Tuesday 17 February 2015

AMINAH [ BAB 5 - NASIB ABDULLAH ]



NASIB ABDULLAH


Penjaga berhala itu sebenarnya tidak berniat mahu melakukannya. Namun hati kecilnya berkata, 'Sekiranya aku tidak buat seperti yang disuruh oleh Abdul Mutalib, aku tidak mendapat upahnya. Pasti aku rugi kerana upahnya tentu sekali lumayan.'

     Dia menyedari banyak mata yang sedang menyoroti dirinya dengan penuh kebencian.
   
     'Aku tidak peduli. Apa yang kamu fikir, suka hati kamu semua!' getus penjaga berhala itu dalam hati.

     Dia lantas maju ke hadapan anak Abdul Mutalib satu persatu sambil menghulurkan tempurung yang digunakan bagi mencabut undi.

     Suasana hening.

     "Sifat berani anak-anak teruna Abdul Mutalib terserlah apabila tiada sedikit pun riak gentar pada wajah mereka," kata penjaga berhala selepas mengagihkan kertas undian kepada anak-anak Abdul Mutalib.

     Kemudian kesepuluh mereka menulis nama sendiri di atas kertas itu lantas dimasukkan semula ke dalam tempurung itu.

     "Kemudian apa yang akan dilakukan oleh mereka?" tanya seorang anak kecil yang melihat acara itu bersama ibunya.

     "Orang tua penjaga berhala akan menggoncang tempurung itu dan mengambil satu nama. Nama yang terdapat pada kertas yang dicabut akan diisytiharkan sebagai korban nazar Abdul Mutalib," jawab ibu anak kecil itu.

     Keadaan semakin genting kerana semua orang menanti dalam debaran. Jantung masing-masing berdegup kencang. Nafas semakin laju, Abdul Mutalib juga kelihatan tegang dengan situasi ini.

     "Lihat anak-anak Abdul Mutalib. Tidak ada sekelumit gentar pun pada wajah mereka," kata Kilab, salah seorang pemuda Quraisy kepada sahabatnya Uzza.

     "Ya, saya kagum kepada mereka," jawab Uzza.

     "Mereka kelihatan tersusun kemas dan gagah perkasa. Lihat sahaja Abdullah, senyumannya semanis gula, ibarat pahlawan yang baru pulang membawa kemenangan sambil disambut gadis rupawan idaman hati," kata Kilab lagi.

     "Bukan kita tidak kenal Abdullah yang menjadi putera kaum ini. Bani Quraisy akan kehilangan permata bangsa sekiranya Abdullah yang terkorban hari ini." Uzza melahirkan kerisauannya.

     'Apakah kamu kasihankan aku, tidak pernah aku mengocak tempurung ini bagi menumpahkan darah kerana nazar. Bukan selama ini aku hanya ditugaskan membuat undian bagi pembahagian harta untuk mereka yang mempertikaikannya, mengkhabarkan baik dan buruk kepada mereka yang mahu menilik masa depan, memilih jodoh antara pemuda dan pemudi bangsa Quraisy dan yang paling besar dan penting sekalipun menentukan tarikh bagi memulakan perang sahaja.' Si penjaga berhala bermonolog sendirian.

     "Namun pada hari ini, aku gunakan tempurung ini bagi membuat undian menentukan siapakah antara anak Abdul Mutalib yang menjadi korban nazarnya. Apakah benar perbuatan ini Tuhan? Berilah petunjuk kepadaku." Tidak putus-putus si penjaga berhala berkata-kata dalam hati. Dia berasa sangat terbeban dengan apa yang sedang dilakukannya sekarang. Tangannya terus menggoyang-goyangkan tempurung itu, kini matanya disorot ke arah para hadirin.

     Dia berasakan ada yang berkata kepadanya, "Kamu adalah manusia yang keji!"

     Tiba-tiba dia berasakan ada yang mencercanya, "Adakah kamu sedar apa yang kamu lakukan? Kamu lebih hina daripada seekor binatang!"

