraturan Islam yang melarang kita mengambil makanan dari bijana perak dan emas. Ada hadis yang sahih melarang perbuatan itu," kata Hasan Al-Banna.

     Kemudian Hasan Al-Banna berkata. "Peraturan itu jelas dan tidak perlu tafsiran lain lagi. Kita berkewajipan menurut sunah Rasulullah s.a.w. Sepatutnya Tuan lebih arif mengenai perkara ini. Sepatutnya tuan menghidangkan minuman di dalam gelas kaca."

     Beberapa orang sahabat baik hakim mahkamah syariah itu mendesak Hasan Al-Banna supaya jangan mempertikaikan perkara itu. Mereka berpendapat tidak perlu menolak minuman yang dihidangkan di dalam bijana perak kerana perkara itu adalah khilaf.

     "Hadis itu sahih, di mana khilafnya?" tegas Hasan Al-Banna.

     Hakim mahkamah awam yang turut berada di situ menyampuk, "Tuan hakim mahkamah syariah, apabila ada peraturan, kita perlu menghormatinya. Kita tidak perlu menyiasat sama ada larangan itu sesuai ataupun tidak. Apa yang penting, kita perlu mengikut sunah Rasulullah s.a.w. tanpa soal jawab lagi."

     Hasan Al-Banna mengucapkan terima kasih kepada hakim mahkamah awam. Kemudian dia berkata,

     "Tuan hakim mahkamah awam sudah memberi pendapat yang sesuai dengan hukum syarak. Oleh itu, Tuan juga hendaklah menanggalkan cincin emas di jari Tuan kerana Islam melarang lelaki memakai perhiasan emas."

     Hakim Mahkamah Awam tersenyum lalu berkata, "Saya memberi pendapat mengenai hakim mahkamah syariah itu berdasarkan Al-Quran dan Hadis. Adapun memakai cincin emas ini pendapat saya berdasarkan Kanun Napoleon. Kerana setiap orang daripada kita tertakluk dengan undang-undangnya sendiri. Kami di mahkamah awam undang-undang Islam. Kerana itu kami boleh menegur hakim mahkamah syariah, tetapi kamu tidak boleh menegur hakim mahkamah awam."

     Hasan Al-Banna tidak melatah. Dengan tenang dia bertanya, "Baiklah, saya mahu bertanya, bukankah tuan beragama Islam?"

     "Semua orang tahu aku beragama Islam," jawab hakim mahkamah awam.

     "Apakah tuan hakim tidak tahu bahawa setiap orang Islam wajib mematuhi hukum Islam? Kerana Tuan mengaku orang Islam, Tuan sepatutnya mematuhi hukum syarak atau hukum agama kita," kata Hasan Al-Banna.

     Hakim mahkamah awam itu segera menanggalkan cincin emas pada jarinya. Berita perbincangan antara Hasan Al-Banna dengan dua hakim itu tersebar ke seluruh bandar Ismailiyah. Orang ramai memuji serta menyokong pendirian Hasan Al-Banna.

     Bagi menghidupkan lagi suasana Masjid Abbasi pada bulan Ramadan, selepas sembahyang subuh, Hasan Al-Banna mengambil kesempatan bercakap mengenai keberkatan dan kelebihan berpuasa pada bulan Ramadan. Pada hujung bulan Ramadan pula, dia menerangkan mengenai malam Lailatulqadar dan bayaran zakat. Kemudian Hasan Al-Banna bercakap pula mengenai sembahyang sunat Hari Raya Aidil Fitri.

     "Sembahyang sunat Aidilfitri dilakukan di tempat lapang di luar kota. Semua kaum lelaki dan wanita Islam patut sekali memperlihatkan kegemilangan dan perpaduan Islam pada Hari Raya Aidil Fitri dan Aidil Adha. Semua Imam Mujtahid kecuali Imam Syafie berpendapat lebih utama sembahyang Aidil Fitri dilakukan di tanah lapang. Menurut Imam Syafie pula, adalah lebih baik dilakukan sembahyang sunat Hari Raya di dalam masjid andainya masjid itu cukup besar bagi mengisi semua penduduk Islam dalam sesebuah bandar," kata Hasan Al-Banna.

     Bilal masjid tertarik hati mendengarnya lalu berkata, "Di Ismailiyah ini cuma ada sebuah masjid sedangkan penduduk Islam berjumlah lebih 20 ribu. Kerana itu setiap kali sembahyang sunat hari raya, orang ramai melimpah hingga ke jalan raya. Kerana itu saya mencadangkan pada kali ini, sembahyang sunat hari raya diadakan di tempat lapang di luar kota."

     "Saya sokong," kata tuan imam.

     Hasan Al-Banna turut bersetuju walaupun hatinya berasa bimbang kerana perkara itu boleh menimbulkan perbalahan dalam kalangan orang ramai. Tambahan pula pendudk Islam di Ismailiyah memang sudah berpecah belah kerana berbeza fahaman.

     Seperti yang diduga, cadangan mahu mendirikan sembahyang sunat hari raya di luar kota itu mendapat bantahan. Mereka tetap mahu sembahyang itu diadakan di masjid.

