BAHAGIA CINTA
"Kamu sudah dengar berita gembira pada hari ini. Berita perihal puteri Rasulullah, Fatimah." Seorang lelaki memulakan bicara tatkala memulakan kerja, dia dan kawan-kawannya adalah pemetik buah tamar di ladang tamar milik seorang Yahudi.
"Berita apa? Kami tidak tahu, lagipun kami bukan jenis yang suka menyibuk," perli sahabatnya kembali.
Yang lain hanya tergelak kecil mendengar jawapan itu.
Melihat diri sahabat mereka itu naik angin, sahabat-sahabat yang lain segera memujuk. Ada yang berkata, "Wahai sahabat, kami hanya bergurau, apakah bergurau juga salah sedangkan Rasulullah sendiri bercanda dalam keadaan yang berakhlak dan harmoni begini."
Sebentar kemudian, senyuman kembali mewarnai wajahnya. Dia kemudian seakan mengumpul tenaga sebelum bersuara menyampaikan, "Sahabatku, maha suci Allah yang menjadikan makhluk di dunia ini berpasang-pasangan, daripada apa yang ada di dalamnya dan daripada apa yang ada pada diri kamu dan sesungguhnya kita ini tidak mengetahui apa yang diketahui Allah."
"Apakah maksud kamu dengan memetik kalimah Allah itu?" tanya seorang yang lain.
"Ali... Ali sudah bersetuju dengan cadangan Abu Bakar bagi melamar puteri Rasulullah." Ada nada gembira di hujung bicara.
"Subhanallah...."
"Alhamdulillah...."
"Allahuakbar...."
Sahabat yang mendengar berita itu pun berkata, "Ini adalah berita gembira, akhirnya manikam kalbu Rasulullah disatukan dengan seorang pemuda yang hebat dan bijak, pemuda yang sanggup menggantikan pembaringan Rasulullah yang dirancang bunuh oleh Quraisy. Selain itu, beliau juga adalah sepupu yakni anak kepada bapa saudara Rasulullah, Abu Talib yang dikasihi Rasulullah. Abu Talib jugalah yang menjaga Rasulullah selepas kematian Abdul Mutalib, datuknya."
Yang lain mengangguk-angguk tanda setuju dan bergembira dengan khabar itu.
Celah seorang sahabat, "Teruskan ceritamu, saudara."
"Baiklah." Terhenti seakan mengingat, jeda itu juga diambil kesempatan untuknya bagi menyedut nafas baru. "Apabila dicadangkan oleh beberapa sahabat supaya beliau masuk meminang puteri Rasulullah itu, Ali mengenangkan kemiskinan dirinya. Namun, dia dipujuk beberapa orang sahabat termasuk, Abu Bakar. Selepas itu beliau pun bersetuju."
"Kemudian?" sampuk seorang lagi tidak sabar.
"Rasulullah berada di rumah Ummu Salamah pada waktu itu. Beliau pergi menemui Rasulullah bagi menyampaikan hajatnya. Selepas dijemput masuk oleh Ummu Salamah, beliau berjumpa Rasulullah, bersalaman dan duduk di sisi Rasulullah. Sewaktu mahu melafazkan hajatnya, seakan ada batu penghalang yang besar menyekatnya. Malu, beliau malu sebenarnya. Rasulullah seakan mengerti apa yang bermain di benak dan sanubarinya itu."
"Apakah reaksi Rasulullah selepas itu, apakah Ali dimarahi ataupun beliau disambut dengan gembira?" tanya mereka lagi.
"Ya, teruskan...."
Mahu tidak mahu si pencerita perlu menghabiskan ceritanya setakat yang dia tahu sahaja. Gayanya kadangkala bagaikan berpidato dan berkhutbah, dan kadangkala seperti berlipu lara sahaja.
Namun dia tetap meneruskan ceritanya, "Rasulullah meminta Ali menyatakan hasratnya itu. Apabila sudah diminta oleh Rasulullah sendiri, Ali bermadah. 'Sesungguhnya tuan lebih memahami saya kerana tuanlah yang mengambil saya daripada kedua-dua ibu bapa, Abu Talib dan Fatimah binti Asad, dan pada waktu itu saya masih kecil lagi. Saya diberikan hak yang istimewa daripada tuan, makan dan minum serta pendidikan daripada diri tuan sendiri, percayalah saya menganggap tuan lebih daripada seorang ayah dan ibu dalam urusan kasih dan sayang. Petunjuk daripada Allah saya peroleh daripada tuan dan ia menjadi sumber kesenangan dan kegembiraan di akhirat kelak.'"
