KEADILAN CINTA
Pada suatu petang yang indah dan permai, tiba-tiba kejiranan kabilah dikejutkan dengan bunyi gegar seperti ada perbalahan yang terjadi. Suasana semakin kecoh dan menjadi hiruk-pikuk dek kerana pergaduhan yang berlaku itu.
Orang ramai mula menuju ke arah kegegaran yang berlaku. Mereka berkerumun dan sudah menjadi budaya pada zaman itu, hal tetangga bukan rahsia yand dirahsiakan, melainkan perlu dikongsikan kecuali hal-hal yang khusus sahaja.
Angin petang yang sebentar tadi dingin membelai, kini sudah mula menghangat. Perbalahan berlarutan, kedengaran suara seorang wanita begitu lantang mencaci dan memaki seseorang. Suaranya dapat menggambarkan yang dia sangat marah dan mungkin juga mengamuk.
Ah, wanita... sebanyak mana emosinya sekiranya mahu dibandingkan dengan lelaki? Sekiranya ditanya siapa yang memujuk Nabi Adam memakan khuldi yang dilarang Allah? Sehingga beliau dihukum dengan dibuang ke bumi tanpa dapat hidup dalam nikmat syurga Allah lagi.
Kegusaran berlanjutan dan sekarang hampir kesemua ahli kabilah itu sudah berkumpul di kawasan khemah, tempat punca bunyi bising dan pekik tempik bak manusia dirasuk jin dan syaitan.
Rupa-rupanya, pasangan muda yang tinggal di dalam khemah itulah yang menimbulkan kegegara. Si isteri kelihatan kusut-masai wajahnya, muka merah bak udang disalai dan mulutnya marah-marah. Ia kedengaran seperti singa betina yang kehilangan anak. Nampaknya dia bertekak dengan suaminya. Atas sebab apa, semua yang hadir tidak pasti. Selama ini pasangan yang sudah kahwin beberapa tahun tetapi belum ada anak, dilihat sangat bahagia. Si suami sangat mengasihi si isteri dan sebaliknya.
Tidak lama kemudian kedengaran suara seseorang bertempik nyaring, "Berhenti!"
Belum pun sempat suara itu sirna daripada kedengaran, semua yang terdiam dengan sendiri. Mereka kenal benar akan suara itu. Suara yang sangat berwibawa, suara yang menjadi tadahan kepada telinga-telinga seluruh warga kabilah itu.
Rupa-rupanya beliau adalah ketua kabilah yang berumur setengah abad. Beliau adalah ayah kepada si isteri yang mengamuk.
Angin berhembus membawa bara amarah, puncanya masih belum diketahui.
Suasana menjadi khali apabila si ketua sampai ke tempat kejadian. Pasangan suami isteri yang bertengkar sebentar tadi juga diam tertunduk, terketar-ketar apabila menyedari kehadiran ayahanda mereka.
Kedua-dua mereka direnung tajam oleh si ketua. Semua yang hadir hanya membisukan diri. Malah, sekiranya pada saat itu ada yang bersin, pasti dapat didengar oleh semua yang hadir.
Kemudian si ketua mula bertanya, "Apakah yang berlaku?"
Kedua-dua mereka masih membisu. Si ketua mengulangi soalan tadi dengan nada tanpa marah dan cuba merasionalkan keadaan. Kemudian anak perempuannya mula bersuara.
"Ayahanda, apakah mungkin bagi seorang suami untuk tidak membahagiakan isterinya?" bahas si isteri.
"Maksudmu, anakku?"
"Semenjak berkahwin dengan menantu ayah ini, tidak pernah sekalipun dia memberikan saya barang sedikitpun kemewahan. Tanyakan sahaja apa hadiah yang diberikan kepada saya? Tanyakan sahaja adakah dia memberikan makanan yang enak lagi sedap? Sungguh, saya mahukan apa yang dimiliki oleh para isteri lain. Dan pada hari ini...." Air mata mula bertelur di tubir matanya, "Dia kembali dan bertanya kepada saya, apakah boleh dia berkahwin lagi dan memadukan saya dengan wanita lain?" luah anaknya.
