Saturday 14 February 2015

AMINAH [ BAB 2 - CALON SUAMI ]


CALON SUAMI


Kecantikan adalah suatu anugerah dan juga amanah daripada Tuhan. Aminah juga sedar hal itu. Walaupun ramai dalam kalangan anggota masyarakat Arab Quraisy pada masa itu mengamalkan cara hidup yang tidak beretika dan berakhlak, namun ada segelintir yang terkecuali.

     Mereka masih berpegang pada nilai-nilai murni ajaran Hanif yang menjadi pegangan nenek moyang mereka. Agama yang berasal daripada seorang nabi dan rasul, Ibrahim dan Ismail. Namun kebanyakan mereka menafikan semuanya dengan mensyirikkan Allah lalu menyembah berhala-berhala yang mereka cipta dan tukang sendiri.

     Tampang Aminah tetap menjadi perhatian dan bualan penduduk Makkah saban hari. Keperawanan dan kejelitaan gadis bani Abu Zuhrah menjadi impian dan igauan para pemuda Arab di Mekah ketika itu. Sesekali apabila bertemu dan berborak, isu Aminah pasti menjadi topik utama.

     Kata seorang pemuda dengan lagaknya di hadapan rakan-rakan yang hampir sebaya dengannya, "Sekiranya aku mahu beristeri, Aminah anak kepada Wahab daripada bani Abu Zuhrah itulah yang paling layak denganku?"

     "Benarkah begitu?" tingkah sahabatnya sengaja mahu memanaskan keadaan.

     "Sudah pasti, kerana aku dan dia sangat cocok. Dia daripada keturunan yang mulia dan aku juga daripada keturunan yang mulia. Aku yakin dia pasti menjadi milikku suatu hari nanti." Pemuda itu menjawab tegas.

     Mereka yang lain tidak berani membantah pemuda itu walaupun turut menyimpan hasrat mahu memiliki Aminah, kerana pemuda itu dianggap sebagai ketua mereka.

     "Adakah Aminah sudi menerima kamu?" soal rakan pemuda itu lagi.

     "Itu semua boleh diatur. Aminah gadis yang baik, dia pasti mengikuti setiap arahan pak ciknya, Wuhaib bin Abdul Manaf. Saya perlu pergi berjumpa dengan pak ciknya itu sahaja," jawab pemuda itu.

     "Mahukah Wuhaib menerimamu?" Sahabatnya terus menyoal.

     "Aku minta bantuan daripada ayah aku. Wuhaib pasti hormat dengan ayah aku lantas membenarkan kami berkahwin." Pemuda itu menjawab dengan yakin.

     Pemuda itu tersenyum puas mengingatkan rencana dan khayalannya yang indah. Dia mahu pastikan segala-galanya menjadi kenyataan.

     Tiba-tiba, lamunannya dicelah oleh salah seorang kawannya pula. "Jangan terlalu yakin, nanti merana. Kita semua tahu yang sudah banyak lamaran hebat ditolak oleh Wuhaib dan Aminah."

     Kegirangan pemuda tadi hampir berkecai, kemarahan pula yang menjengah, "Kamu semua belum kenal siapa aku. Aku pasti memiliki Aminah!"

     Namun dia, para sahabat dan seluruh pemuda Arab Quraisy tahu yang mereka pasti kecewa sekiranya menaruh harapan mahu memperisterikan Aminah binti Wahab.


====================


"Kejelitaanmu bak bidadari dari kayangan," ungkap seorang penyair tatkala terpandang wajah Aminah.

     "Beruntung siapa yang memperisterikan Aminah, anak saudara Wuhaib. Bukan sahaja cantik dan sopan, malah cerdas dan bijak orangnya," ujar golongan ibu bapa pula. Mereka memasang harapan supaya anak lelaki mereka mampu memancing perhatian anak gadis itu.

     "Bayangkan anak yang bakal lahir daripada rahimnya. Sekiranya anak itu lelaki, pasti sempurna seperti malaikat. Sekiranya anak itu perempuan, pasti sempurna seperti para bidadari syurga." Begitulah kata-kata pujian yang terhambur daripada masyarakat Arab yang tinggi nilai kesusasteraannya.

