Sunday 15 March 2015

AMINAH [ BAB 13 - TENTERA BERGAJAH ABRAHAH ]




TENTERA BERGAJAH ABRAHAH


Kota Mekah terus sunyi. Kelihatan kumpulan manusia sedang berbicara kalut, air muka masing-masing membayangkan mereka bakal menempuh suatu bencana yang sangat dasyat.

     Di tengah kumpulan di tepi pasar itu, ada seseorang sedang menyampaikan ucapan. Katanya, "Wahai penduduk kota Mekah, kita akan musnah, kita akan musnah. Tuhan berhala juga tidak mampu menolong kita kali ini."

     Orang ramai mula mengerumuninya kerana tertarik dengan bicaranya.

     "Apa maksudmu, wahai si pencerita?"

     "Ya, berterus terang sahaja. Kami sedia mendengarnya."

     Si pencerita bertanya lantang, "Bangsa Arab Quraisy bakal musnah, adakah kamu sedar?"

     Semakin ramai yang datang dan apabila sudah cukup ramai, barulah dia memulakan bicaranya. "Dengar dan tumpukan perhatian kamu semua wahai kaum Quraisy. Ini bukan cerita bohong mahupun hikayat dongeng. Ini adalah kenyataan yang perlu kita hadapi."

     Para hadirin semakin sesak di situ. Ada yang menjenguk-jenguk kepala bagi mendapatkan pandangan yang lebih baik. Ada juga yang menolak-nolak orang di hadapan mereka.

     "Ketahuilah oleh kalian, Abrahah, seorang raja yang gagah dan perkasa, mempunyai bala tentera yang sangat hebat, cukup kelengkapan dan senjata."

     Hadirin semakin teruja. Keadaan pasar yang biasanya hingar-bingar menjadi senyap sunyi. Kegiatan jual beli terhenti sejenak. Segalanya tertumpu kepada si pencerita yang sedang berdiri di atas pentas para lutut itu.

     "Apa yang lebih menakjubkan adalah... mereka bukan sahaja mempunyai kuda-kuda yang hebat, kuat, dan tahan lasak, malah mereka juga mempunyai binatang yang gagah perkasa yang sangat besar."

     Tidak sempat dia menghabiskan bicaranya, seorang daripada pendengar memecah kesunyian dengan memotong bicara seraya bertanya keras, "Adakah ia harimau?"

     "Tidak! Lebih hebat lagi!"

     "Adakah beruang?"

     "Juga bukan, yang ini lebih besar."

     "Bagaimanakah rupanya?"

     "Kakinya bak batang kurma, belalainya panjang dan kuat, telinganya lebar boleh dibuat kipas, warnanya hitam dan kelabu...."

     Tiba-tiba ada seorang tua dengan penuh kesungguhan mencelah, "Sekiranya begitu bicaramu, saya tahu apakah ia. Binatang itu adalah gajah!"

     Gegak gempitalah suasana di situ, masing-masing kehairanan dan membuat penaakulan sendiri. Masing-masing tertanya-tanya....

     "Apakah itu gajah?"

     "Bagaimanakah rupanya?"

     "Benarkah ia begitu hebat?"

     "Berapa besarkah ia, adakah sebesar Kaabah?"

     Bermacam-macam soalan yang dipersoalkan oleh mereka. Ada yang menyatakan ia hanya pembohongan semata-mata, ada juga yang mengatakan gajah tidak sama sebagaimana yang digambarkan oleh si pencerita sebentar tadi.

     "Lalu apa kaitannya dengan kita?"

     Si pencerita diam sejenak, berfikir dan berkira-kira apakah jawapan yang paling sesuai bagi dikhabarkan kepada seisi penduduk kota Mekah yang sedang menantikan jawapan daripadanya.

     Lantas dia bersuara lantang, "Abrahah akan menyerang kita!"

     Berdengung desiran kalut cemas sekalian Arab Quraisy dan keadaan itu terus berlanjutan beberapa lama....


