Sunday 15 March 2015

AMINAH [ BAB 14 - KELAHIRAN MANUSIA AGUNG ]




KELAHIRAN MANUSIA AGUNG


Saat ke saat, minit ke minit, jam ke jam, hari ke hari, dan bulan ke bulan, semuanya berlalu pergi dan tidak kembali. Justeru apabila ditanya berkenaan tempat yang jauh, jawapan yang paling tepat adalah masa lalu.

     Masa yang berlalu itu, sama ada kita mahu memanfaatkannya ataupun membazirkannya, bergantung pada diri masing-masing. Namun setiap detik yang berlalu punya nilai hitungan di sisi Tuhan.

     Aminah meneruskan kehidupannya dengan lebih baik dan bermakna. Saban hari dia semakin bahagia dengan perkembangan bayi di dalam kandungannya itu.

     Sesekali dia bermonolog sendirian, 'Tuhan, nikmat apakah ini? Sejak anak ini aku kandungkan, segalanya menjadi serba indah. Gundah rasa hatiku dek kehilangan Abdullah terubat, kusut fikiranku berkenaan kehidupan terlerai begitu sahaja. Segala yang kupandang dan kupegang menjadi sangat bermakna.'

     Barakah yang baru sahaja menjalankan rutin tugasannya datang mendapatkan Aminah. Dia sedikit terkejut dan teruja. "Ya Tuhan, wajah apa yang sedang saya tatap ini? Ini bukan wajah manusia bumi. Ini adalah wajah kebahagiaan bidadari syurga. Pastinya anak dalam kandungan ini adalah rahmat daripada Tuhan kepada sekalian alam."

     Kini waktu mengandung sudah tiba ke penghujungnya. Semua persediaan sudah dibuat rapi, hanya menunggu bayi yang mulia itu lahir.

     Petang itu Aminah sempat berpesan kepada Barakah, "Wahai Barakah, saya dapat rasakan malam ini kita akan menyambut orang baru ke dunia. Kamu bersiap sedialah, sampai sahaja saat saya meminta kamu memanggil bidan, maka segerakanlah."

     "Baiklah, puan. Sungguh hari ini tidak tertanggung rindu mahu berjumpa putera puan. Saya sentiasa berjaga sepanjang malam dengan izin Tuhan. Puan usah risau dan berehatlah sehingga anak ini mahu dijemput ke dunia ini."

     "Terima kasih, Barakah. Kamu sememangnya ingat yang baik dan banyak berjasa kepadaku. Saya tidak melupakan jasa-jasa kamu ini buat selama-lamanya."

     Aminah lantas melelapkan mata. Barakah di sampingnya tetap berjaga meskipun dirinya sendiri diserang kantuk yang amat.

     Sepertiga malam menyusup perlahan-lahan, saat itu mimpi indah Aminah kembali menyelubunginya. Kali ini dia hanya membiarkan sahaja dirinya hanyut dalam mimpi itu.

     Tiba-tiba, telinga Aminah disapa satu suara yang bertutur lembut, "Wahai Aminah, yang mulia, bersedialah kamu. Masanya sudah hampir tiba...."

     Tatkala itu juga bangkit daripada tidurnya.

     Seketika dia terkesima. "Mengapa saya masih dalam mimpi indah itu sedangkan saya sudah bangkit?" Hatinya berbolak-balik memikirkan hal yang aneh itu.

     Aminah kemudian teringatkan Barakah lantas memanggilnya lembut, "Wahai Barakah, apakah kamu sudah tidur ataupun kamu masih berjaga?"

     Aminah menyangka Barakah sudah tertidur. "Ya, puan. Saya datang kepada puan."

     Aminah sedikit terkejut apabila mendapati Barakah belum melelapkan mata. "Kamu masih berjaga, wahai Barakah? Apakah kamu tidak penat sesudah bekerja seharian, kamu berehatlah."

     "Mana mungkin saya mampu melelapkan mata, sungguh saya takjub."

     Belum pun sempat disudahkan percakapannya, Aminah segera memotong perbualan mereka. "Apa yang kamu takjubkan?"

     Barakah segera menceritakan apa yang dilihatnya sebentar tadi.

     "Ia bukan mimpi, wahai puan. Ia dapat dilihat, dibau, dan dirasa secara zahir. Saya juga berada di dalamnya."

     "Maksud kamu, kamu juga berada dalam mimpi saya?"

     "Ya, dan ia bukan mimpi, ia adalah realiti dan saya turut merasainya."

     "Sekiranya demikian, mengapa kamu tidak menegur saya apabila berlaku keistimewaan itu?"

     "Saya lihat puan begitu terpesona dengan keindahan mimpi itu, lantas saya mengambil keputusan bagi menunggu dan melihat sahaja, sehingga puan memanggil saya dan saya kira panggilan itu bermaksud bagi memanggil bidan. Apakah puan mahu saya memanggil bidan sekarang?"

