Wednesday 22 February 2017

PERANG BADAR [ BAB 3 - BERMULA SENGKETA ]






BERMULA SENGKETA








Pada suatu malam Samad bin Muad bermimpi berada di dalam Masjidil Haram. Dia melakukan tawaf mengelilingi Kaabah tanpa diganggu sesiapa. Mimpi itu benar-benar meninggalkan kesan dalam hatinya. Kerinduan Saad pada kota Mekah tidak tertahan lagi. Dia menemui Nabi Muhammad lalu menyatakan keinginannya yang kuat untuk pergi ke Mekah. Beberapa orang sahabat menasihatkan Saad supaya meminta perlindungan daripada salah seorang pemimpin Quraisy bagi menjamin keselamatannya. Dengan tekad yang jitu Saad bin Muad berangkat ke Mekah bersendirian. Apabila sampai dia terus menuju ke rumah Umaiyah bin Khallaf.

     Umaiyah bin Khallaf adalah salah seorang pemimpin Quraisy Mekah yang sangat memusuhi Nabi Muhammad dan pengikutnya. Beliau juga seorang yang berhati kejam hingga sanggup menyeksa Bilal bin Rabah kerana masuk Islam. Saad bin Muad sanggup menemui Umaiyah kerana kedua-duanya ada hubungan saudara dan begitu akrab sebelum Saad menjadi pengikut Nabi Muhammad.

     "Saya datang kerana mahu tawaf mengelilingi Kaabah. Mahukah awak memberi perlindungan kepada saya daripada kejahatan mereka yang memusuhi saya?" tanya Saad kepada Umaiyah.

     "Apakah faedah yang saya dapat sekiranya memberi perlindungan kepada awak?" tanya Umaiyah pula. 

     "Awak sering pergi ke Syam membawa barang-barang dagangan. Awak tidak akan diganggu apabila melalui Madinah," jawab Saad bin Muad.

     Kemudian katanya lagi, "Tetapi sekiranya awak membiarkan saya disakiti oleh penduduk Mekah maka saya biarkan pula awak disakiti penduduk Madinah. Perjalanan awak ke Syam pasti tidak akan selamat."

     Akhirnya Umaiyah bersetuju memberi perlindungan kepada Saad. Kedua-duanya berjalan menuju ke Masjidil Haram. Apabila sampai di hadapan Kaabah, mereka terserempak dengan Abu Jahal.

     "Sesiapa lelaki ini?" tanya Abu Jahal dengan muka yang bengis.

     "Saad bin Muad. Mustahil awak tidak kenal," jawab Umaiyah bin Khallaf.

     "Buat apa dia datang ke sini? Mengapa awak bersamanya? Bukankah dia sudah menjadi musuh kita?" tanya Abu Jahal lagi sambil merenung tajam muka Saad bin Muad.

     "Dia datang hendak bertawaf mengelilingi Kaabah. Dia meminta perlindungan daripada saya. Demi Tuhan Kaabah, jangan ada sesiapa yang mengganggunya," kata Umaiyah.

     "Mengapa awak menlindungi dia? Bukankah dia musuh kita?" tanya Abu Jahal kerana tidak berpuas hati.

     "Kita tidak boleh menghalang sesiapa yang hendak bertawaf keliling Kaabah. Bukankah itu juga menyembah Tuhan-Tuhan kita yang terdapat di keliling Kaabah? Kita benarkan mereka yang datang dari Syam, Khurasan dan lain-lain datang lagi bertawaf. Sebab itu saya bersetuju memberi perlindungan padanya," jawab Umaiyah bin Khallaf.

     Sebenarnya, semenjak dia menyeksa hamba Bilal bin Rabah kerana masuk Islam, hatinya mula kagum dengan kesetiaan dan ketabahan mereka yang menjadi pengikut Muhammad. Tetapi dia tetap memusuhi Muhammad kerana menjaga kedudukannya sebagai pemimpin Quraisy yang paling dihormati.

     "Awak sepatutnya boleh tawaf tanpa berasa takut. Malangnya awak sudah keluar daripada agama nenek moyang kita lalu menjadi pengikut Muhammad. Awak juga membantunya berhijrah ke Madinah. Demi Tuhan, sekiranya awak tidak dilindungi oleh Umaiyah awak tidak boleh balik ke Madinah dengan selamat," kata Abu Jahal.

     "Demi Allah, sekiranya awak berani menghalang saya bertawaf mengelilingi Kaabah, pasti saya akan halang awak ketika melalui wilayah Madinah," kata Saad bin Muad pula.

     "Awak tidak akan diganggu selama berada dalam perlindungan Umaiyah. Tetapi sekiranya dia menarik semula perlindungannya ke atas awak, sekarang juga saya bunuh awak," gertak Abu Jahal.

     "Demi Allah, sekarang saya tidak lagi berasa takut walau Umaiyah menarik semula perlindungannya ke atas diri saya," balas Saad bin Muad.

     "Jangan bertengkar di hadapan Kaabah. Pergilah bertawaf, tiada siapa yang akan menghalang awak," kata Umaiyah.

     Saad bin Muad pun bertawaf hingga selesai tanpa diganggu oleh sesiapa. Sebelum beliau pulang ke Madinah, Abu Jahal menemuinya sekali lagi lalu berkata, "Sampaikan surat ini kepada Muhammad. Awak tidak akan diganggu oleh sesiapa sepanjang perjalanan," kata Abu Jahal lalu memberikan sepucuk surat kepada Saad bagi diberikan kepada Rasulullah.

