CABARAN DEMI CABARAN
Apakah perkara yang menjadikan kehidupan manusia itu kehidupan yang bermakna? Apabila wujudnya cabaran. Cabaran itu didatangkan oleh siapa?
Allah SWT.
Walaupun mungkin pada zahirnya kita melihat yang menganiayai adalah sahabat kita. Walaupun yang kita nampak memecah rumah kita adalah pencuri. Walaupun yang memukul kita adalah seorang pembuli. Walaupun yang menyakitkan kita adalah kerja yang bertimbun. Walaupun yang menyebalkan kita adalah kesesakan jalan raya.
Sebenarnya, Allah yang mendatangkan cabaran itu kepada kita.
Bukan sekadar saja-saja.
Tetapi, mahu menguji adakah kita benar-benar hamba-Nya.
Ya, Kita Lelah
Tidak sembuh kecederaan semalam, hari ini muncul pula luka baru. Kita berasa lelah. Berasa penat. Berasa bosan. Ayat kasarnya, kita jemu. Tidak kira apa pun pekerjaan kita, bagaimana pun sikap kita, dan apa pun status kita, cabaran tetap wujud bersama perjalanan hidup kita.
Ini adalah hakikat yang perlu kita terima.
Kita hanya hamba-Nya, tidak layak berkata apa. Melainkan kita berhadapan sahaja dengan cabaran dan dugaan yang terbentang di hadapan. Siapakah kita? Kita hanya hamba-Nya. Hakikat itu perlu dipahat dengan kemas dalam jiwa kita.
Namun, adakah Allah SWT sebagai Tuan dan Tuhan kita, sekadar suka-suka sahaja melihat kita berhadapan dengan kesukaran demi kesukaran yang mendatang?
Tidak.
Dalam ruang dalam kesukaran ini, Dia tidak meninggalkan kita sebenarnya.
Tidak Pula Kita Nampak
Wahai manusia-manusia yang berasa dirinya ditinggalkan Allah! Wahai manusia-manusia yang merasai dirinya tidak diperhatikan Allah! Wahai manusia-manusia yang berasa dirinya dibuli oleh takdir! Wahai manusia-manusia yang berasa dirinya dizalimi sepanjang kehidupan ini!
Perhatikan penjelasan Allah kepada kepada rasul-Nya, maksud dalam surah Ad-Dhuha ayat 1 hingga 11. Kemudian, disampaikan kepada kita bagi menyedari kebenarannya.
1. Demi waktu dhuha.
2. Dan malam apabila ia sunyi-sepi.
3. Bahawa Tuhanmu wahai Muhammad tidak meninggalkanmu
dan tidak benci kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh
kaum musyrik.
4. Sesungguhnya, kesudahan keadaanmu adalah lebih baik
bagimu daripada permulaannya.
5. Dan kelak, Tuhanmu memberikanmu kejayaan dan
kebahagiaan di dunia dan akhirnya sehingga engkau berpuas
hati.
6. Bukankah dia mendapati engkau yatim piatu, lalu ia
memberikan perlindungan?
7. Dan didapati-Nya engkau mencari-cari jalan yang benar, lalu
Ia memberikan hidayah petunjuk dengan wahyu Al-Quran?
8. Dan didapati-Nya engkau miskin iaitu yatim piatu, lalu
Ia memberikan kekayaan menjadi rasul yang membawa
risalah?
9. Oleh itu, jangan engkau berlaku kasar terhadap anak-anak
yatim.
10. Adapun terhadap orang yang meminta bantuan pimpinan,
jangan engkau menengking herdiknya.
11. Adapun nikmat Tuhanmu, hendaklah engkau sebut-sebutkan
sebagai bersyukur kepada-Nya.
Perhatikan ayat-ayat di atas. Kata-kata pujukan yang menghangat. Siapakah yang menyatakan dirimu ditinggalkan, wahai manusia? Siapakah yang menyatakan dirimu dizalimi, wahai manusia?