     Aminah tersenyum, tidak dia sangka Barakah juga dapat melihat dan merasakan apa yang dia rasai dalam mimpi realiti itu. Kini hatinya semakin yakin. "Benarlah, anak Abdullah yang bakal lahir ini adalah manusia yang istimewa."

     Aminah kemudian memalingkan wajahnya dan menghadap Barakah, seraya berkata dengan nada lembut, "Terima kasih, Barakah. Kembalilah ke tempat tidurmu dan janganlah kamu risau, malam ini tidak ada permintaan daripada saya bagi memanggil bidan."

     "Benarkah, puan? Sebenarnya saya sedikit pun tidak rasa terbeban dengan tugasan itu."

     Aminah tersenyum lalu berkata kepadanya kembali, "Tidak mengapa, wahai Barakah. Kamu berehatlah kerana tenaga yang lebih banyak diperlukan apabila bayi ini lahir kelak."

     Mendengar kata-kata itu, Barakah akur dan mohon kembali ke biliknya.

     Selepas Barakah hilang di sebalik pintu, Aminah masih belum melelapkan matanya. Dia lantas memandang tempat pembaringannya dan terkejut. "Cahaya apakah itu, sungguh indah dan permai jiwa ini tatkala memandangnya."

     Sekali lagi Aminah terkesima tatkala melihat anak kecil yang baru dilahirkan itu. Hatinya berbolak-balik, "Benarkah ini anak saya? Mengapa saya tidak merasa sakit walau sedikit pun saat melahirkannya?"

     Sedang dirinya diserang dengan persoalan-persoalan itu, Aminah masih terkejut apabila melihat bayi yang sangat sempurna itu.

     "Belum pernah saya lihat keindahan yang sedemikian. Sungguh dia adalah bayi yang sangat sempurna."

     Bayi itu sedang dalam meletakkan kedua-dua tangannya di tanah dan kepalanya terangkat ke arah langit. Aminah berseru dengan bahagianya, "Ini adalah cahaya! Dia adalah cahaya! Cahaya! Ya, cahaya! Dia adalah cahaya itu!"

     Aminah kemudian didatangi para gadis yang mencicipkan pesanan kepada Aminah, "Wahai Aminah, berbahagialah kamu kerana bayi yang dilahirkan kamu ini adalah pemimpin sekalian manusia selepasnya dan seluruh makhluk alam. Bayi ini yang dilahirkan bersama cahaya bakal menerangi dunia ini dari timur ke barat, dari utara ke selatan. Namakan beliau dengan nama Ahmad. Wahai Aminah, beliau terpuji dalam kalangan penduduk bumi mahupun langit, di dunia bahkan akhirat nanti. Sehingga saatnya tiba, beliau menyucikan dunia ini daripada kekotoran dan menerangkan mereka daripada kegelapan kepada cahaya. Jaga dan lindungilah insan mulia ini kerana beliau akan dihasad dengki oleh orang-orang yang tidak reda dengannya."

     Selesai berbicara, Aminah cuba bertanyakan kepada mereka mengenai asal-usul mereka, namun tidak kesampaian. Cahaya yang terpancar hilang begitu sahaja. Alunan suara dan nyanyian mereka sahaja yang masih tersisa. Suara-suara itu juga perlahan-lahan hilang dibawa semilir dinihari.

     Semuanya bagaikan mimpi, dan sewajarnya ia hanyalah mimpi kerana mustahil kejadian itu berlaku kepada manusia biasa. Namun hanya Tuhan yang lebih mengetahui maklum mengenainya.

     Aminah kemudian mendapatkan si kecil yang indah itu lalu meraih, memeluk dan menciumnya dengan penuh kasih sayang. Seketika dia lupa apa yang dipesan oleh wanita-wanita yang mendatanginya semalam. Dirinya hanya maklum, si kecil yang berada dalam dakapannya adalah anak sulungnya dengan Abdullah, yang bernama Ahmad.

     Barakah sekali lagi datang mendapatkan Aminah dan terkejut melihat Aminah sedang memangku bayi yang baru dilahirkan.

     Dengan mata terbeliak, terpacul kata-kata daripada mulut Barakah. Walaupun pada awalnya dia kelihatan tidak keruan kerana terlalu gembira. "Sungguh anak puan ini sangat sempurna dan tiada cela cacatnya. Comelnya bak delima disimbah cahaya, memancar sinar membangkit rasa, ya... rasa cinta dan kasih kepadanya. Wahai tuan muda, dirimu lahir bersama cahaya, cahaya yang mulia. Kamu adalah insan yang mulia."