     Saad bin Muad mengambil surat itu lalu menyimpannya dalam jubah. Apabila sampai di Madinah terus diberikan kepada Nabi Muhammad.

     Surat itu berbunyi, 'Jangan kamu berasa bangga kerana berjaya meloloskan diri daripada kepungan kami. Dendam kami kepada kamu tidak tertahan lagi. Kami akan mendatangi kamu dari segenap penjuru. Kami akan membakar tanaman kamu walau di hadapan rumah kamu sendiri. Kami sudah persiapkan pembunuh upahan bagi membunuh kamu'.

     Sebagai manusia biasa, Nabi Muhammad tetap mengambil berat ugutan itu. Tambahan pula beberapa hari kemudiannya beberapa orang pengikutnya mengadu tanam-tanaman mereka dimusnahkan dan kebun kurma dibakar. Pada malam itu Nabi Muhammad hampir tidak dapat tidur lena.

     "Aku berdoa supaya ada orang yang dapat melindungi aku pada malam ini," kata Rasulullah.

     Tidak lama kemudian Nabi Muhammad terdengar bunyi orang sedang berjalan di luar rumahnya.

     "Siapa itu?" tanya Nabi Muhammad.

     "Saad bin Abi Waqas," jawab suara dari luar.

     "Mengapa kamu datang?" tanya Rasulullah lagi.

     "Saya bimbang keselamatanmu, wahai Rasulullah. Saya datang mahu menjaga keselamatan Rasulullah," jawab Saad bin Abi Waqas.
  
     Nabi Muhammad mendoakan pula keselamatan sahabatnya itu. Penjagaan terhadap keselamatan Rasulullah terus ditingkatkan pada malam berikutnya. Mereka bergilir berkawal di luar rumah Rasulullah hingga turun ayat Quran surah al-Maidah ayat 67, "Dan Allah memeliharamu daripada (gangguan) manusia."

     Selepas turun ayat itu, Nabi Muhammad menjengukkan kepalanya melalui tingkap rumahnya lalu berkata, "Wahai semua, pulanglah kamu dari rumahku ini kerana Allah menjaga keselamatanku."

     Mereka yang berkawal di rumah Rasulullah pada malam itu pulang ke rumah masing-masing. Sejak itu mereka tidak bimbang lagi dengan keselamatan Rasulullah.

     Walaupun Allah memberi jaminan melindungi keselamatan Nabi Muhammad, namun Nabi Muhammad tidak pula leka dan berpeluk tubuh. Nabi Muhammad sentiasa memikirkan keselamatan seluruh penduduk Madinah. Pada suatu hari beliau berbincang dengan para sahabatnya.

     Menurut Nabi Muhammad, Madinah terletak di laluan antara Mekah dengan Syam. Apabila orang Quraisy hendak pergi ke Syam, akan melalui wilayah Madinah. Apabila pulang dari Syam juga akan melalui Madinah. Kedudukannya yang strategik itu dapat digunakan musuh bagi melakukan serangan mengejut dari Syam ataupun Mekah. Bagi memastikan keselamatan penduduk Madinah, perlu dibuat perjanjian dengan kabilah-kabilah yang berada di sepanjang laluan itu.

     Para sahabat bersetuju dengan perancangan Rasulullah lalu berusaha memujuk kabilah Juhainah yang mendiami kawasan lalu Mekah dan Syam. Amru al-Ash diberi tanggungjawab memujuk mereka. Beliau diiringi seramai 10 orang yang terdiri daripada kaum Ansar dan Muhajirin.

     "Wahai kabilah Juhainah, kami datang mahu menghulurkan tali persahabatan. Ucapkanlah bahawa tidak ada Tuhan yang disembah selain Allah dan Muhammad itu pesuruhNya," kata Amru al-Ash apabila sampai di perkampungan Kabilah Juhainah.

     "Kami mengalu-alukan kedatangan tuan. Berkenaan seruan itu kami sudah lama mendengarnya namun belum berkesempatan bertemu dengan lelaki yang bernama Muhammad itu," kata al-Zumar, ketua kabilah Juhainah.

     "Beliau menyuruh kami berbuat baik sesama manusia. Melarang kami mencuri, berjudi, meminum arak dan segala bentuk kejahatan. Kami tidak menggangu kamu selagi kami tidak diganggu. Kami tidak akan perangi kamu selagi kami tidak diperangi," balas Amru al-Ash pula.

     Al-Zumar tertarik dengan sikap baik yang ditunjukkan Amru al-Ash dan para pengiringnya.

     "Tahukah kamu bahawa kami sentiasa mencurigai orang luar apabila singgah di perkampungan kami? Sebabnya mereka selalu hendak mencuri harta kami serta mencabuli anak-anak gadis kami. Tetapi kedatangan kamu bukan bagi tujuan itu, kerana itu kamu disambut dengan baik," puji al-Zumar.

     "Mahukah kamu sekiranya kami menawarkan perlindungan? Harta dan keselamatan kamu akan kami lindungi," kata Amru al-Ash.

     "Apa balasannya?" tanya al-Zumar pula.

     "Bersatulah dengan kami bagi menghadapi orang Quraisy Mekah. Musuh kami adalah musuh kamu. Sahabat kami adalah sahabat kamu juga," jawab Amru al-Ash.
  
     Al-Zumar tertarik dengan tawaran itu kerana menguntungkan kabilahnya. Lalu dibuat perjanjian dengan Nabi Muhammad. Perjanjian itu juga berjaya menarik kabilah-kabilah lain bersatu di bawah perlindungan Madinah.

