Thursday, 18 September 2014

AKU JUGA INGIN TERBANG MENEBARKAN SAYAPMU

Mungkin hati dan jiwa yang dinodai maksiat ini merindui sesuatu.
Ya, kukira apa yang kurindu itu masih bernyawa.
Kerana ku juga sebahagian dari ummah yang kian buruk akhlak.
Terkial-kial mencari nafas yang sedang bernyawa.
Rindu yang masih tersisa.




Rinduku pada kalam dakwah sahabat.
Rinduku pada nasihat yang menyentap.
Rinduku pada ukhuwah lillahi rabbuna.
Rinduku pada qasidah para habibullah.
Rinduku pada zikir terapi qalbi.
Rinduku pada qiam meratapi malam.
Rinduku pada srikandi solehah.
Rinduku pada lagu berentap doa.

Atau rindu yang ku lafazkan, adanya Allah?

Kerana jauhnya aku dari Allah, rinduku tak terjawab.
Kerana jauhnya aku dari kalam Allah, rinduku tak terbalas.
Kerana jauhnya aku daripada pandangan Allah, rinduku terhijab.

Hijrah diri!
Pasakkan niat baru!
Tajdid niat tu!
Suburkan jihad diri!
Kuatkan azam!
Eratkan mahabbah maĆ” Allah!
Istiqamah lillahi!

Mudah untuk menaip, 
namun sukar untuk dilaksanakan.

"Sahabat, Syurga bukan untuk orang manja. Kuat lah woi," sapa dia.

"Sahabat, Syurga itu mahal. Hanya untuk orang yang berjuang demi agamaNya, bukan hanya pandai menyeru sahaja, amalnya tidak," dia kata lagi.

"Sahabat, nak pergi Syurga, pimpin tangan aku sekali. Jangan selfish. Tak acilah kau sorang beriya-iya mahu ke sana, aku dipinggirkan," bilang dia.

Aku tersenyum sepi.
Masih ada yang berjiwa nurani.
Namun bukan mudah, bernafas dalam jiwa hamba.
Arghhh lupakan!
Kena cuba jugak.
Cuba menghindarkan pesona maya.
Cuba menghindarkan buaian kelekaan.
Kerana murkaNya pasti menghukum leka.

Hakikatnya kini,
Ummah sekarang sedang tenat.
Aku juga lemas dalam ketenatan ini.
Dengan kerajaan taghut ini.
Pemimpin berdekah-dekah hidup mewah.
Rakyat masih tersepai menggapai-gapai untuk hidup.
Nur Islam semakin sirna ditelan puak zalim.

Sudah...
Tiba masanya,
untuk kita bangkit bersama,
dan kembali pada Yang Esa.

Dan menyinari jasad ummah ini,
dengan Nur Islamiyyah.

Hingga jasad kita rebah ke dalam bumi,
dan kembali pada Yang Esa.

Allah sebagai matlamat.
Allah sebagai cita-cita.

Cita-cita Penghuni Syurga.
Terbang ke Syurga,
dengan menapak di Bumi yang Hina.

Akhirat di hati.
Dunia di kaki.
Yakin Allah akan mengadili.


Moga Allah redha . Moga Allah rahmat . Moga Allah berkat .


DARIPADA AZWIN FITRIAH, LOVE QUOTES OF MUSLIMAH. WALLAHUALAM.

Saturday, 13 September 2014

BICARA CINTA

Layakkah kita menagih cinta insan seandainya cinta Tuhan belum tergapai? Sedangkan cinta Allah adalah segalanya, cinta Rasul lambang cinta kepada-Nya, cinta ibu bapa tulus selamanya, cinta saudara ukhuwah kerana-Nya dan cinta pada'nya' pelengkap kasih-Nya... Hamparkanlah cinta kepada Yang Selayaknya... Jadi, jika mengharap cinta sejati, dambalah kasih Ilahi, itulah cinta hakiki... Tepuk dada, tanya iman, tanya akal fikiran, tanya hati, tanya diri sendiri... Sejauh manakah taraf cinta kita ini?

Cinta itu indah... Bila berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah... Bila tujuannya kerana Allah.. Bila matlamatnya Syurga yang barakah :)

Jika engkau sudah mengenal ALLAH, maka cukuplah ALLAH di hatimu. Wahai hati, engkau mengakui mencintai ALLAH, sedangkan engkau bermaksiat kepada-Nya. Wahai jiwa, bukankah seorang pencinta, akan tunduk kepada yang dicintainya?

Bangkitlah wahai pemuda dan pemudi. Islam! Jiwa pemuda yang sepatutnya berkibar bak singa di padang pasir menjadi kuncup kerana terjerat dengan percintaan... Jiwa pemudi yang sepatutnya disirami dengan kesopanan dan kesolehan di dada menjadi kotor dek cinta yang ternoda...

Antara nafsu dan iman, sering menjadi pilihan... Antara Allah dan syaitan, penentu kekuatan iman... Antara dunia dan akhirat dua-dua kena seimbangkan... Andai nafsu, syaitan dan dunia semata-mata bermaharaja dalam diri, itu membuktikan betapa tandus dan kontangnya cinta kita terhadapNya...

