Saturday 25 February 2017

PERANG BADAR [ BAB 4 - DI AMBANG PEPERANGAN ]






DI AMBANG PEPERANGAN








12 Rabiul Awal tahun 2 Hijrah / September 623 Masihi

Malam itu cuaca agak panas akibat musim kemarau yang panjang. Suasana di sekitar Masjidil Haram juga agak panas kerana orang ramai sedang bercakap tentang Nabi Muhammad yang berkuasa di Madinah. Beliau berjaya membentuk sebuah kerajaan sendiri serta mempunyai angkatan perang yang dapat mengancam keselamatan Mekah.

     "Muhammad berkuasa di Madinah bagaikan seorang raja. Pengikutnya semakin ramai. Mereka dapat menguasai ekonomi Madinah yang selama ini dikuasai orang Yahudi. Sekarang mereka sudah menubuhkan pasukan tentera, kerana itu mereka berani mencabar kita," kata Abu Jahal sambil meluahkan rasa marah.

     Kemudian katanya lagi, "Muhammad memaksa kabilah-kabilah di sekitar Madinah mengikut perjanjian dengannya. Kemudian menandakan kawasan sempadannya sendiri. Tujuannya supaya kita mengakui Madinah itu berada di bawah kekuasaannya. Kemudian Muhammad akan meluaskan kawasan takluknya hingga ke Mekah. Sanggupkah kamu diperintah oleh Muhammad?"

     "Kami tidak sanggup dan kami sedia berperang dengannya," kata Umaiyah pula.

     Kemudian dia menyambung kata-katanya, "Semasa Muhammad berada di Mekah dia diibaratkan seperti duri dalam daging yang sentiasa menyakitkan kita. Apabila dia berada di Madinah, dia bagaikan hantu yang membuat kita tidak tidur lena. Jadi marilah kita bersatu bagi menentangnya. Saya sanggup habiskan harta aku untuk menghapuskannya."

     "Sekiranya Muhammad itu dapat dibunuh sejak awal, tidaklah begini teruk jadinya. Sekarang dia sudah berkuasa di Madinah. Dia berani menyekat laluan kafilah dagang kita. Muhammad dan pengikutnya sudah beberapa kali cuba merompak barang-barang dagangan kita," kata Abu Lahab sambil mengesat mukanya yang berminyak.

     "Kita sudah banyak kali cuba membunuhnya tetapi tidak berjaya. Kuasa sihirnya terlalu kuat. Pada malam terakhir sebelum dia berhijrah ke Madinah, pemuda-pemuda kita sudah mengepung rumahnya dari segenap penjuru. Tetapi menjelang tengah malam mereka boleh tertidur lena hingga ke pagi. Itu menunjukkan kuasa sihir Muhammad itu sangat hebat," kata Abu Sufian pula.

     Kemudian katanya lagi, "Pada hari Muhammad melarikan diri ke Madinah, kita kerahkan semua lelaki kota Mekah keluar beramai-ramai mencarinya. Kita keluarkan hadiah lumayan kepada sesiapa yang dapat menangkap Muhammad sama ada hidup ataupun mati. Tetapi masih tidak berjaya."

     "Muhammad itu anak saudara saya. Saya kenal dia sejak kecil. Sesungguhnya Muhammad itu bukan ahli sihir. Dia dikurniakan mukjizat oleh Tuhan sebagai bukti tanda kerasulannya," kata Abbas bin Abdul Mutalib.

     "Muhammad juga anak saudara saya. Tetapi saya memusuhinya kerana dia menipu orang ramai dengan mengatakan dia diutus Allah menjadi pesuruhNya. Mustahil anak yatim dan miskin seperti Muhammad dilantik Tuhan menjadi pesuruhNya. Bukankah saya yang paling layak? Sekiranya Tuhan hendak melantik nabi daripada kalangan orang Quraisy maka saya yang paling layak. Bukan Muhammad, anak yatim piatu dan miskin," kata Abu Lahab.

     "Sekarang bukan masanya bagi kita bertengkar ataupun berbalah tentang Muhammad. Kita mesti bersatu memeranginya," kata Abu Jahal pula yang cuba meredakan suasana yang tegang.