     "Muhammad dan pengikutnya semakin berani mencabar kita. Mereka mempengaruhi kabilah-kabilah di sepanjang lalu ke Syam supaya bekerjasama bagi menyekat laluan kita," kata Abu Sufian dalam satu mesyuarat dengan para pemimpin Quraisy.

     Menurutnya, dengan termeterainya perjanjian itu maka wilayah Madinah menjadi semakin luas daripada sebelumnya. Kabilah-kabilah yang terbabit dengan perjanjian itu akan bersatu di bawah kepimpinan Nabi Muhammad. Kabilah itu akan bersatu bagi menghadapi musuh yang mengancam Madinah.

     "Jalan perdaganan Mekah-Syam dikuasai oleh pengikut Muhammad. Kita tidak lagi bebas menggunakannya. Sekiranya hendak melaluinya, kita terpaksa mendapatkan kebenaran daripada mereka dan terpaksa mematuhi syarat-syarat yang mereka tetapkan. Kita terpaksa mengambil jalan lain yang lebih sukar bagi membawa barang-barang dagangan ke Syam," kata Abu Lahab sambil meluahkan rasa marahnya.

     "Saya tidak peduli dengan peraturan yang dibuat oleh Muhammad itu. Saya akan tetap menggunakan jalan yang biasa saya lalui untuk pergi ke Syam. Saya mahu lihat setakat mana keberanian Muhammad dan pengikutnya melaksanakan undang-undang ciptaan mereka," kata Abu Jahal.

     "Saya mencadangkan setiap kafilah dagang kita yang hendak pergi ke Syam dibekalkan dengan senjata. Sekiranya dihalang oleh Muhammad dan pengikutnya mereka boleh mempertahankan diri. Mereka juga mesti pergi dalam jumlah yang ramai." Umaiyah bin Khallaf pula memberi cadangan.

     "Saya setuju. Kita mesti tunjukkan keberanian kita. Muhammad dan pengikutnya tidak boleh membuat peraturan tanpa persetujuan kita." Kata-kata Abu Lahab itu menambahkan lagi kemarahan Abu Jahal.

     Beliau menyiapkan satu kafilah dagang bagi berangkat ke Syam. Mereka terdiri daripada 300 orang lelaki dengan menunggang kuda. Manakala 300 ekor unta sarat membawa barang dagangan. Abu Jahal juga membekalkan senjata kepada semua anggota kafilahnya. Kemudian mereka keluar dari Mekah menuju ke Syam melalui jalan yang biasa dilalui. Tindakan itu sengaja dilakukan bagi mencabar peraturan baharu yang dikuatkuasakan oleh Nabi Muhammad.

     Sebelum Abu Jahal dan kafilah dagang yang dipimpinnya bergerak, Abu Lahab dan pembesar-pembesar Quraisy berpesan apabila terjadi pertempuran dengan pengikut Muhammad segera meminta bantuan dari Mekah. Namun Abu Jahal yang teringin sangat berperang dengan Muhammad itu yakin pasukannya sudah cukup kuat bagi berhadapan dengan pengikut Nabi Muhammad. Tambahan pula mereka dalam serba kekurangan kerana tidak mempunyai kuda dan senjata. Begitu tanggapan mereka. 

     Jadi Abu Jahal sengaja mahu mencabar Nabi Muhammad. Bagi menunjukkan kekuatan serta keberanian mereka, Abu Jahal sengaja memilih jalan melalui wilayah yang paling hampir dengan Madinah. Apabila sampai di perkampungan Kabilah Juhainah, mereka sengaja berhenti bagi mencabar penduduk perkampungan itu.

     "Khabarnya Muhammad berjanji mahu melindungi perkampungan ini daripada serangan musuh. Tetapi apabila kami sampai ke sini, tidak ada sesiapa pun yang datang menghalang kami. Sekiranya kami mahu, boleh sahaja kami melancarkan serang mengejut dan menghancurkan perkampungan ini. Sia-sia sahaja kamu mengikat perjanjian dengan Muhammad. Lebih baik kamu batalkan sahaja perjanjian itu," kata Abu Jahal dengan angkuh.

     "Kami yakin dengan kesungguhan serta kejujuran Nabi Muhammad. Sekiranya kami diserang, dia tidak akan berdiam diri. Awak pasti menerima padahnya dan kerana itu kami tidak akan batalkan perjanjian dengan Muhammad," tegas al-Zumar tanpa berasa takut.

     "Sekiranya begitu kita bakar sahaja perkampungan ini. Harta dan anak gadis mereka kita jadikan tawanan," cadang seorang anggota kafilah.

     "Lebih baik kita lakukan sekembalinya dari Syam. Sekiranya kita lakukan sekarang mereka menjadi beban kita ke Syam," kata Abu Jahal. Kemudian mereka beredar dari situ.

     Tidak lama kemudian pencerobohan kafilah Quraisy ke dalam kawasan larangan itu dikesan oleh pasukan peronda Madinah lalu melaporkannya kepada Nabi Muhammad. Beliau memerintahkan Hamzah bin Abdul Talib bersama 30 orang anggotanya keluar menghalang pencerobohan wilayah Madinah oleh kafilah dagang Quraisy itu. Pasukan itu membawa bendera putih yang dipegang oleh Murhid Kanaz bin Hushain al-Ghanawi.

