Friday 30 October 2015

FATIMAH [ BAB 12 - ISTERI SOLEHAH ]






ISTERI SOLEHAH




Cemburu adalah salah satu daripada sifat mazmumah yakni sifat keji, namun dalam masa yang sama ada cemburu yang dibenarkan dalam Islam. Oleh kerana cemburu itu adalah sifat azali manusia yang diciptakan Allah, maka Allah sediakan juga ruang dan laluan yang secocok dengan kecemburuan itu.

     Kelihatan dua beranak ralit membuat kerja rumah. Mereka menyediakan makanan kepada ketua keluarga mereka. Walaupun hidup dalam serba kekurangan, mereka tetap bahagia kerana reda qada dan qadar Allah Taala mereka fahami.

     Si anak gadis kemudian bertanya kepada ibunya yang menguli tepung untuk dibuat roti. "Lantas ibu, apakah yang dimaksudkan dengan cemburu yang dibenarkan dalam Islam, kerana setahu saya cemburu itu satu daripada sifat yang keji?"

     Ibunya masih tangkas menguli-uli tepung supaya menjadi sebati sebelum dibuat roti. Dia kemudian tersenyum mendengar persoalan anak gadisnya itu. "Secara hakikat dan asalnya memang cemburu itu berdosa di sisi Islam apatah lagi hasad dengki. Namun, sekiranya kena pada tempatnya, malah kita digalakkan dan mendapat pahala juga, insya-Allah."

     Anak gadisnya semakin teruja dan berniat mahu mengetahui lanjut berkenaan perkara itu.

     "Cemburu yang bagaimana digalakkan oleh agama, ibu?"

     Ibunya kemudian berpaling kepadanya lantas berkata, "Ada tiga jenis cemburu yang digalakkan dalam Islam yakni cemburu kepada orang yang soleh kerana kesolehannya, kemudian membuatkan diri kita menjadi semakin bersemangat bagi menjadi lebih soleh daripadanya."

     Si anak gadis mengangguk, serius raut wajahnya.

     Ibunya menyambung lagi, hanya kali ini kerja menguli gandum diteruskan, dan anak gadisnya juga membantu ibunya.

     "Cemburu yang kedua adalah cemburu kepada orang yang alim kerana kealimannya, lantas membuat kita bersemangat mahu menuntut ilmu supaya menjadi lebih alim daripada dirinya. Oleh kerana faedah ilmu yang ada padanya itu dapat dimanfaatkan oleh ummah pada setiap zaman selepasnya. Apatah lagi, apabila mati seorang anak adam, hanya ada tiga perkara yang masih membuahkan pahala iaitu anak yang soleh dan solehah, ilmu yang bermanfaat serta sedekah jariah yang kekal."

     Buntang mata si anak, "SubhanaAllah, ibu. Apakah sampai begitu sekali besar ganjarannya apabila menjadi orang yang berilmu?"

     Ibunya masih diam, kerja menguli diteruskan dan jawapan ketiga menyusul. "Yang terakhir adalah cemburu kepada orang kaya yang mukmin, dan kerana kekayaannya itulah dia menjadi seorang yang pemurah dan sentiasa bersedekah di jalan Allah. Orang semacam itu wajar kita cemburui, dan menjadi dorongan kepada mereka yang mahu menjadi sepertinya."

     "Sebagaimana Abdul Rahman bin Auf, ya ibu?" tanya si anak gadis polos.

     Ibunya mengangguk.

     Khali sejenak, masing-masing menumpukan perhatian kepada gerak kerja masing-masing.

     Kemudian dengan tiba-tiba si anak gadis itu bertanya kembali kepada emaknya, "Sekiranya begitu, dapat saya tahu siapa yang dicemburui oleh ibu?"

     Si ibu sedikit kaget dengan soalan itu, tidak dia sangka soalan begitu yang ditanya oleh anaknya. Bagi mewaraskan keadaan dan memikirkan tidak menjadi dosa andai dia berterus-terang, maka si ibu berfikir sejenak.

