Wednesday, 28 March 2018

PERANG KHAIBAR [ BAB 25 - UMRATUL QADAK ]






UMRATUL QADAK








Zulkaedah Tahun Ketujuh Hijrah

Pagi itu selepas sembahyang subuh Nabi Muhammad menyatakan keinginannya mahu pergi ke Mekah bagi menunaikan ibadat umrah Qadak. Setahun sebelum itu hasrat baginda mahu mengerjakan umrah tidak kesampaian apabila dihalang oleh kaum Quraisy yang berakhir dengan termeterainya Perjanjian Hudaibiyah. Antara kandungan perjanjian itu Nabi Muhammad dan pengikutnya tidak dibenarkan masuk ke Mekah pada tahun itu, mereka hanya dibenarkan mengerjakan umrah pada tahun berikutnya. Selepas genap setahun Nabi Muhammad mahu menunaikannya dan ibadat itu dinamakan Umratul Qadak atau ibadat umrah yang tertangguh itu.

     "Wahai Rasulullah, adakah semua umat Islam di Madinah ini dibenarkan ikut serta?" tanya Abu Dzar Al-Ghafari.

     "Keutamaan diberikan kepada mereka yang bersamaku di Hudaibiyah. Namun yang lain dibenarkan menyertainya," jawapan Nabi Muhammad itu menggembirakan umat Islam Madinah. Ramai yang menyatakan kesediaan mereka bagi menyertainya.

     "Wahai Abu Dzar, semua pengikut Nabi Muhammad dibenarkan menyertai baginda ke Mekah mengerjakan ibadat umrah kecuali kamu dan Abu Rahmin Khaltum bin Husain," kata Abu Bakar As-Siddiq yang diberi tanggungjawab mendaftarkan nama mereka yang mahu turut serta.

     "Mengapa kami berdua tidak dibenarkan? Apakah kesalahan kami?" tanya Abu Dzar dengan wajah yang sedih.

     "Kamu berdua diberi tanggungjawab yang lebih besar iaitu menjadi pengganti Rasulullah di Madinah," jawab Abu Bakar As-Siddiq sambil tersenyum.

     Barulah senang hati Abu Dzar dan Abu Rahmin Khaltum mendengarnya. Malah kedua-duanya merasakan satu penghargaan kerana dilantik sebagai pengganti selaam pemergian baginda Rasulullah SAW.

     "Berapa orang yang sudah menyatakan kesanggupan mereka mengiringi Rasulullah?" tanya Abu Rahmin Khaltum pula.

     "Dua ribu orang termasuk kaum wanita," jawab Abu Bakar As-Siddiq.

     Menurutnya lagi, Rasulullah SAW membawa enam puluh ekor unta bagi dijadikan korban selepas selesai mengerjakan umrah. Kesemua unta itu diberi tanda pada lehernya.

     "Kami akan diiringi seratus orang tentera berkuda dan kami juga boleh membawa senjata yang diikatkan pada pinggang," kata Abu Bakar As-Siddiq lagi.

     "Bukankah dalam perjanjian Hudaibiyah, kita tidak dibenarkan membawa senjata memasuki Kota Mekah?" tanya Abu Dzar Al-Ghifari pula.

     "Nabi Muhammad seorang yang bijaksana. Beliau tidak mudah terpedaya dengan tipu helah musuh. Kerana itu pemergian kami akan diawasi pasukan tentera berkuda. Kami juga dibenarkan membawa senjata dengan syarat disarungkan dan diikat pada pinggang. Sekiranya berlaku pengkhianatan kami dapat berlindung dengan pasukan tentera berkuda dan senjata yang ada pada kami dapat digunakan bagi mempertahankan diri," jawab Abu Bakar As-Siddiq.

     "Bijak sungguh Nabi Muhammad kerana kaum Quraisy di Mekah boleh mengubah ataupun melanggar perjanjian itu pada bila-bila masa. Sekiranya kita pergi dalam keadaan tidak bersedia dan sekiranya terjadi apa-apa alamat binasalah kita," puji Abdul Rahman bin Auf yang turut berada di situ.

     Beberapa hari kemudian maka berangkatlah Nabi Muhammad bersama pengikutnya seramai dua ribu orang menuju ke Kota Mekah. Sepertimana yang dirancang mereka dikawal seratus tentera berkuda yang dilengkapi dengan senjata. Mereka juga membawa enam puluh ekor unta bagi dijadikan binatang korban. Kerana mereka pergi bukan bagi berperang maka perjalanan hanya pada sebelah siang. Manakala pada sebelah malam mereka berehat.

     Berita keberangkatan Nabi Muhammad bersama dua ribu pengikutnya itu sampai ke Kota Mekah. Pemimpin-pemimpin Quraisy segera mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan perkara itu.

     "Kita belum tahu apa tujuan sebenar Muhammad dan pengikutnya begitu ramai datang ke Kota Mekah. Kerana itu kita perlu bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan. Sekiranya Muhammad datang mahu menyerang Mekah kita akan pertahankan hingga ke hujung nyawa," kata Abu Sufian bin Harb yang sememangnya tidak berasa senang hati sejak mendapat berita itu.

     "Saya yakin Muhammad dan pengikutnya datang ke Mekah dengan tujuan yang baik iaitu bagi mengerjakan umrah. Bukankah dalam Perjanjian Hudaibiyah mereka dibenarkan datang semula ke Mekah setahun selepas perjanjian itu. Sekarang sudah genap setahun. Kerana itu saya yakin mereka datang bagi beribadat bukan berperang," kata Abbas bin Abdul Mutalib yang sejak mula sentiasa menyebelahi Nabi Muhammad walaupun dia belum memeluk Islam.

     "Sama ada Muhammad datang bagi beribadat atau berperang saya tetap tidak senang hati. Kerana itu kita perlu bersiap sedia. Hantar pasukan tentera di pinggir Kota Mekah bagi mengawasi kedatangan mereka," kata Safwan.

     Cadangan itu dipersetujui sebulat suara. Maka semua kaum lelaki dewasa diminta bersiap sedia. Khalid Al-Walid pula dilantik memimpin pasukan berkuda Quraisy bagi mengawasi sempadan Kota Mekah.

     Apabila Nabi Muhammad dan rombongannya sampai di Marraz Ad-Dhahram suatu tempat di pinggir kota Mekah mereka terserempak dengan angkatan tentera berkuda Qurasy yang diketuai Khalid Al-Walid. Beliau memerintahkan tenteranya mengawasi angkatan Nabi Muhammad kemudian melaporkannya kepada Abu Sufian bin Harb.

     "Saya yakin Muhammad datang mahu menyerang Kota Mekah. Kerana itu hendaklah kamu menyerang mereka terlebih dahulu sbeelum sempat mereka menjejakkan kaki ke sini," perintah Abu Sufian bin Harb.

     "Menyerang mereka secara membuta tuli bukan tindakan yang bijak. Malah boleh mengundang padah," kata Khalid Al-Walid pula. Kemudian katanya lagi.

     "Muhammad dan pengikutnya memakai pakaian ihram dan membawa unta bagi disembelih. Kerana itu saya yakin mereka datang bagi mengerjakan umrah. Bukankah kita dilarang menyerang mereka yang hendak beribadat. Kerana itu lebih baik kita tanyakan dulu apa maksud kedatangan mereka. Sekiranya berniat jahat maka saya dan pasukan tentera saya akan menghancurkan mereka."