     Apabila sampai di perkampungan Bani Juhainah mereka dimaklumkan berkenaan kedtaangan kafilah dagang Quraisy yang dipimpin oleh Abu Jahal itu. Mereka juga menceritakan ugutan kafilah Quraisy mahu menyerang perkampungan itu semasa dalam perjalanan pulang dari Syam nanti.

     Berita itu menguatkan lagi azam Hamzah dan pasukan tenteranya bagi mengusir kafilah dagang Quraisy itu dari wilayah Madinah. Mereka mengejar kafilah dagang Quraisy itu dan akhirnya mereka bertemu di al-Is, suatu tempat yang terletak di antara Yanba' dan Marwah berhampiran dengan laut Merah.

     Apabila melihat pasukan Islam yang cuma berjumlah 30 orang maka Abu Jahal cuba menunjukkan kekuatan kafilah dagangnya yang berjumlah 300 orang. Mereka membentuk barisan bagi melancarkan serangan. Melihat keadaan itu Hamzah segera menyuruh orangnya bersiap sedia dengan panah masing-masing. Mereka terdiri daripada pasukan pemanah yang mahir membidik sasaran. Sebelum itu Nabi Muhammad mahu para pengikutnya mahir memanah sehingga mahir kerana senjata itu lebih berkesan apabila bertempur jarah jauh dengan lawan.

     "Saya adalah Hamzah yang pernah kamu gelar Singa Padang Pasir. Saya diperintahkan oleh Nabi Muhammad bagi mengusir kamu kerana menceroboh ke dalam wilayah Madinah. Sekiranya kamu berdegil, saya seorang diri mampu mengalahkan kamu!" teriak Hamzah dengan suara yang lantang.

     "Kami tidak bermusuhan dengan kamu. Musuh kami Muhammad. Lebih baik kamu berundur dari sini dan jangan halang laluan kami!" teriak Abu Jahal pula.

     "Kamu menceroboh wilayah kami, kerana itu kamu yang mesti berundur, bukannya kami!" balas Hamzah pula.

     "Sejak bila Muhammad mengaku ini wilayahnya? Kawasan ini bebas dilalui oleh sesiapa sahaja. Kami tidak akan berundur!" teriak Abu Jahal lagi.

     "Sekali lagi aku ingatkan kamu yang kami diperintahkan oleh nabi kami supaya mengusir kamu. Kami rela mengorbankan nyawa kami bagi menuruti perintah itu," balas Hamzah.

     "Wahai Abdul Hakam, di hadapan kita ada 30 orang lelaki yang boleh kita jual sebagai hamba abdi di pasar Syam. Kita pasti mendapat keuntungan berlipat kali ganda!" teriak seorang anggota kafilah Quraisy yang memanggil nama sebenar Abu Jahal.

     "Kamu dengar apa kata orang aku? Lebih baik kamu menyerah ataupun kami bunuh!" teriak Abu Jahal dengan suara yang nyaring.

     Hamzah yang mendapat julukan singa padang pasir itu pantang dicabar lalu bersedia bagi bertempur. Dalam keadaan yang genting itu tiba-tiba muncul Majdiy Ibnu Amru al-Juhani bersama 100 orang pengikutnya yang bersenjata.

     "Wahai Majdiy Ibnu Amru al-Juhani, kami tidak bermusuhan dengan kamu. Musuh kami adalah pengikut Muhammad kerana itu lebih baik kamu jangan masuk campur urusan kami," marah Abu Jahal.

     "Kami tidak menyebelahi mana-mana pihak. Kabilah kami juga tidak pernah mengikat apa-apa perjanjian dengan Muhammad. Kami berkecuali dalam perbalahan kamu dengan orang Islam. Tetapi kami tidak mahu kamu berperang di kawasan ini kerana berhampiran dengan perkampungan kami. Lebih baik kamu berundur dari sini," kata Majdiy Ibnu Amru al-Juhani.

     "Kami dalam perjalanan ke Syam. Pengikut Muhammad yang menghalang perjalanan kami. Mereka yang sepatutnya berundur dan membenarkan kami meneruskan perjalanan," teriak Abu Jahal.

     "Mereka menceroboh masuk ke dalam kawasan Madinah. Jadi kami berhak menghalangnya," balas Hamzah pula.

     "Sekiranya begitu saya mahu kafilah Quraisy berundur semula ke Mekah dan boleh pergi ke Syam melalui jalan lain. Pengikut Muhammad pula pulang ke Madinah. Itu sahaja jalan penyelesaiannya," kata Majdiy Ibnu Amru al-Juhani.

     Pada mulanya Abu Jahal enggan menerima cadangan itu. Dalam masa yang sama Hamzah dan pasukannya juga enggan meninggalkan tempat itu.

     Akhirnya Majdiy Ibnu Amru al-Juhani berkata, "Sekiranya kamu tidak mahu berundur dan mahu terus berperang maka teruskanlah berperang. Kami akan menentang pasukan mana yang memulakan serangan. Sekiranya kafilah Quraisy yang memulakan serangan maka kami akan membantu pengikut Muhammad memerangi kamu. Tetapi sekiranya pengikut Muhammad yang memulakan serangan maka kami akan bergabung dengan pasukan Mekah," kata Majdiy Ibnu Amru al-Juhani.

     Mendengar kata-kata itu Abu Jahal tidak jadi memerintahkan anggota kafilahnya menyerang. Hamzah juga tidak memerintahkan pasukannya memulakan serangan. Kedua-dua pasukan terus berada di kedudukan masing-masing. Akhirnya apabila menjelang malam barulah mereka berundur. Abu Jahal dan kafilah dagangnya pulang ke Mekah dan Hamzah dengan pasukannya pulang ke Madinah. Peristiwa itu menambah maraknya api permusuhan orang Quraisy terhadap Nabi Muhammad dan para pengikutnya.

