Thursday 6 April 2017

PERANG UHUD [ BAB 1 - BANI SULAIM ]






BANI SULAIM








Bulan Syawal tahun ke-2 Hijrah

Perkampungan Bani Sulaim terletak berhampiran dengan Sungai Qarqaratul Kudr dalam daerah Nadj. Rumah mereka begitu indah dikelilingi pohon buah-buahan kerana mereka terkenal dengan kemahiran pertukangan tangan dan rajin bercucuk tanam. Rumah kediaman mereka besar dan kukuh di samping ladang pertanian mereka pula cukup luas. Haiwan ternakan mereka pula banyak. Oleh sebab itu, orang Quraisy Mekah membuat perjanjian dengan Bani Sulaim untuk saling bekerjasama dan bantu-membantu.

     Pedagang Quraisy memasarkan hasil pertanian dan kerja tangan orang Bani Sulaim. Mereka berasa sangat marah apabila mendapat tahu sekutu mereka orang Quraisy telah dikalahkan orang Islam dalam perang Badar. Ubaid selaku ketua Bani Sulaim segera pergi ke Mekah dengan diiringi beberapa orang pengawalnya. Apabila sampai di Mekah beliau terus menemui Abu Sufian bin Harb yang baru dilantik menjadi ketua.

     "Berita yang sampai kepada kami sungguh mengejutkan. Kami mendapat perkhabaran bahawa saudara kami kaum Quraisy Mekah telah dikalahkan oleh Muhammad dan pengikutnya di Badar. Sekiranya kami bersama kamu, tentu mereka tidak dapat mengalahkan kamu," kata Ubaid sambil melahirkan rasa simpatinya.

     "Memang benar kami dikalahkan dalam perang Badar. Kekalahan itu sangat memalukan sehingga ada yang bersumpah tidak mahu menyikat rambutnya selagi Muhammad tidak dibunuh. Kami juga sanggup melakukan apa sahaja asalkan dendam kami berbalas," kata Abu Sufian pula lalu meluahkan rasa kesalnya.

     "Bukankah telah dibuat perjanjian antara Bani Sulaim dengan kaum Quraisy bahawa kita saling bekerjasama dan bantu-membantu menentang musuh. Mengapa kami tidak diajak bersama memerangi Muhammad?" tanya Ubaid pula.

     "Kami sebenarnya tidak menjangka akan berlaku peperangan di Badar. Apabila Abdul Hakam mendapat tahu kafilah dagang disekat oleh pasukan Muhammad, maka dia segera membentuk pasukan perang bagi menyelamatkan kami. Mereka tidak sempat meminta bantuan daripada orang Bani Sulaim kerana tujuan asalnya hanya untuk menyelamatkan kafilah dagang, bukan untuk berperang," jawab Abu Sufian.

     Menurut Abu Sufian, peperangan itu tidak akan terjadi sekiranya Abu Jahal pulang semula ke Mekah selepas diberitahu kafilah dagang selamat sampai di Mekah. Namun, kerana kedegilan ketua pasukan Quraisy itu maka berlakulah Perang Badar.

     "Pasukan Quraisy juga telah berpecah. Ada yang menarik diri daripada pasukan lalu pulang ke Mekah. Jika mereka bersatu, sudah tentu tidak dapat dikalahkan. Kami pula sedang merancang bagi menyerang Madinah secara besar-besaran. Pada kali ini kami akan bersatu dan tidak akan berpecah lagi," kata Abu Sufian yang kelihatan begitu bersungguh-sungguh.

     "Bilakah serangan itu akan dilakukan?" tanya Ubaid.

     "Kami memerlukan masa agak lama untuk mengumpul semula kekuatan serta menaikkan semangat mereka yang telah jatuh akibat kekalahan yang memalukan itu," jawab Abu Sufian.