     Abu Sufian bin Harb akhirnya bersetuju dengan cadangan Khalid Al-Walid itu. Dia menghantar tiga orang wakil diketuai Makraz bin Hafas menemui Nabi Muhammad yang sudah sampai di Batnu Najih. Kedatangan mereka disambut dengan baik lalu dibawa berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW.

     "Wahai Muhammad, demi Allah saya mengenali kamu sejak kecil hingga lanjut usia yang kamu seorang yang tidak pernah bercakap bohong. Kerana itu jawab pertanyaan ini dengan jujur dan berterus terang," kata Makraz.

     "Baiklah," jawab Nabi Muhammad.

     "Saya mahu tahu apa tujuan sebenar kamu datang ke Mekah dengan membawa pengikut yang begitu ramai?" tanya Makraz.

     "Kami datang mahu mengerjakan umrah Qadak," jawab Nabi Muhammad.

     "Apa yang kamu maksudkan dengan umrah Qadak?" tanya Makraz lagi.

     Nabi Muhammad pun mengingatkan semula kisah setahun sebelum itu mereka pernah datang bagi mengerjakan ibadat umrah tetapi dihalang sehingga termeterainya Perjanjian Hudaibiyah. Kerana itu dinamakan umrah Qadak.

     Makraz masih tidak berpuas hati lalu berkata, "Wahai Muhammad, demi Allah sejak kecil hingga kamu lanjut usia, bukankah kamu tidak pernah mungkir janji?"

     "Benar," kata Nabi Muhammad SAW.

     "Mengapa kamu mahu masuk ke tanah haram dengan membawa tentera berkuda dan peralatan perang? Bukankah dalam Perjanjian Hudaibiyah kamu tidak dibenarkan membawa senjata? Bukankah itu sudah mungkir janji?" tanya Makraz lagi.

     "Kami tidak akan masuk ke tanah haram dengan membawa senjata," kata Nabi Muhammad.

     Menurut baginda, pasukan tentera berkuda akan tinggal di luar tanah haram. Namun mereka akan bertindak sekiranya Nabi Muhammad dan pengikutnya diserang ketika mengerjakan umrah.

     "Dalam Perjanjian Hudaibiyah kami tidak boleh membawa senjata dengan syarat disarungkan dan terikat di pinggang," kata Saidina Ali bin Abi Talib pula.

     "Sekiranya begitu Muhammad seorang yang menepati janji." Akhirnya Makraz berpuas hati lalu memujuk pengiringnya kembali ke kota Mekah bagi melaporkannya kepada Abu Sufian.

     "Muhammad dan pengikutnya datang bagi mengerjakan umrah. Mereka masuk ke Mekah berdasarkan apa yang sudah dijanjikannya dalam Perjanjian Hudaibiyah. Pasukan tentera berkuda akan berada di Batnu Najih dan mereka masuk tidak membawa senjata kecuali pedang yang disarung," kata Makraz melaporkan.

     "Pengakuan itu tidak cukup. Saya mahu Muhammad menyuruh pasukan tentera berkudanya pulang ke Madinah. Muhammad serta pengikutnya masuk ke Mekah tanpa membawa apa-apa senjata walaupun sebilah pedang yang disarungkan," kata Safwan yang sememangnya tidak mahu Nabi Muhammad dan pengikutnya masuk ke Mekah.

     "Sekiranya itu yang dilakukan bermakna kita yang melanggar perjanjian. Kerana dalam Perjanjian Hudaibiyah mereka hanya dilarang memasuki tanah haram dengan membawa senjata perang. Kita tidak boleh menghalang tentera berkuda mereka berada di luar tanah haram," bantah Makraz pula.

     "Sekiranya begitu kita batalkan sahaja Perjanjian Hudaibiyah dan jangan benarkan mereka masu ke Kota Mekah," kata Safwan yang terkenal dengan kebenciannya terhadap Nabi Muhammad dan pengikutnya.

     "Pasti berlaku peperangan antara kita dengan Muhammad. Kita yang akan dipersalahkan kerana melanggar Perjanjian Hudaibiyah. Seperkara lagi yang kita perlu ingat. Muhammad dengan dua ribu pengikutnya sudah berada di Batnu Majih. Sekiranya berlaku pertempuran maka pertempuran itu berlaku di dalam Kota Mekah. Nyawa anak dan isteri kita terancam. Kerana itu lebih baik kita elakkan daripada berlakunya peperangan yang pasti merugikan kita," kata Makraz pula yang berpendapat Nabi Muhammad dan pengikutnya sedia berperang sekiraya dihalang masuk ke Mekah.

     "Sekiranya begitu apa pendapat kamu?" tanya Abu Sufian yang berasa bimbang sekiranya berlaku pertempuran dalam Kota Mekah kerana itu belum pernah berlaku.

     "Muhammad seorang yang berpegang teguh pada janji. Apabila sudah berjanji dia tidak akan memungkirinya. Kerana itu kita minta Muhammad berjanji selepas mengerjakan ibadat umrah mereka perlu keluar dari Kota Mekah dan pulang segera ke Madinah," kata Makraz mencadangkan.

     "Saya setuju tetapi dengan syarat kita tetapkan tempohnya tidak lebih tiga hari sahaja. Selepas itu Muhammad dan semua pengikutnya perlu meninggalkan Kota Mekah dan tidak boleh kembali lagi," sokong Suhail bin Amru.

     "Syarat itu tidak adil kerana selama ini pun kita tidak pernah memberi syarat begitu kepada sesiapa yang mahu mengerjakan umrah. Mereka boleh tinggal seberapa lama yang mereka mahu," bantah Abbas bin Abdul Mutalib yang turut dipanggil dalam perbincangan itu.

     "Muhammad itu musuh kita kerana kita pernah berperang dengannya sebanyak tiga kali. Kerana itu tidak boleh diberi layanan seperti yang lain yang tidak pernah bermusuhan dengan kita," bantah Safwan pula.

     Akhirnya Abu Sufian bersetuju dengan cadangan Suhail dan Makraz yang membenarkan Nabi Muhammad bersama pengikutnya mengerjakan umrah dengan syarat cuma selama tiga hari. Mereka juga tidak boleh mengambil apa-apa harta penduduk Mekah dan tidak dibenarkan merosakkan berhala-berhala yang terdapat di keliling Kaabah.

     Sekali lagi Makraz menemui Nabi Muhammad bagi memberitahu syarat-syarat itu. Baginda bersetuju dengan bersyarat pula iaitu penduduk Mekah perlu berjanji tidak akan mengganggu ataupun menghalang Nabi Muhammad dan pengikutnya selama tiga hari berada di Kota Mekah. Sekiranya syarat itu dilanggar maka pasti terjadi pertempuran. Abu Sufian terpaksa bersetuju dengan syarat itu.

     "Wahai Abu Sufian, saya yakin Muhammad dan pengikutnya dapat mematuhi syarat-syarat yang kita tetapkan. Tetapi saya yakin penduduk Mekah yang tidak dapat mematuhi syarat yang dminta Muhammad," kata Abbas sambil melahirkan rasa bimbangnya.

     "Syarat yang mana satu kamu fikir penduduk Mekah tidak dapat patuhi?" tanya Abu Sufian pula.

     "Muhammad dan pengikutnya akan berada di Kota Mekah selama tiga hari. Saya bimbang ada penduduk Mekah yang berasa sakit hati ataupun menaruh rasa dendam lalu memukul, mencederakan ataupun membunuh salah seorang pengikut Muhammad. Sekiranya itu terjadi nescaya akan berlaku pertempuran dalam tanah haram ini," kata Abbas sambil meluahkan rasa kekhuatirannya.