     "Muhammad menubuhkan pasukan bersenjata bagi menyerang kafilah dagang kita. Mulai hari ini kita mesti bersiap sedia. Setiap kafilah dagang Mekah mesti dibekalkan dengan senjata dan bersiap sedia bagi bertempur dengan musuh kita," kata Abu Jahal yang berang kerana kafilah dagangnya disekat oleh orang Islam.

     "Kita bekalkan senjata kepada orang Yahudi di Madinah supaya mereka memberontak. Apabila berlaku huru-hara maka kita melancarkan serangan mengejut. Itu sahaja caranya bagi menundukkan Muhammad dan para pengikutnya," cadang Abu Lahab.

     Dia juga berasa sangat marah apabila mendapat tahu kafilah dagang Quraisy dihalang oleh pengikut Muhammad. Dalam masa yang sama, orang Islam di Madinah juga membuat persiapan bagi mempertahankan diri.

     "Persiapan kekuatan yang kalian mampu bagi menghadapi mereka. Ingat, sesungguhnya kekuatan itu ada pada kepintaran membidikkan anak panah. Ingat, sesungguhnya kekuatan itu ada pada membidikkan anak panah. Sekali lagi, ingat, kekuatan itu ada pada membidikkan anak panah."

     Baginda sendiri turun ke padang menyaksikan para pengikutnya menjalani latihan berperang. Beliau juga turut melatih serta memberi semangat jihad kepada mereka.

     Apabila melihat begitu giatnya orang Islam memanah dan menunggang kuda, orang Yahudi berasa gentar hendak memulakan serangan. Mereka pun membatalkan rancangan itu. Namun mereka tetap menaruh perasaan dendam dan menunggu masa yang sesuai bagi bertindak.


================================================


1 Syawal 1 Hijrah / 623 Masihi

Pagi itu selepas sembahyang subuh Nabi Muhammad mendapat laporan daripada pasukan peronda kawasan bahawa Abu Sufian bersama 200 orang kafilah dagang Quraisy Mekah dalam perjalanan ke Syam. Mereka mengambil jalan pintas dengan memasuki kawasan Madinah.

     Selepas mendapat laporan itu Nabi Muhammad segera membuat pengumuman kepada orang ramai bagi membentuk sebuah pasukan bagi menghalang kafilah dagang itu. Seramai 60 orang Muhajirin menyatakan kesanggupan mereka menyertai pasukan itu. Rasulullah menyerahkan bendera kepada Ubaidah bin al-Harith lalu berpesan supaya menghalang kafilah Quraisy yang menceroboh kawasan Madinah itu.

     "Bagaimana pengikut Muhammad yang cuma berjumlah 60 orang hendak menghalang 200 orang kafilah Quraisy yang bersenjata? Aku berpendapat hanya pekerjaan yang sia-sia sahaja. Mereka tidak mampu berhadapan dengan pasukan Quraisy itu," tempelak Judan.

     "Mereka cuma berjalan kaki dan bersenjatakan panah dan pedang. Sedangkan kafilah dagang Quraisy itu menunggang unta dan kuda. Mereka juga membawa kelengkapan senjata," kata Abdullah bin Ubai pula.

     "Muhammad sengaja hendak menunjukkan keberaniaannya kepada penduduk Madinah. Saya yakin mereka pasti berusaha mengelak daripada bertemu dengan kafilah dagang Quraisy itu," kata Jayashi pula.

     Abdullah bin Ubai juga menghantar orangnya bagi memaklumkan kepada kafilah Quraisy itu bahawa pasukan Madinah sedang cuba menghalang mereka. Abu Sufian yang mengetuai kafilah dagang Quraisy itu langsung tidak berasa takut malah bersedia bagi berhadapan dengan musuh mereka.

     Ubaidah dan pasukannya yang hanya berjalan kaki segera berangkat. Mereka berjalan pantas malah sesekali berlari-lari meredah padang pasir bagi mengejar musuh yang menceroboh kawasan mereka. Akhirnya mereka sampai di suatu tempat yang dinamakan Rabigh atau dikenali juga dengan nama Wadi Rabigh. Di situ terdapat sebuah wadi atau kolam air.

     "Saya yakin kafilah Quraisy itu akan singgah di sini bagi mengisi air minuman mereka," kata Ubaidah lalu menyuruh anggota pasukannya bersiap sedia.

     "Apakah kita akan melancarkan serangan terhadap ke atas mereka?" tanya Saad bin Abu Waqas yang turut menyertai pasukan itu.

     "Rasulullah berpesan supaya kita mengusir mereka dari kawasan Madinah. Sekiranya mereka enggan baru kita gunakan paksaan. Tetapi jangan menyerang mereka dulu melainkan mereka yang memulakannya," jawab Ubaidah.

     Tidak lama kemudian, seperti yang dijangkakan kafilah dagang Quraisy itu singgah di wadi Rabigh bagi mengambil air minuman. Mereka terkejut apabila melihat Ubaidillah dan pasukannya berada di situ.

     "Wadi Rabigh ini kepunyaan kami kerana terletak dalam kawasan Madinah. Awak tidak boleh mengambil airnya," teriak Ubaidillah.