     Menjadi tradisi mereka menjadikan keindahan alam, kecantikan, dan ketampanan sebagai tema syair mereka. Bukan itu sahaja, malah syair digunakan bagi membodek dan mengeji pembesar-pembesar mahupun individu yang mereka tidak sukai. Menjadi penyair adalah kerja yang mulia pada waktu itu. Mereka beraksi setiap hari di pasar Mekah.

     Sungguh Allah menjadikan manusia itu berpasangan, sebelum kejadian Adam dan Hawa lagi. Allah dengan segala kekuasaannya mencipta makhluk-makhluk yang berpasangan. Itulah antara penyebab nabi Adam memohon pasangan untuk dirinya juga. Maka diciptakan Hawa sebagai pasangan yang bahagia di syurga daripada rusuk kirinya sendiri.

     Sehinggalah... datang Iblis yang dilaknat Allah....


====================


Di Mekah yang gersang, sedang tumbuh sekuntum bunga yang sangat cantik dan indah. Ramai yang cuba menyuntingnya, namun semuanya hampa. Maha adil Allah, Tuhan sekalian alam, tidak jauh dari si bunga yang sedang indah menguntum itu, tumbuh juga susuk seorang jejaka Arab yang sempurna.

     Dirinya tidak terlepas menjadi bualan para perawan. Mereka bahkan sentiasa berharap bertembung, terjumpa bahkan hidup bersama dengannya sebagai suami isteri. Sesetengah sehingga terbawa-bawa ke dalam mimpi.

     "Alangkah bahagia sekiranya di sanggup mengambil aku sebagai suri hidup." Angan seorang gadis yang kejelitaannya terserlah. Namun dia hanya mampu berangan-angan.

     "Akanku jadikan dirinya lelaki yang paling bahagia sekiranya dia sanggup memperisterikan aku." Ungkapan janji manis yang jarang dilafazkan oleh para gadis Arab Quraisy.

     "Sekiranya wanita Arab boleh memilih suaminya sendiri, saya tanpa ragu mahu memilih dia menjadi suamiku," getus gadis yang lain pula. 

     "Segalanya menjadi sempurna sekiranya dia menjadi suami kepada perempuan Arab," tingkah sang perawan yang lain pula.

     Begitulah seterusnya, susuk itu menjadi bayangan harapan para gadis Arab Quraisy. Beliau adalah Abdullah bin Abdul Mutalib, sebaik-sebaik pemuda Arab Quraisy.

     Di rumah Halah, dia sedang berkira-kira sesuatu. Nampak jelas pada wajahnya, ada kerunsingan yang berlegar.

     Juwairiah yang prihatin menegur, "Apakah yang mengganggu fikiran puan, sekarang? Dari tadi saya perhatikan puan gundah gulana sahaja."

     Halah terus bermenung. Pandangannya dilemparkan nun jauh ke tengah ombak putih padang pasir. Kadangkala pula dia tancapkan pandangannya di dada langit yang membiru luas. Walaupun kadangkala ada awan-awan putih berarakan memintas pandangannya. Halah tidak perasan mahupun mempedulikannya. Fikirannya menerawang. Hanya ada satu dalam fikirannya.

     "Aminah."

     "Aminah... mengapa dengan dia?" tanya Juwairiah.

     "Aminah adalah saudara yang amat saya cinta, bahkan saya mencintainya melebihi diri saya sendiri. Dia sudah pun menjadi perawan dan saya sudah bersuami. Dia juga akan bersuami, namun saya khuatir sekiranya suami dia tidak secocok dengan perilaku dan akhlaknya itu." Halah meluahkan rasa gusarnya.

     "Bukankah ramai yang mahu memperisterikannya? Saya tidak nampak mengapakah puan perlu risau fasal jodoh Aminah." Juwairiah memujuk kerana tidak mengerti apa yang berlegar dalam kepala puannya itu.

     "Itu yang menjadi kerisauan saya. Dalam ramai-ramai yang mahu menjadi suaminya, yang manakah paling tepat dipilih sebagai satu-satunya lelaki dalam hidupnya. Saya mempunyai rancangan, namun sehingga kini masih belum dapat dilaksanakan." Halah berkata dengan perlahan.

     "Maksud puan?"