     Selepas berfikir sejenak maka Abu Sufian pun berkata, "Benar juga kata kamu itu. Saya sendiri tentu tidak dapat menahan perasaan apabila melihat Muhammad dan pengikutnya tawaf mengelilingi Kaabah dengan cara mereka. Saya tidak dapat memberi perjanjian penduduk Mekah yang memusuhi Muhammad dapat menahan perasaan mereka apabila terserempak dengan Muhammad dan pengikutnya di hadapan Kaabah."

     "Sekiranya begitu apa yang patut kita lakukan bagi mengelakkan terjadinya sesuatu yang buruk antara penduduk Mekah dengan Muhammad dan pengikutnya?" tanya Suhail pula yang turut berasa khuatir.

     "Mereka yang memusuhi Muhammad dan pengikutnya diminta keluar dan keluar dari Kota Mekah selama tiga hari. Mereka boleh berada di sekitar Kota Mekah dengan itu tidak berlaku pertembungan antara kedua-dua belah pihak," kata Abbas mencadangkan.

     "Bagaimana sekiranya pengikut Muhammad mencuri barang-barang berharga penduduk Mekah?" tanya Safwan pula.

     "Yang keluar cuma kaum lelaki. Kaum perempuan dan kanak-kanak tetap berada di rumah masing-masing. Dan lagi kita akan pastikan apabila keluar dari Kota Mekah, Muhammad dan pengikutnya tidak membawa apa-apa barang kepunyaan penduduk Mekah," jawab Abbas.
  
     "Satu cadangan yang baik. Saya akan usahakan perkara itu," kata Abu Sufian.

     Sekali lagi Makraz bertemu dengan Nabi Muhammad menyuruhnya menunggu dulu di Batnu Majih bagi membolehkan penduduk Kota Mekah keluar. Kemudian barulah Nabi Muhammad dibenarkan masuk ke dalam Kota Mekah.

     Bagi memenuhi syarat perjanjian itu maka hanya seribu lapan ratus orang yang masuk ke dalam Kota Mekah. Dua ratus orang lagi termasuk seratus tentera berkuda menunggu di Batnu Najih yang terletak di luar tanah haram. Baginda juga membawa enam puluh ekor unta bagi dijadikan korban.

     Nabi Muhammad dan pengikutnya melangkah masuk ke dalam Kota Mekah dengan perasaan yang gembira. Baginda menaiki unta yang bernama Al-Qaswa. Abdullah bin Rawahah memimpin tali unta yang baginda naiki lalu bersyair.

     Kami pengikut Nabi Muhammad
     Berada di jalan yang benar dan lurus
     Biarlah orang-orang kafir itu melalui jalannya
     Yang gelap dan berkerikil
     Biarkanlah
     Kerana segala kebaikan itu ada pada Rasul-Nya
     Wahai Tuhan
     Sesungguhnya kami ini
     percaya dengan perkataan nabi
     kami mengenal hak Allah melalui ucapannya
     Kami berperang mengikut perintahnya
     Mematuhi larangan yang diturunkan kepadanya
     Kami sanggup memukul dan memisahkan kepala orang dari tubuhnya
     Dan memisahkan orang yang bercinta dengan kekasihnya...

Nabi Muhammad berasa kurang senang mendengar syair yang dibacakan Abdullah bin Rawahah itu kerana bimbang menyinggung penduduk Mekah yang mendengarnnya. Baginda membacakan syairnya.

     Ucapkanlah olehmu
     Tidak ada Tuhan melainkan Allah yang Esa
     Yang benar janji-Nya
     Yang menolong hamba-Nya
     Yang memberi kemenangan kepada bala tentera-Nya
     Yang mengalahkan musuh bersekutu
     Dengan sendiri-Nya.

     Abdullah bin Rawahah mengucapkan apa yang diucapkan oleh Nabi Muhammad itu dengan suara yang kuat hingga dapat didengar serta diikuti orang ramai. Maka bergemalah suara seribu lapan ratus orang ke angkasa Kota Mekah menyebabkan orang Quraisy yang berada di berada di sekitar Kota Mekah mahu melihatnya dari jauh. Mereka berasa kagum dengan kehebatan Nabi Muhammad bersama pengikutnya.

     "Kita pernah melihat raja-raja di tanah Arab datang ke Mekah tetapi tidak sehebat Muhammad dan pengikutnya. Sesungguhnya Muhammad itu adalah raja segala raja," kata Abu Salam yang begitu terpesona melihat kehebatan Nabi Muhammad.

     Safwan marah, dipukulnya lelaki itu lalu berkata, "Kamu pergilah menjadi pengikut Muhammad. Jangan bersama kami di sini."

     Nabi Muhammad tahu pergerakan beliau dan pengikutnya sedang diperhatikan penduduk Kota Mekah dan mereka yang berada di lereng-lereng bukit di sekitar kota itu. Kerana itu baginda mahu memperlihatkan kehebatannya dengan mendedahkan bahu di sebelah kanan kemudian menyuruh pengikutnya berbaris dan berjalan di keliling Kaabah dengan menghayunkan bahu yang terdedah itu. Pergerakan mereka seperti pasukan tentera yang kelihatan begitu gagah, begitu hebat sehingga menggerunkan kaum musyrikin melihatnya.

     Apabila sampai di hadapan Kaabah, Nabi Muhammad memulakan umrah dengan berdiri lalu mengucapkan Hajaratul Aswad kemudian baginda berlari-lari harwalah iaitu berlari yang langkah kaki pendek-pendek dan dipercepatkan seperti berlatih sukan. Perbuatan nabi itu diikuti oleh semua sahabat seribu lapan ratus orang lelaki. Mereka berlari tiga kali mengelilingi Kaabah. Tetapi tidak berlari harwalah sebaliknya berjalan seperti biasa hingga sampai di Hajatul Aswad. Kemudian berlari semula secara berlari harwalah. Begitu yang dilakukan sampai tiga pusingan. Selepas tiga pusingan baginda tidak lagi berlari tetapi berjalan seperti biasa hingga sampai tujuh pusingan.

     Selepas bertawaf Nabi Muhammad dan pengikutnya bersa'i dari Bukit Safar dan Marwah kemudian bercukur. Selepas itu menyembelih binatang korban. Pada malam itu mereka bermalam di sekitar Masjidil Haram.

     Pada keesokan harinya atau pada hari kedua Nabi Muhammad masuk ke dalam Kaabah bagi beramal ibadat hingga tengah hari. Selepas masuk waktu sembahyang zohor Nabi Muhammad keluar lalu menyuruh Bilal bin Rabah azan. Bilal naik ke atas Kaabah lalu azan gema suaranya berkumandang ke angkasa Kota Mekah. Penduduk Mekah berasa takjub mendengarnya. Kemudian mereka sembahyang berjemaah dengan Nabi Muhammad menjadi imam.

     Apabila baginda rukuk diikuti para pengikutnya di belakangnya yang turut rukuk. Apabila nabi sujud diikuti para pengikutnya. Semuanya diperhatikan orang ramai dengan rasa takjub.