Terhenti sejenak sebelum meneruskan lagi madah itu, "'Wahai Rasulullah, selain daripada saya ini menjadi pembantu kepada tuan, saya juga kepingin mendirikan rumah tangga yakni mempunyai isteri yang mampu melengkapi dan mententeramkan hati saya. Dengan itu kehadiran saya ini mahu melamar puteri tuan, Fatimah. Sudikah tuan menikahkan kami, wahai ayah kepada Fatimah?'"
"Bagaimana reaksi Rasulullah?" Soalan terus menujah tanpa diminta.
"Alhamdulillah, Rasulullah gembira dengan permintaan Ali itu. Rasulullah kemudian mendapatkan puterinya, Fatimah dan bertanyakan pendapat dan keputusannya atas pemintaan Ali itu. Fatimah hanya diam seribu bahasa. Lantas diam itu dianggap sudah bersetuju. Lantas dalam waktu yang segera, Rasulullah mahu menikahkan mereka berdua." Tersenyum lebar si pencerita apabila melihat sahabat-sahabatnya seakan takjub kepada ceritanya tadi.
Kegembiraan kemudian mekar di hati Rasulullah, ini jelas nampak di wajah beliau menurut Ummu Salamah. Beliau kemudian bertanya kepada Ali, "Wahai Ali, apakah yang kamu miliki bagi membolehkan dirimu menikah dengan Fatimah?"
Jawab Ali jujur, "Demi Allah, sesungguhnya dirimu arif perihal saya. Saya hanya punya sebilah pedang, sebuah baju besi, dan sebuah cerek air. Saya tidak miliki apa-apa lagi selain daripada barangan itu."
Rasulullah lantas berkata kepada Ali, "Wahai Ali, pedang itu sememangnya diperlukan oleh kamu bagi digunakan berjuang di jalan Allah serta memerangi musuh-musuhNya. Cerek itu pula digunakan bagi menyiram kurma di ladang dan ia juga penting kepada keluarga kamu. Saya menikahkan kamu dengan mas kahwin baju besi kamu dan Fatimah senang dengan pemberianmu itu. Wahai Ali, adakah kamu gembira atas hal ini?"
Ali segera menjawab, "Tuanlah yang menggembirakan saya. Sungguh tuan sentiasa diberkati dan bijaksana. Semoga Allah mengurniakan kesejahteraan ke atas tuan."
Rasulullah kemudian memaklumkan Ali dengan panjang lebar, "Bergembiralah kamu kerana Allah sebenarnya sudah menikahkan kamu dengan Fatimah sebelum saya menikahkan kamu di sini. Sebelum kamu tiba, Malaikat Jibril sudah tiba dari langit dengan membawa perkhabaran, 'Wahai Muhammad, Allah memerhatikan dunia lantas memilihkan kamu seorang saudara, sahabat, pembantu, dan menantu. Nikahkanlah dirinya dengan Fatimah. Para malaikat gembira akan hal ini, wahai Muhammad. Allah mengamanahkan kamu supaya menikahkan Ali dengan Fatimah dan memaklumkan mereka kelahiran dua orang cahaya mata yang bersih, suci, baik serta paling aula di dunia dan di akhirat.' Wahai Ali, sesungguhnya malaikat itu tidak meninggalkan saya sampailah kamu datang mengetuk pintu."
====================
Tidak semena-mena, suasana kota Madinah menjadi riuh-rendah seakan ada peristiwa besar yang berlaku. Kelihatan kaum muslimin dan muslimat menuju ke arah Masjid Nabawi meskipun waktu solat belum masuk. Ini menimbulkan tanda tanya kepada mereka yang berada di sepanjang jalan malah seluruh kota Madinah itu sendiri.
