Friday, 1 May 2015

AMINAH [ BAB 18 - TUHAN MENYAYANGINYA ] ( AKHIR )




TUHAN MENYAYANGINYA


Tahun demi tahun berlalu pergi, banyak benar perkara yang berubah. Dari kejahilan dan zulmat kini sudah dimenangi cahaya atau nur rahmat. Daripada hanya seorang yang biasa, kini sudah diangkat Tuhan menjadi manusia yang memberikan rahmat untuk sekalian alam. Yang dimaksudkan adalah Muhammad, anak Aminah dan Abdullah, cucu kepada Abdul Mutalib.

     Selepas ratusan tahun, beliau melakar kejayaan dakwah di muka bumi, kini urusan dakwah itu sudah berpindah tangan kepada para alim ulama dan khalifah Allah di muka bumi ini.

     Tatkala berlaku satu sesi taklim ilmu, seorang guru sedang memberikan pengajaran yang berhikmah kepada anak muridnya dengan lontaran soalan. Beliau bertanya, "Apakah yang paling jauh daripada kita?"

     Anak muridnya berebut menjawab.

     "Negeri China."

     "Angkasa raya."

     "Bulan."

     "Matahari."

     Si cendekiawan mengulum senyuman lalu berkata, "Benar, anakku. Jawapan kalian semuanya benar. Namun ada yang lebih tepat."

     Segera muridnya bertanya, "Apakah ia, guru?"

     Jawabnya ringkas, "Masa lalu kita."

     Kini zaman itu sudah berlalu, sudah terbentuk di dunia ini suatu kecemerlangan dan takdir yang indah. Tertegaknya sebuah empayar yang diredhai Tuhan. Sebuah empayar yang makin berkembang membawa panji agama yang benar dari langit.

     Seorang guru kelihatan sedang memberikan pengajaran kepada anak muridnya, masing-masing menumpukan perhatian yang sangat mengasyikkan. Seolah-olah mereka dipukau oleh kata-kata guru mereka.

     Pengajaran hari ini adalah mengenai Sirah Nabawiah atau sejarah hidup junjungan mulia Nabi Muhammad SAW.

     Si guru dengan bersemangat berpidato, "Selepas beliau dibawa pulang oleh Halimatun Saadiah dan suaminya ke pedalaman, Halimatun Saadiah yang pada awalnya hidup dalam keadaan serba kekurangan dilihat berkat dengan kehadiran putera kepada Aminah itu. Tanamannya menjadi subur, haiwa ternakan semakin sihat dan tidak putus-putus mengeluarkan susu. Muhammad yang semakin membesar juga hidup dengan aman dan bahagia bersama adik-beradik susuannya yang lain."

     "Selain keluarga Halimatun Saadiah, kaumnya juga menerima percikan berkat yang terlampias daripada anak kecil yang sangat tampan, Muhammad. Semua orang menyenangi dan meyayangi Muhammad, bahkan Halimatun Saadiah sendiri sentiasa melebihkan Muhammad daripada anak-anaknya sendiri."

     Si guru menyambung lagi, "Pada usianya lebih kurang dua tahun, suatu kejadian aneh berlaku. Saat Muhammad sedang bermain-main dengan saudara susunya, muncul dua sosok manusia berpakaian serba putih lantas membawanya pergi. Saudara susunya yang melihat kejadian itu berlari pulang dalam keadaan ketakutan serta melaporkannya kepada ibu mereka, Halimatun Saadiah."

     "Anak-anak yang berlari pulang kembali menceritakan kepada ibu mereka dalam keadaan cemas, ujar mereka dalam cemas, 'Ibu, Muhammad sudah diculik orang!'

     'Apa, benarkah tutur kamu?' gesa Halimatun Saadiah juga cemas.

     'Benar, sedang kami bermain-main, dua orang berpakaian serna putih datang mendapatkan Muhammad. Selepas bercakap-cakap seketika, Muhammad kelihatan mengikut mereka entah ke mana.'