     Selepas sembahyang zohor Nabi Muhammad dan pengikutnya mengambil kesempatan menziarahi saudara mara dan kenalan yang masih berada di kota Mekah. Ramai pula yang melihat kawasan rumah dan ladang yang ditinggalkan. Apabila masuk waktu sembahyang asar sekali lagi Bilal mengumandangkan azan dan orang ramai berkumpul semula di Masjidil Haram bagi sembahyang berjemaah. Begitu yang mereka lakukan setiap kali masuknya waktu sembahyang lima waktu.

     Dalam kalangan kaum wanita di Kota Mekah ada seorang bernama Barrah binti Al-Harith secara diam-diam melihat Nabi Muhammad dan pengikutnya mengerjakan ibadat umrah dan sembahyang berjemaah. Beliau begitu terpesona apabila melihat wajah Nabi Muhammad SAW lalu mahu menjadi isterinya. Barrah meluahkan rasa hatinya itu kepada Ummu Fadhal isteri Abbas bin Abdul Mutalib. Kemudian Abbas berjumpa dengan Nabi Muhammad lalu menceritakan hasrat wanita itu.

     "Adakah kamu sudi berkahwin dengannya?" tanya Abbas.

     Nabi Muhammad menyatakan kesudiannya lalu mengutus Jaafar bin Abdul Mutalib meminang Barrah kemudian Abbas bin Abdul Mutalib menjadi wali hakimnya. Nabi Muhammad menukar nama Barrah kepada Maimunah bererti 'orang yang bahagia'.

     Pada hari yang ketiga maka datang dua orang utusan Quraisy iaitu Suhail bin Amru dan Hawaitib bin Abdul Uza bertemu dengan Nabi Muhammad lalu berkata, "Wahai Muhammad, oleh kerana hari ini adalah hari penghabisan kamu berada di sini seperti yang dijanjikan maka hendaklah kamu keluar dari sini dengan segera sekarang juga," kata Suhail bin Amru.

     Saad bin Ubadah ketua kaum Ansar dari suku Khazraj berasa marah dengan kata-kata kasar yang diucapkan wakil Quraisy itu lalu berkata, "Kota Mekah ini bukan tanah air kamu dan bukan tanah air orang tua kamu. Sesiapa pun boleh tinggal di sini seberapa lama yang mereka mahu."

     Nabi Muhammad memberi isyarat supaya jangan sesiapa masuk campur kerana itu urusan beliau dengan penduduk Mekah. Dengan nada suara yang lunak Nabi Muhammad berkata, "Apakah kamu keberatan membenarkan saya tinggal di Mekah buat sehari sahaja lagi? Kerana saya hendak membuat sedikit majlis jamuan bagi meraikan pernikahan saya dengan Maimunah. Yang mana dalam majlis itu saya akan menjemput kamu menghadirinya supaya kita dapat makan bersama."

     "Wahai Muhammad, kami tidak berhajat dengan majlis jamuan yang hendak kamu adakan itu," jawab Suhail bin Amru.

     "Kamu sudah menikahi wanita Mekah. Wanita itu adalah hak kami kerana itu kamu tidak boleh membawanya pulang ke Madinah," marah Huwaitib pula.

     Nabi Muhammad akur dengan kehendak kaum Quraisy Mekah itu. Baginda berjanji akan keluar bersama semua pengikutnya pada petang itu juga. Tanpa pengetahuan kaum Quraisy baginda meninggalkan seorang sahabat bernama Rafi' bagi menjaga Maimunah isteri yang baru dinikahinya. Kemudian Nabi Muhammad dan pegikutnya segera keluar dari Kota Mekah.

     "Sesungguhnya sekarang sudah jelas kepada saya dan kepada semua orang yang mempunyai fikiran yang waras bahawa Muhammad itu seorang yang jujur dan berpegang teguh pada janji. Dia bukan tukang sihir dan bukan juga ahli syair. Segala percakapannya adalah benar daripada Tuhan sekalian alam. Kerana itu segala kata-katanya dipatuhi oleh pengikutnya. Dan sesungguhnya mereka yang mempunyai fikiran yang waras menjadi pengikutnya," kata Khalid Al-Walid yang memerhatikan keadaan Nabi Muhammad selama berada di Kota Mekah.

     Kata-kata Khalid Al-Walid itu memeranjatkan kawan-kawannya termasuk Ikramah bin Abu Jahal.

     "Wahai Khalid, adakah sekarang kamu sudah menukar agama?" tanya Ikramah.

     "Saya belum menukar agama tetapi saya tertarik dengan agama Muhammad," jawab Khalid berterus terang.

     Kata-kata Khalid itu didengar Abu Sufian lalu berkata, "Wahai Khalid, sekiranya kamu menjadi pengikut Muhammad maka aku akan terlebih dahulu menghalang kamu sebelum kamu menghalang Muhammad."

     "Demi Allah, Muhammad itu berada dalam kebenaran yang sebenar-benarnya. Dia tetap teguh dengan pendiriannya walaupun dibenci orang ramai," kata Khalid Al-Walid.

     Selepas berjalan selama dua hari maka Nabi Muhammad dan pengikutnya sampai ke Sarifa yang terletak sembilan kilometer dari Mekah. Mereka berhenti di situ bagi menunggu kedatangan Maimunah isteri yang baru dinikahi Nabi Muhammad. 









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.








Tuesday, 27 March 2018

PERANG KHAIBAR [ BAB 24 - OPERASI TERAKHIR ]






OPERASI TERAKHIR








"Wahai sekalian Bani Awwal dan Bani Ubbad, tentera Islam yang dihantar Muhammad untuk menyerang Fadak sudah dapat dikalahkan oleh Bani Murrah. Semua mereka dibunuh kecuali seorang yang sengaja dilepaskan pulang ke Madinah bagi menyampaikan berita sedih itu kepada Muhammad," teriak Budail ketua penduduk desa Maifa'ad di Nejd.

     Dia berasa sangat gembira apabila mendengar berita itu lalu menghebahkannya kepada orang ramai. Mereka berkumpul di keliling Budail bagi mengetahui berita itu dengan lebih lanjut.

     "Bagaimana pahlawan Bani Murrah dapat mengalahkan pengikut Muhammad? Bukankah tentera Islam itu begitu kuat sehingga Kota Khaibar pun dapat mereka tembusi?" tanya salah seorang daripada mereka.

     "Keadaan sekarang sudah berubah. Pengikut Muhammad sudah tidak kuat seperti dahulu lagi kerana mereka sudah letih berperang dan sudah menjadi kaya-raya mendapat harta rampasan perang yang banyak. Kerana itu Bani Murrah dapat mengalahkan mereka dengan mudah," jawab Budail yang begitu bersungguh-sungguh meyakinkan orang ramai.

     "Pengikut Muhammad dikalahkan Bani Murrah dengan mudah? Bagaimana mereka melakukannya?" tanya yang lain pula.

     "Pahlawan-pahlawan Bani Murrah memerangkap tentera Islam di suatu lembah kemudian mereka menyerang dengan panah dan lembing. Dengan mudah pengikut Muhammad dapat dikalahkan. Kita juga patut mencontohi mereka," jawab Budail dengan harapan mereka mempercayai kata-katanya.

     "Dalam kalangan pahlawan Bani Awwal dan Bani Ubbad juga ramai yang mahir memanah dan membaling tombak. Malah kami lebih hebat daripada pahlawan Bani Murrah. Kerana itu saya yakin kita juga mampu mengalahkan Muhammad dan pengikutnya," kata Samuel seorang pahlawan Bani Ubbad.

