Sunday 1 November 2015

FATIMAH [ BAB 14 - KELAHIRAN HASAN ]






KELAHIRAN HASAN




Beberapa agamawan dan cendekiawan berwacana sesama mereka di suatu tempat. Isunya perihal larangan Rasulullah kepada Ali untuk berkahwin lagi, yakni memadukan Fatimah.

     Agamawan yang pertama berkata sambil membelek-belek lembaran-lembaran yang tercatat rekod sejarah perihal keluarga Rasulullah, "Sehingga kini saya masih kurang pasti apakah sebab yang sebenar Rasulullah menghalang Ali daripada menikah lagi?"

     "Sekiranya saya dapat lontarkan pandangan saya," ucap agamawan yang kedua dengan tertib dan lemah lembut, "Ada beberapa kesimpulan penting yang dapat kita cerapkan sepanjang peristiwa itu berlaku.

     Pertama, Ali tidak dibenarkan berkahwin lagi kerana kedudukan Fatimah di samping Rasulullah sangat tinggi dan penting. Malah, Fatimah sangat istimewa sehingga Rasulullah sedia membuat kenyataan, 'Fatimah adalah sebahagian daripada diriku, menyakiti Fatimah bererti menyakiti diriku.'

     Kedua, merujuk kepada ucapan Rasulullah yang berbunyi, "Aku khuatirkan agamanya."

     Ketiga, beliau juga ada membuat kenyataan jelas yang bermaksud, "Tidak akan pernah berkumpul di bawah satu bumbung antara puteri Rasulullah dan puteri musuh Allah."

     Daripada hal ini, kita tidak dapat menyimpulkan yang Rasulullah sudah membenci Ali kerana Rasulullah tidak menghalang keinginan Ali mahu menikah lagi. Namun dengan syarat mestilah menceraikan terlebih dahulu Fatimah. Selepas itu, Ali pun tersedar dan berjanji tidak akan lagi melakukan ataupun mengatakan perkara yang akan menyakiti Fatimah, sekaligus menyakiti Rasulullah sendiri."

     Agamawan ketiga kemudian menyambung, "Ya, kita semua maklum pernikahan Ali dengan wanita lain tidak pernah terjadi. Ia akan direkodkan dalam sebahagian hadis Rasulullah sendiri. Kita perlu jelas dan faham setiap perkataan yang dilafazkan oleh Rasulullah bukanlah kehendak diri dan nafsu Rasulullah sendiri melainkan semuanya adalah ilham daripada Allah. Ini bermakna marahnya Rasulullah adalah marahnya Allah. Tidak setuju Rasulullah adalah tidak setuju Allah dalam masa yang sama."

     Beliau kemudian menyambung, "Menurut al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani dalam kitabnya Fathul Bari, perkahwinan antara Ali dan Fatimah berlangsung pada tahun kedua Hijrah. Namun ada khilaf dalam kalangan para ulamak perihal masa Ali melamar anak Abu Jahal untuk dijadikan isteri. Ada beberapa versi sebenarnya. Ada yang menyatakan Ali melamar kemudian pihak perempuan meminta Ali bertanyakan Rasulullah terlebih dahulu. Kemudian Ali membatalkan hasratnya apabila tidak mendapat kebenaran tuntas melainkan dengan syarat menceraikan Fatimah. Lantas, beliau membatalkan hasratnya itu."

     Agamawan yang pertama dan kedua mengangguk faham. Kemudian agamawan yang kedua cuba lagi mendapatkan kesimpulan daripada ulama-ulama lain dengan berkata, "Seingat saya, Ibnu al-Tin memberikan komentarnya yang berbunyi, 'Kesimpulan daripada kisah ini, Rasulullah menghalang Ali memadukan isterinya iaitu Fatimah dengan puteri Abu Jahal adalah kerana hal itu menyakiti hati Rasulullah dan juga hati Fatimah. Tentu sahaja kaum Muslimin bersetuju sekiranya dikatakan menyakiti hati Rasulullah adalah haram di sisi agama Islam."