     Halimatun Saadiah tidak keruan seketika. Bagi menyedapkan hatinya, dia berkata sendirian, 'Muhammad adalah sebaik-baik manusia, tidak mungkin Tuhan tidak menjaganya. Saya yakin apa yang berlaku adalah ketentuan Tuhan'."

     "Apa yang berlaku, guru? Apakah benar beliau diculik?"

     "Ya, beliau diculik. Namun yang menculik beliau bukan calang-calang makhluk kerana mereka adalah malaikat yang diarahkan oleh Allah bagi mencuci hati Nabi Muhammad."

     "Maksud guru? Mereka membasuh hati Nabi Muhammad? Bagaimana?"

     "Itu adalah mukjizat, anakku. Mukjizat itu hanya ada pada nabi-nabi dan rasul-rasul Allah. Mukjizat adalah perkara yang mencarikkan adat, tidak terdaya difikir dek akal namun tidak mustahil pada Allah."

     "Muhammad dibedah hanya menggunakan tangan, lantas dicuci hatinya dengan air suci dan sumur zamzam. Selepas itu Muhammad dihantar kembali ke rumah Halimatun Saadiah. Halimatun Saadiah segera memerika tubuhnya dan didapati tiada apa-apa kesan cedera ataupun kesan dibedah."

     "Berapa lamakah beliau tinggal bersama Halimatun Saadiah?"

     "Kira-kira lima tahun. Kemudian barulah Muhammad yang sudah besar itu kembali ke pangkuan bondanya, Aminah. Sebenarnya Halimatun Saadiah amat berat hati tatkala mahu melepaskan Muhammad kembali ke pangkuan keluarga kandungnya. Namun, saat kepulangan Muhammad ke kota Mekah amat dinantikan oleh ahli keluarganya terutama bondanya, Aminah. Tidak kurang yang sangat gembira adalah datuknya Abdul Mutalib dan sekalian pak cik dan mak cik serta sepupu-sepupunya."

     Selepas usianya mencecah enam tahun, ibunya Aminah membawanya ke Yathrib. Bersama mereka saat itu Ummu Aiman yang bertugas mengasuh beliau yang sudah berusia enam tahun."

     "Tujuan apa mereka ke sana, guru?"

     "Antara sebabnya adalah bagi menziarahi makam Abdullah dan pak cik sebelah ibunya yang berasal daripada bani an-Najjar. Selepas tinggal di sana beberapa bulan, mereka pun bersiap pulang ke kota Mekah semula."

     Tiba-tiba air muka si guru kelihatan berubah dan mendung sekali. Dadanya sedikit berombak. "Namun Allah sudah mentakdirkan perjalanan hidup Rasulullah dengan sebaik-baik perancangan."

     Suasana sunyi seketika.

     "Ada beberapa perkara berlaku semasa mereka di Yathrib."

     "Mengapa? Apakah yang terjadi, guru?"

     "Penduduk Yathrib sedikit gempar dengan kehadiran Aminah dan Muhammad. Ada antara mereka yang terpesona dengan kecantikan rupa paras puteri kaum Quraisy dan tidak kurang juga mereka yang terpegun melihat ketampanan putera Aminah, Muhammad."

     "Ada yang mula berbicara terutama daripada kalangan Yahudi yang menyedari bahawa anak itu adalah nabi akhir zaman yang disebut dalam kitab-kitab mereka. Pakatan penculikan Muhammad mula dibuat selepas menyedari kebenaran tanda-tanda kenabian pada Muhammad. Mereka mahu menculik lantas membesarkan Muhammad sebagai orang mereka. Mereka mahu Muhammad yang masih kecil dibesarkan dengan asuhan agama mereka. Mereka mahu membuat Muhammad melupakan asal-usul dan menyangka dirinya adalah seorang Yahudi."

     "Sehinggalah apabila dirinya dilantik menjadi nabi, menurut sangkaan orang Yahudi, Muhammad bakal menjadi nabi daripada golongan mereka. Yahudi percaya kepada nabi, namun atas sikap kesombongan dan keangkuhan yang bersifat kebangsaan, maka mereka dengan bongkaknya menafikan sesiapa sahaja yang dilantik menjadi nabi selain daripada kaum mereka sendiri."

     "Apakah mereka berjaya, guru?"

     "Mereka merancang, Allah yang maha perancang. Mereka merancang dengan baik, namun Allah terlebih dahulu merancang keseluruhan rancangan itu. Aminah sendiri dapat merasakan ada bahaya yang perlu mereka hadapi sekiranya tinggal lama di Yathrib. Aminah teringat kembali saat Halimatun Saadiah mengembalikan Muhammad kepadanya. Antara sebabnya adalah kerana Halimatun Saadiah khuatir kepada keselamatan Muhammad yang sering disangkanya sentiasa ada yang mahu menculik."

     "Aminah lantas mengambil keputusan bagi berangkat pulang ke kota Mekah dengan segera. Rombongan segera bertolak pada keesokan harinya. Sebelum itu Aminah dan Muhammad sempat melawat makam Abdullah buat kali terakhir."

     Si guru menghela nafas di hujung jeda sebelum kembali berbicara jelas. "Tanpa diduga, ujian besar sedang menanti Muhammad yang hanya berusia enam tahun kala itu."

     "Apakah yang berlaku seterusnya, guru? Apakah berlaku sesuatu yang buruk?"

     "Perkara yang tidak baik pada pandangan kita tidak semestinya tidak baik kepada kita manakala perkara yang baik pada perkiraan kita mungkin sahaja sebenarnya tidak baik untuk diri kita. Ya, Aminah diserang sakit secara mengejut saat mereka melewati perkampungan bernama Abwaa. Pada awalnya mereka sangka hanya sakit biasa dek amukan cuaca yang memanas, namun lama-kelamaan sakit Aminah semakin melarat dan semakin memberat. Sehingga saatnya, Muhammad berada di sisinya menyaksikan Aminah kembali kepada Tuhan dalam keadaan yang damai. Bolehkah anak-anak bayangkan perasaan si anak kecil yang baru berusia enam tahun pada ketika itu? Sesudah kehilangan ayahanda saat dirinya masih belum kenal siapa ayahandanya, lantas terbeban pula kehilangan bonda saat dirinya perlukan kasih sayang dan perhatian kedua orang tua."

     Air mata berguguran setiap kali kisah sejarah nabi junjungan besar akhir zaman ini dibaca dan dipedengarkan. Sekiranya dibandingkan dengan keagungannya, tidak selayaknya segala ujian dan cabaran yang dilaluinya.

     Namun, ini adalah suratan Ilahi. Semuanya diatur Allah sebagai pengajaran kepada umatnya.

     "Kisah cinta Aminah dan Abdullah, di sebalik kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad ini seharusnya dijadikan iktibar dan pengajaran buat kita. Cinta sejati dan hakiki serta kesetiaan dan pengorbanan yang menjadi latar kepada kelahiran beliau, wajar diberi perhatian."

     Para murid menekuni setiap butir kata guru mereka itu.

     Si guru menyambung lagi, "Bayangkan, perpisahan sebelum disatukan amat pedih dan perit, namun perpisahan sesudah dan selepas sejurus disatukan sebagai suami isteri lantas berpisah selama-lamanya semestinya lebih pedih dan memeritkan. Itulah kisah cinta suci Aminah dan Abdullah, ibu dan bapa kepada Nabi Muhammad."




P/S : DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI-SRIKANDI YANG BENAR, DITULIS OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI. 

ALHAMDULILLAH, HABIS SUDAH CERITA AMINAH. BAHAGIAN KEDUA, IAITU FATIMAH, KISAH PUTERA NABI BAKAL MENYUSUL. SYUKRAN JAZILAN SIAPA YANG BACA :)

No comments:

Post a Comment