Wednesday 4 March 2015

AMINAH [ BAB 8 - PASANGAN YANG SEPADAN ]




PASANGAN YANG SEPADAN


Seluruh Mekah dan penduduknya terutama teruna dan dan dara membicarakan berita perkahwinan merpati sejoli bangsa Arab Quraisy, Abdullah dan Aminah yang bakal dilangsungkan tidak lama sahaja lagi. Ada yang memuji dan ada yang menyatakan rasa tidak puas hati, tidak kurang juga yang kecewa.

     "Hancur hati saya!" luah seorang gadis kepada ibunya. "Saya mencintai Abdullah lebih daripada segala-galanya, apakah kekurangan saya? Kecantikan, keturunan dan kekayaan, semuanya lengkap."

     Ibu gadis itu juga buntu memikirkan kesedihan anaknya itu, dirinya tidak tahu bagaimana mahu menjelaskan perkara yang sebenarnya.

     Tiba-tiba dia mendapat ilham. "Pakai bajumu yang paling indah, kita ke rumah Wuhaib, pak cik kepada Aminah. Mereka sedang bersiap-siap bagi menjalankan majlis pernikahan Abdullah dan Aminah sekarang. Sekiranya berpeluang, kamu katakan sahaja kepada Aminah supaya membatalkan perkahwinannya dengan Abdullah."

     "Bolehkah begitu?" soal gadis itu ragu, tangannya mengesat air mata di pipi.

     "Ada hati, semua boleh jadi. Sekiranya benar kamu mahukan Abdullah, cubalah," sindir emak gadis itu.

     Mendengar sindiran ibunya, gadis itu naik angin. "Jangan cabar saya. Demi Abdullah, saya sanggup lakukannya!"

     "Apa tunggu lagi, cepat bersiap."

     Dalam hati, ibu gadis itu berkata, "Semoga Tuhan menyedarkan anak gadisku ini akan takdir Tuhan yang sudah termaktub selepas dia bertemu Aminah, bakal suri Abdullah itu."

     Mereka berdua sampai ke perkarangan rumah Wuhaib, kelihatan suasana riuh-rendah dan meriah. Tergambar kegembiraan di wajah-wajah mereka yang hadir. Mereka juga menyanyi dan bersiul riang seakan-akan mahu menyambut rahmat daripada Tuhan yang berupa sebatang sungai di bumi gersang, Mekah.

     Kedatangan mereka disambut mesra oleh Ummu Halah. "Silakan saudaraku, saya ingat kamu sudah tidak mahu datang."

     Kedua-duanya membalas senyuman bahagia itu, walaupun senyuman disulam dengan maksud tersirat.

     "Ada sedikit hal di rumah tadi, sebab itu saya terlewat," jawab wanita itu.

     "Tidak mengapa, silakan ke dalam. Sudah ramai yang tiba." Kemudian Ummu Halah perasan anak gadis yang datang bersama ibunya itu.

     "Ini anak gadis kamu, bukan? Sudah besar nampaknya. Selepas ini, semoga giliran kamu pula mendapat menantu," seloroh Ummu Halah kepada wanita itu.

     Anak gadis itu hanya tersenyum pahit.

     Mereka kemudiannya ke dalam. Mata gadis itu meliar ke sana-sini mencari Aminah. Dia sebenarnya tidak mengenali Aminah.

     "Kamu pergi cari Aminah dan katakan kepadanya apa yang kamu ingin katakan sebelum ini," bisik ibu gadis itu. Tanpa membuang masa, dia terus mencari Aminah.

     Sedang dia mencari-cari, tiba-tiba suasana di ruang hadapan rumah riuh-rendah berselang dengan suara puji-pujian. Sebelum itu hadirin seakan terpukau sejenak sebelum masing-masing bersuara kembali.

     "Seperti bidadari syurga."

     "Ya, inilah bidadari syurga yang berada di bumi."

     "Bidadari juga pasti mencemburui kecantikannya."

     "Sekiranya wujud bidadari di muka bumi ini, beliau adalah orangnya."

     Gadis itu rimas mendengar pujian orang ramai. Dia mahu mengetahui dan pergi juga ke  ruang tamu bagi melihat sendiri apakah sebenarnya yang berlaku.

     Rupanya Aminah yang baharu keluar dari kamar pengantin.

     Sedetik dia melihat Aminah, jantungnya bergetar deras....
   
     Hanya satu patah perkataan yang terlintas di sanubarinya. "Tuhan...."