Si ayah yang juga ketua kaum menggeleng-gelengkan kepalanya, "Hai anakku, entah di mana silapnya, pada diriku dan ibumu yang mendidik ataupun dirimu sendiri yang menyebabkan ia menjadi begini."
Kemudian dalam keadaan takut-takut, si suami cuba menerangkan kepada mertuanya itu, "Ayahanda, sudah saya terangkan dahulu sebelum kami berkahwin yang saya bukanlah hartawan yang dapat memenuhi tuntutan kemewahan duniawi. Namu tidak bermaksud saya mengabaikan tanggungjawab duniawi dan ukhrawi saya. Alhamdulillah setakat ini, segala keperluan asas daripada makan minum, pakaian, dan tempat tinggal tidak pernah saya abaikan. Hanya kami tidak mampu bermewah sahaja. Lagipun, saya sibuk dengan urusan dakwah di luar sana, pastinya saya tidak dapat memberikan tumpuan kepada perniagaan sahaja."
Dia kemudian menambah, "Adapun kehendak berkahwin lagi itu bukanlah perkara yang haram daripada sudut agama, malah Rasulullah mengamalkan poligami. Pun juga, saya berkahwin bukan kerana nafsu semata-mata melainkan kerana maslahat yakni kepentingan bersama."
Si ayah mengangguk-angguk. "Ya, anakku. Sewaktu ayah memilihmu menjadi menantu juga kami tahu kamu ini daripada jenis yang mana. Sekiranya kami memandang harta, pangkat dan rupa, pasti kami tidak akan memilih kamu. Namun dalam ramai-ramai calon, hanya kamu yang kami dapati bangun di sepertiga malam dan bertahajud kepada Allah. Siapa lagi yang lebih kuat secara zahir dan batin melainkan mereka yang dapat bersengkang mata bermunajat kepada Allah di se pertiga malam. Mungkin anak kami yang terlalu kami manjakan ini terdidik dengan kebaikanmu sebagai suami. Kami tahu dia seorang anak yang baik, hanya kami yang terlalu memanjakannya maka dia jadi begini."
"Namun dalam urusan berkahwin lagi itu, ayah tidak nampak rasionalnya. Hujah kamu tidak kuat, malah kemampuan kamu dari sudut nafkah juga tidak melayakkan kamu bagi berkahwin lagi. Jangan lupa, selain daripada ayat kedua an-Nisa, ada juga ayat yang ke-128 yang menjelaskan Allah memberi amaran yang nyata dengan mengingatkan kita, walau bagaimanapun usaha kita berbuat baik dalam urusan berpoligami, kita tetap akan gagal. Apa lagi alasanmu bagi melayakkan dirimu berpoligami?"
Si menantu terdiam seribu bahasa.
Si isteri masih dalam keadaan yang tidak puas hati. Amarahnya masih mencanak tinggi. Melihat keadaan itu, si ayah naik berang lantas tanpa dapat ditahan-tahan mula bersyarah di situ juga.
Mereka yang hadir turut mendengar syarahan dengan begitu tekun kerana mereka tahu ketua mereka alim dan berwibawa dalam urusan keagamaan.
"Tahukah kamu? Pasangan yang bernama Ali dan Fatimah? Sepasang suami isteri yang dijamin syurga. Bagaimana kehidupan mereka?"
Khali.
"Kehidupan Fatimah dan Ali adalah kehidupan yang susah, berat dan penuh dengan perjuangan meskipun mereka adalah orang yang paling dicintai oleh Rasulullah. Tahukah kamu yang Rasulullah sering melawat rumah mereka dan mendapati tiada sedikit pun makanan yang ada bagi menganjalkan isi perut mereka?"