====================


Abrahah sedang bermesyuarat dengan para menteri dan panglimanya. Api kebencian dan kedengkian jelas terpancar daripada setiap tutur katanya. "Arab Quraisy sudah terlalu lama menguasai jalan dagang antara dunia Arab dan luar, kita mesti lakukan sesuatu. Beta mahu pendapat daripada kalian semua."

     Kelihatan panglima tenteranya mahu bersuara, dia memberi isyarat dan diangguk oleh Abrahah. "Arab Quraisy adalah bangsa asal padang pasir dan mereka sangat mahir berdagang. Selain itu, mereka juga adalah bangsa berperang. Patik cadangkan, kita hantar seramai mungkin tentera berserta senjata rahsia kita itu."

     Menteri kanan yang berada sama tidak mahu kalah. "Itulah yang sedang bermain dalam minda saya, tidak sangka panglima terlebih dahulu menyampaikannya. Pada hemat saya, tidak perlu kita hantar bala tentera yang terlalu besar kerana kos ketenteraan menjadi lebih mahal."

     Abrahah kelihatan sedang berfikir. "Pendapat kalian berdua adalah benar, namun satu keputusan mesti dibuat. Tujuan utama kita kali ini adalah menghancurkan Kaabah yang menjadi daya tarikan seluruh bangsa Arab untuk ke kota Mekah. Beta yakin, sekiranya Kaabah yang berupa batu usang itu dirobohkan, nescaya kota Mekah tidak dikunjungi lagi."

     Selesai sahaja Abrahah bertitah, panglima segera menjawab, "Sekiranya begitu, kita pindahkan sahaja Kaabah ke Yaman selepas berjaya memerangi mereka."

     Menteri kanan kelihatan tidak bersetuju. "Mana mungkin, jarak antara Yaman dan kota Mekah adalah jauh. Namun patik berpendapat tuanku arahkan supaya dibina sebuah tempat ibadat yang lebih baik dan hebat daripada Kaabah. Patik pasti, dengan kempen dan pelbagai usaha yang menarik, orang ramai dan seluruh Arab di Tanah Arab ini berkunjung ke situ."

     Abrahah ketawa berdekah-dekah. "Bijak... bijak sekali kamu, beta anugerahkan kamu satu peti emas, intan, dan permata. Kaabah pasti menjadi batu buruk yang tidak terjaga selepas ini."

     Abrahah segera memanggil pegawai istana lain lalu bertitah, "Laksanakan sebagaimana yang dibincangkan tadi, binakan sebuah tempat ibadah yang lebih hebat daripada Kaabah!"

     Dengan itu, segala kerja membina dan membangunkan tempat ibadah yang menyaingi Kaabah pun bermula dan tidak berapa lama, ia pun siap. Abrahah lantas mengadakan kempen besar-besaran kepada orang ramai supaya mengunjungi Kaabah baru ciptaannya di Yaman.

     "Dengan adanya Kaabah baru di sini, seluruh orang Arab berkumpul di sini. Kita pula melayan mereka dengan baik di samping menyediakan segala kelengkapan mereka. Oleh itu mudah kita menyatukan empayar Arab menjadi satu empayar yang setanding dengan empayar Rom mahupun Parsi.. Dan rajanya adalah...."

     Serentak hadirin menjawab lantang, "Tuanku!"

     Abrahah mengilai tidak ingat dunia, dengan gaya yang angkuh dan riak sekali.

     Selepas sekian lama... Kaabah di Yaman siap dibina. Pelbagai usaha dilakukan bagi menarik orang Arab berkunjung, namun ia tetap gagal.

     Abrahah kecewa dan marah. Dia mula menyimpan dendam yang membara. "Tidak guna, walaupun tempat ibadatku dibina dengan lebih mewah dan cantik daripada Kaabah. Orang Arab sekalian tetap juga mahu ke sana. Apakah sebabnya?"

     Dia lantas berazam, "Aku mesti hancurkan dan musnahkan Kaabah. Hanya itu cara bagi mendapatkan ramai pengunjung."

     Abrahah kemudian mengarahkan semua bala tenteranya supaya bersiap sedia bagi menyerang kota Mekah. "Gunakan juga kuda-kuda dan gajah-gajah yang paling besar dan gagah bagi memerangi mereka."

