Thursday, 5 January 2017

EFEK DOSA PADA HATI






EFEK DOSA PADA HATI








Dalam bab ini dan seterusnya, saya akan mengulang satu hadith yang masyur, iaitu "Orang yang beriman melihat dosanya umpama gunung yang menghempap, manakala ahli maksiat pula melihat dosa itu umpama lalat yang hinggap pada hidung." Hadith ini direkodkan oleh Bukhari.

     Ini kerana, kita hendak membicarakan berkenaan efek dosa.

     Saya mulakan dengan efek dosa pada hati. Hati adalah raja kepada segala anggota.

     Selepas kita mengetahui efeknya, kita perlu melihat semula diri kita. Sejauh mana kita umpamakan dosa kita itu. Adakah seperti gunung? Ataupun lalat yang dikuis kemudian hilang?

     Kita perlu padamkan dosa, sekiranya kita benar-benar mahu menyelamatkan diri kita.


Dosa Menggelapkan Jiwa

Rasulullah SAW pernah menyatakan yang bermaksud, "Sesungguhnya orang Mukmin apabila melakukan sesuatu dosa, terbentuklah bintik hitam dalam hatinya. Apabila dia bertaubat lalu berhenti melakukan dosa dan beristighfar, dia bersih daripada bintik hitam itu. Apabila dia tetap melakukan dosa, semakin bertambah bintik hitam itu pada hatinya, sehingga tertutup seluruh hatinya. Itu adalah karat yang disebut oleh Allah dalam surah Al-Mutoffifin, ayat 14 yang bermaksud, 'Sebenarnya apa yang mereka lakukan, mengaratkan dan menutup hati mereka sendiri.'." Hadith ini direkodkan oleh Al-Baihaqi.

     Hati yang gelap menjadikan pandangan jiwa kita semakin terpadam.

     Hubungan kita dengan Allah terputus, malah kita gemar melakukan maksiat tanpa ada perasaan bersalah. Sebab itu, saya suka mengulang pesanan Rasulullah SAW yang menyatakan, "Tidak mencuri seorang pencuri, sekiranya ketika dia mencuri, dia beriman. Tidak berzina seorang penzina, sekiranya ketika dia berzina, dia beriman. Tidak meminum arak seorang peminum arak, sekiranya ketika dia meminum arak, dia beriman." Hadith ini direkodkan oleh Bukhari dan Muslim.

     Sekiranya dia beriman, dia tidak melakukan dosa.

     Ini kerana, dosa dan keimanan adalah dua dunia yang berbeza. Tidak akan bersatu dalam satu masa. Hati yang gelap pula sudah pasti memadamkan keimanan ini, sekali gus membuatkan kita lemah dan terjerumus dalam dosa.


Hati adalah Raja

Nukman bin Basyir melaporkan, Rasulullah SAW menyatakan, "Dalam jasad itu ada segumpal daging. Apabila daging itu baik, baiklah seluruh jasad. Apabila daging itu buruk, buruklah seluruh jasad. Daging itu adalah hati." Hadith ini direkodkan oleh Bukhari dan Muslim.

     Kita tidak sedar perkara ini. Kadangkala, kita menyangka dosa itu satu perkara yang berbeza-beza dan berlainan mengikut kesalahan yang kita lakukan. Ia masuk ke dalam satu 'akaun bank' yang lain. Iaitu terpisah.

     Dosa ini masuk ke dalam 'akaun bank' yang sama. Ibarat virus. Menjalar dan memusnahkan, memadamkan pahala-pahala, dan menggelapkan jiwa. Sekiranya kita tidak menghalangnya, tidak dicuci dan dibersihkan, bukan sahaja ia merosakkan hati, tetapi juga sikap, akhlak, dan peribadi kita.

     Ini kerana, amalan adalah penterjemah kepada hati.

     Kita menjadi malas beribadah. Kita mula berasa jauh daripada Allah SWT. Seolah-olah Allah tidak melihat kerja-kerja kita. Kita mula berasa cepat penat melakukan kebaikan. Kita berasa cepat amrah, berputus asa, dan kecewa. Ini kerana, dosa sudah menutup kita daripada mengingati Allah SWT.


Kita Perlu Peka

Justeru, dalam perkara ini kita perlu peka dan sensitif. Kita perlu memandang dosa sebagai yang lebih kotor daripada najis.

     Sekiranya najis terlekat pada tangan, kita tentu berasa geli. Kita mencuci najis itu. Bagaimana pula dosa yang menggelapkan hati dan menjauhkan kita daripada Allah? Tidakkah sepatutnya kita berasa lebih geli?

     Kesimpulannya, orang yang benar-benar sensitif dengan dosa hanya pada orang yang beriman kepada Allah SWT.

     Ada kalanya iman itu naik dan turun. Tetapi, keimanan yang bergetar, menyedarkan kita supaya segera mencuci dosa sekiranya melakukan kemungkaran. Tidak berlama-lama dan menangguh untuk bertaubat. Penyesalan mereka bersungguh-sungguh dan berusaha tidak mengulanginya. Orang yang beriman melihat dosa ibarat gunung yang pasti menghempapnya.

     Orang yang tidak beriman dan tidak mempunyai keimanan yang tetap pula, memandang dosa seperti lalat yang hinggap pada hidung. Mereka menyangka dengan menguis lalat itu, dosa hilang begitu sahaja. Mereka tidak mengambil peduli pada dosa.

     Sebab itu mereka berterusan bergelumang dalam dosa.

     Siapakah yang berusaha dan mencuci hatinya? Ataupun kita sekadar membiarkan hati itu terus lemah dan dimamah dosa?




N / F : DARIPADA "UNTUK KITA PENDOSA, HARAPAN SELALU ADA", OLEH HILAL ASYRAF.

Wednesday, 4 January 2017

HASAN AL-BANNA [ BAB 27 - IKHWAN MUSLIMIN DIHARAMKAN ]






IKHWAN MUSLIMIN DIHARAMKAN








Mesir berada di bawah perlindungan kerajaan British bermula pada 18 Disember 1914. Mereka berusaha memutuskan hubungan antara Mesir dengan Khalifah Uthmaniah Turki. Kerana itu Raja Abbas sudah digulingkan dan digantikan dengan Amir Hussin bin Kamil dengan memakai gelaran sultan. Kemudian jawatan hakim Turki untuk Mesir dihapuskan.

     Rakyat Mesir marah dengan campur tangan British, dan mereka tidak mengiktiraf Amir Hussin sehingga ada percubaan hendak membunuhnya, tetapi tidak berjaya. Pada tahun 1918, banyak pertubuhan sulit telah ditubuhkan bagi menghalau British dari Mesir. Orang kanan Mustafa Kamal, iaitu Muhammad Farid telah menyokong kerajaan Uthmaniah di Turki walaupun beliau berada dalam buangan. Pihak British menjadikan Mesir sebagai pusat kegiatan sulitnya yang bertujuan menghapuskan Khalifah Uthmaniah Turki.

