Tuesday 10 November 2015

RABIATUL ADAWIYAH [ BAB 7 - UJIAN PERTAMA ]






UJIAN PERTAMA




Bukankah Allah pernah menyatakan, jangan manusia itu berasa mereka sudah beriman sehingga mereka itu diuji. Sudah tentunya ujian itu juga adalah rencah kehidupan. Nabi-nabi dan rasul-rasul terdahulu juga tidak terlepas daripada ujian, malah mereka menanggung beban ujian itu hingga ada yang terpilih dan bergelar Ulul Azmi.

     Namun Allah juga menyatakan, ujian yang ditimpakan oleh-Nya hanya bersesuaian dengan kemampuan hamba itu, bergantung pada hamba itu jua akhirnya bagi menterjemahkan ujian itu dengan reaksi yang pelbagai.

     Antara ujian yang paling besar dalam hidup seorang manusia adalah kematian orang tersayang, apatah lagi pada saat mereka amat memerlukan. Walau bagaimanapun, kematian adalah perihal yang nyata dan wajib ke atas setiap yang bernyawa. Tatkala ia datang, tidak mungkin diawalkan ataupun dilewatkan walaupun sesaat.

     Suasana Basrah gempar pada hari itu. Kedengaran orang ramai yang berada di pasar Basrah berbicara sesama mereka, "Tahukah tuan, seorang hamba Allah yang sangat zuhud dan warak sudah meninggal semalam?" beritahu Mahmud, seorang saudagar kurma di pasar itu.

     "Kami ada mendengar berita itu, namun siapakah yang dimaksudkan?" tanya Yusra yang berniaga barangan besi.

     "Sekiranya tidak silap orang itu dikenali sebagai Ismail al-Adawiy," jawab Mahmud kembali.

     "Bukankah dia seorang guru Quran yang zuhud lagi warak. Ramai orang Basrah berguru kepadanya." Yusra mengagak.

     Tiba-tiba Halim, yang berniaga daging unta meluru ke arah mereka kerana tertarik dengan perbincangan saudagar-saudagar itu. "Apakah tuan berdua sedang bicarakan tentang Ismail al-Adawiy?" Dia lantas bertanya.

     "Benar," jawab mereka serentak.

     Halim pun menerangkan, "Orang warak lagi zuhud yang tuan berdua maksudkan memang Ismail al-Adawiy. Saya sempat menghadiri majlis pengebumian beliau semalam." Dia menyambung lagi, "Saya seakan tidak percaya kerana hampir semua ulama, orang soleh, ahli ibadah dan golongan pemerintah di Basrah hadir semasa pengebumiannya. Sesungguhnya dia seorang yang tinggi darjatnya di sisi Allah."

     Yusra kemudian berkata, "Memang Allah itu maha pengasih lagi maha penyayang. Mereka yang dekat dengan Allah walaupun dengan mata kasar kita melihat mereka susah, namun sebenarnya mereka hanya perlu bersabar sedikit bagi mendapatkan kekayaan, kesenangan dan kenikmatan yang hakiki di akhirat."

     Mahmud mencelah, "Alangkah bahagianya mereka yang diredai Allah ini, baru sahaja meninggal dunia sudah mendapat kemuliaan daripada Allah. Bukankah Rasulullah juga pernah menyatakan yang lubang kubur itu menjadi salah satu taman dari taman-taman syurga."

     Mereka terus berbicara sambil memuji-muji Ismail. Memang itulah yang sebaik-baiknya, bercakap perkara-perkara yang baik sahaja tentang orang yang sudah meninggal dunia.

     Belum pun reda Rabiah adik-beradik menanggung pilu di atas kehilangan ayah mereka, kini ibu mereka pula yang mengikut jejak bapa mereka ke alam baqa. Ketiga-tiga kakak Rabiah menjadi serba tidak kena dan mereka bagaikan hilang punca. Luluh semangat dan jiwa mereka kerana kehilangan kedua-dua insan yang paling mereka kasihi dan cintai itu.

     Namun apa yang menghairankan mereka, Rabiah tidak menunjukkan sebarang reaksi dengan kehilangan itu. Kakak sulung mereka kurang senang dengan kelakuan adik bongsunya itu. "Adikku Rabiah, apakah kamu tidak berasa sedih atas kehilangan kedua-dua oranng tua kita? Kakak lihat kamu seakan tidak kisah pun dengan pemergian ayah dan ibu."

     Kakak Rabiah yang kedua juga sependapat dengan kakak sulung mereka. "Kakak juga perasan yang kamu tidak bersedih sejak kematian ayah. Bukankah ayah dan ibu amat menyayangi kita semua terutamanya kamu? Adalah tidak wajar sekiranya kamu bersikap begini."

     Kakak ketiganya datang mendekati kakak-kakaknya yang lain lalu menyatakan hasrat hatinya, "Kakak-kakakku, janganlah kamu marahkan adik kita ini. Sesungguhnya dia hanya berzikir dan beribadat kepada sang pencipta. Biarkan dirinya dengan keasyikan cintanya kepada Allah. Saya lebih khuatir sekiranya adik kita ini terjerumus ke lembah maksiat. Tambahan pula saya yakin roh ibu dan ayah amat bahagia dan tenteram di alam yang lain dengan menerima pahala-pahala yang disampaikan oleh Rabiah."