     Abrahah mengetapkan giginya memikirkan penghinaan, ejekan, dan sindiran daripada orang Arab yang pernah datang ke sana.

     "Kamu kata Kaabah yang beta bina ini tidak berguna dan hanya membazir, berani pula kamu mengotorkan dan mentertawakannya. Kita lihat, siapa yang tertawa selepas ini."


====================


Bala tentera sudah bersedia bergerak. Tentera bergajah ditempatkan di belakang tentera pejalan kaki.

     "Bergerak!" laung panglima tentera. Mereka pun bergerak perlahan-lahan. Dari kejauhan kepulan debu berterbangan di udara kesan daripada laluan tentera. Mereka kelihatan seperti semut-semut yang baru keluar dari sarangnya. Tentera Abrahah pula lengkap bersenjata dan berperisai. Ini menambahkan lagi keyakinan yang kemenangan pasti menjadi milik mereka.

     Kini tentera Abrahah sudah berada di perbatasan sempadan Mekah. Penduduk Mekah sudah mula kalut memikirkan hal ini. Masing-masing berusaha dan berikhtiar mahu menyelamat diri sendiri, keluarga, dan harta mereka. Tidak ramai yang berfikir mahu berperang dengan tentera Abrahah.

     Para pembesar dan orang Arab Quraisy berkumpul di perkarangan Kaabah. Mereka sedang mengadakan mesyuarat tergempar. Kelihatan para pembesar sedang cemas membicarakan berkenaan berita kemaraan bala tentera Abrahah. Masing-masing menjadi tidak keruan mengenangkan kemungkinan yang bakal mereka hadapi.

     Salah seorang daripada mereka berkata cemas, "Kita perlu mencari ikhtiar dengan segera. Sekiranya tidak, kita akan musnah."

     "Ya, kami setuju."

     Seorang pahlawan Quraisy bersuara berani. "Apa yang mahu ditakutkan? Bukankah kita lelaki kaum Quraisy, raja padang pasir ini. Kita yang dicerobohi, maka kita perlu berjuang dengan pedang bagi mengusir mereka."

     "Ya... kita berperang!"

     Gelodak kemarahan itu kemudiannya ditenangkan kembali oleh salah seorang yang berumur. "Wahai pemuda Quraisy yang gagah berani, lebih baik kita berperang menggunakan otak daripada menumpahkan darah!"

     Segera disampuk seseorang, "Ya, benar. Menang jadi arang, kalah jadi abu."

     Tegas dibalas, "Tidak! Kita mesti berperang! Pantang darah daging keturunan kita mengundur, berpantang maut sebelum ajal. Mereka mesti melangkah mayat kita dahulu sekiranya mahu menakluk kota Mekah."

     Suasana menjadi tegang. Ada dua pihak bercanggah pendapat antara satu sama lain. Sekelompok suka sekiranya peperangan tidak meletus manakala sekelompok lagi mahu berdepan secara bersemuka. Suasana menjadi riuh-rendah. Saat itu keadaan menjadi semakin genting.

     Tatkala keadaan semakin tidak terkawal, salah seorang daripada mereka menjerit keras, "Wahai kaum Quraisy, apakah kamu lupa kita mempunyai pemimpin yang berwibawa dan disegani? Apakah kita tidak perlu mendapatkan buah fikirnya?"

     "Apakah maksud bicaramu? Adakah orang itu dapat membantu?"

     "Semestinya, dia pernah menyelamatkan kaum kita daripada dahaga dan lapar."

     "Justeru, siapakah dia? Segera khabarkan kepada kami supaya dapat kami rujuk padanya, kami memerlukan pertolongannya saat ini."

     "Siapakah orangnya? Berterus terang sahaja!"

     "Siapa lagi sekiranya bukan Abdul Mutalib!"

     Barulah khalayak sedar yang mereka terlupa merujuk dan bertanya kepada ketua mereka yang amat berwibawa itu. Biasanya dalam segenap hal yang berlaku walaupun sekecil mana pun, Abdul Mutalib yang menjadi tempat mengadu. Beliau biasanya menyelesaikan dan mengadili setiap perkara yang berlaku dengan adil dan bijaksana.