     "Wahai pahlawan-pahlawan Quraisy. Siapakah antara kamu yang sanggup melakukan sesuatu yang boleh menyusahkan pengikut-pengikut Muhammad di Madinah?" tanya Abu Lahab dengan suara yang lantang.

     "Apa maksud kamu wahai Abdul Uzza bin Abdul Mutalib?" tanya Kurs bin Jabir al-Fikry.

     "Muhammad dan pengikutnya sudah beberapa kali mengganggu perjalanan kafilah dagang kita. Sudah sampai masanya giliran kita pula mengganggu mereka. Saya perlukan pahlawan yang berani bagi menjalankan tugas ini," jawab Abu Lahab atau nama sebenarnya Abdul Uzza bin Abdul Mutalib.

     "Saya dan kawan-kawan sanggup melakukan apa sahaja sekiranya diberi upah yang lumayan," kata Kurs bin Jabir al-Fikry.

     "Pergilah kamu buat huru-hara di Madinah. Musnahkan tanaman orang Islam supaya mereka menyangka orang Yahudi supaya mereka menyangka pengikut Muhammad yang melakukannya. Dengan itu akan berlaku pergaduhan antara pengikut Muhammad dengan orang Yahudi dan Muhammad tidak akan mengganggu kita lagi," kata Abu Lahab.

     "Kami sanggup melakukannya sekiranya dibayar dengan upah yang lumayan," kata Kurs bin Jabir al-Fikry.

     "Apakah semuanya mesti dibayar dengan upah? Tidak adakah semangat sukarela kamu demi kaum Quraisy Mekah?" marah Abu Jahal pula.

     "Bukankah sebelum ini kamu sanggup memberi upah kepada sesiapa yang dapat membunuh Muhammad? Kamu juga sanggup memberi upah kepada sesiapa yang dapat menyakiti pengikut Muhammad. Salahkah sekiranya kami juga meminta upahnya?" tanya Kurs bin Jabir al-Fikry.

     "Baiklah, saya sanggup membayar upah kepada kamu sekiranya sanggup membuat huru-hara di Madinah. Laporkan kepada saya apa yang kamu lakukan," kata Abu Lahab. Walaupun Nabi Muhammad itu anak saudaranya namun kerana berasa dirinya lebih mulia dan tercabar dengan kelebihan pesuruh Tuhan itu maka beliau sanggup membelanjakan hartanya bagi menyakiti Rasulullah.

     "Malam ini kami berangkat ke Madinah bagi melakukan huru-hara di sana. Kami bergerak pada waktu malam supaya tidak dapat dikesan sesiapa," beritahu Kurs bin Jabir al-Fikry.

     "Boleh saya tahu apakah kamu pergi sendirian ataupun dengan kawan-kawan?" tanya Abu Lahab.

     "Saya mempunyai sepuluh orang kawan yang berani dan boleh dipercayai. Kami akan bekerjasama melakukannya," jawab Kurs bin Jabir al-Fikry.

     "Boleh saya tahu apa yang akan kamu lakukan?" tanya Abu Lahab lagi.

     "Itu rahsia kami dan tidak siapa boleh mengetahuinya," jawab Kurs.

     "Sekiranya begitu saya menarik semula janji memberi upah kepada kamu," gertak Abu Lahab.

     "Kami akan membakar serta memusnahkan kebun dan merampas haiwan ternakan mereka," beritahu Kurs.

     "Lakukannya dengan berhati-hati supaya orang Yahudi menyangka ia dilakukan oleh pengikut Muhammad. Pengikut Muhammad pula menyangka ia dilakukan oleh orang Yahudi. Saya mahu berperang sesama sendiri," pesan Abu Lahab.

     "Kami mahu upahnya dibayar dulu," pinta Kurs.

     "Selesaikan dahulu kerja kamu baru saya membayar upahnya," marah Abu Lahab.

     "Kami perlukan duit bagi perbelanjaan ke Madinah. Kami juga perlukan duit bagi perbelanjaan keluarga yang kami tinggalkan. Bagaimana sekiranya kami terbunuh ataupun ditangkap? Kerana itu syarat kami dibayar dulu upahnya," gertak Kurs.

     Akhirnya Abu Lahab mengalah, namun dia masih cuba menipu. "Saya mengaku pernah berjanji mahu membayar upah kamu. Tetapi saya belum beritahu berapa upahnya."