     "Abdullah, anak kepada suami saya," jawab Halah.

     Juwairiah separuh menjerit, "Ya! Tiada yang paling sesuai dipadankan intan permata selain dengan manikam."

     Halah kembali mengeluh, ada lagi hal yang bersarang dalam benaknya. Alang-alang Juwairiah sudah bertanya, dia luahkan sahaja.

     "Masalahnya, suami saya masih belum maklum akan hajat saya ini. Saya tidak tahu apa pendapatnya sekiranya mendengar cadangan ini. Saya tidak risau fasal Abdullah. Sekiranya Abdul Mutalib bersetuju, Abdullah juga pasti bersetuju."

     "Sudahkah puan usulkan kepada tuan?" tanya Juwairiah itu kembali.

     "Belum, saya masih belum punya kesempatan. Sejak kebelakangan ini, dia sibuk, kelihatan letih dan tertekan apabila pulang ke rumah. Saya tahu sekarang bukan waktu yang sesuai bagi saya membincangkan hal-hal yang berat ini. Saya perlu menunggu sehingga suami saya benar-benar tenang dan bersedia. Kemudian baru saya maklumkan rancangan ini," jawab Halah.

     Hari yang dinantikan Halah tiba jua akhirnya. Hari ini dia melihat suaminya, Abdul Mutalib senang hati. Dia segera memainkan peranannya. Selepas dilayan suaminya dengan hidangan makanan dan minuman yang lazat-lazat, lantas dia dengan lemah lembut memulakan perbincangan.

     "Wahai suamiku, sesungguhnya saya berasa amat bertuah dan beruntung sekali bersuamikan kamu," ucap Halah dengan nada yang ceria.

     Abdul Mutalib tersenyum bangga dipuji isterinya yang masih muda itu.

     "Tidak pernah kurang harta kekayaan, pakaian, dan makanan selama ini. Namun kekayaan, pangkat, dan nama tidak semestinya menjamin kebahagiaan," sambung Halah.

     Abdul Mutalib sedikit terkejut. "Maksud kamu?"

     "Lihatlah pada kaum kita sekarang, para pemuda dan pemudi Arab Quraisy semuanya terlibat dengan keseronokan duniawi. Nilai-nilai mulia nenek moyang kita, Ismail dan Ibrahim sudah terhakis daripada diri mereka," terang Halah.

     Abdul Mutalib diam membisu seribu bahasa, dia tahu kata-kata isterinya itu penuh dengan kebenaran. Namun dia juga sudah tidak punya jalan bagi mengubah perangai kaumnya itu. Dia hanya mampu mengawal mereka daripada terus berbalah, bertelagah bahkan mungkin berbunuhan sesama sendiri. Yang lain-lain adalah di luar bidang pengaruhnya.

     "Bicarakan adinda, apa sebenarnya yang terbuku di sanubarimu?" soal Abdul Mutalib.

     Dengan cermat Halah menyusun kata, melantukan bicara. "Anakmu Abdullah, saya kira sudah mampu menanggung beban sebagai ketua keluarga."

     "Maksudmu?" Abdul Mutalib buat-buat tidak faham, walhal pada masa yang sama, dia juga sudah mengagak apa maksud isterinya itu.

     "Begini, bukankah kamu juga tahu yang saya dahulu ada sepupu yang muda beberapa tahun daripada saya. Dia sudah menjadi perawan yang cantik rupa dan budi bahasanya. Sesuai sekiranya pasangan itu disatukan atas ikatan perkahwinan," jelas Halah.

     Tiba-tiba, Abdul Mutalib ketawa. Dia kelihatan gembira sekali.

     "Isteriku, ketahuilah olehmu yang sememangnya Aminah pasti dinikahkan dengan puteraku Abdullah. Tanpa disangka kamu juga bersetuju, legalah hatiku. Selama ini saya berat hati memikirkan cara memaklumkan perancanganku itu," balas Abdul Mutalib pula.

     Halah tidak tertahan mahu meluahkan kegirangannya. "Benarkah bicaramu ini? Apakah benar ini adalah takdir kedua-dua mempelai putera dan puteri Arab Quraisy itu?"