     Namun ada juga rakyat Mesir yang menyokong British. Sekumpulan cendekiawan Mesir menerbitkan satu surat menasihati rakyat Mesir supaya mematuhi pihak berkuasa yang menyokong British. Pada tahun 1919, rakyat Mesir di bawah pimpinan Mustafa Kamal memberontak menentang pihak British. Tentera British pun bertindak balas dengan kejam dan ganas.

     Kejatuhan Khalifah Uthmaniah Turki pada tahun 1924 mengejutkan rakyat Mesir. Mereka menuduh British menjadi dalangnya. Kemarahan mereka semakin memuncak apabila British yang menjajah negara Mesir menyerahkan Palestin kepada orang Yahudi bagi menubuhkan sebuah negara bernama Israel.

     Kerana itu Hasan Al-Banna mengisytiharkan jihad terhadap British lalu membangkitkan semangat kemerdekaan di seluruh negara. Rakyat Mesir mahu British segera keluar dari negara mereka. Keadaan negara Mesir mula bergolak apabila rakyat menunjuk perasaan menentang British. Kerajaan Mesir yang dipimpin Nuqrasyi Pasya tidak mampu menghadapi kebangkitan rakyat lalu meletak jawatan. Tampuk pemerintahan diambil alih oleh Ismail Pasya, beliau juga tidak mampu menghadapi kemarahan rakyat lalu menyerahkan semula kuasa pemerintahan kepada Nuqrasyi Pasya.

     Nuqrasyi Pasya yang mengambil alih kerajaan pada 10 Disember 1946 melakukan 'Perang Terbuka' terhadap Ikhwan Muslimin. Penentangan antara kedua-dua pihak ini merumitkan lagi masalah Palestin.

     "Kecintaan terhadap Palestin telah menguasai jiwa kita, mengatasi kecintaan kepada tanah air sendiri. Allah telah menganugerahkan kita kemuliaan Baitulmuqaddis. Palestin adalah jantung tanah air kita, denyut nadi negara kita, pangkal perpaduan dan kesatuan kita, dan di atasnya pula tergantung kemuliaan Islam ataupun kehinaannya," kata Hasan Al-Banna dalam satu ceramah dengan penuh semangat.

     Bagi umat Islam, Palestin dianggap sebagai 'Tanah Rahmat' kerana di situ terdapat Masjidil Aqsa, iaitu masjid ketiga paling mulia selepas Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

     Bagi penganut Yahudi pula, tanah tersebut adalah 'Tanah Yang Dijanjikan Tuhan' kepada mereka. Di situlah nenek moyang mereka berasal (Bani Israel), dan di situlah kampung halaman mereka. Mereka percaya, di tanah itulah terletaknya Bukit Zion, dan situlah tertanamnya Temple of Solomon, iaitu kuil suci mereka.

     Selain Islam dan Yahudi, penganut Krisitan juga, menganggap tanah Palestin sebagai tanah suci kerana Temple of Nazareth terletak di tanah itu. Mereka juga yakin di situ Nabi Isa dilahirkan. Di tanah itu juga Nabi Isa dilahirkan. Di tanah itu juga Nabi Isa menyampaikan ajarannya, dan di tanah itu jugalah Nabi Isa disalib. Kerana itu Palestin menjadi rebutan antara umat Islam, Kristian, dan Yahudi.

     Sejarah Bani Israel bermula apabila Nabi Musa a.s. telah menyelamatkan kaumnya (Bani Israel) daripada kekejaman firaun lalu mendiami tanah Palestin. Tampuk pemerintahan Palestin disambung pula oleh Nabi Daud dan diteruskan oleh Nabi Sulaiman. Palestin dimiliki oleh Bani Israel, sehingga lebih kurang 60 tahun sebelum kelahiran Nabi Isa.

     Kemudian kerajaan Rom yang menganut agama Nasrani (Kristian) menakluk Palestin dan mengusir orang-orang Bani Israel. Sejak itu orang Yahudi tersebar di seluruh dunia. Sejak itu Palestin dikuasai kerajaan Rom sehingga ditakluk oleh tentera Islam pada zaman Khalifah Umar al-Khattab.

     Sejak tahun 1000 Masihi, tentera Kristian berusaha menakluk semula Palestin. Pada tahun 1063, Pope Alexander II memberikan 'fatwa' mengerahkan penganut Kristian berjuang mendapatkan kembali Palestin, dan barang siapa yang berjuang diberikan status kemuliaan dan pengampunan tertinggi. Itulah yang dikenali sebagai Perang Salib (Crusades). Pada tahun 1099, tentera Salib berjaya menawan Palestin, dan menguasai tanah suci itu selama hampir 200 tahun.

     Akhirnya lahir pahlawan Islam yang terbilang, Salahuddin Al-Ayyubi. Beliau berjaya menyatukan masyarakat Arab yang ketika itu berpecah belah akibat perbezaan mazhab dan aliran, seterusnya membawa tentera Islam menyerang Jerusalem.

     Akhirnya, pada sekitar tahun 1187, ibu negara Palestin berjaya ditawan, dan kubu tentera Salib di tanah suci tersebut berjaya dimusnahkan. Sejak itulah tanah suci Palestin kekal di bawah pemerintahan Islam dengan aman damai. Kemudian Palestin berada di bawah pemerintahan kerajaan Uthmaniah yang berpusat di Turki sehingga keruntuhannya pada tahun 1924. Kemudian British menyerahkan Palestin kepada kaum Yahudi di bawah deklarasi Balfour. Rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman Israel mula bangun menentang sejak tahun 1930.

     Pada 12 Disember 1947, Hasan Al-Banna mengetuai perarakan secara besar-besaran bagi membela Palestin. Beliau menaiki sebuah kereta sambil memegang pembesar suara mengucapkan kata-kata penuh semangat. Kejayaan Ikhwan Muslimin mengajak orang ramai menyertai perarakan itu amat membimbangkan kerajaan Mesir dan British.

     Kemudian pada 1 Januari 1948, tersebar berita bahawa Israel membunuh 40 orang rakyat Palestin, sebahagian besar wanita, dan kanak-kanak di Kampung As-Sheikh. Pada 13 dan 14 April 1948, pengganas Yahudi yang menyamar sebagai pasukan tentera Arab telah memasuki sebuah desa di Naser Al-Din dan membunuh hampir kesemua penduduknya. Siri pembunuhan juga berlaku di beberapa tempat di mana wanita dan kanak-kanak menjadi mangsa keganasan Israel.