     Mulutnya terkunci rapat, dia sendiri kurang faham apakah perasaan yang sedang dialaminya.

     Tanpa disedari, gadis itu termasuk dalam barisan yang beratur bagi bersalaman dan mengucapkan selamat kepada bakal pengantin, Aminah.

     Dia yang keberatan pada awalnya, tidak dapat berpatah balik kerana ramai tetamu ketika itu.

     Satu persatu tetamu mengucapkan selamat kepada Aminah.

     "Tahniah, kamu selayaknya dengan Abdullah."

     "Kalian bagaikan merpati dua sejoli yang terbang dari syurga dan singgah di bumi."

     "Abdullah adalah putera Quraisy dan Aminah adalah puteri Quraisy. Selepas ini mereka adalah raja dan pemaisuri Quraisy."

     Begitulah hebatnya puji-pujian kepada Aminah. Namun Aminah kelihatan lebih banyak tersenyum daripada bercakap, riak wajahnya jelas menggambarkan kebahagiaan yang dirasainya.

     Puji-pujian itu hanya membuat dirinya berasa malu dan tidak layak dipuji. Saat dia sudah hampir memiliki Abdullah, putera impian gadis-gadis kota Mekah, dia masih merendah diri.

     "Ini adalah takdir Tuhan, berterima kasihlah kepada Tuhan." Itulah jawapan yang terhasil daripadanya. Walaupun pujian yang datang menggunung, ayat itulah yang menjadi jawapan.

     Walaupun datang pujian yang kecil bunyinya, itulah juga jawapannya kerana dia adalah Aminah.

     Kini tiba giliran gadis itu, mahu tidak mahu dia terpaksa juga memberikan ucapan, "Baiklah, akan aku cakap juga nanti." Entah dari mana datangnya semangat itu.

     "Ya, aku mesti lakukannya."

     Tiba sahaja di hadapan Aminah, saat itu Aminah menundukkan wajahnya. Apabila dihulur tangan untuk bersalaman, mereka bersentuhan kedua-dua pipi sebanyak tiga kali.

     Dengan perlahan Aminah mengangkat wajahnya dan memandang tepat ke dalam anak mata gadis itu. "Terima kasih saudaraku, semoga saudari juga dirahmati Tuhan dan dikurniakan jodoh yang baik."

     Manis dan lunak sekali bahasa yang dituturkan. Gadis itu terdiam, hanya senyuman yang dapat dihadiahkan kerana dia gumam. Terpana dengan kelembutan dan kemulusan akhlak wanita yang berada di hadapannya, bakal isteri Abdullah, Aminah.

     Dia tergamam beberapa detik, ketika ibunya datang mendapatkan dirinya, dia ditanya, "Bagaimana, sudah kamu katakan kepada Aminah?"

     Gadis itu masih khayal seperti tenggelam dalam lautan separa sedarnya sendiri. Beberapa ketika kemudian, barulah dia mampu bersuara.

     "Mengapa saya tidak mampu berkata-kata dengannya saat kami bertentang wajah? Saya terpegun dengan kecantikannya, saat dirinya menuturkan kata-kata, bagaikan bunyi nyanyian yang paling indah, walhal pada masa yang sama, saya masih belum memujinya, terlebih dahulu dirinya mendoakan saya. Benar, sekiranya ada bidadari mahupun malaikat di muka bumi ini, orang itu adalah Aminah."

     Ibu gadis berpuas hati dengan keterangan anak gadisnya itu. Memang menjadi tujuannya membawa anak gadisnya berjumpa sendiri Aminah supaya mereka tahu dan sedar sememang yang paling layak untuk Abdullah adalah Aminah.

     "Bagaimana sekarang? Apakah kamu masih menginginkan Abdullah?" duga ibunya.

     "Tidak, Aminah yang selayaknya untuk Abdullah. Mereka bagai bulan dan bintang pada malam cerah tanpa awan. Arab Quraisy lebih bahagia sekiranya mereka menjadi mempelainya."

     Pemuda di Mekah juga berbual-bual tentang Aminah saat mereka berkumpul bersama.

     "Bungaku bakal disunting Abdullah," kata seorang lelaki sewaktu mereka duduk di suatu sudut berdekatan Kaabah. Tangannya dikepal-kepal dan menumbuk-numbuk dedahan tamar yang maujud.

     "Maksud kamu?" tanya sahabatnya pula.

     Belum pun sempat lelaki yang berkata tadi menjawab, sahabatnya yang seorang lagi terus memotong kata-katanya. "Yang dimaksudkannya adalah Aminah, anak saudara Wuhaib."