     Dari jauh, dia terdengar ada suara sayup-sayup, "Kamu pasti menyesal sekiranya undian ini diteruskan!"

     Dia semakin gementar memikirkan hal-hal itu. Walaupun dia sedar suara-suara tadi hanyalah ilusinya. Fikirnya, "Mereka semua pasti sedang marahkan Hubal, tuhan berhala ini. Sorotan mata penuh kebencian seakan mempersoalkan mengapa tuhan ini tidak berbuat apa-apa apabila seorang yang baik daripada keturunan yang baik menjadi korban."

     "Khabarkanlah, wahai Hubal. Bukankah engkau tuhan, khabarkanlah yang sebenar-benarnya. Abdul Mutalib hanya tersilap membuat nazar, bukan anak-anaknya yang bersalah. Aku juga tidak sanggup sekiranya amalan nazar ini menjadi amalan kepada kaum Quraisy selepas ini!" raung si penjaga berhala dalam sanubarinya.

     Di tengah-tengah ketegangan itu, ada butiran air mata tumpah daripada kelopak mata si bunga kaum Quraisy, Aminah. Aminah turut berada dalam kelompok penonton peristiwa yang dasyat itu.

     'Mengapa? Mengapa kamu masih membisu?' tanya Aminah dalam hati sambil matanya memanah tajam ke arah berhala bernama Hubal itu.

     'Sekiranya diikutkan hati ini, mahu sahaja kamu digoncang-goncang bagi menyedarkan apa yang sedang terjadi di hadapanmu kini,' tingkah Aminah lagi.

     'Patutlah kebelakangan ini aku mendengar ada di kalangan Quraisy keluar mencari Tuhan lain selain dirimu. Nampaknya hari ini kamu memperakuinya sendiri dakwaan mereka yang dirimu tidak lebih daripada sebuah patung batu yang dibuat oleh tangan penyembahmu sahaja,' getus Aminah melepaskan geram. Namun, raungan batinnya tidak mampu mengubah keadaan.

     Kini semua mata memandang ke arah tangan penjaga berhala yang sedang menggoncang tempurung itu. Lama dia mengocaknya. Mungkin ada ragu-ragu dan serba salah. Tiba-tiba dia berhenti menggoncang, tangannya dimasukkan ke dalam tempurung, dipusing-pusing tangannya sebanyak dua kali lagi, kemudian dia mengeluarkan tangannya yang membentuk penumbuk. Semua tahu yang ada dalam genggaman itu adalah nama salah seorang anak Abdul Mutalib yang akan disembelih.

     Mata membuntang, urat menegang, peluh dingin meleleh keluar dari liang roma, bunyi tangisan mulai mereda, kini hanya degupan jantung sahaja yang merajai suasana.

     Perlahan-lahan kepala dan tangan dibuka oleh si penjaga berhala. Tiada riak pada wajahnya, dilihatnya sekali lagi agak lama. Lalu....

     Suatu teriakan kuat dilontarkan.

     "Ab... Abdullah!"

     Bagaikan bukit di sekeliling lembah Mekah hancur berkecai dan menimpa mereka. Hati mereka remuk redam, suara tangisan dan ratapan menguasai keadaan.

     "Tidak! Ini suatu kekejaman, tolong hentikan sekarang!" raung seorang wanita setengah abad sekuat hatinya. "Kasihanilah Abdullah, dia putera terbaik bangsa Quraisy, janganlah kamu membunuhnya!"

     "Karut! Undian sebegini adalah karut, jangan kita percaya kepada permainan sebegini. Wahai Abdul Mutalib yang mulia, janganlah kamu melaksanakan nazarmu semata-mata kerana undian tempurung ini!" kata salah seorang hadirin.

     "Benar, jangan hanya kerana perkara yang kebetulan ini kamu terpaksa lakukan perkara yang kamu akan sesalkan sepanjang hayat kamu kelak!" Suatu suara mencelah entah dari mana, dan banyak lagi suara memprotes, mencela, memarah dan tidak kurang juga memaki hamun.