     Pada 6 Mesir 1948, Ikhwan Muslimin mengadakan mesyuarat bagi membincangkan masalah Palestin dan mereka mendesak Mesir dan negara-negara Arab lain supaya mengisytiharkan jihad terhadap Israel, serta menggunakan apa sahaja cara yang mungkin bagi menyelamatkan Palestin daripada kehancuran.

     Pada 14 Mei 1948, David Ben-Gurion mengisytiharkan wujudnya negara Israel yang merdeka, lalu diiktiraf oleh Soviet Union dan Amerika Syarikat. Ini membawa kepada meletusnya Perang Arab-Israel 1948.

     Hasan Al-Banna bertindak berani dengan menghantar 10,000 sukarelawan Ikhwan Muslimin ke Palestin dan mereka bergabung dengan tentera Mesir, Syria, Iraq, dan Lubnan bagi menentang tentera Israel, Hasan Al-Banna menggerakan umat Islam berjihad menentang Yahudi di Palestin ketika umat Islam terlena dibuat mimpi.

     Mujahidin yang dihantar Ikhwan Muslimin berjuang di barisan hadapan dengan semangat jihad yang kental. Mereka berjuang dengan gagah berani sehingga setiap kali pertempuran, mereka beroleh kemenangan. Mereka terus mara sehingga menghampiri pinggir Tel Aviv.

     British, Amerika Syarikat, dan sekutunya yang mrnyokong Israel berasa bimbang sekiranya negara Yahudi itu dikalahkan tentera Arab. Mereka mendesak kedutaan masing-masing yang berada di Mesir mendesak Perdana Menteri Nuqrasyi Pasya, memanggil pulang tenteranya dan bertindak ke atas Ikhwan Muslimin yang kononnya sedang merancang hendak merampas kuasa.

     Akhirnya perdana menteri Mesir terpedaya lalu memanggil pulang tentera Mesir dan mujahidin Ikhwan Muslimin yang berjuang di Palestin. Kepulangan mereka bukan disambut sebagai pahlawan tetapi mereka ditangkap dan dipenjarakan, malah ramai yang dibunuh.

     Pada 8 November 1948, perdana menteri Mesir Nuraqsyi Pasya mengisytiharkan pembubaran Ikhwan Muslimin dan mengarahkan kesemua cawangannya di seluruh Mesir yang berjumlah tiga ribu ditutup. Tindakan Nuraqsyi Pasya menimbulkan kemarahan orang ramai, terutama anggota Ikhwan Muslimin.

     Pada 28 November 1948, seorang anak muda yang baru empat tahun menyertai Ikhwan Muslimin bertindak nekad membunuh Perdana Menteri Nuraqsyi. Hasan al-Banna secara terbuka menentang tindakan itu dan menjelaskan yang individu itu perlu bertanggungjawab terhadap tindakannya.

     Ibrahim Abdul Hadi Basya, perdana menteri baru yang menggantikan Nuraqsyi Pasya bertindak ganas terhadap Ikhwan Muslimin. Pada 30 Disember 1948, seramai 4,000 ahli Ikhwan Muslimin ditangkap dan dipenjarakan. Ibu pejabat Ikhwan Muslimin diserbu dan dimusnahkan. Semua harta Ikhwan Muslimin sama ada di dalam bank ataupun pelaburan dibekukan oleh kerajaan Mesir.

     Ramai berpendapat kerajaan Mesir tidak senang hati dengan kejayaan Ikhwan Muslimin dalam aspek ekonomi, dan aktiviti kemasyarakatan kerana mereka berjaya membina sekolah, hospital, kilang, dan syarikat perniagaan sendiri. Kerajaan British pula menganggap Hasan Al-Banna dan Ikhwan Muslimin perlu dihapuskan kerana menghantar 10,000 orang sukarelawan menentang Israel.

     Sebelum Ikhwan Muslimin diharamkan, Hasan Al-Banna mempunyai sebuah pengajian khusus yang diadakan pada setiap hari Selasa. Pengajian itu didatangi oleh berpuluh ribu orang termasuk mereka yang datang dari Iskandariyah, Ismailiyah, dan sebagainya.

     Pada hari Selasa terakhir sebelum Ikhwan Muslimin diharamkan dan semua aktivitinya dihalang, Hasan Al-Banna naik ke mimbar dengan memakai jubah dan serban putih. Orang ramai yang pada mulanya riuh rendah tiba-tiba menjadi senyap. Mereka menumpukan perhatian kepada Hasan Al-Banna.

     "Kita panjatkan pujian dan kesyukuran ke hadrat Allah. Kita ucapkan selawat dan salam kepada junjungan kita, Nabi Muhammad SAW, semua keluarga, dan sahabatnya, serta sesiapa sahaja yang menyerukan dakwahnya hingga hari kiamat. Wahai Ikhwan Muslimin yang terhormat, saya sampaikan salam penghormatan Islam, salam penghormatan daripada Allah yang baik dan diberkati, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh," kata Hasan Al-Banna memulakan percakapannya.

     Seperti biasa Hasan Al-Banna akan berucap dengan penuh semangat hingga memukau pendengarnya. Ucapannya menyatakan kebenaran, membangkitkan semangat, dan menggelorakan jiwa. Setiap yang mendengarnya akan terus mengikuti ceramah-ceramahnya pada setiap hari Selasa.

     "Saya adalah seorang pengembara yang sedang mencari kebenaran, seorang manusia yang mencari makna kemanusiaan di tengah umat manusia, seorang warganegara yang mengidamkan sebuah negara yang memiliki martabat, kebebasan dan keutuhan, serta kehidupan yang baik di bawah naungan Islam yang suci. Seorang yang semata-mata berharap menemukan rahsia kewujudannya di dunia. Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku, dan matiku, hanya untuk Allah, Tuhan semesta alam. Tiada sekutu bagi-Nya, dan demikian itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang pertama yang menyerahkan diri," kata Hasan Al-Banna apabila ditanya matlamat perjuangannya.




N / F : DARIPADA "HASAN AL-BANNA", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

AKU BERDOSA, TETAPI AKU BERJAYA






AKU BERDOSA, TETAPI AKU BERJAYA








Kita tahu bahawa ilmu itu cahaya, dan ilmu tidak memasuki hati yang gelap. Luar biasanya kawan-kawan kita yang berjudi dan minum arak, mereka berjaya pula, sedangkan kita terkial-kial walaupun sudah berusaha.

     Kita tahu bahawa siapa yang berbuat baik dan taat kepada Allah dipermudahkan kehidupannya. Kita melihat kawan-kawan kita tidak solat, namun perniagaannya maju. Sedangkan kita hidup dengan penuh cabaran dan dugaan.