Serahkan cintaMu pada ALLAH, kelak, kau takkan kecewa... salurkan rindumu pada Rasulullah, nescaya kau akan merasa bahagia... suburkan sayangmu pada ibu bapa, pasti kamu gembira melihat mereka... siramlah perasaan kasihmu pada sahabat-sahabat yang mengalirkanmu ke jalan kebenaran... bersihkanlah HATImu untuk bertemu dengan sekeping HATI suci pilihanNya.


#SENTAP


Dipetik daripada blog PENCARI CINTA ILAHI. WALLAHUALAM.

ISLAM YANG SEBENAR

Islam. Itulah agama yang satu. Agama yang mendapat pengiktirafan dari Yang Maha Esa. Syumul bermaksud sempurna (kamil) dan menyeluruh. Ya. Islam itu lengkap dan menyeluruh. Islam meliputi segala aspek dunia dan akhirat. Aspek kehidupan, kematian, kemasyarakatan, akhlak murni, sosial, ekonomi dan banyak lagi.

Kadang-kadang diri ini berasa pelik dan hairan. Kadang-kadang, sedih juga dengan sikap yang sebegini. Kita semua tahu, tapi, ramai yang buat-buat tak tahu.

Situasi: 

1) Dia seorang yang menjaga aurat. Tapi dia ber'couple'. Ber'dating' walaupun tak berpegangan tangan. Sering ber'sms', ber'call' dan lain-lain lagi.
2) Dia seorang yang suka menolong kawan. Tapi, mulutnya seringkali mengumpat.
3) Dia seorang yang suka berhujah tentang agama. Tapi, dia suka menyakiti hati sahabatnya. Sering menghina dan mencaci.

Persoalan di sini, benarkah si dia itu Islam yang sejati??
Benarkah itu yang diperintahkan-Nya??
Ya. Islam.
Sebab tertera di IC. Sebab namanya baik. Sebab dia belajar agama.

Tapi, dia dan kita semua selalu lupa. Tentang satu perkara. Bahawa Islam itu syumul dan menyeluruh. Tak boleh ambil separuh-separuh.

Kita ambil ayat ini untuk menyuarakan fitrah,
"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu merasa cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antara kamu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kamu yang berfikir." (Al-Rum: 21)

Kononnya ber'couple' itu satu keperluan. Fitrah manusia untuk berkasih sayang. Tapi kita abaikan ayat ini,
"Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan jalan yang buruk." (Al-Isra: 32)

Kita buat-buat tak tahu dengan hadis ini,
Dari Jabir bin Samurah berkata; Rasulullah SAW bersabda: Janganlah salah seorang dari kalian berdua-duaan dengan seorang wanita, kerana syaitan akan menjadi ketiganya. (Hadis Riwayat Ahmad & Tirmidzi)

Kita ambil ayat ini untuk kita menutup aurat,
"Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: Hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka." (Al-Ahzab: 59)

Tapi kita abaikan ayat ini,
"Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu menggunjing sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang." (Surah Al-Hujurat: 12)

Kita tetap mengumpat saudara sendiri. Kita tetap sibuk mencari kesalahan orang :(

Islam itu menyeluruh,
tidak boleh kita ambil separuh-separuh,
apa yang diperintahkan-Nya kita kena patuh,
barulah iman dan takwa di hati teguh ^^

Islam itu agama Allah,

Tidak boleh sesuka hati kita nak membantah,

Kita perlu amalkan dengan penuh,

Moga usaha kita nanti beroleh barakah.

"Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu. Tetapi jika kamu menyimpang (dari jalan Allah) sesudah datang kepadamu bukti-bukti kebenaran, maka ketahuilah, bahawasanya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (Surah Al-Baqarah: 208-209)

"Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa yang menderhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata." (Surah Al-Ahzab: 36)


#SENTAP


DIPETIK DARIPADA BLOG PECINTA ILAHI. WALLAHUALAM.

Friday, 27 June 2014

PENGHIJRAHAN DAN JIHAD

Assalamualaikum kepada semua sahabat-sahabat yang melawat blog ana yang ana rasa dah berhabuk-habuk ni... Hari ni, In shaa Allah ana nak kongsi kisah hidup ana sendiri. Kisah di mana bermulanya titik permulaan ana untuk berhijrah menjadi lebih baik. MRSM TUN GHAFAR BABA. Sekolah yang merupakan sekolah yang membuka hati ana untuk berusaha menjadi insan yang sejati.

Dulu, ana jahil. Ana tak tahu apa tujuan hidup ana yang sebenar di bumi ini. Hidup dengan penuh kegembiraan. Tapi kegembiraan yang bagaimana? Adakah kegembiraan ana itu atas keredhaan Allah SWT? TAK, TAK, DAN TAK. Kegembiraan ana semuanya berdasarkan hawa nafsu. Berlandaskan dosa yang mendorong ana ke NERAKA! Ana jahil. Iktilad tak jaga. Senang bertukar-tukar perasaan sehinggakan ana lupa bahawa sebenarnya, hati ini hanya untuk ALLAH SWT dan RASULULLAH SAW. Ana lupa yang kuasa Allah itu besar. Ana lupa yang dosa-dosa ana ni akan menarik keluarga ana ke kancah NERAKA. Tingkatan 3, ana dapat PMR 8A, tapi ana tak pernah fikir, adakah aku istidraj ya Allah? Ana kufur. Ana jahil. Ana hina ketika itu.

