KEAMPUNAN ALLAH DAN PENGKHIANATAN KEPADA-NYA
Saya yakin, sepanjang menyusuri buku ini, kita dapat memahami bahawa keampunan Allah itu begitu luas. Sekadar sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada buku ini, suka sekiranya kita bersama-sama mengulang kaji dan memperincikan perkara ini dengan lebih khusus.
Mana Ukur Keluasan Keampunan-Nya?
Sekiranya kita mahu memberikan ukuran kepada keluasan keampunan Allah SWT saya nyatakan di sini, keluasan keampunan-Nya itu tidak bertepi. Allah SWT adalah Tuhan. Dia tidak sekecil manusia untuk bersifat terasa. Allah yang menciptakan sifat sabar, sudah tentu Dia lebih sabar daripada sabar yang mampu kita capai. Allah SWT Maha Besar dan Maha Berkuasa atas segala-galanya. Kita perhatikan tanda rahmat-Nya dan keluasan ampunan-Nya. Allah menegaskan dalam surah Al-Isra', ayat 15 yang bermaksud:
"Orang yang beroleh hidayah petunjuk menurut panduan Al-
Quran, sesungguhnya faedah petunjuk yang didapati itu
hanya terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang sesat.
Sesungguhnya kesan buruk kesesatan hanya ditanggung oleh
dirinya juga. Orang itu tidak memikul perbuatan dosa orang
lain, bahkan dosa usahanya sahaja. Kami tidak mengazabkan
sesiapa pun sebelum Kami mengutus rasul bagi menerangkan
yang benar dan yang salah."
Begitu luasnya rahmat dan maghfirat Allah SWT.
Kepada Firaun, diutuskan Nabi Musa.
Kepada Namrud, diutuskan Nabi Ibrahim.
Kepada Abu Jahal, diutuskan Rasulullah SAW.
Begitu juga yang lain-lainnya seperti kaum 'Ad, kaum Tsamud, kaum Sadum, dan sebagainya.
Yang Dia Kira adalah yang Terbaik
Allah SWT menerangkan dalam surah Al-Mulk, ayat 30 yang bermaksud:
"Dia yang menciptakan kematian dan kehidupan bagi menguji
kamu, siapakah antara kamu yang terbaik amalnya dan Dia
maha kuasa, lagi maha pengampun."
Perhatikan petikan ayat, "...bagi menguji kamu, siapakah antara kamu yang terbaik amalnya." Allah menggunakan kalimah ahsanu iaitu terbaik dan bukannya aksaru iaitu terbanyak dalam menyatakan tujuannya menguji manusia.
Rasulullah SAW menceritakan kisah seorang wanita yang berzina. Wanita itu masuk syurga hanya kerana dia memberi minum pada seekor anjing yang kehausan. Rasulullah SAW juga menceritakan kisah pembunuh yang membunuh 100 orang, akhirnya dia masuk ke syurga hanya kerana kesungguhannya mahu bertaubat, walaupun belum sempat ke tempat taubat.
Hanya dengan memberi minuman kepada anjing, hanya dengan berusaha bersungguh-sungguh tanpa berputus asa. Perempuan penzina dan lelaki yang membunuh 100 orang itu, tidak sempat beribadah, tetapi itu yang Allah SWT kira.
Sebenarnya begitu luas keampunan Allah SWT.
Tidakkah kita memerhatikannya?
Tetapi, Kita Suka Mengkhianati
Tetapi, kita suka mengkhianati keluasan keampunan ini. Kita suka mengambil ringan dengan berkata, "Tidak mengapa sekiranya kita melakukan dosa. Bukankah Allah Maha Pengampun?"
Kita mempermainkan keampunan Allah SWT. Kita jadikan keluasan rahmat dan keampunan-Nya ini sebagai alasan untuk terus melakukan dosa. Sungguh kejam diri kita.
Adakah kita mengetahui bila kita akan mati?
Adakah kita mengetahui, manakah antara amalan-amalan yang diterima oleh Allah SWT?
Sesekali tidak!
Mengapakah kita mengkhianati kebaikan-Nya dengan bersikap kurang ajar di atas keampunan yang begitu luas ini?
Nyata sekali, kita tidak bersyukur. Bongkak, angkuh, dan takabbur dnegan Allah SWT.
Allah menerangkan dalam surah Al-Baqarah, ayat 206 yang bermaksud:
"Dan apabila dikatakan kepadanya, 'Bertakwalah kepada Allah.'
Maka, bangkitlah kesombongannya yang menyebabkannya
berbuat dosa. Cukuplah balasannya neraka jahanam. Neraka
jahanam adalah tempat tinggal yang seburuk-buruknya."
Allah menerangkan dalam surah An-Nisa', ayat 36 yang bermaksud:
"Sembahlah Allah dan jangan kamu mempersekutukan-Nya
dengan sesuatu pun. Berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa,
sahabat karib, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga
yang dekat serta jauh, teman sejawat, ibnu sabil, dan hamba
sahayamu. Sesungguhnya, Allah tidak menyukai orang-orang
yang sombong dan membanggakan diri."
Allah menjelaskan dalam surah An-Nahl, ayat 23 yang bermaksud:
"Tidak diragukan lagi, sesungguhnya Allah mengetahui apa yang
mereka rahsiakan dan apa yang mereka lahirkan. Sesungguhnya
Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong."
Jangan Ditunggu, Mari Kita Bersihkan Diri
Allah menyatakan dalam surah Az-Zumar, ayat 53 yang bermaksud:
"Katakanlah, wahai para hamba-Ku yang melampaui batas terhadap
diri mereka, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah.
Sesungguhnya Allah mengampuni semua dosa-dosanya. Sungguh,
Dia yang Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang."
Itu adalah kita. Kita yang melampaui batas. Ingkar kepada-Nya. Mengumpul dosa-dosa.
Mengapa kita perlu menunggu?
Mengapa kita masih beralasan?
Mengapa kita tidak terus berlari dan merangkul keampunan yang Dia sediakan?
Mengapa kita masih menanti?
Allah menerangkan dalam surah Al-Hadid, ayat 16 yang bermaksud:
"Belum sampaikah masa orang-orang yang beriman untuk khusyuk
hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah, serta
mematuhi kebenaran Al-Quran yang diturunkan kepada mereka?
Janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang sudah
diberikan kita sebelum mereka. Apabila orang-orang itu melalui masa
yang lama, hati mereka menjadi keras. Ramai antara mereka adalah
orang-orang yang fasik dan derhaka."
N / F : DARIPADA "UNTUK KITA PENDOSA, HARAPAN SELALU ADA", OLEH HILAL ASYRAF.
No comments:
Post a Comment