Tahukah kamu wahai manusia, apakah surah yang diturunkan selepas surah Ad-Dhuha? Bacalah.
1. Bukankah Kami sudah melapangkan bagimu dadamu wahai
Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayah
petunjuk?
2. Kami meringankan daripadamu bebanmu dalam menyiarkan
Islam.
3. Kami meringankan tanggunganmu dengan memberikan
berbagai kemudahan dan melaksanakannya?
4. Kami meninggikan bagimu sebutan namamu dengan
mengurniakan pangkat nabi dan pelbagai kemuliaan?
5. Oleh itu, tetapkan kepercayaanmu bahawa sesungguhnya
setiap kesukaran disertai kemudahan.
6. Sekali lagi ditegaskan bahawa sesungguhnya setiap
kesukaran disertai kemudahan.
7. Kemudian, apabila engkau selesai daripada sesuatu
amal soleh, bersungguh-sungguhlah engkau berusaha
mengerjakan amal soleh yang lain.
8. Kepada Tuhanmu sahaja engkau memohon apa yang engkau
gemar dan ingini.
Maksud dalam surah Asy-Syarh ayat 1 hingga ayat 8. Siapakah yang berani menyatakan bahawa Allah meninggalkannya sekarang?
Tusukkanlah ayat-ayat ini dalam jiwamu, wahai insan. Adakah kita manusia yang tidak memerhatikan semua ini?
Bukan Ditinggalkan, Tetapi Kita yang Meninggalkan
Hakikatnya, kita lemah apabila diduga dengan pelbagai cabaran hidup. Akhirnya, yang membuatkan kita tersungkur cacat adalah disebabkan oleh diri sendiri yang meninggalkan Allah SWT sebagai sumber kekuatan diri.
Allah tidak pernah menzalimi para hamba-Nya. Tetapi, para hamba-Nya sahaja yang menzalimi diri mereka sendiri.
Zalim bermaksud tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Semua manusia lahir di atas fitrah Islam. Tetapi, kita tidak meletakkan diri kita dalam Islam dengan sebenar-benarnya. Fitrah kita adalah mengakui bahawa Allah adalah Ilah kita, Rab kita, tetapi pada hari ini, kita bertindak sedemikian rupa. Kita memagari Islam hanya dalam masjid sahaja. Kita hanya mengingati Allah ketika saudara-mara kita meninggal dunia sahaja.
Adakah kita mempunyai kekuatan terhadap cabaran yang datang?
Kepada siapa kita hendak berpaut?
Adakah kepada mereka yang turut menghadapi cabaran?
Oh, sesungguhnya kita menzalimi diri!
Cabaran Hanya Terhenti Apabila Mati
Kenapa diri saya dan semua, kembar kehidupan ini adalah ujian. Sekiranya bukan, maka Adam a.s. tidak tercampak keluar dari syurga Allah SWT.
Cabaran sentiasa mengejar kita. Walaupun kita hanya berdiam diri tanpa melakukan apa-apa. Dengan memasung diri daripada tidak melakukan apa-apa, kerana takutkan cabaran adalah tindakan yang kurang bijak.
Oleh itu, marilah kita bangkit bersama-sama. Merentasi segala lautan cabaran dan dugaan yang wujud dalam kehidupan kita ini. Kunci bagi kekal tabah merentasinya adalah dengan menghubungkan kita kepada Pencipta cabaran. Dia adalah Allah yang Maha Berkuasa lagi Maha Perkasa.
Sekiranya kita tidak kembali kepada-Nya, sesungguhnya kita hanya tersungkur dan tidak mampu bangkit semula.
Dia sedang menghulurkan tangan-Nya sekarang, adakah pantas kita melewat-lewatkan diri bagi menyambut huluran-Nya?
Sekiranya kita sengaja melewatkan diri, ketahuilah apabila kita gugur dihentam badai cabaran nanti, kita adalah orang yang rugi.
N / F : DARIPADA "UNTUK KITA PENDOSA, HARAPAN SELALU ADA", OLEH HILAL ASYRAF.
No comments:
Post a Comment