Muhajirin dan Ansar semuanya berpusu-pusu menuju ke masjid Rasulullah. Dalam perjalanan itu ada yang tertanya sesama mereka apakah yang sebenarnya berlaku.
"Apakah kita dilanda gawat dan bakal berperang dengan kafir Quraisy?" soal seorang pemuda.
"Tidak rasanya. Namun Bilal yang menjemput semua orang datang ke masjid Nabawi atas permintaan Rasulullah sendiri," jawab pemuda yang lain tatkala mereka berjalan menuju ke sana.
Di belakang mereka masih ramai yang berjalan dengan tersusun, namun dampak jeas persoalan yang bermain di wajah masing-masing.
Pemuda kemudian berbicara kembali, sambil wajahnya mengerut-ngerut, "Pasti perkara yang besar berlaku, sekiranya tidak masakan Rasulullah sewenang-wenangnya mengumpulkan kita semua."
Sahabatnya itu mengangguk-angguk, "Saya juga berasa begitu. Apapun apabila sampai ke Masjid Nabawi, inysa-Allah persoalan kita semua terjawab. Rasulullah pasti ada perkhabaran yang besar mahu disampaikan kepada kita semua, Muhajirin mahupun Ansar. Baginda tidak pernah pilih kasih dan adil pulak akhlaknya."
"Benar, saudara...."
Mereka akhirnya sampai di pekarangan Masjid Nabawi dan mendapati ramai kaum Ansar dan Muhajirin yang lain sampai. Keadaan di masjid agak sesak dan berterak-terak.
Kaum muslimin kemudian menumpukan perhatian mereka kepada Rasulullah yang naik ke mimbar dan memulakan ucapan. Inti patinya adalah seputar amanah menikahkan Ali dan Fatimah daripada Allah.
Kaum muslimin kelihatan bergembira dan berbahagia. Mereka tersenyum dan turut tumpang meraikan khabaran daripada Rasulullah itu.
Ali kemudian diminta oleh Rasulullah bagi berucap kepada khayalak dan beliau melakukan dengan sempurna, inti patinya juga adalah lafaz syukur dan terima kasih kepada Allah dan bapa mertuanya sendiri.
Bersaksikan hampir kesemua kaum muslimin Madinah, maka termeterailah dengan rasminya dengan pernikahan dua insan yang sangat disayangi Rasulullah dan Allah sendiri. Kedua-dua bagaikan mutiara dan marjan kaum muslimin yang wajar diberikan kemuliaan.
Majlis kegembiraan pun dilangsungkan dengan cara ala kadar, dengan mas kahwin sebuah baju perisai, sehelai kain hadarah, dan sebidang kulit kambing yang sudah disamak, maka Ali sekarang sah menjadi menantu di bumi dan menantu di langit kepada Rasulullah, dan suami kepada az-Zahra, puteri kesayangan Rasulullah sendiri.
====================
Dari terik di tengah hari yang panas membakar dan menyalai bumi kini peralihan yang ketara berlaku.
Sejuk cengkam tulang akan didepani penduduk padang pasir tatkala malam menjengah. Mereka semua sudah maklum, bahkan mereka adalah sebahagian daripada kepanasan dan kesejukan suhu di padang pasir tersebut.
Di satu jihat, seorang lelaki separuh abad berwacana dengan beberapa orang sahabatnya, rancak mereka berbincang sambil terhidang di hadapan mereka air dingin dari telaga zamzam da setangkai tamar yang ranum.
Tanya salah seorang daripada mereka, "Sekiranya kamu, menantu yang bagaimana kamu inginkan?"
Lelaki separuh abad selaku tuan rumah tersenyum mendengar persoalan sahabatnya itu. "Semestinya saya mengikuti saranan Rasulullah. Bukankah ada empat kriteria yang disarankan beliau yakni rupa, harta, keturunan, dan agama. Dan yang terpenting dalam keempat-empat kriteria itu adalah agama bakal menantu kita. Insya-Allah, sekiranya agama yang menjadi tunjang pemilihan kita, berbahagialah kita dan anak gadis kita yang mendapat suami demikian."
Tetamu lain mengangguk faham.