     "Kita ini sebagai orang perempuan muslimah, pastinya yang patut kita cemburukan adalah Saidatina Khadijah selaku wanita pertama yang masuk Islam dan ditetapkan syurga kepadanya. Juga Saidatina Aisyah yang menjadi Ummu Mukminin yang juga dijanjikan syurga oleh Allah Taala.

     Si anakm gadis mengangguk beberapa kali sambil wajahnya terukir senyum yang lebar. "Sekiranya begitu, saya pun dapat cemburu kepada sesiapa pun, ya ibu?"

     Mahu sahaja ibunya ketawa, namun ditahan juga kerana tidak mahu anak gadisnya itu berkecil hati, "Iya, boleh sahaja asalkan kamu tidak melebihi batasan syarak dan hanya cemburu kepada tiga perkara yang ibu terangkan tadi. Mengapa, kepada siapakah kamu mahu cemburu?"

     Si anak gadis seketika seolah-olah sedang memikirkan siapakah yang dia mahu cemburukan, wajahnya berkerut-kerut seketika. Ibunya sekadar senyum sahaja menantikan jawapan.

     Kemudian dengan suara yang menjerit dia berkata, "Ya, wanita yang patut saya cemburukan adalah Saidatina Fatimah, puteri Rasulullah. Beliau adalah sebaik-baik anak gadis yang tabah dan taat kepada agama dan ayahnya. Malah beliau kemudian dikurniakan seorang suami yang mulia akhlak dan kebijaksanaan keilmuannya. Kecukupan mereka adalah dengan apa yang ada, dan mereka sentiasa reda atas ujian Allah Taala ke atas mereka."

     Kemudian kedengaran salam diutuskan dari luar rumah. Segera mereka tahu ayah mereka sudah pulang. Si anak gadis segera menyiapkan makanan buat dimakan bersama-sama dengan ayah mereka. Mereka cukup bersederhana sementelah keluarga mereka tidaklah berada.

     Apabila semua sudah sedia terhidang, si anak gadis segera menjemput ayahnya datang ke ruangan makan.

     Dengan lemah lembut, beliau mendekatkan diri kepada ayahnya yang berehat selepas solat. Dengan lembut dia memberitahu, "Wahai ayah, semoga ayah sentiasa dirahmati Allah. Makanan sudah siap dihidang, jemputlah ayah makan bersama kami."

     Ayahnya yang masih di tikar sembahyang tersenyum bahagia melihat kesantunan anak gadisnya itu. Harapannya adalah si anak gadis ini menjadi anak yang solehah yang sentiasa mendoakan mereka, apatah lagi selepas dia meninggal dunia.

     Dalam masa yang sama, dia juga mendoakan anaknya supaya anaknya dijodohkan dengan seorang lelaki yang soleh dan kuat agamanya.

     "Baiklah, kamu pergi dahulu. Nanti ayah menyusul, ya," ujar si ayah lembut lantas menghadiahkan senyuman bahagia kepada anak gadisnya itu.

     Si anak gadis kemudian ke ruangan makan. Ibunya juga sudah menanti. Sudah menjadi adab dalam Islam, makan perlu berjemaah.

     Selepas beberapa ketika, ayahnya keluar dan mendapatkan mereka di tempat yang sudah disediakan. Ayahnya duduk tertib dan kemudian mengangkat tangan merafak kesyukuran sambil menguntum doa harap kepada Allah Taala.

     Selesai membaca doa barulah masing-masing menjamah makanan yang terhidang, dimulai dengan lauk-pauk yang paling dekat dahulu. Dia hanya menghulurkan tangan mencapai lauk selepas ayahnya selesai mencubit. Itulah adab-adab makan dalam Islam.

     "Maafkan saya, ayah. Saya mohon bertanya," pinta si gadis lembut.

     Si ayah yang masih mengunyah makanan sekadar mengangguk, mahu dijawab makanan ada berada di dalam mulut.

     Tanpa menunggu lama, anak gadisnya itu segera bertanyakan soalan yang lama terbuku dalam hatinya, "Ayah, bolehkah ayah ceritakan kepada saya perihal Saidatina Fatimah, puteri Rasulullah? Saya mahu mengetahui kisah beliau secara rinci. Ibu ada ceritakan kepada saya namun hanya sedikit sahaja."