     "Namun dalam masa yang sama Rasulullah menyatakan, 'Aku tidak mengharamkan yang halal dan tidak pula menghalalkan yang haram'. Ini membawa makna bukanlah menjadi dosa dan haram kepada sesiapa, malah Ali boleh berkahwin dengan anak Abu Jahal itu sekiranya dia belum menjadi suami kepada Fatimah. Justeru, menyatukan puteri Rasulullah dengan puteri musuh Allah adalah haram hukumnya bagi sesiapa sahaja, kerana ia akan menyakiti hati Rasulullah."

     Agamawan pertama yang masih terdiam sedari dari awal perbincangan mula bersuara, sambil tangannya membelek-belek kitab Fathul Bari karya Ibnu Hajar al-Asqalani.

     "Menurut Ibu Hajar al-Asqalani, beliau menyatakan larangan itu hanyalah berkaitan dengan Fatimah sahaja, tidak kepada puteri-puteri lain kerana Fatimah yang mempunyai kedudukan istimewa di hati Rasulullah sendiri. Selayaknya beliau mendapat penghormatan yang begitu tinggi daripada ayahandanya kerana keberkatan akhlaknya, jiwanya yang bermujahadah. Apatah lagi, kecintaan Allah kepada dirinya dan segala keistimewaan lain yang pernah dikurniakan kepada wanita-wanita terpilih sebelum dirinya, seperti Maryam binti Imran, Asiyah isteri Firaun dan Khadijah binti Khuwailid bondanya sendiri, ada pada dirinya seorang."

     "Ibundanya pula dicintai oleh Rasulullah. Wanita pertama yang menyahut seruan dakwah Rasulullah, yang berhabis harta tanpa merungut demi dakwah dan Islam. Ibundanya adalah satu-satunya isteri yang meninggal mendahului baginda Rasulullah, sehingga menyebabkan kematiannya menyebabkan Rasul yang mulia itu berduka lantas dipujuk Allah dengan peristiwa Israk dan Mikraj. Khadijah, sehingga akhir hembusan nafasnya tidak pernah sekalipun dimadukan oleh Rasulullah dengan perempuan lain."

     Kesemua mereka berisitghfar panjang.

     Khali sebentar.

     Kemudian agamawan yang pertama kembali bertanya, "Ceritakanlah kepada kami mengenai kemuliaan puteri Rasulullah itu?"

     Agama kedua dan ketiga berpandangan. Kemudian agamawan yang ketiga berkata, "Silakan, saudaraku. Ini kerana kami semua tahu, antara semua, kamulah yang paling fasih dan rajin menelaah perihal ahlul bait Rasulullah."

     Dengan rendah diri beliau kemudian berkata, "Sekiranya begitu dengan penuh hormat saya menceritakan serba sedikit yang saya tahu dan baca."

     "Silakan." Serentak kedua-dua sahabatnya menyahut.

     Beliau menghirup nafas yang dalam. Mata terpejam seraya dilepas perlahan-lahan dan mulailah dia menuturkan ibrah daripada kisah-kisah puteri kecintaan Rasulullah itu.

     Cerita beliau, "Ada banyak kisah Fatimah yang indah dan bagus dijadikan teladan serta rujukan ummah. Tidak wajar kita sebagai pencinta Rasulullah dan ahli keluarganya, melepaskan walaupun secebis detik daripada kisah-kisah itu. Antara kisah yang menjadi bualan sepanjang zaman adalah perihal akhlaknya yang sempurna. Beliau adalah tauladan utama bagi setiap muslimah sezaman dan selepasnya."

     "Tatkala terlihat akan ayahanda sekalung rantai pada lehernya dan menimbulkan rasa tidak senang, segera dia menjualkannya. Wang jualan kemudian dibuat membeli seorang hamba kemudian dibebaskan hamba itu. Begitu sekali kecintaannya kepada ayahandanya, sehingga melukakan sedikit pun hati Rasulullah beliau tidak sanggup. Apatah lagi sekiranya perkara besar yang menyalahi agama."

     "Banyak keutamaan dan kelebihan beliau seperti yang terakam dalam lipatan sirah. Dalam masa yang sama, beliau juga adalah wanita yang tangkas dan berketerampilan tinggi. Tidak pernah sekali pun beliau merungut melainkan hanya terus berusaha dengan tabah dan kerja keras bagi menguruskan rumah tangga yang dibina atas dasar kerana Allah bersama Ali. Ketekunan Fatimah dapat diperhatikan pada kedua-dua tapak tangannya yang sudah mengeras dan berkematu."