     "Kami tidak mengiktiraf ini kawasan Madinah. Ini kawasan bebas kerana menjadi laluan orang ramai ke Syam," teriak Abu Sufian pula.

     "Nabi Muhammad membuat perjanjian dengan kabilah di sini bahawa kawasan ini terletak di bawah pemerintahan Madinah. Perjanjian itu adalah sah dan kami ditugaskan bagi menguatkuasakan perjanjian itu," kata Ubaidillah.

     Abu Sufian masih berdegil tidak mahu beredar dari situ. Saad bin Abi Waqas yang mengetuai pasukan pemanah seramai 40 orang tampil ke hadapan dan bersedia dengan panah masing-masing.

     "Sekiranya kamu tidak berundur dari sini nescaya aku perintahkan pasukan pemanah itu melepaskan anak-anak panah mereka terhadap kamu. Mereka adalah pasukan pemanah yang mahir memanah. Kamu akan menjadi sasaran anak-anak panah mereka," kata Ubaidillah.

     Bagi membuktikan kesungguhan mereka, Saad bin Abi Waqas melepaskan anak panah ke sebatang pokok kurma yang terletak tidak jauh dari tempat kafilah dagang Quraisy itu berhenti. Anak panah yang dilepaskan itu tepat mengenai sasarannya lalu tertancap ke batang pokok kurma itu. Itulah anak panah pertama yang dilepaskan orang Islam terhadap orang kafir Quraisy.

     Abu Sufian berasa tercabar lalu menyuruh seorang anggota kafilahnya melepaskan anak panah ke arah sebatang pokok kurma yang tidak jauh dari tempat pasukan Madinah berdiri. Tetapi ia tidak mengenai sasarannya.

     Abu Sufian berasa marah lalu memerintahkan orangnya bersiap sedia bagi berperang. Melihat keadaan itu maka Ubaidillah menyuruh pasukan pemanah melepaskan anak-anak panah mereka ke atas pasukan lawan sebagai tanda amaran. Kabilah Quraisy segera berundur bagi mengelakkan diri daripada terkena anak-anak panah yang dilepaskan itu. Kemudian giliran anggota kafilah dagang kafir Quraisy pula yang melepaskan anak-anak panah mereka namun tidak mengenai sasaran.

     Dalam suasana yang tegang dan kecoh itu dua orang lelaki kelihatan meninggalkan kafilah dagang Quraisy lalu segera bergabung dengan pasukan Madinah. Pada mulanya mereka disangka musuh tetapi apabila dekat Ubaidillah berteriak supaya kedua-dua lelaki itu jangan diapa-apakan.

     "Mereka adalah Miqdad bin Amr al-Bahrani dan Utbah bin Ghazwan al-Mazini. Kedua-duanya adalah saudara kita kerana menjadi pengikut Nabi Muhammad," teriak Ubaidillah.

     Beberapa hari sebelum itu Miqdad dan Utbah mengirim surat kepada saudaranya Amir di Madinah mengatakan mereka mahu berhijrah ke Madinah. Bagi mengelirukan orang Quraisy Mekah, kedua-dua lelaki itu akan bergabung dengan kafilah Mekah yang akan pergi ke Syam. Mereka berjanji akan memisahkan diri daripada kafilah itu apabila sampai di kawasan Madinah. Perkara itu dimaklumkan kepada Ubaidillah oleh Amir.

     Walaupun tidak terjadi pertempuran secara langsung kerana cuma anak-anak panah sahaja yang dilepaskan dari kedua-dua belah pihak dan tidak mengenai sasaran namun peristiwa itu membuat orang Quraisy Mekah berasa gentar kerana penduduk Madinah mempunyai pasukan tentera. Mereka tidak boleh lagi sesuka hati menceroboh kawasan Madinah.


==================================================


15 Zulkaedah tahun 1 hijrah / Mei 623 Masihi.

"Sejak Nabi Muhammad berhijrah ke Madinah, kehidupan kita menjadi lebih aman dan tenteram. Tidak berlaku lagi huru-hara dan pertumpahan darah kerana kita diikat dengan piagam Madinah. Semua penduduk Madinah berhak melindungi keluarga sendiri serta menghormati hak orang lain. Bani Aus dan Khazraj tidak lagi bermusuhan. Orang Islam juga menghormati mereka yang bukan Islam," puji Zubair.

     "Nabi Muhammad juga seorang pemimpin yang bijak serta berpandangan jauh. Demi menjaga keselamatan penduduk Madinah beliau menentukan kawasan sempadan supaya tidak diceroboh oleh musuh. Kemudian beliau menjalin hubungan yang baik dengan kabilah-kabilah yang ada di laluan Mekah dan Syam," kata Naser pula.

     "Nabi Muhammad juga berjaya memecahkan monopoli perniagaan orang Yahudi. Peniaga-peniaga Islam juga berjaya dalam perniagaan malah mereka berjaya menyaingi peniaga Yahudi," kata Zubair.

     "Ada juga cadangan supaya orang Yahudi itu dihalau dari Madinah. Tetapi Nabi Muhammad tidak bersetuju kerana kita sudah terikat dengan perjanjian supaya hidup bersama. Kecuali mereka melanggar perjanjian itu," kata Naser.

     "Sekiranya mahu, beliau boleh sahaja membatalkan perjanjian itu kerana dia yang berkuasa sekarang. Namun Nabi Muhammad masih bersikap baik kepada orang Yahudi itu," kata Amir pula.