     "Ya, mengapa dengannya?" tanya sahabat itu lagi.

     Pemuda itu hanya diam, dia kelihatan sedang bermenung.

     "Sahabat kita ini ada hati kepada Aminah, pernah dipinangnya namun tidak berjaya. Tiba-tiba Aminah bakal mendirikan rumah tangga dengan Abdullah, putera Abdul Mutalib."

     "Begitu ceritanya...." Sahabat itu mengangguk tanda faham.

     "Sekiranya orang lain, tentu sahaja kita berani redah ataupun lawan. Tetapi ini Abdullah, adakah kamu semua lupa bagaimana reaksinya sewaktu namanya disebut sebagai korban nazar ayahnya?"

     Seorang lagi menjawab, "Tiada riak risau mahupun takut pada wajahnya bahkan Abdullah tenang meminta ayahnya itu segera menyembelihnya. Sekiranya kita yang berada di tempatnya, apakah kita akan mampu lakukan perkara yang sama?"

     Semua diam membisu. Jawapannya ada dalam diri masing-masing.


===================


Perkahwinan antara Abdullah dan Aminah dilangsungkan dengan jayanya. Seluruh Mekah bergembira dan berpesta ria sampai beberapa hari mengikut adat istiadat mereka sendiri.

     Wuhaib berkata kepada Abdullah, "Wahai anakku, Aminah itu kami anggap lebih daripada anak kandung kami, dia adalah puteri bani Zuhrah. Kamu pula adalah putera bani Hasyim, bahagiakanlah isterimu. Dia yatim piatu sejak kecil lagi, namun kasih sayang yang kami berikan tidak kurang daripada kasih sayang ibu bapa kandungnya..."

     Wuhaib tidak mampu meneruskan kata-kata kerana sebak. Beliau antara gembira dan sedih, memikirkan anak saudaranya itu.

     Abdullah terdiam sejenak, dengan nada tegas dan dalam dia berkata, "Wahai ayahku, selagi nyawa ini dikandung badan, saya berjanji akan membahagiakan Aminah, menjaga dengan tulang empat kerat ini dan menatangnya seperti minyak yang penuh."

     "Bagus sekiranya begitu, kamu juga tahu, bukan? Aminah bukan seperti gadis yang lain. Dirinya tidak pernah ternoda dengan perkara-perkara kotor, meskipun di Mekah ini banyak sekali kegiatan yang tidak bermoral."

     Abdullah tersenyum lalu berkata, "Saya berasa bangga dan beruntung beristerikan Aminah. Kami daripada bani Hasyim juga amat menyenanginya. Ayahku, Abdul Mutalib menyayangi Aminah sebagaimana anak kandungnya sendiri dan bukannya menantu."

     "Lega saya mendengarnya. Baiklah, sebagaimana adat istiadat bangsa kita, kamu mesti tinggal di rumah ini selama tiga hari bersama isterimu sebelum berpindah ke rumah sendiri. Anggaplah rumah ini sebagai rumah kamu sendiri. Kami sudah sediakan bilik yang paling indah untuk kamu berdua," ujar Wuhaib.

     Pada saat itu, rumah Wuhaib masih riuh dengan kehadiran para tetamu. Abdul Mutalib dan para pembesar Quraisy juga sedang berbual rancak. Kaum ibu pula sedang membuat kerja-kerja di dapur.

     Masing-masing girang dan riang. Mereka seakan terlupa yang mereka adalah penghuni padang pasir yang gersang, penuh dengan cubaan dan dugaan dari semasa ke semasa.

     Di sebelah keluarga Abdullah pula, ibunya Fatimah sedang sibuk menyiapkan rumah baru untuk mempelai.

     "Hiaskan istana putera dan puteri kita ini dengan segala keindahan yang ada," kata Abdul Mutalib gembira.

     Fatimah, isteri yang setia menjawab, "Baiklah, saya pastikan yang rumah mereka adalah yang terindah dan tercantik di kota Mekah ini."

     Abdul Mutalib tersenyum mendengar jawapan isterinya itu.

     Pada masa yang sama, Abdullah dan Aminah sedang bermadu kasih. Tinggal sehari sahaja lagi mereka di rumah Wuhaib. Seterusnya mereka berpindah ke rumah mereka sendiri sebagaimana yang sudah direncanakan.

     "Sudah tiga hari kita menjadi suami isteri," sapa Abdullah kepada isterinya tercinta, Aminah. Dia hanya mampu tertunduk sipu ditenung Abdullah sekian rupa.

