Thursday, 21 June 2018

NABI SYU'AIB AS.






NABI SYU'AIB A.S.








     KAUM Madyan, kaumnya Nabi Syu'aib, adalah dari golongan bangsa Arab yang tinggal di sebuah daerah bernama "Ma'an" di pinggir negeri Syam. Mereka terdiri dari orang-orang kafir yang tidak mengenal Tuhan Yang Maha Esa. Mereka menyembah "Tuhan berhala" iaitu di sebidang padang pasir yang ditumbuhi beberapa pohon dan tanam-tanaman. Cara hidup dan adat-istiadat mereka sudah sangat jauh dari ajaran agama dan pengajaran nabi-nabi sebelum Nabi Syu'aib A.S..

     Kemungkaran, kemaksiatan dan tipu-menipu dalam pergaulan sehari-hari merupakan perbuatan dan perilaku yang lumrah dan rutin. Kecurangan dan pengkhianatan dalam hubungan dagang, seperti pemalsuan barang, menipu dalam takaran dan timbangan sudah menjadi ciri yang sudah sebati dengan diri mereka.

     Para pedangan dan petani kecil selalu menjadi mangsa permainan para pedagang-pedagang besar dan para pemilik modal sehingga dengan demikian yang kaya makin bertambah kekayaannya, sedangkan yang lemah semakin merosot modalnya dan semakin susah hidupnya.

     Sesuai dengan sunnah Allah SWT sejak Adam diturunkan ke bumi, bahawa dari waktu ke waktu bila manusia sudah lupa kepadaNya dan bila Iblis dan syaitan sudah menguasai sesuatu masyarakat dengan ajaran dan tuntunannya yang menyesatkan, maka Allah SWT mengutus seorang rasul dan nabi untuk memberi penerangan serta tuntunan kepada mereka agar kembali ke jalan yang lurus dan benar, jalan iman dan tauhid yang bersih dari segala rupa syirik dan persembahan yang batil.

     Kepada kaum Madyan diutuslah oleh Allah SWT seorang rasul ialah Nabi Syu'aib, seorang dari keturunan mereka sendiri sedarah dan sedaging dengan mereka. Dia mengajak mereka meninggalkan penyembahan kepada padang, sebuah benda mati, yang tidak bermanfaat atau bermudarat dan sebagai gantinya melakukan penyembahan dan sujud kepada Allah Yang Maha Esa, Pencipta langit dan bumi termasuk sebidang tanah yang mereka puja sebagai tuhan.

     Nabi Syu'aib menyeru kepada mereka agar meninggalkan perbuatannya dan kelakuan-kelakuan yang dilarang oleh Allah SWT serta membawa kerugian bagi sesama manusia dan mengakibatkan kerosakan dan kebinasaan masyarakat! Mereka diajak agar berlaku adil dan jujur terhadap diri sendiri dan terhadap orang lain, meninggalkan pengkhianatan dan kezaliman serta perbuatan curang dalam hubungan dagang, perampasan hak milik seseorang dan penindasan terhadap orang-orang yang lemah dan miskin.

     Diingatkan oleh Nabi Syu'aib akan nikmat Allah SWT dan kurniaNya yang telah memberi mereka tanah subur serta kemakmuran yang berlimpah-ruah dengan pertumbuhan jumlah penduduk dan anak-cucu yang ramai. Semuanya itu, menurut seruan Nabi Syu'aib, patut diimbangi dengan bersyukur dan menyembah Allah Maha Pencipta yang akan melipat gandakan nikmat dan kurniaNya kepada orang-orang yang beriman dan bersyukur.

     Diingatkan juga oleh Nabi Syu'aib, bahawa bila mereka tidak mahu sedar dan kembali kepada jalan yang benar, mengikuti ajaran dan perintah Allah SWT yang dibawanya, nescaya Allah SWT akan menarik balik nikmat dan kurniaNya kepada mereka, bahkan akan menurunkan azabNya atas mereka di dunia selain seksa dan azab yang menanti mereka di akhirat kelak dan bila dibangkitkan kembali dari kubur.

     Kepada mereka Nabi Syu'aib mengingatkan seksa dan azab yang diturunkan oleh Allah SWT atas kaum Nuh, kaum Hud, kaum Saleh dan paling dekat, kaum Lut yang kesemuanya telah menderita dan menjadi binasa akibat kekafiran, keangkuhan dan keengganan mereka mengikuti ajaran serta tuntunan nabi-nabi yang diutus oleh Allah SWT kepada mereka. Diingatkan oleh Nabi Syu'aib agar mereka mengambil iktibar dan ingat bahawa mereka akan mengalami nasib yang telah dialami oleh kaum-kaum itu, jika mereka tetap melakukan sembahan yang batil serta tetap melakukan perbuatan-perbuatan yang buruk dan jahat.

     Dakwah dan ajakan Nabi Syu'aib disambut oleh mereka terutama pihak penguasa, pembesar serta orang-orang kaya dengan ejekan dan olok-olok. Mereka berkata:

     "Adakah kerana solatmu, engkau memerintahkan kami menyembah selain apa yang kami telah sembah sepanjang hayat kami. Sembahan tersebut telah dilakukan oleh nenek moyang kami dan diwariskannya kepada kami. Dan apakah juga kerana solatmu engkau menyuruh kami untuk meninggalkan cara-cara hidup kami sehari-harian yang ternyata telah membawa kemakmuran dan kebahagiaan bagi kami, bahkan sudah menjadi adat-istiadat kami turun-temurun. Sungguh kami tidak mengerti apa tujuanmu dan apa maksudmu dengan ajaran-ajaran baru yang engkau bawa kepada kami. Sungguh kami menyaksikan kesempurnaan akalmu dan keelokkan otakmu!"

     Ejekan dan cercaan mereka didengar dan diterima oleh Syu'aib dengan kesabaran dan lapang dada. Dia sekali-kali tidak menyambut kata-kata kasar mereka dengan marah atau membalasnya dengan kata-kata yang kasar pula. Dia bahkan makin bersikap lemah-lembut dalam dakwahnya dengan membangkitkan hati nurani dan akal mereka supaya memikirkan dan merenungkan apa yang dikatakan dan dinasihatkan kepada mereka.

     Dan sekali-sekali dia menonjolkan hubungan darah dan kekeluargaannya dengan mereka, sebagai jaminan bahawa dia menghendaki kebaikan bagi hidup mereka di dunia dan akhirat dan bukan sebaliknya. Dia tidak mengharapkan sesuatu untuk membalas jasa ke atas usaha dakwahnya. Dia juga tidak memerlukan kedudukan atau menginginkan penghormatan bagi dirinya dari kaumnya. Dia akan cukup merasa puas jika kaumnya kembali ke jalan Allah SWT, masyrakatnya menjadi masyarakat yang bersih dari segala kemaksiatan dan adat-istiadat yang buruk. Dia akan menerima upahnya dari Allah SWT yang telah mengutusnya sebagai rasul yang dibebani amanah untuk menyampaikan risalah-Nya kepada kaumnya sendiri.