Salah seorang mereka kemudian menambah, "Ya, itulah kekayaan yang sebenar. Apabila seseorang itu kuat pegangan agamanya, dialah yang memiliki kekayaan yang sebenar. Kekayaan akhlak, redha dengan ujian, sanggup melakukan apa sahaja demi agama dan lain-lain. Tanggungjawab mereka kepada isteri juga mereka fahami sebagai kewajipan besar yang dipertanggungjawabkan oleh Allah di akhirat kelak."
"Subhanallah...." Ramai-ramai mereka bertasbih.
Tambah seorang lagi, "Oleh yang demikian, adalah wajar bagi kita sebagai ibu bapa terlebih dahulu menyelidiki latar belakang bakal menantu kita. Paling kurang bertanyakan perihal akhlaknya, keturunannya dan perkara-perkara yang utama daripada harta benda yang dimilikinya."
"Ya, benar. Itulah yang sewajarnya. Rasulullah sendiri memberikan contoh teladan yang terbaik kepada kita apabila baginda menikahkan Ali dengan puteri baginda, Fatimah. Kita semua maklum Ali adalah seorang pemuda yang miskin. Harta yang dimilikinya hanya sebilah pedang dan sebentuk perisai yang digunakan untuk berjihad di jalan Allah. Itupun adalah pemberian daripada Rasulullah sendiri. Namun, dek kerana beliau adalah seorang pemuda yang terbaik dalam kalangan kaum muslimin, beliau terlebih dahulu dijodohkan sendiri oleh Allah Taala di atas sana. Mulia dan tinggi perhargaan itu. Walaupun secara zahirnya kita melihat mereka masih lagi hidup dalam serba kedaifan." Tuan rumah menghidangkan kata-kata yang begitu menyentuh kalbu para pendengar dan tetamu, hanya bersulamkan nada yang halus dan damai.
Memandangkan tiada yang mahu bersuara beliau pun menambah. "Dapatlah kita fahami harta, rupa dan keturunan tidak mampu dibandingkan dengan kepentingan agama itu sendiri. Malah mereka yang mempunyai ketiga perkara, namun sifat akhlak dan agamanya, masih dianggap seorang yang papa kedana khususnya di akhirat kelak. Ketakwaan dan ketaatan kepada Allah dan Rasulullah, adalah kekayaan yang sebenar di dunia dan di akhirat. Inilah yang wajar menjadi dasar dan pegangan kita dalam apa-apa jua urusan, termasuklah dalam memilih menantu kepada anak kita sendiri."
Satu persoalan menjengah, "Justeru, bagaimana kita mahu mendapatkan menantu yang sesempurna Ali, tuan?"
Beliau tergelak setegal. Kemudian terbatuk-batuk sedikit.
Beliau kemudian menjawab, "Senang sahaja, pastikan anak gadis kita sesolehah, setakwa serta setaat Fatimah, insya-Allah pasangan mereka kelak adalah persis sahaja Ali, menantu baginda Rasulullah."
Perbincangan dilanjutkan merujuk kepada perihal mahar pula.
"Sekiranya begitu, apakah pula kadar yang paling sesuai bagi sesebuah perkahwinan?" tanya lelaki itu lagi.
Dijawab dengan jelas dan ringkas, "Apakah saudara lupa Rasulullah pernah berpesan sebaik-baik wanita itu adalah maharnya yang paling sedikit. Ini bermaksud mereka yang meletakkan mahar yang tinggi adalah sebaliknya."
Kedengaran ada yang berkata, "Semoga kita mampu melaksanakan saranan Rasulullah itu."
Beliau menambah lagi, "Bayangkan Fatimah yang mulia itu, puteri kepada Rasulullah dan kaum muslimin keseluruhannya hanya bermaharkan sebuah perisai yang bernilai lebih kurang empat ratus hitam lima ratus dirham sahaja. Namun, nilai mahar itu di sisi Allah semestinya melebihi keseluruhan isi langit dan bumi."
Demikianlah betapa Islam dipandang mulia kepada kesederhanaan dan amat mengesyorkan pula. Rasulullah sendiri membuktikan bahawa kesederhanaan dalam apa jua urusan, terutamanya dalam urusan perkahwinan adalah lebih afdal.
P/S : DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI SRIKANDI YANG BENAR, OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.
No comments:
Post a Comment