     "Semoga Tuhan mempermudahkan urusan kita kelak," kata Abdul Mutalib sambil tersenyum apabila melihat isterinya gembira.

     Halah masih berbunga hatinya pergi ke rumah ayahnya apabila petang menjelang. Hal ini perlu disampaikan segera kepada ayahnya, Wuhaib bin Abdul Manaf. Pada petang itu mereka berbicara empat mata.

     Wuhaib hairan apabila anaknya itu datang tergesa-gesa, malah mengajaknya berbual di tempat yang tidak didengari orang.

     "Adakah kamu mempunyai masalah sehingga begini sulit mahu berbicara?" soal tanya Wuhaib yang hairan dengan sikap anaknya itu.

     Halah cuba menenangkan diri. "Ini adalah hal yang besar dan ia tentang Aminah."

     "Aminah? Mengapa dengannya?" tanya Wuhaib yang semakin hairan.

     "Apakah ayah sudah menerima lamaran mana-mana pemuda yang mahukan Aminah sebagai isteri mereka?"

     Wuhaib sudah separuh jelas mengenai maksud kedatangan Halah. "Belum lagi, mengapa? Kamu sudah ada calon yang sesuai?"

     "Inilah yang saya mahu bincang dengan ayah," jawab Halah.

     Wuhaib memasang telinganya.

     "Menantu ayah, suami saya mempunyai seorang anak yang bernama Abdullah."

     Wuhaib memotong, "Ya, ayah tahu dan kenal pemuda itu."

     "Dia adalah calon paling layak untuk Aminah."

     "Atas dasar apa kamu berkata begitu?"
  
     "Tidak ada pemuda Quraisy lain yang mampu menandingi Abdullah. Seorang pemuda yang segak perkasa, baik tutur katanya, mulia pekertinya, paling cerdas, dan terhindar daripada segala jenis maksiat yang sedang galak dilakukan oleh pemuda-pemuda kaum Quraisy sendiri."

     "Benar kata-katamu itu."

     "Sinar di matanya memancarkan suluhan cahaya sama dengan Aminah. Sekiranya dipertemukan kedua-dua cahaya ini, alangkah indahnya dunia ini, alangkah bertuahnya tanah Arab ini dan alangkah beruntungnya Mekah."

     Wuhaib terdiam seketika dan dalam dia berfikir. Sekiranya dipendekkan rancangan dan cadangan daripada Halah, adalah lebih baik. Siapa tidak kenal Abdullah, begitu juga siapa yang tidak mengenali Aminah.

     "Namun, adakah suamimu bersetuju untuk bermenantukan Aminah? Adakah benar Aminah yang dikehendaki sebagai menantu keluarganya?" soal Wuhaib.

     Mata Halah bersinar dan mulutnya terus petah menyusun kata memberitahu ayahnya.

     "Saya pernah berbincang dengannya tentang hal ini. Saya ajukan kepadanya beberapa soalan tentang mereka berdua. Mula-mula saya mengetahui yang suami saya mahu mengahwinkan puteranya, maka saya berikan beberapa nama calon dalam kalangan perawan-perawan Quraisy daripada bani Hasyim dan bani Zuhrah. Ternyata dia menolak," jawab Halah.

     Wuhaib tekun mendengar.

     "Abdul Mutalib memaklumkan yang dia tidak mahu menjodohkan gadis-gadis itu dengan puteranya, Abdullah. Ini kerana dia mahukan bakal menantunya seorang gadis yang cantik, cerdas, suci, dan pintar. Dia juga mahukan menantu yang dapat memikul bebanan hidup bersama puteranya itu. Susah dan senang mesti bersama suaminya, dapat menjaga amanah suaminya saat tiada di rumah dan membahagiakan apabila pulang ke rumah. Bakal isteri Abdullah juga menjadi pendorong ke arah keagungannya. Kedua-dua mereka juga mesti membina istana bahagia yang tenang dan nyaman yang menjadi tempat kedua-duanya beristirehat, senandung puisi dan syair indah. Dia juga mahukan bakal menantu daripada kalangan bani Abdul Manaf, keturunan terhormat daripada kaum Quraisy. Daripada rusuk-rusuk mulia itulah, bakal lahirnya keturunan yang mulia. Bukankah pengaruh keturuna kedua-duanya adalah penentu anak-anak pada masa hadapan," terang Halah dengan panjang lebar.