     Menurutnya, Nabi Muhammad seorang utusan Allah yang memiliki banyak kelebihan. Selain pemimpin agama beliau juga bijak berkenaan siasah dan peperangan. Beliau juga menubuhkan pasukan pengintip bagi menyaingi kaum Quraisy Mekah yang menjadikan orang Yahudi di Madinah sebagai pengintip mereka. Segala gerak geri terutamanya berkenaan latihan peperangan dan aktiviti pasukan peninjau selalu dilaporkan kepada orang Quraisy di Mekah. Pada masa yang sama pergerakan kafilah Quraisy Mekah juga dilaporkan kepada Rasulullah.

     Pada suatu hari Nabi Muhammad mendapat laporan seramai 60 orang kafilah Quraisy Mekah sedang dalam perjalanan ke Syam dan mereka memasuki kawasan Madinah. Beliau segera membentuk pasukan tentera seramai 20 orang diketuai Saad bin Abi Waqas. Bendera diserahkan kepada al-Miqdad bin Amru. Nabi Muhammad juga berpesan kepada pasukan itu supaya pergerakan mereka jangan melebihi sempadan al-Kharrar, suatu tempat berhampiran Juhfah.

     Supaya pergerakan mereka tidak dapat dikesan oleh pengintip kafir Quraisy, Saad bin Abi Waqas berjalan pada waktu malam dan bersembunyi pada waktu siang. Selepas lima malam berjalan akhirnya mereka sampai di Kharrar lalu menunggu ketibaan kafilah dagang itu.

     Namun pergerakan pasukan Madinah itu dapat juga dikesan oleh Abdullah bin Ubai lalu menghantar orangnya bagi melaporkannya kepada Abu Sufian yang mengetuai kafilah dagang Quraisy. Mereka berjaya mengelakkan daripada bertembung dengan pasukan Madinah.

     Apabila sampai di al-Kharrar, Saad bin Abi Waqas bersama pasukannya menunggu kedatangan kafilah dagang Quraisy. Namun selepas menunggu selama lima hari kafilah yang dinanti tidak juga muncul. Akhirnya Saad bin Abi Waqas bersama pasukannya pulang semula ke Madinah.


================================================


5 Safar tahun 2 Hijrah / Ogos 623 Masihi

"Muhammad mengadakan perjanjian dengan kabilah Juhainah. Kita juga mesti mengadaka perjanjian dengan kabilah yang lain. Sekiranya Muhammad menawarkan perlindungan kepada mereka, kita juga mesti melakukan perkara yang sama," kata Abu Jahal dalam satu mesyuarat dengan para pemimpin Quraisy di Masjidil Haram.

     "Saya mencadangkan mula-mula kita buat perjanjian dengan kabilah Dhurhum yang berada dalam wilayah Mekah. Dengan ini kita dapat menghalang sekiranya Muhammad ataupun pengikutnya hendak menyerang kota Mekah," sokong Abu Lahab.

     "Kami setuju," kata al-Ash pula.

     Akhirnya mereka mencapai kata sepakat membuat perjanjian dengan kabilah Dhurhum. Oleh kerana takut dengan ancaman orang Quraisy Mekah maka tawaran itu diterima oleh kabilah Dhurhum. Tambahan pula mereka ditawarkan perlindungan dan bantuan perdagangan oleh orang Quraisy.

     Selepas mengikat perjanjian dengan kabilah Dhurhum, Abu Jahal bercadang membuat perjanjian dengan kabilah Bani Damirah yang berada dalam wilayah Madinah. Namun tawaran orang Quraisy itu tidak diterima oleh Bani Damirah. Malah mereka segera melaporkannya kepada Nabi Muhammad.

     Keesokan harinya selepas sembahyang subuh, Nabi Muhammad membuat pengumuman bagi membentuk satu pasukan yang akan keluar Madinah bagi menghalang pencerobohan orang Quraisy. Beliau juga mengumumkan akan mengetuai sendiri pasukan itu. Ramai yang mendaftarkan diri bagi menyertai pasukan itu. Tetapi Nabi Muhammad cuma memilih orang Muhajirin berjumlah 70 orang sahaja.

     Orang Ansar juga memohon mahu menyertai pasukan itu tetapi mereka disuruh tinggal di Madinah bagi menjaga keselamatan kota itu. Beliau juga melantik Saad bin Ubadah sebagai wakil beliau di Madinah.

     "Muhammad dan pasukan tenteranya sudah keluar dari kota Madinah. Inilah masa yang paling sesuai bagi kita bertindak," kata Judan dalam satu mensyuarat tergempar orang Yahudi Madinah.

     "Apa cadangan kamu?" tanya Abdullah bin Ubai pula.

     "Kita laporkan perkara itu kepada orang Quraisy Mekah. Selepas itu kita ambil alih kuasa di Madinah," jawab Judan.

     "Saya setuju dengan cadangan yang pertama. Tetapi tidak yakin dengan cadangan kedua kerana Muhammad melantik Saad bin Ubadah menjadi wakilnya bagi menjadi ketua di Madinah. Orang Ansar sangat menghormati Saad bin Ubadah. Bagaimana kita hendak mengambil alih kuasa?" tanya Abdullah bin Ubai.

     "Bagaimana sekiranya kita lancarkan serangan ataupun gunakan kekerasan bagi mengambil alih kuasa di Madinah?" cadang Jayashi pula.

     "Sekiranya semua orang Muhajirin dan Ansar keluar dari kota Madinah, mudah kita melakukannya. Tetapi yang keluar cuma orang Muhajirin. Orang Ansar tidak turut serta. Saya tidak mahu terjadi pertumpahan darah sesama penduduk Madinah. Musuh kita Muhammad dan orang Muhajirin. Bukannya orang Ansar," bantah Judan.

