Wednesday 11 January 2017

KESABARAN RAMLAH DIGANJAR ALLAH






KESABARAN RAMLAH DIGANJAR ALLAH








"Iman dan taqwa ini
Telah begitu menusuk jiwanya
Hingga pujukan ayahnya
Gagal melenturkan hatinya
Ayahnya Musyriq, suaminya Nasrani
Wahai Ramlah, kesabaranmu diganjar Allah
Ayahmu menjadi Muslim dan suamimu kini
Rasulullah."




Ramlah binti Abu Sufyan ialah puteri Abu Sufyan Ibni Harb, seorang pemimpin Quraisy yang menjadi penentang hebat kepada Rasulullah. Tiada seorang pun dari kaum Muysrikin Mekah yang berani menentang Abu Sufyan yang zalim itu melainkan puterinya sendiri. Ramlah dan suaminya, Ubaidullah bin Jahsy telah memilih agama Islam sebagai pegangan hidup mereka. Ubaidullah adalah saudara Zainab binti Jahsy, isteri kepada Rasulullah.

     Abu Sufyan mencuba sedaya upaya untuk memujuk puterinya itu pulang kepada agama asal mereka namun tidak berjaya kerana iman dan taqwa telah menusuk hati dan jiwa mereka. Abu Sufyan hilang sabar dan api kemarahan terhadap puterinya meluap-luap.

     Melihat keadaan ini, kaum Musyrikin mengambil kesempatan untuk mengenakan tekanan yang lebih berat dengan melakukan pelbagai seksaan ke atas Ramlah dan suaminya. Apabila penyeksaan kaum Musyrikin ke atas kaum Muslimin menjadi lebih dasyat, Rasulullah mengizinkan mereka berhijrah ke Habsyah. Ketika melakukan penghijrahan ini, Ramlah melahirkan seorang puteri yang dinamakannya Habibah. Sejak itu, Ramlah telah diberi julukan Ummu Habibah.

     Abu Sufyan dan para pemimpin Quraisy yang lain tidak dapat menerima kekalahan ini. Mereka tidak sangka kaum Muslimin dapat melarikan diri dari tawanan mereka. Lalu mereka menghantar utusan ke Hasbyah dan menemui Najasyi, Raja Habsyah. Mereka cuba meracuni fikiran Raja Habsyah itu dan meminta supaya semua kaum Muslimin diserahkan kepada mereka.

     Namun setelah meminta penjelasan dari kaum Muslimin, Raja Habsyah terasa kebenarannya. Lalu Raja Habsyah mengaku beriman kepada Allah dan RasulNya sekali gus memilih Islam sebagai agamanya. Beliau turut berikrar untuk melindungi semua kaum Muslimin yang berada di negaranya.

     Walaupun kaum Muslimin di Habsyah mendapat perlindungan dari Raja Habsyah, perjalanan hidup Ramlah menjadi lebih sukar selepas itu. Suaminya meninggalkan agama Islam dan memeluk Nasrani. Malah beliau cuba mempengaruhi Ramlah untuk menganut agama Kristian ini namun Ramlah tidak berganjak walau sedikit pun. Beliau tetap teguh dengan keimanannya dan cuba menjauhkan diri dari suaminya.

     Tidak lama selepas itu, Ramlah mengasingkan dirinya dari orang ramai. Oleh kerana beliau tidak mempunyai ramai kenalan di Habsyah, Ramlah lebih suka menyendiri. Hanya puterinya, Habibah dan keimanannya kepada Allah menjadi penghibur hatinya. Ramlah tidak tahu apa yang harus dilakukannya. Beliau tahu jika beliau pulang ke Mekah sudah pasti beliau akan diburu oleh kaum Musyrikin di sana. Namun di Habsyah pula, beliau tidak mampu menyara hidupnya bersama anaknya. Kerunsingan menyelubungi Ramlah ketika ini.

     Hari demi hari, Ramlah meniti hidup dengan penuh kesepian. Suatu hari, pintu rumahnya diketuk. Salah seorang dayang Raja Habsyah telah datang untuk menyampaikan suatu berita baik kepadanya. Raja telah meminta supaya Ramlah memilih seorang wakil yang akan menikahkannya dengan Rasulullah. Ini kerana Rasulullah ingin meminangnya dan telah meminta bantuan Raja Habsyah bagi melakukan peminangan itu untuknya. Ramlah terharu.

     Lalu, Ramlah mewakilkan dirinya kepada Khalid bin Said bin Al-Ash untuk menikahkannya dengan Rasulullah. Pernikahan itu berjalan sempurna sedangkan pengantin lelaki berada di Madinah. Kejadian ini telah dijadikan satu syariat di mana pernikahan boleh dijalankan jika salah seorang daripada pengantin itu diwakili oleh orang lain untuk menerima akadnya.

     Peristiwa itu disaksikan oleh seluruh kaum Muslimin yang merasa amat gembira. Ramlah menjadi begitu tenang kerana telah mendapat pengganti yang jauh lebih baik dan mulia dari suaminya yang murtad itu. Kini beliau tidak merasa keseorangan lagi. Ramlah terus menetap di Habsyah dan melakukan ibadat kepada Allah sehingga beliau berhijrah ke Madinah.

     Selang beberapa tahun, umat Islam menyaksikan beberapa peperangan yang hebat sepert Perang Badar, Uhud dan Khandaq. Suatu hari, ketika umat Islam di Madinah sedang menunggu ketibaan Rasulullah dan para pejuang dari medan perang, mereka dikejutkan dengan ketibaan dua buah kapal yang membawa semua kaum Muslimin dari Habsyah. Jadi, kaum Muslimin di Madinah pada ketika itu menyambut dua kegembiraan serentak.

