Friday, 5 January 2018

PERANG UHUD [ BAB 10 - PERANG UHUD ]






PERANG UHUD








Sabtu 11 Syawal tahun ke 3 Hijrah / 30 Mac 625 Masihi.

Pagi pun menjelang. Matahari memancarkan sinarnya ke atas Gunung Uhud yang nampak kemerahan kerana diseliputi batu-batu kerikil merah. Dinamakan Gunung Uhud kerana tidak bersambung dengan gunung-gunung lain. Kedudukannya yang tunggal itu dinamakan Gunung Uhud atau Gunung Tunggal. Sekian lama gunung itu tidak dipedulikan kerana tidak ada yang menarik berkenaan gunung itu selain batu-batu kerikil merah yang tidak sesuai untuk bercucuk tanam. Tetapi hari itu, Sabtu 11 Syawal tahun ke-3 hijrah bersamaan 30 Mac 625 Masihi, gunung itu melakar sejarah yang tidak dapat dilupakan umat Islam.

     Selepas sampai di lereng Gunung Uhud, Nabi Muhammad segera meninjau ke kawasan sekitarnya. Berhampiran dengan Gunung Uhud terdapat sebuah bukit dikenali dengan nama Bukit Rumat. Di bawah bukit itu terdapat satu rabung yang dinamakan lembah Qanat. Rasulullah menempatkan 50 orang pemanah di atas Bukit Rumat. Mereka diketuai Abdullah bin Jubair.

     "Seranglah musuh yang menyerang kami dengan panahmu. Jangan biarkan kami diserang dari arah belakang. Tetaplah kamu berada di tempatmu, baik ketika kita menang ataupun ketika kita kalah agar musuh tidak menyerang dari arah belakang. Jika kalian melihat kami binasa direnggut musuh jangan meninggalkan tempat itu sehingga aku mengirimkan utusan kepada kalian," pesan Nabi Muhammad kepada pasukan pemanah itu.

     "Baiklah wahai Rasulullah," kata Abdullah bin Jubair lalu membawa pasukan pemanahnya berkubu di puncak Bukit Rumat.

     Dari puncak bukit itu, mereka dapat memerhatikan kawasan sekitar hadapan Gunung Uhud. Jika musuh cuba menyerang pasukan Islam dari arah kiri ataupun kanan, mudah menjadi sasaran anak panah mereka. Tambahan pula mereka yang ditempatkan di atas bukit itu adalah pemanah yang mahir.

     Kemudian Rasulullah menempatkan pasukannya di hadapan Gunung Uhud dengan menghadap ke arah musuh serta membelakangkan gunung itu. Kemudian baginda mengatur kedudukan pasukannya yang berjumlah 650 orang. Baginda meletakkan Al-Mundzir di sayap kanan bagi mengetuai pasukan penggempur seramai 100 orang dan Zubiar bin Awwam diletakkan di sebelah kiri bagi mengetuai seramai 100 orang lagi. Al-Miqdad bin Al-Aswad pula diberi tugas memimpin 200 orang tentera bagi melumpuhkan tentera berkuda Quraisy yang diketuai Khalid Al-Walid. Manakala 250 orang lagi diletakkan di barisan hadapan. Mereka terdiri daripada pahlawan yang terkenal seperti Hamzah bin Abdul Mutalib. Umar al-Khattab, Ali bin Abi Talib, Sa'ad bin Abi Waqas, Abu Ubaidah al-Jarrah dan lain-lain.

     Ramai yang memuji strategi perang Rasulullah itu. Beliau memilih lokasi yang paling baik bagi menempatkan pasukan tenteranya. Dengan adanya pasukan pemanah di puncak Bukit Ramat pasukan Quraisy yang menyerang pasti menjadi sasaran mereka. Dengan menjadikan Gunung Uhud seperti benteng pertahanan belakang menyebabkan musuh tidak boleh mengepung mereka dan tidak boleh menyerang dari arah belakang. Mereka juga boleh menjadikan lereng bukit dan batu-batu besar yang terdapat di depan gunung itu sebagai tempat berlindung daripada serangan musuh dan kemudiannya melancarkan serangan.

     Nabi Muhammad turut berpesan agar mereka jangan menyerang musuh terlebih dahulu tetapi membiarkan musuh mara dan serangan hanya boleh dilakukan selepas mendapat perintah daripadanya.

     Kemudian Nabi Muhammad mencabut pedangnya lalu berkata, "Siapakah yang sanggup memenuhi hak pedang ini?"

     Abu Dujanah Simak bin Kharsah segera menyahut, "Apakah hak pedang itu wahai Rasulullah?"

     "Engkau gunakan untuk memukul musuh sampai di tanduk," jawab Rasulullah.

     "Aku sanggup memenuhi haknya, wahai Rasulullah," kata Abu Dujanah lalu Rasulullah menyerahkan pedang itu kepadanya.

     Selepas menerima pedang daripada Rasulullah maka Abu Dujanah pun mengikat kepalanya dengan tali merah menandakan dia sudah bersiap sedia untuk bertempur. Kemudian dengan gaya yang megah dia berjalan di hadapan sekali sambil mengembangkan dirinya dengan penuh keberanian.

     "Sesungguhnya perbuatan seperti itu adalah perbuatan yang dibenci Allah kecuali di tempat ini," kata Nabi Muhammad.

     Maka tampil beberapa orang lagi kawan-kawan Abu Dujanah yang meniru gayanya. Mereka begitu bersemangat tinggi untuk bertempur dengan musuh. Namun mereka patuh kepada pesan Rasulullah supaya menunggu kedatangan musuh, bukan mereka yang marah ke arah musuh.

     Pasukan Quraisy yang mengintip apa yang dilakukan pasukan tentera Islam. Apabila Abu Sufian mendapat tahu Nabi Muhammad menyusun pasukannya maka dia juga melakukan perkara yang sama. Abu Sufian meletakkan Khalid Al-Walid dan pasukan berkudanya di sayap sebelah kanan. Ikramah bin Abu Jahal berada di sayap sebelah kiri. Abdullah bin Abi Rabi'ah mengetuai pasukan infantri di bahagian tengah, manakala Abu Sufian sendiri sebagai pemimpin tertinggi pasukan Quraisy.

     Bendera pasukan tentera Quraisy diserahkan kepada Bani Abdul Dar.

     Abu Sufian mencabar mereka dengan berkata, "Wahai Bani Abdul Dar, kamu sudah diberi amanah untuk membawa bendera ketika perang Badar. Tetapi kita mengalami kekalahan yang teruk. Sesungguhnya apabila berlaku pertempuran, musuh akan menuju ke arah bendera kita. Jika bendera lenyap maka pasukan kita juga akan lenyap. Oleh itu, kamu boleh buat pilihan sama ada kamu pertahankan bendera itu hingga titisan darah terakhir ataupun kamu serahkan kepada orang lain untuk menjaga haknya," kata Abu Sufian.

     "Tidak, kami tidak akan serahkan bendera ini kepada orang lain. Apabila berlaku pertempuran nanti engkau akan melihat apa yang akan kami lakukan terhadap musuh," teriak Thalhah bin Abi Thalhah sambil memegang bendera itu. Dia ketua kabilah Bani Abdul Dar.

     "Kami akan pertahankan bendera ini dengan nyawa kami. Muhammad dan pengikutnya tidak akan dapat menghampiri bendera ini," teriak adiknya Abu Syaibah Usman bin Abi Thalhah.

     "Kami sepuluh orang pahlawan Bani Abdul Dar akan mempertahankan bendera ini hingga ke hujung nyawa," teriak Abu Said bin Abi Thalhah.

     Turut berikrar mempertahankan bendera itu ialah Musafi Thalhah bin Abi Thalhah, Kilab bin Thalhah bin Abi Thalhah, Al-Jallas bin Thalhah bin Abi Thalhah, Artha'ah bin Syurahbil dan Syuraih bin Qarizh dan Syurahbil bin Hasyim. Abu Sufian senang hati mendengar ikrar pahlawan-pahlawan Bani Abdul Dar.

     "Wahai Abu Sufian, Muhammad dan pasukannya menunggu di tempat mereka. Petanda mereka takut untuk menyerang kita. Mari kita tunjukkan keberanian dengan menyerang mereka," teriak Safwan yang seolah-olah tidak sabar lagi untuk berperang. Dia ingin menuntut bela di atas kematian bapanya Umaiyah dalam perang Badar.

     "Aku juga tidak sabar menuntut bela kematian bapaku," teriak Ikramah bin Abu Jahal pula.

     Masih terbayang di matanya bagaimana bapanya terbunuh dalam Perang Badar. Ketika pertempuran hebat sedang berlaku antara pasukan Quraisy dengan pengikut Nabi Muhammad, tiba-tiba muncul dua orang remaja yang bersenjatakan pedang lalu menerpa ke arah ayahnya yang sedang berada di atas kuda sambil memberi perintah kepada pasukan Quraisy. Remaja itu bernama Muaz dan Muawwiz.

     Dia melihat Muaz menetak kaki kuda yang ditunggang ayahnya menyebabkan Abu Jahal terjatuh ke tanah. Ketika hendak bangun kaki kanan ayahnya ditetak Muaz hingga hampir putus. Ikramah menerkam Muaz lalu menetak tangan kiri hingga hampir putus. Kemudian dia melihat Muawwiz pula menetak bapanya dengan pedang. Ikramah menyerang Muawwiz hingga berjaya membunuhnya. Tidak lama kemudian datang pula Abdullah bin Mas'ud lalu menikam dada Abu Jahal dengan pedang kemudian memenggal kepalanya lalu dibawa kepada Nabi Muhammad.

     Kematian Abu Jahal itu menyebabkan Ikramah mahu membalas dendam kepada Nabi Muhammad dan mereka yang terlibat dengan kematian bapanya. Dia tidak sabar lagi untuk terjun ke medan perang.

     "Sabar dulu wahai Ikramah dan Safwan. Tidakkah kamu mahu melihat Muhammad ditinggalkan oleh orang Yathrib? Abdullah bin Ubai dan kawan-kawannya daripada Bani Khazraj sudah meninggalkan Muhammad. Tinggal Bani Aus saja yang masih bersama-samanya. Aku mahu lihat mereka juga meninggalkan Muhammad. Dengan itu tidak siapa lagi dapat mempertahankannya," kata Abu Sufian.

     "Apa rancangan kamu?" tanya Ikramah.

     "Aku akan memujuk orang Bani Aus meninggalkan Muhammad," jawab Abu Sufian.

     "Bagaimana caranya?" tanya Ikramah lagi.

     "Aku akan menulis surat kepada mereka," jawab Abu Sufian.

     Pada masa itu pasukan Muslimin sedang bersiap sedia menunggu pasukan Quraisy menyerang. Tiba-tiba muncul seorang tentera Quraisy menunggang kuda menghampiri pasukan Muslimin.

     "Aku utusan Abu Sufian mahu menyampaikan surat ini kepada Bani Aus," teriak pembawa surat itu.

     Nabi Muhammad membenarkan pembawa surat itu menghantarnya kepada ketua Bani Aus.

     Kandungan surat itu berbunyi...

     Wahai saudaraku daripada Bani Aus. Kami datang hanya untuk memerangi Muhammad dan beberapa orang sahabatnya dari Mekah. Kami tidak bermaksud mahu berperang dengan kamu. Tinggalkan Muhammad dan kamu pulanglah ke pangkuan keluarga kamu.

     Tetapi orang Bani Aus tidak terpengaruh dengan hasutan itu. Mereka mengoyakkan surat itu di hadapan utusan Abu Sufian kemudian menyuruhnya pulang untuk memberitahu Abu Sufian mereka menolaknya. Abu Sufian berasa agak kecewa kerana usahanya tidak berjaya.

     "Wahai Abu Sufian, izinkan aku menemui orang Bani Aus. Aku yakin mereka masih menghormati aku kerana pernah menjadi pendeta mereka," kata Abdu Amr bin Shaifi yang digelar Ar-Rahib oleh orang Aus.

     Sebelum kedatangan Islam di Madinah, Abdu Amr begitu dihormati kerana dia seorang pendeta Bani Aus. Tetapi selepas Islam datang ke Madinah dan setelah Nabi Muhammad dan para sahabatnya berhijrah ke Madinah maka pendeta itu berasa tertekan lalu melarikan diri ke Mekah untuk bergabung dengan orang Quraisy bagi memerangi Nabi Muhammad.

     Pada saat genting itu, Abdu Amr menawarkan diri memujuk orang Aus supaya meninggalkan Nabi Muhammad. Abu Sufian membenarkan Abdu Amr menjalankan peranannya.

     Dia pergi kepada pasukan Muhammad lalu berseru, "Wahai orang Aus. Aku pernah menjadi pendeta kamu suatu ketika dahulu. Aku memberi amaran lebih baik kamu pulang menjaga keluarga kamu kerana mereka lebih penting daripada Muhammad. Biarkan Muhammad dan para sahabatnya disembelih oleh keluarga mereka sendiri."

     Orang Aus berasa marah lalu melontar Abdu Amr dengan batu.

     "Jika engkau tidak pergi dari sini kami bunuh!" teriak orang-orang Aus.

     Abdu Amr pulang ke pasukan Quraisy dengan rasa kecewa.

     Kemudian tampil pula Hindun bersama kawan-kawannya memukul gendang memberi semangat kepada pasukan Quraisy supaya tidak gentar untuk berperang. Hindun membacakan sebuah syair.

     Jika kalian maju ke medan perang
     Kami peluk
     Kami siapkan tilam yang empuk
     Jika kalian berundur
     Kami menjauhkan diri
     Kita akan berpisah
     Perpisahan yang tidak kenal ramah.

Mendengar kata-kata yang diucapkan oleh Hindun bin Urbah itu, maka Thalhah bin Abi Thalhah ketua Bani Abdul Dar diberi tanggungjawab membawa bendera pasukan Quraisy menunjukkan keberaniannya dengan tampil ke hadapan sambil menunggang untanya yang dihiasi kain merah.

     "Aku singa Bani Abdul Dar. Aku tampil ke hadapan wahai pasukan kambing!" teriak Thalhah.

     "Wahai Rasulullah, izinkan aku menyahut cabarannya," pinta Zubair bin Awwam yang mengetuai pasukan di sayap kiri.

     Selepas mendapat izin daripada Rasulullah maka Zubair bin Awwam pun melompat maju ke hadapan dan berdepan dengan ketua Bani Abdul Dar itu.

     "Siapa kamu yang berani mencabar aku?" tanya Thalhah.

     "Akulah Zubair bin Awwam yang akan membunuh kamu wahai celaka," teriak Zubair.

     Maka kedua-dua orang pahlawan yang berani itu mula bertarung bagi menunjukkan kehandalan masing-masing. Ketika itu Thalhah menunggang unta tetapi Zubair hanya berjalan kaki. Oleh sebab berasa yakin dapat membunuh lawannya dengan mudah maka Thalhah memacu untanya ke arah lawannya lalu menetak pedangnya ke arah Zubair. Tetapi tidak mengenai sasaran. Dengan pantas Zubair mengejar lawannya dari arah belakang lalu menikam belakang Thalhah menyebabkan lawannya tersungkur ke tanah. Thalhah cuba bangun tetapi Zubair tidak memberi peluang lantas membunuhnya.

     Rasulullah bertakbir apabila melihat Zubair berjaya menewaskan lawannya dengan mudah. Kaum muslimin yang lain ikut bertakbir sehingga suara mereka bergema ke angkasa menggentarkan hati-hati orang Quraisy.

     "Setiap nabi mempunyai pengikut-pengikut yang setia, dan pengikutku yang setia Az-Zubair," kata Rasulullah.

     Apabila melihat ketua mereka terbunuh, pahlawan-pahlawan Bani Abdu Dar menjadi marah lalu menyerbu ke arah tentera Islam sambil membawa bendera. Mula-mula bendera itu dipegang oleh Thalhah bin Abi Thalhah.

     Selepas Thalhah terbunuh maka adiknya Abu Syaibah Usman bin Abi Thalhah membawa bendera pasukan Quraisy lalu berteriak, "Akulah pembawa bendera Quraisy. Aku sanggup mempertahankannya hingga tewas."

     Mendengar teriakan itu maka Hamzah bin Abu Talib maju ke depan lalu menyerangnya. Pada waktu itu tangan kiri Abu Syaibah memegang bendera dan tangan kanannya menghunus pedang. Maka terjadi pertarungan antara Hamzah dengan Abu Syaibah. Hamzah berjaya menetak tangan kanan lawannya hingga putus. Namun Abu Syaibah terus menjulang bendera dengan tangan kirinya. Dengan pantas Hamzah menetak bahu kiri Abu Syaibah hingga terbelah rusuknya.

     Melihat Abu Syaibah tewas maka Abu Said bin Abi Thalhah merebut bendera itu daripada abangnya. Dia cuba membawa bendera itu ke tengah pasukan Quraisy tetapi denga pantas dipanah oleh Sa'ad bin Abi Waqqas, tepat mengenai lehernya.

     Kemudian bendera Quraisy itu direbut oleh Musafi Thalhah bin Abi Thalhah lalu cuba dibawanya lari ke tempat selamat namun dengan pantas dapat dibunuh oleh Ashim bin Tsabit dengan anak panahnya. Kemudian datang pula Kilab bin Thalhah lalu mengambil bendera itu daripada mayat Musafi Thalhah tetapi dia dibunuh oleh Zubair bin Awwam. Akhirnya Al-Jallas bin Thalhah bin Abi Thalhah cuba menyelamatkan bendera itu tetapi dapat dibunuh oleh Ashim bin Tsabit dengan anak panahnya.

     Apabila melihat seorang demi seorang pahlawan Bani Abdul Dar terbunuh maka tampil pula Artha'ah bin Syurahbil menyelamatkan bendera Quraisy tetapi dengan pantas Ali bin Abi Talib membunuhnya. Kemudian datang pula Syuraih bin Qarizh cuba menyelamatkan bendera tetapi dibunuh oleh Qazman.

     Pada waktu yang sama, datang pula Abu Zaid Amr bin Abdi Manaf cuba memegang bendera itu tetapi dapat dibunuh oleh Qazman. Akhirnya datang pula Syurahbil bin Hasyim cuba mengambil bendera itu tetapi dibunuh oleh Qazman juga.

     Apabila melihat sepuluh orang pembawa bendera terbunuh maka tidak siapa yang berani tampil untuk mengambil bendera itu.

     Apabila melihat situasi itu maka Abu Sufian pun berteriak, "Tidak ada lagikah pahlawan yang sanggup membawa bendera kita?"

     Tiba-tiba muncul Shawab, seorang hamba milik keluarga Bani Abdul Dar yang turut menyertai perang Uhud. Dia menunjukkan keberaniannya kepada Abu Sufian dengan membawa bendera Quraisy. Dia bertempur bermati-matian sambil cuba menyelamatkan bendera itu.

     Ali bin Abi Talib menyerang Shawab. Dia berjaya menetak tangan kanan Shawab hingga putus maka bendera itu dipegangnya dengan tangan kiri pula. Apabila tangan kirinya putus Shawab mengepit bendera itu dengan lehernya dirapatkan ke dada. Tidak lama kemudian Shawab terbunuh dan bendera itu jatuh ke tanah kerana tidak siapa lagi yang berani mengambilnya.

     Dalam pusingan pertama pertempuran di Uhud, ia berlaku di sekitar pembawa bendera. Seramai 11 orang berjaya ditewaskan oleh pahlawan-pahlawan Islam yang berada di barisan hadapan. Tidak ada seorang pun pahlawan Islam yang syahid. Melihat situasi itu, Abu Sufian yang memimpin di barisan hadapan memerintahkan pasukan tenteranya menyerang. Maka terjadi pertempuran yang hebat antara kedua-dua belah pihak.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

Wednesday, 3 January 2018

PERANG UHUD [ BAB 9 - MENUJU KE MEDAN JIHAD ]






MENUJU KE MEDAN JIHAD








Jumaat 10 Syawal Tahun ke-3 Hijrah

     Hari beransur petang. Padang pasir yang sejak dari pagi dimamah bahang panas mentari kini semakin redup. Nabi Muhammad bersama pasukannya bergerak merentasi padang pasir menuju ke Gunung Uhud yang jauhnya kira-kira enam kilometer dari Madinah. Sepanjang perjalanan itu mereka bertakbir dengan penuh bersemangat.

     Pasukan Muslimin Madinah kali ini lebih baik berbanding pasukan yang terlibat dengan Perang Badar. Mereka mempunya 50 ekor kuda dan 500 ekor unta yang dijadikan tunggangan. Mereka juga dilengkapi dengan 100 tentera baju besi.

     Namun angkatan Quraisy Mekah jauh lebih kuat. Mereka berjumlah tiga ribu orang dengan dua ribu pasukan berkuda, 700 tentera berbaju besi dan tiga ribu ekor untuk dijadikan makanan dan tunggangan.

     "Mengapa Muhammad menyuruh kita berangkat ke Uhud pada waktu petang? Sepatutnya kita berangkat pagi esok. Tentu kita dapat bersama isteri dan anak-anak kita pada malam ini," rungut Abdullah bin Ubaidah yang turut serta dalam pasukan Muslimin.

     Jika diturutkan rasa hati memang dia tidak mahu menyertainya namun dipaksa juga dirinya pergi kerana dia ada muslihat tertentu yang hanya dia saja yang mengetahuinya. Malah sebelum keluar dari Madinah, dia didatangi utusan daripada Abu Sufian yang menyuruhnya membantu pasukan Quraisy dengan bertindak dari dalam. Sebagai langkah pertama, dia mempertikaikan perintah Nabi Muhammad dengan harapan terjadi perpecahan di kalangan pasukan Muslimin Madinah.

     Apa yang diperkatakan oleh Abdullah bin Ubai itu sampai ke pengetahuan Nabi Muhammad. Namun beliau tidak ambil peduli kerana dalam keadaan yang genting itu, pelbagai kemungkinan boleh berlaku jika tidak bijak mengendalikannya.

     Tiba-tiba Nabi Muhammad ternampak ada sekumpulan manusia yang tidak dikenalinya sedang mengekori perjalanan mereka dari belakang. Kumpulan itu menunggang kuda dan membawa senjata. Beliau bertanya kepada Hamzah, "Siapakah gerangannya." Hamzah segera pergi menyiasat kemudian datang segera membuat laporan.

     "Mereka adalah sekutu Bani Khazraj. Kedatangan mereka untuk membantu kita berperang dengan pasukan Quraisy," beritahu Hamzah.

     "Adakah mereka sudah memeluk agama Islam?" tanya Nabi Muhammad.

     "Belum," jawab salah seorang Bani Khazraj.

     Mendengar jawapan itu Nabi Muhammad mengatakan beliau tidak mahu bantuan daripada mereka yang bukan Islam. Kumpulan itu diminta pulang semula ke Madinah. Sekali lagi Abdullah bin Ubai memprotes.

     "Aku hairan mengapa Muhammad menolak bantuan mereka yang bukan Islam? Bukankah mereka juga berhak untuk mempertahankan tanah air mereka?" tanya Abdullah bin Ubai. Perjalanan diteruskan tanpa menghiraukan pandangan itu.

     "Wahai Ali, kenapa Nabi Muhammad menolak bantuan orang Khazraj? Bukankah dengan adanya mereka pasukan kita menjadi bertambah kuat?" tanya Abdullah.

     "Jika mereka benar-benar ingin membantu kenapa tidak menyertai kami sejak awal? Nabi Muhammad sudah membuat seruan kepada semua penduduk Madinah supaya menyertai pasukan kami. Tetapi mereka tidak mendaftarkan nama mereka. Tiba-tiba mereka datang untuk bergabung dengan kami. Aku bersetuju dengan keputusan Rasulullah," jawab Ali.

     Barulah Abdullah bin Ubai diam. Dia berasa kecewa kerana usahanya untuk memecah-belahkan pasukan Islam masih belum berjaya. Namun dia tidak berputus asa dan masih menunggu peluang untuk melakukannya. Dia berharap pasukan Islam akan mengalami kekalahan dan Nabi Muhammad terbunuh. Dengan itu penduduk Madinah akan melantiknya sebagai raja.

     Ura-ura penduduk Madinah hendak melantik Abdullah bin Ubai menjadi raja itu sudah heboh diperkatakan sejak dia berjaya mendamaikan perbalahan antara kaum Aus dengan Khazraj. Di atas jasanya maka mereka mahu melantiknya menjadi raja. Tetapi mereka yang telah memeluk agama Islam mahu Nabi Muhammad menjadi pemimpin mereka.

     Nabi Muhammad menyuruh mereka meneruskan perjalanan tanpa menghiraukan kata-kata Abdullah bin Ubai. Apabila sampai di Asy-Syaikhan, Nabi Muhammad menyuruh mereka berhenti serta berdiri dalam barisan masing-masing. Kemudian beliau memeriksa barisan demi barisan serta memerhatikan seorang demi seorang. Dilihatnya terdapat beberapa orang budak lelaki yang masih di bawah umur. Antaranya Abdullah bin Umar al Khattab, Zaid bin Harithah, Usamah bin Aus, Amr bin Hain, Abu Said A Khadri dan Said bin Habbah. Mereka tidak dibenarkan ikut berperang lalu disuruh pulang ke Madinah.

     Rafi' bin Khudaij dan Samurah bin Jundub juga masih di bawah umur. Mereka berada di barisan belakang. Apabila melihat kawan-kawan yang sebaya dengannya tidak dibenarkan ikut berperang maka kedua-duanya berasa susah hati. Rafi' dan Samurah cuba berlindung di belakang. Ubadah dengan harapan tidak dilihat oleh Nabi Muhammad. Tetapi usaha mereka tidak berjaya kerana Rasulullah nampak mereka berdua.

     "Kamu berdua juga tidak boleh menyertai pasukan ini," kata Rasulullah.

     "Wahai Rasulullah, saya seorang yang pandai memanah. Setiap kali saya melepaskan anak panah pasti tetap mengenai sasaran. Izinkan saya pergi berperang," kata Rafi' bersungguh-sungguh.

     Rasulullah menguji Rafi' dengan menyuruhnya memanah ke satu arah dan beliau kelihatan berpuas hati lalu membenarkan Rafi' ikut serta.

     "Wahai Rasulullah, saya boleh menumbangkan Rafi' jika berlawan. Saya juga mohon dibenarkan ikut berperang," kata Samurah pula.

     Untuk menguji kebolehan Samurah maka Rasulullah menyuruhnya berlawan dengan Rafi'. Dengan mudah Samurah berjaya menjatuhkan Rafi'. Dengan itu Samurah juga dibenarkan ikut berperang.

     "Wahai ayah, bagaimana jika kami turut juga berperang secara senyap tanpa pengetahuan Rasulullah?" tanya Abdullah.

     "Jangan ingkar perintah Rasulullah terutama pada saat yang genting seperti ini. Pulang segera ke Madinah kerana tenaga kamu lebih diperlukan di sana. Pastikan Madinah berada dalam keadaan selamat," jawab Umar al Khattab.

     Abdullah dan kawan-kawannya segera pulang ke Madinah. Mereka tidak lagi berasa kecewa kerana tidak dibenarkan ikut berperang kerana tenaga mereka diperlukan untuk menjaga keselamatan Kota Madinah.

     Nabi Muhammad dan pasukannya meneruskan perjalanan sehingga sampai ke Asy-Syaikhan yang terletak kira-kira tiga kilometer dari Madinah. Di situ terdapat sebuah kolam lalu Nabi Muhammad menyuruh mereka berhenti di situ. Tambahan pula sudah masuk waktu sembahyang Maghrib. Mereka bersembahyang Maghrib dan Isyak secara berjemaah. Kemudian Nabi Muhammad menyuruh mereka mendirikan khemah lalu bermalam di situ. Sebagai langkah berjaga-jaga Nabi Muhammad menyuruh 50 orang mengawal perkhemahan pasukan Muslimin. Kumpulan pengawal itu diketuai oleh Muhamad bin Maslamah. Dia seorang yang berani dan amanah. Dia pernah menawarkan diri bagi membunuh Ka'ab yang menghasut orang Yahudi membenci Rasulullah. Muhamad bin Maslamah dan beberapa orang kawan-kawannya berjaya melakukannya. Kini dia diberi tugas menjadi ketua pasukan pengawal perkhemahan pasukan muslimin Madinah.

     "Wahai Rasulullah, izinkan saya mengawal tuan sepanjang malam ini. Saya akan berada di sampai tuan hingga ke pagi," kata Dzakwan bin Qais.

     Dia berasa risau berkenaan keselamatan Rasulullah. Tambahan pula apabila melihat tindak tanduk Abdullah bin Ubai yang seperti sengaja hendak menimbulkan kebencian orang ramai terhadap Nabi Muhammad. Dia membisikkan kepada Nabi Muhammad supaya menyuruh Abdullah bin Ubai pulang ke Madinah atau benarkan saja dia membunuhnya. Tetapi Rasulullah tidak membenarkannya. Oleh itu, Dzakwan menawarkan dirinya menjaga keselamatan Rasulullah.

     Pada masa yang sama pasukan tentera Quraisy sedang bergembira kerana mereka yakin akan terjadi perpecahan di kalangan pasukan Islam. Ini kerana Abu Sufian sudah menghantar utusan kepada orang Khazraj yang bukan Islam supaya membantu pasukan Quraisy dengan menyerang dari belakang. Dalam masa yang sama, Abdullah bin Ubai pula akan bertindak dari dalam kerana mereka berada dalam pasukan Nabi Muhammad. Abu Sufian yakin pakatan itu pasti berjaya.

     Mereka membuat perancangan tetapi Allah juga lebih bijak merancang. Pasukan Bani Khazraj itu tidak dibenarkan oleh Nabi Muhammad berada bersama pasukan tentera Islam. Mereka telah disuruh pulang ke Madinah.

     Perancangan Abdullah bin Ubai hendak membunuh Nabi Muhammad pada malam itu juga tidak dapat dilakukan kerana perkhemahan baginda dikawal ketat oleh beberapa pengawal yang bersenjata. Dzakwan bin Qais pula tidak tidur sepanjang malam kerana berada di samping Nabi Muhammad.

     Malam itu Nabi Muhammad sendiri lebih banyak berdoa dan beramal ibadat. Begitu juga dengan para sahabat yang lain seperti Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali. Selepas hampir menjelang pagi iaitu sebelum terbit fajar tiba-tiba Nabi Muhammad menyuruh Dzakwan mengejutkan semua anggota pasukan dan mereka diperintahkan bergerak dengan segera menuju ke Asy-Syauth. Semua patuh dengan perintah Rasulullah kecuali Abdullah bin Ubai dan para pengikutnya yang marah kerana dikejutkan daripada tidur. Mereka juga memprotes kerana disuruh meninggalkan tempat itu sebelum subuh.

     "Sepatutnya kita dibenarkan berehat dan tidur secukupnya di sini. Selepas subuh dan selepas hari siang baru kita meninggalkan tempat ini," protes Abdullah bin Ubai.

     Mereka yang patuh dengan perintah Rasulullah tanpa banyak soal terus mematuhinya. Mereka segera bersiap lalu meninggalkan Asy-Syaikhan. Apabila sampai di Asy-Syauth ketika itu waktu Subuh, Nabi Muhammad memerintahkan mereka berhenti untuk bersembahyang Subuh. Selesai sembahyang Subuh mereka bersiap untuk meneruskan perjalanan ke Uhud. Tiba-tiba Abdullah bin Ubai datang menghadap Nabi Muhammad.

     "Wahai Nabi Muhammad, apa yang kita lakukan ini seperti membunuh diri sendiri. Aku tidak mahu mati dengan sia-sia," kata Abdullah bin Ubai dengan suara yang kuat supaya didengar oleh orang ramai.

     Kemudian katanya lagi, "Jumlah pasukan tentera Quraisy lebih ramai daripada kita. Sepatutnya kita yang menunggu kedatangan mereka. Tetapi sekarang kita yang datang kepada mereka. Aku berpendapat kita akan diserang pada bila-bila masa kerana jumlah mereka ramai sedangkan jumlah kita sedikit. Aku mahu kita kembali ke Madinah. Mari kita pertahankan Kota Madinah dari dalam."

     Kata-kata Abdullah bin Ubai itu berjaya menakutkan orang Bani Harithah dan Bani Salamah. Mereka menyokong permintaan Abdullah bin Ubai supaya mereka pulang semula ke Madinah. Sehubungan dengan itu turut ayat al-Quran Surah Ali Imran ayat 122 bermaksud,

     "(Ingatlah) ketika dua golongan dari kamu ingin (mundur) kerana takut, padahal Allah adalah penolong bagi dua golongan itu. Oleh itu, hendaklah kepada Allah sahaja orang-orang yang beriman bertawakal."

     Para sahabat menjadi tenang menhadapi situasi yang genting itu. Mereka menyatakan taat setia kepada Rasulullah serta menolak ajakan Abdullah bin UBai supaya berundur semula ke Madinah.

     "Wahai saudaraku sekalian. Bukankah kita sudah bersetuju untuk berperang di luar Kota Madinah? Bukankah kita semua mendengar Nabi Muhammad memerintahkan kita keluar menuju ke Uhud? Marilah kita teruskan perjalanan untuk berjuang di jalan Allah dan bagi mempertahankan negeri kamu," teriak Abdullah bin Haram.

     Tetapi Abdullah bin Ubai tetap dengan keputusannya untuk menarik diri dari pasukan Islam dan pulang ke Madinah. Dia berjaya mempengaruhi 300 orang pengikutnya supaya keluar daripada pasukan Islam. Sehubungan dengan itu turut ayat Al-Quran surah Ali Imran ayat 167 bermaksud, 

     "Dan supaya Allah Taala mengetahui siapa orang yang munafik. Kepada mereka dikatakan marilah berperang di jalan Allah atau mempertahankan negerimu. Mereka menjawab, seandainya kami mengetahui kalian akan berperang nescaya kami mengikut kamu. Mereka pada hari itu lebih kepada kekafiran dari keimanan. Mereka mengetakan dengan mulutnya apa yang terkandung dalam hatinya. Dan Allah Taala mengetahui apa yang mereka sembunyikan."

Walaupun jumlah mereka hanya tinggal 700 orang, namun semangat mereka tidak luntur bagi meneruskan perjalanan mara ke medan jihad.

     Pada masa yang sama tersebar berita di kalangan pasukan tentera Quraisy bahawa pasukan Muhammad sudah berpecah apabila sebahagian daripada mereka menarik diri lalu pulang ke Madinah. Abu Sufian bin Harb yang paling gembira kerana apa yang dirancangnya telah berjaya. Kemudian mengatur orangnya bagi melakukan serangan hendap ke atas pasukan tentera Islam. Mereka memasang perangkap di jalan yang akan dilalui Nabi Muhammad dan para pengikutnya.

     "Siapakah antara kalian yang tahu tempat ini serta dapat membawa kami kepada musuh melalui jalan rentas?" tanya Nabi Muhammad.

     "Saya wahai Rasulullah," kata seorang lelaki bernama Abu Khaitsamah.

     Menurut lelaki itu dia tahu berkenaan kawasan itu dan boleh membawa mereka melalui jalan rentas untuk segera sampai ke Gunung Uhud. Nabi Muhammad yakin dengan Abu Khaitsamah lalu melantiknya sebagai penunjuk jalan. Dia membawa pasukan Muslimin melalui ladang Bani Harithah. Mereka melewati kebun kepunyaan Marba' bin Qaizhi seorang yang sangat memusuhi Rasulullah.

     Apabila melihat pasukan Islam melalui kebunnya maka disimbahnya dengan pasir dan debu sambil berkata, "Jangan melalui kebun aku ini kerana kamu pengikut Muhammad."

     Beberapa orang sahabat ingin membunuh Marba' tetapi tidak diizinkan Rasulullah sambil berkata, "Jangan kamu membunuhnya kerana dia buta hati dan buta mata."

     Mereka terus berjalan hingga akhirnya sampai ke lereng Gunung Uhud. Kemudian mereka berhenti di satu tempat bernama Udwatu Wadi. Mereka mendirikan khemah dengan membelakangkan Gunung Uhud serta menghadap ke arah musuh.

     "Muhammad dan pengikutnya sudah berada di kaki Gunung Uhud!" teriak seorang tentera Quraisy.

     Mereka berasa hairan bagaimana pasukan Muslimin itu boleh sampai ke tempat itu tanpa melalui jalan yang biasa dilalui orang ramai. Abu Sufian berasa kecewa kerana rancangannya hendak melakukan serangan hendap tidak menjadi kenyataan. Namun dia tidak berputus asa. Beliau segera berbincang dengan Safwan, Ikramah, Khalid dan beberapa orang lagi. Mereka mengambil keputusan untuk berperang.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

Tuesday, 2 January 2018

PERANG UHUD [ BAB 8 - BERSIAP SEDIA UNTUK BERPERANG ]






BERSIAP SEDIA UNTUK BERPERANG








6 Syawal tahun ke-3 Hijrah

Malam itu Abbas bin Abdul Mutalib tidak dapat tidur nyenyak kerana risau mengenangkan apa yang akan berlaku pada Nabi Muhammad dan para pengikutnya di Madinah. Walaupun dia tahu Nabi dan para pengikutnya di Madinah. Walaupun dia tahu Nabi Muhammad sentiasa dilindungi Allah Taala dan mengetahui perkara-perkara ghaib yang disampaikan melalui malaikat namun hatinya tetap bimbang dengan keselamatan Rasulullah terutamanya para pengikutnya. Kebimbangan yang sama juga pernah dirasai Abu Talib yang sentiasa berusaha melindungi keselamatan Nabi Muhammad walaupun dia tahu beliau dikurniakan mukjizat.

     "Apa yang kekanda fikirkan sehingga tidak lena tidur?" tanya isterinya Ummu Al-Fadhl.

     "Pasukan perang Mekah sudah bersiap sedia menyerang Madinah. Mereka sudah pun bergerak petang tadi. Kekanda bimbang tentang keselamat Muhammad termasuk keluarga kita yang berada di Madinah," jawab Abbas lalu meluahkan rasa kesalnya kerana tidak dapat menghalang rancangan orang Quraisy menyerang Madinah.

     "Maklumkan segera kepada Muhammad supaya mereka boleh bersiap sedia," kata Ummu Al-Fadhl.

     "Itu yang sedang kekanda fikirkan. Namun kekanda harap tidak berlaku peperangan kerana apabila berlaku pertempuran pasti ada yang terbunuh dan cedera. Kekanda sudah melihat betapa dahsyat pertempuran di Badar. Oleh sebab itu, kekanda tidak mahu turut serta walaupun dituduh penakut dan pembelot. Tambahan pula kekanda sudah menjadi pengikut Nabi Muhammad. Semasa dibebaskan daripada tawanan perang, kekanda sudah berjanji tidak menyebelahi orang Quraisy yang memusuhinya," kata Abbas.

     "Kebanyakan mereka yang pernah terlibat dalam Perang Badar tidak mahu lagi berperang dengan Muhammad kecuali beberapa orang yang memang degil dan keras kepala seperti Ikramah dan beberapa orang kawannya. Abu Izzah pula berjaya dipujuk oleh Safwan dengan janji-janji palsu untuk diberikan harta kekayaan setelah pulang dari medan perang," kata Ummu Al-Fadhl.

     Kemudian katanya lagi, "Adinda yakin mereka akan menerima nasib seperti Abu Lahab dan kawan-kawannya. Mereka yang menentang Allah dan Muhammad pasti menerima balasannya. Adinda sangka setelah mereka itu terbunuh, permusuhan itu akan lenyap tetapi diteruskan pula oleh Abu Sufian, Safwan dan Abdullah bin Rabi'ah."

     Kedua-duanya terus berbual sehingga menjelang pagi. Kemudian keesokan harinya Abbas memanggil khadamnya lalu berkata, "Aku perintahkan kamu pergi ke Madinah dan sampaikan surat ini kepada Nabi Muhammad. Ambil kudaku ini dan tunggang dengan pantas supaya kamu lebih dahulu sampai ke Madinah dari pasukan perang Quraisy."

     "Baik tuan, saya pergi sekarang," kata Abdullah lalu memecut laju kuda tunggangannya. Dengan ketangkasannya menunggang kuda, maka perjalanan dari Mekah ke Madinah boleh sampai dalam masa tiga hari sahaja.

     Kebetulan ketika itu Nabi Muhammad berada di Masjid Qubak ditemani Ubai bin Ka'ab. Orang suruhan Abbas terus menyerahkan surat itu kepada Nabi Muhammad dan beliau menyuruh Ubai bin Ka'ab membacanya. Selepas dibacakan surat itu, Rasulullah mengambil keputusan untuk pulang segera ke Madinah supaya dapat berunding dengan sahabatnya daripada kalangan Ansar dan Muhajirin. Beliau juga berpesan supaya mereka merahsiakan kandungan surat itu sehingga selesai mengadakan mesyuarat. Perintah itu dipatuhi.

     Setelah sampai di Madinah Nabi Muhammad segera mengadakan mesyuarat dengan para sahabatnya yang terdiri daripada orang Ansar dan Muhajirin. Selepas surat itu dibacakan dan selepas mengetahui angkatan perang Quraisy sedang dalam perjalanan menyerang Madinah, mereka mencapai kata sepakat untuk menghadapinya. Sebagai langakah berjaga-jaga maka semua kaum lelaki diminta membawa senjata ke mana saja berada. Malah ketika bersembahyang mereka meletakkan senjata di sisi dan bersiap sedia jika berlaku pertempuran.

     Demi menjaga keselamatan Rasulullah, orang Ansar mengawal beliau siang dan malam. Setiap malam Sa'ad bin Muadz, Usaid bin Hudair dan Sa'ad bin Ubadah tidur di depan pintu rumah Rasulullah sambil memegang senjata. Orang Muhajirin yang diketuai Hamzah bin Abdul Mutalib berkawal di pintu masuk Kota Madinah. Manakala yang lain pula meronda-ronda di jalan-jalan yang mungkin dilalui musuh. Mereka bersiap sedia untuk mempertahankan Madinah daripada serangan pasukan tentera Quraisy.

     Pasukan tentera Quraisy tidak dapat berjalan pantas kerana membawa barang-barang yang banyak termasuk makanan, air minuman dan senjata. Sepanjang perjalanan pula kaum perempuan menghiburkan mereka dengan paluan gendang dan nyanyian untuk menaikkan semangat berperang. Mereka sengaja melalui jalan darat yang biasa dilalui oleh orang ramai supaya kedatangan mereka diketahui Muhammad. Apabila sampai di suatu tempat bernama Abwa' maka Hindun menyuruh mereka berhenti.

     "Wahai orang Quraisy. Di sini terdapat kubur Aminah iaitu ibu Muhammad. Aku mencadangkan kita gali kubur itu dan bongkar tulang-belulangnya kemudian kita bakar supaya Muhammad tahu betapa marahnya kita terhadapnya," kata Hindun mencadangkan.

     "Aku tidak setuju kerana itu hanya akan melambatkan perjalanan kita. Tambahan pula membongkar kubur lama bertentangan dengan adat nenek moyang kita. Aku bimbang timbul perbalahan sesama kita. Kita tinggalkan saja Abwa' dan perjalanan diteruskan," kata Abu Sufian. Hindun terpaksa akur dengan perintah suaminya yang juga ketua tertinggi pasukan perang Quraisy itu. Namun dendamnya kepada Nabi Muhammad semakin membara.

     Selepas lebih sepuluh hari berjalan akhirnya angkatan perang Quraisy itu sampai di suatu tempat bernama Ainian yang terletak tidak jauh dari Gunung Uhud. Abu Sufian menyuruh mereka berhenti rehat serta memasang khemah.

     "Sepatutnya kita terus melancarkan serang mengejut ke atas Kota Madinah. Aku tidak sabar melihat Muhammad dan semua pengikutnya dibunuh," kata Hindun seolah-olah tidak sabar lagi untuk melihat berlakunya pertempuran antara pasukan Quraisy dengan Nabi Muhammad dan pengikutnya.

     "Mereka kepenatan kerana melalui perjalanan yang jauh. Oleh itu, mereka perlu berehat dahulu. Selepas itu baru kita bincangkan tindakan selanjutnya," kata Abu Sufian pula.

     "Bagaimana jika Muhammad tahu kedatangan kita?" tanya Hindun yang berasa tidak puas hati kerana cadangannya ditolak.

     "Biarlah mereka tahu kedatangan kita. Dengan itu mereka boleh memilih untuk menyerah ataupun berperang," jawab Abu Sufian.

     "Jika Muhammad dan pengikutnya menyerah diri apakah kita lepaskan mereka begitu saja?" tanya Hindun lagi.

     "Mereka tetap akan dibunuh," jawapan Abu Sufian itu memuaskan hati Hindun.

     Sejak mendapat berita angkatan perang Quraisy hendak menyerang Madinah, Nabi Muhammad menyuruh pasukan perisik yang diketuai oleh Abu Ubaidah al-Jarrah memantau kedatangan musuh. Kedatangan angkatan perang Quraisy itu dapat dikesan oleh mereka. Laporan terakhir yang disampaikan kepada Nabi Muhammad mengatakan musuh sedang berkhemah di Ainian berhampiran dengan Gunung Uhud.

     Nabi Muhammad segera mengadakan mesyuarat dengan pemimpin-pemimpin Ansar dan Muhajirin. Baginda juga memberitahu berkenaan mimpinya dengan berkata, "Demi Allah, sungguh aku telah bermimpi yang baik. Aku bermimpi melihat sapi disembelih, mata pedangku sumbing dan aku memasukkan tangan ke dalam baju besi," katanya.

     "Apakah tafsiran mimpimu itu, wahai Rasulullah?" tanya Hamzah bin Abdul Mutalib.

     Nabi Muhammad menjawab dengan mentakwilkan sapi yang disembelih itu adalah sekumpulan sahabat-sahabat yang akan terbunuh atau gugur syahid, mata pedangnya sumbil ditakwilkan ada di kalangan keluarganya yang terluka dan baju besi itu adalah Madinah. Dengan erti kata lain, tafsiran mimpi Rasulullah itu adalah ramai antara para sahabat baginda akan gugur syahid di medan perang, salah seorang ahli keluarganya gugur syahid dan Kota Madinah tetap dikuasai Rasulullah.

     "Wahai Rasulullah, ada antara kami yang tidak sempat menyertai Perang Badar. Sejak itu kami begitu teringin terjadi sekali lagi peperangan dengan musuh Allah dan RasulNya. Inilah yang kami tunggu dan kami akan berperang bersamamu," kata seorang lelaki Ansar yang tidak ikut serta dalam Perang Badar.

     "Kami juga begitu wahai Rasulullah. Walaupun kami tahu ada antara kami yang akan gugur syahid namun itu tidak menakutkan kami. Malah itu yang kami inginkan. Bawalah kami keluar untuk berperang dengan musuh yang berkhemah di Ainian," kata seorang lelaki Muhajirin pula.

     Nabi Muhammad mengusulkan dua pilihan, pertama mereka bertahan dari dalam kota Madinah. Sekiranya musuh tidak jadi menyerang mereka tidak rugi apa-apa sebaliknya musuh yang rugi. Sebaliknya jika pasukan Quraisy menyerang, mereka akan menentang musuh dari lorong ke lorong. Kaum wanita pula boleh membantu membaling musuh dari atas rumah. Usul yang kedua pula mereka akan menentang musuh di luar Kota Madinah. Baginda meminta mereka memberi pendapat masing-masing walaupun baginda lebih cenderung dengan usul yang pertama.

     Orang yang pertama bangun adalah Abdullah bin Ubai.

     Dia cuba menakut-nakutkan orang ramai dengan berkata, "Aku mendapat berita angkata perang Quraisy itu jumlahnya terlalu ramai berbanding dengan kita. Mereka membawa banyak kelengkapan senjata, makanan dan air minuman. Mereka dibantu seluruh kabilah Arab dan Badwi sekitar Kota Mekah. Sekarang mereka sedang mengintip kita untuk melancarkan serangan pada bila-bila masa.

     "Kerana itu jika kamu ingin juga berperang maka aku menyokong usul yang pertama kita bertahan dari dalam kota Madinah sahaja. Kita tidak perlu keluar untuk menghadapi musuh yang sangat ramai itu. Kita bertahan sahaja dari dalam kota Madinah. Apabila musuh menyerang kita membalas serangan mereka. Apabila musuh bertahan maka kita turut bertahan. Aku yakin itu adalah yang terbaik dan semua penduduk Madinah akan bersama-sama mempertahankan Kota Madinah ini," kata Abdullah bin Ubai.

     Beberapa hari sebelum itu Abdullah bin Ubai juga sudah didatangi seorang utusan yang dihantar Abu Sufian memaklumkan satu serangan secara besar-besaran akan dilakukan. Abdullah bin Ubai dan orang Yahudi diminta berdiam diri di dalam rumah masing-masing dan jangan keluar ikut berperang. Abdullah bin Ubai menyokong cadangan mereka bertahan dari dalam Kota Madinah kerana dia dan kawan-kawannya tidak akan keluar berperang.

     "Wahai Rasulullah, kami golongan muda tidak sempat bersama kamu berperang di Badar. Sejak itu kami selalu berdoa kepada Allah supaya mendatangan kesempatan jihad ini. Allah telah memperkenankan doa kami. Kami lebih suka kita berperang di luar Kota Madinah. Kami akan menentang musuh bermati-matian tanpa perlu risaukan keselamatan keluarga kami yang berada dalam kota Madinah," kata Yaser mewakili golongan muda.

     Hamzah bin Abdul Mutalib menyokong cadangan itu. Dia mengangkat pedangnya lalu berkata, "Demi Allah yang telah mengutus kepada kami seorang Rasul dan menurunkan Al-Kitab kepada kami. Aku tidak akan menjamah makanan sebelum aku memenggal musuh di luar kota Madinah."

     Oleh sebab ramai yang menyokong cadangan berperang di luar Kota Madinah, maka Nabi Muhammad bersetuju dengan cadangan itu. Tetapi Abdullah bin Ubai kelihatan tidak berpuas hati kerana cadangannya ditolak. Kemudian Rasulullah menyeru orang ramai supaya menyertai angkatan perang Madinah. Jumlah mereka seribu orang.

     Abdullah bin Ubai dan para pengikutnya juga terpaksa mendaftarkan diri kerana bimbang dituduh penakut. Tetapi dalam diam-diam mereka merancang untuk menggagalkan pasukan Madinah.

     Selepas sembahyang Jumaat, mereka yang telah menyertai pasukan perang Madinah berkumpul di Masjid Nabi. Kemudian Rasulullah memberi nasihat dan kata-kata semangat kepada mereka. Baginda mengatakan mereka pasti mendapat pertolongan Allah Taala jika mereka sanggup menghadapi musuh. Baginda juga berpesan supaya patuh kepada perintah yang diberikan dan jangan berundur dari medan perang. Nabi Muhammad terus memberi kata-kata nasihat sehingga masuk waktu sembahyang Asar.

     Selepas sembahyang Asar Nabi Muhammad masuk ke dalam rumah ditemani Abu Bakar dan Umar al Khattab. Tidak lama kemudian mereka keluar mendapatkan orang ramai. Abu Bakar dan Umar al Khattab memakai serban serta menyandang pedang masing-masing. Nabi Muhammad pula memakai baju besi serta menyandang sebilah pedang.

     Pada ketika itu timbul penyesalan dalam hati kaum Muslimin kerana seolah-olah memaksa Nabi Muhammad mengikut kehendak mereka berperang di luar Madinah.

     Salah seorang daripada mereka mendapatkan Rasulullah lalu berkata, "Wahai Rasulullah, kami tidak memaksa kamu mengikut kehendak kami berperang di luar Kota Madinah. Kami tidak akan membantah perintahmu. Lakukanlah apa yang kamu kehendaki. Jika kamu mahukan kami berperang dari dalam kota Madinah kami akan patuh dengan perintah kamu," katanya.

     "Seorang nabi apabila telah mengenakan baju besi tidak patut menanggalkannya sehingga Allah memberi keputusan antara dia dengan musuhnya," kata Nabi Muhammad.

     Barulah senang hati mereka mendengarnya kerana Nabi Muhammad tidak merasakan dia dipaksa menurut kehendak golongan muda yang mahu berperang di luar Kota Madinah. Kemudian Nabi Muhammad menyuruh Ali bin Ali Talib mengira semula jumlah anggota pasukan. Kesemuanya seribu orang kerana tidak seorang pun yang menarik diri.

     Kemudian Nabi Muhammad membahagikannya kepada tiga pasukan iaitu kumpulan Muhajirin berasal dari Mekah benderanya dipegang oleh Mush'ab bin Umair, kumpulan Aus daripada kaum Ansar benderanya dipegang Usaid bin Hudlair dan kumpulan Khazraj daripada kaum Ansar benderanya dipegang Al-Habbab bin Al-Mundzir. Kemudian Nabi Muhammad menyerahkan urusan Madinah kepada Abdullah bin Ummi Makhtum.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.