     Halah menamatkan bicaranya yang panjang lebar itu. Ayahnya, Wuhaib semakin dicengkam galau, antara gembira ataupun tidak.

     "Sehinggalah saya usulkan nama Aminah dan beliau terus sahaja bersetuju."

     "Benarkah begitu?"

     Halah mengangguk-angguk sambil memandang wajah ayahnya yang masih kurang percaya. Maklumlah, Abdullah sudah menjadi buah mulut dan rebutan para perawan di Mekah. Daripada segi logiknya, Abdullah dan Aminah sangat sepadan. Kedua-duanya mempunyai banyak persamaan.

     Wuhaib diam seketika. Dia masih berkira-kira.

     "Benar anakku, selain Aminah, siapa lagi yang mempunyai ciri-ciri yang disebut oleh suamimu itu." Wuhaib akhirnya membenarkan kata-kata anaknya itu.

     "Ya, tiada seorang pun daripada keseluruhan perawan Arab yang persis Aminah. Itulah kenyataannya, apa pendapat ayah?"

     "Sekiranya benar, mengapa pula sehingga sekarang Abdul Mutalib belum datang dan menyampaikan hasrat mahu menyunting Aminah buat anaknya Abdullah. Dia pun tahu sekiranya dirinya yang berbicara kepadaku, Aminah pasti menjadi milik bani Hasyim dengan serta-merta. Namun saban hari pula, ayah melihat Abdul Mutalib asyik termenung, seakan mempunyai masalah yang besar terbeban di bahunya. Dia seolah-olah sedang berwaspada kepada bencana yang bakal menjelang. Kami yang berada di sekelilingnya pun tidak dihiraukan. Hampir sahaja kami menganggap beliau hanya pentingkan dirinya sendiri," jawab Wuhaib.

     Halah faham maksud ayahnya kerana suaminya juga berkelakuan demikian apabila berada di rumah, padahal semua orang kenal dan tahu yang Abdul Mutalib mulia dan baik pekertinya. Beliau juga ketua kaum yang berani dan dermawan, seorang yang sangat mempercayai takdir dan kuasa Tuhan serta berkeyakinan jitu yang segala ketentuan adalah milik Tuhan semata-mata.

     Halah kemudian tersenyum kepada ayahnya lalu berkata, "Memang begitulah keadaan menantu ayah itu sejak kebelakangan ini. Saya juga kurang pasti apakah musibah yang menimpanya. Beliau bukan penghutang yang dalam buruan para pemiutang. Beliau juga bukan seorang miskin yang asyik mengeluh pada kemiskinan dan kekayaannya. Kekayaan baginya juga hanyalah pinjaman daripada Tuhan semata-mata. Keturunannya sudah ramai dan mereka semua membesar dengan keadaan yang mencukupi. Walau apa pun masalah suamiku itu, saya yakin dia menemui jalan keluar dengan segera. Kemudian dia segera datang menemui ayah bagi menyatakan hasrat meminang Aminah untuk anaknya, Abdullah."

     "Bila Halah? Adakah Abdul Mutalib tidak tahu yang ayah sudah letih berhadapan dengan para pemuka dan putera-putera Arab lain bagi menolak permintaan, pujukan, dan amaran mereka? Siang dan malam tiada henti. Mereka datang dengan desakan, sama ada berseorangan mahupun rombongan, kadang-kadang mereka menggunakan kerabat kita sendiri. Kadangkala pula mereka meminta kerabat mereka dan pemimpin kaum yang berpengaruh. Tidakkah Abdul Mutalib bimbang yang ayah menyerahkan Aminah kepada salah seorang daripada mereka?"