     "Memang benar ramai pahlawan Bani Awwal dan Bani Ubbad yang mahir memanah dan merejam lembing. Sekiranya kita bersatu dengan mudah Muhammad dan pengikutnya dapat dikalahkan," kata Budail dengan rasa gembira kerana pengikutnya kelihatan begitu yakin dapat mengalahkan Muhammad dan pengikutnya.

     "Kerana Muhammad dan pengikutnya sudah lemah dan baru saja dikalahkan Bani Murrah maka aku mencadangkan kita terus menyerang Madinah. Bukankah itu lebih menguntungkan kita?" kata Samuel mencadangkan.

     "Memang itu yang sedang aku fikirkan. Kerana itu mulai hari ini kita membuat persiapan bagi menyerang Kota Madinah," kata Budail dengan rasa gembira kerana yakin rancangan mereka berjaya.

     Penduduk Nejd terutama Bani Awwal dan Bani Ubbad sudah sekian lama memusuhi Nabi Muhammad. Mereka hanya menunggu peluang untuk membinasakannya. Kerana itu apabila menyangka Nabi Muhammad dan pengikutnya sudah lemah mereka mahu menyerang Madinah.

     "Saya mencadangkan kita ajak kabilah Ghatafan dan Hayyan membantu kita menyerang Madinah. Dengan bantuan mereka sudah tentu dengan mudah rancangan kita akan berjaya," kata Dumhum pula.

     "Baiklah, esok saya akan menemui ketua kabilah Ghatafan dan Hayyan bagi memujuk mereka supaya bersatu dengan kita," kata Budail dengan semangat yang berkobar.

     Seperti yang dijanjikan, keesokan harinya Budail pergi menemui ketua Kabilah Ghatafan dan Hayyan lalu memujuk mereka bersama menyerang Kota Madinah.

     "Kami tidak mahu bergabung dengan kamu kerana kami mampu melakukannya sendiri tanpa bantuan sesiapa," kata ketua kabilah Ghatafan.

     "Apakah kamu juga sedang membuat persiapan menyerang Madinah?" tanya Budail pula.

     "Memang benar Bani Ghatafan, Hayyan dan Bani Fazarah sedang membuat persiapan berperang dengan Muhammad dan pengikutnya," jawab ketua Ghatafan.

     "Sekiranya kita bersatu, dengan mudah Kota Madinah dapat ditawan. Kerana itu marilah kita bersatu menyerangnya," pujuk Budail tetapi ketua kabilah Ghatafan tetap tidak setuju.

     "Kami mampu melakukannya sendiri tanpa bantuan penduduk Nejd. Tambahan pula sekarang Muhammad dan pengikutnya dalam keadaan lemah. Penduduk Fadak pun dapat mengalahkan mereka," kata ketua Bani Ghatafan.

     Walau tidak mendapat bantuan kabilah Ghatafan, Hayyan dan Fazarah, Budail tetap meneruskan rancangannya menyerang Kota Madinah. Dia mahu mendahului kabilah Ghatafan.

     Rancangan Bani Awwal dan Bani Ubbad di Nejd menyerang Madinah itu sampai juga ke pengetahuan Nabi Muhammad SAW. Kerana itu Rasulullah segera membentuk pasukan tentera seramai seratus tiga puluh orang bagi menghadapi mereka. Baginda melantik seorang sahabat bernama Ghalib bin Abdullah Al-Laithi menjadi ketua pasukan tentera yang akan dihantar ke Nejd. Kerana Najd terletak agak jauh dari Madinah maka baginda melantik Yasar, seorang lelaki yang berasal dari Nejd sebagai penunjuk jalan.

     Seperti yang diarahkan Rasulullah SAW, pasukan itu bergerak pada waktu malam dan berehat pada waktu siang. Mereka sampai di desa Maifa'ad pada waktu malam. Ghalib tidak mahu melancarkan serangan mengejut tetapi tenteranya disuruh berehat dahulu. Keesokan paginya selepas sembahyang subuh baru serangan dilancarkan secara mengejut. Penduduk desa Maifa'ad menjadi kelam kabut. Maka terjadi pertempuran hebat dengan pahlawan-pahlawan Bani Awwal dan Bani Ubbad. Serangan mengejut yang dilancarkan itu membuat pahlawan Bani Awwal dan Bani Ubbad tidak dapat memerangkap tentera Islam malah mereka yang terperangkap. Akhirnya musuh dapat dikalahkan dan tentera Islam mencapai kemenangan. Ghalib dan pasukan tenteranya pulang ke Madinah dengan membawa kejayaan serta harta rampasan perang yang banyak.

     Kemudian Nabi Muhammad membentuk sebuah lagi pasukan berjumlah seratus tiga puluh orang juga bagi menghadapi kabilah Ghatafan dan Fazarah yang terletak berhampiran dengan Kota Khaibar. Ini kerana mereka juga sedang membuat persiapan menyerang Madinah. Baginda melantik Basyir bin Sa'ad bagi memimpin pasukan tentera Islam menyerang mereka.

     Pada masa yang sama di desa Yuman dan Jabar, orang Ghatafan datang berkumpul bagi mengadakan latihan berperang sebagai persiapan menyerang Madinah. Mereka juga menghasut penduduk Kota Khaibar memberontak.

     Kerana pentingnya tugas dan tanggungjawab itu maka Basyir tidak mahu lagi mengecewakan Nabi Muhammad dan umat Islam di Madinah. Dia berazam mahu mendapat kejayaan dan tidak mahu lagi menerima kekalahan seperti di Fadak.

     Apabila sudah berada di pinggir kota Madinah maka Basyir berkata kepada pasukan tenteranya.

     "Siapa antara kamu yang kurang senang dengan kepimpinan saya maka dibenarkan pulang ke Madinah," kata Basyir kerana dia tidak mahu ada antara mereka tidak mahu mematuhi arahannya.

     Ternyata tidak ada seorang pun yang mahu pulang ke Madinah dan mereka berjanji akan patuh dan taat kepada Basyir sebagai ketua pasukan tentera itu. Selepas ada pengakuan itu mudah bagi Basyir bertindak. Dia mengikut cara yang dilakukan Umar dan Abu Bakar. Berjalan pada waktu malam dan berehat pada waktu siang. Semua anggota pasukannya patuh tidak ada yang membantah.

     Penduduk desa Yuman dan Jabar terkejut dan bertempiaran melarikan diri apabila melihat tentera Islam sudah berada di perkampungan mereka. Tentera Bani Ghatafan juga terkejut dan tidak menyangka tentera Islam sudah berada di keliling mereka. Maka terjadi pertempuran tetapi akhirnya mereka dikalahkan tentera Islam. Selain peralatan perang, banyak juga harta yang ditinggalkan tentera Ghatafan semuanya menjadi milik tentera Islam.

     Selepas berada selama tiga hari di desa itu maka Basyir dan pasukan tenteranya beredar dari situ bagi pulang ke Madinah. Di pertengahan jalan mereka bertemu dengan pasukan tentera Bani Fazarah yang dipimpin Uyainah. Mereka dalam perjalanan bagi membantu tentera Ghatafan. Maka terjadi pertempuran dengan tentera Islam. Akhirnya Uyainah dan pasukan tenteranya melarikan diri. Dua orang tentera Bani Fazarah dapat ditangkap lalu dibawa ke Madinah. Apabila sampai lalu diserahkan kepada Nabi Muhammad. Dua orang tawanan perang itu memeluk agama Islam lalu kedua-duanya dibebaskan.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

Monday, 26 March 2018

PERANG KHAIBAR [ BAB 23 - BERITA SEDIH DARI FADAK ]






BERITA SEDIH DARI FADAK








"Sekiranya kita tidak membatalkan perjanjian yang hina dan berat sebelah ini kita bukan sahaja hilang kehormatan malah akan dikutuk oleh anak cucu kita hingga hari kiamat," kata Abu Aswad sambil mengoyakkan surat perjanjian antara kaum Yahudi Fadak dengan Nabi Muhammad SAW.
  