     Sama ada Abdul Mutalib ataupun patung yang bernama Hubal itu, kedua-duanya menjadi mangsa kemarahan masyarat Quraisy.

     Abdul Mutalib hanya membatukan diri. Sebenarnya hati bergetar dasyat tatkala mendengar nama Abdullah yang disebut oleh si penjaga berhala itu.

     'Wahai Tuhan, aku nyaris sahaja duduk tersungkur tatkala nama Abdullah yang disebut tadi. Apakah ini ujian daripada-Mu? Semua mereka memarahimu sekarang, jawablah wahai Hubal, kaki ini aku teguhkan juga nazar itu!' Abdul Mutalib sedang dibantai dilema.

     Sedang Abdul Mutalib dalam dilema sendirian, Abdullah sedang mendapatkan bapanya. Abdul Mutalib mengangkat muka lalu pandangan mereka bertemu. Abdullah tersenyum dan senyuman itu menjelaskan yang dia bersedia dan ikhlas dikorbankan oleh ayahnya sendiri. Senyuman itu yang membuatkan hadirin semakin tidak keruan, membuatkan ayahnya gugup.

     Abdullah berbisik lembut ke telinga ayahnya, "Wahai ayah, laksanakan nazarmu kepada Tuhan. Jangan gusar dan gentar di hadapan anak-anak dan kaummu, sungguh saya tidak sedikit pun menyalahkanmu dalam hal ini. Tunaikanlah nazar dan lapangkanlah dadamu selepas menebus janji Tuhanmu itu."

     Masih ada suara keras memprotesnya, "Undian itu tidak benar, ia perlu dilakukan semula!"

     "Ya!" Ramai yang bersetuju.

     "Mungkin ada kesilapan pada undian pertama. Lakukan sahaja sekali lagi wahai Abdul Mutalib!" pinta orang ramai lagi.

     "Ya! Sekiranya undian tidak dilaksanakan sekali lagi, kami sanggup gantikan kepala kami dengan Abdullah!" jerkah salah seorang saudara mereka.

     Abdul Mutalib seakan tuli kala itu dengan suara-suara yang memprotes, mengutuk dan mengejinya. Dia perlu tunaikan nazarnya, dan undian yang dibuat menunjukkan Abdullah adalah korbannya, dia mesti lakukannya!

     Genggaman tangannya pada parang semakin kemas, dikepal-kepal tangannya yang memegang parang panjang berkilat itu. Ada tekad bagi melaksanakan sahaja nazar itu. Itu sahaja yang terlintas di hati dan fikiran Abdul Mutalib.

     Perlahan-lahan Abdul Mutalib melangkah ke hadapan Hubal lantas berseru, "Wahai Abdullah, majulah anakku!"

     Abdullah tanpa membantah mahupun rasa gentar terus melangkah gagah ke arah ayahnya di hadapan Hubal.

     "Silakan ayahku."

     Sinar matahari yang menyimbah bumi menantulkan silau dan sangat memeritkan amta para hadirin. Seketika, seorang gadis berlari daripada kelompok orang ramai lalu menyerbu dan melutut di antara Abdul Mutalib dan Abdullah. Dalam ratapan dia bersuara keras. "Gantikan Abdullah dengan saya. Bebaskan dia."

     Rupa-rupanya gadis itu ialah Ummu Hakim, saudara kembar Abdullah.

     Abdul Mutalib terkejut, lantas berkata dengan suara bergetar, "Apakah yang kamu lakukan ini wahai Ummu Hakim? Mengapa kamu menghalang pelaksanaan nazar ini? Adakah kamu mahu menderhakai Tuhan?"

     Ummu Hakim membalas, "Saya hanya mahu menyelamatkan saudara saya sendiri kerana dia juga anak kesayangan ayah. Janganlah ayah bunuh Abdullah. Sekiranya Abdullah, ayah juga mengikutinya lantaran kesedihan atas kematiannya. Gantikan sahaja dirinya dengan saya, bukankah saya juga seorang manusia?"