     Abdullah tersenyum melihat kelakuan isterinya. Hatinya berkata, "Patutlah semua lelaki Quraisy mahukan wahai mawar berduri, keindahanmu mampu meruntuhkan segenap keras besi di dunia ini. Syukur, dengan izin Tuhan kita disatukan."

     "Apakah yang difikirkan?" tegur Aminah apabila melihat Abdullah melayang jauh.

     "Tidak ada apa-apa. Cuma saya kagum kepada kamu. Sungguh, kamu adalah wanita yang layak dimuliakan."

     "Kenapa berkata begitu?"

     "Kamu lain daripada gadis-gadis Quraisy lain. Kamu adalah gadis terhormat dan suci."

     "Kamu juga apa kurangnya, pujaan dan igauan sekalian gadis kota Mekah." Kedengaran Aminah sedang memuji suaminya.

     Abdullah tersentak sedikit. Dia lantas merapati Aminah lalu kembali merenung wajah isterinya yang saling tidak tumpah bak rembulan mengambang penuh.

     Mata mereka bertembung, ada getar di situ....

     Abdullah berkata lembut, "Apa katamu, sayangku? Saya menjadi pujaan?" Abdullah sedikit tersenyum. "Dengarlah wahai Aminah, tiada guna saya menjadi pujaan semua gadis Quraisy sekiranya yang ada di hadapan saya sekarang bukan Aminah binti Wahab, bunga kaum Quraisy."

     Aminah tersenyum bahagia. Abdullah juga lega memikirkan dia masih hidup bagi merasai nikmat cinta seorang isteri. Sekiranya tempoh hari, 100 ekor unta tidak menjadi imbalan dirinya, nescaya kini Aminah tidak menjadi isterinya.

     Begitulah mereka, bagai pinang dibelah dua. Diperakui seluruh kota, pemuda-pemudi dan gadis-gadis yang berduka akhirnya akur hakikat itu.

     Keesokan harinya, selesai mereka bersiap-siap. Wuhaib dan isterinya serta saudara mara sebelah bani Zuhrah berkumpul di perkarangan rumah bagi mengucapkan selamat jalan kepada Aminah. Kini dia sudah menjadi isteri orang. Suaminya Abdullah akan membawanya pulang ke rumah mereka sendiri.

     Semua kelihatan sedih. Wuhaib datang mendapatkan Aminah, anak saudara kesayangannya. "Wahai Aminah, kini kamu sudah menjadi isteri orang. Jagalah dirimu dengan mentaati suamimu, kini pakcik tidak boleh lagi menjagamu seperti dahulu."

     Air mata kasih jelas kelihatan jatuh daripada pipi Wuhaib. Aminah hanya mampu mendiamkan diri, sebenarnya dia juga menangis. Dia terharu atas pengorbanan pak ciknya itu semasa membesarkannya.

     Aminah berkata dalam tangis, "Pak cik adalah ayah saya, sejak ayah saya meninggal dunia, saya hanya ada pak cik dan keluarga pak cik. Saya tidak lupakan jasa dan layanan baik kalian sehingga ke akhir hayat saya."

     Suara sebak yang tidak tertahan jelas kedengaran.

     Sebelum berangkat, Abdullah sempat melafazkan ikrar di hadapan bani Zuhrah.

     "Dengarlah wahai kaum bani Zuhrah, kini saya adalah suami kepada puteri kaummu. Sekiranya saya tidak adil dan menzaliminya, saya rela dikenakan hukuman daripada kamu kelak!" Ikrar Abdullah mendamaikan perasaan kerabat bani Zuhrah.

     Mereka tersenyum bangga kerana puteri mereka sekarang bersuami putera bani Hasyim. Putera terbaik antara yang terbaik daripada kalangan bani-bani Arab Quraisy di kota Mekah dan sekitarnya.

     "Beruntung Aminah bersuamikan Abdullah. Tiada pemuda yang sebaik saat ini," ujar seorang mak cik.

     "Mereka sangat sepadan, tidak kedengaran langsung umpatan mengatakan mereka tidak sepadan," ujar seorang lagi.

     "Ya, malam mereka dikahwinkan, ramai tetamu yang terpegun melihat mereka. Saya perasan ada dalam kalangan mereka yang tidak berkelip mata memandang mereka," seorang lagi menyampuk.

     Wuhaib dan isterinya hanya tersenyum mendengar bicara kaum kerabatnya itu. Padanya, tiada lain yang lebih membahagiakan mereka melainkan dapat melihat sendiri Aminah berumah tangga dan hidup bahagia.