"Sekalipun begitu, saat ada yang datang meminta bantuan dan pertolongan daripada mereka, tidak mereka kecewakan orang yang berhajat itu. Fatimah sendiri daripada zahirnya terlihat kurus dan cengkung wajahnya. Sejak dia dilahirkan hingga ke alam kanak-kanak sehingga menjadi isteri kepada Ali, dia tidak pernah merasai kemewahan dan kenikmatan duniawi. Fatimah sentiasa dihimpit dengan ujian kesulitan dan kesusahan hidup. Namun, keadaan itu menyebabkan dirinya menjadi seorang wanita yang tetap pendirian dan akidah, penuh dengan keredaan, tawaduk dan penuh dengan kesabaran."
Terhenti seketika, si ketua memandang sekeliling dan menyambung bicara, "Dengarkanlah kamu semua akan kemuliaan Fatimah dan Ali dan ambillah sebanyak mungkin ibarah dan pengajaran daripadanya, bagi bekal di dunia dan akhirat."
Pasangan yang tadinya diselimuti amarah kini sudah mula menekur bumi, berpijak pada kenyataan kemarahan hanyalah mainan syaitan dan iblis.
Dengan lembut, si ketua menghadapkan wajahnya ke arah si anak perempuan dan bertanya, "Anakku, apakah kau masih ingat idola kamu tatkala ayah bertanya ketika kecil dahulu?"
Si anak yang mula bercucuran air mata, teresak-esak menjawab, "Saya... sentiasa mahu menjadi seperti Fatimah, puteri Rasulullah dan menjadi kebanggan ayah, lantas menjadi seorang isteri yang taat kepada suami supaya nanti dijamin ke syurga Firdausi."
"Alhamdulillah...." Orang ramai mengangguk-angguk tanda bersyukur.
Kemudian si ayah meminta anak gadisnya bercerita perihal Fatimah, "Khabarkanlah kepada kami semua akan cerita Fatimah, puteri Rasulullah yang amat kamu kagumi itu, anakku...."
Dengan berat dan malu-malu, si anak terpaksa jua bercerita. Apatah lagi yang sedang memintanya berbuat demikian adalah ayahnya sendiri.
"Fatimah adalah model dan contoh teladan yang baik kepada ummah khususnya para isteri. Suaminya, Ali bukanlah seorang hartawan, meskipun yang mendambakan hidupnya sebagai suri hidup bukanlah calang-calang manusia, melainkan para sahabat yang mulia, berwibawa, soleh serta berharta pula. Namun, Fatimah reda kepada Ali sebagai pasangannya, apatah lagi beliau adalah pilihan ayahandanya sendiri yakni Rasulullah."
"Ali sentiasa bersyukur dengan kehadiran wanita mulia itu dalam hidupnya dan begitu juga Fatimah sangat bersyukur dengan kehadiran Ali sebagai suami dalam hidupnya. Sesungguhnya martabat mereka di sini Allah adalah mulia dan tinggi sehinggakan syurga adalah janji yang pasti bagi pasangan itu. Justeru, tidak salah sekiranya mereka digelar sebagai pasangan syurga. Ali sebagai suami sentiasa prihatin kepada isterinya. Namun, kesempitan dan kemiskinan membataskan keinginan memberikan sedikit keselesaan kepada mereka sekeluarga. Oleh kerana itu, Ali sentiasa mengingatkan dirinya supaya tidak pernah menyakiti walaupun sekelumit hati Fatimah."
"Namun siapa sangka, sesempurna mana sekalipun orang itu, mereka tetap manusia yang tidak lepas daripada kesalahan. Oleh kerana itu, Rasulullah memberi pesan yang bermaksud, setiap anak adam tidak lepas daripada dosa, dan yang terbaik daripada pembuat dosa itu adalah mereka yang sentiasa bertaubat kepada Allah."