     Orang ramai bertepuk tangan melihat keberanian ketua mereka yang baru dilantik itu. Abu Aswad baru sahaja dilantik sebagai ketua Fadak menggantikan Amir, ketua lama yang dipecat daripada jawatannya. Abu Aswad yang menghasut penduduk Fadak supaya memecat Amir kerana mengikat perjanjian damai dengan Nabi Muhammad. Bani Murrah yang pada mulanya adalah penduduk minoriti di Fadak kini sudah dapat berkuasa apabila Abu Aswad dilantik menjadi ketua Fadak. Tindakan pertama yang dilakukannya adalah membatalkan perjanjian damai dengan Nabi Muhammad SAW.

     "Kami menyokong keputusan tuan membatalkan perjanjian damai dengan Muhammad. Apakah tindakan tuan seterusnya?" tanya Abu Yazir, salah seorang pahlawan Bani Murrah.

     "Saya akan menghantar utusan ke Madinah menemui Muhammad bagi memaklumkan keputusan kita ini," jawab Abu Aswad.

     "Muhammad pastinya tidak akan berdiam diri. Bagaimana sekiranya mereka menyerang Fadak?" tanya Abu Yazir lagi.

     "Kita akan membuat persiapan bagi berperang dengan mereka," jawab Abu Aswad dengan penuh yakin.

     "Apakah kita mampu mengalahkan mereka?" tanya Al-Hakim pula.

     "Pahlawan-pahlawan kita yang gagah perkasa mampu mengalahkan sesiapa sahaja musuh yang menyerang kita," jawab Abu Aswad.

     Orang ramai sebulat suara menyokong keputusan Abu Aswad. Malah mereka memuji keberanian dan kebijaksanaannya. Keesokan harinya seorang utusan dihantar ke Madinah memaklumkan keputusan mereka.

     "Nabi Muhammad sedang beribadat. Sekiranya ada apa-apa perkara yang hendak disampaikan maka nyatakan kepada saya, akan dimaklumkan kepada Rasulullah," kata Abu Bakar As-Siddiq yang menyambut baik kedatangan utusan Fadak itu.

     "Penduduk Fadak mengambil keputusan mahu membatalkan perjanjian damai dengan Nabi Muhammad. Keputusan itu adalah muktamad," kata utusan itu.

     "Boleh kami tahu mengapa kamu bertindak begitu?" tanya Abu Bakar.

     "Perjanjian itu tidak adil serta membebankan kami. Kerana itu kami memutuskan mahu membatalkannya," jawab utusan itu.

     "Boleh nyatakan di manakah tidak adilnya perjanjian yang sudah dipersetujui bersama itu?" tanya Abu Bakar lagi.

     "Kami yang mengusahakan tanah pertanian kami. Tetapi mengapa separuh hasilnya perlu diserahkan kepada Nabi Muhammad? Bukankah itu tidak adil namanya?" jawab utusan itu.

     "Kamu adalah pihak yang kalah dalam peperangan. Ada berperang, mereka yang kalah terpaksa menyerahkan semuanya termasuk nyawa dan harta mereka kepada pihak yang menang. Dengan itu kami memiliki diri kamu dan semua harta kamu. Tetapi nabi kami Muhammad memaafkan kamu malah dibenarkan terus tinggal di Fadak. Apakah itu tidak adil namanya?" kata Abu Bakar As-Siddiq.

     "Perkara yang kami tidak puas hati adalah mengapa separuh daripada hasil tanaman kami perlu diserahkan kepada kamu?" tanya utusan itu lagi.

     "Segala harta kamu termasuk tanah itu adalah milik kami yang menang dalam peperangan. Kami boleh sahaja membunuh kamu ataupun menghalau kamu keluar dari Fadak dan kami yang mengusahakan tanah itu. Tetapi Nabi Muhammad itu seorang yang begitu baik pekertinya. Baginda membenarkan kamu mengusahakan tanah yang sudah menjadi milik kami itu. Kerana itu apakah tidak adil namanya sekiranya separuh daripada hasilnya diserahkan kepada kami?" jawab Abu Bakar As-Siddiq.

     "Perjanjian itu dibuat oleh Amir dengan Nabi Muhammad. Sekarang Amir bukan lagi ketua kami. Dia sudah digantikan dengan Abu Aswad. Ketua kami yang baru mengambil keputusan membatalkan perjanjian itu. Dan keputusan itu adalah muktamad. Kamu sampaikan perkara itu kepada nabi kamu," kata utusan itu. Kemudian dia pulang ke Fadak.

     Selepas berita daripada utusan Fadak itu disampaikan kepada Nabi Muhammad maka dibentuk pasukan tentera bagi memerangi Bani Murrah yang menjadi biang keladi masalah itu. Ramai yang mahu menyertai pasukan ke Fadak kerana yakin beroleh kemenangan. Tetapi Nabi Muhammad mengehadkan jumlahnya kepada tiga puluh orang sahaja. Baginda melantik Basyir bin Sa'ad Al-Ansari menjadi pemimpinnya.

     Ramai orang Ansar yang mahu menyertai pasukan itu sehingga pahlawan-pahlawan yang pernah berperang di medan Badar, Uhud dan Khandaq terpaksa mengalah bagi memberi peluang kepada mereka. Tidak lama kemudian berangkatlah mereka ke Fadak.

     "Mereka yang menyertai pasukan tentera di bawah pimpinan Umar Al-Khattab pulang dengan membawa harta rampasan perang yang banyak. Begitu juga mereka yang menyertai pasukan tentera di bawah pimpinan Abu Bakar As-Siddiq. Kerana itu saya juga yakin kita akan pulang dengan membawa harta yang banyak," kata Yazid seorang anak muda yang baru pertama kali pergi berperang.

     "Saya juga yakin begitu kerana itu mahu menyertai pasukan ini," kata kawannya Sufiyyan.

     Basyir marah mendengar kata-kata mereka lalu berkata, "Betulkan niat kamu pergi berperang kerana Allah dan Rasul-Nya. Bukan bagi mendapatkan harta."

     Apabila Basyir mencadangkan mereka mengikut taktik Umar Al-Khattab dan Abu Bakar As-Siddiq supaya berjalan pada waktu malam dan berehat pada waktu siang maka ramai yang tidak setuju.

     "Berjalan pada waktu siang lebih cepat berbanding berjalan pada waktu malam," kata salah seorang daripada mereka.

     "Kita tidak perlu takut dilihat musuh kerana penduduk Fadak sudah tahu kita mahu menyerang mereka," kata yang lain pula.

     Basyir terpaksa ikut kehendak mereka bagi menjaga hubungan baik sesama pasukan itu.

     Abu Aswad pula sudah membuat persiapan bagi menghadapi serangan daripada pasukan Islam. Dia berasa gembira apabila mendapat tahu pasukan tentera Islam yang datang cuma berjumlah tiga puluh orang.

     "Kita akan perangkap mereka di Wadi Fadak," kata Abu Aswad.

     Wadi Fadak adalah sebuah kawasan ladang kurma. Di situ juga terdapat batu-batu besar yang dijadikan tempat bersembunyi. Abu Aswad menyuruh Bani Murrah membawa semua binatang ternakan di situ.

     Apabila tentera Islam sampai di Fadak mereka dapati kawasan itu sudah dikosongkan kerana penghuninya sudah meninggalkan kawasan itu. Basyir menyuruh orangnya membuat siasatan di mana mereka bersembunyi. Mereka terjumpa binatang ternakan di Wadi Fadak.

     "Bani Murrah sudah melarikan diri dari sini. Mereka meninggalkan binatang ternakan di Wadi Fadak," beritahu Yasir pembantu Basyir.

     Apabila mendengar berita itu maka berlumba-lumbalah mereka pergi ke tempat itu bagi mendapatkan binatang ternakan itu. Mereka tidak menghiraukan pesanan Basyir supaya berwaspada kerana bimbang itu perangkap musuh.

     Memang benarlah apa yang disangka Basyir. Sedang mereka mengumpulkan binatang ternakan itu dengan tiba-tiba muncul pahlawan-pahlawan Bani Murrah yang berlindung di sebalik batu besar dan pokok kurma. Mereka bersenjatakan panah dan lembing. Pahlawan-pahlawan Bani Murrah memang terkenal mahir memanah dan merejam lembing. Mereka menggunakan kemahiran itu ke atas tentera Islam. Akhirnya kesemua pasukan Islam itu gugur syahid kecuali Basyir. Dia berjaya melepaskan diri daripada kepongan musuh lalu kembali ke Madinah.

     Umat Islam di Madinah terkejut dan berasa sedih dengan kekalahan itu. Abdullah bin Ubai dan konco-konconya turut menyatakan rasa kesedihan, namun dalam hati mereka hanya Tuhan yang mengetahuinya.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

Sunday, 4 March 2018

PERANG KHAIBAR [ BAB 22 - OPERASI KE DHARIYAH ]






OPERASI KE DHARIYAH








"Muhammad menghantar tentera menyerang kaum Hawazin di desa Tarabah yang berada di dalam kawasan Dhariyah. Tindakan itu tidak patut dibiarkan dan kita perlu bertindak segera demi menjaga kehormatan kaum Kilab yang menjadi pelindung penduduk negeri ini," kata Abu Kilab, ketua kaum Kilab di Dhariyah.

     Kemudian katanya lagi, "Mereka membunuh kaum Hawazin, merampas harta benda, membakar rumah serta memperkosa kaum wanita. Perbuatan itu tidak patut dibiarkan kerana suatu hari kelak mereka akan menyerang kita pula. Kerana itu kita mesti bertindak segera."

     Kata-kata Abu Kilab itu berjaya menaikkan kemarahan orang ramai lalu mereka menyokong bagi bertindak balas.

     "Kita perlu menghantar pasukan tentera bagi melindungi kaum Hawazin di desa Tarabah. Kemudian menghantar pasukan tentera bagi menyerang Kota Madinah," kata Sulami, pembantu Abu Kilab mencadangkan. Cadangan itu disokong orang ramai.

     "Sebelum kita menyerang Kota Madinah, kita perlu menghukum penduduk desa Syaibah kerana mereka bersubahat dengan tentera Islam bagi menyerang desa Tarabah," kata Abu Kilab. Dia memang sudah lama menyimpan dendam terhadap penduduk Syaibah kerana mengikat perjanjian damai dengan Nabi Muhammad.

     Cadangan Abu Kilab itu mendapat sokongan kaum Kilab. Maka dibentuk dua pasukan tentera. Satu menuju ke desa Tarabah dengan misi memberi bantuan dan pelindungan. Satu pasukan lagi diperintahkan menyerang desa Syaibah.

     "Kedatangan kami bagi melindungi kamu daripada serangan tentera Islam. Mulai sekarang kamu tidak perlu bimbang lagi," kata Juffar ketua pasukan tentera Kilab yang dihantar ke desa Tarabah. Kehadiran tentera itu menaikkan semula semangat kaum Hawazin. Mereka pulang semula ke rumah masing-masing.

     Abu Kilab pula memimpin pasukan tentera kedua lalu menyerang desa Syaibah. Tetapi serangan itu mendapat tentangan yang hebat daripada penduduk Syaibah kerana mereka sudah mendapat latihan perang daripada tentera Islam. Serangan tentera Kilab itu tidak berjaya. Berita itu dilaporkan kepada Nabi Muhammad SAW.

     Selepas mendapat berita itu, Rasulullah SAW melantik Abu Bakar As-Siddiq memimpin pasukan tentera seramai tiga puluh orang bagi menyerang kaum Kilab di Dhariyah. Kerana misi itu bagi berperang, ada sahabat yang mencadangkan supaya jumlah mereka ditambah tetapi Rasulullah menetapkan cukup sekadar tiga puluh orang. Tambahan pula mereka akan dibantu oleh penduduk desa Syaibah. Abu Bakar menerima tanggungjawab itu dengan sepenuh hati bagi mencari keredaan Allah dan Rasul-Nya.

     Bagi menyerang kaum Kilab di Dhariyah, Abu Bakar mengikut cara yang dilakukan Umar Al-Khattab iaitu bergerak pada waktu malam dan berehat pada waktu siang. Namu pemergian mereka diketahui juga oleh Abdullah bin Ubai dan konco-konconya. Mereka menghantar surat kepada Abu Kilab. Kandungan surat itu berbunyi.

     "Muhammad telah menghantar pasukan tentera yang jumlahnya cuma tiga puluh orang bagi memerangi kamu. Kerana itu bersiap sedialah menanti ketibaan mereka. Bunuh semuanya ataupun jadikan tawanan perang."

     Selepas membaca surat itu, Abu Kilab segera membuat persiapan berperang dengan tentera Islam yang bakal menyerang mereka. Bagi menguatkan lagi pasukannya, Darian meminta bantuan Hawazin dan Bani Fazarah.

     "Kaum Kilab adalah bersaudara dengan Bani Fazarah. Kerana itu kami akan membantu kamu berperang melawan tentera Muhammad," kata Uyainah, pemimpin Bani Fazarah.

     Uyainah yang dikatakan bodoh-bodoh alang dan mudah berubah-ubah pendiriannya itu pernah membuat perjanjian damai dengan Nabi Muhammad tetapi kemudiannya berpaling tadah lalu membatalkan perjanjian itu. Kini dia membantu kaum Hawazin dan Kilab bagi berperang dengan tentera Islam.

     Abu Bakar As-Siddiq yang memimpin tentera Islam berjumlah cuma tiga puluh orang terus berjalan menuju ke Dhariyah. Mereka bergerak pada waktu malam dan berehat pada waktu siang bagi mengelakkan dikesan musuh. Walaupun jumlah mereka sedikit tetapi dianggotai para pahlawan yang terbilang antaranya Sa'ad bin Abi Waqas, Abu Ubaidah Al-Jarrah, Abdullah Rawahah, Abdul Rahman bin Auf, Ali bin Abi Talib dan ramai lagi yang pernah berperang di Badar dan Uhud. Dari kalangan mereka juga terdapat juga seorang pahlawan bernama Salamah bin Akwa yang pantas berlari dan mahir memanah. Dia dikatakan mampu memanah dengan tepat sambil berlari.

     Pada masa yang sama, Abdullah bin Ubai dan konco-konconya berusaha menimbulkan kebimbangan orang ramai dengan mempersoalkan kepada Nabi Muhammad yang cuma menghantar seramai tiga puluh orang tentera bagi berperang dengan Kaum Kilab yang terkenal mahir berperang.

     "Kaum Kilab di Dhariyah mempunyai seribu orang pahlawan yang sudah berpengalaman berperang. Dengan mudah mereka dapat mengalahkan pasukan tentera yang dihantar Nabi Muhammad itu. Mereka semuanya akan dibunuh dan dijadikan tawanan," kata Abdullah bin Ubai yang sengaja mahu menimbulkan keresahan dalam kalangan keluarga mereka yang keluar berperang.

     Kemudian katanya lagi, "Saya mendapat maklumat yang kaum Kilab mendapat bantuan kaum Hawazin dan Bani Fazarah. Kerana itu kamu sepatutnya mendesak Nabi Muhammad mengirim pasukan tentera tambahan seramai seribu orang bagi menyelamatkan pasukan yang dipimpin Abu Bakar. Tetapi saya yakin Nabi Muhammad tidak akan melakukannya."

     "Sekiranya begitu apa yang patut mereka lakukan?" tanya Jamsari salah seorang keluarga tentera yang menyertai pasukan Abu Bakar As-Siddiq.

     "Segera berjumpa dengan Nabi Muhammad dan desak beliau memimpin sendiri pasukan tentera tambahan ke Dhariyah. Sekiranya beliau tidak mahu mengikut cadangan ini maka kesemua pasukan tentera Islam yang dipimpin Abu Bakar itu akan mati dan tidak seorang pun yang kembali ke sini," jawab Abdullah bin Ubai yang sengaja mahu menimbulkan kebimbangan orang ramai.

     "Sebaiknya jangan kita persoalkan apa yang ditetapkan oleh Rasulullah kerana beliau yang lebih tahu segala tindakannya," kata Bilal bin Rabah yang berasa marah apabila Abdullah bin Ubai mempersoalkan keputusan Rasulullah SAW.

     "Benar kata Bilal bin Rabah. Saya yakin mereka pasti beroleh kemenangan seperti pasukan yang dipimpin Umar Al-Khattab," kata Abdullah bin Mas'ud pula. Beliau tidak ikut dalam pasukan Abu Bakar kerana baru balik menyertai pasukan Umar Al-Khattab.

     "Tidakkah kamu tahu yang tiga puluh orang yang dihantar Rasulullah itu kehebatan mereka menyamai dengan tiga puluh ribu orang tentera?" kata Uthman Affan pula. Kemudian katanya lagi, "Mereka akan berperang dengan mencontohi sebagaimana Rasulullah berperang. Kerana itu mereka akan mendapat bantuan para malaikat. Pasukan tentera yang dibantu malaikat pasti beroleh kemenangan."

     Pasukan tentera yang dipimpin Abu Bakar akhirnya sampai di desa Syaibah. Kedatangan mereka disambut dengan gembira. Malah mereka menyatakan kesediaan bagi membantu tentera Islam menyerang kaum Kilab di Dhariyah.

     Di Kota Dhariyah pula sudah berkumpul pasukan tentera Bani Fazarah, Kaum Hawazin dan Kaum Kilab sendiri. Mereka sudah bersiap menghadapi serangan tentera Islam.

     "Jumlah mereka cuma tiga puluh orang. Kita mampu mengalahkan mereka dalam masa yang singkat. Kerana itu tidak perlu dirisaukan," kata Abu Kilab dengan begitu yakin.

     Dengan jumlah mereka yang melebihi tiga ribu orang Abu Kilab yakin serangan pasukan tentera Islam yang begitu sedikit dengan mudah dapat mereka patahkan. Kemudian giliran mereka pulang menyerang Kota Madinah.

     Abu Bakar As-Siddiq yang sudah mendapat tarbiyah daripada Rasulullah SAW bukan sahaja kuat beribadat dan berhati dermawan tetapi juga seorang pahlawan yang handal di medan perang. Dia merancang serangan yang berkesan terhadap Kota Dhariyah. Dengan jumlah pasukan tenteranya yang cuma tiga puluh orang dibantu penduduk desa Syaibah seramai lima ratus orang Abu Bakar yakin dapat mengalahkan musuh dengan taktik serangan mengejut yang tidak dijangka pihak musuh.

     Kerana itu Abu Bakar menunggu masa yang sesuai bagi melancarkan serangan mengejut terhadap Kota Dhariyah. Abu Kilab dan pasukan tenteranya pula pada mula berasa bosan kerana selepas menunggu selama tiga hari pasukan Islam masih tidak muncul melakukan serangan.

     "Saya yakin tentera Islam tidak berani melancarkan serangan terhadap Kota Dhariyah kerana bilangan mereka terlalu sedikit. Kerana itu kami akan pulang semula ke Fazarah," kata Uyainah yang begitu yakin tentera Islam membatalkan serangan mereka.

     "Kami juga akan pulang ke desa Tarabah kerana bimbang tentera Islam melancarkan serangan di tempat kami," kata Ubai pula yang sangat bimbang keselamatan keluarga yang ditinggalkan.

     Abu Bakar dan pasukan tenteranya yang membuat intipan terhadap Kota Dhariyah berasa gembira apabila mendapat tahu tentera Bani Fazarah dan Hawazin sudah pulang ke tempat mereka. Kota Dhariyah kini hanya dipertahankan kaum Kilab.

     Pada suatu malam Abu Bakar memimpin pasukan tenteranya membuat serangan mengejut ke atas Kota Dhariyah. Mereka berjaya memanjat tembok kota itu dengan bantuan penduduk desa Syaibah. Menjelang pagi mereka sudah berada di dalam kota itu lalu melancarkan serangan ketika tentera Kaum Kilab masih tidur nyenyak. Akibat serangan mengejut itu musuh menjadi panik dengan mudah mereka dapat dikalahkan. Abu Kilab dan pasukan tenteranya melarikan diri keluar dari kota itu.

     Salamah bin Akwa seorang pahlawan Islam yang pantas berlari dan mahir memanah menggunakan kebolehannya mengejar serta memintas musuh. Tidak ada satu pun anak panah yang dilepaskannya tidak mengenai sasaran.

     Sebelum pertempuran berakhir, Salamah melihat beberapa orang pahlawan Kilab membawa lari tandu. Salamah mengejar mereka sambil melepaskan anak panah. Seorang demi seorang tentera yang mengawal tandu itu berjaya dipanahnya dan akhirnya tandu itu ditinggalkan. Selepas diperiksa, didapati di dalam tandu itu ada seorang wanita jelita. Selepas disoal siasat barulah mereka tahu wanita itu anak gadis ketua kaum Kilab.

     Semasa pembahagian harta rampasan perang yang ditinggalkan kaum Kilab, Salamah mendapat wanita yang cantik jelita itu tetapi dia menjaganya dengan baik. Apabila ditanya Salamah mengatakan dia mahu menghadiahkan wanita itu kepada Rasulullah.

     Selepas mengamankan Dhariyah dan kawasan sekiranya barulah Abu Bakar As-Siddiq membawa pasukannya pulang ke Madinah. Mereka membawa banyak harta rampasan dan tidak ada seorang pun daripada mereka yang terbunuh ataupun cedera. Penduduk Madinah menyambut kepulangan mereka dengan gembira.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.