     "Kami minta upahnya 10 ribu dirham seorang. Itu muktamad dan tidak boleh tawar-menawar lagi," kata Kurs.

     "Jumlah itu terlalu tinggi. Bukankah kamu akan mencuri haiwan ternakan orang Yahudi? Kamu boleh menjualnya," Abu Lahab cuba mengelak kerana merasakan jumlah upah yang diterima terlalu mahal.

     "Kami mempertaruhkan nyawa kami demi melakukan tugas ini. Tuan seorang yang kaya-raya. Kami cuma meminta sedikit sahaja daripada harta tuan," pujuk Kurs.

     Akhirnya Abu Lahab mengalah. Dia memberi upah seperti yang diminta Kurs. Apabila Abbas bin Abdul Mutalib mendapat tahu perkara itu dia teringat Nabi Muhammad pernah membaca surah al-Lahab ayat 2 yang bermaksud, "Tidaklah bermanfaat baginya harta bendanya dan apa-apa yang diusahakannya."

     "Sejak Nabi Muhammad dilantik menjadi Rasul, Abdul Uzza membelanjakan banyak hartanya bagi menghapuskan Muhammad. Tetapi tidak berjaya," kata Abbas bin Abdul Mutalib.

     "Apakah kamu menyangka usaha ini juga menemui kegagalan," kata Hazib kawan baik Abbas.

     "Mereka boleh membinasakan kebun dan binatang ternakan. Tetapi tidak akan berjaya membinasakan Muhammad. Saya yakin sungguh," jawab Abbas.

     "Kerana Muhammad mempunyai ilmu sihir yang kuat?" tanya Hazib lagi.

     "Muhammad itu bukan ahli sihir. Dia dilindungi oleh TuhanNya. Muhammad juga dikurniakan mukjizat," jawab Abbas.

     "Apakah kamu percaya Muhammad itu seorang pesuruh Allah?" tanya Hazib lagi.

     "Saya percaya dan saya akan menjadi pengikutnya tidak lama lagi," jawab Abbas bin Abdul Mutalib.

     Kurs bin Jabir al-Fikry mengajak beberapa orang kawan-kawannya pergi ke Madinah. Seperti yang dirancang, mereka bergerak pada waktu malam supaya tidak dilihat sesiapa. Apabila sampai di Madinah mereka menuju ke perkampungan orang Ansar lalu membakar serta memusnahkan kebun dan tanaman mereka.

     Keesokan harinya orang Ansar dan Muhajirin menjadi gempar kerana kebun mereka terbakar dan musnah. Ada yang menuduh itu dilakukan oleh orang Yahudi dan mahu menuntut kerugian. Tetapi mereka ditenangkan oleh Rasulullah. Beliau menasihatkan mereka supaya jangan bertindak terburu-buru kelak buruk padahnya.

     "Mulai malam ini izinkan kami berkawal di kawasan kediaman dan kebun kami," pinta orang Ansar.

     Nabi Muhammad membenarkannya. Orang Muhajirin turut berganding bahu bersama orang Ansar menjaga keselamatan. Buat beberapa hari keadaan menjadi tenang semula.

     Kurs dan kawan-kawannya merancang serangan baru terhadap kaum Yahudi pula. Mereka pergi ke perkampungan Yahudi Bani Nader lalu membakar kandang serta melarikan kuda-kuda dan haiwan ternakan mereka. Keesokan harinya orang Yahudi gempar kerana kandang ternakan mereka dibakar dan haiwan peliharaan dilarikan.

     Abdullah bin Ubai menuduh angkara itu dilakukan oleh pengikut Muhammad kerana menyangka orang Yahudi yang membakar serta memusnahkan tanaman mereka. Orang Yahudi naik berang lalu mengadu kepada Nabi Muhammad bagi menuntut ganti rugi.

     Dengan kebijaksanaan Nabi Muhammad perkara itu dapat diselesaikan dengan baik dan pertumpahan darah dapat dielakkan. Orang Ansar dan Muhajirin bergotong-royong mengusahakan semula kebun mereka yang musnah. Orang Yahudi pula diminta membina kandang ternakan yang baharu.