     "Tidak mungkin Ummu Hakim, orang yang mesti dikorbankan untuk nazar ini mesti seorang lelaki," tegas Abdul Mutalib.

     "Apakah kamu kira Tuhan merestui perbuatanmu ini wahai ayahku? Sesungguhnya Allah tidak meredhai pembunuhan orang yang tidak berdosa tanpa sebab!" Ummu Hakim juga bertegas.

     Beberapa orang lelaki dewasa kaum Quraisy mula sedar yang mereka hanya menikus tatkala melihat peristiwa itu. Terkesan dengan tindakan Ummu Hakim, mereka naik angin lalu menyerbu ke arah Abdul Mutalib.

     "Mari kita selamatkan Abdullah! Kita mesti tahan Abdul Mutalib," laung salah seorang daripada mereka.

     "Ya, malu kita kepada Ummu Hakim, dia hanya seorang perempuan namun keberaniannya mengatasi kita semua, malu kita wahai lelaki Quraisy!" Lelaki kedua pula menerpa.

     Terkesan dengan kata-kata dan drama yang sedang berlaku di hadapan mereka, secara spontan beberapa orang lelaki menyerbu ke arah Abdul Mutalib, serentak menahan dan cuba meleraikan pegangan parangnya yang tajam berkilat itu.

     "Kami tidak membenarkan kamu membunuh anak saudara kami!"

     "Ya, Abdullah adalah milik Arab Quraisy! Langkah mayat kami dahulu sebelum kamu mahu membunuhnya!"

     Mendengar kata-kata itu, Abdul Mutalib mula mengalah. Dia bersuara dalam sebak, "Nazar sudah dibuat wahai kaum Quraisy, bukankah setiap nazar itu perlu dilaksanakan. Apakah kamu tidak takut bala daripada Tuhan? Siapakah yang mahu bertanggungjawab kelak?" Ada getar berulam tangis di hujung bicara Abdul Mutalib. 

     Tiga orang pemuda Quraisy semakin kuat memegang Abdul Mutalib, sambil menyindir salah seorang daripada pemuda itu berkata, "Bagaimana tempurung itu sentiasa benar? Apakah tidak ada celanya keputusan tempurung itu? Kami sering menggunakan tempurung dan sentiasa kecundang. Beberapa kali kita menang dan banyak mana yang kita kalah dalam perang kerana tempurung itu, wahai Abdul Mutalib?"

     Seorang lagi menyampuk, "Kamu sendiri juga tahu jawapannya."

     Hujah menghujah kembali berlaku. Tiga orang pemuda itu tidak melepaskan malah mengemaskan lagi simpulan tangan mereka pada Abdul Mutalib.

     Abdul Mutalib cuba juga meronta bagi mendapatkan parangnya, Abdullah tetap kaku di situ, suasana semakin gawat. Selepas mencuba berkali-kali, akhirnya Abdul Mutalib kelihatan akur dan beralah.

     Dia lantas memalingkan wajah kepada penjaga berhala dan bertanya, "Apakah kamu mempunyai pandangan lain dalam hal ini?"

     Belum pun sempat si penjaga berhala menjawab, kedengaran suara orang ramai. "Tanyakan kepada bomoh lelaki mahupun perempuan akan hal ini? Mereka tentu lebih arif. Mungkin ada jalan keluar yang lebih baik daripada terpaksa membunuh anak-anakmu sendiri."

     "Baiklah sekiranya begitu. Saya terima keputusan kamu semua. Nazar ini tertangguh sehingga saya mendapatkan pandangan daripada bomoh-bomoh itu." Kata-kata Abdul Mutalib melegakan segenap jiwa yang ada di situ.




P/S : DIPETIK DARIPADA BUKU SRINKANDI-SRIKANDI YANG BENAR, DITULIS OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI. 

No comments:

Post a Comment