     Aminah sedang asyik menatap dan mendakap anaknya. Sesekali dia mencium dahi dan pipi anaknya itu. Aminah amat bersyukur atas kurniaan Tuhan yang tidak terhingga itu.

     Barakah kemudian teringat sesuatu lantas memohon kebenaran daripada puannya itu. "Wahai puan, saya kira sangat elok sekiranya berita kelahiran Ahmad ini saya sampaikan kepada datuknya, Abdul Mutalib. Saya yakin beliau menjadi datuk yang paling gembira di atas dunia ini apabila dapat mengetahui puan sudah melahirkan anak lelaki yang hebat ini."

     Aminah memahami maksud Barakah. Dia lantas berkata, "Baiklah, khabarkanlah kepadanya. Semoga kesedihannya atas kehilangan Abdullah terubat dengan kelahiran Ahmad."

     Saat Aminah menyebut nama Abdullah, satu tolakan rasa sebak tercetus dari dalam dirinya. Hampir dirinya menitiskan air mata.

     Aminah menatap Ahmad kembali. Rasa sayu dan hiba menyusup halus ke hatinya kali ini. "Wahai anakku, andai ayahmu masih bersama kita, dapat ibu bayangkan kegembiraan dan kebanggannya kepadamu. Melihat ketampanan dan keindahan raut wajahmu sahaja membuatkan dirinya mampu tersenyum lebar." Aminah terhenti sejenak, dia berusaha menyeka air matanya. Lantas jatuh jua. "Ayahmu pasti sekarang sedang berada di Kaabah, bertawaf dan menguar-uarkan kehadiranmu, lantas dia menerima ucapan tahniah daripada para pembesar kota Mekah atas kelahiran puteranya."

     Tatkala dinihari itu, sosok Abdul Mutalib sudah terpacak di sisi Kaabah. Sama ada beliau di situ daripada semalam ataupun baru sampai, tiada siapa yang tahu.

     Fajar mula menyingsing dan kaum Quraisy yang taat kepada ajaran pagan mereka itu keluar melakukan ritual mengikut kepercayaan mereka.

     Beberapa orang terkejut sekilas mereka terpandang lembaga yang samar-samar sedang bersandar di dinding Kaabah. Selepas diamati dan mendapati susuk itu adalah Abdul Mutalib, ada yang berkata dengan kasar, "Abdul Mutalib rupanya, apakah yang kamu buat di sini? Kelihatannya kamu masih bersedih atas kehilangan anakmu yang tersayang itu. Sudahlah, perkara yang sudah berlalu seeloknya dibiarkan sahaja. Kita yang masih hidup ini perlu menikmati hidup yang tersisa."

     Abdul Mutalib sebenarnya terguris dengan teguran anak muda itu. Matanya yang basah terpejam kedua-duanya.

     Tidak sempat beliau menjawab kepada orang tadi, kedengaran satu suara sedang memanggilnya. Suara itu adalah milik Barakah.

     Apabila maklum Abdul Mutalib berada di samping Kaabah, Barakah datang mendapatkannya, "Wahai tuan, silakan...."

     Butir kata belum selesai, Abdul Mutalib lantas bangkit dan terus menuju ke rumah Aminah.

     Di persimpangan jalan menuju ke rumahnya, beliau meminta Barakah mengejutkan semua orang yang tidur di rumahnya. "Ini adalah satu kebaikan, kebaikan yang tidak terhingga. Barakah, bangkitkan semua isteri-isteriku, semua putera serta puteriku, katakan saya minta mereka ke rumah Aminah sekarang juga."

     "Baiklah, tuan." Barakah masih buntu, tidak tahu bagaimana mahu memulakan bicara, menyatakan berita yang sebenarnya.

     Hampir terlupa, Abdul Mutalib kemudian mengingatkan Barakah supaya menjemput orang yang amat penting itu. "Kemudian kamu ke rumah bidan dan jemput dia segera ke rumah Aminah, ya."

     Mendengar sahaja jawapan itu, Barakah dengan wajah yang berseri dan bahagia segera menjawab, "Tuan, sebenarnya puan sudah melahirkan anaknya semalam lagi."

     Abdul Mutalib terkejut. Dengan muka yang berkerut-kerut, dia cuba menjangka, "Siapakah yang menjadi bidannya?"

     Tanpa berselindung Barakah menjawab, "Tuhan dan para malaikatnya. Ketika itu juga muncul cahaya sungguh indah."

     Mendengar jawapan daripada Barakah, Abdul Mutalib segera mempercepatkan langkah. Sekilas pandang mereka kelihatan seakan sedang berkejaran.

     "Wahai cucu datuk, bersabarlah kerana datuk sampai sebentar sahaja lagi."




P/S : DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI-SRIKANDI YANG BENAR, DITULIS OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.

No comments:

Post a Comment