     Pada masa yang sama, Abdul Mutalib yang juga gelisah dan tidak dapat duduk tenang di rumahnya. Bermacam-macam perkara yang berputar dalam benaknya.

     Lantas dia berkata dalam hatinya, "Lebih baik aku ke rumah Aminah, aku akan mendapatkan ketenangan apabila berada di sana. Wahai Abdullah, sekiranya kamu masih hidup, ayah tidak segundah ini kerana kamu pasti mempunyai penyelesaian yang terbaik. Ayah mahu menjenguk isteri dan anak dalam kandungannya."

     Abdul Mutalib kemudian terus maju ke rumah Aminah dan berjumpa dengan Aminah yang kelihatannya sangat tenang.

     Abdul Mutalib pelik melihat gelagat menantunya itu lantas bertanya kepada Aminah, "Anakku, bagaimana mungkin kamu masih dalam keadaan tenang sedangkan kota Mekah bakal dilanggar musuh yang durjana?"

     Aminah tersenyum, sambil mengusap perutnya yang semakin memboyot itu dia menjawab lembut, "Ayahku, apakah kamu sudah lupa yang Kaabah itu mempunyai tuannya? Apakah ayah merasakan tuan Kaabah akan membiarkan musuh-musuhnya membuat onar di sini, di rumahnya?"

     Abdul Mutalib terpanas. Terlerai segala kekusutannya selama ini. Beliau lantas berlapang dada dan bersedia menyatakan pendiriannya apabila berhadapan dengan kaum Quraisy.

     Seketika kemudian, segerombolan Arab Quraisy datang mendapatkan Abdul Mutalib tatkala beliau dalam perjalanan menuju ke Kaabah. Beliau lantas diasak dengan persoalan demi persoalan. Abdul Mutalib tenang tidak menjawab dan orang ramai mula berbisik sesama mereka.

     "Kita lihat apa yang mahu dilakukan oleh Abdul Mutalib. Barangkali ada ilham daripada Tuhan kepadanya seperti waktu-waktu dahulu."

     "Ya, saya yakin dia sudah punya rencana yang tersendiri. Sekiranya tidak, mana mungkin dirinya kelihatan begitu tenang."

     Abdul Mutalib lantas dilihat mendongakkan kepalanya ke langit beberapa ketika. Kemudian beliau memandang ke arah Kaabah. Tanpa menjawab persoalan-persoalan yang menerpanya, dia lantas membiarkan mereka semua di situ dan mula berjalan ke arah Kaabah.

     Mereka tercengang melihat perlakuan Abdul Mutalib yang di luar jangkaan itu.

     Ada yang mula melenting. "Apakah ini, wahai Abdul Mutalib? Mengapa kamu hanya berdiam durja sedangkan kamu adalah pemimpin berwibawa."

     "Ya, saat senang kamulah ketua kami, maka waktu susah sepatutnya kamu juga memimpin kami dan bukannya mendiamkan diri."

     "Kami berharap kepadamu. Kamu mahu lihat bangsa Quraisy hancur dilanggar Abrahah dan tenteranya?"

     Pelbagai tohmahan dipanah tepat kepada Abdul Mutalib. Saat suara semua orang mula meninggi dan menggila, Abdul Mutalib berpaling kepada mereka dan memberi isyarat supaya mereka diam.

     Abdul Mutalib lantas berucap penuh wibawa, "Wahai kaum Quraisy, secara logiknya, apa yang mampu kamu semua lakukan? Adakah kamu semua sedar yang rumah ini adalah rumah Tuhan? Adakah kamu sangka Tuhan membiarkan sahaja rumahnya dicerobohi? Tahukah kamu senjata dan kekuatanNya tiada tandingan? Jadi, serahkan sahaja urusan ini kepada yang berhak. Abaikan semangat juang kamu semua kerana semua itu tidak berguna dalam situasi ini."

     Sebahagian bersetuju dan sebahagian pula tidak. Suasana kembali sunyi.