     Matanya dikerlingkan kepada emaknya. Ayahnya ikut sama mengerling. Emak yang menyedari hal itu, hanya tersenyum.

     Ayahnya kemudian berkata, "Kita habiskan dahulu makanan yang ada, kemudian kita solat berjemaah. Ayah akan ceritakan kepada kamu perihal Saidatina Fatimah dan Saidina Ali, boleh?"

     Muka si anak gadis segera berubah girang, "Baiklah, ayah. Tidak sabar saya mahu mendengarnya."

     Usai sahaja makan bersama dan berkemas, mereka kemudian solat maghrib berjemaah dan ayahnya menjadi imam. Selesai solat, wirid, dan doa, ayah si gadis kemudian berpaling dan menghadap dia dan ibunya.

     Selepas memuji dan mengucapkan syukur kepada Allah, diikuti dengan lafaz puji kepada Rasulullah, ahlul bait dan para sahabat baginda, si ayah mula bercerita perihal Ali dan Fatimah kepada anaknya.

     "Anakku, Saidatina Fatimah dan Saidina Ali adalah manusia yang paling bertuah di atas muka bumi ini. Kedua-duanya membesar di bawah kasih sayang dan doa Rasulullah sendiri. Selain itu, mereka berdua adalah antara orang yang terawal masuk Islam, dan mendapat pendidikan terus daripada Rasulullah. Tidak cukup dengan itu, mereka pula dijamin syurga saat mereka masih hidup lagi."

     Si anak gadis kelihatan sangat teruja dengan mukadimah ayahnya. Sudah ada soalan yang bermain di benaknya namun dipendamkan dahulu kerana tidak mahu menganggu penceritaan ayahnya.

     Ayahnya menyambung lagi, "Mereka bagaikan benih-benih yang disemai dengan kasih sayang dan reda Allah. Mereka disiram dan dijaga dengan penuh siraman iman dan takwa, sehinggalah mereka tumbuh mekar sebagai bunga-bungaan yang wangi dan indah. Siapakah yang mampu berkata mereka lebih indah daripada Ali dan Fatimah? Yang direstui Rasulullah sebagai pasangan suami dan isteri. Bukan sahaja Rasulullah dan seluruh kaum Muslimin pada waktu itu, Allah jua meredai pasangan yang sudah dijanjikan-Nya syurga sekalipun kedua-dua batang tubuh itu masih bernyawa."

     "Antara kemuliaan mereka adalah kecukupan dan kesederhanaan dalam kehidupan, walaupun mereka mampu hidup dalam keadaan mewah. Fatimah dididik supaya taat dan berasa cukup dengan rezeki yang diusahakan. Manakala, Ali dididik supaya sentiasa bersedia berkorban demi agamanya sekalipun terpaksa mengorbankan nyawanya sendiri."

     Si anak tidak tertahan lagi bagi bertanya, "Adakah Fatimah tidak mahu bernikah dengan mereka yang kaya-raya, ayah?"

     Ayahnya sedikit tersenyum mendengar soalan itu, "Anakku, pastinya bukan kerana harta benda yang menyatukan Fatimah dan Ali. Namun keredaan Allah dan Rasul-Nya adalah antara sebab utama perkahwinan itu berlangsung dengan baik. Bukan Fatimah tidak dipinang oleh hartawan dan sahabat Rasulullah yang lain, namun hanya Ali yang selayaknya sebagaimana sudah tercatat dalam takdir."

     "Benar anakku, Ali itu secara zahirnya adalah miskin malah fakir, tidak mempunyai sebarang kekayaan. Walaupun dalam keadaan tidak mencukupi itu, Ali dan Fatimah masih lagi dengan sifat yang pemurah dan suka memberi kepada orang lain. Menjadi kelaziman pada masa itu, para tentera Islam yang berkhidmat dalam perang mendapat bahagian daripada harta rampasan perang. Namun, ia tidak sentiasa berlaku dan kadangkala tentera Islam juga kalah di tangan musuh."

     Sekali lagi si anak gadis bertanya kepada ayahnya, "Apakah beliau tidak melakukan kerja-kerja lain seperti berniaga dan sebagainya? Bukankah Rasulullah juga pernah menjadi peniaga handalan?"

     "Saidina Ali tidak pernah berniaga, namun beliau sentiasa berlapang dada dan sanggup melakukan apa-apa sahaja kerja yang ditawarkan asalkan ia halal di sisi agama."

     "Biasanya apa yang dikerjakan oleh beliau, ayah?" soalnya lagi.

     "Banyak kerja yang dilakukan oleh beliau termasuklah mengairi kebun kurma. Pernah sahaja beliau mengambil upah mengerjakan kebun kurma seorang Yahudi."

     "Ayah, khabarkanlah bagaimana pula dengan sikap Ali di rumah tatkala bersama Fatimah? Bagaimana layanannya? Seperti tadi ayah menyatakan beliau adalah seorang panglima perang, pasti dia garang dan kuat."

     "Itulah sikap Ali yang wajar diteladani oleh semua suami di dunia ini. Beliau meskipun seorang panglima perang yang gagah, namun di rumah dia adalah sebaik-baik suami kepada si isteri. Saat di rumah, tidak pernah beliau membiarkan Fatimah mengerjakan kerja rumah tanpa bantuannya. Beliau meneladani sunnah Rasulullah yang menjahit sendiri baju yang koyak, meskipun baginda ada isteri yang dapat dipinta bagi berbuat perkara itu."

     "Oleh yang demikian, tidak hairanlah mengapa Fatimah sentiasa berbahagia di samping suaminya. Ali pula sedaya upaya menjaga hati dan menatang isteri kesayangannya itu dengan sepenuh kasih sayang. Oleh kerana beliau tahu, Fatimah adalah seorang yang merasai peritnya penderitaan dari saat beliau masih lagi kecil. Kewafatan bondanya, ujian kepada ayahandanya, saat-saat getir yang dihadapi dan sebagainya."

     "Pernah terjadi dalam satu peperangan tentera Islam menang dan mendapat harta rampasan yang lumayan. Ali lantas bergegas pulang dan meminta isterinya berjumpa dengan Rasulullah bagi menyampaikan hasrat mengambil seorang hamba. Si isteri yang taat itu pergi berjumpa dengan ayahandanya kerana dipinta oleh suami. Namun, saat berjumpa dengan susuk yang mulia itu, dia ditanya apakah maksud kedatangannya. Dia menjadi malu mahu menyampaikan perkara sebenar, dan berkata dia datang sekadar mahu menyampaikan salam."

     "Selepas itu, apakah yang berlaku, ayah? Apakah Fatimah dan Ali berjaya mendapat pembantu rumah?"

     Ibu si gadis kemudian bersuara halus, "Biarlah ayah habiskan cerita dahulu, sekiranya asyik bertanya di tengah cerita, bagaimana ayah mahu menghabiskannya? Nanti apabila ayah sudah habiskan ceritanya, tanyalah soalan."

     Gadis itu mengangguk faham.

     Ayahnya kemudian meneruskan bicara, "Fatimah balik berjumpa suaminya dan menyatakan beliau tidak sanggup menyuarakan hasrat mereka kepada baginda. Selepas berkira-kira, Ali pun mengajak Fatimah untuk berjumpa dengan Rasulullah. Dalam keadaan itu Fatimah masih lagi tidak berani dan malu menyampaikan hasratnya. Kemudian Ali sahaja yang menyampaikan hasrat itu kepada baginda."

     Nafas dalam dihirup panjang.

     Cerita diteruskan, "Tahukah apakah jawapan Rasulullah?"

     Khali sahaja, si gadis itu sudah tidak mahu bertanya lagi kerana tahu ayahnya menjawab soalan itu.

     "Rasulullah menjawab, 'Tidak. Demi Allah! Saya tidak memberikan kepada kalian berdua dan membiarkan ahlul suffah kelaparan. Saya akan menjual dan menyedekahkan hasilnya kepada mereka.' Mendengar jawapan daripada Rasulullah sendiri, pasangan syurga Ali dan Fatimah pulang ke rumah dengan hati yang penuh kelapangan."




N/F : DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI SRIKANDI YANG BENAR, OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.

No comments:

Post a Comment