     Kita juga tahu bahawa Islam agama yang benar, tetapi kita sering melihat golongan bukan Islam itu lebih berjaya, dan umat Islam tertindas dalam kehidupan sempit.

     Ada orang bertanya kepada saya, "Mengapa begitu?"

     Sekarang ini, mana benar? Adakah apa yang kita faham selama ini tidak benar? Tanyakan pada diri.

     Adakah kita tahu apa itu istidraj?


Makna Istidraj

Istidraj merujuk kepada seseorang yang dilimpahkan rezeki dan kejayaan yang melimpah ruah dalam hidupnya secara berterusan. Walaupun dia bukan hamba Allah yang taat. Mengapa mereka ini dinamakan manusia yang mendapat istidraj?

     Istidraj adalah apabila Allah memberikan kejayaan, harta kekayaan, dan rezeki yang melimpah-ruah kepada manusia, dan manusia itu menjadi lebih jauh daripada-Nya.

     Biasanya, manusia yang mendapat istidraj adalah mereka yang tidak berusaha mengenali Islam dan mengenali Allah dalam kehidupannya.


Qarun

Ramai orang mendapat istidraj. Kita lihat contoh yang mudah, iaitu Qarun. Adakah kita kenal siapakah Qarun? Dia seorang manusia yang kaya. Diceritakan bahawa kotak yang mengisi kunci kepada gedung-gedung perbendaharaannya tidak mampu diangkat oleh orang-orang yang kuat. Ini menunjukkan betapa kayanya Qarun. Dia hidup pada zaman Nabi Musa a.s.

     Kisah Qarun terdapat dalam Al-Quran. Hartanya melimpah-ruah. Semua perniagaannya berjaya. Segala pelaburannya mengembang. Hartanya semakin hari semakin bertambah, sedangkan yang bertambah semalam tidak luak digunakan.

     Apabila Nabi Musa cuba mengingatkan bahawa semua kekayaannya itu datang daripada Allah SWT Qarun menjawab dengan sombong. Ini dijelaskan dalam surah Al-Qasas, ayat 78 yang bermaksud:

          "Aku mendapat harta kekayaan ini disebabkan pengetahuan 
          dan kepandaian yang ada pada aku."

Lihat apa yang diperkatakan oleh Qarun. Dia nyata semakin jauh daripada Allah, walaupun kekayaannya menjadi, rezekinya melimpah-ruah, dan sebagainya. Saban waktu dia mengecilkan hati para pengikut Nabi Musa yang terdiri daripada orang-orang miskin dan hamba.

     Apakah pengakhiran hidup Qarun? Akhirnya, dia ditenggelamkan oleh Allah ke dalam bumi dengan seluruh hartanya. Kisah ini terdapat dalam Al-Quran, surah Al-Qasas, ayat 81 yang bermaksud:

          "Kami timbus dia bersama-sama dengan rumahnya di dalam 
          tanah. Tidak ada sesiapa pun dapat menolongnya daripada azab
          Allah dan dia pula tidak dapat menolong dirinya sendiri."

Lihat, adakah ini yang kita mahu?


Mari Berfikir Sejenak

Mari kita semua berfikir. Apabila kita melazimkan dosa-dosa, melakukan maksiat, dan kemudian kita berjaya dalam peperiksaan ataupun perniagaan. Apakah yang akan timbul dalam jiwa kita?

     Saya yakin, 99 peratus pasti terdetik seperti ini, "Aku tidak solat pun berjaya. Siapa kata solat itu membawa kejayaan?"

     Apakah yang terjadi kepada kita ketika itu? Kita berjaya, tetapi semakin jauh daripada Allah SWT. Itulah istidraj.

     Jangan berasa gundah, apabila kita menjaga hubungan dengan Allah, tetapi kita masih tidak berjaya dalam pelajaran mengikut neraca manusia lain. Contohnya, seperti seorang kawan saya. Dia mendapat 2A, sedangkan pada pandangan manusia biasa, cemerlang itu dikira dengan bilangan A yang banyak. Tetapi, apa kata kawan saya?

     "Saya mendapat hidup tenang, bahagia, dapat beribadah kepada Allah, dan saya masih hidup dalam ketaatan kepada-Nya. Saya sudah berpuas hati dan bersyukur. Mungkin saya tidak ada rezeki dalam peperiksaan ini, tetapi mungkin ada rezeki yang lain."

     Dia tidak jauh daripada Allah, malah bersangka baik kepada-Nya. Menerima dengan redha, ditambah pula dengan azam yang kental dan berusaha di lapangan lain pula. Pada saya, itu adalah kecemerlangan yang sebenarnya.

     Saya masih ingat kata-kata guru Al-Quran saya, iaitu Ustaz Abdul Hadi bin Othman. Apabila pertama kali menjejakkan kaki ke sekolah menengah, beliau berkata, "Kami mahu jadikan kamu manusia yang soleh, cemerlang akhlak, terjaga sahsiah, dan pemikiran yang bersih. Bukan untuk dapatkan banyak A. Sekiranya kamu mendapat banyak A dalam peperiksaan, itu adalah bonus.


Jangan Gusar

Jangan gusar apabila kita tidak berjaya. Cuba lagi. Pertama sekali, kita perlu perhatikan hubungan keimanan kita dengan Allah. Sekiranya kita berjaya membina hubungan keimanan yang baik, insya Allah kita mampu menepis segala cabaran dan dugaan.

     Sebenarnya Allah suka menguji para hamba-Nya yang beriman. Semasa kecil, saya suka membaca satu kisah, berkenaan dua orang nelayan. Seorang penyembah berhala dan seorang lagi hamba yang taat kepada Allah. Ketika menebar jala, sahabat yang menyembah berhala menyebut nama berhalanya. Manakala, seorang lagi membaca bismillah. Apabila diangkat jala itu, sahabat yang menyembah berhala mendapat banyak ikan, tetapi seorang lagi hampir sahaja tidak ada ikan untuknya pada hari itu.

     Malaikat yang melihat keadaan itu bertanya kepada Allah. "Ya Allah, apakah yang sedang berlaku? Hamba-Mu yang menyekutukan-Mu, Engkau berikan dia rezeki yang banyak. Sedangkan hamba-Mu yang menyebut nama-Mu, Engkau tidak memberikan dia apa-apa?"

     Allah menjawab, "Yang menyekutukan Aku, tempatnya pasti neraka. Apalah sangat rezeki yang pasti akan hancur itu sekiranya aku berikan kepadanya? Tetapi, aku mahu menguji kebenaran iman hamba-Ku yang beriman itu. Aku mahu berikannya syurga."