     Abdul Mutalib tetap dengan pendiriannya lantas bersuara lembut, "Sedar ataupun tidak, selepas berkira-kira adakah kamu semua yakin mampu berhadapan dengan tentera Abrahah? Saya rasa kamu semua ada jawapannya. Dengarlah nasihatku sebagai orang tua kaum ini. Serahkan urusan Kaabah kepada tuannya. Dia lebih berhak dan layak mempertahankan rumahnya itu daripada serangan musuhnya."

     Kali ini, para pembangkang mula serba salah. Kata-kata Abdul Mutalib punya logiknya yang tersendiri. Tambahan pula Abdul Mutalib memang dikenali sebagai pemimpin yang sangat tegas dan berpegang pada kata-katanya.

     "Tidak mungkin Abdul Mutalib berbohong. Beliau tidak pernah mengungkapkan satu perkataan dusta walau sekali sepanjang hayatnya."

     Akhirnya kebanyakan daripada mereka mula yakin dengan ungkapan Abdul Mutalib sebelum ini.

     Salah seorang bertanya, "Baiklah sekiranya demikian, lalu bagaimana dengan kita? Apakah tindakan yang perlu kita ambil?"

     Abdul Mutalib diam sejenak. Matanya tertutup rapat dan kepalanya ditunduk menghadap tanah. Kemudian beliau membuka mata dan memandang ke arah Kaabah seraya kakinya melangkah ke arah itu.

     Kaum Quraisy hanya memerhatikan tingkah Abdul Mutalib. Selesai Abdul Mutalib bertawaf, beliau segera mendatangi kaumnya lalu berkata, "Selamatkanlah diri, keluarga, dan harta kita. Beredarlah ke kampung-kampung terpencil di luar kota. Kita nantikan sahaja Abrahah dan bala tentera diperangi tentera Tuhan. Apabila semuanya selesai, baru kita semua kembali ke sini semula."

     Seorang lelaki yang kurus dan tinggi lantas menyahut keras, "Kamu semua dengar apa yang diucapkan oleh Abdul Mutalib? Mari kita laksanakannya dengan segera!"

     Walaupun masih ada beberapa kerat yang tidak bersetuju dengan cara itu, bagi mereka ia seolah-olah menunjukkan mereka adalah pengecut.


===================


Tatkala Abrahah dan bala tenteranya tiba, dia terkejut sekali gus ragu. Dengan nada yang keras dan sombong dia berteriak, "Ke manakah semua penduduk kota Mekah? Apakah kamu semua sudah kecut perut sehingga sanggup menyerahkan kota Mekah secara percuma kepada kami? Mengapa kamu semua tidak menyerahkan diri kamu kepada aku?"

     Kata-kata itu diselangi dengan hilai tawa yang rakus diikuti oleh tenteranya.

     Ternyata laungan Abrahah tidak disahut. Beberapa lama menanti, dia kelihatan gelisah. Kemudian sekali lagi dia berteriak keras, "Tidak, ini adalah muslihat kamu semua! Ini adalah perangkap dan kamu sangka kami akan masuk ke dalam perangkap kamu semua! Wahai tenteraku, jangan kamu takut! Kaabah itu hanya bangunan biasa yang diperbuat daripada batu usang dan bukannya rumah Tuhan sebagaimana yang mereka dakwa."

     Sesudah berpidato ringkas bagi menaikkan semangat tenteranya, Abrahah kemudian mengarahkan tenteranya itu maju ke hadapan bagi memulakan serangan. Dia dengan angkuh dan bongkak memberi isyarat kepada penunggang gajah supaya mengepalai serangan.

     Abrahah berkata dengan penuh riak, "Kita pasti berjaya menakluki Kaabah dan seterusnya seluruh semenanjung Tanah Arab ini. Lihat sahaja kekuatan yang kita ada, dengan gajah ini, gunung pun dapat kita ratakan."

     Penasihat Abrahah yang turut berada di situ kemudian mengiakan apa yang dikatakan Abrahah, "Ya, tuanku. Saya juga yakin tuanku pemerintah ulung yang berjaya menakluki Tanah Arab yang tidak mampu ditakluki oleh Parsi dan Rom. Malah kelak kekuatan dan empayar tuanku lebih besar dan agung berbanding kedua-dua tamadun itu."