Tingkatan 4, ana dimasukkan ke sekolah MRSM TUN GHAFAR BABA. Di sini titik permulaan, di mana Allah membuka pintu hati ana untuk menerima takdir bahawa hidup di dunia ini hanyalah beribadat, bersujud, tunduk, mengabdikan diri semua untuk Allah SWT! Ana belajar banyak perkara yang ana tidak pernah tahu selama ni. Alhamdulillah, Allah membantu dan memudahkan ana. "Ya Allah, jahatnya aku. Tapi mengapa kau masih lagi membantuku?" Kata-kata yang sering terluah di lubuk hati ana. Ana dah dapat jawapannya. Dalam Al-Quran, Allah kata Allah berkuasa untuk menjadi manusia itu kembali ke pangkal jalan, Allah juga berkuasa untuk menyesatkan manusia itu selamanya. Dan alhamdulillah, ana tergolong di kalangan manusia yang Allah nak dia kembali kepada fikrah Islam yang sebenar! Syukran jazilan ya Allah.

HIJRAH, BERUBAH, JIHAD, ISTIQAMAH. Satu perkara yang amat sukar untuk dibendung dalam diri ana. NAFSU. Ini lah yang menjadi benteng yang menghalang untuk seseorang manusia itu untuk berubah. Sukar. Ia amat sukar. Tapi percayalah, selagi kita yakin Allah sentiasa bersama dan sentiasa mengetahui, IN SHAA ALLAH, benda tu menjadi perkara yang mudah untuk dibendung. Sepanjang penghijrahan ana, ana tidak lepas daripada diuji oleh Allah. Ujian hati, ujian jiwa, ujian kesabaran, ujian ketabahan, ujian istiqamah, ujian jihad dan banyak lagi ujian yang ana kena tempuh. Tapi, apalah sangat cabaran dan dugaan ana ni berbanding dengan cabaran dan dugaan yang dihadapi oleh Rasulullah SAW dalam mempertahankan agama Allah di muka bumi ini? Jadi, ana harus kuat! Ana harus tabah! Ana harus terus berusaha berjihad lillahi taala!

Wahai sahabat seIslam ku, 

Sejahat-jahat kita semua, selagi masih ada rasa nak berubah, percayalah itu tanda kita masih ada iman. Sebenarnya, Allah rasakan perasaan nak berubah itu kepada semua makhluknya, tapi kita. Kita yang harus buat pilihan sama ada mahu mengambilnya dan menjadikan ia sebagai medium untuk berubah, atau tidak. Manusia. Nama pun, manusia, dipenuhi dengan sikap takbur! riak! Segalanya. Manusia merasakan dirinya sudah cukup perfect. Ingat sahabat, Allah itu Maha Mnengetahui. Allah benci sikap tu, dalam surah Al-Isra' ayat yang ke 37 dan 38 pun Allah ada terangkan.

Kalau ada rasa nak berubah, jangan tunggu, ubahlah selagi ada masa! Jangan bila nyawa kita dihujung kerongkong, baru kita nak berubah. Waktu tu dah terlambat sahabat. Ingat, semuanya bermula dengan diri kita. Kalau kita berusaha untuk melakukan kebaikan, Allah akan bantu kita. Buktinya, dalam surah Al-A'raf ayat yang ke-11, 'Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum itu sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri." Maknanya, Allah nak kita mula dulu! 

Sahabat, bila ada ujian, tabahlah menghadapinya! Allah sentiasa bersama dengan orang yang sabar. Jangan takut untuk melangkah. Dalam surah al-Baqarah, Allah tidak akan meletakkan dugaan itu kepada orang yang tak mampu. Allah tahu kemampuan hambaNya. Sahabat ana, Amiera Shahieda ada kata pada ana, "Ujian yang berat itu, Allah turunkan kepada orang yang hebat." Ana jadikan ia sebagai kekuatan semangat ana untuk terus bangkit dan berjuang fi sabillah! Setiap ujian itu juga, menandakan Allah rindukan tangisan kita. Allah sayang kita percayalah.

Akhir kata, ana, NOR FARIESYAH BINTI ASZME memohon maaf dari hujung rambut sehingga hujung kaki kalau ada ana buat silap pada semua sahabat. Sebelum bulan Ramadhan menjelma, ana nak minta maaf. Lagipun, kematian itu boleh datang bila-bila masa, mana tahu ajal ana menjelma dulu, sekurang-kurangnya ana dah minta maaf pada kamu semua. Kalau ana pergi dulu, sedekahkanlah ana al-Fatihah. In shaa Allah, ana sentiasa doakan semua sahabat ana berjaya dunia dan akhirat. In shaa Allah, kita bakal DAIE dan PENGHUNI SYURGA ALLAH SWT. Ameen. Takbir! Allahuakbar!

WALLAHUALAM.

Thursday, 30 January 2014

JANGAN BIARKAN 'JUMAAT' ITU BERLALU SIA-SIA

SIFAT ALLAH ITU MAHA ADIL. SETIAP KEJADIAN YANG DILAKUKAN, TELAH DITETAPKAN GANJARAN YANG SETIMPAL DENGAN TANGGUNGJAWAB YANG DIBERIKAN. UNTUK KAUM ADAM, GANJARAN BAGI MEREKA YANG MENUNAIKAN SOLAT JUMAAT BUKAN HANYA TERLETAK PADA SOLAT ITU SENDIRI. BAHKAN BERMULA DARI PERSIAPAN YANG DIBUAT DENGAN BERTUJUAN MENUNAIKAN SOLAT JUMAAT SEHINGGALAH DIA MENDENGAR KHUTBAH YANG DIBACAKAN IMAM, MAKA DIAMPUNKAN DOSA BAGINYA DI ANTARA DUA JUMAAT TERSEBUT.