     "Wahai Abu Sufian, kami Bani Sulaim mampu mengalahkan Muhammad dan para pengikutnya. Kami mempunyai 500 orang lelaki yang mahir menunggang kuda dan menggunakan senjata. Bagaimana jika kami menyerang Madinah dari arah utara dan kamu menyerang mereka dari arah selatan. Muhammad dan pengikutnya pasti tidak mampu menghadapi serangan dari dua penjuru," kata Ubaid mencadangkan. Abu Sufian tertarik dengan cadangan itu lantas menyatakan persetujuannya.

     "Kita mesti membuat persiapan yang secukupnya. Angkatan perang kita mesti menjalani latihan berperang supaya mereka mampu mengalahkan musuh kita dengan mudah," kata Ubaid yang kelihatan begitu bersemangat untuk berperang.

     Selain terkenal sebagai seorang yang mahir dengan pertukangan tangan dan pertanian, orang Bani Sulaim juga terkenal kerana mahir menunggang kuda dan menggunakan senjata. Oleh sebab itu, suku-suku kaum yang lain tidak berani bersengketa dengan mereka.

     Selepas mencapai kata sepakat dan setelah berteguh janji barulah Ubaid pulang ke perkampungan Bani Sulaim lalu mengumpulkan orangnya.

     Ubaid berkata kepada mereka, "Muhammad dan pengikutnya telah mengalahkan orang Quraisy dalam perang Badar. Mereka kalah bukan kerana orang Islam itu kuat tetapi orang Quraisy tidak bersatu dan tidak mempunyai pengalaman berperang. Mereka hanya mahir berniaga sahaja tetapi tidak mahir menunggang kuda dan menggunakan senjata. Oleh itu, kita mesti tunjukkan kepada orang Quraisy dan kabilah Arab yang lain bahawa kita lebih kuat dan lebih gagah daripada mereka," kata Ubaid dalam usaha untuk membakar semangat orangnya.

     "Apakah kita akan berperang dengan orang Islam?" tanya Khadri, seorang lelaki yang lebih tua daripada Ubaid.

     "Muhammad dan para pengikutnya sedang meraikan kemenangan mereka mengalahkan orang Quraisy dalam perang Badar. Aku yakin mereka sedang mabuk dengan kemenangan itu sehingga tidak menghiraukan apa yang berlaku di sekitarnya. Oleh itu, kita akan melakukan serangan mengejut supaya mereka dapat dikalahkan dengan mudah dalam masa yang singkat," jawab Ubaid sambil cuba meyakinkan orang tua itu bahawa rancangan mereka boleh berjaya dengan mudah.

     "Pada pendapat aku lebih baik jangan masuk campur dalam perbalahan antara orang Quraisy dengan orang Islam di Madinah. Biarkan mereka berperang," kata Khadri lalu menyatakan yang dia tidak bersetuju dengan apa yang dirancang ketua Bani Sulaim itu.

     "Wahai orang tua, jangan engkau cuba menjatuhkan semangat orang muda seperti kami ini. Kami pahlawan Bani Sulaim yang tidak pernah takut berperang," tempelak Ubaid.

     "Muhammad dan pengikutnya tidak pernah memusuhi kita. Apa perlunya kita memusuhi mereka?" tanya Khadri lagi.

     "Kita sudah mengikat perjanjian dengan orang Quraisy Mekah bahawa kita saling bantu-membantu baik ketika aman ataupun ketika berperang. Sesiapa yang menjadi musuh orang Quraisy maka mereka juga musuh kita. Sesiapa yang berkawan dengan orang Quraisy maka mereka adalah kawan kita," jawab Ubaid lalu menyatakan dia masih setia dengan perjanjian itu.

     "Seperti yang aku kata tadi, Muhammad dan pengikutnya tidak pernah memusuhi kita. Jika berlaku peperangan dengan mereka apa yang kita dapat selain daripada kematian dan kemusnahan harta benda?" tanya Khadri lagi.

     "Kamu orang tua, apakah kamu tidak tahu banyak keuntungan yang kita peroleh jika rancangan ini berjaya? Semua kabilah Arab akan hormat dan takut kepada kita. Apa yang lebih penting, kita dapat menguasai Madinah yang tanahnya lebih subur daripada tanah kita. Kita juga dapat menguasai hasil kekayaan mereka. Apakah engkau masih tidak mengerti?" jawapan Ubaid disambut dengan gembira oleh para pengikutnya.