     Apabila sampai di Madinah, Rasulullah pergi menemui Ramlah atau dengan panggilan Ummu Habibah yang tidak sabar-sabar menunggu kedatangan Rasulullah. Baginda menyambut Ummu Habibah dengan penuh kemesraan. Kemudian Ummu Habibah dibawa ke rumah Rasulullah.

     Walaupun mendapat kedudukan yang sangat mulia di sisi Rasulullah, Ramlah tetap merasa sedih dan pilu. Ini kerana ayahnya, Abu Sufyan masih lagi berada di dalam kekufuran. Mungkin disebabkan nasib keluarganya yang masih musyrik, Ramlah tidak mahu mencampuri mana-mana isteri-isteri Rasulullah. Beliau tidak mahu sampai di antara mereka yang akan mencaci dan menghina ayahnya yang sangat berdendam dengan kaum Muslimin terutama Rasulullah.

     Pada suatu hari, Ramlah teramat terkejut apabila mendapati ayahnya, Abu Sufyan telah masuk ke rumahnya tanpa pengetahuan sesiapa. Sejak Ramlah berhijrah ke Habsyah sehingga kini beliau tidak pernah bersua muka dengan ayahnya lagi.

     Sebenarnya kedatangan Abu Sufyan ke Madinah ialah membawa utusan untuk berdamai dengan Rasulullah. Beliau telah pergi ke rumah Ramlah untuk melihat bagaimana keadaan puterinya selama ini. Namun, apabila Ramlah melihat ayahnya berdiri di hadapannya, beliau berasa hairan bercampur bimbang. Apabila ayahnya cuba meletakkan punggung di atas tikar Rasulullah, Ramlah telah menariknya sambil berkata: "Itu adalah tempat duduk Rasulullah. Ayah tidak layak duduk di atas tikar itu kerana ayah seorang musyrik." Abu Sufyan merasa marah bercampur pilu dengan sikap puterinya itu lalu meninggalkan puterinya.

     Abu Sufyan menemui Rasulullah dan cuba memujuk baginda supaya menerima perdamaian dengan kaum Quraisy, namun baginda menolak. Teman-temannya yang lain seperti Abu Bakar, Uthman dan Ali juga menolaknya. Lalu Abu Sufyan pulang ke Mekah dengan membawa perutusan kepada kaum Quraisy bahawa kaum Muslimin akan memerangi mereka dan menawan Mekah.

     Tidak lama kemudian, tentera Muslim mula bergerak menuju Mekah. Ummu Habibah merasa tertekan mengenangkan nasib suaminya yang akan menentang ayahnya di Mekah. Di hatinya tercetus kebimbangan dan kepiluan terhadap ayahnya yang masih kafir itu. Lalu Ummu Habibah teringat akan firman Allah yang bermaksud:

     "Mudah-mudahan Allah menimbulkan kasih sayang antaramu
     dengan orang-orang yang kamu musuhi di antara mereka. Dan
     Allah adalah Maha Kuasa. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha 
     Penyayang." (Al-Mumtahanah: 7)

Bala tentera Muslimin berjumlah 10,000 orang. Mereka berkhemah di luar kota Mekah. Dalam masa yang sama, Abu Sufyan keluar mengintip kawasan perkhemahan Muslimin itu. Mujur beliau ditemui oleh Al-Abbas bin Abdul Mutalib yang sedang berkawal di kawasan itu. Al-Abbas menasihati Abu Sufyan supaya segera bertaubat dan menemui Rasulullah. Namun beliau bimbang Rasulullah tidak menerimanya. Lalu Al-Abbas berkata, Islam itu sendiri adalah jalan menghapuskan dosa. Beliau meminta Abu Sufyan tidak merasa bimbang dan memberi jaminan beliau tidak akan diapa-apakan. Abu Sufyan pun menerima ajakannya dan bersetuju bertemu Rasulullah dan menyatakan keimanannya.

     Lalu Al-Abbas membawa Abu Sufyan menemui Rasulullah di khemahnya. Ketika membawanya, Saidina Umar terserempak dengan mereka dan hampir menetak kepala Abu Sufyan namun dihalang oleh Al-Abbas. Al-Abbas menyatakan Abu Sufyan sekarang di bawah perlindungannya. Rasulullah menerima pengakuan Al-Abbas itu dan memerintahkan supaya Abu Sufyan berlindung di khemah Al-Abbas hingga esok hari.

     Keesokan harinya, Abu Sufyan dibawa menghadap Rasulullah dan para Muslimin yang lain. Abu Sufyan pun mengisytiharkan keislamannya dan mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan Rasulullah.

     Berita keislaman Abu Sufyan akhirnya sampai ke telinga Ummu Habibah. Ummu Habibah begitu gembira lalu melakukan sujud syukur.

     Demikianlah hebatnya cabaran yang telah dilalui oleh Ramlah binti Abu Sufyan atau lebih dikenali dengan julukan Ummi Habibah. Beliau telah melalui segala pahit getir kehidupan dan berjaya menghadapinya satu demi satu. Ummi Habibah telah meninggal dunia di Madinah pada tahun 44 hijrah. Sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir, beliau telah memohon maaf kepada Aisyah dan Ummi Salamah di atas segala kesalahannya. Mereka juga telah memaafkannya.




N / F : DARIPADA "RIWAYAT BIDADARI SYURGA", OLEH MUNIF AHMAD.






No comments:

Post a Comment