     Ini jelas sebagaimana hadis Rasulullah S.A.W., dari Salman al-Farisi, Rasulullah S.A.W. bersabda, "Tidaklah seseorang mandi pada hari Jumaat dan bersuci semampunya, berminyak dengan minyak atau memakaikan minyak wangi dari rumahnya, kemudian keluar menuju masjid dan dia tidak memisahkan dua orang (yang sedang duduk berdampingan),] selanjutnya bersembahyang apa yang diwajibkan atas dirinya, baik yang wajib mahupun sunat lalu diam mendengar imam berkhutbah, melainkan akan diampuni (dosa-dosanya) antara Jumaat berikutnya." -HR. Bukhari-.

     Bukan itu sahaja, kaum Adam yang menunaikan solat Jumaat diharamkan Allah diri mereka dari seksaan api neraka. Hal ini juga dengan jelas dinyatakan dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W.. Daripada iAbabah bin Rifaiah, katanya, "Abu Abas bertemu denganku dan di saat itu aku sedang pergi untuk menunaikan solat Jumaat lalu dia berkata, "Aku mendengar Rasulullah S.A.W. berkata, "...barang siapa yang kedua kakinya berdebu dalam melaksanakan sabilillah (ia mengandungi maksud yang umum dan termasuk di dalamnya solat Jumaat), maka Allah mengharamkan dirinya untuk terkena seksa neraka."

     Apa pun ganjaran yang dijanjikan oleh Allah, ada lagi satu perkara yang Allah berikan kepada mereka yang menunaikan solat Jumaat iaitu doa yang dimakbulkan. Justeru, ambillah peluang yang Allah berikan tersebut untuk berdoa apa sahaja kerana di antara solat Jumaat itu, terdapat masa yang begitu singkat - yang kalau ketika itu jemaah memohon doa kepada Allah, nescaya Allah tidak akan menghampakan permintaannya.

     Waktunya?

     Ada beberapa hadis yang menerangkan hal tersebut. Antaranya, daripada Abu Lubabah bin Ubnu Mundzir r.a. berkata, "Rasulullah S.A.W. berkata, "Hari Jumaat adalah penghulu hari-hari yang paling mulia di sisi Allah, hari Jumaat ini lebih mulia dari hari raya Aidilfitri dan Aidiladha di sisi Allah, pada hari Jumaat terdapat lima peristiwa, diciptakannnya Adam dan diturunkannya ke bumi, pada hari Jumaat juga Adam dimatikan, di hari Jumaat terdapat waktu yang mana jika seseorang meminta kepada Allah, maka akan dimakbulkan selama mana tidak memohon yang haram, dan di hari Jumaat pula akan terjadi kiamat, tidaklah seseorang malaikat yang dekat di sisi Allah, di bumi dan di langit kecuali dia dikasihi pada hari Jumaat." -HR. Ahmad-.

     Manakala dalam riwayat yang lain menyebut, daripada Abu Hurairah r.a. baginda bersabda, "Di hari Jumaat itu terdapat satu waktu jika seseorang Muslim melakukan solat di dalamnya dan memohon sesuatu kepada Allah, nescaya permintaannya akan dikabulkan." -HR. Bukhari dan Muslim-.


P/S: DIPETIK DARI MAJALAH AL-ISLAM.

BAB 1 : PENDAHULUAN

     Menyentuh pemahaman mengenai enam pertanyaan malaikat di alam kubur, sesungguhnya pada masa yang sama berusaha untuk mengukuhkan dimensi iman. Sebabnya, pada asasnya, apa yang akan berlaku di alam barzakh selaku persinggahan sementara menuju ke alam akhirat merupakan akibat logik daripada semua amal perbuatan di dunia. Sebelum melangkah terlalu jauh, ada baiknya untuk menyisir pemahaman mengenai beberapa perkara yang berkaitan erat dengan alam kubur serta bahagian tertentu ragam kejadian yang menyelubunginya.

     Setiap manusia sudah tentu akan mengalami kematian dan mereka sesungguhnya telah mengetahui dengan pasti akan semua itu. Namun, ramai daripada mereka yang cuba ingkar pada semua bentuk ketentuan-Nya.

"Setiap manusia sudah tentu akan mengalami kematian dan mereka sesungguhnya telah mengetahui dengan pasti akan semua itu. Namun, ramai daripada mereka yang cuba ingkar pada semua bentuk ketentuan-Nya."

     Allah S.W.T. berfirman:
"Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan." (Surah al-Anbiya': 35)

     Kematian adalah sebahagian daripada ketentuan-Nya yang tidak dapat diubah dan datang secara tiba-tiba. Selain itu, patut disedari bahawa melalui kehidupan di alam kubur jauh lebih sukar dibandingkan dengan kehidupan ketika masih ada di dunia. Setiap manusia tidak dapat lagi membezakan antara siang dan malam; hidup dalam rengkuhan perut bumi; yang ada hanya kegelapan tidak berakhir. Setiap manusia akan mengalami perpindahan pada alam yang dipanggil dengan alam barzakh atau alam kubur.

     Perumpamaan kehidupan di alam kubur sesungguhnya satu titik persamaan dengan kehidupan ketika manusia masih berada di dalam alam kandungan ibu. Sudah menjadi pasti bagi setiap manusia untuk mengalami empat alam, iaitu:

1. Alam kandungan,

2. Alam dunia,

3. Alam barzakh (alam kubur), dan

4. Alam akhirat (setelah hari kiamat tiba).

     Kehidupan di dunia dan di alam barzakh sesungguhnya hanya bersifat sementara, kerana kehidupan yang paling sejati dan abadi adalah di alam akhirat. Kehidupan di alam barzakh hanya berlangsung sehingga tibanya hari kiamat. Semasa itu, manusia akan mengalami perpindahan menuju ke alam sejati, alam akhirat. Pertanyaannya adalah adakah benar setiap manusia akan merasakan nikmat dan seksa kubur? Adakah semasa itu manusia masih dapat mengharapkan siraman doa daripada sanak keluarga, kerabat, mahupun orang yang mereka kenal?

     Selaku umat Islam yang taat, sudah menjadi satu bentuk keperluan bagi kita untuk beriman pada perkara yang ghaib. Pada prinsipnya, setiap manusia perlu bertanggungjawab akan semua bentuk perbuatan, sikap, serta imannya semasa masih melalui hidup di dunia. Sebab itu, selaku seorang hamba, sudah sepatutnya sentiasa berada dalam keadaan berwaspada pada segala bentuk kemungkinan ketika memasuki alam akhirat kelak. Dan, di antara sekian banyak ragam perkara ghaib yang wajib diimani adalah adanya seksa serta nikmat di alam kubur.

     Cara terbaik untuk menghadapi segala kemungkinan yang mungkin berlaku di alam akhirat kelak, kita perlu menyediakan diri dengan bangunan akidah yang terpancar daripada wawasan Islam yang kemudian berakhir pada perbuatan. Sekali lagi, kematian adalah benar adanya, begitu juga dengan kehidupan yang bakal berlaku setelah kematian atau kehidupan akhirat. Kampung akhirat merupakan kampung bagi seluruh manusia untuk kembali. Oleh kerana itu, adalah penting bagi kita semua untuk menyediakan diri menyambutnya.

     Allah S.W.T. berfirman:
"Dan tidaklah (dinamakan) kehidupan dunia, melainkan permainan dan senda-gurau belaka. Dan sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa. Maka, tidakkah kamu memahaminya?" (Surah al-An'am: 32)



A. ADAKAH ORANG KAFIR JUGA AKAN DITANYA?

     Beberapa orang ulama berselisih pendapat berhubung dengan perbahasan adakah enam pertanyaan malaikat Mungkar dan Nakir di alam kubur juga ada bagi golongan orang munafik dan kafir, atau hanya bagi umat Islam semata-mata. Sebahagian ulama berpendapat bahawa pertanyaan tersebut hanya ditujukan kepada golongan orang munafik dan muslim, iaitu orang yang sudah pernah mengucapkan syahadat. Sementara orang kafir yang sudah jelas ingkar serta menentang tidak termasuk golongan orang yang mendapat pertanyaan daripada malaikat Munkar dan Nakir. 

     Sementara itu, sebahagian golongan ulama memiliki pendapat berbeza dengan berpandukan pada sunnah dan al-Quran, sebagaimana firman Allah S.W.T.: 
"(Iaitu) orang yang melanggar perjanjian (dengan) Allah sesudah perjanjian itu teguh dan memutuskan apa yang diperintahkan Allah (kepada mereka) untuk menghubungkannya dan membuat kerosakan di muka bumi. Mereka itulah orang yang rugi." (Surah al-Baqarah: 27)

"Sebahagian ulama berpendapat bahawa pertanyaan daripada malaikat Munkar dan Nakir di alam kubur hanya ditujukan kepada orang muslim dan orang munafik sahaja."

     Sebahagian besar daripada golongan ulama berpendapat bahawa ayat tersebut berhubungan dengan semua bentuk seksa kubur semasa manusia ditanya "siapa Rabb-mu? Apa agamamu? Siapa Nabimu?" Adapun penjelasan yang mengarah secara langsung pada kewujudan orang munafik dan kafir di alam kubur terdapat di dalam sunnah, seperti hadis daripada Abu Sa'id al-Khudri, diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan Imam Ahmad, dia berkata, "Kami menguruskan jenazah bersama Rasulullah S.A.W., lalu baginda bersabda, 'Wahai manusia, sesungguhnya umat ini duji kuburnya. Jika manusia sudah dikebumikan dan rakan-rakannya meninggalkannya, maka malaikat akan datang kepadanya sambil membawa palu. Malaikat mendudukkannya lalu bertanya, '(Apa yang kamu katakan tentang orang ini?)'

     "Apabila dia seorang mukmin, maka dia akan menjawab, 'Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah, yang tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawa Muhammad S.A.W. adalah utusan-Nya.' Lalu, malaikat berkata, 'Kamu benar!' Lalu, malaikat membukakan pintu baginya menuju ke neraka sambil berkata, 'Itulah tempat dudukmu sekiranya kamu mengingkari Rabb-mu.'

     "Kepada orang kafir dan munafik ditanyakan, 'Apa yang kamu katakan tentang orang ini?' Dia menjawab, 'Kami tidak tahu!' Malaikat berkata, 'Kamu memang tidak tahu dan tidak mendapat petunjuk.' Lalu, malaikat membukakan pintu baginya menuju ke syurga, sambil berkata, 'Itu adalah tempat tinggalmu sekiranya kamu beriman pada Rabb-mu. Akan tetapi, kerana kamu kafir, maka Allah S.W.T. menggantikannya dengan yang ini.' Kemudian, malaikat membukakan pintu menuju ke neraka. Setelah itu, malaikat memukulnya dengan sekali pukulan, dia pun menjerit kesakitan sehingga didengar oleh semua makhluk Allah S.W.T. kecuali jin dan manusia.

     Allah S.W.T. berfirman:
"Sesungguhnya orang yang berbakti benar-benar berada dalam (syurga yang penuh) kenikmatan. Dan sesungguhnya orang yang derhaka, benar-benar berada dalam neraka." (Surah al-Infitar: 13-14)

     Dapat difahami bahawa enam pertanyaan malaikat Munkar dan Nakir di alam barzakh juga ada bagi golongan orang munafik dan kafir, bukan hanya bagi golongan orang mukmin dan munafik. Bahkan, sebahagian daripada golongan ulama berpendapat bahawa jelas orang munafik dan kafirlah yang lebih sesuai mendapat pertanyaan tersebut. Tentu sahaja, perkara ini tidak terlepas daripada semua perkara yang telah mereka lakukan semasa hidup di dunia. Lebih-lebih lagi dalam beberapa firman-Nya, Allah S.W.T. memberitahu bahawa kelak semasa tiba hari kiamat, Allah S.W.T. akan bertanya kepada segolongan orang kafir. Ini sesuai dengan firman-Nya:
"Dan (ingatlah) pada hari ketika Dia (Allah) menyeru mereka, dan berfirman: "Apakah jawapanmu terhadap para rasul?"" (Surah al-Qasas: 65)

     Dalam firman Allah S.W.T. yang lain:
"Maka demi Tuhanmu, Kami pasti akan bertanya kepada mereka semua. Tentang apa yang telah mereka kerjakan dahulu." (Surah al-Hijr: 92-93)

     Allah S.W.T. juga berfirman:
"Maka sesungguhnya Kami pasti akan bertanya umat-umat yang telah diutus para Rasul kepada mereka dan sesungguhnya Kami pasti akan bertanya (juga) para Rasul (Kami)." (Surah al-A'raf: 6)


B. APA YANG DAPAT MENYELAMATKAN MANUSIA DARIPADA SEKSA KUBUR?

     Apa yang dapat menyelamatkan manusia daripada seksa kubur? Dalam bahan bacaan Islam dijelaskan bahawa sebahagian besar daripada kalangan ulama memetakan jawapan pertanyaan tersebut kepada dua, iaitu umum dan khusus.

     Jawapan yang bersifat umum adalah dengan cara sentiasa mengelakkan semua perkara yang boleh menjadi sebabnya berlaku seksa kubur. Usaha seperti ini boleh berupa bertafakur, merenung walaupun sejenak semasa mahu masuk tidur, memikirkan kembali semua perkara yang telah dilakukan sejak dari bangun tidur sehingga menjelang tidur kembali dan petakan antara kebaikan dan keburukannya. Setelah itu, segeralah memperbaharui taubat yang sebenar-benarnya.

     Allah S.W.T. berfirman:
"Maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketakwaannya. Sesungguhnya beruntung orang yang menyucikan (jiwa)nya. Dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya." (Surah al-Syams: 8-10)

Enam pertanyaan malaikat Munkar dan Nakir di alam barzakh juga ada bagi golongan orang munafik dan kafir, bukan hanya bagi golongan orang mukmin dan munafik.

     Rasulullah S.A.W. bersabda:
    
     "Sesungguhnya, Allah merentangkan tangan-Nya pada waktu malam untuk memberikan kesempatan taubat bagi orang yang melakukan kesalahan pada waktu siang dan merentangkan tangan-Nya pada waktu siang sambil memberikan kesempatan taubat bagi orang yang melakukan kesalahan pada waktu malam, sehingga kelak matahari terbit dari barat (kiamat)." (HR. MUSLIM)

     Dari sini, dapat difahami bahawa selaku seorang muslim yang taat, sudah sepatutnya kita sentiasa bertafakur untuk membersihkan jiwa daripada kotoran dosa yang telah kita lakukan. Ini merupakan satu bentuk usaha paling berkesan bagi seorang muslim untuk menyelamatkan diri daripada seksa kubur. Seboleh mungkin, usahakan perkara itu dilakukan setiap malam, bukan hanya dilakukan sesekali sahaja. Setelah itu, tidurlah dalam keadaan bertaubat. Ini kerana, sesungguhnya taubat adalah satu perkara mulia yang berfungsi membersihkan jiwa manusia daripada kotoran dosa yang tidak lain merupakan sebab munculnya seksa kubur.

     Apabila seseorang bertaubat sebelum dia memejamkan mata untuk tidur dan ternyata malam itu adalah malam terakhir baginya hidup di dunia ini, maka sesungguhnya dia telah dianggap meninggal dunia dalam keadaan bertaubat. Namun, jika ternyata orang tersebut masih diberi usia panjang oleh Allah S.W.T., maka dia akan bangun dalam keadaan gembira dan bersedia melakukan aktiviti yang baru, iaitu aktiviti yang masih belum dilakukan, serta masih memiliki kesempatan untuk semakin meningkatkan amal ibadahnya.

     Ringkasnya, bagi seorang muslim yang taat, sesungguhnya tiada ada cara tidur yang lebih bijak dibandingkan dengan cara tidur sedemikian. Lebih-lebih lagi apabila perkara itu dilengkapi dengan berzikir pada Allah S.W.T., serta melaksanakan semua sunnah Rasulullah S.A.W. apabila mahu masuk tidur.

Selaku seorang muslim yang taat, sudah sepatutnya kita sentiasa bertafakur untuk membersihkan jiwa daripada kotoran dosa yang telah kita lakukan. Ini merupakan satu bentuk usaha paling berkesan bagi seorang muslim untuk menyelamatkan diri daripada seksa kubur.

     Bagi umat Islam, sesungguhnya tidak ada perkataan terlambat untuk melakukan perkara seperti itu. Memang, tidak ada perkataan terlambat untuk bertaubat. Sebabnya, Allah sentiasa membuka pintu taubat bagi orang yang mahu membersihkan jiwanya dan taubat sendiri adalah usaha paling berkesan untuk selamat daripada berbagai seksa alam kubur.

     Allah S.W.T. berfirman:
     "Katakanlah: "Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Jangan kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya, Dialah Yang Maha Pengampun, Lagi Maha Penyayang."" (Surah az-Zumar: 53)

     Sementara jawapan yang bersifat khusus lebih mengarah pada perincian usaha untuk selamat daripada seksa kubur. Perincian ini berpandukan pada beberapa hadis yang menjelaskan mengenai perkara yang dapat menyelamatkan manusia daripada seksa kubur.

     Muslim meriwayatkan dalam Sahih-nya daripada Salman r.a., dia berkata bahawasanya Rasulullah S.A.W. bersabda: "Menyiapkan tali selama sehari semalam lebih baik daripada berpuasa sebulan berserta solat malamnya. Jika dia meninggal dunia, maka dia diberi berdasarkan amalan yang telah dilakukannya, diberi pahala berupa rezekinya dan dia selamat daripada ujian (kubur)." (HR. Muslim)

     Penjelasan hadis ini memiliki persamaan dengan penjelasan yang terdapat dalam Jami' at-Tirmizi, daripada hadis Fadhalah bin Ubaid dari Rasulullah S.A.W. Baginda bersabda, "Setiap orang yang meninggal dunia disudahi berserta amalnya, kecuali orang yang meninggal dunia dalam keadaan menyediakan tali kudanya di jalan Allah S.W.T.. Sesungguhnya, dalam amalnya diteruskan baginya sehingga hari kiamat dan dia selamat daripada ujian kubur." (HR. Tirmizi)

     Dalam hadis lain juga dijelaskan bahawa orang yang mati dalam keadaan syahid, sesungguhnya memiliki enam perkara di sisi Allah S.W.T., iaitu:

1. Dosanya diampun pada percikan darahnya yang pertama;

2. Dia melihat tempat duduknya di syurga,

3. Dilindungi daripada seksa kubur;

4. Selamat daripada ketakutan besar;

5. Di atas kepalanya, diletakkan mahkota dewi kewibawaan, yaqut yang baginya lebih baik daripada dunia dan seisinya.

6. Berkahwin dengan tujuh puluh bidadari dan dia dapat meminta syafaat bagi tujuh puluh orang kerabatnya.

     Berdasarkan penjelasan ini, dapat diketahui bahawa salah seorang yang selamat daripada seksa kubur adalah segolongan orang yang mati syahid. Selain itu, sebahagian ulama juga mengatakan bahawa salah satu usaha yang boleh dilakukan oleh manusia untuk selamat daripada seksa kubur adalah dengan membiasakan diri membaca al-Quran iaitu surah al-Mulk.

Salah satu usaha yang boleh dilakukan oleh manusia untuk selamat daripada seksa kubur adalah dengan membiasakan diri membaca al-Quran iaitu surah al-Mulk.

     Sebenarnya terdapat hubung kait yang cukup dalam daripada dua jawapan tersebut, yang bersifat umum dan yang bersifat khusus, iaitu usaha untuk selamat daripada seksa kubur hanya boleh dilakukan dengan cara semakin mendekatkan diri pada Allah S.W.T.. Sebabnya, hanya dengan cara demikian, manusia akan selamat di dunia mahupun di akhirat. Begitu juga sebaliknya, semakin manusia menjauhkan diri daripada Zat yang telah menciptakan diri mereka, sesungguhnya pada masa yang sama mereka telah menciptakan petaka bagi diri mereka sendiri yang kemudian akan berakhir dengan kerugian yang amat besar.




P/S : PETIKAN DARI BUKU 'BEGINIKAH CARA MENJAWAB ENAM PERTANYAAN MALAIKAT DI ALAM KUBUR', DITULIS OLEH 'ZEN ABDURRAHMAN', DITERBITKAN OLEH 'AL HIDAYAH HOUSE OF PUBLISHERS SDN BHD'. Maaf jika ada kekurangan. Syukran Jazilan yang membaca :) Wallahualam...



Saturday, 14 December 2013

ADAB BERDOA

Adab berdoa ada sepuluh:

     Pertama, memilih waktu-waktu yang mulia untuk berdoa, seperti hari Arafah di antara hari-hari dalam seminggu, waktu sahur (kala awal pagi hari) di antara jam-jam dimalam hari.

     Allah s.w.t. berfirman:

     Ertinya:
     "Dan di akhir-akhir malam mereka memohon keampunan (kepada Allah)."
(Adz-Dzariyat: 18)

     Kedua, mengambil ksempatan yang mulia, seperti: sata bergeraknya barisan pada perang di jalan Allah s.w.t., saat turunnya hujan lebat, saat perlaksanaan solat fardu, selesai solat fardu, waktu antara azan dan iqamah, saat sujud, sebagaimana dikemukakan dalam sejumlah riwayat.

     Sebenarnya kemuliaan waktu-waktu tersebut terpulang kepada kemuliaan suasananya. Contohnya, waktu awal hari merupakan waktu hati menjadi jernih, ikhlas dan bebas dari pelbagai jenis gangguan (kekacauan). Hari Jumaat dan hari Arafah merupakan saat berhimpunnya semua tujuan dan saling terpautnya semua hati untuk mengharapkan curahan rahmat Allah s.w.t..

     Ketiga, menghadap ke arah kiblat dan mengangkat kedua-dua tangan hingga putih ketiaknya nampak. Lalu mengusapkan kedua-dua telapak tangan ke wajah di akhir doa. Umar r.a. berkata: "Rasulullah s.a.w. apabila menjulurkan kedua-dua telapak tangannya dalam berdoa, tidak menariknya kembali sebelum mengusap wajah dengan kedua-dua telapak tangannya itu."

     Ibnu Abbas r.a. berkata: "Apabila selesai berdoa, Rasulullah s.a.w. mendempetkan kedua-dua telapak tangannya dan menjadikan bahagian dalamnya mengarah ke wajah." Inilah keadaan kedua-dua tangan baginda, tetapi tanpa mengarahkan tatapan matanya ke langit.

     Keempat, merendahkan suara, antara berbisik dan jahr (nyaring). Tentang firman Allah s.w.t.: "Dan janganlah kamu menguatkan suaramu dalam solatmu dan janganlah pula merendahkannya." Aisyah r.a. berkata: "Maksudnya, dalam doamu."

     Allah s.w.t. memuji Nabi Zakaria a.s. melalui firman-Nya:

     Ertinya:
     "Iaitu tatkala dia berdoa kepada Tuhannya dengan suara yang lembut."
(Maryam: 3)

     Allah s.w.t. juga berfirman:

     Ertinya:
     "Berdoalah kepada Tuhanmu dengan berendah diri dan suara yang lembut."
(Al-Isra': 55)

     Kelima, tidak membebani diri dengan ucapan yang bersajak dalam berdoa.

     Keenam, merendah diri, khusyuk, penuh harap dan cemas. Allah s.w.t. berfirman: "Berdoalah kepada Tuhanmu dengan merendah diri dan suara yang lembut."

     Ketujuh, memantapkan doa, berasa yakin akan diterima dan benar-benar menggantungkan harapan kepada-Nya.
   
     Rasulullah s.a.w. bersabda, "Jangan sampai salah seorang di antara kamu berucap ketika berdoa, 'Ya Allah, ampunilah dosaku jika Engkau kehendaki. Ya Allah, kasihanilah daku jika Engkau kehendaki. Tetapi, hendaklah ia memantapkan permohonan. Sesungguhnya, memantapkan doa bukan perkara yang dibenci.'"

     Rasulullah s.a.w. juga bersabda, "Apabila salah seorang di antara kamu berdoa, hendaklah dia membesarkan harapan. Sesungguhnya, tidak ada sesuatu pun yang lebih besar dari Allah s.w.t.." Baginda bersabda, "Berdoalah kepada Allah dengan keyakinan mendapat pengabulan. Dan ketahuilah bahawa Allah tidak menerima doa dari hati yang lalai dan leka."

     Kelapan, terus-menerus dan mengulangi doa tiga kali, dan jangan berharap pengabulannya dilewatkan.

     Kesembilan, mengawali doa dengan zikir dan pujian kepada-Nya (jangan terus dengan permintaan), lalu membaca selawat untuk Nabi s.a.w. kemudian menutup doanya juga dengan zikir dan selawat.

     Kesepuluh, ini adalah etika batin yang merupakan inti dalam pengabulan doa, iaitu taubat, menebus pelbagai jenis kezaliman dan menghadapkan diri kepada Allah s.w.t. setulus hati. Yang batin inilah sebenarnya yang menjadi penyebab doa dikabulkan oleh Allah s.w.t..




P/S: BUKU BERTAJUK "DOA-DOA PARA NABI & WALI", DITULIS OLEH "SAYYID MUHAMMAD BIN 'ALAWI AL-MALIKI DAN DITERBITKAN OLEH "DR. MOHD PUZHI BIN USOP". Waallahualam :)