     "Pergilah kamu berperang tetapi aku tidak akan menyertai kamu," tegas Khadri.

     "Kami juga tidak perlukan tenaga orang yang sudah tua. Kami hanya memerlukan orang muda untuk bersama kami," kata Ubaid pula.

     Sejak itu, Ubaid bersama pasukan tenteranya giat menjalani latihan berperang. Mereka berlatih bersungguh-sungguh bagi memastikan kejayaan mereka apabila berperang dengan Nabi Muhammad dan para pengikutnya. Beberapa hari kemudian, Abu Sufian datang ke perkampungan Bani Sulaim bagi memberi sokongan moral dan material.

     "Aku yakin kamu dapat mengalahkan Muhammad dan para pengikutnya tanpa bantuan kami. Namun atas semangat setiakawan dan mematuhi perjanjian antara kita, maka kami orang Quraisy tetap akan bersama kamu. Kami sanggup memberikan bantuan senjata dan kuda perang kepada kamu," kata Abu Sufian.

     "Kami tidak perlukan senjata dan kuda perang kerana kami sudah memilikinya. Malah senjata dan kuda perang kami lebih baik daripada kamu. Tetapi, setelah Muhammad dan para pengikutnya kami kalahkan, maka kota Madinah akan menjadi milik kami. Oleh itu, kami akan menjadikan Madinah tanah jajahan Bani Sulaim. Itu sahaja permintaan kami," kata Ubaid lalu disokong oleh orang ramai dengan penuh semangat.

     "Baiklah, aku setuju..." kata Abu Sufian.

     Permusuhannya dengan Nabi Muhammad menjadikan dia sanggup menerima apa-apa sahaja permintaan Bani Sulaim. Tambahan pula selama ini pun, orang Quraisy tidak mendapat apa-apa faedah dari Madinah. Dia lebih suka Madinah diperintah oleh Bani Sulaim daripada diperintah oleh Nabi Muhammad.

     Apabila pulang ke Mekah, maka Abu Sufian menghebahkan kepada orang ramai berkenaan rancangan orang Bani Sulaim hendak menyerang Madinah. Penduduk Mekah yang menyokong tindakan itu berasa sangat gembira. Apabila Abbas mendapat tahu berita itu, lantas memaklumkannya kepada Nabi Muhammad.

     Nabi Muhammad menghantar dua orang perisik ke perkampungan Bani Sulaim bagi memastikan kebenaran berita itu. Mereka berdua diberi tugas mengintip pergerakan orang Bani Sulaim. Mereka menyamar sebagai pedagang yang hendak membeli barang-barang kepunyaan Bani Sulaim.

     Apabila sampai di Qarqaratul Kudr mereka terjumpa beberapa orang lelaki sedang menggembala 500 ekor unta. Aswad dan Abdullah menghampiri salah seorang lelaki itu lalu bertanya, "Milik siapakah unta yang banyak ini?"

     "Apakah kamu tidak tahu bahawa unta ini milik pasukan tentera Bani Sulaim yang akan menyerang Madinah tidak lama lagi? Unta-unta ini akan dibawa untuk dijadikan makanan mereka," jawab lelaki itu dengan jujur kerana menyangka Aswad dan Abdullah datang dari Mekah.

     "Kami berdua tidak tahu. Tetapi kami berasa gembira apabila mendapat maklumat ini. Bilakah serangan itu akan dilancarkan? Bolehkah kami turut serta?" tanya Abdullah pula dalam usahanya mendapatkan lebih banyak maklumat.

     "Hanya Ubaid sahaja yang tahu bila harinya kami akan berangkat. Sementara menunggu hari itu mereka menjalani latihan berperang dan kami diberi tanggungjawab menjaga unta-unta ini supaya di dalam keadaan sempurna," jawab lelaki tersebut.

     "Bolehkah tunjukkan kami di mana tempat membeli kurma dan roti?" tanya Aswad pula.