"Walaupun Ali sentiasa menjaga hati Fatimah, akhirnya hati Fatimah terguris juga apabila Ali menyatakan hasratnya mahu bernikah lagi. Ali berkeinginan demikian kerana menyangka ia tidak menyakiti hati puteri Rasulullah itu kerana syariat jua membenarkan poligami. Malah Fatimah sudah faham akan resam berpoligami memandangkan ibu tirinya juga ada beberapa orang termasuk Aisyah dan Hafsah."
"Namun sebaliknya berlaku, tatkala Ali menyatakan hasratnya yang mahu melamar puteri kepada Amr ibu Hisyam ibnu al-Mughirah, ternyata isterinya terkejut. Ali tidak menyangkakan keadaan itu berlaku kerana pada pandangannya, puteri Rasulullah adalah mereka yang berada dalam pola syariat yang ditetapkan oleh Allah. Ini berlaku apabila Rasulullah sendiri menyatakan sekiranya puterinya yakni Fatimah yang mencuri, makan akan dipotong juga tangannya. Penyataan itu diterangkan dalam satu hadis yang masyhur dicatat oleh Bukhari dan Muslim bermaksud, 'Wahai kaum, dihancurkan kaum sebelum kalian. Sekiranya orang mulia di antara mereka mencuri, mereka membiarkannya. Sekiranya orang lemah yang mencuri, mereka menghukumnya. Saksikanlah, aku bersumpah demi Allah, sekiranya Fatimah puteri Muhammad yang mencuri, aku pasti akan memotong tangannya.'"
"Ali terlupa yang Fatimah az-Zahra tetap seorang wanita yang istimewa di sisi ayahandanya selaku Rasulullah, sekaligus di sisi Allah sendiri. Dia adalah wanita suci yang dicintai oleh Allah dan Rasul-Nya. Malah dimuliakan Fatimah atas semua makhluk yang ada di muka bumi. Rasulullah adalah pemimpin seluruh anak Adam. Allah pula memilik puterinya yakni Fatimah sebagai pemimpin wanita seluruh alam, sejak zaman Siti Hawa sampailah zaman dunia berakhir. Fatimah juga puteri yang terpilih dalam kalangan puteri Rasulullah bagi menjadi penyambung zuriat Rasulullah yang mulia. Ini kerana, daripada Fatimah maka lahir Hasan dan Husain, dua pemuda syurga iaitu cucunda kesayangan Rasulullah. Daripada kedua-duanya pula beranak-pinak gugusan keturunan Rasulullah yang suci lagi mulia. Inilah antara sebab mengapa Ali tidak dibenarkan memadukan Fatimah. Segala maksud itu terkandung dalam diri Rasulullah sendiri yang amat menyayangi puterinya itu. Oleh yang demikian, sekiranya sahaja Fatimah terluka ternyata Rasulullah juga turut terluka. Sekiranya Fatimah berduka, maka Rasulullah jua akan berduka. Malah, sekiranya sahaja Fatimah marah, nescaya Rasulullah juga marah. Ali akhirnya terhalang bagi melunaskan hasratnya berkahwin lagi kerana malu kepada kemuliaan Rasulullah."
Si ayah kemudian menyambung, "Selain itu, antara sebab lainnya adalah, Amr ibn Hisyam itu adalah Abu Jahal yang sangat memusuhi dan melaknati Rasulullah ketika hayatnya. Apabila Rasulullah mengetahui apa yang dihajatkan oleh Ali, beliau segera ke masjid dan berkhutbah sebagaimana yang direkod oleh Bukhari yang bermaksud, 'Sesungguhnya keluarga Hisyam ibn al-Mughirah meminta izinku bagi menikahkan puterinya kepada Ali bin Abi Talib. Aku sama sekali tidak mengizinkannya. Sungguh aku tidak akan mengizinkannya, kecuali Ali menceraikan anakku dan menikahi anak mereka. Sungguh, aku tidak bermaksud mengharamkan yang halal, tidak pula menghalalkan yang haram. Namun, demi Allah, tidak akan dapat berkumpul dalam satu rumah antara puteri Rasulullah dan puteri musuh Allah, selamanya.'"
