DOA ANAK SOLEH
Doa-Doa Anak untuk Ibu Bapa
Di sini, saya sertakan beberapa doa yang biasa dibaca bagi mendoakan kedua-dua ibu bapa. Doa-doa ini dibaca pada bila-bila masa, namun ada juga yang sesuai dibaca pada waktu-waktu tertentu. Penentuan waktu hanyalah keutamaan, bukanlah kemestian kerana Allah SWT selalu mendengar permohonan hamba-Nya ketika dia memohon kepada-Nya tidak kira waktu mahupun tempat.
Dalam kitab Tafsir Haqqi daripada sebahagian ulama mengatakan, pada saat menjelang terbit matahari, sewajarnya seseorang memulakan hati dengan membaca beberapa ayat dan doa yang diajarkan oleh Nabi Khidir a.s. yang kemudian diajarkan pula oleh Syeikh Ibrahim At-Taimi. Beliau mengatakan bacaan dan doa itu dipelajari daripada Rasulullah SAW. Doa dan bacaan itu adalah surah Al-Fatihah, surah Al-Falaq, surah An-Nas, surah Al-Ikhlas, Surah Al-Kafirun, dan Ayatul Kursi.
"Allah, tidak ada Tuhan melainkan Dia yang hidup kekal lagi
terus-menerus mengurus makhluk-Nya, tidak mengantuk
dan tidak tidur. Kepunyaan-Nya apa yang ada di langit dan
di bumi. Tiada yang dapat memberi syafaat di sisi Allah tanpa
izin-Nya. Allah mengetahui apa yang di hadapan mereka dan
di belakang mereka dan mereka tidak mengetahui apa-apa
daripada ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya.
Kursi Allah meliputi langit dan bumi. Dan Allah tidak berasa
berat memelihara kedua-duanya dan Allah maha tinggi, lagi
maha besar."
(Surah Al-Baqarah, ayat 255)
Kemudian, dilanjutkan dengan bacaan:
"Maha suci Allah. Segala puji bagi Allah. Tiada Tuhan selain
Allah. Dan Allah maha besar."
Kemudian, diikuti dengan membaca selawat kepada Nabi Muhammad SAW dan keluarganya.
"Ya Allah. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad dan
keluarganya."
Diikuti dengan membaca istighfar:
"Ya Allah, ampunkanlah dosaku, dosa kedua-dua ibu bapaku,
dan orang-orang yang beriman. Ya Allah, lakukanlah terhadap
kami secara serta-merta mahupun secara perlahan. Dalam
urusan agama, dunia dan akhirat dan sesungguhnya Engkau
ahli terhadapnya. Dan jangan lakukan terhadap kami dan
mereka, wahai Tuhan kami apa yang kami adalah ahlinya.
Sesungguhnya, Engkau maha pengampun lagi bijaksana,
dermawan lagi mulia, maha belas kasihan."
Sertakanlah doa untuk kedua-dua ibu bapa kita dalam setiap doa yang kita panjatkan, tidak kira di mana dan bila. Doa di bawah ini ditulis dalam kitab Majma' Al-Anhaar.
"Ya Allah, ampunilah orang yang hidup antara kami, orang
yang sudah meninggal dunia, yang hadir mahupun yang
ghaib, yang kecil mahupun yang besar, yang lelaki antara
kami mahupun yang perempuan. Ya Allah, siapa sahaja yang
Engkau hidupkan antara kami, hidupkanlah dia dalam Islam.
Siapa sahaja antara kami yang mati, maka matikanlah dia
dalam keadaan beriman. Istimewakan jenazah ini dengan
redha-Mu. Ya Allah, jikalau dia baik, maka tambahlah
kebaikannya. Dan jikalau dia buruk, maka ampunilah dia.
Pertemukan dia dengan rasa tenang dan gembira, juga
kemuliaan serta dekat dengan-Mu. Jadikan kuburnya sebagai
taman dari taman-taman syurga. Dan janganlah jadikan
kuburnya sebagai lembah dari lembah neraka. Ya Tuhanku,
ampunilah aku dan kedua-dua ibu bapaku, juga orang-orang
mukmin dan Muslimin dan Muslimat yang hidup mahupun
yang sudah meninggal dunia. Dengan rahmat-Mu yang maha
pengasih."
Ataupun doa seperti di bawah ini yang dipetik daripada kitab Fawakih Diwani karya Ibnu Abu Zaid Al-Qairawani.
"Ya Allah, ampunilah dosaku dan dosa kedua-dua ibu bapaku,
juga pemimpin-pemimpin kami dan orang yang sudah
mendahului kami dengan membawa iman, dengan keampunan
yang kuat. Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu
dan aku berlindung kepada-Mu daripada segala keburukan
yang tersembunyi. Ya Allah, ampunilah kami, ampunilah
dosa kami yang lalu, yang akan datang, yang samar mahupun
yang nyata, dan sesungguhnya engkau maha mengetahui.
Ya Tuhan kami, berikanlah kami kebaikan di dunia dan di
akhirat, dan jauhkanlah kami dari seksa api neraka. Kami
berlindung kepada-Mu daripada fitnah hidup dan mati, dan
daripada fitnah kubur dan fitnah Dajjal. Dan kami berlindung
dari neraka seburuk-buruk tempat kembali. Salam untukmu
wahai Nabi. Rahmat dan keberkatan Allah untukmu. Semoga
keselamatan atas kami dan hamba-hamba yang soleh."
Doa untuk Ibu Bapa yang Dibaca selepas Selesai Solat
"Ya Allah, selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad dan keluarganya. Ya Allah, sesungguhnya aku memohon syurga-Mu dan apa sahaja yang dapat mendekatkan aku kepadanya, baik daripada perkataan mahupun perbuatan. Dan aku berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa sahaja yang mendekatkan aku kepadanya, baik daripada perkataan mahupun perbuatan. Ya Allah, tutuplah auratku, jagalah hatiku dan ampunilah kelalaianku. Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu keimanan yang tidak pernah kembali pada kekufuran, nikmat yang tidak pernah habis, kesejukan mata selamanya, dan kebersamaan dengan Nabi Muhammad SAW. Ya Allah, hiasilah wajahku dengan rasa malu, penuhilah hatiku dengan kebahagiaan, hadirkanlah keagungan-Mu dalam setiap jiwa kami, rendahkanlah diri kami supaya kami dapat menghambakan diri kepada-Mu, dan jadikanlah cinta kami kepada-Mu melebihi cinta kami kepada selain Engkau. Ya Allah, tunaikanlah apa yang kami kehendaki. Ya Allah, ampunilah aku dan kedua-dua ibu bapaku, sayangilah mereka sebagaimana mereka menyayangiku pada waktu kecilku. Ya Allah, ampunilah bapa saudara dan ibu saudara kami, isteri-isteri kami, keturunan kami, dan seluruh kaum Muslimin dan Muslimat yang masih hidup mahupun yang sudah meninggal dunia. Sesungguhnya, Engkau maha penyayang dan maha pengampun."
Doa di atas dipetik daripada kitab Tafsir Haqqi yang ditulis Imam Al-Makki dalam kitab Quut Al-Quluub. Doa itu dibaca setiap kali selesai solat wajib lima waktu. Selain meminta keampunan kepada Allah SWT supaya kedua-dua ibu bapa diampuni, dalam doa ini juga seorang anak memohon keampunan atas dosa-dosa orang terdekatnya seperti bapa saudara dan ibu saudara, isteri dan keluarganya. Hal ini bererti, seorang anak soleh tidak hanya mendoakan kebaikan untuk ibu bapanya, malah untuk orang-orang terdekatnya seperti keluarga, sahabat, dan kaum Muslimin. Betapa hebatnya doa seorang anak sehingga dia dapat meminta keampunan atas dosa-dosa orang lain terutamanya ibu bapanya. Berbahagialah ibu bapa yang meninggalkan anak-anaknya dalam keadaan beriman dan berbakti kepada mereka.
Doa-Doa Pilihan Para Ulama
Para ulama adalah pewaris nabi. Daripada mereka, kita mendapat teladan yang baik dalam berbakti kepada kedua-dua ibu bapa kita. Doa-doa yang mereka panjatkan untuk kedua-dua ibu bapa mereka layak dicontohi. Antara doa itu adalah seperti yang ada dalam kitab Ash-Shahifah As-Sajjadiyah yang kemudian dipetik oleh Ustaz Syamsur Rifa'i. Berikut adalah doa itu:
"Ya Allah, jadikan takutku kepada kedua-dua ibu bapaku
seperti takut akan pemimpin yang zalim, dan berbaik
kepada kedua-duanya seperti kebaikan ibu yang penyayang.
Jadikan ketaatanku dan kebaikanku kepada mereka lebih
menenteramkan hatiku daripada tidurnya orang yang
mengantuk. Lebih menyejukkan hatiku daripada seteguk air
bagi orang yang kehausan. Sehingga aku dahulukan kehendak
mereka sebelum kehendakku. Aku utamakan redha mereka
sebelum redhaku. Aku menganggap banyak kebaikan mereka
walaupun sedikit. Dan aku anggap sedikit kebaikanku
walaupun banyak."
"Ya Allah, rendahkanlah kepada mereka ucapanku. Haluskan
kepada mereka tabiatku. Lembutkan kepada mereka hatiku.
Jadikan aku orang yang sangat mencintai mereka."
"Ya Allah, balaslah kebaikan mereka yang sudah mendidikku.
Berikanlah ganjaran kepada mereka kerana memuliakanku.
Jagalah mereka sebagaimana mereka memeliharaku sewaktu
kecilku."
"Ya Allah, untuk setiap derita yang menimpa mereka keranaku.
Untuk setiap perkara yang tidak baik yang mereka tanggung
keranaku. Untuk setiap hak mereka yang aku abaikan. Jadikan
semua itu penghapus terhadap dosa mereka. Tinggikanlah
darjat mereka. Lebihkanlah kebaikan mereka. Wahai yang
maha mengubah keburukan dengan kebaikan secara berlipat
ganda."
"Ya Allah, untuk setiap bicara mereka yang melanggar batas
terhadapku. Untuk setiap perbuatan mereka yang berlebihan
kepadaku. Untuk setiap hakku yang mereka lalaikan. Untuk
setiap kewajipan terhadapku yang mereka abaikan. Semua
sudah aku berikan kepada mereka dan aku ikhlaskan atas
mereka. Dan aku tidak membenci mereka atas cara mereka
memperlakukanku."
"Ya Allah, mereka mempunyai hak terlalu besar daripada diriku.
Kebaikan yang terlalu utama terhadapku. Pemberian yang
terlalu banyak bagiku sehingga aku tidak dapat membalasnya
dengan adil ataupun memberikan kepada mereka dengan
setimpal."
"Duhai Tuhanku. Bagaimana perlu kubalas budi mereka.
Lamanya kesibukan mereka mengurusku. Beratnya kelelahan
mereka menjagaku. Dan tanggungan mereka yang disempitkan
bagi memberi keluasan kepadaku."
"Aduhai, aku tidak akan mampu memenuhi hak mereka
terhadapku. Aku tidak mampu melaksanakan kewajipanku
kepada mereka. Aku tidak sanggup menjalankan kewajipanku
untuk berkhidmat kepada mereka. Maka, sampaikan selawat
kepada Muhammad dan keluarga Baginda. Bantulah aku
wahai yang Paling Baik untuk diminta bantuan. Bimbinglah
aku wahai pembimbing yang dirindui. Janganlah jadikan aku
antara orang yang derhaka kepada ibu bapa, pada hari setiap
diri dibalas atas hasil kerjanya dan tanpa aniaya."
"Ya Allah, sampaikan selawat kepada Muhammad dan
keluarganya. Istimewakan kedua-dua ibu bapaku sebagai yang
paling utama daripada apa yang Engkau istimewakan kepada
ibu bapaku wahai yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang."
"Ya Allah, janganlah Kau biarkan aku lupa menyebut mereka
sesudah solatku. Dalam malamku dan siangku."
"Ya Allah, sampaikanlah selawat kepada Muhammad dan
keluarganya. Ampunilah aku dengan doaku kepada mereka
dengan keampuanan yang sempurna. Ampunilah kedua-dua
ibu bapaku dengan kebaikan mereka kepadaku. Redhailah
mereka dengan syafaatku untuk mereka dengan keredhaan
yang sempurna. Sampaikan mereka dengan anugerah-Mu ke
tempat yang sejahtera."
"Ya Allah, jikalau keampunan-Mu lebih dahulu datang kepada
mereka, izinkan mereka memberi syafaat kepadaku. Jikalau
keampunan-Mu lebih dahulu sampai kepadaku, izinkan
aku memberi syafaat kepada mereka. Sehingga dengan kasih
sayang-Mu kami berkumpul di rumah-Mu yang mulia, di
tempat keampunan dan kasih-Mu. Sungguh Engkau pemilik
kurnia yang besar dan anugerah yang abadi. Engkaulah yang
maha pengasih lagi maha penyayang."
Doa-Doa dalam Al-Quran untuk Ibu Bapa
Terdapat banyak doa anak untuk kedua-dua ibu bapa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW bahkan para nabi sebelum Baginda. Doa-doa itu dapat digunakan oleh setiap orang dalam mendoakan kedua-dua ibu bapa supaya mereka mendapat kebaikan, diampuni dosanya, dan diangkat darjat mereka di sisi Allah SWT. Setiap anak dapat memilih mana-mana doa yang mahu dibacakan untuk kedua-dua ibu bapa. Sudah pasti doa itu adalah doa yang terbaik untuk mereka sebagaimana mereka juga sudah membuat yang terbaik untuk anak-anak mereka. Allah SWT mengabadikan doa-doa daripada para Nabi untuk kedua-dua ibu bapa mereka dalam Al-Quran. Maka, dapatlah kita menjadikannya sebagai doa untuk kedua-dua ibu bapa kita.
Doa Nabi Ibrahim a.s.:
"Ya Tuhan kami! Sesungguhnya, aku menempatkan
sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai
tanam-tanaman di sisi rumah Engkau Baitullah yang dihormati,
ya Tuhan yang demikian itu supaya mereka mendirikan solat,
maka jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada
mereka dan rezekikanlah mereka daripada buah-buahan,
mudah-mudahan mereka bersyukur.
Ya Tuhan kami! Sesungguhnya, Engkau mengetahui apa yang
kami sembunyikan dan apa yang kami zahirkan dan tidak ada
sesuatu pun yang tersembunyi bagi Allah, baik yang ada di
bumi mahupun yang ada di langit.
Segala puji bagi Allah yang menganugerahkan kepadaku
pada hari tuaku Ismail dan Ishak. Sesungguhnya, Tuhanku
benar-benar maha mendengar memperkenankan doa.
Ya Tuhanku! Jadikanlah aku dan anak cucuku orang tetap
mendirikan solat; ya Tuhan kami, perkenankanlah doaku.
Ya Tuhan kami! Berilah keampunan kepadaku dan kedua-dua
ibu bapaku dan sekalian orang mukmin pada hari terjadinya
hisab hari kiamat."
(Surah Ibrahim, ayat 37 hingga ayat 41)
Ibnu Katsir berkata ini adalah doa Nabi Ibrahim. "Ya Tuhan kami, ampunilah aku dan kedua-dua ibu bapaku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab hari kiamat. Pada hari kiamat nanti, setiap hamba akan dihisab dan diberi balasan atas seluruh amal dan perbuatannya. Jikalau amalnya baik, akan diberi balasan yang baik dan jikalau amalnya buruk, akan dibalas dengan balasan yang buruk ataupun seksa.
Doa ini penting dibaca oleh seorang anak supaya kedua-dua ibu bapanya diampuni dosa mereka, diringankan pada saat dihisab, diberatkan timbangan amal baiknya, dan dibebaskan daripada seksa neraka.
Doa Nabi Sulaiman a.s.:
"Maka dia (Sulaiman) tersenyum, lalu tertawa kerana
mendengar perkataan semut itu. Dan dia berdoa,
"Ya Tuhanku, anugerahkanlah aku ilham untuk tetap
mensyukuri nikmat-Mu yang Engkau anugerahkan kepadaku
dan kepada kedua-dua orang tuaku dan supaya aku mengerjakan
kebajikan yang Engkau redhai; dan masukkanlah aku dengan
rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang soleh."
(Surah An-Naml, ayat 19)
Doa ini dibaca oleh Nabi Sulaiman a.s. kepada Allah SWT kerana beliau dan ayahnya, Nabi Daud a.s. diberi nikmat yang luar biasa sehingga beliau dapat memahami bahasa haiwan. Lebih daripada itu, Nabi Sulaiman a.s. bersyukur kerana Allah SWT memberi anugerah agama Islam kepada beliau dan kepada orang tua beliau. Maka beliau dapat beramal baik dan tergolong hamba Allah SWT yang soleh.
Doa seperti ini sangat sesuai dibaca oleh anak yang kedua-dua ibu bapanya mewariskan kebaikan kepadanya. Tidak kira sama ada kebaikan duniawi ataupun ukhrawi. Kebaikan duniawi seperti harta yang banyak dan halal. Sementara kebaikan ukhrawi adalah keimanan, ibadah, ilmu, akhlak mulia, dan teladan yang soleh daripada kedua-dua ibu bapanya.
Doa Nabi Nuh a.s.:
"Ya Tuhanku, ampunilah aku, ibu bapaku, dan siapa pun
yang memasuki rumahku dengan beriman dan semua orang
yang beriman lelaki dan perempuan. Dan janganlah Engkau
tambahkan lagi bagi orang yang zalim selain kehancuran."
(Surah Nuh, ayat 28)
Nabi Nuh a.s. membaca doa ini untuk dirinya, keluarganya, ibu bapanya, dan yang beriman supaya mereka semua diampuni dosanya oleh Allah SWT. Pada ketika itu, Nabi Nuh a.s. sudah mengajak umatnya supaya beriman, tetapi sebahagian daripada mereka berpaling daripadanya, malah mengejek dan menghina Nabi Nuh a.s. dengan panggilan gila.
Akhirnya, umat Nabi Nuh a.s. yang tidak beriman dibinasakan oleh Allah SWT dengan didatangkan badai yang mengakibatkan banjir di seluruh dunia. Tidak ada yang selamat, kecuali orang yang menaiki bahtera Nabi Nuh a.s.. Mereka adalah orang yang beriman. Dalam keadaan seperti itu, Nabi Nuh a.s. sebagai seorang anak yang soleh sentiasa mengingati kedua-dua ibu bapanya dengan menyebut mereka dalam doa yang beliau panjatkan. Itulah kehebatan anak-anak soleh. Tidak kira dalam apa jua keadaan, mereka sentiasa mengingati ibu bapa. Betapa bahagia ibu bapa yang memiliki anak soleh yang sentiasa berbuat baik padanya di dunia dan di akhirat.
Doa supaya Dikurniakan Anak Soleh
Sebaiknya, sejak sebelum melahirkan, seorang ibu sentiasa berdoa kepada Allah SWT supaya diberi anak yang soleh dan dihindari daripada segala halangan yang menyulitkan usaha mendidiknya. Beberapa doa berikut hendaknya dibaca secara berterusan supaya kita dikurniakan anak yang soleh oleh Allah SWT.
Doa ketika mengandung:
"Maryam berkata, "Sesungguhnya aku berlindung daripadamu
kepada Tuhan yang maha pemurah jikalau kamu seorang yang
bertakwa."
(Surah Maryam, ayat 18)
Doa memohon anak soleh:
"Ya Tuhanku, berikanlah aku dari sisi-Mu seorang anak yang
baik. Sesungguhnya, Engkau maha pendengar doa."
(Surah Ali 'Imran, ayat 38)
"Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri
kami dan keturunan kami sebagai penenang hati kami, dan
jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa."
(Surah Al-Furqan, ayat 74)
"Ya Allah, jadikanlah amal batinku lebih baik daripada amal
lahirku dan jadikanlah amal lahirku baik semuanya. Ya Allah,
aku memohon kepada-Mu harta, keluarga, dan anak yang baik
sebagaimana yang Engkau berikan kepada orang selain diriku,
yang tidak sesat lagi menyesatkan."
Waktu, Keadaan, dan Tempat yang Tepat bagi Mendoakan Ibu Bapa
Allah SWT menjelaskan:
"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang
Aku, maka jawablah bahawasanya Aku adalah dekat. Aku
mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia
memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka memenuhi
segala perintah-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku
supaya mereka selalu berada dalam kebenaran."
(Surah Al-Baqarah, ayat 186)
Doa setiap hamba pasti dikabulkan oleh Allah SWT walau bila dan di mana jua dia berdoa. Namun begitu, ada beberapa waktu yang Allah SWT berikan keistimewaan untuk berdoa. Sewajarnya, anak memerhatikan dan mengambil kesempatan waktu, tempat, ataupun keadaan yang terbaik bagi mendoakan kedua-dua ibu bapa. Meskipun ini bukan suatu kemestian, tetapi sebagaimana yang dijelaskan dalam Al-Quran dan Sunnah serta atsar bahawa ada waktu-waktu, keadaan, dan tempat-tempat tertentu yang dimungkinkan doa lebih cepat dikabulkan berbanding yang lain.
Di sini, saya kumpulkan beberapa pilihan waktu, keadaan, dan tempat yang diberi keistimewaan oleh Allah SWT bagi mengabulkan doa, khususnya dalam hal ini doa seorang anak untuk kedua-dua ibu bapanya. Keadaan ini juga terpakai untuk doa-doa lain supaya cepat dikabulkan.
Berikut adalah antara yang berjaya dikumpulkan daripada kumpulan doa-doa yang ditulis oleh Syeikh Sa'id bin Ali bin Wahb Al-Qahtthani dan daripada kitab Al-Adzkaar An-Nawawi dengan beberapa penyesuaian. Doa seorang anak untuk kedua-dua ibu bapa akan mendapat kedahsyatannya:
1. Pada bulan Ramadhan terutamanya pada malam lailatul qadar.
"Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada
malam itu, turun para malaikat dan roh Jibril dengan izin
Tuhannya bagi mengatur semua urusan. Sejahteralah malam
itu sehingga terbit fajar."
(Surah Al-Qadr, ayat 3 hingga ayat 5)
Menurut kitab Tuhfatudz Dzaakirin, Imam Asy-Syaukani berkata, kemuliaan lailatul qadar membolehkan doa setiap orang dikabulkan.
2. Pada satu per tiga terakhir malam dan pada setiap kali selesai solat fardhu.
Menurut Abu Umamah, Rasulullah SAW ditanya tentang doa
yang paling didengar oleh Allah SWT. Lalu, Baginda menjawab,
"Doa tatkala satu per tiga terakhir malam dan sesudah solat
fardhu."
(Hadith ini direkodkan oleh At-Tirmizi)
3. Waktu antara azan dan iqamah.
Menurut Anas bin Malik r.a., Rasulullah SAW berkata, "Doa
tidak akan ditolak antara azan dan iqamah."
(Hadith ini direkodkan oleh Abu Daud, At-Tirmizi, dan Al-Baihaqi)
4. Doa ketika berada di tempat yang jauh ataupun sedang merantau.
5. Doa saat berkecamuk di medan perang.
Menurut Sahl bin Sa'ad r.a., Rasulullah SAW berkata:
"Doa tidak akan ditolak pada dua waktu, ataupun kemungkinan
untuk ditolak sangat sedikit. Iaitu ketika azan berkumandang
dan saat perang berkecamuk, ketika kedua-dua kubu saling
menyerang."
(Hadith ini direkodkan oleh Abu Daud, Al-Baihaqi, dan Hakim)
6. Ketika bersujud dalam solat.
Menurut Ibnu Abbas r.a., Rasulullah SAW berkata:
Rasulullah SAW membuka tirai sedangkan orang berbaris
di belakang Abu Bakar r.a.. Lalu, Baginda berkata, "Wahai
manusia, sungguh tidak tersisa daripada berita kenabian,
kecuali mimpi yang baik yang dilihat seorang Muslim atau
terlihat." Kemudian, Baginda berkata, "Ketahuilah, aku
dilarang membaca Al-Quran dalam keadaan rukuk dan sujud.
Semasa rukuk, agungkanlah Tuhan kalian; seorang hamba
paling dekat dengan Allah adalah ketika dia bersujud. Maka
perbanyakkanlah berdoa pada ketika itu."
(Hadith ini direkodkan oleh Muslim dan An-Nasaie)
7. Ketika bangun dari tidur, ketika tidur dalam keadaan suci pada malam hari.
Menurut 'Amr bin 'Anbasah r.a., Rasulullah SAW berkata,
"Tidak ada seorang Muslim yang tidur dalam keadaan dia
mengingati Allah dan bersuci. Kemudian, dia terjaga malam
dan memohon kepada Allah kebaikan di dunia dan akhirat
melainkan Allah makbulkan untuknya."
(Hadith ini direkodkan oleh Ibnu Majah)
8. Doa seorang anak soleh yang berbakti kepada kedua-dua ibu bapanya.
Dalam Al-Quran, terdapat ayat yang membuktikan doa
seorang anak untuk kedua-dua ibu bapanya akan dikabulkan
kerana Allah SWT sudah memerintahkan sedemikian. Sementara
hadith yang direkodkan daripada Imam Muslim tentang tiga
perkara yang pahalanya akan terus mengalir bagi orang yang
melakukannya meskipun dia sudah meninggal dunia, salah
satunya adalah "anak soleh yang mendoakannya," menjadi
penguat bahawa doa anak untuk kedua-dua ibu bapanya
memang mustajab. Tiada ragu lagi kerana perkara itu adalah
perintah Allah SWT dan Rasul-Nya. Tidak ada perkara yang
lebih baik dan lebih dasyat dalam hidup seseorang, kecuali
melaksanakan perintah Allah SWT dan Rasul-Nya.
9. Ketika berdoa dengan mengucap kalimat:
"Tiada Tuhan selain Engkau, maha suci Engkau. Sesungguhnya,
aku termasuk orang-orang yang zalim."
Berdoa selepas memuji Allah SWT dan berselawat kepada Nabi SAW, pada tasyahud akhir.
10. Ketika berdoa dengan Al-Asma' Al-Husna yang dijamin akan dikabulkan segala permintaan setiap orang yang meminta. Allah SWT menjelaskan:
"Hanya milik Allah Al-Asma' Al-Husna, bermohonlah
kepada-Nya dengan menyebut Al-Asma'
Al-Husna itu dan tinggalkanlah orang yang
menyimpang daripada kebenaran dalam menyebut
nama-nama-Nya. Nanti mereka akan mendapat balasan
terhada apa yang mereka kerjakan."
(Surah Al-A'raf, ayat 180)
Dalam mentafsir ayat di atas, Doktor Abdullah At-Turki mengatakan, Allah SWT mempunyai nama-nama yang baik iaitu Al-Asma' Al-Husna yang menunjukkan sempurnanya keagungan-Nya. Semua nama Allah itu baik. Mintalah kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu apa jua yang kamu inginkan. (Tafsir Almuyassar)
11. Berdoa selepas melontar jamrah kecil, selepas melontar jamrah wustha, ketika di Bukit Safa dan Marwah, ketika meminum air zam-zam, dan semasa di Masy'aril haram.
12. Berdoa pada hari Arafah di Padang Arafah ketika menjalankan ibadah haji.
Menurut 'Amr bin Syu'aib r.a. daripada bapanya daripada
abangnya, Nabi SAW berkata, "Sebaik-baik doa adalah pada
hari Arafah."
(Hadith ini direkodkan oleh At-Tirmizi)
13. Ketika berkumpulnya umat Islam dalam majlis zikir.
"Dan tidaklah sebuah kaum berkumpul dalam sebuah rumah
dari rumah-rumah Allah, iaitu masjid. Mereka membaca
kitab Allah dan saling mempelajarinya antara mereka, kecuali
ketenangan akan turun kepada mereka, rahmat meliputi mereka,
malaikat melingkupi mereka, dan Allah akan menyebutkan
mereka ke dalam orang-orang yang bersama-Nya."
(Hadith ini direkodkan oleh Abu Daud)
14. Doa orang yang sedang dalam perjalanan ataupun bermusafir.
15. Doa orang yang berpuasa sehingga dia berbuka.
Menurut Abdullah bin 'Amr bin 'Ash r.a., Rasulullah SAW
berkata, "Sesungguhnya, orang yang berpuasa ketika berbuka
memiliki doa yang tidak akan ditolak."
(Hadith ini direkodkan oleh Ibnu Majah, dan Hakim)
15. Pada hari Jumaat.
Menurut Abu Hurairah r.a., Abdul Qasim SAW berkata,
"Sesungguhnya, pada hari Jumaat terdapat suatu saat yang
tidak ditemui oleh seorang hamba Allah yang Muslim ketika
dia mendirikan solat sambil memohon kepada Allah akan
sesuatu, melainkan apa yang dipohonkannya itu diberikan
kepadanya. Baginda mengisyaratkan dengan tangannya yang
diangkatkan."
(Hadith ini direkodkan oleh Al-Bukhari dan Muslim)
Ibnu Hajar berkata, waktu yang sesaat itu tidak akan diketahui
secara pasti dan banyak riwayat menyebutkan waktu yang
berbeza-beza. Kemungkinan besar waktu itu bermula ketika
imam ataupu khatib naik ke mimbar sehingga selesai solat
Jumaat ataupun selesai waktu solat asar bagi orang yang
menunggu solat maghrib.
Namun begitu, seorang mukmin sepatutnya berdoa pada setiap waktu dan kesempatan, bukan hanya pada masa-masa seperti yang disebutkan di atas walaupun pada waktu, keadaan, dan tempat-tempat itu ada keistimewaan dengan ditambahnya pertolongan daripada Allah SWT. Allah SWT menjelaskan:
"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang
Aku, maka jawablah bahawasanya aku adalah dekat. Aku
mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia
memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka memenuhi
segala perintah-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku
supaya mereka selalu berada dalam kebenaran."
(Surah Al-Baqarah, ayat 186)
Ayat di atas menunjukkan berdoa memohon kepada Allah
SWT dapat dilakukan pada bila-bila masa dan di mana jua.
Asalkan kita yakin doa kita akan dikabulkan oleh Allah SWT
dengan berdasarkan adab-adabnya. Keyakinan itulah yang akan
memudahkan doa kita dimakbulkan kerana termakbulnya doa
itu bergantung kepada sangkaan baik orang itu kepada Allah
SWT. Menurut sebuah hadith qudsi, Allah SWT menjelaskan:
"Aku bersama hamba-Ku selagi dia mengingati-Ku dan
kedua-dua bibir mulutnya bergerak menyebutku."
(Hadith ini direkodkan oleh Ahmad)
Allah SWT meyakinkan hamba-hamba-Nya bahawa doanya pasti dikabulkan. Allah SWT tidak pernah mengingkari janji-Nya. Pada ketika Dia menyatakan setiap orang yang berdoa akan dikabulkan maka janji itu pasti ditepati. Allah SWT menjelaskan:
"Dan Tuhanmu menjelaskan, "Berdoalah kepada-Ku, nescaya
akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya, orang yang
sombong tidak mahu menyembah-Ku akan masuk neraka
Jahanam dalam keadaan hina dina."
(Surah Al-Mukmin, ayat 60)
Ayat di atas adalah anugerah, nikmat, dan janji daripada Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW yang doa mereka pasti dikabulkan oleh Allah SWT. Janji ini diikat oleh kehendak Allah SWT kerana termakbulnya doa adalah suatu kepastian bagi setiap yang berdoa. Sebagaimana dijelaskan oleh Al-Muhaaribiy dalam tafsir Al-Muharrar banyak seseorang meminta kepada Allah SWT. Dia semakin redha. Perkara ini berbeza daripada manusia, semakin sering diminta-minta, semakin dia tidak senang. Seorang penyair berkata, "Allah benci jikalau kamu tidak mahu meminta kepada-Nya, sedangkan anak Adam tidak suka jiakalu banyak dipinta."
Wallahu a'lam bishshawab.
***************************************************************************************************************
Perbanyakkanlah memohon kepada Allah SWT khususnya untuk
kedua-dua ibu bapa terutama pada waktu-waktu mustajab supaya mereka
diberi keselamatan, keberkatan, serta mendapat kasih sayang Allah SWT
sebagaimana mereka menyayangi kita sewaktu kita masih kecil.
***************************************************************************************************************
N / F : DARIPADA "DAHSYATNYA DOA ANAK", OLEH USTAZ ADAM CHOLIL.
No comments:
Post a Comment