     "Makan sendiri ataupun untuk dijual?" tanya lelaki itu.

     "Untuk dijual," jawab Aswad.

     "Ketua kami menyuruh kami menyimpan kurma dan roti untuk bekalan angkatan perang nanti. Kemudian, yang selebihnya adalah untuk mereka yang akan tinggal. Oleh itu, kami tidak akan menjualnya kepada sesiapa kecuali untuk makanan sahaja," kata lelaki itu.

     "Jika begitu kami akan cuba mendapatkannya dari kampung yang lain," kata Abdullah lalu kedua-duanya segera beredar dari situ dan terus pulang ke Madinah.

     Selepas Nabi Muhammad menerima laporan itu, beliau segera mengadakan mesyuarat dengan sahabat-sahabatnya Abu Bakar As Siddiq, Umar Al Khattab, Uthman Affan, Ali bin Abi Talib, Abu Ubaidah Al Jarrah dan beberapa orang lagi. Mereka akhirnya sebulat suara mencadangkan kepada Rasulullah supaya menyerang Abu Sulaim sebelum mereka menyerang Madinah. Nabi Muhammad bersetuju dengan cadangan itu.

     Maka terbentuklah sebuah angkatan perang berjumlah dua ratus orang. Nabi Muhammad mengutamakan mereka yang pernah berperang di Badar bagi menyertainya. Mereka yang tidak sihat dan mempunyai halangan dibenarkan untuk tidak menyertainya.

     Ramai yang ingin menyertai pasukan itu tetapi tidak dibenarkan oleh Rasulullah kerana tenaga mereka diperlukan bagi menjaga keselamatan Madinah kerana bimbang musuh datang menyerang. Nabi Muhammad sendiri yang memimpin pasukan itu dan urusan Madinah diserahkan kepada Suba' bin Arfathah dan Abdullah bin Maktum. Ali bin Abi Talib diberi tanggungjawab membawa bendera.

     Beberapa hari sebelum itu, Abu Sufian menghantar wakil menemui Judan menyuruhnya bersiap sedia kerana Madinah akan diserang dari dua penjuru. Orang Yahudi diminta bertindak dari dalam supaya kemenangan lebih mudah dicapai kerana Nabi Muhammad terpaksa menghadapi serangan daripada tiga penjuru iaitu dua dari luar dan satu dari dalam.

     Apabila orang Yahudi mendapat tahu Nabi Muhammad sedang membuat persiapan bagi berperang mereka menjadi takut lalu melaporkannya kepada Abu Sufian. Abu Sufian pula melaporkannya kepada ketua Bani Sulaim.

     Ubaid berasa gentar apabila mendapat tahu Nabi Muhammad dan pasukannya sedang mara menuju ke perkampungan Bani Sulaim. Dia meminta bantuan daripada penduduk Mekah agar membantunya menentang pasukan Muhammad. Namun, Abu Sufian tidak dapat memberi bantuan kerana orang Quraisy baru sahaja mengalami kekalahan besar di Badar. Ubaid berasa sangat kecewa. Dia mengadakan mesyuarat tergempar dengan orangnya.

     "Aku sudah beri amaran supaya kamu jangan bermusuhan dengan Muhammad dan para pengikutnya. Mereka sekarang sedang dalam perjalanan menyerang perkampungan kita," kata Khadri sambil meluahkan rasa kesalnya kerana Ubaid tidak menerima pendapatnya.

     "Aku mengajak kamu bermesyuarat pada malam ini adalah bagi mendapat kata sepakat berkenaan tindakan yang akan kita ambil. Jika kamu bersetuju untuk berperang maka aku akan ikut berperang. Tetapi jika kamu bersetuju kita menyerah maka kita akan menyerah," kata Ubaid pula.

     Dia menyambung lagi, "Aku kesal dengan sikap orang Quraisy yang tidak mahu membantu kita menentang pasukan Muhammad. Bukankah dalam perjanjian sudah tertulis bahawa antara kita dengan mereka saling membantu jika diserang musuh? Nampaknya mereka sudah memungkiri janji."