     Rabiah akhirnya bersuara, "Kakak-kakakku yang dikasihi, sesungguhnya saya amat sayang kepada ibu dan ayah kita. Cuma kecintaan saya kepada Allah melebihi segala-galanya. Saya yakin hanya kecintaan mutlak kepada Allah, kita dan orang sekeliling terselamat daripada api neraka di akhirat nanti."

     Kakak ketiga Rabiah cuba meleraikan suasana sayu di dalam pondok kecil mereka itu. "Tidak mengapa adikku, kami tidak salahkan kamu. Janganlah kamu terasa hati dengan ungkapan-ungkapan kami tadi."

     Rabiah dengan nada saya menjawab, "Tiada lain di hati saya ini melainkan kecintaan kepada Allah sahaja. Saya juga yakin ibu dan ayah terus berbahagia di alam sana sekiranya kita adik-beradik menjadi hamba Allah yang solehah. Kakakku, tiada gunanya seorang hamba Allah yang dikurniakan segala kesempurnaan tenaga dan anggota, namun pada masa yang sama terus mensia-siakan nikmat itu untuk maksiat, bersedih dan membazir. Bukankah setiap anggota itu mempunyai hak bagi beribadah kepada Allah."

     Kakak kedua Rabiah yang mereka bertindak sedikit kasar dengan adik bongsu mereka yang sangat mudah tersentuh itu. Dia lantas mendatangi Rabiah dan memeluknya. "Kami hanya merisaukan kesihatan kamu. Kamu asyik berzikir dan beribadah kepada Allah hingga lupa pada makan dan minum. Badan kamu juga sudah kurus kering jadinya. Bukankah Rasulullah juga pernah menegur para sahabat yang sentiasa sembahyang tanpa henti, berpuasa berpanjangan dan hanya mahu duudk di masjid hingga mengabaikan tanggungjawab dan kewajipan yang lain."

     Kakak sulung mereka turut menitiskan air mata. "Janganlah kamu salah sangka. Kami sememangnya amat menyayangi kamu. Ibu dan ayah sudah mengamanahkan kamu kepada kami. Kami tidak mahu dianggap khianat kepada amanah ibu dan ayah sekiranya mereka melihat keadaanmu ini."

     Rabiah juga sudah tidak mampu menahan kelopak mata yang bertakung. "Cukuplah Allah sebagai penjaga saya. Janganlah kakak semua risaukan diri saya selagi mana melihat saya asyik mecintai Allah. Yakinlah kakak-kakakku, Allah itu maha pelindung. Sekiranya sudah takdirnya musibah itu untuk kita, kita semua perlu reda. Ketahuilah yang musibah itu lebih berhak untuk diri saya sekiranya demikian Allah tetapkan."

     "Begitu hebat sekali cintamu kepada Allah. Kami berbangga kerana kamu adalah adik kami." Kakak ketiga Rabiah meluahkan rasa hatinya.

     "Dahulu kami amat terkejut apabila ayah menamakan kamu Rabiah. Kami amat tidak bersetuju. Namun ayah tetap berkeras tanpa diketahui sebabnya. Apabila ditanya, ayah hanya membisu." Kakak kedua Rabiah mengimbas saat mereka menerima Rabiah sebagai ahli keluarga mereka yang baru.

     "Kini, yakinlah kami yang ayah sebenarnya mendapat ilham daripada Allah sendiri khusus untuk kamu. Kamu sangat bertuah dan kami juga tumpang beruntung kerana adik kami adalah kekasih Allah yang sentiasa dekat dengan-Nya. Tiada kebahagiaan yang mampu mengatasi kenyataan ini."

     "Bukankah kita juga pernah diceritakan oleh ayah perihal mimpinya berjumpa Rasulullah yang datang membawa perkhabaran tentang diri kamu. Ayah dipesan oleh Rasulullah dengan mengatakan yang kamu bakal menjadi orang yang mulia dan tinggi darjatnya di sisi Allah dan rasul." Kakak sulung Rabiah menceritakan kembali perihal ayah mereka.

     "Bukan itu sahaja, ayah juga diarahkan oleh Rasulullah supaya berjumpa dengan Raja Basrah. Ayah dianugerahkan empat ratus keping dinar emas oleh Sultan Isa Bazan selepas ayah menyerahkan sekeping surat yang menceritakan perihal mimpinya pada malam sebelumnya." Kakak Rabiah yang ketiga menambah.

     "Kami sekeluarga sangat merasai perbezaannya selepas kamu menjadi ahli keluarga kami. Kami tidak menyalahkan kamu dengan jalan yang kamu pilih sekarang."

     "Terima kasih kakak-kakakku, hanya Allah yang mampu membalas kebaikan kakak semua. Mari beribadah bersama-sama saya. Insya-Allah roh ibu dan ayah sentiasa tenang dan gembira di sana dengan kehadiran amal pahala kita ini."




N / F : DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI SRIKANDI YANG BENAR, OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.

No comments:

Post a Comment