     Sekiranya kita tidak berjaya dalam peperiksaan, walaupun sudah belajar dengan bersungguh-sungguh ataupun gagal dalam perniagaan, walaupun strategi sudah disusun dengan cukup kemas, percayalah. Percayalah, itu adalah sebahagian daripada ujian Allah. Allah hanya menguji kepada mereka yang dikasihi-Nya. Jangan kita berasa sedih dan kecewa apabila diuji. Bukankah Allah menjelaskan dalam surah Al-Ankabut, ayat 2 yang bermaksud:

          "Adakah manusia beranggapan Kami akan membiarkan
         mereka berkata, 'Kami sudah beriman, sedangkan mereka itu 
         belum diuji?"


Gagal dalam Sesuatu Perkara, Bukan Gagal dalam Kehidupan

Sekiranya kita gagal dalam sesuatu perkara, yang gagal hanya perkara itu. Kita masih belum gagal dalam kehidupan. Teruskan berusaha, selagi nyawa masih ada. Insya Allah, Allah pasti memberikan sesuatu yang bermakna pada kita. Bersangka baiklah pada pencipta kita.

     Sebenarnya, apabila kita digegarkan dengan pelbagai masalah, kita perlu berasa bersyukur. Itu tandanya, Allah masih dekat bersama kita. Ujian adalah tanda kasih sayang dan perhatian-Nya kepada kita. Ini tanda Dia tidak membenarkan kita sendirian.

     Mustahil kita mahukan kesenangan yang bersifat sementara di dunia ini, manakala di akhirat yang kekal abadi kita merana. Adakah kita mahukan istidraj?

     Saya yakin tidak.


Wajib Tidak Berasa Tenang

Kita wajib untuk tidak berasa tenang sekiranya kita membuat dosa, kemudian kita berjaya. Oleh itu, muhasabah diri adalah penting. Ia supaya kita sentiasa memeriksa dan meneliti bagaimanakah hubungan kita dengan Allah SWT.

     "Saya berdosa, tetapi saya berjaya." Berhati-hati dengan lafaz seperti itu, ataupun lafaz-lafaz lain yang membawa maksud serupa, supaya tidak terkeluar daripada mulut kita.

     Marilah bersama-sama berfikir dan bermuhasabah.

     Mencuci dosa-dosa kita.

     Memperbetulkan segala kesilapan kita.




N / F : DARIPADA "UNTUK KITA PENDOSA, HARAPAN SELALU ADA", OLEH HILAL ASYRAF.

Monday, 2 January 2017

HASAN AL-BANNA [ BAB 26 - DIA SEORANG PEMIMPIN ]






DIA SEORANG PEMIMPIN








Kerana berasa rindu kepada Hasan Al-Banna, ayah, ibu dan adik-beradiknya datang ke Ismailiyah. Kebetulan masa itu Hasan Al-Banna sudah menyewa sebuah rumah kedai yang terletak di tengah bandar. Hasan Al-Banna berasa amat gembira dengan kedatangan keluarganya.

     "Sudah sampai masanya kamu mempunyai seorang isteri bagi menjadi teman hidupmu di dunia dan akhirat," kata Fudhla. Dia berasa kasihan melihat anaknya yang tinggal keseorangan di bandar itu.

     Hasan Al-Banna menenangkan ibunya dengan berkata, "Di sini saya ada ramai kawan yang hubungan kami bagaikan saudara. Ibu tidak perlu risaukan saya."

     "Sekiranya kamu mempunyai isteri, hidup kamu akan menjadi lebih sempurna. Makanan kamu ada yang memasaknya. Kain baju kamu ada yang mencucinya. Jika sakit ada yang menjaga," kata Fudhla pula.

     "Saya yakin jodoh itu Tuhan yang menentukannya. Apabila sampai masanya, bertemulah jodoh," kata Hasan Al-Banna.

     "Ibu berdoa semoga kamu mendapat isteri yang solehah, yang dapat membahagiakan hidupmu di dunia dan akhirat," kata ibunya.

     Semasa berada di Ismailiyah, Fudhla sering menziarahi keluarga yang rapat dengan Hasan Al-Banna. Antaranya keluarga Haji Hussin As-Shauli yang begitu rapat dengan Hasan Al-Banna. Keluarga itu juga antara mereka yang menyokong penuh dakwah yang disampaikan Hasan Al-Banna. Kesemua anggota keluarga itu menjadi ahli Ikhwan Muslimin. Semasa berkunjung buat pertama kali ke rumah Haji Hussain As-Shauli, tiba-tiba Fudhla mendengar suara seorang gadis sedang membaca Al-Quran. Suaranya amat merdu.

     "Suara siapa itu?" tanya Fudhla.

     "Anak gadis kami yang bernama Latifah," jawab Fatimah, isteri Haji Hussain As-Shauli.

     Fudhla memuji sambil tersenyum, "Dia pandai mengaji dan suaranya merdu."

     Fatimah membalas senyuman Fudhla lalu berkata, "Sudah menjadi kebiasaannya membaca selepas sembahyang subuh dan selepas asar."

     Fudhla tidak mampu berselindung lagi lalu dia terus bertanya, "Sudahkah dia dilamar sesiapa?"

     "Anak kami itu lebih suka berada di rumah. Kerana itu ramai lelaki di luar sana tidak menyedari wujudnya gadis bernama Latifah di rumah ini," jawab Fatimah.

     "Boleh saya berjumpa dengannya?" tanya Fudhla lagi.

     Dengan senang hati Fatimah memberi keizinan, "Boleh sahaja tetapi jangan mengganggu dia yang sedang membaca Al-Quran."

     Fudhla masuk lalu menghampiri gadis yang sedang membaca Al-Quran itu. Kedatangan Fudhla tidak disedarinya dan Latifah terus membaca Al-Quran. Tidak lama kemudian, Fudhla pulang ke rumah lalu menceritakan perkara itu kepada Hasan Al-Banna. Sejak itu terdetik di hati Hasan Al-Banna untuk mengahwini gadis tersebut.

     "Keluarga itu dermawan dan rumahnya sering dikunjungi tetamu. Setiap tetamu yang datang, dihidangkan dengan makanan. Ibu sudah bertemu dengan gadis itu. Dia seorang yang kuat agama dan baik budi bahasanya," puji Fudhla lalu mencadangkan supaya Hasan Al-Banna melamar gadis itu.

     Hasan Al-Banna tidak membantah, tetapi mohon diberi masa tiga hari bagi memikirkannya. Ayah Latifah juga seorang yang patuh dengan ajaran agama. Pada suatu hari, dia mahu menguji Hasan Al-Banna.

     "Ada seorang pemuda mengajak anak gadis saya menonton wayang. Apa pendapat Tuan?" tanya Haji Hussain As-Shauli.

     "Berdua-duaan antara lelaki dengan perempuan yang bukan muhrim itu hukumnya haram, apatah lagi di dalam panggung wayang," jawab Hasan Al-Banna.

     "Saya tidak akan nikahkan anak gadis saya dengan pemuda itu," kata Haji Hussain As-Shauli.

     Hasan Al-Banna semakin tertarik dengan anak gadis Haji Hussain As-Shauli yang dipercayainya seorang anak yang solehah. Tambahan pula, ibunya sudah berkenan dengan gadis itu, Hasan Al-Banna menyatakan persetujuannya untuk melamar Latifah.

     Selepas diadakan perbincangan antara keluarga kedua-dua belah pihak, Hasan Al-Banna ditunangkan dengan Latifah pada 1 Ramadhan. Mereka bersetuju tempoh pertunangan itu tidak lama dan kedua-duanya dinikahkan pada 27 Ramadhan. Majlis akad nikah diadakan di dalam masjid Ikhwan Muslimin dengan dihadiri orang ramai yang mahu menyaksikan pernikahan itu. 

     Beberapa bulan selepas perkahwinan itu, Hasan Al-Banna ditukarkan ke Kaherah. Pertukaran itu atas permohonannya sendiri kerana sedar tugasnya di Ismailiyah, sudah selesai. Selama empat tahun di Ismailiyah beliau berjaya membawa perubahan kepada umat Islam melalui gerakan Ikhwan Muslimin. Gerakan dakwah berkembang pesat sehingga berpuluh cawangan telah dibuka, bukan sahaja di Ismailiyah, bahkan di luar. Perkara yang paling menggembirakan Hasan Al-Banna, hampir semua penduduk Ismailiyah menyertai Ikhwan Muslimin.

     Selain kejayaan dakwah Ikhwan Muslimin, Hasan Al-Banna merasakan kehidupannya sudah dilengkapi dengan kehadiran seorang wanita yang menjadi isteri dan teman hidupnya. Kerana itu beliau berpendapat sudah tiba masanya meninggalkan Ismailiyah. Tambahan pula sudah ada pemimpin yang akan meneruskan gerakan dakwah semasa ketiadaannya.

     Hasrat untuk meninggalkan Ismailiyah disampaikan kepada mereka yang rapat dengannya. Kemudian berita itu merebak ke pengetahuan semua ahli Ikhwan Muslimin. Mereka berasa sedih tetapi terpaksa menerima hakikat bahawa sudah sampai masanya Hasan Al-Banna berpisah dengan mereka.

     Keluarga Haji Hussain As-Shauli juga merestui kemahuan Latidah mengikut suaminya ke Kaherah. Latifah mahu berada di samping suaminya serta memberi sokongan terhadap perjuangannya.

     Keputusan untuk berpindah ke Kaherah itu juga dimaklumkan Hasan Al-Banna kepada ayah dan ibunya. Mereka mengucapkan rasa syukur kerana anak kesayangan mereka kembali ke pangkuan keluarga. Hasan Al-Banna juga memaklumkan kepada kawan-kawannya di Kaherah, bahawa beliau mahu menjadikan Kaherah sebagai pusat gerakan Ikhwan Muslimin.

     Kepulangan Hasan Al-Banna ke Kaherah disambut gembira oleh keluarga dan sahabat-sahabatnya. Beliau juga bersyukur kerana mendapat seorang isteri yang kuat semangat, bagi menghadapi halangan dan rintangan dalam berdakwah. Bagi Latifah, sejak awal pernikahannya dia sudah menyedari bahawa suaminya seorang pejuang. Dia sedar dakwah yang dipimpin oleh suaminya banyak menuntut pengorbanan. Kerana itu dia perlu menempatkan dirinya di dalam rumah, menjaga rumah tangga, dan mendidik anak-anak. Jihad utamanya adalah mengurus rumah tangga dan membesarkan anak-anak.

     Latifah tidak pernah mengeluh walaupun suaminya sering berada di luar rumah. Pernah suatu hari anak mereka sakit, tetapi Hasan Al-Banna tetap juga pergi keluar untuk urusan dakwah. Peristiwa itu membuatkan Latifah semakin bergantung pada Allah, bukan kepada suaminya.

     Hasan Al-Banna pula seorang suami yang bertanggungjwab dan menyayangi isterinya dan anak-anaknya. Tidak pernah Hasan Al-Banna mengucapkan kata-kata yang boleh melukakan perasaan isterinya. Dia juga tidak pernah memukul atau merotan anak. Jika mereka nakal, dinasihatkan dengan kata-kata yang baik.

     Seringkali Hasan Al-Banna pulang lewat malam, tetapi Latifah tidak pernah marah walau sering dikejutkan daripada tidur. Kerana tidak mahu mengganggu tidur isterinya, Hasan Al-Banna membawa kunci rumah, dan apabila pulang, beliau membuka pintu dengan perlahan supaya isterinya tidak terkejut dari tidur. Seringkali juga Hasan Al-Banna memasak sendiri makanannya apabila berasa lapar.

     Sokongan padu daripada Latifah membuat Hasan Al-Banna semakin aktif dalam gerakan Ikhwan Muslimin. Tambahan pula, Kaherah bukan tempat asing bagi dirinya. Di Kaherah juga, Hasan Al-Banna menghubungi kawan-kawan lamanya. Mereka semua menjadi ahli Ikhwan Muslimin.

     "Kita berjaya menyedarkan masyarakat mengenai pentingnya agama dalam kehidupan mereka. Tetapi kita belum berjaya dalam bidang politik. Sudah sampai masanya kita bergiat dalam bidang politik," kata Hasan Al-Banna kepada kawan-kawan rapatnya. Mereka bersetuju dan memberi sokongan.

     Keinginan yang datang dari dalam dirinya sendiri, ditambah pula dengan sokongan padu para sahabatnya membuatkan Hasan Al-Banna melibatkan diri dalam politik pada tahun 1935. Semasa memberi ceramah ataupun syarahannya, beliau menyentuh dasar pemerintahan negara. Beliau juga menulis surat yang menyeru pihak pemerintahan agar melaksanakan perubahan menyeluruh dalam bidang pendidikan, ekonomi, masyarat, dan politik agar bertepatan dengan dasar-dasar Islam.