     "Orang Quraisy Mekah mengadakan perjanjian dengan kita hanya untuk faedah mereka sahaja. Mereka ingin mendapat keuntungan dengan menjual hasil tanaman dan barang-barang hasil kerja tangan kita. Tetapi, mereka tidak berniat untuk mempertahankan kampung halaman kita. Oleh itu, batalkan sahaja perjanjian kita dengan mereka," kata Khadri.

     "Untuk membatalkan perjanjian itu memang mudah. Tetapi perkara paling penting yang perlu kita selesaikan sekarang adalah cara kita menghadapi Muhammad dan pasukannya yang akan sampai ke sini tidak lama lagi," kata Ubaid.

     "Aku mencadangkan kita tentang mereka habis-habisan. Bukankah kita sudah menjalani latihan berperang? Bukankah kita mahir menunggang kuda dan menggunakan senjata? Walaupun tidak mendapat bantuan dari Mekah tetapi aku yakin kita mampu mengalahkan Muhammad dan pasukannya," kata Al-Buruj seorang pahlawan yang paling digeruni oleh orang Bani Sulaim.

     "Jangan kamu merasa terlalu yakin. Jumlah pasukan kita hanya lima ratus orang sedangkan jumlah pasukan Quraisy ketika di Badar seramai seribu orang dapat dikalahkan oleh Muhammad. Inikan pula kita hanya lima ratus orang sahaja," kata Khadri pula.

     "Aku bersetuju dengan pandangan itu. Apa yang bakal berlaku berbeza keadaannya. Perancangan kita pada mulanya untuk menyerang Madinah secara mengejut. Namun kita berperang di perkampungan kita sendiri. Tetapi, apa yang aku bimbangkan adalah tentang isteri dan anak-anak kita. Nyawa mereka pasti terancam apabila berlaku pertempuran di tempat ini. Jika pasukan tentera kita tewas maka isteri dan anak-anak gadis kita akan dijadikan hamba oleh Muhammad dan pasukan tenteranya," kata Shirin yang menyokong pandangan Khadri.

     "Jika kita menyerah maka kita akan dibunuh. Isteri dan anak-anak gadis kita tetap akan diperkosa oleh Muhammad dan para pengikutnya. Aku mencadangkan kita jangan melawan dan jangan menyerah. Kita berundur dari perkampungan ini," kata Salamun pula.

     "Aku bersetuju dengan cadangan itu. Lebih baik kita tinggalkan kampung ini. Kita bersembunyi di tempat yang selamat. Selepas Muhammad dan pasukannya pergi kita datang semula ke sini," kata Shirin.

     "Kita akan dianggap pengecut oleh kabilah Arab. Rumah kediaman kita juga akan dibakar oleh Muhammad dan pengikutnya. Hasil tanaman kita akan dimusnahkan dan ternakan kita dirampas. Kita akan menjadi miskin," kata Ubaid pula.

     "Biarlah mereka tuduh kita pengecut asalkan kita masih hidup dan selamat. Jika rumah kediaman kita musnah, tidak mengapa. Nanti, kita boleh bina rumah yang baru. Hasil tanaman kita yang musnah pula boleh diusahakan dengan tanaman yang baru. Usah gentar. Nyawa kita lebih berharga daripada semua itu," kata Khadri.

     Akhirnya mereka sebulat suara bersetuju dengan pendapat orang tua itu. Ubaid membawa orang Bani Sulaim meninggalkan perkampungan mereka pergi ke tempat persembunyian yang selamat.


=================================================


Apabila sampai di Qarqatul Kudr, Nabi Muhammad dan pasukannya berhenti berehat. Kemudian beliau menyuruh Hamzah pergi ke perkampungan Bani Sulaim untuk memberi jawapan sama ada mahu berdamai atau berperang. Jika mahu berdamai maka Bani Sulaim mesti membatalkan perjanjian mereka dengan orang Quraisy Mekah dan membuat perjanjian baru dengan Nabi Muhammad.