     Abu Lahab berasa sangat kecewa kerana apa yang diharapkan tidak berlaku. Penduduk Madinah menjalani kehidupan seperti biasa. Tiada berlaku peperangan antara pengikut Muhammad dengan orang Yahudi. Abu Lahab menyuruh Kurs melakukannya sekali lagi. Kali ini mereka melakukannya pada waktu siang dengan harapan tindakan itu dapat menakutkan penduduk Madinah terutama pengikut Nabi Muhammad.

     Kurs dan kawan-kawannya pergi ke perkampungan Bani Juhainah yang mengikat perjanjian dengan Nabi Muhammad lalu memusnahkan tanaman serta mencuri haiwan ternakan mereka. Ketua kabilah Bani Juhainah segera melaporkan perkara itu kepada Nabi Muhammad.

     Selepas mendapat laporan itu, Nabi Muhammad segera memimpin pasukan seramai 70 orang yang terdiri daripada orang Muhajirin bagi mengejar Kurs dan kumpulannya. Kali ini mereka mengenderai unta. Bendera dipegang oleh Ali bin Abi Talib, Zaid bin Harithah pula dilantik menjaga Madinah.

     Kurs dan kumpulannya merancang mahu menyerang perkampungan Bani Dhurhum pula. Tetapi penduduk perkampungan itu sudah bersedia dan mereka bersedia bagi berlawan. Tiba-tiba Nabi Muhammad dan pasukannya muncul. Kurs dan kumpulannya segera melarikan diri. Maka berlaku kejar mengejar antara kedua-dua pasukan itu. Akhirnya mereka sampai ke satu tempat bernama Safawan yang terletak di sempadan antara Mekah dan Madinah.

     "Musuh melewati Safwan. Saya memohon izin bagi mengejar mereka sehingga sampai ke Mekah!" kata Hamzah bin Abdul Mutalib yang turut serta dalam pasukan Madinah.

     Tetapi Nabi Muhammad tidak mengizinkannya kerana tujuan mereka hanya mahu mencegah musuh menceroboh kawasan Madinah. Selepas beberapa hari berada di Safawan, Nabi Muhamamd mengajak mereka pulang ke Madinah.

     Penduduk Madinah berasa marah kerana banyak harta benda mereka yang musnah dan dirampas oleh orang Quraisy Mekah. Walaupun Nabi Muhammad membentuk beberapa pasukan bagi menjaga keselamatan mereka namun masih tidak memuaskan hati orang ramai. Ada antara mereka hendak bertindak balas memusnahkan kebun orang Quraisy Mekah serta merampas haiwan ternakan mereka.

     Tetapi permintaan itu tidak dibenarkan oleh Rasulullah. Mereka hanya boleh merampas harta musuh yang menceroboh masuk ke dalam wilayah Madinah tetapi mereka tidak dibenarkan menceroboh masuk ke dalam kawasan musuh.


29 Jamadil Awal tahun 2 Hijrah / Disember 623 Masihi

"Penduduk Madinah melantik Muhammad menjadi pemimpin mereka. Jadi beliau berhak membuat peraturan dan undang-undang sendiri. Seperti kita juga yang berhak menentukan sempadan kawasan Mekah. Jadi saya mencadangkan kita ikut sahaja peraturan dan undang-undang yang dibuat oleh Muhammad. Dengan ini mereka tidak mengganggu kafilah dagang kita," kata Abbas bin Abdul Mutalib dalam satu mesyuarat dengan para pemimpin Quraisy di hadapan Kaabah.

     "Muhammad adalah musuh kita. Kita tidak boleh tunduk kepada dia. Tunduk kepada Muhammad tanda kita mengakui dia pesuruh Allah dan mengakui kebenaran agama yang dibawanya. Kita mesti menentang dia. Muhammad mesti dihapuskan dan Madinah mesti diperintah oleh pemimpin yang mahu tunduk dengan kita," bantah Abu Jahal. Dendamnya kepada Nabi Muhammad tidak pernah padam malah semakin hari semakin marak. Apatah lagi selepas Nabi Muhammad berkuasa di Madinah.