     Hasan Al-Banna pernah berkata, "Ikhwan Muslimin adalah sebuah gerakan keagamaan, kerana ia mempertahankan Al-Quran dan As-Sunnah. Ia bertujuan membentuk masyarakat menurut dasar-dasar Islam dan setiap ahlinya berusaha dengan gigihnya untuk mengikuti sunah Rasulullah SAW. Ikhwan Muslimin juga adalah satu rangkaian tasawuf kerana ia tahu bahawa setiap perkara yang baik itu berdasarkan takwa dan kecintaan kepada Allah. Ikhwan Muslimin juga adalah sebuah pertubuhan politik, kerana ia ingin pembaharuan politik yang berlaku di dalam dan di luar negeri. Ia juga merupakan satu kumpulan latihan jasmani di mana para anggotanya menjalani latihan jasmani secara berpasukan bagi memeliharan kesihatan. Mereka juga mengadakan pertandingan dengan pasukan-pasukan lain. Ikhwan Muslimin juga adalah sebuah pertubuhan yang terlibat dalam pendidikan dan kebudayaan yang sihat. Ikhwan Muslimin merupakan Bank Kerjasama Kewangan kerana Islam juga mampu menyelesaikan masalah kewangan. Al-Ikhwan Muslimin berusaha membuka bank-bank Islam dan mengukuhkan ekonomi negara. Ikhwan Muslimin juga merupakan satu pertubuhan kemasyarakatan, kerana para anggotanya menjalankan usaha mengesan kemungkaran-kemungkaran dalam masyarakat, dan mengemukakan cara-cara bagi menyelesaikan masalah tersebut."

     Usaha gigih yang dilakukan Hasan Al-Banna dari tahun 1939 hingga tahun 1945 menjadikan Ikhwanul Muslimin muncul sebagai pertubuhan yang memainkan peranan penting dalam arena politik negara Mesir. Kegiatannya mendapat sambutan yang begitu luar biasa. Orang ramai yang terdiri daripada penuntut universiti, buruh, saudagar, guru, doktor, dan peguam ramai menyertai gerakan Ikhwan Muslimin. Mereka dapat bergerak dengan begitu berkesan. Ikhwan Muslimin terlibat dalam usaha meningkatkan ekonomi negara. Mereka juga terlibat dalam kegiatan sosial. Semua cawangan Ikhwan Muslimin di Mesir mempunyai jentera pentadbiran yang tersusun rapi dan berjalan lancar.

     Hasan Al-Banna sering memanggil isterinya Latifah dengan panggilan 'Wahai Ummu Wafa' dan Latifah memanggil suaminya 'Wahai Ustaz Hasan'. Sebagai ketua Ikhwanul Muslimin, rumah mereka sering dikunjungi orang ramai, sedangkan rumah mereka kecil sahaja. Pernah Latifah mencadangkan kepada suaminya supaya mencari rumah yang lebih selesa.

     "Wahai Ummu Wafa, istana kita menanti di syurga. Yakinlah bahawa Allah tidak akan mensia-siakan usaha kita di dunia ini," kata Hasan Al-Banna. Latifah akur dengan kata-kata suaminya itu.

     Hasan Al-Banna mengambil berat hal rumah tangga dan anak-anaknya. Setiap anaknya disediakan sebuah fail yang mengandungi perkembangan anak-anaknya, seperti tarikh kelahiran, perkembangan anak semasa kecil, sakit dan pemberian ubat, makanan, kesihatan, serta kemajuan ataupun kemunduran pelajaran mereka di sekolah. Hasan Al-Banna juga mengumpul surat atau resit doktor yang memeriksa anak-anaknya. Jika mereka terkena penyakit yang sama, biasanya Hasan Al-Banna menunjukkan kepada doktor resit yang mengandungi senarai ubat dan tarikhnya.

     Hasan Al-Banna juga amat mencintai keluarga dan anak-anaknya. Semasa kecil, anaknya sering terlupa membawa makanan ke sekolah. Hasan Al-Banna sanggup membawakan makanan itu kepada anaknya di sekolah.

     Apabila ada masa lapang, Hasan Al-Banna membawa anak-anaknya ke tempat permainan. Pernah suatu hari Ahmad Saiful Islam terlupa memakai kasut ketika hendak pergi bermain. Hasan Al-Banna menghukumnya dengan pukulan yang paling ringan dan tidak menyakitkan. Pukulan itu lebih sebagai peringatan.

     Hasan Al-Banna juga terkenal dengan sikap pemurahnya. Pada suatu hari, beliau pergi ke kedai jahit membawa jubahnya bagi dijahit. Tukang jahit meminta upah sebanyak tiga paun. Hasan Al-Banna memberinya lima paun tanpa mengambil baki duitnya.

     Hasan Al-Banna juga bersikap pemurah dengan semua anak-anaknya. Setiap hari wang belanja sekolah diberikan, setiap seorang sebanyak tiga qirsy. Jumlah itu biasanya melebihi belanja sekolah pelajar yang lain.

     Hasan Al-Banna juga melatih anaknya menjadi pemurah dengan memberi mereka duit untuk disedekahkan pada setiap hari selepas sembahyang Jumaat. Ada kalanya Hasan Al-Banna menyuruh kawan-kawannya memastikan anak-anaknya menginfakkan duit pemberiannya itu. Hasan Al-Banna berasa syukur kerana semua anak-anaknya bersikap jujur.

     Pada suatu hari, Tsana melihat kawan-kawannya menyimpan kuku panjang dan mewarnakannya dengan cat merah. Sebagai anak gadis yang sedang meningkat remaja, Tsana juga mahu mengikut kawan-kawannya itu. Dia pun memanjangkan kukunya dan mewarnakannya.

     "Mengapa dengan jarimu, wahai Tsana?" tanya Hasan Al-Banna semasa mereka sedang makan.

     "Saya lihat ramai kawan menyimpan kuku panjang dan mewarnakannya. Saya pun tertarik sama," jawab Tsana dengan jujur.

     "Apakah kamu tahu orang alim mengatakan, jangan engkau makan bersama orang yang memanjangkan kukunya. Kerana orang yang panjang kukunya itu menyimpan kotoran pada kukunya. Sekarang juga kamu potong kuku itu dan bersihkan. Ayah tunggu sehingga kamu datang supaya kita dapat makan bersama," kata Hasan Al-Banna dengan nada suara yang lembut. Sejak itu Tsana tidak lagi mewarnakan kukunya.




N / F : DARIPADA "HASAN AL-BANNA", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

ALASAN KITA KEPADA ALLAH S.W.T.






ALASAN KITA KEPADA ALLAH S.W.T.








Alasan. Kita gemar memberikan alasan. Atas kelalaian kita, atas kecuaian kita, atas kesilapan kita, atas segala perkara yang menghasilkan ketidaksenangan, kita pasti memberikan alasan.

     Mengapa gagal dalam peperiksaan? Ini kerana, soalan peperiksaan yang susah. Saya sudah belajar bersungguh-sungguh.

     Mengapa lewat menunaikan solat? Air sejuk dan badan saya tidak tahan sejuk.