     Pantas Halah mencelah dan menjawab persoalan hati ayahnya itu, "Sesungguhnya Abdul Mutalib amat memahami diri ayah. Ayah juga tidak asing padanya, tambahan pula dia sekarang adalah menantu dan sahabat ayah. Dia yakin yang ayah memahami dirinya, justeru dia pasti yang ayah tidak menerima lamaran daripada pemuda Quraisy yang buruk akhlaknya. Selain itu, bukankah perhatian dan kemesraan Abdul Mutalib kepada Aminah sejak kecil lagi. Bukankah Abdul Mutalib juga pernah menghadiahkan Aminah sebuah hadiah yang indah daripada Yaman iaitu sehelai baju sutera asli yang penuh perhiasannya, sedangkan baju sutera sebegitu hanya dipakai oleh mempelai perempuan ketika berkahwin. Bukankah itu tanda yang Aminah adalah calon menantunya untuk Abdullah."

     Halah menyambung, "Cuma Abdul Mutalib sedang mencari waktu yang sesuai dan tepat bagi membicarakan hal ini secara rasmi. Dia masih kusut dengan masalah yang saya sendiri tidak diberitahu puncanya. Namun, hal serta masalah itu pasti berlalu. Aminah juga masih muda walaupun susuknya menampakkan kematangan. Saya pasti yang Abdullah juga berkenan dengan Aminah, cuma dia perlu menunggu restu daripada ayahnya sahaja."

     Mendengar jawapan yang panjang lebar itu, membuatkan Wuhaib terpegun seketika.

     Dia kemudian bersuara perlahan, "Jadi menurutmu, adalah wajah ayah tolak sahaja semua pinangan yang menjengah saban hari?"

     "Itulah sebaiknya. Hakikatnya Abdul Mutalib sememangnya mahukan Aminah sebagai bakal menantunya dan isteri kepada anaknya yang tercinta, Abdullah. Abdul Mutalib tidak mudah berubah fikirannya. Saya mendengar sendiri bicaranya berkenaan hal ini. Aminah sudah menjadi milik Abdullah. Apabila kekalutan Abdul Mutalib selesai, doakan sahaja mereka berdua berjaya disatukan atas nama Tuhan," jelas Halah.

     Wuhaib terdiam termangu. Berat fikirannya memikirkan soal ini kerana dia adalah kata pemutus dalam hal ini. Dia adalah bapa saudara Aminah, adik-beradik kepada Wahab bin Abdul Manaf yang membela Aminah sejak dia masih kecil sehingga tumbuh mekar sebagai perawan Arab yang anggun.

     Selepas mengucapkan selamat tinggal kepada ayahnya, Halah keluar meninggalkan ayahnya seorang diri di dalam biliknya. Membiarkan ayahnya melayan galau hati sendirian.

     Halah keluar ke laman dan mendapatkan Aminah. Dia berazam tidak sekali-kali membocorkan rahsia perbincangannya dengan Wuhaib mahupun Abu Talib.

     Mereka berdua mula bercerita hal-hal semasa, rumah tangga, dan hal-hal kehidupan mereka. Mengiringi Halah adalah para abdi suaminya.

     Apabila malam hampir larut, Halah tahu dia perlu pulang. Suaminya pasti runsing sekiranya dia terlewat pulang.

     "Baiklah Aminah, saya terpaksa beransur dulu," kata Halah.

     Aminah tersenyum pahit kerana dia tidak mahu melepaskan Halah pulang. Dia teringat zaman mereka kecil-kecil dahulu yang sentiasa bersama dalam segenap hal, bahkan bilik dan pakaian mereka juga dikongsi bersama.

     Namun, ini keadaan sudah berubah. Halah adalah isteri orang, dia perlu taat dan setia kepada suaminya. Begitu juga Aminah selepas dirinya berkahwin kelak.

     "Baiklah Halah, saya pasti merinduimu," kata Aminah sedikit sebak.

     "Esok kamu mesti datang ke rumah saya. Saya sudah meminta izin daripada ayah dan suami. Mereka tidak menghalang kita bertemu," tingkah Halah sambil bangun dan tersenyum kepada Aminah.

     Sambil mengatur langkah, Halah memberikan amanat terakhirnya kepada Aminah, "Jangan lupa malam esok, datang ke rumah saya dan jangan lambat!"

     Kedua-duanya tersenyum bahagia kerana rasa rindu masing-masing sudah terubat. Mereka tidak sabar menanti hari bertukar kerana mahu bertemu kembali.




P/S: DARIPADA BUKU SRIKANDI-SRIKANDI YANG BENAR, DITULIS OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI

No comments:

Post a Comment