     "Muhammad sudah berjaya bertapak di Madinah. Dia mahu mengembangkan agama yang dibawanya ke seluruh tanah Arab. Dia menentang kita kerana kita yang menjadi batu penghalangnya," kata Abbas pula yang seolah-olah menyebelahi Muhammad.

     Pendirian Abbas yang lunak pada Muhammad itu sering menimbulkan kemarahan Abu Lahab dan Abu Jahal. Namun itu tidak menakutkan Abbas kerana akal warasnya dapat membezakan antara kebenaran dengan kejahilan. Abu Lahab dan Abu Jahal menentang Muhammad kerana merasakan diri mereka lebih mulia dan terhormat. Mustahil mereka mahu tunduk kepada seorang anak yatim dan miskin.

     "Saya juga seperti awak menentang Muhammad. Tetapi saya bersetuju dengan pendapat Abbas," sokong al-Ash. "Muhammad hendak menguasai kota Mekah, kerana itu dia cuba melemahkan kita dengan menyekat kafilah dagang kita. Apabila kita lemah, mereka akan datang menakluk kota Mekah."

     "Sekiranya keadaan terus-menerus begini perniagaan kita kana hancur kerana tidak dapat lagi membawa barang dagangan ke Syam. Maruah kita sebagai bangsa Quraisy tercemar dan kita pasti mati kebuluran kerana keputusan bekalan makanan."

     "Kita ada dua pilihan. Pertama, tunduk pada undang-undang pada peraturan yang dikenakan Muhammad ataupun pilhan kedua menentangnya," kata Abu Sufian pula.

     Di kalangan pemimpin Quraisy ada dua lelaki yang pengaruhnya sama seperti Abu Lahab dan Abu Jahal. Seorang bernama Abu Sufian bin Harb dan seorang lagi Abu Sufian bin Harith. Abu Sufian bin Harb yang paling kuat menentang Rasulullah. Dia juga seorang ahli perniagaan yang terkenal dan sering ke Syam membawa barang dagangan.

     "Kita menentang Muhammad semenjak hari pertama dia mengaku menjadi pesuruh Allah. Kita akan terus menentangnya hingga dia binasa," kata Abu Jahal.

     "Saya setuju," kata Abu Lahab pula.

     "Sekiranya begitu mari kita bersatu bagi menunjukkan kekuasaan kita kepada Muhammad," kata Abu Sufian bin Harb.

     "Apa rancangan awak?" tanya Abu Jahal pula.

     "Kita bentuk kafilah yang besar bagi membawa barang-barang dagangan ke Syam. Saya mahu jumlah anggota kafilah itu paling kurang seribu orang. Setiap anggota kafilah boleh memimpin tiga ekor unta yang sarat dengan muatan. Mereka akan dibekalkan dengan senjata," jawab Abu Sufian.

     "Siapa yang akan memimpin kafilah yang besar itu?" tanya Abu Lahab pula.

     "Saya sendiri yang akan memimpinnya," jawab Abu Sufian.

     Mereka bersetuju dengan cadangan itu. Setiap pemimpin dan hartawan Quraisy Mekah mempertaruhkan harta mereka pada kafilah itu. Pada hari yang ditetapkan, berangkatlah kafilah itu. Abu Sufian sengaja memilih jalan melalui wilayah Madinah kerana mahu menunjukkan kekuatan mereka kepada Nabi Muhammad.

     Pencerobohan kafilah dagang Quraisy itu dapat dikesan oleh pasukan peronda Madinah lalu segera dilaporkan kepada Nabi Muhammad. Beliau segera membentuk pasukan bagi menghalang pencerobohan itu. Oleh kerana kafilah Quraisy itu ramai, Nabi Muhammad membentuk pasukan yang ramai bilangannya. Akhirnya terbentuk sebuah pasukan seramai 200 orang. Mereka mengenderai 30 ekor unta dinaiki secara bergilir-gilir.

     "Muhammad keluar dari Madinah bersama pasukannya bagi merampas barang-barang kafilah dagang Quraisy Mekah. Sekiranya berjaya, mereka pasti menjadi kaya-raya, kerana itu kita perlu menghalangnya," beritahu Abdullah bin Ubai kepada Judan.

     "Sampaikan maklumat ini kepada kafilah itu," kata Judan pula.

     "Biar saya sendiri yang menyampaikannya," kata Abdullah bin Ubai.