     "Perkara itu hendaklah dirujuk kepada para ulama. Sekiranya mereka bersetuju, barulah kita laksanakan rancangan itu. Andainya mereka tidak bersetuju, kita batalkan sahaja rancangan tersebut," kata Hasan Al-Banna.

     "Itu akan mengambil masa yang lama sedangkan hari raya beberapa hari sahaja lagi. Keputusan kami adalah mendirikan sembahyang hari raya di padang pasir, di belakang bandar ini," kata tuan imam.

     Mereka yang tidak bersetuju menyalahkan Hasan Al-Banna kerana memberi cadangan tersebut. Mereka menuduhnya membawa bidaah terhadap penduduk Ismailiyah.

     "Sembahyang di tanah lapang adalah satu bidaah. Ia satu langkah untuk meninggalkan masjid. Kerana itu cadangan tersebut bertentangan dengan Islam, bahkan ia satu penyelewengan. Siapakah dia yang sanggup berkata sembahyang di jalan raya itu lebih baik daripada sembahyang di masjid? Kami tidak pernah mendengar perkara seumpama itu sejak dari zaman nenek moyang kami," kata ketua kumpulan yang membantah cadangan sembahyang hari raya di luar kota.

     Perkara itu tersebar ke seluruh bandar Ismailiyah. Orang ramai bercakap mengenainya di tempat-tempat umum. Rata-rata mereka menyalahkan Hasan Al-Banna kerana mencetuskan isu yang boleh memecah-belahkan penduduk Ismailiyah.

     "Penduduk Islam akan bersorak sekiranya isu ini menambahkan lagi perpecahan umat Islam di Ismailiyah. Kerana itu kita perlu mendesak Hasan Al-Banna menarik semula kata-katanya itu," kata Naufal.

     Jadi sepanjang bulan Ramadan, Hasan Al-Banna beriktikaf di masjid. Tambahan pula sekarang musim cuti sekolah. Setiap kali selepas sembahyang, orang ramai mengerumuni Hasan Al-Banna kerana hendak bertanya mengenai apa yang sedang diperkatakan itu.

     "Benarkah sembahyang hari raya di tempat lapang dan bukan masjid itu satu bidaah?" tanya mereka.

     "Imam Hanafi, Imam Maliki, dan Imam Hanbali mengatakan sunat sembahyang hari raya di luar masjid di tempat yang lapang. Imam Syafie pula mengatakan boleh sembahyang di masjid jika masjid itu besar dan muat sekiranya orang ramai datang untuk sembahyang hari raya. Tetapi jika masjid itu kecil dan sempit, sunat sembahyang di kawasan lapang," kata Hasan Al-Banna dengan tutur kata yang lembut dan sopan.

     "Mereka meminta kami bertanya apakah itu ada disebut dalam hadis nabi dan ayat Al-Quran?" tanya mereka pula.

     "Setahu saya, imam-imam yang mujtahid seperti Imam Hanafi, Imam Maliki, Imam Hambali, dan Imam Syafie itu mahir dengan Al-Quran dan hadis. Mereka membuat rujukan sebelum mengeluarkan fatwa," jawab Hasan Al-Banna.
    
     "Jika sembahyang hari raya itu sunat di tempat lapang, mengapa tidak dibuat oleh nenek moyang kita dahulu?" tanya mereka lagi.

     Pertanyaan-pertanyaan mereka itu mengejutkan Hasan Al-Banna. Dia cuba menerangkan dasar-dasar Islam kepada mereka dengan bahasa yang mudah, sambil menyebut pelbagai rujukan. Pada masa yang sama, dia berusaha mengelakkan diri daripada perkara-perkara yang menimbulkan perbalahan.

     "Tuan-tuan boleh merujuk perkara ini kepada alim ulama. Mereka tentu lebih mengetahui daripada saya," kata Hasan Al-Banna.

     Malangnya masalah itu tidak dapat diselesaikan oleh para ulama Ismailiyah. Mereka tidak berani berterus terang kerana bimbang menyinggung perasaan antara kedua-dua belah pihak. Akhirnya orang ramai merujuk kepada Hasan Al-Banna sahaja.

     Bagi menyelesaikan masalah itu, Hasan Al-Banna membacakan hadis-hadis dan kitab-kitab muktabar yang ada kaitan dengan sembahyang hari raya. Ekoran daripada itu, ramai yang mahu belajar dan menurut sunah Rasulullah s.a.w. Akhirnya mereka membuat keputusan bahawa sembahyang sunat Aidil Fitri boleh diadakan di kawasan lapang. Mereka bertekad mahu meneruskannya walaupun ada yang menentang.

     Hasan Al-Banna mempunyai rancangan sendiri. Dia mahu pulang ke Kaherah bagi menyambut hari raya bersama keluarganya. Adapun masalah di Ismailiyah, biar mereka yang selesaikan sendiri. Penduduk Ismailiyah pula tetap mengadakan sembahyang hari raya di kawasan lapang, bukan di masjid. Orang ramai berasa gembira kerana sunah Rasulullah s.a.w. dapat diamalkan.




N / F : DARIPADA "HASAN AL-BANNA", ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment