Tuesday, 14 March 2017

BIRRUL WAALIDAIIN






BIRRUL WAALIDAIIN








Hebatnya Pahala dan Keutamaan Berbakti kepada Ibu Bapa

Berbakti kepada kedua-dua ibu bapa memiliki impak yang besar dalam kehidupan seorang anak sebagaimana besarnya kesengsaraan dan kerugian yang dia akan alami sekiranya dia tidak berbakti kepada mereka. Kerugian itu bukan sahaja dirasai di dunia, bahkan semasa di akhirat kelak.

     Allah SWT dan Rasul-Nya banyak menjelaskan tentang besarnya kesan berbuat baik dan berbakti kepada ibu bapa bagi seorang anak. Hal ini kerana, jasa ibu bapa tidak terbalas tidak kira siapa anak itu. Sekalipun anak itu menghabiskan waktu bagi membalas jasa kedua-dua ibu bapanya, anak itu masih tidak akan cukup bagi membalas kebaikan mereka. Begitu besarnya jasa ibu bapa sehingga apa pun yang dilakukan seorang anak dalam usaha untuk berbakti dan membalas jasa mereka tetapi tidak mampu mengimbangi jasa itu meskipun dia sudah membuat segala yang termampu setiap masa yang dia peroleh.

     Walaupun begitu, berbakti dan berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa adalah wajib untuk setiap anak. Kewajipan ini perlu ditunaikan dengan segenap kemampuannya kerana Allah SWT sudah memerintahkannya kepada kita. Allah SWT menjelaskan:

     "Dan Tuhanmu perintahkan supaya engkau tidak menyembah
     melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau
     berbuat baik kepada ibu bapa. Jikalau salah seorang daripada
     mereka, ataupun kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua
     dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata
     kepada mereka sebarang perkataan kasar sekalipun perkataan
     "ah", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka,
     tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia yang
     bersopan santun. Dan hendaklah engkau merendah diri kepada
     kedua-duanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan
     doakanlah untuk mereka, dengan berkata, "Wahai Tuhanku!
     Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka
     mencurahkan kasih sayang memeliharaku dan mendidikku
     semasa kecil." Tuhan kamu lebih mengetahui apa yang ada
     pada hati kamu; sekiranya kamu orang-orang yang bertujuan
     baik mematuhi perintah-Nya, maka sesungguhnya Dia adalah
     maha pengampun bagi orang-orang yang bertaubat."

(Surah Al-Isra', ayat 23 hingga ayat 25)

Seperti yang direkodkan dalam kitab Tafsir Siraajul Muniir, ada seorang lelaki berkata kepada Rasulullah SAW, "Sesungguhnya, bapa dan ibu saya sudah lanjut usia. Dan saya berusaha menjaga mereka sebagaimana mereka menjaga saya waktu kecil. Apakah saya sudah membalas jasa mereka?" Nabi berkata, "Belum. Kerana mereka dahulu menjagamu dengan harapan kamu akan hidup. Sedangkan kamu menjaga mereka dengan mengharapkan kematian mereka."

     Penting bagi seorang anak untuk berusaha semaksima mungkin dalam berbakti kepada kedua-dua ibu bapanya. Sekiranya dia sudah mengerah segenap kemampuan bagi membalas jasa itu, tetapi dirasakan masih belum dapat mengimbanginya, maka itu sudah berada di luar kemampuan manusia. Allah SWT akan mengampuni segala sesuatu yang sudah diusahakan dengan bersungguh-sungguh walaupun tidak semaksimanya.

     Imam Bukhari merekodkan dalam sebuah atsar bahawa
     sahabat Abdullah bin Umar r.a., melihat seorang lelaki
     mengendong ibunya untuk Tawaf di Kaabah dan ke mana
     sahaja ibunya inginkan. Lelaki itu bertanya kepada Abdullah
     bin Umar, "Wahai Abdullah bin Umar, dengan perbuatanku
     ini, apakah aku sudah membalas jasa ibuku?" Abdullah bin
     Umar menjawab, "Belum, sedikit pun engkau belum dapat
     membalas kebaikan kedua-dua orang tuamu."

(Hadith ini direkodkan oleh Al-Bukhari dalam kitab Adabul Mufrad)


Banyak kelebihan berbakti dan berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa. Antara pahala dan kelebihan itu adalah:


Bebas daripada kesulitan hidup

Berbuat baik dan berbakti kepada ibu bapa dapat menghilangkan kesulitan yang menimpa seorang anak dengan cara bertawassul dengan amal soleh, iaitu perbuatan baik yang sudah dilakukan kepada orang tuanya. Masalah yang menimpa akan dapat segera diselesaikan berdasarkan hadith Nabi SAW daripada Ibnu Umar r.a.

Dalam hadith yang cukup panjang ini, Rasulullah SAW mengisahkan tentang tiga orang lelaki yang terperangkap di dalam gua dan kemudiannya dibebaskan. Salah satunya kerana amal soleh yang dilakukan kepada ibu bapanya. Baginda menceritakan, "Pada suatu hari, tiga orang lelaki berjalan dan tiba-tiba mereka kehujanan. Mereka berteduh di dalam sebuah gua di kaki sebuah gunung. Pada ketika mereka berada di dalamnya, secara tiba-tiba sebuah batu besar bergolek dan menutup pintu gua. Sebahagian daripada mereka berkata kepada yang lain, "Ingatlah amal terbaik yang pernah kamu lakukan."

Kemudian, mereka memohon kepada Allah SWT dan bertawassul melalui amal itu dengan harapan supaya Allah SWT menghilangkan kesulitan mereka. Seorang daripada mereka berkata, "Ya Allah, sesungguhnya aku mempunyai kedua-dua orang tua yang sudah lanjut usianya sedangkan aku mempunyai isteri dan anak-anak yang masih kecil. Aku menggembala kambing. Pada ketika pulang ke rumah, aku selalu memerah susu dan memberi susu itu kepada kedua-dua orang tuaku sebelum yang lain. Suatu hari, aku perlu berjalan jauh bagi mencari kayu api dan mencari nafkah sehingga pulangku larut malam dan aku dapati kedua-dua orang tuaku sudah tertidur, lalu aku tetap memerah susu sebagaimana sebelumnya. Susu itu tetap aku pegang, lalu aku mendatangi kedua-duanya, namun mereka masih tidur lena. Anak-anakku merengek menangis meminta susu yang aku bawa, dan aku tidak memberinya. Aku tidak akan memberi sesiapa pun sebelum susu yang aku perah kuberikan kepada kedua-dua orang tuaku.

Kemudian, aku tunggu sehingga mereka bangun. Pada pagi hari ketika mereka bangun, aku berikan susu itu kepada kedua-duanya. Selepas mereka minum, kuberikan kepada anak-anakku. Ya Allah, seandainya perbuatan ini adalah perbuatan yang baik kerana Engkau ya Allah, bukakanlah."

Maka batu yang menutup gua itu pun bergeser. Kemudian, lelaki kedua dan ketiga berturut-turut melakukan perkara yang sama, iaitu bertawassul dengan amal soleh mereka sehingga batu besar itu bergeser lagi. Kemudian, pintu gua itu terbuka lebar dan mereka dapat keluar dari gua itu.

(Hadith ini direkodkan oleh Al-Bukhari dan Muslim)

Ibnu Al-Jauzy dalam kitab Birrul Walidain menulis sebuah kisah kehebatan doa seorang ibu untuk anak yang berbakti kepadanya. Kisah ini dipetik daripada Imam Ahmad bin Hambal. "Seorang perempuan datang menemui Mukhallid bin Husain. Dia berkata, 'Sungguh saat ini, anakku sedang ditawan oleh tentera Roman. Aku tidak memiliki harta yang banyak bagi menebusnya. Mungkin kamu dapat mencari seseorang yang mampu menebusnya. Aku sudah tidak peduli terhadap siang dan malam, dan aku sudah tidak berkeinginan untuk tidur mahupun berdiam diri.' Mukhallid menundukkan kepada sebentar kemudian berdoa sementara kami terdiam. Beberapa ketika kemudian, perempuan itu datang kembali dengan membawa anaknya, lalu berdoa untuk Mukhallid seraya berkata, 'Doa kamu sudah menyelamatkan anak saya.' Anak lelakinya itu pula berkata, 'Saat itu saya bersama teman-teman yang lain berada dalam tawanan Raja Roman. Pada ketika kami melakukan suatu aktiviti selepas maghrib, tiba-tiba rantai gari pada kaki saya terbuka dan jatuh ke lantai." Mukhallid menyimpulkan yang kejadian itu berlaku serentak dengan kedatangan ibunya dan ketika mereka berdua mendoakan anak lelakinya itu.


Mendapat pahala yang besar

Berbakti dan berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa adalah amalan paling utama, pahala yang diterima seorang anak yang melakukannya pasti amat besar. Dalam hadith yang direkodkan daripada Abdullah bin Mas'ud r.a., dia berkata:

     "Aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentang amal-amal yang
     paling dicintai Allah SWT, Rasulullah SAW menjawab, solat
     pada waktunya. Aku bertanya lagi, kemudian apa lagi? Baginda
     menjawab, berbakti kepada kedua-dua orang tua. Kemudian
     aku bertanya, kemudian apa lagi? Baginda menjawab, jihad di
     jalan Allah."

(Hadith ini direkodkan oleh Al-Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadith di atas, berbakti kepada kedua-dua ibu bapa adalah amalan yang paling utama antara amalan-amalan baik yang lain kerana mendatangkan pahala yang besar daripada Allah SWT. Inilah hikmahnya Rasulullah SAW menyebut birrul walidain dalam urutan yang kedua selepas solat yang juga tunjang ibadah dalam agama. Selepas itu, baru Baginda menyebut jihad fi sabilillah. Ini membawa erti berbakti kepada kedua-dua ibu bapa memiliki kedudukan yang tinggi dalam urutan amal soleh. Oleh hal yang demikian, jangan sia-siakan peluang ini sekiranya kita memiliki ibu bapa yang masih hidup. Pahala yang besar dalam mendapatkan redha dan syurga Allah SWT perlu menjadi cita-cita dan keutamaan dalam hidup setiap manusia. Pahala yang besar akan menjanjikan kedudukan yang tinggi di hadapan Allah SWT dan di akhirat nanti akan mendapat tempat terbaik di sisi-Nya. Oleh itu, nasihat Rasulullah SAW supaya berbakti kepada kepada ibu bapa jangan diabaikan.


Hidup akan menjadi tenteram

Kita sedia maklum, berbuat baik dan berbakti kepada kedua ibu bapa ataupun birrul walidain adalah amalan yang dapat mendatangkan keredhaan Allah SWT dan juga kedua-dua orang tua. Sekiranya keredhaan Allah SWT dan ibu bapa sudah dicapai, apa lagi yang dapat menghalangnya mendapat ketenteraman dan ketenangan hidup? Redha Allah SWT dan kedua-dua ibu bapa adalah sumber kebahagiaan dan ketenangan. Sekiranya mereka redha, Allah SWT juga redha. Sekiranya Allah SWT redha, apa jua yang diinginkannya pasti Dia kurniakan. Sekiranya anak yang diredhai menginginkan masalahnya selesai, Allah SWT akan menyelesaikannya. Sekiranya dia menginginkan hidup yang sejahtera, Dia akan mengurniakan kesejahteraan padanya. Bagaimana mungkin begitu? Kerana Allah SWT sudah redha kepadanya. Mengapa Allah redha padanya? Kerana ibu bapanya redha padanya.

     Dalam hadith yang direkodkan daripada Abdullah bin Amr bin 'Ash r.a., Rasulullah SAW berkata:

     "Redha Allah bergantung pada keredhaan kedua-dua ibu bapa,
     dan murka Allah bergantung pada kemurkaan kedua-dua ibu
     bapa." 

(Hadith ini direkodkan oleh At-Tirmizi)


Rezeki yang bertambah dan umur yang panjang

Rezeki yang banyak dan halal serta umur yang panjang adalah impian setiap manusia. Sekiranya seseorang menginginkannya, janganlah dia mengabaikan kedua-dua ibu bapanya. Berbuat baik ataupun berbakti kepada kedua-duanya adalah salah satu jalan dibukakan pintu rezeki sehingga rezeki akan semakin bertambah. Dalam hadith yang direkodkan Al-Asbahani dan dipetik oleh Imam Haqqi dalam tafsirnya disebutkan, berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa akan memanjangkan umur. Sementara Anas bin Malik juga merekodkan bahawa Rasulullah SAW berkata:

     "Siapa yang mahu dipanjangkan umurnya dan ditambah
     rezekinya, hendaklah dia berbuat baik kepada kedua-dua orang
     tuanya dan menyambung kekeluargaan dan silaturahim."


Dimasukkan ke dalam syurga serta dijauhkan daripada neraka

Dalam hadith Nabi SAW, disebut anak yang derhaka tidak akan masuk ke dalam syurga. Maksud sebaliknya (mafhum mukhalafah) daripada hadith itu adalah anak yang berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa (birrul walidain) akan Allah SWT masukkan ke dalam syurga-Nya. Dalam sebuah rekod dikatakan:

     "Orang yang berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya
     melakukan apa yang dia dikehendaki, maka dia tidak akan
     masuk neraka. Orang yang berbuat buruk kepada kedua-dua
     ibu bapanya juga tidak melakukan apa yang dia kehendaki,
     maka dia tidak akan masuk syurga."

(Hadith ini direkodkan oleh Abu Na'im)

Sekiranya ditanya kepada seorang anak, "Apakah kamu mahu masuk ke dalam syurga?" dan jawapannya, "Ya," maka lihatlah kepada perilakunya kepada kedua-dua ibu bapanya. Perilaku anak itu kepada kedua-dua ibu bapanya akan menunjukkan apakah dia benar-benar bersungguh mahu masuk ke dalam syurga.


Terhindar daripada kemurkaan Allah SWT

Apabila seorang anak derhaka kepada kedua-dua ibu bapanya. Allah SWT akan murka kepadanya. Ini kerana, kemurkaan ibu bapa adalah kemurkaan Allah SWT sepertimana redhanya ibu bapa adalah redha Allah SWT. Rasulullah SAW berkata:

     "Redha Allah bergantung kepada keredhaan ibu bapa, dan
     murka Allah bergantung kepada kemurkaan ibu bapa."

(Hadith ini direkodkan oleh Al-Bukhari)

Seorang anak akan terhindar daripada Allah SWT sekiranya dia berbakti kepada kedua-dua ibu bapanya. Berhati-hatilah dengan kemurkaan kedua-dua ibu bapa kerana itu mampu mendatangkan kemurkaan Allah SWT. Sekiranya Allah SWT murka, sudah tempat kembalinya adalah neraka.


Terhindar daripada kematian su'ul khatimah

Makna surah Al-Isra', ayat 23 hingga 24 mengikut tafsir Al-Kasysyaaf adalah, "Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jikalau salah seorang antara mereka ataupun kedua-duanya sampai umur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada kedua-duanya dengan perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah:

     "Wahai Tuhanku, kasihilah mereka berdua, sebagaimana mereka
     berdua telah mendidik aku waktu kecil."

Imam Az-Zamakhsyari menyebut bahawa Sa'id bin Al-Musayyab merekodkan, "Sesungguhnya, berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa dapat menghindar kematian yang buruk (su'ul khatimah)."


Disembuhkan daripada penyakit 

Ketika kita diuji dengan sakit, jangan terus-menerus bergantung pada doktor dan ubat-ubatan. Cubalah bermuhasabah diri. Barangkali selama ini kita kurang berbuat baik kepada ibu bapa. Insya Allah, penyakit kita akan sembuh dengan izin Allah SWT. Ali bin Naif Asy-Syuhuud dalam kitab Al-Mufashshal mengatakan, "Ada beberapa perkara yang menjadi sebab sembuhnya orang sakit, antaranya adalah berbuat baik kepada orang tua. (Al-Mufashshal fi Syarh Syuruth Al-'Umriyah)


Menjadi kifarah ataupun penebus dosa

Direkodkan daripada Umar r.a., ada seorang lelaki berkata kepadanya, "Aku sudah melakukan pembunuhan." Umar bertanya, "Apakah ibumu masih hidup?" Dia menjawab, "Tidak." Umar berkata, "Apakah bapamu masih hidup?" Dia berkata, "Ya." Umar berkata, "Berbuat baiklah kepadanya." Lalu, Umar berkata, "Sekiranya ibumu masih hidup, berbuat baiklah kepadanya, dan gaulilah dia dengan baik. Aku berharap dia tidak kekal di dalam api neraka selamanya." Peristiwa yang sama diriwayatkan oleh Makhul dan Imam Ahmad, bahawa berbakti kepada ibu bapa menjadi penebus dosa-dosa besar. (Abdul Faraj Abdurrahman Ibnu Rajab Al-Hambali dalam Jaami'ul Ulum wal Hukm). Namun begitu, perlu diingatkan yang dosa-dosa besar seperti membunuh perlu dihukum bersesuaian dengan syariah Islam, iaitu hudud. Dan dua perlu bertaubat atas dosa-dosa itu kerana itulah yang menjadi penebus dosanya.

     Ibnu Abbas berkata:

     "Tidaklah seorang Muslim memiliki ibu bapa dan dia berbuat
     baik kepada kedua-duanya pada pagi hari, kecuali dibukakan
     baginya dua pintu syurga. Dan tidaklah dia berbuat baik
     kepada kedua-duanya pada waktu petang, kecuali dibukakan
     baginya dua pintu syurga."

(Hadith ini direkodkan oleh Baihaqi dalam Syu'abul Iman)


Sikap Anak terhadap Kedua-Dua Ibu Bapa


Ketika Ibu Bapa Masih Hidup

Seorang anak yang baik dan soleh tidak akan melakukan perkara-perkara yang menyakiti hati kedua-dua ibu bapanya. Justeru, dia akan berbakti dan berbuat baik kepada mereka. Orang tuanya berada di tempat yang tinggi dalam hati dan hidupnya. Dia akan mengutamakan mereka dalam kehidupan sehariannya berbanding yang lain. Dia juga akan melaksanakan segala perintah mereka selagi tidak bertentangan dengan perintah dan larangan Allah SWT. Dia akan menemani mereka selagi mereka hidup dengan membuat benda-benda yang menyenangkan dan membahagiakan mereka. Dia akan mengamalkan kata-kata Rasulullah SAW:

     Daripada Abu Dzar dan Abu Hurairah, dia berkata, Ya
     Rasulullah, siapakah manusia yang paling berhak aku layan
     dengan baik? Baginda menjawab, "Ibumu." Kemudian siapa?
     "Ibumu." Kemudian siapa? "Ibumu." Aku berkata, "Kemudian
     siapa lagi?" Baginda berkata, "Kemudian bapamu."

(Hadith ini direkodkan oleh Al-Bazzaar)

Allah SWT dan Rasul-Nya menyampaikan tuntutan birrul waaalidain atau menggauli ibu bapa dengan baik. Terdapat banyak penjelasan berkaitan tuntutan ini dalam ayat Al-Quran dan hadith Rasulullah SAW. Antara perbuatan baik yang diperintahkan oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW kepada seorang anak terhadap ibu bapa adalah:


Tidak mencaci mahupun mengherdik tidak kita betapa besar kesalahan mereka

Mencaci maki ibu bapa perlu dihindari oleh seorang anak, tidak kira betapa banyak kesalahan yang mereka lakukan kerana perbuatan itu akan menyakiti hati mereka dan itu termasuk dalam dosa besar. Rasulullah SAW berkata:

     "Takutlah kamu terhadap perbuatan mencaci maki kedua-dua
     ibu bapamu kerana sesungguhnya haruman syurga dapat dicium
     dari jarak perjalanan seribu tahun. Demi Allah, orang yang
     mencaci maki kedua-dua ibu bapa tidak akan menciumnya."

(Hadith ini direkodkan oleh Al-Bukhari)

Mungkin juga ibu bapa banyak melakukan kesalahan kepada anaknya kerana mereka tidak mengerti apa yang dia inginkan. Perbezaan zaman, keadaan sosial, pergaulan, dan taraf pendidikan dapat menimbulkan salah faham. Ibu bapa mungkin melakukan sesuatu yang tidak sesuai dengan kehendak sehingga meninggalkan persoalan.

     Anak perlu ingat, sesungguhnya ketika dia masih kecil, dia juga ada melakukan sesuatu yang mendatangkan kekesalan kedua-dua ibu bapanya. Anak sering meminta sesuatu dengan cara memaksa, tidak peduli sama ada ibu bapa ampu memenuhinya ataupun tidak. Namun begitu, ibu bapanya tetap bersabar dan menahan diri daripada segala kesalahan dan perbuatan-perbuatan anaknya yang menjengkelkan mereka. Sedangkan kebodohan dan tingkah laku seorang anak yang membuat mereka kesal bukanlah sedikit. Mereka rela menahan sakit dan marah demi kegembiraan anaknya. Mereka tetap berbicara dengan baik dan tidak mengherdik anaknya dengan kata-kata yang kasar.

     Maka berpatutanlah Allah SWT memerintahkan kepada para anak supaya tidak berbicara dengan perkataan yang menyakitkan hati kedua-dua ibu bapanya. Allah SWT menjelaskan:

     "Dan Tuhanmu perintahkan, supaya engkau tidak menyembah 
     melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau
     berbuat baik kepada ibu bapa. Jikalau salah seorang daripada
     mereka, ataupun kedua-duanya sekali sampai kepada umur
     tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau
     berkata kepada mereka sebarang perkataan kasar sekalipun
     perkataan "ah", dan janganlah engkau menengking menyergah
     mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia
     yang bersopan santuan."

(Surah Al-Isra', ayat 23)

Imam Ibnu Katsir menjelaskan ayat di atas dengan mengatakan, "Janganlah kamu mengucapkan kata-kata yang kasar kepada kedua-dua ibu bapamu walau hanya dengan mengatakan "ah" yang juga sebuah perkataan yang paling ringan dalam tangga perkataan-perkataan yang kasar." Begitu juga dalam nota kaki Al-Quran terjemahan Kementerian Agama mengenai kata "uf" ditulis, "Mengucapkan kata "ah" kepada ibu bapa tidak dibenarkan dalam agama apatah lagi mengucapkan kata-kata atau memperlakukan mereka lebih kasar daripada itu."

     Mencaci maki bapa ataupun ibu orang lain juga termasuk dalam perkara yang dilarang kerana akan menyebabkan orang lain juga akan membalas cacian itu kepada ibu bapanya. Rasulullah SAW berkata:

     "Sesungguhnya, termasuk dosa paling besar adala perbuatan
     seseorang mencaci maki kedua-dua ibu bapanya." Para
     sahabat bertanya, Wahai Rasulullah, bagaimana seseorang
     boleh mencaci kedua-dua ibu bapanya? Baginda menjawab,
     "Seseorang mencaci maki orang lain, kemudian orang lain
     mencaci bapa dan ibunya."

(Hadith ini direkodkan oleh Al-Bukhari)


Menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mereka dan membebaskan tanggungan mereka

Seorang anak perlu menjaga ibu bapanya dengan bersungguh-sungguh dan dia tidak boleh melupakan mereka walaupun sekejap. Sekiranya mereka menghadapi masalah, anak perlu menjadi orang pertama yang mengetahui dan menyelesaikannya. Jangan biarkan dan tidak mempedulikan perihal ibu bapanya. Seorang anak tidak boleh membuat alasan bahawa dia meninggalkan ibu bapanya kerana mengejar kerjaya, pekerjaan, ataupun kepentingan peribadi lainnya. Rasulullah SAW pernah menyuruh seorang lelaki yang berniat untuk berbaiat untuk berhijrah dan berjihad di jalan Allah SWT supaya pulang. Abdullah bin Amru bin 'Ash menyampaikan:

     "Seorang lelaki menghadap Nabi SAW dan dia berkata,
     aku berbaiat kepadamu untuk hijrah dan jihad. Aku ingin
     memperoleh pahala daripada Allah." Nabi berkata, "Apakah
     kamu mempunyai salah seorang ibu bapa yang masih
     hidup?" Lelaki itu berkata, "Ya, bahkan kedua-duanya masih 
     hidup." Nabi berkata, "Dan kamu ingin mencari pahala
     daripada Allah?" Lelaki itu menjawab, "Ya." Nabi berkata,
     "Pulanglah kepada kedua-dua ibu bapamu, berbuat baiklah
     dalam menggauli kedua-duanya."

(Hadith ini direkodkan oleh Muslim)

Jikalau bukan kerana keutamaan dan tanggungjawab yang besar seorang anak kepada ibu bapanya, tidak mungkin Rasulullah SAW meminta sahabat itu pulang dan tidak turut serta dalam berhijrah dan berjihad. Sedangkan orang yang berhijrah dan berjihad adalah orang yang agung dan besar pahalanya serta ditinggikan darjatnya di hadapan Allah SWT.

     Perihal keutamaan menjaga kedua ibu bapa dibandingkan dengan berjihad sudah dijelaskan oleh Imam Ash-Shan'ani dalam kitab Subulus Salaam (III/78). Beliau menghuraikan Jumhur Ulama berpendapat, diharamkan berjihad bagi seorang anak sekiranya dihalang oleh kedua-dua ibu bapanya ataupun salah seorang daripada mereka dengan syarat kedua-duanya adalah Muslim. Ini kerana, berbakti kepada kedua-dua ibu bapa adalah fardhu ain, manakala berjihad hukumnya fardhu kifayah. Namun begitu, dalam keadaan sekiranya jihad itu fardhu ain, maka jihad perlu diutamakan.

     Seorang anak juga perlu membebaskan dan menyelesaikan semua tanggungan ibu bapanya. Janganlah sehingga ibu bapanya mati dalam keadaan membawa tanggungan ataupun hutang yang akan menjadi bebanan mereka di akhirat kelak. Begitulah yang perlu dilakukan oleh anak soleh yang menyedari kewajipannya terhadap kedua-dua ibu bapa. Rasulullah SAW berkata:

     "Tidaklah seseorang dianggap membalas budi baik kepada
     kedua-dua ibu bapanya, kecuali dia menemukannya sebagai
     hamba, lalu dia membelinya dan membebaskannya."

(Hadith ini direkodkan oleh Abu Daud)


Mentaati perintah kedua-duanya selagi tidak bertentangan dengan perintah Allah SWT dan Rasul-Nya

Perintah kedua-dua ibu bapa wajib dilaksanakan sekiranya mereka menyuruh kepada kebaikan. Sebaliknya, jikalau mereka memerintahkan supaya melakukan maksiat, maka perintah itu tidak boleh ditaati. Tidak semua perintah ibu dan bapa perlu dituruti. Sekiranya mereka memerintahkan supaya anak berbuat syirik misalnya, ataupun berzina, mencuri mahupun meninggalkan solat, maka perintah itu wajib diabaikan. Berdasarkan penjelasan Rasulullah SAW:

     "Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam bermaksiat kepada
     Allah."

(Hadith ini direkodkan oleh At-Thabrani)


Apabila kedua-duanya memerintah pada masa yang sama, ibu harus didahulukan

Bagaimana sekiranya bapa dan ibu memerintah anaknya supaya melakukan sesuatu pekerjaan pada waktu yang sama? Dalam hal ini, siapakah yang perlu didahulukan? Adakah perintah ibu ataupun bapa yang perlu didahulukan? Sebuah hadith yang direkodkan oleh Abu Hurairah menjawab persoalan-persoalan di atas. Seorang lelaki mendatangi Rasulullah SAW, lalu dia bertanya:

     "Siapakah manusia yang paling berhak aku layani dengan baik?"
     Baginda menjawab, "Ibumu." Kemudian siapa? "Ibumu."
     Kemudian siapa? "Ibumu." Aku berkata, Kemudian siapa?
     Baginda berkata, "Bapamu."

(Hadith ini direkodkan oleh Muslim)

Berdasarkan hadith di atas, Rasulullah SAW menggesa seorang anak supaya mendahulukan perintah ibunya seandainya pada masa yang sama bapanya juga memberi perintah. Perkara ini jelas kerana pengorbanan seorang ibu sangat besar dalam menjaga anaknya. Seorang ibu rela mempertaruhkan nyawa demi kehidupan anaknya. Sejak tempoh hamil, melahirkan, menyusu, sehingga anaknya dewasa, ibu menanggung beban tanggungjawab yang sangat besar terhadap perkembangan anaknya. Allah SWT secara khusus memerintah manusia supaya mengingati jasa seorang ibu yang mengandungkan, melahirkan, dan menjaganya sehingga dewasa. Allah SWT menjelaskan:

     "Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua
     ibu bapanya; ibunya mengandungkannya dengan menanggung
     kelemahan demi kelemahan dari awal mengandung sehingga
     akhir menyusunya, dan tempoh menceraikan susunya adalah
     dalam masa dua tahun. Dengan demikian, bersyukurlah
     kepada-Ku dan kepada kedua-dua ibu bapamu, dan ingatlah,
     kepada Aku jua tempat kembali bagi menerima balasan."

(Suraha Luqman, ayat 14)

Imam Az-Zujaj mengatakan seorang ibu ketika hamil berada dalam keadaan yang lemah dan susah. Apa yang dikatakan Az-Zujaj amat benar. Sekurang-kurangnya, sehingga dua tahun, seorang ibu akan berada di sisi anaknya. Pada ketika dia tidur, makan, membuang air kecil dan besar, semuanya dalam jagaan ibunya. Tidak kiralah pada tengah malam gelap, ketika kedua-dua matanya berat kerana mengantuk, ketika anaknya bangun dan menangis minta disusui, ibulah yang menjaganya. Maka bersesuaianlah Allah SWT memberi perintah khusus bagi pihak seorang ibu. Begitu juga Rasulullah SAW, Baginda mengutamakan perintah ibu lalu kemudian bapa apabila mereka memberi arahan yang perlu dilaksanakan pada masa yang sama.


Memberi nafkah kepada mereka

Seorang anak sewajarnya mengawasi kedua-dua ibu bapanya sekiranya mereka masih hidup. Pemakanan mereka, pakaian, tempat tinggal, dan kesihatan mereka tidak boleh lepas daripada perhatian anak. Sebagaimana mereka mengawasi anak-anaknya dengan baik, maka mereka perlu menerima layanan yang sama. Ini adalah salah satu bentuk bakti seorang anak kepada ibu bapanya. Allah SWT menjelaskan:

     "Mereka bertanya kepadamu wahai Muhammad, apakah yang
     akan mereka belanjakan dan kepada siapakah? Katakanlah,
     "Apa jua harta benda yang halal yang kamu belanjakan,
     maka berikanlah kepada, Kedua-dua ibu bapa, kaum kerabat,
     anak-anak yatim, orang miskin, dan orang-orang yang sedang
     dalam perjalanan. Dan ingatlah, apa jua yang kamu lakukan
     daripada jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah maha
     mengetahuinya dan akan membalas dengan sebaik-baiknya."

(Surah Al-Baqarah, ayat 215)

Memetik penjelasan daripada Abu Ja'afar, Imam Ath-Thabari menulis dalam tafsirnya tentang maksud ayat di atas, "Sahabat-sahabatmu bertanya kepadamu wahai Muhammad, apakah yang dapat mereka infakkan dan mereka sedekahkah daripada harta-harta mereka? Dan kepada siapa infak dan sedekah itu diberi? Katakanlah! Apa sahaja yang kamu infakkan dan kamu sedekahkan daripada harta-hartamu perlulah kamu berikan kepada bapa dan ibumu, kaum kerabatmu, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang yang sedang dalam perjalanan. Sesungguhnya, Allah SWT maha mengetahui setiap sesuatu yang kamu berikan kepada mereka. Dia menghitungnya untukmu dan memberikan balasan pahala di akhirat kelak atas kebaikan yang kamu lakukan.

     Seorang anak tidak boleh memikirkan nafkah anak dan isterinya sahaja. Nafkah yang disebut di atas bukan makanan semata-mata Nafkah itu termasuk pakaian, rumah, kesihatan, dan apa sahaja keperluan hidup mereka. Ini adalah satu bentuk bakti seorang anak kepada kedua-dua ibu bapanya.


Mengurus dan menjaga mereka

Seorang anak yang soleh tidak akan menghantar ibu bapanya ke rumah orang tua atas alasan dia tidak mampu menjaga mereka di rumah. Apakah yang menghalang dan membebankan anak bagi menjaga kedua-dua ibu bapanya? Tidakkah mereka ingat sewaktu kecil, mereka dijaga oleh ibu dan diberikan nafkah oleh bapa dengan penuh kasih sayang? Bahkan mereka rela mengubah masa kerja mereka supaya dapat menjaga anaknya dengan baik. Alangkah angkuhnya anak itu sekiranya tidak dapat menjaga mereka demi mengejar matlamat perniagaan ataupun kecemerlangan kerjaya sementara pada masa yang sama dia mengabaikan kedua-dua ibu bapanya. Apakah yang lebih berharga di dunia ini melainkan mereka? Lebih-lebih lagi apabila redha Allah SWT bergantung kepada keredhaan mereka. Rasulullah SAW berkata:

     "Redha Allah bergantung pada keredhaan kedua-dua ibu bapa,
     dan murka Allah bergantung pada kemurkaan kedua-dua ibu
     bapa."

(Hadith ini direkodkan oleh At-Tirmizi)

Apakah ada sesuatu di dunia ini lebih bermakna dibandingkan dengan redha Allah SWT? Ataupun adakah sesuatu yang lebih digeruni selain murka Allah SWT? Mungkin bagi orang yang menggilai dunia akan pasti lebih mencintai dan mementingkan dunia. Mereka mengambil mudah redha Allah SWT. Na'udzu billah. Mereka mengambil mudah redha ibu bapa kerana yang lebih penting bagi mereka adalah mencapai cita-citanya.

     Rasulullah SAW pernah menolak permintaan seorang lelaki untuk berjihad dan berhijrah kerana dia masih mempunyai kedua-dua ibu bapa yang perlu dijaga. Kejadian ini menunjukkan betapa pentingnya ibu bapa dalam kehidupan seorang manusia. Islam menitikberatkan isu ini. Abu Hurairah berkata:

     "Seorang lelaki menghadap Nabi SAW dan dia berkata,
     aku berbaiat kepadamu untuk berhijrah dan jihad. Aku ingin
     memperoleh pahala daripada Allah. Nabi berkata, "Apakah
     kamu mempunyai salah seorang ibu bapa yang masih hidup?"
     Lelaki itu berkata ya, bahkan kedua-dua masih hidup. Nabi
     berkata, "Dan kamu ingin mencari pahala daripada Allah?"
     Lelaki itu menjawab, Ya. Nabi berkata, "Pulanglah kepada
     kedua-dua ibu bapamu, berbuat baiklah dalam menggauli
     kedua-duanya."

(Hadith ini direkodkan oleh Muslim)

Waktu ibu bapa masih hidup adalah kesempatan terpenting dalam kehidupan seorang anak. Menjaga dan menguruskan mereka perlu menjadi keutamaan berbanding mengejar kejayaan abadi. Ibu dan bapa adalah kelebihan dalam hidup yang akan memberi kebahagiaan dunia dan akhirat. Jangan sesekali sia-siakan mereka. Rasulullah SAW menganggap orang yang mempunyai kedua-dua ibu bapa yang masih hidup, tetapi tidak berjaya mendapat syurga adalah dalam kerugian. Selagi diberi kesempatan menjaga dan mengurus kedua-duanya, layanilah mereka dengan baik dan penuh kasih sayang sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kita kecil.


Menasihati mereka sekiranya berbuat salah

Anak akan berbakti kepada ibu bapa apabila dia menasihatinya ketika mereka melakukan kesalahan. Jangan pula dibiarkan orang tua membuat kesalahan tanpa menasihati mereka dengan alasan tidak mahu menentang ataupun menyakiti hati mereka. Sudah pasti, dalam memberi nasihat, adab sopan, dan tutur kata perlu diberi perhatian supaya tidak menyakiti hati mereka. Kemudian, jangan lupa mendoakan mereka sekiranya nasihat yang sudah diberikan dengan baik itu masih tidak dapat diterima. Abu Hurairah r.a. adalah seorang sahabat Rasulullah SAW yang pada awalnya mempunyai ibu yang kafir. Namun begitu, dengan kegigihan Abu Hurairah, ibunya memeluk Islam. Beliau menceritakan:

     "Aku berdakwah kepada ibuku supaya memeluk Islam.
     Suatu hari, aku mengajaknya memeluk Islam, tetapi dia
     mengeluarkan penyataan yang aku benci tentang Nabi. Aku
     menemui Rasulullah SAW dalam keadaan menangis. Aku
     mengadu, "Wahai Rasulullah, aku sudah memujuk ibuku
     supaya memeluk Islam, namun dia menolakku. Hari ini, dia
     menyatakan sesuatu tentangmu yang aku benci. Mohonlah
     kepada Allah supaya Dia memberi hidayah kepada ibu Abu
     Hurairah." Rasulullah SAW berkata, "Ya Allah. Terangilah
     ibu Abu Hurairah." Aku keluar dengan hati riang kerana doa
     Nabi. Pada ketika aku pulang dan mendekati pintu, ternyata
     pintu terbuka. Ibuku mendengar derap kakiku dan berkata,
     "Tunggu di situ Abu Hurairah." Aku mendengar pancuran air.
     Ibuku sedang mandi dan kemudian mengenakan pakaiannya
     serta menutup wajahnya, kemudian membuka pintu. Dia
     berkata, "Wahai Abu Hurairah! Asyhadu an Laa ilaaha Illallah
     waa asyhadu anna Muhammadan 'abduhu warasuluhu." Aku
     kembali ke tempat Rasulullah dengan menangis kegembiraan.
     Aku berkata, "Wahai Rasulullah, bergembiralah. Allah sudah
     mengabulkan doa engkau dan menunjuki ibuku." Maka
     Baginda memuji Allah dan menyanjung-Nya serta mengatakan
     perkara yang baik."

(Hadith ini direkodkan oleh Muslim)


Menisbahkan nama kepada mereka, bukan kepada orang lain

Menisbahkan nama kepada orang tua mungkin satu perkara yang tidak memberi kesan yang besar. Tetapi, itu adalah sebahagian daripada bakti seorang anak kepada ibu bapa. Allah SWT menjelaskan:

     "Bukanlah Nabi Muhammad itu dengan sebab ada anak
     angkatnya menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang daripada
     orang lelaki kamu, tetapi dia adalah Rasul Allah dan kesudahan
     segala Nabi-nabi. Dan ingatlah Allah maha mengetahui akan
     tiap-tiap sesuatu."

(Surah Al-Ahzab, ayat 40)

Terdapat petunjuk yang Allah SWT melarang seseorang menisbahkan namanya kepada orang lain yang bukan ibu bapa kandungnya dalam ayat di atas. Nabi Muhammad SAW bukan ayah daripada salah seorang sahabat, kerana itulah janda Zaid boleh dikahwini oleh Rasulullah SAW. Perkara ini menepis anggapan bahawa Zaid, anak angkat Rasulullah SAW sama kedudukannya dengan anak kandung yang bekas isterinya tidak boleh dinikahi bapa kandungnya. Selepas turun ayat ini, Zaid tidak dapat lagi dinisbahkan kepada Nabi Muhammad SAW. Sebelumnya, para sahabat biasa memanggilnya sebagai Zaid bin Muhammad.

     Ayat di atas memberi panduan yang seseorang tidak boleh dinisbahkan kepada orang lain selain bapa kandungnya tidak kira bagaimana pun keadaan orang tuanya. Ini kerana, merekalah yang menjadi sebab lahirnya seorang anak ke dunia dan mereka jugalah yang dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT baik di dunia mahupun di akhirat. Baik dan buruknya keadaan dan sikap seorang anak bergantung kepada ibu bapanya. Islam dan kafirnya seorang anak juga bergantung kepada mereka. Rasulullah SAW berkata:

     "Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah suci. Kedua-dua
     ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi dan Nasrani."

(Hadith ini direkodkan oleh Abu Daud)

Alangkah baiknya sebagai suatu penghargaan dan dalam usaha memuliakan ibu bapa, anaknya menisbahkan dirinya kepada mereka dengan menyematkan nama orang tuanya di belakang namanya. Tidak seharusnya ada rasa malu mahupun khuatir bagi menggunakan nama orang tua. Sudah menjadi kebiasaan sejak zaman Rasulullah SAW dan para sahabat, mereka sentiasa menyertakan namanya dengan bapanya. Kita sangat biasa dengan Umar bin Khatab, Uthman bin Affan, Amru bin 'Ash, Bilal bin Rabbah, Umar bin Abdul Aziz, dan lain-lain. Mereka adalah orang hebat yang menisbahkan diri kepada bapa mereka. Meskipun antara mereka ada yang bapanya tidak begitu dikenali sebelumnya, tetapi menjadi terkenal berkat anaknya yang menyemat nama mereka di belakang namanya.


Menziarahi kubur kedua-dua ibu bapa

Banyak hadith yang mengajurkan kita supaya menziarahi kubur lebih-lebih lagi kubur kedua-dua ibu bapa kita. Apabila kita menziarahi kubur, kita akan mengingati akhirat, mengambil pengajaran daripada orang-orang yang sudah mendahului kita, melembutkan hati, dan membuatkan mata mudah menangis. Rasulullah SAW berkata:

     "Dahulu, aku menghalang kalian daripada menziarahi kubur.
     Kemudian, aku menyuruhnya. Berziarahlah kerana itu akan
     melembutkan hati, membuat mata mudah menangis, dan akan
     mengingatkan pada hari akhirat. Berziarahlah!"

(Hadith ini direkodkan oleh Al-Baihaqi)

Menziarahi kubur dilakukan sekurang-kurangnya sekali setiap Jumaat. Fatimah r.a. berkata, beliau sentiasa menziarahi kubur ayah saudaranya, iaitu Hamzah r.a. pada setiap Jumaat. Perkara ini berdasarkan hadith:

     "Sesiapa yang menziarahi kubur kedua-dua ibu bapanya,
     ataupun seorang daripada mereka pada setiap hari Jumaat,
     kemudian dia membaca surah Yasin, maka Allah mengampuni
     dosanya sesuai dengan bilangan hurufnya."

(Hadith ini direkodkan oleh Ad-Dailami)

Setiap kali menziarahi kubur ibu bapa, sewajarnya seorang anak mendoakan dan membacakan ayat-ayat Al-Quran dan pahalanya dihadiahkan untuk mereka dengan harapan mereka diberi tempat yang terbaik di sisi Allah SWT. Pada ketika memasuki kawasan perkuburan, bacakan doa berikut:

     "Salam sejahtera para penghuni kubur mukminin dan
     Muslimin. Engkau mendahului kami dan insya Allah kami
     akan menyusulmu. Aku mohon keselamatan kepada Allah bagi
     kami dan kalian."

(Hadith ini direkodkan oleh Al-Baihaqi)

Menurut hadith yang direkodkan daripada Aisyah r.a., Rasulullah SAW berkata, "Sesungguhnya, Jibril mendatangiku seraya berkata, sesungguhnya Tuhanmu menyuruh supaya kamu mendatangi kubur Ahlul Baqii' bagi memohonkan ampun untuk mereka. Aisyah berkata, Aku bertanya, apa yang aku baca untuk mereka wahai Rasulullah? Baginda berkata, Bacalah!

     "Salam sejahtera para penghuni kubur mukminin dan
     Muslimin. Engkau mendahului kami dan insya Allah kami
     akan menyusulmu. Aku mohon keselamatan kepada Allah bagi
     kami dan kalian."

(Hadith ini direkodkan oleh Al-Baihaqi)

Imam Ibnul Jauzy dalam kitab Birrul Waalidain merekodkan daripada Uthman bin Saudah yang mempunyai ibu yang juga ahli ibadah bernama Rahibah. Uthman berkata, "Ketika ibuku nazak, dia mengangkat kepala dan melihat ke atas langit lalu berkata, Wahai simpanan-simpananku saat aku mati, janganlah kamu menakuti aku di dalam kuburku. Uthman berkata, tidak lama selepas itu, ibuku wafat. Setiap hari Jumaat, aku mendatangi kubur ibuku bagi mendoakan ibuku, membaca istighfar untuk ibuku dan ahli-ahli kubur yang lain.

     Pada suatu malam, aku bermimpi bertemu ibuku. Aku berkata, "Wahai ibu, bagaimana keadaanmu?" Dia berkata, "Wahai anakku, sesungguhnya kematian itu sangat menyakitkan. Tetapi, alhamdulillah aku di barzakh ini dalam keadaan yang baik. Tempatku penuh hamparan wangi-wangian, tidur di atas katil, dan tilam indah sehingga hari dikumpulkan di Masyhar." Aku bertanya, "Apakah ibu memerlukan apa-apa?" Dia berkata, "Ya. Jangan tinggal apa yang kamu lakukan selama ini, iaitu berziarah dan berdoa untuk kami kerana aku sangat gembira dengan kedatanganmu pada setiap hari Jumaat. Ada suara mengatakan, "Wahai Rahibah, ini adalah anakmu datang kepadamu untuk berziarah." Maka, bergembiralah aku kerananya dan bergembiralah juga orang-orang mati yang berada di sekitarku.

     Diceritakan daripada Abu Bakar bin Abi Sa'id, dia berkata, Disunnahkan ketika menziarahi kubur membaca surah Al-Ikhlas sebanyak tujuh kali. Sesungguhnya, sudah sampai kepadaku bahawa sesiapa membacanya sebanyak tujuh kali, jikalau penghuni kuburnya termasuk orang yang tidak diampuni dosanya, maka akan diampuni dosanya. Jikalau dia orang yang diampuni dosanya, maka ampunan akan kembali kepada orang yang membaca.

     Hal itu bersesuaian dengan apa yang dikatakan Imam Burhanuddin Ibnu Mazah dalam kitab Al-Muhith. Sementara itu, menurut Imam Abu Hanifah r.a., membaca Al-Quran di kubur hukumnya makruh. Imam Abu Bakar bin Fadl Al-Bukhari berkata, membaca Al-Quran di kubur tidak makruh sekiranya membaca dengan suara perlahan, tetapi makruh jikalau dikeraskan. Seterusnya Imam Abu Bakar bin Ibrahim berkata, tidak mengapa membaca surah Al-Mulk di kubur baik perlahan mahupun keras. Namun, selainnya tidak dianjurkan.


Menjalinkan silaturahim dengan keluarga ibu bapa

Menjalinkan silaturahim dengan keluarga kedua-dua ibu bapa adalah sebahagian daripada birrul waalidain. Seorang anak soleh tidak akan membiarkan keluarga orang tuanya terputus pertaliannya ketika mereka sudah meninggal kerana itu akan membuat dia kehilangan ataupun setidak-tidaknya jauh daripada saudara maranya. Islam menggesa umatnya supaya menjaga hubungan kekeluargaan ataupun silaturahim. Malah, ada ancaman bagi mereka yang memutuskan hubungan silaturahim. Rasulullah SAW berkata:

     "Tidak ada satu dosa pun yang lebih Allah cepatkan
     hukumannya di dunia bagi si pelaku di samping seksaan yang
     menunggunya di akhirat nanti selain dosa memutuskan tali
     kekeluargaan dan berbuat aniaya."

(Hadith ini direkodkan oleh Al-Bukhari)

Memutuskan tali persaudaraan adalah dosa yang sangat besar di mana pelakunya bukan sahaja akan diseksa di akhirat, malah sewaktu di dunia. Dalam hadith lain, Rasulullah SAW menyampaikan betapa besarnya dosa orang yang memutuskan tali silaturahim sehingga dia tidak layak masuk ke syurga. Baginda berkata:

     "Tidak akan masuk syurga orang yang memutuskan tali
     silaturahim."

(Hadith ini direkodkan oleh Al-Bukhari)

Imam Bukhari berkata, maksud hadith di atas adalah orang yang membiarkan silaturahim diputuskan tidak akan masuk ke syurga sebelum dihisab dan diseksa akibat memutuskannya. Maksud memutuskan silaturahim adalah tidak mengunjungi saudaranya dan meninggalkan berbuat baik ataupun ihsan terhadap mereka. Imam Al-Qadhi 'Iyadh berkata, tidak ada perbezaan pendapat bahawa menjaga silaturahim adalah wajib dan memutuskannya adalah dosa besar.

     Orang-orang yang menjaga silaturahim mendapat khabar gembira daripada Rasulullah SAW yang mereka akan mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Baginda berkata:

     "Sesiapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan
     usianya, hendaklah dia memelihara hubungan silaturahim."

(Hadith ini direkodkan oleh Al-Bukhari)

Menjaga silaturahim antara saudara-mara adalah sebahagian daripada berbuat baik dan berbakti kepada ibu bapa. Bersesuaian dengan apa yang diberitahu oleh Abu Usaid Malik bin Rabi'ah As-Sa'idiy. Beliau berkata, "Ketika kami di samping Rasulullah SAW, datang seorang lelaki dari Bani Salamah, lalu bertanya:

     "Wahai Rasulullah, masih adakah tanggungjawab kepada
     ibu bapa yang sudah meninggal dunia, Rasulullah SAW
     menjawab, "Ada, iaitu berdoa, memohon keampunan untuk
     kedua-duanya, menyempurnakan janji, menyambungkan
     silaturahim yang tidak sempat dijalinkan oleh kedua-duanya,
     dan memuliakan sahabat taulan kedua-duanya."

(Hadith ini direkodkan oleh Abu Daud)

Selain daripada menyambung tali persaudaraan dengan saudara-mara ibu bapa, dianjurkan juga menjalinkan hubungan dengan orang-orang yang menjadi teman rapat mereka selama mereka masih hidup, sebagaimana hadith yang direkodkan daripada Abdullah bin Umar r.a., dia mendengar Rasulullah SAW berkata:

     "Sesungguhnya, termasuk kebaikan seseorang adalah
     menyambung tali silaturahim kepada teman-teman bapanya
     selepas bapanya meninggal dunia."

(Hadith ini direkodkan oleh Muslim)

Dalam rekod lain, dikatakan Abdullah bin Umar r.a. menemui seorang Badwi dalam perjalanan menuju ke Mekah. Mereka adalah orang yang sederhana. Kemudian, dia mengucapkan salam kepada orang Badwi itu dan menaikkannya ke atas keldai. Serbannya diberikan kepada orang Badwi itu, lalu Abdullah bin Umar berkata, "Semoga Allah menyelesaikan urusanmu." Kemudian, Abdullah bin Umar r.a. berkata, "Sesungguhnya, bapa orang ini adalah sahabat karib Umar, dan aku mendengar Rasulullah SAW berkata:

     "Sesungguhnya, termasuk kebaikan seseorang adalah
     menyambung tali silaturahim kepada teman-teman bapanya
     selepas bapanya meninggal dunia."

(Hadith ini direkodkan oleh Muslim)


Cara Bersilaturahim

Menjaga silaturahim bukan sekadar saling menziarahi, tetapi saling bertanya khabar; cukuplah dengan menelefon, SMS, surat, e-mel, laman sosial, dan lain-lain. Sesuai dengan zaman moden ini, bersilaturahim pasti lebih mudah. Oleh itu, tidak ada alasan bagi sesiapa untuk tidak melakukannya.

     Muhammad Ali Ash-Shiddiqi dalam Riyadhul Faalihin (Syarah Riyadhus Shalihin) berkata, silaturahim itu dapat dilakukan dengan pelbagai cara. Semuanya memiliki darjat yang berbeza antara satu sama lain. Darjat paling rendah (minimun) adalah tidak menjauhi keluarga, mengucapkan salam ataupun hanya bertegur sapa. Bersilaturahim dapat dilakukan bergantung pada kemampuan seseorang. Sekiranya dia melakukan sesuatu bagi menjaga silaturahim walau belum semaksimanya, sudah cukup baginya dan dia tidak akan disebut sebagai orang yang memutuskan tali persaudaraan.

     Muhammad bin Shaleh Al-Utsaimin dalam kitab Syarah Riyadhus Shaalihin mengatakan, Rasulullah SAW tidak menjelaskan secara mendalam bagaimana cara seseorang bersilaturahim. Maka hal ini dikembalikan kepada kebiasaan yang dianggap baik dan tidak bertentangan dengan syariah Islam. Menjaga silaturahim dilakukan dengan pelbagai cara mengikut keadaan yang sesuai dengan orang yang dikunjungi. Bersilaturahim dapat dilakukan dengan kunjung-mengunjungi, memuliakan, memberi wang ataupun makanan, memberi pakaian ataupun apa jua yang layak dan dianggap sebagai memuliakan keluarga. Sudah tentu menjalinkan silaturahim dengan keluarga yang kaya bukanlah dengan cara memberi dia wang ataupun makanan. Sebaliknya wang, makanan, pakaian, ataupun keperluan lain sesuai diberikan kepada keluarga yang kurang berkemampuan dalam menjalinkan silaturahim dengannya. Silaturahim juga dapat dijalinkan dengan cara memberi nasihat, melakukan amar makruf nahi mungkar, mengajarnya ilmu agama, dan lain-lain.


Menunaikan Nazar yang Belum Ditunaikan 

Nazar adalah kewajipan yang wajib ditunaikan oleh orang yang bernazar. Namun, sekiranya dia meninggal dunia sebelum nazar itu ditunaikan, kewajipan itu perlu dilangsaikan oleh warisnya. Anak adalah waris utama daripada ibu bapa. Maka, sewajarnya anak menyelesaikan hal ini. Jangan sibuk merebut harta peninggalan sahaja, sementara kewajipan-kewajipan dan tanggungjawab yang mereka tinggalkan dilupakan. Rasulullah SAW memerintahkan kepada sesiapa sahaja yang baru kematian ibu bapa menunaikan apa-apa kewajipan mereka yang belum sempat ditunaikannya termasuk nazar.

     "Menurut Ibnu Abbas r.a., ada seorang wanita daripada
     Juhainah datang menemui Nabi SAW dan berkata
     sesungguhnya ibuku bernazar mahu melaksanakan haji, tetapi
     dia tidak sempat melaksanakan haji itu sehingga dia meninggal
     dunia. Apakah boleh aku melaksanakan haji itu untuknya?"
     Rasulullah menjawab, "Ya, hajikanlah dia. Apa pandangan
     kamu jikalau ibu kamu memiliki hutang, adakah kamu juga
     akan melunasinya? Lunaskanlah untuk Allah kerana hutang
     kepada Allah adalah lebih berhak untuk dilunasi."

(Hadith ini direkodkan oleh Al-Bukhari)

Hadith yang lain juga ada menyebut Abi Usaid Malik bin Rabi'ah As-Sa'idiy berkata:

     Pada ketika kami bersama Rasulullah SAW, tiba-tiba datang
     seseorang dari Bani Salamah berkata, "Wahai Rasulullah,
     apakah masih ada kebaikan yang dapat saya kerjakan untuk
     berbakti kepada kedua-dua ibu bapa selepas mereka meninggal
     dunia?" Baginda menjawab:

     "Ada, iaitu berdoa, memohon keampunan untuk kedua-duanya,
     menyempurnakan janji, menyambungkan silaturahim yang
     tidak sempat dijalinkan oleh kedua-duanya dan memuliakan
     sahabat taulan kedua-duanya."

(Hadith ini direkodkan oleh Abu Daud)


Dahsyatnya Seksa Anak Derhaka

Sungguh besar dosa anak derhaka sehingga Rasulullah SAW menyamakannya dengan dosa syirik. Baginda berkata:

     "Ketahuilah, kuberitahukan kepadamu tentang dosa yang besar,
     iaitu mensyirikkan Allah yang maha mulia dan menderhaka
     kepada kedua-dua orang tua."

(Hadith ini direkodkan oleh Al-Bukhari)

Hadith lain yang direkodkan daripada Abi Bakrah r.a. pula, Rasulullah SAW berkata:

     "Mahukah kalian diberitahu akan dosa besar yang terbesar?"
     Diulanginya tiga kali. Para sahabat menjawab, "Tentu mahu,
     wahai Rasulullah." Baginda berkata, "Mempersekutukan Allah
     dan derhaka kepada orang tua." Kemudian, sambil bersandar,
     Baginda berkata lagi, "Ucapan dusta, persaksian palsu."
     Baginda terus mengulangi kata itu, sehinggakan kami para
     sahabat berharap baginda segera terdiam."

(Hadith ini direkodkan oleh Al-Bukhari dan Muslim)

     Menurut hadith yang direkodkan oleh Abi Bakrah di atas,
     Rasulullah SAW menyebut menderhaka kepada kedua-dua 
     ibu bapa sebagai utusan kedua selepas dosa syirik yang tidak
     diampuni Allah SWT dan pelakunya akan kekal di dalam neraka.
     Berdasarkan kedua-dua hadith tadi, dapat disimpulkan dosa
     besar yang paling besar selepas syirik adalah uququl waalidain
     iaitu derhaka kepada kedua-dua ibu bapa. Manakala dalam 
     riwayat lain pula, Nabi SAW berkata, antara dosa-dosa besar
     adalah mempersekutukan Allah, derhaka kepada kedua-dua
     ibu bapa, membunuh diri, dan saksi palsu.

(Hadith ini direkodkan oleh Imam Al-Bukhari)

Banyak hadith Rasulullah SAW yang menempatkan dosa menderhaka kepada ibu bapa bersama dosa-dosa besar seperti syirik mempersekutukan Allah SWT, membunuh diri, dan saksi palsu. Ini membuktikan menderhaka kepada ibu bapa wajib dijauhi kerana besarnya dosa itu dan tidak boleh dipandang ringan.

     Al-'uquuq al-waalidain ataupun derhaka kepada kedua ibu bapa adalah kata lawan al-birr al-waalidain, iaitu berbuat baik kepada ibu bapa. Menurut kamus Lisanul Arab, Ibnu Manzhur berkata, "Menderhakai ibu bapa seperti memutuskan hubungan dengan mereka dan tidak berkasih sayang dengan mereka."

     Menurut Syeikh As-Sa'di, menderhaka kepada ibu bapa terbahagi kepada dua. Pertama, sengaja bersikap buruk kepada mereka dan ini dosanya lebih besar. Kedua, tidak mahu berbuat baik kepada kedua-duanya tanpa menyakiti mereka. Perlakuan ini tetap haram, tetapi tidak seperti yang pertama.

     Sewajarnya, setiap orang menjauhkan diri daripada menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa kerana mendatangkan kemurkaan Allah SWT dan akan dimasukkan ke dalam neraka. Banyak ayat dan hadith yang menjelaskan betapa besarnya dosa dan dahsyatnya seksaan akibat menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa. Di sini, saya catatkan beberapa seksaan yang akan dihadapi oleh orang yang derhaka kepada ibu bapa:


Tidak akan mencium wanginya syurga

Ini antara seksa yang akan dihadapi oleh orang yang menderhaka kepada ibu bapa. Jangankan masuk ke syurga, mencium harumannya sahaja tidak dapat dia nikmati. Sedangkan haruman syurga dapat dicium dari jarak yang sangat jauh sebagaimana dijelaskan dalam hadith yang direkodkan daripada Jabir bin Abdullah r.a.. Menurut beliau, Rasulullah SAW berkata:

     "Takutlah kamu terhadap perbuatan menderhaka kepada
     kedua-dua ibu bapa. Sesungguhnya, wanginya syurga dapat
     dicium dari jarak perjalanan seribu tahun. Demi Allah, tidak
     akan dapat mencium wangian syurga orang yang menderhaka
     kepada kedua-dua ibu bapa, orang yang memutuskan
     hubungan persaudaraan ataupun silaturahim, orang tua yang
     berzina, dan orang yang menyeret kain sarungnya kerana
     sombong. Sesungguhnya, sifat sombong itu hanya milik Allah,
     Tuhan semesta alam."

(Hadith ini direkodkan oleh At-Thabrani)

Oleh itu, janganlah anak mengorbankan kebahagiaan di dunia yang sementara ini. Kebahagiaan akhirat yang lebih baik dan lebih utama. Jangan sia-siakan kedua-dua ibu bapa kita. Muliakanlah mereka kerana berbuat baik kepada mereka, akan membawa kita ke syurga. Sebaliknya, menderhaka kepada mereka menjadi penyebab dijauhkan daripada syurga-Nya.


Dosanya tidak diampuni

Betapa celakanya orang yang tidak mendapat keampunan Allah SWT atas dosanya. Akibatnya sangat berat bagi seseorang yang mempunyai dosa, namun tidak diampuni kerana akan menyebabkannya masuk ke dalam neraka. Anak yang menderhakai ibu bapa akan menanggung seksa neraka sekiranya semasa hidupnya dia tidak bertaubat dan memohon kemaafan mereka. Dia tidak akan masuk syurga kerana dosanya kepada mereka sedangkan ibu bapanya dapat masuk ke dalam syurga sekiranya mereka berbakti kepada ibu bapa mereka sebelumnya. Hadith di bawah membuktikannya:

     "Sesungguhnya, Nabi SAW naik ke atas mimbar, kemudian
     berkata, "Amin, amin, amin." Para sahabat bertanya.
     "Mengapa engkau berkata 'Amin, amin, amin', ya Rasulullah?"
     Nabi SAW berkata, "Jibril mendatangiku, kemudian berkata,
     'Celakalah orang yang disebutkan namamu di hadapannya,
     lalu tidak mengucapkan selawat kepadamu, dan katakanlah
     'Amin!' Maka kukatakan 'Amin'. Kemudian, Jibril berkata
     lagi, 'Celakalah orang yang menjumpai Ramadhan, lalu tidak
     diampuni dosanya oleh Allah, dan katakanlah 'Amin'! Maka
     aku berkata, 'Amin'.

     Kemudian, Jibril berkata lagi, 'Celakalah orang yang kedua-dua
     orang tuanya mencapai usia tua berada di sisiya, tetapi mereka
     tidak memasukkannya ke dalam syurga, dan katakanlah
     'Amin!' Maka kukatakan 'Amin.'"

(Hadith ini direkodkan oleh Al-Bazzaar)

Tiada kecelakaan yang lebih besar berbanding tidak diampuni dosanya kerana akan menyebabkan kehinaan dan kesengsaraan bagi orang itu. Dosa yang tidak diampuni akan mengakibatkannya masuk ke dalam neraka, sebuah tempat yang sangat mengerikan dan juga sumber kesengsaraan. Berlindunglah kita kepada Allah SWT daripadanya.


Tidak akan masuk ke dalam syurga

Hadith ini menegaskan yang anak derhaka tidak layak masuk ke syurga. Mana mungkin dia masuk ke dalam syurga sedangkan hati kedua-dua ibu bapanya sakit kerananya. Hati ibu bapa yang sakit itu adalah kemurkaan mereka dan sekiranya mereka murka kepadanya, maka Allah SWT juga murka. Ini yang menyebabkan dia tidak dapat masuk ke dalam syurga. Menurut Abu Darda' r.a., Nabi SAW berkata:

     "Tidak masuk ke syurga anak yang derhaka, peminum khamr
     ataupun arak, dan orang yang mendustakan qadar."

(Hadith ini direkodkan oleh Ahmad)

Betapa ruginya seorang anak yang tidak dapat masuk ke dalam syurga sedangkan kemudahan menuju ke dalamnya berada hampir dengannya. Kemudahan itu adalah ibu bapanya. Ibu bapa mampu menyebabkan anak masuk ke dalam syurga sekiranya dia memuliakan mereka, berbuat baik kepada mereka, dan tidak menyakiti hati mereka. Rasulullah SAW sudah memberi amaran kepada anak-anak yang masih memiliki ibu bapa. Nabi SAW berkata:

     "Sungguh celaka, sungguh celaka, sungguh celaka!" Baginda
     ditanya, "Siapakah wahai Rasulullah, yang celaka itu?" Baginda
     menjawab, "Orang yang mendapati orang tuanya dalam
     keadaan tua, sama ada salah seorang ataupun kedua-duanya,
     kemudian dia tidak memasuki syurga."

(Hadith ini direkodkan oleh Muslim dan Ahmad)


Dijauhkan daripada rahmat Allah SWT

Tidak ada kecelakaan yang lebih dasyat menimpa seorang manusia daripada dijauhkan daripada rahmat Allah SWT. Tiadanya rahmat Allah SWT akan menyebabkan hidupnya kosong dan penuh dengan kepayahan. Tiada erti semua kemewahan duniawi jikalau hati manusia tidak diselimuti rahmat Allah SWT. Demikianlah yang akan menimpa anak yang menderhaka kepada ibu bapanya sebagaimana yang disampaikan oleh Rasulullah SAW. Direkodkan oleh Ubay bin Malik Al-Qusyairi, Nabi SAW berkata:

     "Sesiapa mendapati kedua-dua orang tuanya ataupun salah
     seorang daripada mereka masih hidup, kemudian masuk neraka
     selepas itu, maka Allah menjauhkannya daripada rahmat-Nya
     dan memencilkannya."

(Hadith ini direkodkan oleh Ahmad)

Sekiranya Allah SWT memencilkan dan menjauhkan kita daripada rahmat-Nya, ke mana lagi yang dapat kita tuju? Bumi, langit, dan segala yang ada di dunia ini adalah kepunyaan Allah SWT. Seandainya Dia murka, tidak ada keberkatan dan manfaat dalam segala pekerjaan yang kita lakukan. Oleh itu, berhati-hatilah supaya kita tidak menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa kita.


Disegerakan seksa sewaktu di dunia

Seksa akibat menderhaka kepada ibu bapa bukan sahaja akan dirasai di akhirat, malah juga di dunia. Seksa menderhaka baik berupa kezaliman mahupun memutuskan hubungan silaturahim itu akan disegerakan oleh Allah SWT. Menurut hadith yang direkodkan daripada Abi Bakra r.a., Nabi SAW berkata:

     "Tidak ada dosa yang Allah SWT lebih percepat seksaan
     kepada pelakunya di dunia, serta yang tersimpan untuk
     mereka di akhirat selain perbuatan zalim dan memutuskan tali
     silaturahim."

(Hadith ini direkodkan oleh Al-Bukhari, Abu Daud, At-Tirmizi, Ibnu Majah, Ahmad, dan Hakim)

Kisah Juraij yang ditimpa musibah kerana membuat hati ibunya sakit menjadi bukti yang menunjukkan balasan menderhaka ibu bapa disegerakan di dunia. Walhal, Juraij adalah seorang pemuda soleh dalam kalangan Bani Israel yang menjadi buah mulut kaumnya kerana ketaatannya. Peristiwa itu berlaku apabila ibunya memanggil Juraij ketika dia sedang mendirikan solat di dalam mihrab. Hati pemuda ini berbisik penuh kebimbangan, "Ya Allah, manakah yang harus kupilih, solatku ataupun menjawab panggilan ibuku?" Dia pun memilih meneruskan solatnya. Kejadian serupa berulang lagi pada keesokan harinya.

     Rupa-rupanya, kerana Juraij tidak menjawab panggilan ibunya membuat ibunya kecewa dan marah. Akhirnya, terucaplah doa dari kedua-dua bibir ibunya. "Ya Allah, jangan kau matikan Juraij sebelum dia bertemu dengan wanita penzina." Doa ibunya menjadi kenyataan. Juraij dituduh berzina dengan seorang pelacur sehingga itu melahirkan bayi. Juraij hampir dibunuh oleh orang kampung sekelilingnya dan tempat beribadahnya juga dihancurkan. Walaupun akhirnya terbukti yang dia tidak melakukan tuduhan buruk itu.


Tidak dipedulikan oleh Allah SWT di akhirat kelak

Pada ketika orang lain dipanggil namanya dengan penuh keredhaan daripada Allah SWT, orang yang menderhaka kepada ibu bapa tidak dipedulikan dan tidak akan dipandang oleh Allah SWT. Sungguh malang keadaan anak derhaka. Kecelakaan yang tiada bandingnya kerana di akhirat kelak, tidak ada yang mempedulikannya. Allah SWT juga tidak sudi melihatnya. Perkara ini bersesuain dengan apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW:

     "Ada tiga golongan manusia yang tidak akan masuk syurga, iaitu
     orang yang menderhakai kedua-dua ibu bapanya, perempuan
     yang menyerupai lelaki, dan lelaki yang tidak menjaga maruah
     keluarganya iaitu dayus."

(Hadith ini direkodkan oleh Hakim, Al-Baihaqi, dan Ahmad)

Sementara kita masih diberi peluang oleh Allah SWT untuk berbakti dan berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa, janganlah kita sia-siakannya. Kesempatan itu tidak akan datang untuk kali yang kedua. Pada ketika kematian menjemput, tidak ada lagi yang mampu dilakukan oleh seorang anak untuk ibu bapanya. Tiada lagi peluang untuk bertaubat atas kelakuan buruk dan hati mereka yang kita sakiti. Tiada lagi waktu bagi menebus kelalaian dan kesalahan kepada kedua-dua ibu bapa. Semua peluang sudah terlepas dan yang tinggal hanyalah penyesalan yang tiada akhirnya. Semoga kita mengambil pengajaran.




N / F : DARIPADA "DAHSYATNYA DOA ANAK SOLEH", OLEH USTAZ ADAM CHOLIL.










Monday, 6 March 2017

PERANG BADAR [ BAB 6 - MENUJU KE MEDAN JIHAD ]






MENUJU KE MEDAN JIHAD








8 Ramadhan tahun 2 Hijrah

Malam semakin larut, suasana sepi. Dalam kegelapan malam itu dua lembaga manusia berjalan pantas. Kemudian kedua-duanya berpecah. Seorang menuju ke rumah Zubair bin Awwam dan seorang lagi menuju ke rumah Miqdad bin Aswad al-Kindy. Kedatangan lelaki itu disambut tuan rumah yang sedang menunggu kedatangan mereka.

     "Selamat datang wahai sahabatku, Thalhah. Ada sesiapa yang mengekori perjalanan kamu ke sini?" tanya Zubair.

     "Saya pasti tidak siapa yang tahu kecuali Allah dan RasulNya," jawab Thalhah.

     "Mari ikut saya," kata Zubair.

     Thalhah mengekorinya dari belakang. Mereka menuju ke belakang rumah Zubair. Di sana terdapat seekor kuda.

     "Saya serahkan kuda ini kepada awak. Gunakan dengan sebaik-baiknya bagi menjalankan tugas yang diberikan Rasulullah. Saya bekalkan juga buah kurma dan air minuman," kata Zubair bin Awwam.

     "Terima kasih. Doakan perjalanan saya selamat. Semoga kita bertemu lagi," kata Thalhah pula. Kedua-duanya berpelukan sebelum berpisah.

     Miqdad bin Aswad al-Kindy juga menunggu kedatangan sahabatnya Sa'id bin Zaid. Dia juga menyerahkan kudanya kepada lelaki itu sambil mendoakan supaya selamat menjalankan tugas.

     Sebelum itu Nabi Muhammad memerintahkan Thalhah bin Ubaidillah dan Sa'id bin Zaid pergi ke utara bagi mendapatkan maklumat kafilah Quraisy yang dipimpin Abu Sufian bin Harb yang dapat meloloskan diri ke Syam. Oleh kerana kafilah dagang Quraisy itu besar dan ramai maka Nabi Muhammad mengambil perhatian yang serius. Beliau memerintahkan Thalhah dan Sa'id bagi mendapatkan maklumat berkenaannya dan segera melaporkan kepadanya. Perjalanan itu jauh, dan mereka perlu bergerak pantas yang memerlukan kuda sebagai tunggangan. Di kalangan pengikut Nabi Muhammad di Madinah cuma dua orang sahaja yang memiliki kuda iaitu Zubair dan Miqdad. Thalhah meminjam kuda Zubair dan Sa'id meminjam kuda kepada Miqdad.

     Kedua-duanya keluar dari Madinah pada waktu malam supaya tidak dilihat oleh Abdullah bin Ubai dan konco-konconya. Thalhah dan Sa'id memecut kuda dengan laju meredah padang pasir yang samar-samar diterangi bulan sabit yang baru terbit. Menjelang pagi mereka sudah sampai ke satu tempat bernama al-Haura. Thalhah dan Sa'id menyamar sebagai pengembara.

     Al-Haura terletak di antara perjalanan antara Mekah dengan Syam. Tempat itu dijadikan persinggahan pengembara dari Syam atau Mekah. Penduduknya terdiri daripada bangsa Yahudi, Habsyah, Yaman dan Arab. Selepas berada di al-Haura selama tiga hari, kafilah dagang Quraisy yang dalam perjalanan pulang ke Mekah singgah di situ bagi mengisi air dan bekalan makanan.

     "Kami pengembara dari Khurasan. Bolehkah kami menumpang kafilah tuan untuk pergi ke Mekah?" tanya Sa'id kepada Abu Sufian. Abu Sufian tidak mengenali mereka kerana Thalhah dan Sa'id penduduk Madinah. Kedua-duanya menyamar sebagai pengembara dari Khurasan.

     "Mahukah kamu berdua bekerja dengan saya?" tanya Abu Sufian pula.

     "Kerja apa?" tanya Thalhah pula.

     "Saya memerlukan ramai pengawal bagi menjaga keselamatan kafilah dagang ini. Sekiranya kamu mahu, kamu boleh menjadi pengawal kami," jawab Abu Sufian.

     Menurut Abu Sufian, dia sudah mengupah 40 orang lelaki Syam bagi menjaga keselamatan kafilah dagang itu. Tetapi dia memerlukan lebih ramai pengawal.

     "Kami sering diancam perompak dari Madinah. Kami memerlukan ramai pengawal," beritahu Abu Sufian.

     "Kebetulan kami memang memerlukan duit bagi perbelanjaan kami di Mekah nanti, dengan itu kami terima tawaran tuan," kata Thalhah.

     "Bagi memudahkan tugas kami, boleh beritahu apakah barang-barang yang dibawa oleh kafilah ini?" tanya Sa'id pula.

     "Kami membawa seribu ekor unta yang sarat membawa makanan dan senjata untuk penduduk Mekah. Kami juga membawa 5,000 keping dinar emas, tetapi saya tidak akan beritahu kamu unta mana yang membawanya," jawab Abu Sufian.

     "Tuan membeli banyak dari Syam bagi dibawa ke Mekah. Apa tujuannya?" tanya Thalhah pula.

     "Kami hendak berperang dengan penduduk Madinah kerana mereka melantik Muhammad sebagai pemimpin mereka. Kami memusuhi Muhammad sejak dia berada di Mekah," jawab Abu Sufian.

     "Boleh kami tahu berapa upah yang tuan tawarkan kepada kami bagi menjadi pengawal kafilah dagang ini?" tanya Sa'id pula.

     "Sepuluh dirham sehari," jawab Abu Sufian.

     "Upah itu terlalu murah bagi tugas yang bahaya ini," kata Thalhah yang sengaja mencari helah.

     "Sekiranya tuan sanggup membayar tiga kali ganda daripada upah yang tuan tawarkan itu, baru kami setuju," kata Sa'id pula.

     "Dasar orang Khurasan memang tidak sedar diri. Saya menolong kamu bagi mendapatkan pekerjaan. Tetapi kamu meminta upah yang membuat saya akan mengalami kerugian besar," marah Abu Sufian.

     "Sekiranya begitu kami menolak tawaran itu," kata Thalhah.

     "Pergi kamu berdua. Kamu tidak dibenarkan menumpang kafilah dagang kami," kata Abu Sufian lalu menghalau Thalhah dan Sa'id dari situ.

     Mereka pergi dan terus memecut kuda mereka menghala pulang ke Madinah. Kemudian mereka melaporkan perkara itu kepada Nabi Muhammad.

     "Inilah kafilah dagang Quraisy yang membawa harta benda yang banyak. Sekiranya mereka melalui kawasan Madinah maka halang kafilah itu, semoga Allah memberikan harta rampasan itu kepada kamu," kata Nabi Muhammad.

     Ali bin Abu Talib diberi tanggungjawab membentuk pasukan yang akan menyekat kafilah dagang Quraisy itu. Tetapi ramai yang menyangka Rasulullah tidak memerlukan jumlah yang ramai. Tambahan pula beliau tidak menetapkan berapa ramai yang diperlukan. Sebelum itu sudah beberapa kali dibentuk pasukan bagi menyekat kafilah dagang Quraisy tetapi tidak berjaya dan pulang dengan hampa. Jadi saranan itu kurang mendapat sambutan. Hanya mereka yang benar-benar ikhlas sahaja menyertainya.

     "Wahai Rasulullah, cuma seramai 313 orang sahaja yang mendaftarkan diri. Mereka terdiri daripada Bani Aus seramai 61 orang, Bani Khazraj 170 orang dan Muhajirin 82 orang," kata Ali bin Abi Talib melaporkan.

     Rasulullah berpuas hati dengan jumlah itu. Beliau menyatakan kesediaannya memimpin pasukan itu. Kemudian beliau melantik Amr bin Ummu al-Maktum sebagai pemangku tugas beliau di Madinah. Mush'ab bin Umair diberi tugas membawa bendera.

     Rancangan Nabi Muhammad mahu menyekat kafilah dagang Quraisy itu sampai ke pengetahuan orang Yahudi. Mereka menuduh orang Islam hendak merompak harta kafilah dagang itu.

     "Kami diusir dari tanah air sendiri. Harta yang kami tinggalkan dirampas. Kemudian selepas kami berhijrah ke Madinah mereka terus mengancam kami, menceroboh kawasan kami, merampas haiwan ternakan kami serta memusnahkan kebun tanaman kami. Apakah kami hanya berdiam diri? Sesungguhnya apa yang kami lakukan ini kerana membela diri kami. Kami mematuhi perintah Allah dan Rasul kami. Allah membenarkan kami berperang, Rasulullah mengajak kami keluar membela diri." Begitu jawapan orang Islam pada tuduhan kaum Yahudi itu.

     "Muhammad cuma membawa 313 orang pengikutnya bagi merompak kafilah dagang Quraisy yang berjumlah mereka lebih 1000 orang. Abu Sufian juga mengupah 40 orang Syam bagi menjadi pengawalnya," kata Judan sambil mempersendakan pasukan Madinah itu.

     "Haiwan tugangan mereka cuma 70 ekor unta dan dua ekor kuda yang ditunggang secara bergilir. Ramai antara mereka yang cuma bersenjatakan pelapah kurma," kata Jayashi pula.

     "Kita mesti melaporkan perkara ini kepada Abu Sufian. Aku perintahkan kamu berdua berangkat segera ke al-Haura," perintah Abdullah bin Ubai.

     "Bagaimana pula dengan kamu?" tanya Judan pula.

     "Aku perlu berada di Madinah bagi membuat perhintungan dengan Amr al-Maktum yang dilantik menggantikan Muhammad bagi menjaga Madinah," jawab Abdullah bin Ubai.

     Menurutnya, dia sudah lama menaruh dendam kepada Amr al-Maktum. Jadi dia merancang mahu membunuhnya. Kemudian dia akan cuba mengambil alih pemerintahan Madinah.

     "Tugas itu tidak mudah tetapi aku mesti mencubanya," begitu tekad Abdullah bin Ubai.


=============================================================================

Apabila sampai di suatu tempat bernama al-Rauha, Nabi Muhammad memanggil Abu Lubabah bin Abdul Munzir lalu menyuruhnya segera pulang ke Madinah bagi menggantikan Amr al-Maktum. Tanpa bertanya lebih lanjut Abu Lubabah segera mematuhi perintah itu. Apabila sampai di Madinah, Abu Lubabah memberitahu Amr al-Maktum bahawa Rasulullah menyuruhnya menggantikan tempatnya.

     "Rasulullah melantik saudara menjadi imam di masjid," beritahu Abu Lubabah.

     "Saya dengar dan patuh perintah Rasulullah," kata Amr Ummu Maktum.