     "Bagaimana sekiranya kita mengajak orang Ansar supaya bersatu dengan kita mengambil alih kuasa? Itu lebih mudah daripada menggunakan kekerasan." Abdullah bin Ubai pula memberi cadangannya.

     "Saya bersetuju," sokong Abu Lahab.

     Mereka pun berusaha memujuk orang Ansar berpaling tadah dengan mengatakan kedatangan orang Muhajirin menyusahkan mereka sahaja. Sepatutnya orang Madinah yang menjadi ketua bukannya Muhammad, dan bermacam-macam hasutan lagi. Tetapi ternyata orang Ansar setia dengan Nabi Muhammad. Mereka tidak berjaya dipengaruhinya.

     Nabi Muhammad bersama pasukannya pula terus berjalan kaki hingga sampai ke satu tempat bersama Waddan yang terletak di sempadan antara Mekah dengan Madinah. Tetapi mereka tidak bertemu dengan orang Quraisy yang sudah pun meninggalkan tempat itu.

     Hamzah bin Abu Talib yang diberi tugas memegang bendera Islam mencadangkan mereka memasuki wilayah Mekah bagi memburu orang Quraisy itu. Tetapi cadangan itu tidak dipersetujui Rasulullah. Beliau mengambil keputusan terus berada di Waddan selama 15 hari. Selama berada di Waddan, Nabi Muhammad menemui Amru bin Makhsyi al-Dhamri, ketua kabilah Bani Dhamrah. Beliau menawarkan perjanjian persahabat dengan kabilah itu. Tawaran itu disambut baik oleh Amru. Maka termeterai perjanjian antara mereka yang kandungannya seperti berikut.

     Ini adalah perjanjian antara Muhammad, Rasulullah dengan Bani Dhamrah. Sesungguhnya harta dan diri mereka dijamin keamanannya. Mereka berhak mendapat pertolongan sekiranya ada yang menyerang mereka. Kecuali mereka memerangi agama Allah. Sekiranya Nabi Muhammad mengajak mereka supaya memberi bantuan maka mereka perlu memenuhinya.


===============================================


10 Rabiul Awal tahun 2 Hijrah / September 623 Masihi.

"Muhammad memaksa Bani Juhainah dan Bani Dhamrah mengikut perjanjian dengannya. Beliau juga menubuhkan pasukan tentera bagi memerangi kita. Kita mesti bertindak segera," kata Abu Jahal sambil meluahkan kemarahannya.

     "Apa cadangan kamu, Abdul Hakam?" tanya Abu Lahab pula.

     "Kita juga mesti membuat persiapan bagi berperang dengan mereka. Kita kuatkan pasukan tentera kita serta bekalkan senjata kepada penduduk Mekah. Dengan itu sekiranya Muhammad menyerang kota Mekah mereka dapat mempertahankan diri," jawab Abu Jahal.

     "Saya bersetuju dengan cadangan itu. Kita perlu membeli banyak unta bagi menjadi tunggangan pasukan tentera kita. Selain itu kita perlu membeli banyak makanan dan senjata bagi persediaan berperang dengan Muhammad dan pengikutnya," sokong Umaiyah bin Khallaf.

     Akhirnya mereka mendapat kata sepakat membeli 2,500 ekor unta dari Syam dan setiap ekor unta itu akan membawa barang-barang makanan dan senjata. Umaiyah bin Khallaf diberi tanggungjawab pergi ke Syam bagi menguruskan pembelian itu. Para pembesar serta hartawan Mekah mengeluarkan perbelanjaan bagi membeli keperluan itu.

     Berita itu segera dilaporkan kepada Rasulullah. Beliau cuba menghalang pemergian Umaiyah bin Khallaf ke Syam tetapi tidak berjaya, dan kerana itu beliau menunggu kepulangan mereka.

     Apabila Rasulullah mendapat laporan kafilah dagang Quraisy diketuai Umaiyah bin Khallaf dalam perjalanan pulang dari Syam membawa 2,500 ekor unta yang sarat membawa makanan dan senjata, maka beliau segera membentuk pasukan tentera bagi menghalangnya.

     Ajakan itu disambut dengan baik oleh penduduk Madinah hingga jumlah yang mendaftarkan diri serama 200 orang. Beliau juga memutuskan mahu memimpin pasukan itu dan tugas menjaga Madinah diserahkan kepada Saad bin Muaz.

     Abdullah bin Ubai yang berpura-pura baik dan taat kepada Rasulullah mengetahui rancangan itu lalu mengutus orangnya bagi menyampaikan perkara itu kepada kafilah dagang Quraisy. Apabila Umaiyah bin Khallaf mendapat laporan Nabi Muhammad dan pasukan tenteranya seramai 200 orang cuba menghalangnya dia maka dia memutuskan melalui jalan tepi laut merah. Akhirnya selamat sampai ke Mekah.

     Nabi Muhammad dan pasukannya tidak berjaya menemui kafilah itu dan akhirnya pulang ke Madinah. Orang Yahudi di Madinah gembira apabila mendapat tahu Nabi Muhammad tidak berjaya menyekat kafilah dagang Quraisy Mekah. Abdullah bin Ubai yang paling gembira kerana dia mendapat hadiah daripada orang Quraisy di Mekah kerana menyelamatkan kafilah dagang mereka.




N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment