SEJENAK KITA MENZIARAHI NERAKA ALLAH
Neraka. Kita memohon kepada Allah SWT supaya Dia tidak menghumbankan kita ke dalamnya. Kita memohon kepada Allah SWT supaya kita langsung tidak disentuhinya. Sesungguhnya, itu adalah seburuk-buruk tempat seksaan yang dahsyat.
Mereka yang berdosa serta melakukan larangan-Nya dan tidak mahu bertaubat dan menyesal, neraka adalah jawapannya. Allah menerangkan dalam surah Al-Baqarah, ayat 39 yang bermaksud:
"Ada pun orang-orang kafir dan mereka yang mendustakan
ayat-ayat Kami, mereka adalah daripada kalangan ahli neraka.
Mereka kekal di dalamnya."
Allah menegaskan dalam surah Al-Baqarah, ayat 201 yang bermaksud:
"Apabila dikatakan kepadanya, bertakwalah kepada Allah lalu
bangkitlah kesombongannya yang menyebabkannya berbuat
dosa. Cukuplah bagi mereka neraka jahanam. Sesungguhnya
neraka jahanam itu tempat tinggal yang seburuk-buruknya."
Mati, Permulaan ke Sana
Ramai yang berfoya-foya dan alpa di dunia ini. Mereka berasa esok sentiasa ada. Mereka menangguhkan taubat, melambat-lambatkan usaha melakukan kebaikan. Terlupa pada suatu ketika kelak, pasti makhluk bernama maut datang menyapa.
Allah menerangkan dalam surah Qaf, ayat 19 yang bermaksud:
"Apabila sampai ajal seseorang, datanglah sakaratulmaut
membawa kebenaran yang dijanjikan serta dikatakan kepada
yang mengingkarinya sebelum itu, 'Ini adalah perkara yang
engkau selalu mengelak diri daripadanya'."
Ke manakah kita, sekiranya mati dalam keadaan berdosa? Allah menerangkan dalam surah An-Nisa', ayat 14 yang bermaksud:
"Sesiapa yang derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya, dan
melampaui batas-batas syariat-Nya, pasti Allah memasukkannya
ke dalam api neraka. Kekal dia di dalamanya dan baginya azab
seksa yang hina."
Tidakkah kita menyedarinya?
Neraka, Tempat Mereka yang Gagal
Tahukah kita bagaimana Allah SWT mendefinisikan kejayaan? Allah menjelaskan dalam surah Ali Imran, ayat 185 yang bermaksud:
"Setiap yang bernyawa pasti merasai mati. Bahawasanya
pada hari kiamat sahaja disempurnakan balasan kamu. Ketika
itu, sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke
syurga, sesungguhnya ia berjaya. Ingatlah, kehidupan di dunia
ini meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya.
Itu tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang
terpedaya."
Perhatikan petikan ayat di atas. Jelas di sisi Allah SWT menyatakan, mereka yang masuk ke syurga dan diselamatkan daripada azab neraka adalah mereka yang berjaya.
Semestinya, mereka yang masuk ke dalam neraka dan tidak dapat menjejaki syurga adalah mereka yang gagal. Sesungguhnya mereka yang memasuki neraka, adalah mereka yang tertipu dan lalai dengan kesenangan dunia. Tidakkah kita memerhatinya, wahai pendosa?
Dahsyatnya Neraka Allah SWT
Tidak ada yang lebih layak menceritakan dan menggambarkan kedahsyatan neraka ini, melainkan Tuan kepada neraka. Mari sama-sama membuka pintu hati kita dan membaca sebahagian daripada apa yang saya nukilkan daripada Al-Quran. Allah menjelaskan dalam surah An-Nisa', ayat 56 yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-
ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam
api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami
gantikan kulit yang lain untuk mereka supaya mereka dapat
berasa azab sengsara itu. Dan ingatlah sesungguhnya Allah
adalah maha kuasa, lagi maha bijaksana."
"Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada
tingkatan yang bawah sekali daripada lapisan-lapisan dalam
neraka. Dan kamu tidak sekali-kali mendapat sesiapa pun
yang dapat menolong mereka." Maksud dalam surah An-Nisa',
ayat 145.
"Sesungguhnya bagi orang-orang kafir, sekiranya setiap seorang
daripada mereka mempunyai segala yang ada di muka bumi,
untuk mereka menjadikannya penebus diri mereka daripada
azab seksa hari kiamat. Nescaya, tebusan itu tidak diterima dan
mereka beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya. Mereka
sentiasa berharap untuk keluar daripada api neraka itu. Padahal
mereka tidak sekali-kali dapat keluar daripada azab seksa yang
kekal." Maksud dalam surah Al-Maidah, ayat 36 hingga 37.
Allah menyatakan dalam surah Al-An'am, ayat 70 yang bermaksud:
"Jauhkan diri daripada orang-orang yang menjadikan agama
mereka sebagai permainan dan hiburan. Mereka sudah
diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah
mereka dengan Al-Quran. Supaya setiap diri di akhirat kelak
tidak terjerumus ke dalam azab neraka dengan sebab apa
yang ia usahakan daripada perbuatan yang buruk dan keji.
Tidak ada baginya pelindung dan tidak juga pemberi syafaat.
yang lain daripada Allah. Sekiranya ia hendak menebus
dirinya dengan segala jenis tebusan, nescaya terbusan itu tidak
diterima daripadanya. Mereka itu adalah orang-orang yang
dijerumuskan ke dalam azab neraka dengan sebab apa yang
mereka usahakan. Bagi mereka, disediakan minuman daripada
air panas yang menggelegak dan azab seksa yang tidak terperi
sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar semasa hidupnya."
"Sekiranya kamu melihat ketika pada malaikat mencabut jiwa
orang-orang yang kafir seraya memukul muka dan belakang
mereka dan berkata, 'Rasakanlah olehmu seksa neraka yang
membakar, tentu kamu berasa ngeri. Demikian itu disebabkan
oleh perbuatan tanganmu sendiri. Sesungguhnya Allah sekali-
kali tidak menganiaya hamba-Nya.'." Maksud dalam surah
Al-Anfal, ayat 50 hingga 51.
Allah menegaskan dalam surah Ad-Dukhan, ayat 43 hingga 50 yang bermaksud:
"Sesungguhnya buah zaqqum menjadi makanan bagi orang
yang berdosa dalam neraka. Makanan ini panas seperti tembaga
cair yang mendidih dalam perut dan mendidihnya air yang
meluap-luap panasnya. Lalu, diperintahkan kepada malaikat
penjaga neraka, 'Seretlah orang-orang yang berdosa ke tengah-
tengah neraka. Kemudian, curahkan di atas kepalanya azab
seksa daripada air panas yang menggelegak. Rasalah azab
seksa, sebenarnya engkau adalah orang yang berpengaruh dan
terhormat. Sesungguhnya, ini adalah azab seksa yang kamu
dahulu ragu-ragu terhadapnya.'."
Adakah ini yang kita mahukan? Adakah berbaloi kesenangan yang bersifat sementara di dunia ini, yang digantikan dengan kehidupan sedemikian rupa yang kekal abadi?
Tidak. Jadi apakah tindakan kita terhadap dosa-dosa kita?
Sudah Sampai Di Sana, Tidak Sesekali Kembali
Jangan kita menyangka, apabila kita melihat neraka yang Allah SWT sediakan kepada kita, kita dapat meminta dan merayu kepada Allah untuk kembali ke dunia untuk beramal soleh.
Sesekali tidak. Ini kerana, perkara ini tidak pasti terjadi.
Allah SWT berpesan dalam surah As-Sajdah, ayat 12 yang bermaksud, "Dan sungguh ngeri sekiranya kamu melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu, 'Wahai Tuhan kami, kami melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya segala yang kami ingkari dahulu, kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik. Sesungguhnya kami sekarang sudah yakin.'."
Tetapi, apakah gunanya pada hari itu?
Apabila sudah berada dalam neraka, mustahil berpeluang untuk kembali ke dunia.
Tetapi, Kita Masih Hidup, Bukan?
Sungguh dahsyat azab neraka. Teringkat kita pada dosa-dosa kita. Terasa terbeban dengan dosa yang mengheret kita ke sana. Terasa sesak dada kita. Terasa berat kepala kita. Seolah-olah kita sudah menjadi sebahagian daripada ahli neraka itu sendiri.
Tetapi, kita hanya teringat.
Kita masih hidup.
Ini bukti rahmat Allah SWT kepada kita.
Oleh itu, mengapa kita tidak gunakan kesempatan ini bagi membersihkan dosa-dosa kita? Bertaubat atas kesalahan-kesalahan kita? Mengapa kita mesti memilih alpa, lalai, dan leka?
Mari sama-sama bergerak mencuci dosa-dosa kita, dengan melakukan kebaikan-kebaikan dan meninggalkan semua kejahatan.
Supaya tidak ada yang mampu mengheret kita ke neraka Allah SWT.
Ayuh!
N / F : DARIPADA "UNTUK KITA PENDOSA, HARAPAN SELALU ADA", OLEH HILAL ASYRAF.
No comments:
Post a Comment