"Dalam riwayat yang lain sebagaimana yang dinukilkan oleh Syaikhani, Ahmad, Abu Daud, dan Ibnu Majah yang bermaksud, 'Sesungguhnya Fatimah itu adalah sebahagian daripada diriku dan aku khuatir agamanya menjadi rosak. Aku tidak mengharamkan yang halal, tidak pula menghalalkan yang haram. Tetapi demi Allah, tidak akan dapat berkumpul kepada seorang lelaki antara puteri Rasulullah dan puteri musuh Allah, selamanya.' Justeru, apakah pengajaran yang boleh kita dapat daripada kisah ini?" seru si ketua kepada khalayak yang ramai itu.
Orang ramai mula membuat telahan dan mengeluarkan pendapat mereka sendiri. Suara-suara mula mengapung di ruang udara.
Si suami kemudian bertanya kepada mertuanya, "Ini bermaksud, ayah sendiri tidak bersetuju seandainya saya menikah lagi, sekalipun ayah sendiri mempunyai empat orang isteri?"
Si ketua kaum tersenyum, "Anakku, janganlah kamu meletakkan dirimu pada diriku. Kita berbeza. Begitu juga dirimu tidak akan sama dengan Ali yang mulia itu. Arakian juga isterimu sekarang tidakkan sama dengan kemuliaan Fatimah puteri Rasulullah. Namun kamu perlu ingat perkahwinanku dengan tiga lagi isteriku adalah kehendak dan persetujuan daripada isteri-isteri yang lain, khususnya isteriku yang pertama. Dalam masa yang sama diriku tidak punya masalah daripada sudut nafkah zahir mahupun batin. Perlu diingat juga, kesemua isteri yang kukahwini adalah janda yang mempunyai anak yang ramai dan perlukan perlindungan yang tuntas. Justeru, aku kumpulkan mereka di bawah satu payung bagi memelihara kemaslahatan mereka."
Dia kemudian bertanya lagi, "Nah, sekarang apakah alasanmu mahu bernikah lagi? Apakah ada sebarang kekurangan pada anakku?"
Si suami terdiam seketika, "Jujurnya saya tidak punya sebarang masalah dengan dirinya. Hanya dengan niat mahu meraikan sunnah Rasulullah sementelah ia tidak menyalahi syariat dalam Islam. Saya baru sedar akan amaran Allah dalam ayat seterusnya dalam surah an-Nisa, yang memberikan amaran keras kepada mereka yang tidak dapat berlaku adil. Sungguh saya sesal sekarang dan saya mahu kembali dan adil kepada isteri saya sekarang iaitu anakmu."
Semua yang hadir tersenyum sambil mengangguk tanda bersetuju dengan penyataan itu.
Si isteri yang sudah mula lunak dan sejuk hatinya, mula bercakap dengan lembut. Dia sedar apa yang dilakukannya adalah satu kesalahan meskipun dalam keadaan marah. Namun apakan daya, tekanan yang dihadapi menyemarakkan emosi amarah yang disimbah dengan minyak cemburu, meskipun dia bukanlah jenis yang begitu.
Dia kemudian berkata, "Sekalipun saya tidak mampu menjadi persis puteri Rasulullah, Fatimah yang mulia, namun saya berjanji menjadi Fatimah kepada dirimu, suami saya satu-satunya. Ini kerana saya tahu mustahil dirimu mampu dan layak menjadi semulia Ali, menantu dan sepupu Rasulullah yang agung itu. Oleh yang demikian, sekiranya kamu mampu berlaku adil, tanpa syak dan khuatir dirimu dibangkitkan dengan bahu yang berat sebelah makan diriku mempersilakan dirimu menikah lagi...."
N / F : DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI SRIKANDI YANG BENAR, OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.
No comments:
Post a Comment