     "Dek kerana kelelahan yang menongkah arus kudratnya, pernah dia memohon seorang pembantu daripada ayahandanya. Namun yang diperolehnya adalah sesuatu yang lebih besar dan bermanfaat yakni zikir dan doa langsung daripada Rasulullah. Doa dan zikir itu ternyata menghilangkan rasa galau gundah hati mereka bagi meneruskan perjuangan hidup dalam menegakkan agama Allah."

     "Kesimpulannya, perkara yang paling utama dan penting bagi mencapai ibrah dalam kisah ini adalah, bukan perihal bermadu, bernikah, cemburu, marah dan sebagainya. Namun yang perlu dikhususkan adalah perihal keistimewaan puteri kesayangan Rasulullah, puteri penghuni syurga Allah kerana dirinya adalah sebahagian diri Rasulullah. Oleh kerana ketinggian makam dan kedudukannya di sisi Rasul dan Allah itu, sehingga Rasulullah yang hanya berkata dengan wahyu daripada Allah mengucapkan kenyataan yang bermaksud, "Melukainya bererti melukaiku. Dialah Fatimah az-Zahra, sang perawan, sang srikandi, sang pembela, sang pencerah dan manusia terpilih, manusia yang termulia seantero jagat duniawi dan ukhrawi. Dialah jua isteri kepada Ali yang dikaramahkan wajahnya oleh Allah. Putera kepada Abi Talib yang berjasa kepada Rasulullah dan ibu kepada dua orang putera syurga, Husin dan Hasan."

     "Subhana-Allah."

     "Subhana-Allah."

     "Subhana-Allah."

     Agamawan yang pertama kemudian berkomentar, "Saya katakan, sekrianya smeua wanita dalam dunia ini mempunyai hanya satu daripada sepuluh akhlak Fatimah, pasti yang terakhir daripada rahim mereka adalah satu daripada sepuluh anak-anak seperti Hasan dan Husin."

     "Allahuakbar."

     Kemudian agamawan yang ketiga bertanya lagi mahu menghangatkan perbincangan dan syarahan mereka, "Saudaraku yang mulia, mohon terangkan kepada kami, bagaimana pula keadaannya saat Hasan dan Husain dilahirkan?"

     Beliau tersenyum, sekali lagi matanya terpejam. Seketika kemudian barulah dia kembali bersuara, "Ya, saat peristiwa yang menggemparkan Madinah itu, berlaku, Fatimah sedang mengandungkan putera pertama hasil perkahwinannya dengan Ali. Menjadi kelaziman wanita yang mengandung sedikit halus jiwanya, apatah lagi dilanda badai ujian yang paling besar itu. Masakan hati luhur seorang isteri yang setia tidak terluka sedikit pun. Namun, segala ketenangan dan kedamaian kembali menyelimuti keluarga syrugawi itu."

     "Pasangan keluarga yang sederhana itu dapat meneruskan kehidupan dalam danau ketenangan dan perasaan berkasih sayang. Kedua-duanya saling melengkapi dan sentiasa menasihati dengan penuh hikmah antara satu sama lain. Layar perjuangan hidup harus dikibarkan sekali pun payah."

     "Pada masa itu, dikatakan sekitar Madinah ada pasar yang makmur. Namun mereka bukanlah antara penduduk yang kerap dilihat di sana. Bukan kerana jauh namun kerana jarang sekali berpeluang memiliki dirham apatah pula dinar."

     "Sebagaimana yang kita maklum, Ali tidak mampu menyediakan walaupun seorang pembantu untuk isterinya, Fatimah. Dalam masa yang sama beliau tidak pernah mengalah dan terus berjuang bagi mencukupkan keluarganya dengan rezeki yang halal. Beliau tidak pernah alpa daripada menjadi pejuang ulung yang ikhlas menyumbangkan kudrat, keringat dan darah bagi menegakkan Islam.

     Mereka berasa cukup dengan rezeki yang diperolehi, malah tidak pernah kedekut bersedekah kepada mereka yang memerlukan. Fatimah menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri dengan ketaatan yang tidak berbelah bahagi. Sekalipun saat itu, dia mengandungkan anak pertama yang kemudian dinamakan Hasan."

     "Apabila saat-saat kelahiran semakin hampir, keluarganya semakin sibuk membuat persiapan semampu dan sebaik yang mungkin. Pada pertengahan Ramadhan tahun ketiga Hijrah, Fatimah pun melahirkan anak pertamanya dengan selamat. Bayi itu disambut dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran kepada Allah. Selain kedua-dua ibu bapanya, manusia yang paling gembira saat itu adalah datuknya yang mulia, Rasulullah sendiri. Sebaik sahaja berita kelahiran bayi itu sampai ke telinga, beliau bergegas pergi menemuinya. Apabila sampai sahaja di rumah Fatimah segera Rasulullah bertanya, "Di manakah cucuku, apakah kamu sudah menamakannya?"

     "Namanya Harb."

     "Jangan," ujar Rasulullah. "Namanya adalah Hasan."

     Rasulullah merayakan hari kelahiran cucunda yang diberi nama Hasan itu. Kemudian pada hari ketujuh Rasulullah menyembelih haiwan bagi akikah dan mencukur rambutnya. Kemudiannya bersedekah perak yang sama nilai dengan timbangan rambut yang dicukur itu."

     "Apa yang menarik adalah wajah cucunda Rasulullah, Hasan itu mirip dengan wajah baginda. Al-Zuhri merekodkan dengan menyatakan Anas bin Malik melaporkan dengan berkata, "Wajah Hasan ibn Ali begitu mirip dengan wajah Rasulullah.""

     "Selain itu, Ummu Hani juga melaporkan Ali pernah berkata yang bermaksud, "Kemiripan Hasan dengan Rasulullah adalah dari dada dan ke atas, sedangkan Husin dari dada dan ke bawah." Rasulullah menyintai cucunya itu sehingga direkodkan baginda sering dilihat menghisap lidah si bayi, memeluk dan menggendongnya. Apabila Rasulullah bersujud, si kecil Hasan memanjat naik ke atas punggungnya dan Rasulullah memanjangkan sujudnya sehingga Hasan turun. Pada waktu malam, Rasulullah sentiasa membawa Hasan naik ke atas mimbar apabila berkhutbah."

     "Kelahiran Hasan semakin melengkapi kebahagiaan keluarga Fatimah, Ali dan Rasulullah sendiri. Hasan datang dengan membawa seribu keceriaan bak bebintang suraya di langit. Hasan menjadi penghibur hati kedua-dua ibu bapanya. Malah, Fatimah dapat melihat kasih sayang Rasulullah kepada puteranya itu tiada bandingan. Sekiranya tidak berjumpa dengan cucundanya itu. Pada waktu pagi dan petang, pasti Rasulullah meluangkan masa datang menjenguk dan sekaligus bermain-main dengan cucundanya itu. Begitu sebaliknya kecintaan Fatimah kepada ayahnya yang mulia itu."

     "Pernah berlaku Rasulullah baru sahaja pulang dari perjalanan yang jauh. Sesampainya Rasulullah di Madinah, segera baginda bersolat dua rakaat dan terus menemui Fatimah. Lalu Fatimah mencium ayahandanya dan menangis teresak, lantas Rasulullah bertanya, 'Mengapakah kamu menangis?'

     Fatimah menjawab, 'Ayah nampak kusut dan letih. Debu pula mengotori pakaian ayah.'

     'Jangan menangis kerana Allah mengutuskan ayahmu membawa suatu urusan. Segala sesuatu di atas muka bumi ini, baik berupa tumbuhan, debu, lumpur, haiwan yang melata dan yang berbulu, batu-batu dan yang lainnya akan dimuliakan atau dihinakan oleh Allah kerana urusan ini'. Begitulah Fatimah yang sangat istimewa di mata hati Rasulullah sekali gus pada pandangan Allah."

     "Subhanallah, sungguh menakjubkan...."

     "Saya doakan supaya zuriat kita, paling tidak debuan Fatimah pun sudah cukup."

     Begitulah mereka berdoa dan berharap, supaya setiap gadis dalam keluarga dan zuriat mereka menjadi seperti Fatimah yang sempurna akhlaknya. Dia dicintai Allah dan rasul-Nya.




N / F : DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI SRIKANDI YANG BENAR, OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.

No comments:

Post a Comment