     Kini dia bercita-cita menjadi seorang datuk dalam masa yang terdekat.


====================


Ketibaan mempelai disambut meriah dengan pelbagai acara dan sambutan yang sudah diaturkan. Tarian dan nyanyian beralun indah. Abdul Mutalib dan Aminah, ibu Abdullah serta Halah kelihatan sibuk melayan tetamu.

     Kegembiraan terlihat di sana sini dengan diselangselikan ucapan-ucapan selamat. "Selamat datang ke rumah barumu." Ada yang mengucapkan, "Selamat datang ke dunia barumu."

     Tetamu masih berbual-bual rancak. Pengantin baru meminta izin berehat. Ada senyum dan kerlingan nakal daripada pak cik dan mak cik mereka. Ada pula yang berbisik-bisik sambil ketawa. Ada yang memhami mereka kepenatan.

     "Selamat datang ke rumah baharumu, Aminah," ujar Abdullah lembut kepada isterinya.

     Merekah senyuman di bibir Aminah, sungguh menawan. "Selamat datang juga ke dalam kehidupan yang baru wahai Abdullah."

     "Kamu berehat dahulu, saya mahu bertawaf di Kaabah bagi menyatakan syukur kepada Tuhan dan mengucapkan selamat kepada ayah serta pembesar-pembesar yang menjadi tetamu di majlis kita."

     "Baiklah," jawab Aminah ringkas, "Tetapi...."

     Abdullah tekun menanti butiran kata seterusnya.

     "Cepatlah balik ya, kanda." Abdullah tersenyum mengangguk. 'Inikah yang dinamakan bahagia? Syukur kepada Tuhan kerana mengurniakan bahagia kepadaku.' Abdullah bermonolog dalam hati.

     Abdullah pergi melaksanakan apa yang diucapkannya dan segera pulang. Apabila mendapati Aminah sudah lena, Abdullah duduk di bangku sambil memerhatikan sahaja isterinya yang sedang tidur.

     Masa terus berlalu....

     "Kamu sudah sedar," ujar Abdullah.

     Kedua-duanya tersenyum apabila mata masing-masing bertembung antara satu sama lain.

     "Mengapa kamu tidur di sana? Bukankah tempat seorang isteri itu di sisi suaminya?" tanya Aminah sopan.

     "Apabila suami lebih bahagia melihat isterinya tidur dari tempat ini, apakah isterinya boleh ingkar?" Abdullah menjawab panjang lantas mengundang tawa mereka berdua.

     Aminah kemudian berkata, "Saya bermimpi."

     Abdullah mendekatkan dirinya dengan Aminah bagi mendengar cerita isterinya.

     "Saya bermimpi ada suatu cahaya beralih daripada tubuh kamu dan memasuki ke dalam tubuhku. Ia kemudian keluar dari tubuhku lantas menerangi alam semesta. Kegelapan hancur musnah dan manusia tersedar daripada tidur dan terkesima. Mereka semuanya kemudian bersorak riang dengan kehadiran cahaya itu. Apakah tafsiran dan makna mimpiku itu? Apakah kamu boleh menjelaskannya, wahai suamiku?"

     Mereka terdiam sejenak, masing-masing cuba membuat penaakulan yang paling logik dan senang difahami akal.

     Abdullah memecah kesunyian, "Apapun maksudnya, saya yakin ia adalah berita baik daripada Tuhan. Kita pasti bahagia sehingga ke akhir hayat dan mempunyai anak-anak yang comel dan cantik lagi cerdas."

     Aminah hanya ketawa mendengar tafsiran suaminya.

     "Nampaknya, saya dapat merasai sarapan yang disediakan oleh isteri saya pada pagi ini," ujar Abdullah sambil menjeling kepada Aminah.

     Dia menyambung, "Lagipun, saya pernah mendengar ayah berkata, 'Apapun yang disediakan oleh Aminah, pasti menjadi lazat dan enak, bagai makanan dari syurga walaupun ia tamar dan air zamzam yang kita minum sejak dari kecil lagi.' Ini membuatkan saya semakin lapar."

     Suasana pagi itu riuh dengan gelak tawa dan canda gurau pengantin baru yang sedang mencipta bahagia. Mereka mungkin tidak tahu, ada ujian dan cabaran yang harus dilewati disebalik kebahagiaan itu.




P/S : DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI-SRIKANDI YANG BENAR, DTULIS OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI

No comments:

Post a Comment