     Namun tiba-tiba kekecohan berlaku dalam kalangan tentera Abrahah. Gajah mereka tidak mahu maju dan hanya terpaku di tempatnya sahaja.

     Abrahah terkejut lantas bertanya, "Apakah yang sedang berlaku di hadapan sana? Mengapa tentera kita menjadi kucar-kacir?"

     Seorang tentera datang melaporkan dengan tercungap-cungap, "Tuanku, gajah kita tiba-tiba tidak mahu bergerak. Ia kini sedang mengamuk dan mencederakan ramai askar kita dan sudah ada yang terbunuh?"

     "Mengapa perkara ini berlaku?"

     "Tidak dapat dipastikan kerana ia berlaku secara tiba-tiba sahaja."

     Hati Abrahah gementar memikirkan yang benarlah dia sekarang sedang berhadapan dengan tuan kepada Kaabah, Tuhan sekalian alam.

     "Jangan pedulikan gajah itu. Arahkan semua tentera menyerang sekarang!"

     Abrahah sudah tidak dapat menahan perasaan risau dan marahnya. Ketika semua tentera sedang menyerang selepas menerima arahan daripada panglima angkatan tenteranya, tiba-tiba mereka dikejutkan dengan kejadian yang sangat aneh.

     Dari jauh mereka melihat segerombolan awan hitam likat yang hampir menutupi langit tiba dan menuju ke arah mereka di samping ada kelipan-kelipan yang kemerah-merahan bersamanya. Bunyi ciapannya sangat menggerunkan kerana jumlahnya yang banyak itu.

     Tentera Abrahah gempar. "Bala Tuhan sudah sampai, kita pasti hancur!"

     "Selamatkan diri!"

     "Berlindunglah!"

     "Itu adalah burung yang bersama mereka adalah batu yang sangat panas."

     "Bagaimana mungkin burung-burung itu membawa batu yang sangat panas itu dengan paruh mereka?"

     "Ini adalah kerja Tuhan. Kita sudah menyebabkanNya marah kerana mengikut perintah raja supaya menyerang rumahNya! Kita akan musnah dengan hina!"

     Seraya itu, burung-burung itu pun melepaskan batu-batu api yang dibawa bersama dan tentera Abrahah pun dihujani batu api yang sangat dasyat. Apabila terkena batu-batu itu, segera kulit dan daging mereka luruh ke bumi termasuk binatang-binatang tunggangan mereka. Gajah yang besar dan gagah itu juga tidak terkecuali.

     Akhirnya, hampir semua tentera yang mati katak dan yang sempat kembali ke Yaman juga akhirnya menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan yang sangat ngeri dan azab. Termasuk juga Abrahah.

     Kaum Arab Quraisy kemudian mengetahui apa yang berlaku segera bersorak riang.

     "Tentera Tuhan sudah menyelamatkan kita, Tuhan sudah menghantarkan tenteranya sendiri."

     "Benar kata Abdul Mutalib, hanya Tuhan yang mampu membinasakan tentera sekuat itu."

     Di kediaman Abdul Mutalib dan Aminah, kelihatan mereka juga sedang bergembira kerana kota Mekah selamat.

     Abdul Mutalib mendapatkan Aminah lalu berkata, "Wahai Aminah, firasatku mengatakan, kejadian ini berlaku kerana kandunganmu. Insan yang berada dalam kandunganmu adalah insan pilihan Tuhan. Hanya dengan keberkatannya kita selamat daripada tentera Abrahah itu. Segalanya menjadi indah dan sempurna sejak kehadirannya. Ayah dapat rasakan yang dia bakal mendapat kedudukan yang paling mulia kelak."

     Aminah hanya mampu tersenyum dan berdoa dalam hatinya. Sekali-sekala bayangan Abdullah menjelma dan dia pun meluahkan apa yang mahu dikongsinya kepada bayangan itu.

     "Semoga ada bayangan kanda pada anak kita ini." Aminah terus tersenyum sendirian.




P/S :  DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI-SRIKANDI YANG BENAR, DITULIS OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI

No comments:

Post a Comment