     Dengan diiringi dua orang lelaki yang dipercayainya, Abdullah bin Ubai memecut kudanya bagi menyampaikan maklumat itu kepada Abu Sufian. Mereka bertemu Zul Usyairah yang terletak di Yanbu' berhampiran dengan Laut Merah.

     "Boleh saya tahu apakah barang-barang dagangan yang kamu bawa ke Syam?" tanya Abdullah bin Ubai.

     "Tiga ribu ekor unta yang sarat membawa buah kurma, emas dan barang-barang perhiasan. Apabila sampai di Syam nanti, semuanya itu akan kami tukarkan dengan senjata, kuda dan baju besi," jawab Abu Sufian dengan bangganya.

     "Muhammad dan pengikutnya sedang menuju ke sini bagi merompak barang dagangan kamu. Segeralah berangkat ke Syam sebelum mereka sampai," beritahu Abdullah bin Ubai.

     "Kami tidak takut dan kami mahu menentang mereka," kata Abu Sufian pula.

     "Muhammad datang dengan pasukan tentera yang ramai. Mereka dilengkapi dengan senjata. Lebih baik elakkan berlakunya pertempuran. Selamatkan nyawa dan barang-barang dagangan kamu," kata Abdullah bin Ubai.

     "Boleh saya berapa ramai anggota pasukan Muhammad itu?" tanya Abu Sufian pula.

     "Tiga kali ganda lebih ramai daripada bilangan kamu," jawab Abdullah bin Ubai. Dia sengaja memberi maklumat yang salah supaya Abu Sufian berasa takut dan segera meninggalkan tempat itu.

     "Terima kasih kerana menyampaikan maklumat itu kepada kami," kata Abu Sufian lalu memberi upah kepada Abdullah bin Ubai kerana menyampaikan maklumat yang penting itu. Kemudian Abu Sufian dan kafilah dagangnya segera berlalu dari situ.

     Nabi Muhammad dan pasukannya tidak dapat bergerak pantas kerana mereka cuma mempunyai 30 ekor unta yang dinaiki secara bergilir. Di pertengahan jalan mereka bertemu dengan Abdullah bin Ubai dan dua orang pengiringnya.

     "Kami juga bertanggungjawab menjaga kawasan Madinah. Kami sudah meronda hingga sampai ke Zul Usyairah. Kami tidak menjumpai sesiapa," kata Abdullah bin Ubai lalu disokong kawan-kawan yang mengiringnya.

     Nabi Muhammad dan pasukannya meneruskan perjalanan tanpa menghiraukan kata-kata Abdullah bin Ubai itu. Akhirnya mereka sampai di Zul Usyairah. Kawasan itu terletak agak jauh dari kawasan kediaman. Mereka berhenti di situ. Hamzah yang mahir mengesan jejak melaporkan terdapat tanda-tanda kafilah dagang Quraisy melewati kawasan itu.

     "Saya yakin Abdullah bin Ubai mengkhianati kita dengan memaklumkannya kepada kafilah dagang Quraisy itu, dan kerana itu mereka dapat melepaskan diri," kata Naser dengan nada suara yang marah.

     "Sejak dari mula saya tidak percayakan Abdullah bin Ubai. Tetapi kita tidak dapat menghalangnya datang ke masjid dan mendengar perbincangan kita kerana dia sudah masuk Islam. Walaupun dia berpura-pura tetapi kita tidak dapat menghukumnya kerana dia pandai berlakon," kata Halil pula.

     "Ada cadangan supaya Abdullah bin Ubai dibunuh kerana bersifat munafik. Di hadapan Nabi dia berpura-pura taat. Tetapi di belakang dia bersikap khianat. Tetapi Rasulullah tidak benarkan dia dibunuh, kerana itu tidak siapa berani menyakitinya," kata Naser.

     Selepas berada selama tiga hari di Zul Usyairah. Nabi Muhammad dan pasukannya meninggalkan tempat itu bagi pulang ke Madinah. Semasa dalam perjalanan pulang, Nabi Muhammad singgah di perkampungan Bani Mudlij bagi menyampaikan dakwah serta mengajak mereka mengikat perjanjian. Tawaran itu diterima dengan baik.




N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment