Thursday 2 February 2017

MOTIVASI KEHIDUPAN KITA






MOTIVASI KEHIDUPAN KITA








Kehidupan dunia ini tidak sempurna tanpa dugaan dan cabaran. Ibarat menongkah di tengah lautan. Gelombangnya tidak dapat dijangka ataupun diteka.

     Sebagai pelayar samudera yang penghujungnya tidak kelihatan, kita memerlukan bekalan semangat dan kekuatan bagi mengharungi badai cabaran dan dugaan. Saya tidak nampak motivasi yang baik dalam samudera kehidupan ini, selain merapatkan diri kepada Ilahi.

     Itu adalah motivasi kehidupan yang hakiki.


Tidak Ada Manusia yang Memahami Kecuali Dia

Ada individu diuji dengan ujian mental. Apabila berbuat baik, tidak ada sesiapa pun menghargainya. Apabila mengukir senyuman, senyumannya tidak dibalas. Dia berasa terasing dalam kehidupan tanpa sesiapa pun yang dapat memahaminya. Sekiranya dia melakukan sedikit kesilapan, seluruh dunia mencacinya.

     Perkara ini berlaku di mana-mana sahaja. Hakikatnya, Allah SWT sentiasa ada. Allah mendengar aduannya. Dia seolah-olah berbicara dengan Allah apabila dia membaca Al-Quran. Janji-janji daripada Allah SWT membuatkan dia kekal berusaha dan melakukan kebaikan, tanpa mengambil kisah penghargaan orang lain.

     Penilaian manusia pada dirinya menjadi terlalu kecil apabila dibandingkan dengan penilaian Allah SWT. Mental menjadi kuat apabila kita mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ini kerana, orang yang beriman kepada Allah SWT tidak mengalami sakit mental.

     Pernahkah kita mendengar para sahabat Rasulullah SAW mengalami sakit mental? Walaupun diuji, diseksa, dibuang ke hujung dunia, dan seluruh alam tidak menerima mereka, mereka tetap hamba Allah yang utuh pemikiran dan jiwanya. Ini kerana, mereka sentiasa yakin Allah SWT sentiasa ada. Allah tidak memungkiri janji-Nya.

     Allah memahami mereka. Dia tidak pernah bosan mendengar aduan mereka, sentiasa memerhati dan mengira apa yang mereka lakukan.


Dia Ada Ketika Kita Menghadapi Dugaan Hebat dan Cabaran yang Memenatkan

Ada manusia diuji dengan kesukaran. Sehingga dia berasa terhimpit ke hujung dunia. Ada pula yang hidupnya tidak habis-habis diduga. Manusia biasa pasti berasa lelah dan tenggelam dalam kelemahan. Ini kerana, mereka tidak ada tempat berpaut yang utuh.

     Mereka yang mendekatkan diri kepada Allah SWT pasti yakin bahawa Dia ada. Wujud memerhatikan mereka dan mengira segenap kesusahan mereka. Bahkan, mereka yakin bahawa Allah SWT yang menurunkan segala dugaan dan cabaran. Lantas mereka berkata, "Semua ini ada hikmahnya dan kami tidak mengetahui."

     Mereka menjalankan tanggungjawab dan hidup sebagai manusia tanpa berputus asa. Berusaha, berusaha, dan berusaha.

     Tanpa kecewa.

     Malah, ada di antara mereka menganggap cabaran dan dugaan seolah-olah hiburan harian.


Masa Senang, Dia Ada

Ada juga yang lalai dengan ujian kesenangan. Kesenangan yang menipu daya, ibarat udara sahaja gayanya. Dihirup tanpa sedar. Namun, ia udara beracun yang merosakkan sekiranya dihirup dengan kadar tidak terkawal. Virus ini pasti membiakkan riak, takabbur, ujub, dan sifat mazmumah yang menghancurkan diri.

     Namun, bagi yang mendekati Allah SWT mereka tidak tenggelam dalam perkara ini. Ini kerana, mereka yakin Dia ada. Melihat dan memerhatikan kita.

     Justeru, mereka tidak sesekali melangkah ke tanah larangan-Nya. Segala kejayaan dan kesenangan dikembalikan kepada-Nya. Mereka menganggap segalanya adalah pinjaman semata-mata.

     Lahirlah peribadi ajaib. Apabila susah mereka bersabar. Apabila senang mereka bersyukur. Hanya mereka yang mendekati Allah SWT dapat menjadikannya realiti.


Mereka yang Mendekati Allah adalah Ajaib

Saya tidak nafikan dan tidak dapat meninggalkan perkataan ajaib kepada mereka yang mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ini kerana, keyakinan, kekuatan, ketabahan, dan kecekalan mereka bukan lahir sekadar daripada kata-kata sahaja. Bahkan, ia daripada hati yang benar-benar yakin. Sesiapa sahaja dapat berkata, "Allah ada."

     Tetapi, kehidupan mereka menjadi kucar-kacir apabila diuji. Ini kerana, mereka tidak mengingati Allah ketika senang dan gembira. Apabila mereka dalam kesukaran, hati mereka tetap gelabah tanpa punca. Ini kerana, mereka tidak mendekati Allah dalam erti kata sebenar. Dalam segenap kehidupan, mereka tidak mampu merasai kehadiran Allah terutama ketika susah.

     Justeru, orang-orang yang merapati Allah adalah ajaib. Bagaimana mereka beristiqamah merapati sesuatu yang ghaib?

     Bagaimana mereka mempercayai pahala dan ganjaran yang tidak dapat dilihat dengan mata?

     Bagaimana mereka dapat bersabar dengan dugaan dan cabaran?

     Bagaimana mereka hidup tanpa penghargaan dan pujian?

     Ajaib dan ajaib.

     Tidak hairan sekiranya Rasulullah SAW sendiri mengiktirafnya.

     Rasulullah SAW menyatakan, "Sungguh ajaib keadaan orang beriman. Semua urusan mereka berada dalam keadaan baik. Tidak ada yang memperoleh keadaan ini melainkan orang yang beriman sahaja. Sekiranya dia dianugerahkan sesuatu, dia bersyukur. Oleh itu, jadilah anugerah itu baik untuknya. Sekiranya dia ditimpa musibah, dia bersabar. Jadilah musibah itu baik untuknya." Hadith ini dilaporkan oleh Muslim.


Ini Motivasi Tidak Runtuh, Tidak Bermusim

Mendekati Allah adalah dasar kepada segala motivasi. Motivasi ini tidak runtuh melainkan dengan menjauhkan diri daripada Allah. Motivasi ini juga tidak bermusim kerana sifatnya sepanjang masa, setiap masa, detik, dan ketika.

     Ini adalah kekuatan utama untuk pendayung kehidupan yang penuh pancaroba. Walaupun sesat di tengah lautan dan tanpa manusia di sisi, Allah tetap memerhati. Allah tidak tidur. Tidak mengantuk. Tidak penat. Tidak terlalai. Tidak lemah.

     Allah menjelaskan dalam surah Al-Baqarah, ayat 255 yang bermaksud:

          "Allah, tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia.
          Dia kekal selama-lamanya mentadbir sekalian makhluk-Nya. Tidak
          mengantuk, usahkan tidur. Memiliki segala yang ada di langit dan
          bumi. Tidak ada sesiapa yang dapat memberi syafaat dan pertolongan
          di sisi-Nya melainkan dengan izin-Nya. Dia mengetahui apa yang
          berada di hadapan dan belakang mereka, sedangkan mereka tidak
          mengetahui sesuatu pun daripada kandungan ilmu Allah, melainkan
          apa yang Allah kehendaki. Luasnya kursi Allah, meliputi langit
          dan bumi. Tidak menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta
          memelihara kedua-duanya. Dia yang maha tinggi darjat kemuliaan-
          Nya, lagi Maha Besar kekuasaan-Nya."

Sedetik pun Dia tidak meninggalkan kita. Memerhati dan mengira, membantu, dan memberikan tenaga untuk kita.

     Rugi orang-orang yang tidak melihat motivasi ini dan mengambilnya. Ini adalah motivasi yang terulung. Rahsia kepada kejayaan orang-orang beriman sebelum kita.

     Justeru, mengapa kita masih tidak mencuci dosa-dosa yang ada pada diri kita? Mengapa mesti ada rasa ingin berputus asa?

     Jadikan ini motivasi jiwa.




N / F : DARIPADA "UNTUK KITA PENDOSA, HARAPAN SELALU ADA", OLEH HILAL ASYRAF.


No comments:

Post a Comment