     Mengapa berpasangan? Mahu merapatkan silaturahim. Saling mengenali, tidak kenal maka tidak cinta.

     Mengapa lewat menghantar kerja? Semalam ada urusan penting.

     Banyak alasan kita. Dalam banyak perkara, semua ada alasannya yang tersendiri. Individu yang menerima alasan daripada kita, mungkin hanya mampu menarik nafas dan sekadar berpuas hati dengan alasan yang diberikan. Ini kerana, dia tidak tahu sama ada alasan itu betul ataupun tidak.

     Tetapi, bagaimana dengan Allah?

     Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui.


Setiap Alasan yang Kita Suarakan, Berikannya Dahulu kepada Allah


Mengapa melakukan zina? Kerana dia menggoda saya dahulu. Sekiranya tidak, saya tidak melakukan dosa.

     Tujukan alasan itu kepada Allah. Kemudian, fikirkan apakah Allah menerimanya?

     Mengapa meniru dalam peperiksaan? Saya tidak sempat belajar kerana banyak tajuk yang perlu diulang kaji.

     Tujukan alasan itu kepada Allah. Kemudian kamu fikirkan, apakah Allah menerimanya?

     Mengapa qadak solat subuh pagi tadi? Saya terlajak tidur.

     Tujukan alasan itu kepada Allah. Kemudian, fikirkan apakah Allah menerimanya?

     Apakah pandangan saudara? Sekiranya semua alasan yang kita berikan itu, kita bentangkan di hadapan Allah, apakah Allah menerimanya?

     Secara zahir, alasan seperti itu mungkin menunjukkan kita tidak bersalah. Bagaimana yang tersembunyi di sebalik alasan itu?

     Benarkah terlajak tidur ataupun sudah bangun, kemudian tidur semula?

     Benarkah tidak sempat belajar disebabkan kerja yang banyak ataupun selama ini, kita melewatkan kerja yang banyak sehingga tidak sempat belajar?

     Benarkah kita berzina sebabkan digoda ataupun selama ini kita tidak berusaha menahan godaan?

     Allah Maha Mengetahui, Maha Halus pemerhatian-Nya.

     Pengetahuan dan pemerhatian Allah tidak terlepas walaupun dalam sekecil-kecil perkara dan yang tersembunyi jauh dalam lubuk hati.


Melatih Diri dengan Hidup Tanpa Alasan, Sekiranya Mahu Berjaya

Kita mampu berdisiplin dan berusaha bermati-matian bagi mencapai apa yang kita mahu, apabila kita meninggalkan alasan dan bergerak mengambil usaha, sebagai tangga kejayaan.

     Alasan, hanya melemahkan semangat, jiwa, dan hati. Sekali alasan kita diterima, kita pasti tergerak bagi memberikan alasan lagi pada kemudian hari.

     "Mengapa tidak pergi usrah?"

     "Saya ada sedikit kerja. Minta maaf, ya."

     Sedangkan kita sengaja matikan loceng, senyapkan telefon bimbit, dan tidur seolah-olah tidak mempunyai temu janji usrah. Seterusnya kita berasa mahu memberikan alasan lain dan tidak hadir usrah lagi. Alasan itu menghalang kebaikan.

     Alasan juga mencambahkan kejahatan.

     "Tidak mengapa, sedikit sahaja lagi. Mahu chatting sekejap sahaja." Ya, chatting sekejap. Bertanyakan khabar, hanya menghantar smiling sebagai tanda mesra. Disokong pula alasan menjaga silaturahim.

     Akhirnya, meleret entah ke mana. Alasan menghalang kebenaran dosa, lantas menarik diri terus melakukan kemungkaran. Seterusnya menambah sedikit demi sedikit alasan dan akhirnya semakin bertambah. Sehinggakan berlaku seperti berikut, "Ala, tidak mengapa sekiranya dating, bersiar-siar, makan, dan belajar bersama-sama, tetapi tidak berpegangan tangan. Apa salahnya sekiranya tidak bersentuhan, bukan?"

     Ya. Walaupun sampai ke tahap itu, hati kita tidak berasa dosa, kerana pelbagai alasan melindunginya.

     Pesanan saya, berikan alasan itu kepada Allah SWT. Cuba berikan.

     Bagaimana efeknya?


Syurga Bukan untuk Orang Mengelat

Kaab bin Malik tidak turut serta dalam Perang Tabuk. Dia berjumpa Rasulullah SAW dan tidak mengemukakan alasan. Lihatlah apa yang beliau katakan kepada Rasulullah SAW. "Ya Rasulullah, sekiranya aku mahu, aku mahu mencipta pelbagai alasan. Tetapi, aku tahu, walaupun aku terlepas di hadapan kamu pada hari ini, aku tidak terlepas di hadapan Allah kelak."

     Lihatlah pendirian Kaab bin Malik. Beliau mempersembahkan alasannya terlebih dahulu kepada Allah, dan beliau mengetahui bahawa alasannya tidak diterima. Beliau bertindak jujur dan mengaku tidak ikut serta ke medan perang tanpa sebab yang munasabah. Lantas, Allah mengarahkan Rasulullah SAW memulau Kaab bin Malik sebagai denda. Selepas beliau mengharungi dendaan itu dengan tabah, Allah menurunkan ayat Al-Quran sebagai tanda mengampunkannya. Akhirnya, Kaab bin Malik tergolong dalam kalangan yang mulia antara sahabat Rasulullah SAW.

     Lihat pula para munafik yang tidak ikut serta dalam perang Tabuk. Mereka memberikan pelbagai alasan, cuaca panas, ladang sedang masak ranum dan tiada penjaga, anak isteri tidak ada perlindungan, dan sebagainya. Rasulullah SAW diam sahaja tanpa menghukum mereka.

     Adakah mereka berjaya mendapat syurga Allah?

     Tidak. Bahkan Allah menegaskan dalam surah At-Taubah, ayat 52 yang bermaksud:

          "Mereka bersumpah dengan nama Allah dan berkata, 'Sekiranya kami 
          sanggup, pasti kami pergi bersama kamu.' Mereka membinasakan diri
          mereka sendiri dengan sampah dusta itu, sedangkan Allah mengetahui
          bahawa mereka itu adalah golongan pendusta."

     Kemudian, Allah mencampakkan mereka ke tahap yang hina. Lebih hina daripada orang kafir di dalam neraka.

          "Sesungguhnya, golongan munafik itu ditempatkan di tingkat yang
          terendah antara lapisan-lapisan dalam neraka. Sesiapa pun, tidak
          dapat menolong mereka."

     Maksud dalam surah An-Nisa' ayat 145.




N / F : DARIPADA "UNTUK KITA PENDOSA, HARAPAN SELALU ADA", OLEH HILAL ASYRAF.