     Tidak lama kemudian Hamzah kembali dan melaporkan bahawa perkampungan itu kosong kerana orang Bani Sulaim sudah berundur dari situ. Ada yang mencadangkan mereka untuk membakar dan memusnahkan kediaman Bani Sulaim serta memusnahkan tanaman mereka. Namun cadangan itu tidak dipersetujui Nabi Muhammad. Baginda melarang membakar rumah dan memusnahkan tanaman walaupun ketika berperang.

     "Wahai Rasulullah, izinkan kami memeriksa di sekitar kawasan ini kerana kemungkinan orang Bani Sulaim bersembunyi di situ," kata Umar al Khattab.

     Nabi Muhammad bersetuju dengan permintaan dan berpesan supaya jangan membunuh wanita, kanak-kanak dan orang tua. Selepas diperiksa mereka dapati tidak ada seorang pun yang bersembunyi di kawasan itu kerana mereka sudah pergi jauh.

     "Wahai Rasulullah, kami menjumpai seorang lelaki sedang menggembala unta di bawah bukit sana," beritahu Abu Ubaidah al Jarrah.

     Nabi Muhammad menyuruh mereka membawa lelaki itu menghadapnya. Apabila ditanya, lelaki itu enggan menjawab sebarang pertanyaan berkenaan pemilik unta itu.

     "Hei manusia, kita pernah berjumpa. Masihkah engkau ingat?" tanya Aswad.

     Lelaki itu kelihatan terkejut kerana tidak menyangka Aswad dan Abdullah yang ditemuinya sebelum itu adalah pengikut Nabi Muhammad. Dia berterus terang mengatakan bahawa lima ratus ekor unta itu akan digunakan oleh pasukan tentera Bani Sulaim yang akan menyerang Madinah.

     Nabi Muhammad menyuruh mereka mengambil semua unta itu bagi dijadikan harta rampasan perang dan dibahagikan secara adil. Selepas tiga hari tiga malam berada di Qarqaratul Kudr maka Nabi Muhammad mengajak mereka pulang ke Madinah. Kepulangan mereka disambut dengan gembira.

     Beberapa hari sebelum itu Abu Sufian merancang untuk menyerang Madinah kerana menyangka tidak siapa yang akan mempertahankannya kerana Nabi Muhammad dan pasukannya tiada. Beliau berjaya memujuk para pembesar Quraisy supaya menyokong cadangannya. Maka berangkatlah Abu Sufian bersama-sama dua ribu pasukan tenteranya menuju ke Madinah. Namun, ketika tiba di pertengahan jalan timbul perbalahan dalam pasukan Quraisy.

     "Kita sepatutnya membantu Bani Sulaim mempertahankan perkampungan mereka daripada serangan Muhammad dan pasukannya, bukan menyerang Madinah. Bukankah itu termaktub dalam perjanjian antara kita dengan Bani Sulaim?" kata Safwan mempersoalkan tindakan Abu Sufian itu.

     "Benar kata Sufian. Jika kita tidak datang membantu, Bani Sulaim akan menuduh kita mungkir janji dan akibatnya tidak siapa lagi yang percayakan kita," sokong Uzair pula.

     "Aku mahu menakluki Madinah kerana Muhammad dan pasukannya tidak ada. Inilah peluang untuk kita berkuasa di Madinah. Biarlah Muhammad berjaya menakluk perkampungan Bani Sulaim tetapi mereka terlepas Madinah," kata Abu Sufian pula.

     "Aku sokong," kata Ikramah yang turut menyertai pasukan itu.

     Dia menyambung lagi, "Jika diberi pilihan antara perkampungan Bani Sulaim dengan Madinah, maka sudah tentu Madinah itu lebih berharga. Oleh itu, jangan kita berbalah. Ayuh mari kita serang Madinah."

     Safwan dan para penyokongnya tidak bersetuju. Mereka mengambil keputusan pulang semula ke Mekah. Abu Sufian dan Ikramah bersama sangat kecewa. Akhirnya mereka juga terpaksa pulang ke Mekah dan membatalkan hasrat untuk menyerang Madinah.




N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment