Friday 1 January 2016

RABIATUL ADAWIYAH [ BAB 11 - NYARIS ]






NYARIS




Suatu hari Rabiah diarahkan oleh tuannya pergi ke pasar bagi membeli barang-barang keperluan rumah. Kedudukan pasar yang agak jauh dari rumah tuannya menyebabkan Rabiah perlu menempuhi jalan yang lama. Rabiah juga perlu melalui lorong-lorong sunyi yang jarang sekali dilalui orang ramai. Seperti biasa Rabiah hanya bertemankan zikir-zikir yang selalu meniti di bibirnya.

     Semasa dalam perjalanan pulang, tidak semena-mena hati Rabiah berdebar kencang. Dia perasan ada susuk tubuh lelaki yang sedang mengekorinya. "Ya Allah, apakah niat lelaki ini? Sekiranya baik niatnya, kamu permudahkan dan sekiranya sebaliknya, kumohon perlindungan daripadaMu." Rabiah bermonolog dalam hati.

     Rabiah kemudian mempercepatkan langkahnya, "Lebih baik saya cepat-cepat larikan diri kerana kawasan ini sunyi dan tidak ada orang lalu-lalang. Saya khuatir sekiranya lelaki ini bertindak di luar batasan."

     Namun semakin laju langkah Rabiah, semakin laju juga lelaki itu menghampiri.

     "Saya mesti lari sekuat hati. Sekiranya tidak, buruk akibatnya," getus hati Rabiah lagi.

     Tanpa diduga, "Ya Allah... sakitnya... Ya Allah." Rabiah mengaduh. Rupa-rupanya kakinya tersadung pada batu besar di tengah jalan. Barangan yang dibelinya habis bertaburan. Hatinya terus berdoa kepada Allah, "Wahai Tuhanku, aku sudah berusaha sedaya upaya bagi menghindarkan musibah ini. Kini aku hanya mampu bertawakal kepada-Mu."

     Rabiah membayangkan lelaki yang berniat jahat itu mahu mendapatkannya serta melakukan perkara yang terkutuk.

     Melihat Rabiah rebah terkulai, tanpa membuang masa lagi, lelaki tadi segera menghampiri Rabiah dan menerkam bagai harimau lapar. Sambil ketawa berdekah-dekah, dia berkata, "Ke mana lagi kamu mahu lari wahai si cantik manis? Saya hanya mahu berhibur denganmu sekejap sahaja. Apakah itu pun tidak boleh, janganlah bakhil dengan nikmat yang Tuhan anugerahkan kepadamu itu."

     Rabiah hanya membatukan diri tanpa jawapan. Dia sangat jelik dengan akhlak lelaki itu.

     Apabila lelaki itu sedia melakukan maksiat terkutuk itu pada Rabiah, tanpa diduga segerombolan manusia datang dari arah kampung berdekatan lalu mengepungnya.

     "Tangkap dan pukul lelaki yang cuba memperkosa budak perempuan ini!" laung seorang lelaki dengan perasaan yang marah. Rupa-rupanya dia ternampak apa yang berlaku tadi dan segera melaporkan kepada orang kampungnya. Mereka kemudian beramai-ramai pergi menyelamatkan Rabiah.

     Mereka lantas mengepung lelaki itu dan akhirnya lelaki itu gagal melarikan diri walaupun mencuba. Lelaki itu ketakutan lalu berkata dalam tangisan, "Maafkan saya, saya berjanji tidak melakukan perbuatan ini lagi."

     "Kamu sudah kami tangkap dan saksi perbuatan kamu juga cukup. Kamu dihadapkan ke mahkamah, dan biarlah hakim yang menentukan hukuman kamu berdasarkan undang-undang syarak. Walaupun kamu dihukum, namun taubat kamu kepada Allah tetap diterima. Maka bertaubatlah," kata ketua kampung itu.

     Seorang syeikh yang turut berada di situ segera berdiri di tengah-tengah orang ramai dan mula berpidato, "Allah mengharamkan persetubuhan luar nikah namun menghalalkan perhubungan dengan perkahwinan. Allah juga mengharamkan perbuatan yang zalim kerana ia mencabut hak seseorang insan ataupun makhluk tanpa rela. Apakah sanggup kamu semua bayangkan yang dinodai itu saudara perempuanmu, makcikmu malah emakmu sendiri? Bukankah gadis ini juga adalah anak, adik, kakak malah mungkin ibu kepada seseorang. Bertaubatlah kerana Allah itu maha pengampun lagi maha penyayang."

     Semua yang hadir tekun mendengar. Terdengar esak tangis lelaki tadi yang semakin kuat. Kelihatan dia benar-benar sudah insaf. Rabiah lantas memaafkan lelaki itu, namun lelaki itu tetap dihadapkan ke mahkamah supaya hakim yang bertanggungjawab mengadili perbuatannya.

     "Maafkan saya, saya berjanji berubah," kata lelaki itu kepada Rabiah.

     "Kemaafan saya secebis sahaja, mohonlah kemaafan daripada Allah yang maha pengampun. Sekiranya Allah sudah mengampunkan dosa kamu, nescaya tiada sebab untuk pintu kemaafan daripada makhluk-Nya ditutup."

     "Sungguh mulia akhlakmu. Terima kasih. Saya berjanji kepada Allah mahu berubah dan kembali ke jalan-Nya."

     Begitulah Rabiah, walau sejahat manapun orang lain padanya, dia pasti membalas semanis mungkin. Walaupun racun yang dihidang, nescaya madu yang dibalas.

     Rabiah cuba menggagahkan dirinya berjalan. Walaupu berjaya berdiri namun dia menanggung kesakitan yang berat kerana tangannya patah.

     "Nampaknya tangan adik ini patah, kita perlu merawatnya dengan segera," kata seorang pak cik.

     "Apakah yang boleh dilakukan bagi mengurangkan kesakitan ini? Sekiranya ada sesiapa yang boleh, sila hulurkan pertolongan kamu kepada saudari ini." Seorang lelaki menunjuk simpati.

     Seorang makcik membawa kain lalu membalut tangan Rabiah. Selesai dirawat, Rabiah terus bangun meminta diri. Walaupun masih sakit, dia tetap gagahkan diri pulang ke rumah tuannya.

     Mak cik itu bertanya dengan lembut, "Apakah mungkin kamu berjalan pulang dengan keadaan begini? Sekiranya perlu, izinkan kami mengiringi kamu hingga ke rumahmu."

     "Tidak mengapa, Allah menghantar kamu semua bagi menyelamatkan diri saya pun adalah nikmat yang tidak terbalas. Saya malu mahu meminta lagi kepada Allah," kata Rabiah.

     "Tetapi keadaanmu agak kritikal. Kesakitan akibat tulang tanganmu yang patah pasti membuat kamu payah bergerak," kata seorang pakcik lagi.

     Sambil tersenyum Rabiah berlalu pergi sambil terhenjut-henjut. "Kalian memang orang yang baik-baik. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas diri kita semua. Mungkin dengan sakit ini, saya lebih mengingati Allah. Mungkin kejadian ini berlaku kerana saya sudah lalai daripada mengingati Allah."

     Setibanya di rumah, Rabiah sudah ditunggu oleh tuannya. Seperti biasa Rabiah pasti dilakukan di luar kewajaran. Dengan tangan yang baru patah, tekanan dan deraan daripada tuannya, ternyata Rabiah sangat kental dan sabar.

     "Adakah kamu melencong ke sana-sini dan baru sekarang kamu tiba?" tengking tuan kepada Rabiah. Dia menambah lagi, "Kamu akan dihukum supaya kelak menjadi peringatan buat dirimu."

     Rabiah hanya membisu.

     Si isteri mula mencanai api kemarahan suaminya. "Kamu ingat dengan tangan berbalut itu kami kasihankan kamu? Sekarang juga pergi sediakan makan malam kami!" Rabiah ditengking lagi.

     Rabiah hanya menurut tanpa membantah kerana dia tahu tiada guna membantah. Hanya menambah onar sahaja.

     Tanpa bertanyakan perihal sebenarnya, mereka berdua terus sahaja menghukum Rabiah, "Malam ini kamu tidak dibenarkan makan sama sekali!"

     Walaupun dihukum sebegitu, Rabiah tetap bahagia kerana dia menemui kekasihnya malam itu bagi mengadu nasib kepada yang maha mendengar.

     "Saya pelik dan kagum kepada Rabiah. Walaupun tangannya patah dan kita hukum pula dengan mencatukan makan malamnya, dia masih mampu tegak berdiri melakukan solat sunat, membaca Quran dan berzikir munajat kepada Allah sepanjang malam," bisik si isteri kepada suaminya.

     "Ya, saya juga perasan."

     "Sejak dia bekerja dengan kita, tidak pernah pula dia timbulkan masalah, melainkan meminta waktu bagi bersembahyang sahaja. Yang lain pasti dibuatnya tanpa banyak soal."

     "Apakah mungkin dia adalah seorang wali Allah?"

     "Apakah ada wali daripada kalangan wanita?"

     "Mungkin sahaja, wali itu bermaksud orang yang rapat dan dekat dengan Allah, tidak kira lelaki ataupun wanita."

     "Apakah ulama-ulama itu dikira sebagai wali Allah?"

     "Tidak semestinya kerana makam ulama itu boleh dicapai dengan banyaknya ilmu yang dipelajari, namun makam wali ini adalah suatu anugerah Allah kepada hamba-Nya yang terpilih sahaja."

     "Kerana keikhlasan dan ketekunan dalam pengabdian kepada Allah?"

     "Benar sekali. Bahkan sekiranya dilihat pada Rabiah, dia sering termenung seakan-akan mengingatkan kekasih yang tidak kunjung tiba. Sedangkan kita tahu dirinya tidak pernah ada kekasih hati yang bernama lelaki."

     "Sekiranya benar Rabiah itu adalah seorang wali Allah, maka celakalah kita nanti."

     "Mengapa?"

     "Bukankah doa para wali itu mustajab? Tidakkah terfikir olehmu sekiranya Rabiah mendoakan kecelakaan kita?"

     Kedua-duanya termenung kerana hati kecil masing-masing dirundum rasa gelisah memikirkan apa yang mereka bincangkan tadi ada benarnya.




N / F : DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI SRIKANDI YANG BENAR, OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.

No comments:

Post a Comment