Monday 2 November 2015

FATIMAH [ BAB 15 - WANITA TERPILIH ]






WANITA TERPILIH




"Suami Fatimah adalah seorang yang penyayang dan memiliki akhlak yang mulia. Selain itu, beliau adalah seorang yang berani dan kuat. Sekiranya tidak, mana mungkin Rasulullah memilih Ali menjadi pembantu dan penasihatnya. Dalam masa yang sama, Fatimah juga sangat mengerti tugasan suaminya sebagai pejuang dan penegak tiang agama Allah." Begitulah kedengaran pujian kepada anak dan menantu Rasulullah ini.

     Mereka sentiasa menjadi contoh teladan, malah rujukan kepada anak-anak muda dan pasangan lain yang baru berkahwin mahupun yang sudah lama berkahwin.

     Namun sebagai seorang isteri dan wanita, rasa bimbang dan risau tetap wujud dalam dirinya.

     "Apakah beliau tidak risau langsung akan suaminya yang sentiasa berada di medan perang? Malah Ali adalah antara panglima utama yang berada di barisan hadapan. Risiko untuk dirinya menjadi sasaran pedang dan tombak musuh amat tinggi," kata seorang gadis yang berbual-bual bersama sahabatnya di petang hari.

     "Apakah kamu fikir kehidupan dan kematian itu di tangan musuh-musuh Allah itu? Bukankah Allah yang menciptakan kehidupan dan kematian, supaya Dia dapat menguji hamba-Nya siapa antara mereka yang lebih baik amalannya? Sungguh Allah itu maha perkasa lagi maha pengampun," jawab sahabatnya.

     "Selagi Islam itu ada di atas muka bumi ini, selagi itu ada mereka yang tidak berpuas hati dan sentiasa merancang bagi memusnahkannya. Namun, percayalah Allah dan para malaikatnya sentiasa menjaga agama Islam kerana tiada istilah kalah dalam Islam." Bersemangat sahabat mereka yang seorang itu berbicara.

     Mereka kembali merenung peranan Fatimah dalam rumah tangganya.

     Kata seorang pula, "Saya fikir, mustahil Fatimah tidak berasa risau mahupun runsing akan keselamatan suaminya. Apatah lagi ayahandanya pula adalah panglima perang Islam. Pastinya, sekiranya apa-apa yang terjadi kepada salah seorang lelaki yang dicintainya itu, dia akan bersedih. Tambahan pula, beliau sudah kehilangan kasih sayang ibunya, sejak dari kecil. Ah, betapa sabarnya wanita bakal penghuni syurga itu. Sekiranya kita mampu setabah dirinya...."

     Segera dijawab sahabat yang lain, "Benar bicaramu, namun Fatimah adalah wanita terpilih. Allah tahu akannya dan dia juga yakin akan Allah. Saya pasti beliau sedar kepentingan peranannya kepada rumah tangga dan ummah serta agama."

     Beliau menyambung lagi, "Kebahagiaan, ketaatan, kemajuan, kegembiraan, kedamaian, ketenangan, kesedihan, kemarahan, kegagalan malah kemunduran yang berpunca daripada seorang isteri memberi pengaruh yang besar kepada seorang suami. Justeru, menjadi tanggungjawab seorang isteri supaya sentiasa memberikan yang terbaik kepada suaminya."

     Perbincangan menjadi semakin rancak, mereka seakan mengadakan sesi bedah siasat faktor kebahagiaan pasangan syurga itu. Masing-masing mendatangkan pendapat, memuji dan menyatakan keinginan bagi menjadi seperti mereka berdua.

     Tidak kurang juga ada yang menyimpan harapan supaya mendapat suami persis Ali.

     "Indahnya dunia sekiranya semua lelaki yang Allah ciptakan adalah Ali walaupun rupa dan nama mereka berbeza," kata seorang lagi.

     Wanita yang paling tua antara mereka membalas, "Ada, memang ada lelaki yang persis Ali. Setiap kita insya-Allah akan memilikinya."

     "Benarkah, puan? Khabarkanlah kepada kami," pintanya bersungguh-sungguh.

     "Namun ada syaratnya."

     "Ya, khabarkanlah sahaja. Demi lelaki sesempurna Ali, apapun mampu kami laksanakan demi Allah."

     "Kita perlu pastikan diri kita layak menjadi ahli syurga terlebih dahulu. Nah, kemudian di dalam syurga itu yang maujud hanya lelaki-lelaki yang sebaik Ali sahaja," jelasnya selepas berteka-teki.

     Ada yang senyum-senyum dan ada yang serius memikirkan kebenaran telahan itu.

     "Insya-Allah, sama-sama kita berusaha ke arah itu, menuju syurga yang abadi dan hakiki. Dunia ini diibaratkan sebagai penjara kepada orang mukmin dan syurga kepada orang kafir. Ia hanyalah ilusi dan pembohongan yang sementara. Ini kerana yang hakiki adalah di sana, syurga Allah."

     Masing-masing tergamam seketika.

     "Lantas apa yang perlu kita lakukan?" tanya salah seorang pula.

     Dijawab oleh wanita yang paling tua itu, "Kediaman kita adalah tempat bagi suami kita mendapat perlindungan dan melepaskan segala kepenatan. Sebagaimana Ali yang banyak terlibat dengan urusan dakwah, perang, pentadbiran dan sebagainya. Pasti fitrah tubuh badan manusiawinya mengalami keletihan dan kepenatan."

     Lantas wanita yang bercakap pada mula-mula tadi memohon izin bagi mengapungkan buah fikirannya.

     "Begitu sepatutnya peranan seorang isteri. Fatimah faham dan sedar akan tanggungjawab suaminya sebagai seorang panglima perang yang berani, dan sentiasa berada di barisan hadapan apabila menentang musuh. Rumah tangga sebagai sumber ketenangan dan menterjemahkan kata-kata, 'rumahku syurgaku'. Maka secara tidak langsung suasana harmoni itu mempengaruhi sifat dan sikap Ali apabila beliau berada di medan perang. Itu adalah kekuatan dan semangat tambahan, selain ketakwaan dan ketaatan kepada Allah serta kerinduan kepada mati syahid."

     "Bayangkan sekiranya seorang suami yang juga seorang panglima perang pulang dalam keadaan luka-luka dan berpakaian comot serta kelaparan. Apabila sampai di rumah, tiada sambutan dan layanan yang sepatutnya daripada seorang isteri. Malah dia dibiarkan tanpa diubati. Tiada kasih sayang yang dipamerkan apatah lagi diberikan kepada suami tadi. Apakah perasaan suami pada saat itu?"

     Hadirin Khali.

     Seorang wanita yang banyak diam pada mulanya tadi mula membuka mulut bagi berkongsi dengan hadirin lain.

     "Fatimah tidak begitu, sepanjang waktu beristirehat. Ali menerima kasih sayang yang cukup daripada isterinya yang tercinta. Ia diterjemahkan semasa Fatimah menolong Ali membersihkan luka-luka, dan membasuh kesan darah yang terdapat pada baju akibat tusukan-tusukan pedang musuh. Oleh kerana itu, Fatimah wajar kita ikuti dan teladani, apatah lagi sekiranya ada cita-cita mahu dipilih menjadi ahli syurga Allah yang abadi." Panjang lebar penerangan daripada wanita itu.

     "Penting juga bukan, sekiranya ditambah dengan puji-pujian dan kata-kata semangat kepada suami. Memuji keberanian dan jasa mereka dalam menyebarkan dan berdakwah agama Allah kepada bukan Islam. Selain itu, penting untuk isteri sentiasa bersedia menyediakan segala kelengkapan perang suami. Segala kesakitan dan kelelahan suami juga sirna andai dapat kita lakukan semua itu."

     "Begitulah halnya Fatimah, dia sentiasa memuji-muji akan kebaikan Ali dalam hal agama dan dakwah. Dalam masa yang sama dia sentiasa memberi kata-kata hikmah serta kata-kata semangat kepada suaminya itu. Tanpa banyak soal, apabila semboyan perang telah dibunyikan, Fatimah tanpa dipinta akan terus menyediakan segala kelengkapan perang untuk suaminya. Dengan itu, tidak mustahillah dengan hanya memandang dan melihat kepada Fatimah, segala kesusahan dan kesedihan Ali lenyap entah ke mana," tambah wanita itu tadi.

     Namun lumrah sebagai manusia, pasti ada yang mempertikaikan kecemerlangan pasangan syurga itu. Rasulullah sendiri pernah mengeluarkan kenyataan sekiranya Fatimahnya sendiri yang mencuri, baginda tidak akan teragak-agak memotong tangan puteri kesayangannya itu bagi melaksanakan keadilan.

     Sekiranya ada yang bertanya, "Benarkah Fatimah itu sangat taat kepada suaminya, sehingga tidak dapat dicari lagi cacat-celanya?"

     Serta-merta ada yang menjawab, "Adakah kamu lupa mereka adalah manusia-manusia utama yang dijamin syurga. Apakah kamu fikir Allah membiarkan mereka dalam keadaan yang tidak sewajarnya."

     Lantas mereka berkata, "Sekiranya kita juga termasuk dalam golongan mereka."

     "Maka, banyakkan berselawat dan cintailah ahlul bait sebagaimana kita mencintai Rasulullah. Beramal dan berdoalah kepada Allah, patuhilah seruan dan jauhilah larangan-Nya, maka dengan rahmat dan belas kasihan Allah, kita dapat bersama mereka di dalam syurga kelak."

     Kadang-kadang ada yang menjadikan ketaatan Fatimah sebagai contoh dalam permasalahan fikah rumah tangga.

     Sekiranya ada yang bertanya, "Apakah hukum bagi seorang isteri keluar rumah tanpa izin suami?"

     Maka dijawab pantas, "Haram dan berdosa hukumnya, selama dia berada di luar rumah tanpa reda suaminya. Seluruh alam dan isinya mengutuk si isteri."

     Ditanya lagi, "Apakah benar kenyataan itu?"

     Maka dijawab, "Jadilah kamu isteri seperti Fatimah iaitu isteri yang tidak pernah keluar rumah tanpa izin suaminya, Ali. Apatah lagi menyebabkan suaminya marah kepada dirinya. Ini kerana beliau tahu dan sedar kemarahan suami bersamaan dengan kemarahan Allah, dan keredaan suami bersamaan dengan keredaan Allah. Maka, beliau sentiasa bersikap reda dan tidak pernah memarahi ataupun membangkitkan kemarahan suaminya. Malah sepanjang perkahwinan mereka, Fatimah tidak pernah sekalipun berdusta, mengkhianati dan melawan suaminya."

     Ditambah pula oleh seorang yang lain, "Begitulah resam wanita, untuk dirinya sebelum berkahwin, ibu dan bapa adalah keutamaan, namun apabila sudah punya suami, suami itulah keutamaan dan keredaan hidup."

     "Mengapa begitu, bukankah ibu dan ayah itu selamanya ibu dan ayah? Mengapa suami yang baru dinikahi perlu diutamakan lebih tinggi berbanding ibu dan ayah?"

     "Ini kerana, sebelum berkahwin segala tanggungjawab seperti nafkah dan kewajipan lain ada di atas kepala ibu bapa. Namun apabila seorang wanita itu sudah berkahwin maka, segala tanggungjawab itu adalah terletak di atas bahu suami."

     "Maksudnya?"

     "Maksudnya, apabila sudah berkahwin, menjadi kewajipan kepada suami membimbing dan memberikan didikan agama yang sewajarnya kepada isterinya. Ini kerana apabila seorang isteri itu melakukan dosa, si suami yang menanggungnya, bukan lagi ibu bapa. Namun bagi suami keutamaannya tetap pada kedua-dua ibu bapanya. Oleh itu, hukum faraid dalam Islam menetapkan seorang anak lelaki layak mendapat dua pertiga daripada harta pusaka peninggalan."

     Ada pula yang bertanya, "Bagaimana pula sikap Ali kepada Fatimah? Adakah Ali melayan Fatimah dengan baik ataupun sebaliknya?"

     Maka jawapannya adalah, "Ali memahami dan menghargai setiap daripada usaha dan kerja-kerja yang dilakukan Fatimah di rumah. Biarpun ia tidak sehebat panglima perang di medan jihad, namun beratnya pengorbanan menjaga sebuah rumahtangga, adalah sama nilainya dengan berjihad di jalan Allah."

     Soalan yang lain datang bertalu, "Bukankah Ali seorang panglima perang? Tentunya dia seorang yang kasar dan gagah. Apakah dia tidak mengasari Fatimah?"

     Dijawab segera, "Islam mengharamkan kekerasan kepada kaum yang lemah seperti wanita, kanak-kanak dan orang tua. Malah dalam siri peperangan, tentera Islam dilarang merosakkan tumbuh-tumbuhan yang tumbuh melata tanpa sebab yang kukuh. Apatah lagi kepada seorang isteri yang banyak berkorban dan sentiasa taat kepada suaminya."

     "Ali juga adalah suami yang memahami dan berjaya memenuhi tuntutan kasih sayang daripada seorang isteri dengan sempurna sekali. Beliau sedar seorang isteri itu perlu diberikan perhatian dan kata-kata semangat. Berlemah-lembut kepada isteri, mengucapkan percakapan yang baik dan sopan antara yang dilakukan oleh Ali apabila berada di rumah."

     "Selain itu, beliau juga sentiasa bertanyakan khabar kepada Fatimah, dan perihal perbuatan yang dilakukannya sepanjang ketiadaan beliau di rumah. Beliau juga kerap bertanya sekiranya Fatimah ada sebarang masalah dalam menguruskan rumah tangga mereka dan apa-apa yang perlu beliau bantu."

     "Oleh kerana beliau sangat cintakan suaminya, menjadi kebiasaan Fatimah tidak menyusahkan suaminya dengan urusan rumah tangga yang remeh. Sebagai isteri, beliau faham suaminya sering berhadapan dengan masalah yang lebih besar di luar sana. Sementelah pula Ali baru pulang dan sampai ke rumah. Bagaimana, mampukah kamu menjadi seperti Ali?"

     "Tidak mustahil sekiranya ada yang mampu menjadi seperti Fatimah."

     "Kamu mahu tahu bagaimana caranya bagi mendapat pasangan yang baik daripada sisi agama?"

     "Silalah khabarkan kepada saya."

     "Menurut Rasulullah, perlu melihat kepada empat ciri utama yakni agama mereka, kecantikan mereka, kekayaan mereka dan keturunan mereka. Namun yang paling penting adalah agama mereka kerana dengan agama secara automatik ketiga-tiga kriteria yang lain dapat diperolehi. Isunya, bagaimana kita mampu memperoleh yang beragama dan sekiranya mendapat yang menepati kesemua ciri yang dinyatakan itu adalah nilai tambah kepada kita. Alhamdulillah."

     "Ya, saya sedia mendengarnya. Silakan tuan memberitahu saya."

     "Mohon dirujuk dalam surah an-Nur, ayat tiga yang bermaksud, lelaki yang berzina tidak berkahwin melainkan perempuan yang berzina, ataupun perempuan yang musyrik; dan perempuan yang berzina tidak dikahwini melainkan oleh lelaki yang berzina ataupun lelaki musyrik. Justeru, golongan yang seperti itu diharamkan atas orang yang mukmin. Maka, jelaslah...."

     Si pendengar khusyuk mendengar dan mahu tahu apakah jawapannya.

     "Sekiranya kita mahu suami yang baik dan mempunyai agama, maka kita terlebih dahulu perlu menjadi seperti mereka yang cintakan agama. Insya-Allah akan ditemukan Allah jodoh yang juga cintakan agama."

     Mereka mengangguk-angguk, tanda faham dan setuju.

     "Tengok lagi dalam surah Yasin ayat 36 yang bermaksud, maha suci Tuhan yang menciptakan pasangan-pasangan semuanya, baik dari apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan daripada diri mereka mahupun dari apa yang tidak mereka ketahui."

     Si penjawab meneruskan syarahannya, "Oleh yang demikian, adalah wajar dan tepat kita semua menjadi Ali dan Fatimah sebagai contoh tauladan dalam aspek rumah tangga. Bahkan mereka harus diikuti dan dicontohi, oleh pasangan yang sudah berkahwin di seluruh dunia. Mereka menunaikan tanggungjawab bersama-sama, melaksanakan segala kewajipan kepada agama dan berkongsi pahit manis, suka dan duka juga bersama-sama. Dikatakan Ali adalah sebaik-baik suami dan Fatimah adalah sebaik-baik isteri. Begitu juga kepada Fatimah, dinyatakan kepada Fatimah tiada suami yang sepadan dengannya kecuali Ali."

     "Antara kelebihan Ali yang lain adalah kebijaksaannya dalam mencurahkan kasih sayang, sehingga sirna segala kepenatan sang isteri. Malah Ali mewajibkan dirinya berada di rumah bagi sentiasa membantu sebarang sahaja kerja rumah yang perlu dibuat. Ali tidak pernah menganggap dirinya sebagai tuan dalam rumah itu dan isterinya adalah orang suruhan. Kedua-dua pasangan syurga ini sangat memahami dan melengkapi antara satu sama lain, dan memahami peranan masing-masing dalam memberi dan menerima sebagai sepasang suami isteri."

     Mereka yang mendengarnya terkagum-kagum sehingga berazam mahu menjadi sebahagia Ali dan Fatimah dalam melayari bahtera rumah tangga, walaupun di tengah padang pasir yang gersang.




N / F : DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI SRIKANDI YANG BENAR, OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.

No comments:

Post a Comment