     Abdullah bin Ubai berasa kecewa kerana Nabi Muhammad seolah-olah mendapat tahu rancangannya. Dia pun membatalkannya.

     Nabi Muhammad dan para pengikutnya yang seramai 305 orang kerana lapan orang dibenarkan tidak ikut serta kerana sebab-sebab tertentu, terus berjalan menuju ke Badar. Pasukan tentera Islam dalam keadaan serba kekurangan. Mereka cuma memiliki 70 ekor unta dan dua ekor kuda yang terpaksa dinaiki secara bergilir-gilir. Seekor unta dikongsi bersama tiga orang.

     Rasulullah berkongsi unta dengan Ali bin Abi Talib dengan Martsad bin Abi Martsad al-Ghanawi. Hamzah bin Abdul Mutalib berkongsi dengan Zaid bin Harithah, Abi Kabsyah dan Anasah. Abu Bakar as-Siddiq pula berkongsi dengan Umar al-Khattab dan Abdul Rahman bin Auf. Begitulah seterusnya mereka berkongsi seekor unta bagi dinaiki tiga malah ada yang empat orang.

     "Wahai sahabatku Martdad, saya kasih melihat Rasulullah kerana dia sudah berumur berbanding kita yang masih muda. Saya bercadang hendak terus berjalan kaki. Biar Nabi Muhammad sahaja yang menunggang unta kita," kata Ali bin Abi Talib.

     Kemudian Ali dan Martdad memberitahu Nabi Muhammad mengenai cadangan itu. Beliau tidak bersetuju. Ali dan Martdad terpaksa akur dengan kehendak Rasulullah. Mereka bergilir-gilir menaiki unta itu. Walaupun Rasulullah ketika itu berusia dalam lingkungan 55 tahun namun tetap gigih dan tabah berjalan kaki mengharungi padang pasir.

     Pada masa yang sama, Judan dan Jayashi memecut kudanya dengan laju menuju ke al-Haura. Mereka berjaya menjumpai kafilah dagang Quraisy yang baru sahaja meninggalkan al-Haura.

     "Kami berdua diutus Abdullah bin Ubai bagi menyampaikan satu berita penting kepada tuan," kata Judan apabila bertemu dengan Abu Sufian.

     "Katakanlah dengan segera kerana aku tidak sabar hendak mengetahuinya," kata Abu Sufian.

     "Muhammad memimpin pasukan tenteranya bagi menyekat perjalanan tuan. Mereka sudah pun keluar dari kota Madinah," kata Judan.

     "Kafilah ini dikawal 40 orang lelaki Syam yang lengkap bersenjata. Belum termasuk anggota kafilah yang berjumlah lebih 100 orang. Aku tidak takut," kata Abu Sufian.

     "Jumlah pasukan Muhammad sepuluh kali ganda ramainya. Lebih baik kamu minta bantuan daripada Mekah," cadang Jayashi pula.

     "Terima kasih dengan maklumat ini dan terima kaish dengan cadangan yang diberikan," kata Abu Sufian.

     Beliau seorang yang berpengalaman membawa kafilah dagang dan tahu selok-belok perjalanan. Pada mulanya beliau tidak menghiraukan maklumat itu kerana masih belum terbukti kebenarannya. Abu Sufian terus memimpin kafilahnya hingga sampai ke Badar. Mereka bertemu dengan seorang penduduk tempatan bernama Majdi bin Amer.

     "Apakah kamu ada melihat sesiapa sedang mengintai kami?" tanya Abu Sufian.

     "Saya tidak pernah melihat sesuatu yang mencurigakan. Tetapi petang semalam saya ada melihat dua lelaki menunggang unta melalui kawasan ini. Kedua-duanya mengambil air minuman sebelum mendaki bukit itu," jawab Majdi.

     Abu Sufian mendaki bukit yang ditunjukkan lelaki itu. Didapatinya ada najis unta dan beberapa biji buah kurma.

     "Demi Tuhan, ini pasti kepunyaan orang Madinah," kata Abu Sufian.

     Barulah dia yakin Muhammad dan para pengikutnya sedang berusaha menyekat perjalanan kafilahnya. Abu Sufian segera membawa kafilahnya melalui kawasan persisiran pantai menuju ke Mekah. Pada masa yang sama dia menyuruh Dhamdham pergi ke Mekah dengan segera bagi mendapatkan bantuan daripada orang Quraisy.

     Sebelum itu Nabi Muhammad menyuruh Basbas bin Amr dan Adiy bin Abi az-Zaghba pergi ke Badar bagi mendapatkan maklumat berkenaan kafilah dagang Quraisy itu. Apabila sampai di Badar, Basbas dan Adiy pergi ke sebuah kolam bagi mengisi bekas air minumannya kerana tidak lama lagi kedua-duanya akan berbuka puasa. Kebetulan di situ ada dua orang perempuan sedang mengambil air minuman. Adiy dan Basbas mengintip bagi mendengar perbualan mereka.

     "Saya mahu merdeka daripada Majdi bin Amr," kata perempuan yang pertama yang kelihatan lebih muda daripada kawannya.

     "Awak sudah cukup duit bagi membayar tebusan diri awak?" tanya kawannya pula.

     "Saya mendapat berita esok ataupun lusa kafilah dagang Quraisy yang dipimpin Abu Sufian akan melalui tempat ini. Saya akan melayani mereka. Wang hasil pekerjaan saya itu akan saya bayarkan kepada Majdi," kata wanita muda itu.

     Selepas mendapat maklumat itu, Basbas dan Adiy kembali kepada pasukannya bagi melaporkannya kepada Nabi Muhammad.

     Nabi Muhamma dan pasukannya mengambil jalan yang biasa dilalui oleh kafilah dagang yang berulang alik antara Mekah dengan Syam kerana tujuannya mahu bertembung dengan kafilah dagang Quraisy yang dipimpin Abu Sufian. Mula-mula mereka melewati kawasan yang dipanggil Gunung Madinah kemudian menuruni lembah al-Aqiq sebelum sampai ke al-Hulaifa.

     Selepas berehat sebentar, perjalanan diteruskan melewati Aulatul Jaisy, Turban, Mall, Ghamis al-Hamam, Shukhairatul Yaman, as-Sayalah, Fajji ar-Rauha, dan akhirnya sampai di suatu tempat bernama Syanukah.

     Perjalanan itu sungguh sukar, jauh dan meletihkan. Tambahan pula mereka sedang menjalani ibadat berpuasa di bulan Ramadan selepas turunnya perintah itu melalui ayat Quran surah al-Baqarah ayat 183, "Wahai orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang dahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa."

     Baru seminggu mereka diuji dengan kewajipan berpuasa pada siang hari buat pertama kalinya, kini mereka diuji dengan panggilan jihad. Mereka menempuhinya dengan rasa takwa dan sabar.

     Keesokan harinya mereka meneruskan perjalanan hingga sampai ke satu tempat bernama ad-Dzubyah. Di situ mereka bertemu seorang Arab Badwi yang sedang memberi untanya makan. Abu Salamah bin Salamah mengucapkan salam lalu bertanya kepada lelaki itu sekiranya ternampak kafilah dagang Quraisy melewati tempat itu.

     Kemudian Rasulullah dan pasukannya meneruskan perjalanan menuju ke Badar. Tetapi sebelum sampai ke Badar mereka terpaksa melalui beberapa lembah padang pasir dan gunung. 
  
     Mula-mula mereka menuruni lembah Rahqan yang terletak di antara an-Naziyah dengan Madhiq as-Shafra. Kemudian mendaki kawasan tinggi al-Madhiz dan akhirnya menuruni kawasan lembah. Di situ mereka berhenti rehat.

     Kemudian Rasulullah mengutus Basbas bin Amr al-Juhani Bani Sa'idah dan Adiy bin Abi az-Zaghba' al-Juhani pergi ke Badar sekali lagi bagi mendapatkan maklumat, sama ada kafilah dagang Quraisy itu sampai ataupun belum. Selepas kedua-dua lelaki itu pergi, Rasulullah dan pasukannya meneruskan perjalanan hingga sampai ke sebuah desa as-Shafra yang diapit dua buah gunung.

     "Wahai Rasulullah, kafilah dagang Quraisy yang dipimpin Abu Sufian sudah melewati Badar. Kemudian mereka mengambil jalan di pesisiran pantai menuju ke Mekah," kata Basbas melaporkan.

     Mendengar perkhabaran itu ramai yang berasa kecewa. Namun Rasulullah tidak bercadang mahu segera pulang ke Madinah. Mereka perlu berada di situ bagi meneruskan pemantauan. Kebetulan pula hari sudah petang dan senja akan menjelma. Rasulullah mengajak mereka bermalam di situ. Apabila masuk waktu sembahyang maghrib mereka berbuka puasa.

     Pada malam itu, Rasulullah menyuruh Ali bin Abi Talib, Zubair bin Awwam dan Sa'ad bin Abi Waqqas berjaga malam bagi memastikan keselamatan mereka. Pada masa yang sama pasukan tentera Quraisy juga sudah sampai di kawasan Badar dan jarak mereka sudah hampir namun kedua-dua pihak masih belum menyedarinya.

     Sebelum itu Abu Sufian bersama kafilah dagangnya selamat sampai ke Mekah. Apabila dia mendapat tahu Abu Jahal dan pasukan tentera Quraisy Mekah keluar dari Mekah bagi menyelamatkan kafilah dagang itu, dia segera menulis surat lalu menyuruh Aswad menyampaikannya kepada Abu Jahal.

     Kami hargai upaya kalian menyelamatkan kafilah. Sukacita dimaklumkan pasukan kami dan harta benda kalian selamat sampai ke Mekah dengan hasil yang gemilang. Sesungguhnya Tuhan menyelamatkan kami, kerana itu silalah kalian pulang ke Mekah.

     "Mereka sekarang berada di al-Juhfah. Segeralah pergi ke sana dan berikan surat itu kepada Abdul Hakam," kata Abu Sufian lalu memberikan surat itu kepada Aswad.

     Tanpa berlengah lagi pemuda itu memecut kudanya menuju ke al-Juhfah. Ketika itu Abu Jahal dan pasukan tenteranya sedang berehat. Aswad menyerahkan surat itu kepada Abu Jahal. Selepas membaca surat itu, Abu Jahal pun menghebahkan kandungan surat itu kepada anggota pasukannya.

     "Tujuan kita datang ke sini hanya mahu menyelamatkan kafilah dagang. Sekarang harta kita sudah selamat sampai ke Mekah, kerana itu lebih baik kita pulang sahaja," kata Umaiyah bin Khallaf yang sejak dari mula berat hati menyertai pasukan itu.

     "Aku sependapat dengan Umaiyah. Mari kita pulang sahaja ke Mekah," sokong Amer bin Hisyam.

     "Wahai kaum Quraisy sekalian. Memang benar kafilah dagang kita selamat sampai di Mekah. Tetapi Muhammad masih berada di Badar. Kerana itu kita mesti pergi ke sana bagi menunjukkan kekuatan kita," bantah Abu Jahal.

     "Aku yakin Muhammad sudah pulang ke Madinah. Mereka tentu kecewa kerana tidak dapat merompak barang dagangan kita," kata Umaiyah pula.

     "Kita sudah diperdayakan oleh Dhamdham yang mengatakan Muhammad menyekat kafilah dagang kita. Dia juga mengadu untanya luka dan bajunya koyak rabak kerana bertempur dengan pengikut Muhammad. Sedangkan cerita yang sebenarnya, kafilah dagang kita itu tidak pernah bertemu dengan Muhammad," kata Uthbah bin Rabi'ah pula.

     Namun Abu Jahal tetap berkeras tidak mahu pulang ke Madinah. Dia memujuk pasukan tentera Quraisy dengan berkata, "Demi Tuhan, kita tidak akan pulang selagi belum sampai ke Badar. Di sana nanti kita akan berpesta selama tiga hari tiga malam. Kita akan sembelih ternakan yang dibawa dan memasak serta memakannya bersama-sama. Selepas menikmati makanan, kita akan minum arak sambil menikmati keseronokan bersama wanita-wanita yang mengiringi perjalanan kita. Jangan lepaskan peluang keemasan ini kerana kaum wanita itu sudah bersedia hendak melayani kita. Kita akan terus bersuka ria sehingga Muhammad dan para pengikutnya berada takut buat selama-lamanya."

     "Wahai Abdul Hakam, adakah kamu membawa kami ke sini bagi berseronok-seronok? Demi Tuhan, aku dan kabilah Bani Zuhrah yang berjumlah 300 orang akan menarik diri supaya pulang ke Mekah," kata al-Akhnas yang tidak bersetuju dengan keputusan Abu Jahal itu.

     "Hanya mereka yang penakut sahaja pulang ke Mekah," tempelak Abu Jahal dengan harapan al-Akhnas berada tercabar lalu membatalkan hasratnya pulang ke Mekah.

     Apabila mendengar kata-kata Abu Jahal itu, al-Akhnas berpaling kepada kaumnya Bani Zuhrah lalu berkata, "Wahai orangku Bani Zuhrah, tujuan kita keluar membawa senjata dan memakai baju besi ini adalah mahu melindungi harta kekayaan kita dan menyelamatkan sahabat kita Makhramah bin Naufal. Sesungguhnya Tuhan menyelamatkan kafilah Quraisy, harta kekayaan kalian dan sahabat kita selamat. Kerana itu tidak menjadi masalah lagi bagi kita sekiranya dituduh sebagai pengecut. Marilah kita pulang kerana kita tidak boleh keluar berperang tanpa sebab. Kita bukan seperti orang yang bakhlul itu," kata al-Akhnas sambil menunding jarinya ke arah Abu Jahal.

     Orang Bani Zuhrah menyahut seruan pemimpin mereka. Semuanya pulang ke Mekah dan tidak seorang pun yang tinggal. Orang Bani Hasyim juga mahu menarik diri pulang ke Mekah tetapi dihalang oleh Abu Jahal dengan berkata, "Selama ini Makhzum dengan Bani Hasyim bermusuhan. Tetapi mereka berjaya disatukan bagi menyelamatkan kabilah Quraisy. Aku mewakili Bani Makhzum mahu menghulurkan perdamaian dengan Bani Hasyim. Janganlah kerana masalah ini kita berpecah semula."

     Mendengar kata-kata Abu Jahal itu, Bani Hasyim tidak jadi pulang ke Mekah. Tetapi dia pertengahan terjadi dialog antara Thalib bin Abi Thalib dengan salah seorang Bani Makhzum.

     "Demi Tuhan, walaupun orang Bani Hasyim masih bersama kita tetapi hati mereka menyebelahi Muhammad," kata seorang lelaki Bani Makhzum.

     Thalib bin Abi Talib berasa tersinggung lalu berkata, "Memang benar kata kamu itu. Sesungguhnya saya menyebelahi Muhammad."

     Kemudian Thalib bin Abi Thalib pun bersyair.

     Wahai Tuhan
     Sesungguhnya Thalib melakukan kesilapan
     Kerana berangkat bersama mereka yang menentang
     Maka jadikanlah mereka yang menentang
     Berbeza dengan mereka yang ditentang
     Mereka yang dikalahkan berbeza
     Dengan mereka yang mengalahkan.

Kemudian Thalib bersama para pengikutnya pulang ke Mekah. Yang tinggal cuma 1000 orang sahaja. Abu Jahal pun berkata, "Biarkan mereka yang penakut itu pergi. Tetapi kita yang berani akan meneruskan perjalanan hingga ke Badar. Aku menyediakan ternakan yang gemuk bagi disembelih. Aku sediakan arak yang baik bagi diminum, dan aku sediakan wanita-wanita yang cantik untuk kamu. Di Badar nanti kita bukan berperang tetapi berseronok memuaskan nafsu kita."

     Kata-kata Abu Jahal itu disambut dengan gembira oleh pasukan tentera Quraisy. Mereka segera menuju ke Badar bagi menikmati kegembiraan dan keseronokan yang dijanjikan Abu Jahal.

     Tetapi apabila sampai di Badar mereka keletihan kerana perjalanan yang jauh. Tambahan pula mereka membawa peralatan senjata dan bebanan barang-barang makanan dan air. Sebaik sahaja sampai di Badar mereka yang keletihan terus berehat dan terlena sampai pagi.

     Keesokan harinya, Ali bin Abi Talib, Zubair bin Awwam dan Sa'ad bin Abi Waqqas yang ditugaskan memantau kawasan sekitar membuat rondaan di sekitar kawasan Badar. Tiba-tiba mereka terserempak dengan dua lelaki yang sedang memimpin seekor unta yang membawa bebenan. Ali, Zubair dan Sa'ad segera mendapatkan lelaki itu.

     "Kami membawa air minuman untuk tuan. Silalh meminumnya," kata salah seorang lelaki itu.

     "Kami tidak memerlukan air itu kerana kami sedang berpuasa," kata Ali bin Abi Talib.

     Kedua-dua lelaki itu kelihatan terkejut dan takut apabila mendapat tahu tiga orang lelaki yang disangka pasukan tentera Quraisy itu adalah pengikut Muhammad. Kedua-dua lelaki itu cuba melarikan diri tetapi dapat ditangkap lalu dibawa menghadap Rasulullah. Basir menyoal siasat kedua-dua lelaki itu.

     "Siapa nama kamu dan berasal dari mana?" tanya Baser.

     "Nama saya Aslam hamba sahaya Bani al-Hajjaj. Kawan saya ini namanya Aridh bin Yasar hamba sahaya Bani al-Hajjaj," jawab salah Aslam.

     "Beritahu kami apa tujuan kamu datang ke sini?" tanya Basir.

     "Kami disuru oleh tentera Quraisy mencari air minuman," jawab Adam.

     "Kamu bohong," marah Basir.

     "Kami orang Abu Hakam. Kami tidak bohong," kata Aridh.

     "Awak bercakap bohong!" herdik Basir lalu terus memukul Adith.

     "Apa yang kamu mahukan dari kami?" tanya Aslam sambil menangis kerana kesakitan.

     "Bercakap benarlah bahawa kamu hamba sahaya Abu Sufian," jawab Basir.

     "Benar kata tuan bahawa kami budak suruhan Abu Sufian," jawab Aslam sambil merayu supaya jangan dipukul lagi.

     Basir tidak memukul lagi kedua-dua lelaki itu. Ketika itu Rasulullah baru selesai bersembahyang. Beliau segera mendapatkan mereka lalu berkata, "Ketika kedua-dua lelaki ini bercakap benar kamu pukul dia. Tetapi apabila mereka bercakap bohong kamu tidak apa-apakan. Demi Allah, kedua-dua lelaki ini tidak berdusta. Mereka miliki tentera Quraisy yang dipaksa mencari air minuman."

     "Wahai tuan yang baik hati. Memang benar kami miliki tentera Quraisy yang ditugaskan mencari air minuman. Lalu terserempak dengan pengikut Muhammad," kata Aslam.

     "Ceritakan kepada saya berkenaan pasukan tentera Quraisy itu," pinta Rasulullah.

     "Mereka berada di balik bukit pasir sana," jawab Aslam sambil menunjuk ke arah sebuah bukit pasir yang tidak jauh dari tempat pasukan Islam.

     "Apa senjata yang mereka bawa?" tanya Nabi Muhammad.

     "Saya tidak tahu. Tetapi ramai yang menunggang kuda dan unta. Ramai yang memakai bahu besi," jawab Aridh.

     "Berapa banyak jumlah mereka?" tanya Rasulullah lagi.

     "Saya tidak tahu," jawab Aslam.

     "Setiap hari berapa ekor unta yang mereka sembelih bagi dijadikan makanan?" tanya Nabi Muhammad lagi.

     "Sepuluh ekor," jawab lelaki itu.

     "Sekiranya begitu jumlah mereka antara 900 hingga 1,000 orang," kata Nabi Muhammad lagi.

     "Siapa pemimpin Quraisy yang ada bersama mereka?" tanya Nabi Muhammad.

     "Uthbah bin Rabi'ah, Abu Bakhtar bin Hisyam, Hakim bin Hizam, Naufgal bin Khuwailid, Harithy bin Amer, Tha'imah bin Ady, Nadher bin Harith, Zum'ah bin Aswad, Amer bin Hisyam, Umaiyah bin Khallaf dan ramai lagi," jawab Aslam.

     "Mereka itu adalah pemimpin-pemimpin Quraisy Mekah yang datang bagi memerangi kalian," kata Rasulullah sambil memandang ke arah para sahabatnya.

     Suasana sepi seketika kerana masing-masing berdiam diri memikirkan suasana yang genting itu. Mereka datang hendak menyekat kafilah dagang Quraisy yang menceroboh kawasan Madinah. Tetapi sekarang mereka sedang berhadapan dengan pasukan tentera Quraisy yang lebih ramai bilangannya serta lengkah dengan senjata.

     "Wahai Rasulullah, kami dengar dan taat kepada perintah Allah dan RasulNya. Sekiranya kita pulang ke Madinah, mereka pasti mengejek kita dengan mengatakan kita penakut berhadapan dengan pasukan Quraisy. Demi menjaga maruah Islam dan maruah diri kita, jangan pulang ke Madinah. Sekiranya kami disuruh berperang maka kami sanggup berperang bersamamu," kata Abu Bakar as-Siddiq.

     "Wahai Rasulullah, kita keluar di jalan Allah bagi menegakkan syiar Islam. Kami rela syahid demi perjuangan ini," kata Umar al-Khattab pula lalu mengucapkan kata-kata yang baik dan penuh bersemangat.

     Kemudian bangun pula al-Miqdad bin Amr lalu berkata, "Wahai Rasulullah, teruskanlah perjalanan seperti yang dikehendaki Allah dan kami tetap bersamamu. Demi Allah kami tidak akan berkata kepadamu seperti yang dikata oleh Bani Israil kepada Nabi Musa, 'Pergilah engkau bersama Tuhan engkau dan berperanglah engkau berdua.' Tetapi kami tetap akan duduk di sini."

     "Kami berkata kepadamu wahai Rasulullah, pergilah engkau dan Tuhan engkau berperang dan sesungguhnya kami ikut berperang bersamamu dan bersama Allah. Demi zat yang mengutusmu dengan membawa kebenaran, sekiranya engkau berjalan bersama kami hingga ke Barki al-Ghimad (suatu tempat di Yaman) kami bersabar bersamamu hingga engkau dan kami tiba di sana."

     Hingga saat itu hanya mereka yang terdiri daripada Muhajirin yang bercakap. Tetapi kaum Ansar masih berdiam diri. Melihat keadaan itu maka Rasulullah pun berkata, "Wahai tuan-tuan semua, berilah cadangan kepada saya."

     Sa'ad bin Muaz salah seorang pemimpin kaum Ansar bangun lalu berkata, "Demi Allah, kami faham apa yang tuan maksudkan."

     Sa'ad menyambung kata-katanya, "Wahai Rasulullah, kami sudah beriman kepada kamu. Kami sudah membenarkan kata-katamu. Kami bersaksi bahawa setiap yang kamu bawa dan ucapkan adalah kebenaran. Kami sudah bersumpah supaya patuh dan taat. Wahai Rasulullah, maju dan teruskanlah perjuangan ini sebagaimana yang kamu kehendaki. Demi yang mengutus kamu dengan kebenaran, andaikata kamu terhalang kerana ada lautan di hadapan, kami sanggup merentasi laut itu. Kami sanggup terjun bersama kamu. Tidak seorang pun daripada kalangan kami yang berundur. Kami sangat dikenali sebagai mereka yang sangat tabah dalam peperangan dan jujur dalam pertempuran. Semoga Allah memperlihatkan kepada kamu kebenaran diri kami. Majulah kamu bersama kami dengan keberkatan daripada Allah."

     Rasulullah senang hati mendengar kata-kata Sa'ad itu. Kemudian Sa'ad menyambung lagi kata-katanya.

     "Mungkin kamu khuatir kami hanya mengaku taat dalam diri kami sahaja. Dan tidak sanggup bersama kamu bagi berperang. Wahai Rasulullah, saya mewakili seluruh golongan Ansar, akan bersama kamu menuju ke hadapan sepertimana yang kamu kehendaki. Dan putuskan tali persaudaraan dengan siapa yang kehendaki. Ambillah harta kamu menurut kehendak kamu."

     Rasulullah berkata, "Majulah kamu semua dan terimalah khabar gembira kerana Allah menjanjikan salah satu daripada dua kebaikan (menang ataupun syahid). Demi Allah, saya seakan-akan dapat melihat tempat kematian mereka."

     Kemudian Nabi Muhammad mengajak Abu Bakar as-Siddiq menemaninya bagi melihat kawasan sekitar. Mereka bertemu seorang lelaki tua lalu Nabi Muhammad cuba mendapatkan maklumat daripada lelaki itu.

     "Adakah kamu tahu tentang orang Quraisy Mekah ataupun Muhammad bersama pengikutnya?" tanya Nabi Muhammad. Beliau sengaja tidak memperkenalkan dirinya.

     "Saya tidak akan memberikan apa-apa maklumat kepada kamu hingga saya tahu siapa kalian berdua," jawab lelaki tua itu.

     "Sekiranya kamu memberikan maklumat tentang Muhammad dan orang Quraisy itu, kami akan menjelaskan kepada kamu yang kami berasal dari mana," kata Nabi Muhammad pula.

     Abu Bakar as-Siddiq sudah berpura-pura bersikap garang dengan merenung tajam wajah orang tua itu dengan tujuan menakutkannya.

     "Sekiranya saya memberikan maklumat adakah saya akan dilepaskan?" tanya orang tua itu pula.

     "Ya benar," jawab Rasulullah.

     "Saya mendapat maklumat bahawa Nabi Muhammad dan sahabat-sahabatnya akan sampai di sini pada hari ini. Sekiranya maklumat itu betul, Muhammad sepatutnya sudah berada di sini. Saya juga mendapat maklumat bahawa orang Quraisy akan sampai ke sini pada hari ini. Sekiranya maklumat itu betul sepatutnya orang Quraisy itu sudah berada di kawasan ini," kata orang tua itu.

     "Kamu boleh pergi," kata Abu Bakar as-Siddiq.

     "Kamu berdua berasal dari mana?" tanya orang tua itu kepada Nabi Muhammad.

     "Kami berasal dari air," jawab Rasulullah.

     "Apakah dari air yang berada di Iraq?" tanya lelaki itu lagi.

     "Kami berasal dari air mani," jawab Abu Bakar as-Siddiq.

     Orang tua itu tertawa terbahak-bahak lalu segera pergi dari situ. Kemudian Nabi Muhammad mengajak Abu Bakar as-Siddiq kembali kepada pasukannya. Beliau sudah mendapat maklumat yang diperlukannya.




N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.