     Kaum Syu'aib akhirnya merasa marah dan jemu melihat Nabi Syu'aib tidak henti-henti berdakwah dan bertabligh pada tiap kesempatan dan di mana saja dia menemui orang berkumpul. Penghinaan dan anxaman dilontarkan kepada Nabi Syu'aib dan para pengikutnya yang akan diusir dan dikeluarkan dari Madyan jika mereka tidak mahu menghentikan dakwahnya atau tidak mahu mengikuti agama dan cara-cara hidup mereka.

     Berkata mereka kepada Nabi Syu'aib dengan nada mengejek: "Kami tidak mengerti apa yang engkau katakan. Nasihat-nasihatmu tidak mempunyai tempat di dalam hati dan kalbu kami. Engkau adalah seorang yang lemah fizikalnya, rendah kedudukan dalam pergaulan maka tidka mungkin engkau akan dapat mempengaruhi atau memimpin kami yang berfizikal lebih kuat dan berkedudukan lebih tinggi daripadamu. Kalau tidak kerana kerabatmu yang kami segani dan hormati, nescaya engkau telah kami rejam dan sisihkan dari pergaulan kami."

     Nabi Syu'aib menjawab: "Aku tidak akan hentikan dakwahku kepada risalah Allah SWT yang telah diamanahkan kepadaku dan janganlah kamu mengharap bahawa aku mahupun para pengikutku akan kembali mengikuti agamamu dan adat-istiadatmu setelah Allah SWT memberi hidayahNya kepada kami. Pelindungku adalah Allah Yang Maha Kuasa dan bukan sanak kerabatku, Dialah yang memberi tugas kepadaku dan Dia pula yang akan melindungiku dari segala gangguan dan ancaman. Adakah kerabat dan saudaraku yang kamu takuti daripada Allah Yang Maha Kuasa?"

     Sejak berdakwah dan bertabligh menyampaikan risalah Allah SWT kepada kaum Madyan, Nabi Syu'aib berhasil menyedarkan hanya sebahagian kecil daripada kaumnya, sedangkan sebahagian yang terbesar masih tertutup hatinya bagi cahaya iman dan tauhid yang diajarkan oleh beliau. Mereka tetap berkeras kepala mempertahankan tradisi, adat-istiadat dan agama yang diwarisi dari nenek-moyang mereka. Itulah alasan mereka satu-satunya yang mereka kemukakan untuk menolak ajakan dan ajaran Nabi Syu'aib dan itulah benteng mereka satu-satu tempat mereka berlindung terhadap serangan Nabi Syu'aib sembahan mereka yang batil dan adat pergaulan mereka yang mungkar dan sesat.

     Di samping itu, jika mereka sudah merasa tidak berdaya menghadapi keterangan-keterangan Syu'aib yang didukung dengan dalil dan bukti yang nyata kebenarannya, mereka lalu melemparkan tuduhan-tuduhan kosong, seolah-olah Nabi Syu'aib adalah tukang sihir dan ahli silap mata yang ulung. Mereka telah berani mencabar Nabi Syu'aib agar ia membuktikan kebenaran risalahnya dengan mendatangkan bencana dari sisi Allah SWT yang dia sembah dan menyuruh orang menyembahNya pula.

     Mendengar tentangan kaumnya yang menandakan bahawa hati mereka telah tertutup rapat-rapat bagi sinar agama dan wahyu yang dia bawa, dan bahawa tiada harapan lagi akan menarik mereka ke jalan yang lurus serta mengangkat mereka dari lembah syirik dan kemaksiatan serta pergaulan yang buruk, maka bermohonlah Nabi Syu'aib kepada Allah SWT agar menurunkan azab seksaNya kepada kaum Madyan yang mengingkari wujudNya serta menentang kekuasaannya untuk menjadi ibrah dan peringatan bagi generasi-generasi yang mendatang.

     Allah Yang Maha Berkuasa berkenan menerima permohonan dan doa Syu'aib, maka diturunkanlah lebih dahulu di atas mereka hawa udara yang sangat panas yang mengeringkan kerongkongan kerana dahaya yang tidak dapat dihilangkan dengan air dan membakar kulit yang tidak dapat diubati dengan berteduh di bawah atap rumah atau pohon-pohon.

     Di dalam keadaan mereka sedang bingung, panik berlari-lari ke sana ke mari, mencari perlindungan dari terik panasnya matahari yang membakar kulit dan rasa dahaga kerana keringnya kerongkong, tiba-tiba terlihat di atas kepala mereka gumpalan awan hitam yang tebal, lalu berlarilah mereka ingin berteduh di bawahnya. Namun setelah mereka berada di bawah awan itu sambil berdesak-desak dan berhimpit-himpit jatuhlah ke atas kepala mereka percikan api dari gumpalan awan hitam itu diiringi oleh suara petir dan guruh ledakan dahsyat sementara bumi di bawah mereka bergoyang dengan kuatnya menjadikan mereka berjatuhan, dan bertindih-tindih di antara satu dengan yang lain dan melayanglah jiwa mereka dengan serta merta.

     Nabi Syu'aib merasa sedih atas kejadian yang menimpa kaumnya dan berkata kepada para pengikutnya yang telah beriman:

     "Aku telah sampaikan kepada mereka risalah Allah SWR menasihati dan mengajak mereka agar meninggalkan perbuatan-perbuatan mungkar serta persembahan batil mereka dan aku telah memperingatkan mereka akan datangnya seksaan Allah SWT bila mereka tetap berkeras hati, menutup telinga mereka terhadap suara kebenaran ajaran-ajaran Allah SWT Yang aku bawa, namun mereka tidak menghiraukan nasihatku dan tidak mempercayai peringatanku. Kerana itu tidak patutlah aku bersedih hati keatas terjadinya bencana yang telah membinasakan kaumku yang kafir itu."

     Kisah Nabi Syu'aib dikisahkan oleh Al-Quran dalam 39 ayat pada 4 surah, di antaranya surah "Asy-Syu'ara" ayat 176 sehingga 191 seperti berikut:

Ertinya:

"Penduduk Aikah telah mendustakan para rasul. Ketika Syu'aib berkata kepada mereka: Mengapa kaum tidak bertakwa? Sesungguhnya aku adalah rasul kepercayaan (yang diutus) kepadamu. Maka bertakwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku. Dan aku tidak meminta ganjaran kepadamu atas ajakan itu; ganjaranku hanyalah terserah kepada Tuhan sekalian alam. Sempurnakanlah sukatan dan janganlah kamu merugikan orang lain. Dan timbanglah dengan timbangan yang benar. Dan janganlah kamu merugikan manusia dengan mengurangi hak-haknya dan janganlah membuat kerosakan di bumi. Dan bertakwalah kepada Allah yang telah menciptakan kamu dan umat-umat yang terdahulu. Mereka berkata: Engkau tidak lain hanyalah orang yang kena sihir. Dan engkau hanyalah manusia seperti kami dan sesungguhnya kami yakin engkau termasuk orang yang berdusta. Maka jatuhkanlah kepada kami gumpalan dari langit, jika engkau termasuk orang yang benar. Dia (Syu'aib) berkata: "Tuhanku lebih mengetahui apa yang kamu kerjakan." Kemudian mereka mendustakan (Syu'aib), lalu mereka ditimpa azab pada hari yang gelap. Sesungguhnya itulah azab pada hari yang dahsyat. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kekuasaan Allah), tetapi kebanyakan mereka tidak beriman. Dan sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang Maha Perkasa, lagi Maha Penyayang." (Surah Asy-Syu'ara: 176-191)

     Surah Hud ayat 84 sehingga ayat 95 sebagai berikut:

Ertinya:

"Dan kepada (penduduk) Madyan (Kami utus) saudara mereka, Syu'aib. Dia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah Allah, sekali-kali tiada Tuhan bagi kamu selain Dia. Dan janganlah kamu mengurangkan sukatan dan timbangan, sesungguhnya aku melihat kamu dalam keadaan yang baik (makmur). Dan sesungguhnya aku takut kamu akan ditimpa azab hari yang meliputi (orang yang bersalah)." Dan Syu'aib berkata: "Wahai kaumku! Cukupkanlah sukatan dan timbangan dengan adil dan janganlah kamu merugikan manusia terhadap hak-hak mereka dan janganlah kamu membuat kejahatan di muka bumi dengan membuat kerosakan." "Sisa (keuntungan) daripada Allah adalah lebih baik bagi kamu jika kamu orang yang beriman. Dan aku bukanlah seorang penjaga atas diri kamu." Mereka berkata: "Wahai Syu'aib! Adakah solatmu menyuruh engkau agar kami meninggalkan apa yang disembah oleh nenek moyang kami atau melarang kami membuat apa yang kami kehendaki tentang harta kami? Sesungguhnya engkau adalah orang yang sangat penyantun lagi berakal (cerdik)." Syu'aib berkata: "Wahai kaumku! Bagaimana fikiran kamu jika aku mempunyai bukti yang nyata daripada Tuhanku dan dianugerahkanNya aku daripadaNya rezeki yang baik (patutkah aku menyalahi perintahNya)? Dan aku tidak mahu menyalahkan kamu (dengan mengerjakan) apa yang aku larang. Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) kebaikan selama aku masih mampu. Dan tidak ada taufiq bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah. Hanya kepada Dialah aku bertawakal dan hanya kepadNyalah aku kembali (bertaubat)." "Wahai kaumku! Janganlah hendaknya pertentangan antara aku (dan kamu) menyebabkan kamu menjadi jahat hingga kamu menimpa azab seperti yang menimpa kaum Nuh atau kaum Hud atau kaum Soleh, sedang kaum Lut tidak (pula) jauh (tempatnya) daripada kamu." "Dan mohonlah keampunan kepada Tuhan kamu, kemudian bertaubatlah kepadaNya. Sesungguhnya Tuhanku Maha Penyayang, lagi Maha Pengasih." Mereka berkata: "Wahai Syu'aib! Kami tidak banyak mengerti tentang apa yang engkau katakan itu, dan sesungguhnya kami benar-benar melihat engkau seorang yang lemah di antara kami; kalau tidaklah kerana keluargamu tentulah kami telah merejammu, sedang engkau pun bukanlah seorang yang mulia di sisi kami." Syu'aib menjawab: "Wahai kaumku! Apakah keluarga aku lebih terhomat menurut pandangan kamu daripada Allah, dan kamu jadikan perintah Allah sebagai sesuatu yang terbuang di belakangmu? Sesungguhnya (pengetahuan) Tuhanku meliputi apa yang kamu kerjakan." Dan (dia berkata): "Wahai kaumku! Buatlah sedaya upaya kamu untuk menentang agama Allah, sesungguhnya aku tetap berusaha mengembangkannya. Kelak kamu akan mengetahui siapa yang akan ditimpakan azab yang menghinakan dan siapa yang berdusta. Dan tunggulah azab (Tuhan), sesungguhnya aku pun menunggu bersama kamu." Dan tatkala datang perintah Kami, Kami selamatkan Syu'aib bersama umatnya yang beriman dengan rahmat daripada Kami dan orang yang zalim itu dibinasakan oleh ledakan suara (pekikan) yang kuat, lalu jadilah mereka mati bergelimpangan di tempat itu. Ingatlah, kebinasaanlah bagi penduduk Madyan sebagaimana kaum Thamud yang telah binasa." (Surah Hud: 84-95)

     Surah Al-A'raaf ayat 85 sehingga 93 seperti berikut:

Ertinya:

"Dan (Kami telah mengutus) kepada penduduk Madyan saudara mereka, Syu'aib. Dia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada Tuhan bagi kamu selainNya. Sesungguhnya telah datang kepada kamu bukti yang nyata daripada Tuhanmu. Maka sempurnakanlah takaran dan timbangan, dan janganlah kamu kurangkan bagi manusia, benda atau perkara yang merupakan hak mereka dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi sesudah Tuhan memperbaikinya. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu betul-betul orang yang beriman. Dan janganlah kamu duduk di setiap jalan bertujuan menakut-nakutkan dan menghalang orang yang beriman dari jalan Allah dan menginginkan agar jalan Allah itu menjadi bengkok. Dan ingatlah pada waktu dahulunya kamu berjumlah sedikit, lalu Allah memperbanyakkan jumlah kamu. Dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang yang berbuat kerosakan. Jika ada segolongan daripada kamu beriman dengan apa yang diutuskan aku untuk menyampaikan dan ada (pula) segolongan yang tidak beriman, maka bersabarlah hingga Allah menetapkan hukumnya di antara kita, dan Dia adalah hakim yang sebaik-baiknya. Ketua-ketua daripada kaum Syu'aib yang menyombongkan diri berkata: "Sesungguhnya kami akan mengusir kamu, wahai Syu'aib! Dan orang yang beriman bersamamu dari kota kami, kecuali kamu kembali kepada agama kami." Syu'aib berkata: "Adakah (kamu hendak melakukan yang demikian) sekalipun kami tidak menyukainya?" "Sesungguhnya (ia bermakna) kami mengada-adakan kebohongan yang besar terhadap Allah, jika kami kembali kepada agamamu, setelah Allah melepaskan kami darinya. Dan tidaklah patut kami kembali kepadanya, kecuali jika Allah, Tuhan kami mengkehendakinya. Pengetahuan Tuhan kami meliputi segala sesuatu. Kepada Allah sahajalah kami bertawakal. Ya Tuhan kami! Berilah keputusan antara kami dan kaum kami dengan hak (adil) dan Engkaulah sebaik-baik Hakim yang memberi keputusan." Dan ketua-ketua kaum Syu'aib yang kafir berkata (kepada sesamanya): "Sesungguhnya jika kamu mengikuti Syu'aib, tentulah kamu termasuk orang yang rugi." Kemudian mereka ditimpa gempa bumi, maka jadilah mereka mayat-mayat yang bergelimpangan di dalam runtuhan rumah mereka. (Iaitu) orang yang mendustakan Syu'aib seolah-olah mereka belum pernah mendiami kota itu, orang yang mendustakan Syu'aib, mereka itulah orang yang rugi Maka Syu'aib meninggalkan mereka seraya berkata: "Wahai kaumku! Sesungguhnya aku telah menyampaikan kepada kamu perintah-perintah Tuhanku dan aku telah memberi nasihat kepada kamu. Maka tidaklah aku bersedih hati terhadap orang yang kafir." (Surah Al-A'raf: 85-93)

     Dan surah "Al-Hijr" ayat 78 dan 79 sebagai berikut:

Ertinya:

"Dan sesungguhnya adalah penduduk al-Aikah itu benar-benar kaum yang zalim. Maka kami membinasakan mereka. Dan sesungguhnya kedua (negeri) itu benar-benar terletak pada jalan umum yang terang." (Surah Al-Hijr: 78-79)




"Dan kepada (penduduk) Madyan (Kami
utus) saudara mereka, Syu'aib. Dia berkata:
"Wahai kaumku! Sembahlah Allah, sekali-
kali tiada Tuhan bagi kamu selain Dia. Dan
janganlah kamu mengurangkan sukatan
dan timbangan, sesungguhnya aku melihat
kamu dalam keadaan yang baik (makmur).
Dan sesungguhnya aku takut kamu akan
ditimpa azab pada azab hari yang meliputi
(orang yang bersalah)."
(Surah Hud: 84)









N / F : DARIPADA "KISAH-KISAH PARA NABI & RASUL", OLEH ABDULLAH BIN AHMAD MUBARAK.

Saturday, 2 June 2018

NABI YUSUF A.S. [ BAHAGIAN 7 (AKHIR) ]






BAHAGIAN 7 (AKHIR)








K. Pertemuan Kembali Keluarga Ya'qub


     Sejak kembalinya kabilah putera-puteranya dari Mesir tanpa Bunyamin dan Yahudza, maka duka nestapa dan kesedihan Ya'qub makin mendalam menyayat hati. Dia tidak merasakan tidur semalaman, mengenangkan ketiga puteranya yang tidak ketentuan tempat dan nasibnya. Dia hanya merasa terhibur bila dia sedang menghadap kepada Allah SWT, bersolat, bersujud sambil memohon kepada Allah SWT agar mengurniainya kesabaran dan keteguhan iman menghadapi ujian dan percubaan yang sedang dia alami.

     Dia kadangkala berselawat seorang diri melepaskan air matanya bercucuran sebebas-bebasnya untuk melegakan dadanya yang sedang sedih.

     Fizikal Nabi Ya'qub makin hari makin menjadi lemah, tubuhnya makin kurus hingga tinggal kulit melekat pada tulang ditambah pula dengan kebutaan matanya yang menjadi putih. Yang mana menjadikan putera-puteranya khuatir terhadap kesihatannya.

     Mereka menegurnya dengan mengatakan: "Wahai ayah! Ayah adalah seorang nabi dan pesuruh Allah SWT yang daripadaNya wahyu diturunkan dan daripadanya kami mendapat tuntutan dan ajaran beriman. Sampai bilakah ayah bersedih hati dan mencucurkan air mata mengenangkan Yusuf dan Bunyamin. Tidak cukupkah sudah bahawa badan ayah hanya tinggal kulit di atas tulang dan mata ayah menjadi buta? Kami sangat khuatir bahawa ayah akan menjadi binasa bila tidak menyedarkan diri dan berhenti mengenangkan Yusuf dan Bunyamin."

     Ya'qub menjawab teguran putera-puteranya itu mengatakan: "Kata-kata teguranmu bahkan menambah kesedihan hatiku dan bahkan membangkitkan kembali kenangan-kenanganku pada masa yang lalu, di mana semua anak-anakku berkumpul di hadapan mataku. Aku berkeyakinan bahawa Yusuf masih hidup dan suara hatiku membisikkan kepadaku bahawa dia masih berkeliaran di atas bumi Allah SWT ini, namun di mana dia berada dan nasib apa yang dia alami, hanya Allah SWT lah yang mengetahuinya. Bila kamu benar-benar sayang kepadaku dan ingin melegakan hatiku serta menghilangkan rasa sedih dan dukacitaku, pergilah kamu merantau mencari jejak Yusuf dan berusahalah sampai menemuinya, dan setidak-tidaknya mendapat keterangan di mana dia berada sekarang, dan jangan sekali-kali berputus asa kerana hanya orang-orang kafirlah yang berputus asa dari rahmat Allah SWT."

     Seruan Ya'qub dipertimbangkan oleh putera-puteranya dan diterimanyalah saranan tersebut, setidak-tidaknya untuk sekadar menghiburkan hati si ayah dan meredakan rasa penderitaannya yang berlarut-larutan. Dan sekalipun mereka merasa tidak mungkin akan mendapatkan Yusuf dalam keadaan hidup, namun bila mereka berhasil memujuk penguasa Mesir mengembalikan Bunyamin, maka hal itu sudah merupakan penghibur bagi ayah mereka serta ubat yang dapat meringankan rasa sakit hatinya.

     Rancangan perjalanan dirundingkan dan dipilihnya Mesir sebagai tujuan pertama dari perjalanan mereka mencari jejak Yusuf sesuai dengan seruan Ya'qub dengan maksud sampingan iaitu membeli gandum untuk mengisi persediaan yang sudah berkurangan.

     Tibalah kabilah putera-putera Ya'qub di Mesir untuk ketiga kalinya dan dalam pertemuan mereka dengan Yusuf, wakil Raja Mesir yang berkuasa, berkatalah jurucakap mereka: "Wahai Tuan Paduka! Keadaan hidup yang sukar dan kebuluran di negeri kami yang disebabkan oleh krisis bahan makanan yang belum dapat diatasi memaksa kami datang kembali untuk ketiga kali mengharapkan bantuan dan murah hati Tuan Paduka. Dapatlah kiranya sekali lagi beri kepada kami sukatan gandum sebagai imbalan bagi barang-barang sederhana yang kami bawa untuk bahan penukarannya."

     "Dan selain keperluan kami akan gandum Tuan Paduka kedatangan kami ke sini juga untuk mengulangi permohonan kami kepada Tuan Paduka, dapatlah kiranya adik bongsu kami Bunyamin dilepaskan untuk kami bawa kembali kepada ayahnya yang merindukannya siang dan malam, ayahnya yang sudah buta, kurus kering dan sakit sejak Yusuf, abang Bunyamin hilang. Kami sangat mengharap kebijaksanaan Tuan Paduka agar menyetujui permohonan ini, kalau-kalau dengan kembalinya Bunyamin kepada pangkuan ayahnya dapat meringankan penderitaan batinnya serta memulihkan kembali kesihatan badannya yang hanya kulit melekat pada tulang."

     Kata-kata yang diucapkan oleh abang-abangnya menimbulkan rasa haru pada diri Yusuf dan tepat mengenai sasaran di lubuk hatinya, menjadikan dia merasakan bahawa masanya telah tiba untuk mengenalkan dirinya kepada saudara-saudaranya dan dengan demikian akan dapat mengakhiri penderitaan ayahnya yang malang itu.

     Berucaplah Yusuf kepada saudara-saudaranya secara mengejek: "Masih ingatkah kamu apa yang telah kamu lakukan terhadap adikmu Yusuf, tatkala kamu memperturutkan hawa nafsu melemparkannya ke dalam perigi di suatu tempat yang terpecil? Dan masih teringatkah olehmu tatkala seorang daripadamu memegang Yusuf dengan tangannya yang kuat, menanggalkan pakaiannya dari tubuhnya lalu dalam keadaan telanjang bulat ditinggalkan dia seorang diri di dalam perigi yang gelap dan kering itu, lalu tanpa menghiraukan ratap tangisnya, kamu kembali pulang ke rumah dengan rasa puas, seakan-akan kamu telah membuang sebuah benda atau seekor binatang yang tidak patut dikasihani dan dihiraukan nasibnya?"

     Mendengar kata-kata yang diucapkan oleh wakil raja Mesir itu, tercenganglah para saudara Yusuf, bertanya-tanya kepada diri masing-masing, sambil memandang antara satu sama yang lain, bagaimana peristiwa itu sampai diketahuinya secara terperinci padahal tidak seorang pun daripada mereka pernah membocorkan berita peristiwa itu kepada orang lain, juga kepada Bunyamin pun yang sedang berada di dalam istana raja. Kemudian masing-masing dari mereka membeliakkan matanya kepada diri wakil raja Mesir itu, diteliti wajahnya, matanya, mulutnya dan seluruh tubuhnya dari kepala sampai ke kaki. Dicarinya ciri-ciri khas yang mereka ketahui berada pada tubuh Yusuf semasa kecilnya. Lalu berbisik-bisiklah mereka dan sejurus kemudian keluarlah dari mulut mereka secara serentak suara teriakan: "Engkaulah Yusuf."

     "Benar," Yusuf menjawab, "Akulah Yusuf dan ini adalah adik tunggalku seayah dan seibu, Bunyamin. Allah SWT dengan rahmat-Nya telah mengakhiri segala penderitaanku dan segala ujian berat yang aku telah alami dan dengan rahmatNya pula kami telah dikurniakan nikmat rezeki yang melimpah-ruah dan penghidupan yang sejahtera. Demikianlah barangsiapa yang bersabar, bertakwa serta bertawakkal tidaklah akan luput dari pahala dan ganjarannya."

     Setelah mendengar pengakuan Yusuf, berubahlah wajah mereka menjadi pucat. Terbayanglah di hadapan mata mereka apa yang mereka telah lakukan terhadap diri adik mereka Yusuf yang berada di hadapan mereka sebagai wakil raja Mesir yang berkuasa penuh. Mereka gelisah tidak dapat membayangkan pembalasan apa yang akan mereka terima daripada Yusuf atas dosa mereka itu.

     Berkatalah saudara-saudara Yusuf dengan nada yang rendah: "Sesungguhnya kami telah berdosa terhadap dirimu dan bertindak kejam ketika kami melemparkanmu ke dasar perigi. Kami lakukan perbuatan yang kejam itu, terdorong oleh hawa nafsu dan bisikan syaitan yang terkutuk. Kami sangat menyesal di atas peristiwa yang terjadi itu yang mengakibatkan penderitaan bagimu dan bagi ayah kami. Akan tetapi kini nampak kepada kami kelebihanmu di atas diri kamu dan bagaimana Allah SWT telah mengurniakan nikmatNya kepadamu sebagai ganti penderitaan yang disebabkan oleh perbuatan kami yang derhaka terhadap dirimu. Maka terserah kepadamu tindakan pembalasan apakah yang akan engkau timpakan ke atas diri kami yang telah berdosa dan menderhakaimu."

     Berucaplah Yusuf menenteramkan hati saudara-saudaranya yang sedang ketakutan: "Tidak ada manfaatnya apa yang telah terjadi dan mengungkit kejadian-kejadian yang telah lalu. Cukuplah sudah bila itu semua terjadi pengajaran bahawa mengikuti hawa nafsu dan suara syaitan selalu akan membawa penderitaan dan mengakibatkan kebinasaan di dunia dan di akhirat. Mudah-mudahan Allah SWT mengampuni segala dosamu, kerana Dialah Maha Penyayang serta Maha Pengampun. Pergilah kamu sekarang juga kembali kepada ayah dengan membawa baju kemejaku ini. Usapkanlah dia pada kedua belah mata ayah, InsyaAllah akan menjadi terang kembali, kemudian bawalah dia bersama semua keluarga ke sini secepat mungkin."

     Maka bertolaklah kabilah putera-putera Ya'qub, dengan diliputi rasa hairan bercampur gembira, kembali menuju Palestin membawa berita gembira bagi ayah mereka yang sedang menanti hasil usaha pencarian Yusuf yang disarankannya. Dan sebaik saja kabilah sudah mendekati akhir perjalanannya dan hampir memasuki Palestin, ayah mereka Nabi Ya'qub memperoleh firasat bahawa pertemuan dengan Yusuf, putera kesayangannya sudah berada di ambang pintu.

     Firasat itu diperolehnya sewaktu dia berselawat seorang diri di mihrab tempat ibadahnya bermunajat kepada Allah SWT, berzikir dan bersujud sambil melepaskan air matanya bercucuran dan suara tangisnya menggema di seluruh sudut rumah, secara tiba-tiba suara tangisnya berbalik menjadi gelak tertawa, air matanya berhenti bercucuran dan kelaurlah dia dari mihrabnya berteriak: "Aku telah mencium bau tubuh Yusuf dan aku yakin bahawa aku akan menemuinya dalam waktu terdekat ini. Ini bukan khayalan dan bukan pula bawaan kelemahan ingatan yang selalu kamu tuduhkan kepadaku."

     Sejurus kemudian berhentilah kabilah di hadapan pintu rumah, turunlah putera-putera Ya'qub dari atas unta masing-masing, beramai-ramai masuk ke dalam rumah dan dipeluknya ayah mereka sambil mengusapkan baju kemeja Yusuf pada kedua belah matanya.

     Seketika itu juga terbuka lebarlah kedua belah mata Ya'qub, bersinar kembali memandang wajah putera satu-persatu dan dengan wajah yang berseri-seri serta hati yang berdebar mengenangkan kisah perjalanan putera-puteranya dan bagaimana mereka telah menemukan Yusuf bersama adiknya Bunyamin. Disampaikan pula kepada ayah seruan dan pelawaan Yusuf agar mereka semua sekeluarga berhijrah ke Mesir dan bergabung menjadi satu di dalam istananya. Dan segera berkemas-kemaslah Ya'qub sekeluarga menyiapkan diri untuk berhijrah ke Mesir.

     Maka dipeluklah si ayah oleh Yusuf sambil mencucurkan air mata setiba Ya'qub di halaman istana bersama seluruh keluarga. Demikian pula ayah tidak ketinggalan mencucurkan air mata, namun kali ini adalah air mata suka dan gembira. Semuanya merebahkan diri bersujud sebagai tanda syukur kepada Allah SWT serta penghormatan bagi Yusuf, kemudian dinaikkan ayah dan ibu tirinya yang juga saudara ibunya ke atas singgahsana sambil berkata: "Wahai ayahku! Inilah dia takbir mimpiku yang dahulu itu, menjadi kenyataan. Dan tidak kurang rahmat-rahmat dan kurniaan Allah SWT kepadaku yang telah mengeluarkan aku dari dalam perigi, mengeluarkan aku dari penjara dan mempertemukan kami semuanya setelah syaitan merosakkan hubungan persaudaraan antaraku dan saudara-saudaraku. Sesungguhnya Allah Maha Lembut terhadap segala apa yang Dia kehendaki dan sesungguhnya Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana."

     Kemudian Yusuf mengangkat kedua tangannya berdoa: "Ya Tuhanku! Engkau telah menganugerahkan kepadaku sebahagian kerajaan dan mengajarkan kepadaku pengetahuan serta kepandaian mentakbirkan mimpi. Ya Tuhanku Pencipta langit dan bumi! Engkaulah pelindungku di dunia dan di akhirat, wafatkanlah aku dalam keadaan Islam, beriman dan bertakwa dan gabungkanlah aku dengan orang-orang yang soleh."

     Bacalah ayat 87 sehingga ayat 101 dari surah Yusuf, tentang isi cerita tersebut di atas, seperti berikut:

Ertinya:

"Wahai anak-anakku! Pergilah kamu, maka carilah berita tentang Yusuf dan saudaranya dan jangan kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa daripada rahmat Allah melainkan kaum yang kafir." Maka ketika mereka masuk ke (tempat) Yusuf, mereka berkata: "Wahai al-Aziz! Kami dan keluarga kami telah ditimpa kesengsaraan dan kami datang membawa barang-barang yang tidak berharga, maka sempurnakanlah sukatan untuk kami dan bersedekahlah kepada kami, sesungguhnya Allah memberi balasan kepada orang yang bersedekah." Yusuf berkata: "Apakah kamu mengetahui (keburukan) apa yang telah kamu lakukan terhadap Yusuf dan saudaranya ketika kamu tidak mengetahui (akibat) perbuatanmu itu?" Mereka berkata: "Apakah kamu benar-benar Yusuf?" Yusuf menjawab: "Akulah Yusuf dan ini saudaraku. Sesungguhnya Allah telah melimpahkan kurniaanNya kepada kami. Sesungguhnya barangsiapa bertakwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan pahala orang yang berbuat baik." Mereka berkata: "Demi Allah, sesungguhnya Allah telah melebihkan kamu atas kami dan sesungguhnya kami adalah orang yang bersalah (berdosa)." Dia (Yusuf) berkata: "Pada hari ini tidak ada cercaan terhadap kamu, mudah-mudahan Allah mengampunkan (kamu) dan Dia adalah Maha Penyayang di antara para penyayang." "Pergilah kamu dengan membawa baju gamisku ini, lalu letakkanlah ke wajah ayahku, nanti dia akan melihat kembali dan bawalah seluruh keluarga kamu kepadaku." Dan semasa kafilah itu telah keluar (dari negeri Mesir), ayah mereka berkata: "Sesungguhnya aku mencium bau Yusuf, sekiranya kamu tidak menuduhku nyanyuk." Keluarganya berkata: "Demi Allah, sesungguhnya kamu masih dalam kekeliruanmu yang dahulu." Maka ketika telah tiba pembawa khabar gembira itu, maka diletakkannya baju gamis itu ke wajahnya (Yaakub), lalu dia dapat melihat kembali. Dia (Yaakub) berkata: "Bukankah telah aku katakan kepadamu, bahawa aku mengetahui daripada Allah apa yang kamu tidak mengetahuinya." Mereka berkata: "Wahai ayah kami! Pohonkanlah keampunan bagi kami terhadap dosa-dosa kami, sesungguhnya kami adalah orang yang bersalah (berdosa)." Yaakub berkata: "Aku akan memohon keampunan bagi kamu kepada Tuhanku. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang." Maka tatkala mereka masuk ke (tempat) Yusuf, Yusuf merangkul kedua ibu bapanya dan dia berkata: "Masuklah kamu ke negeri Mesir, Insya Allah dalam keadaan aman." Dan dia menaikkan kedua ibu bapanya ke atas singgahsana. Dan mereka (semuanya) merebahkan diri seraya bersujud kepada Yusuf. Dan Yusuf berkata: "Wahai ayahku! Inilah takwil mimpiku yang dahulu itu; sesungguhnya Tuhanku telah menjadikannya suatu kenyataan. Dan sesungguhnya Tuhanku telah berbuat baik kepadaku, ketika Dia membebaskan aku dari penjara dan ketika membawa kamu dari pendalaman padang pasir, setelah syaitan merosakkan (hubungan) antaraku dan saudara-saudaraku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Lembut terhadap apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. Ya Tuhanku! Sesungguhnya Kamu telah menganugerahkan kepadaku sebahagian kerajaan dan telah mengajarkan kepadaku sebahagian takwil mimpi. (Ya Tuhan) pencipta langit dan bumi, Kamulah pelindungku di dunia dan di akhirat, wafatkanlah aku dalam keadaan Islam dan gabungkanlah aku dengan orang yang soleh." (Surah Yusuf: 87-101)


L. Beberapa Ibrah Yang Dapat Dipetik Dari Kisah Yusuf A.S.


     Banyak ajaran dan ibrah yang dapat dipetik daripada kisah Nabi Yusuf yang penuh dengan pengalaman hidup yang kontroversi itu. Di antaranya ialah:

1. Bahawasanya penderitaan seseorang yang nampaknya merupakan suatu musibah dan bencana, pada hakikatnya dalam banyak hal, bahkan merupakan satu rahmat dan barakah yang masih terselubung bagi penderitanya itu. Kerana selalunya penderitaan yang dianggapnya suatu musibah itu menjadi suatu permulaan dari kebahagiaan dan kesejahteraan yang tidak diduga pada mulanya. Demikianlah apa yang telah dialami oleh Nabi Yusuf dengan pelemparan dirinya ke dalam sebuah perigi oleh saudara-saudaranya sendiri, disusuli dengan pemenjaraannya oleh para penguasa Mesir. Semuanya itu merupakan jalan yang harus ditempuh oleh beliau untuk mencapai puncak kebesaran dan kemuliaan sebagai nabi serta tingkat hidup yang mewah dan sejahtera sebagai seorang penguasa dalam sebuah kerajaan yang besar, yang dengan kekuasaannya sebagai wakil raja, dapat menghimpun kembali seluruh anggota keluarganya setelah lama berpisah dan bercerai-berai.

     Maka seorang mukmin yang percaya kepada takdir, tidak sepatutnya merasa kecewa dan berkecil hati bila tertimpa suatu musibah dalam harta kekayaannya, kesihatan jasmaninya atau keadaan keluarganya. Dia harus menerima percubaan Allah SWT itu dengan penuh kesabaran dan tawakal sambil memohon kepada Yang Maha Kuasa agar melindunginya dan mengampuni segala dosanya, apa yang jelas adalah bahawa musibah yang ditimpakan kepadanya itu merupakan peringatan dari Allah SWT kepadanya untuk bertaubat.

     Dan sebaliknya bila seorang mukmin memperoleh nikmat dan kurnia dari Allah SWT berupa perluasan rezeki, kesempurnaan kesihatan dan kesejahteraan keluarga, dia tidak sepatutnya memperlihatkan sukacita dan kegembirana yang berlebih-lebihan. Dia bahkan harus bersyukur kepada Allah SWT dengan melipat gandakan amal solehnya sambil menyedarkan diri bahawa apa yang diperolehnya itu kadang-kadang boleh tercabut kembali Allah SWT mengkehendakinya. Lihatlah sebagai teladan Nabi Yusuf yang tidak kehilangan iman dan tawakalnya kepada Allah SWT sewaktu berada seorang diri di dalam perigi mahupun sewkatu merengkok di dalam penjara, demikian pula sewaktu dia berada dalam suasana kebesarannya sebagai Penguasa Kerajaan Mesir, dia tidak disilaukan oleh kenikmatan, duniawinya dan kekuasaan besar yang berada di tangannya. Dalam kedua keadaan itu, dia tidak melupakan harapan, syukur dan pujaan kepada Allah SWT dan sear bahawa dirinya sebagai makhluk yang lemah tidak berkuasa mempertahankan segala kenikmatan yang diperolehnya atau menghindarkan diri dari musibah dan penderitaan yang Allah SWT limpahkan kepadanya. Dia mengembalikan semuanya itu kepada takdir dan kehendak Allah SWT Yang Maha Kuasa.

2. Nabi Yusuf telah memberi contoh teladan bagi kemurnian jiwanya dan keteguhan hatinya tatkala menghadapi godaan Zulaikha, isteri Ketua Polis Mesir, majikannya. Dia diajak berbuat maksiat oleh Zulaikha seorang isteri yang masih muda beliau, cantik dan berpengaruh, sedang dia sendiri berada dalam puncak kemudaannya, di mana biasanya nafsu berahi seseorang sedang berada di tingkat puncaknya. Akan tetapi dia dapat menguasai dirinya dan mengawal nafsu kemudaannya, menolak ajakan isteri yang menjadi majikannya itu, kerana dia takut kepada Allah SWT. Dan tidak mahu mengkhianati majikannya yang telah berbudi terhadap dirinya dan memperlakukannya seolah-olah anggota keluarga sendiri. Sebagai akibat penolakannya itu, dia rela dipenjarakan demi mempertahankan keluhuran budinya, keteguhan imannya dan kemurnian jiwanya.

3. Nabi Yusuf memberi contoh tentang sifat seorang wira yang enggan dikeluarkan dari penjara sebelum persoalannya dengan Zulaikha dijernihkan. Dia tidak mahu dikeluarkan dari penjara, kerana memperoleh pengampunan dari Raja, tetapi dia ingin dikeluarkan sebagai seorang yang bersih, suci dan tidak berdosa. Kerana itu sebelum dia menerima undangan raja kepadanya untuk datang ke istana, dia menuntut agar diselidiki terlebih dahulu tuduhan-tuduhan palsu dan fitnahan yang dilekatkan orang kepada dirinya dan dijadikannya sebagai alasan untuk memenjarakannya. Terpaksa Raja Mesir yang memerlukan Yusuf sebagai penasihatnya, memerintahkan penyiasatan kembali peristiwa Yusuf dan Zulaikha, yang akhirnya dengan terungkapnya kejadian yang sebenarnya, di mana mereka yang bersalah dan menfitnah, mengakui bahawa Yusuf adalah seorang yang suci dan tidak berdosa dan bahawa apa yang dituduhkan kepadanya itu adalah palsu belaka.

4. Suatu sifat utama pembawaan jiwa besar Nabi Yusuf menonjol tatkala dia menerima saudara-saudaranya yang datang ke Mesir untuk memperolehi hak pembelian gandum dari gudang pemerintahan kerajaan Mesir. Nabi Yusuf pada masa itu, kalau dia mahu dia boleh melakukan pembalasan terhadap saudara-saudaranya yang telah melemparkannya ke dalam sebuah perigi dan memisahkannya dari ayahnya yang sangat dia cintai.

     Namun sebaliknya dia bahkan menerima mereka dengan ramah-tamah dan melayani keperluan mereka dengan penuh kasih sayang, seolah-olah tidak pernah terjadi apa yang telah dialami akibat tindakan saudara-saudaranya yang kejam dan tidak berperikemanusiaan. Demikianlah Nabi Yusuf dengan jiwa besarnya telah melupakan semua penderitaan pahit yang telah dialami akibat tindakan saudara-saudaranya itu dengan memberi pengampunan kepada mereka, padahal dia berada dalam keadaan yang memungkinkan untuk melakukan pembalasan yang setimpan. Dan pengampunan yang demikian itulah yang akan berkesan kepada orang yang diampuni dan yang telah diperintahkan oleh Allah SWT dan RasulNya dalam beberapa ayat Al-Quran dan beberapa hadis nabawi.




"Allah berfirman: "Turunlah kamu
sekalian! Sebahagian kamu menjadi
musuh bagi sebahagian yang lain. Dan
kamu mempunyai tempat kediaman dan
kesenangan (tempat mencari kehidupan)
di muka bumi sampai waktu yang telah
ditentukan.""
(Surah Al-A'raf: 24)









N / F : DARIPADA "KISAH-KISAH PARA NABI & RASUL", OLEH ABDULLAH BIN AHMAD MUBARAK.






Sunday, 27 May 2018

NABI YUSUF A.S. [ BAHAGIAN 6 ]






BAHAGIAN 6








J. Yusuf A.S. Menahan Bunyamin Sebagai Tahanan


     Yusuf menerima saudara-saudaranya sebagai tetamu selama tiga hari tiga malam. Setelah selesai masa bertamu bersiap-siaplah mereka untuk bertolak pulang kembali ke negerinya, sesudah karung-karung kosong mereka diisi penuh dengan gandum dan bahan-bahan makanan lain yang mereka perlukan.

     Setelah berjabat tangan, meminta diri dari Yusuf, bergeraklah kabilah mereka menuju pintu gerbang ke luar kota. Akan tetapi sebelum kabilah sempat melalui batas kota, tiba-tiba beberapa pengawal istana yang berkuda mengejar mereka dan memerintahkan agar berhenti dan dilarang meneruskan perjalanan, sebelum diadakan pemeriksaan terhadap barang-barang yang mereka bawa. Para pengawal mengatakan bahawa sebuah piala, gelas minum raja telah hilang dan mungkin salah seorang daripada mereka yang mencurinya.

     Kabilah berhenti di tempat dan dengan hairan berkatalah jurucakap mereka: "Demi Allah SWT, kami datang ke mari bukan untuk mengacau dan sangat tidak mungkin bahawa salah seorang daripada kami akan mencuri piala itu. Kami adalah putera-putera Ya'qub pesuruh Allah SWT kami sudah merasa berhutang budi kepada raja dan banyak berterima kasih atas bantuan yang telah diberikan kepada kami. Tidak wajar bagi kami akan membalas kebaikan hati raja dengan mencuri barang-barangnya? Namun untuk membenarkan kata-kata kami, kami tidak berkeratan karung-karung dan barang-barang kami dibongkar dan digeledah sepuas-puasnya. Dan ternyata ada salah seorang daripada kami yang terdapat piala itu di dalam kumpulan barang-barangnya, kami rela menyerahkannya kepada raja untuk diberi ganjaran yang setimpal."

     Penggeledahan dilakukan oleh para pengawal, barang-barang serta karung-karung diturunkannya dari atas punggung unta, dibongkar dan diperiksa. Sejurus kemudian berteriaklah salah seorang pengawal dengan memegang piala di tangannya sambil berkata: "Inilah dia pahala yang hilang."

     Para anggota rombongan terkejut dan ternganga mulut mereka, sambil memandang antara satu kepada yang lain kehairan-hairanan, seakan-akan masing-masing bertanya dalam diri sendiri, gerangan musibah apakah yang menimpa mereka ini? Sangat berat, bahkan tidak mungkin, mereka akan percaya bahawa salah seorang dari rombongan bersaudara itu melakukan perbuatan yang akan mencemarkan nama baik keluarga mereka. Namun bukti yang mereka saksikan dengan mata kepala sendiri tidak dapat dimungkiri dan ditolak kebenarannya.

     Bertanya pemimpin rombongan kepada pengawal dari mana mereka dapatkan piala itu. Pengawal menunjuk kepada salah satu karung, yang ternyata bahawa karung itu adalah kepunyaan adik bongsu mereka Bunyamin. Maka sesuai dengan persetujuan yang telah disepakati, ditahanlah Bunyamin dan tidak diizinkan pulang menyertai rombongan. 

     Pada masa itu terbayanglah di hadapan mereka wajah Ya'qub, ayah mereka, yang sedang buta dan mengidap penyakit, kerana tidak henti-hentinya mengenangkan dan mengingati Yusuf. Ayah yang dengan susah-payah dan dengan rasa berat melepaskan Bunyamin menyertai mereka ke Mesir, kerana khuatir berulangnya kembali tragedi Yusuf akan dialami oleh anak bongsunya Bunyamin.

     Bagaimana mereka harus menghadapi ayah mereka yang telah diberinya janji yang teguh atas nama Allah SWT akan membawa Bunyamin kembali? Dan apakah akan percaya ayah mereka bila diberitahu bahawa Bunyamin telah ditahan di Mesir kerana mencuri piala raja? Tidakkah berita itu kelak akan menjadikan penyakit ayah mereka makin parah, bahkan mungkin akan membinasakannya dan mengakhiri hayatnya?

     Selagi pertanyaan-pertanyaan itu berputar dalam fikiran abang-abangnya, Bunyamin termenung seorang diri, tidak berkata sepatah kata pun. Dia ternganga kehairanan, bagaimana piala itu boleh didapati di dalam muatannya, padahal dia sekali-kali tidak merasa menyentuhnya. Dia ingin menolak tuduhan dan menyangkal tuduhan terhadap dirinya, namun dia merasa akan sia-sia belaka, bahkan akan menambahkan marah para pengawal yang telah mengeluarkan piala dari muatannya sebagai bukti yang nyata yang tidak dapat dibantah. Dia hanya berpasrah kepada Allah SWT yang Mengetahui bahawa dia bersih dari tuduhan mencuri.

     Anggota rombongan beramai-ramai mendatangi Yusuf, memohon kebijaksanaannya agar menerima salah seorang daripada mereka menggantikan Bunyamin sebagai tahanan.

     Berkata mereka: "Wahai Tuan Paduka, kami sedar bahawa adik bongsu kami bersalah dan kami tidak dapat memungkiri kenyataan yang telah kami saksikan dengan mata kepala kami ketika piala ditemukan di dalam muatannya. Akan tetapi kami mohon kebijaksanaan dan belas kasihan Tuan, agar adik kami Bunyamin diizinkan meninggalkan Mesir dan sebagai gantinya, Tuan Paduka dapat memilih salah seorang daripada kami sebagai tahanan. Sebab bila rombongan kami tiba di tempat asal kami tanpa Bunyamin, hal itu akan menyedihkan ayah kami bahkan mungkin dapat membinasakan jiwanya. Ayah kami yang sudah lanjut usia, hampir mencapai satu abad, berada dalam keadaan sakit sejak kehilangan putera kesayangannya Yusuf. Adalah adik kami Bunyamin ini yang menjadi penghibur hatinya yang dirundung duka dan sedih sepanjang hayatnya. Dia bahkan tidak akan mengizinkan kami membawanya ke mari kalau tidak kerana terpaksa kerana berkuranganya persediaan gandum di rumah. Maka sangat kami harapkan belas kasihan Tuan Paduka agar melepaskan Bunyamin dan menahan salah seorang daripada kami sebagai gantinya."

     Yusuf menolak permohonan abang-abangnya dan berpegang teguh pada persepakatan yang telah sama disetujui bahawa barangsiapa kedapatan piala di dalam muatannya akan ditahan, apa lagi memang menurut syariat Nabi Ya'qub bahawa barangsiapa yang mencuri maka, hukumannya ialah si pencuri dijadikan hamba satu tahun lamanya.

     Dalam perbincangan yang dilakukan oleh abang-abang Yusuf setelah gagal memperoleh persetujuannya melepaskan Bunyamin dari tahanan, berkatalah Yahudza, saudara tertua di antara mereka: "Aku tidak terdaya untuk menghadap ayah tanpa Bunyamin. Kita telah menderhakai ayah dengan melemparkan Yusuf ke dalam perigi sehingga menjadikan ayah menderita sepanjang hayatnya dan kini akan menambah lagi penderitaan ayah dengan meninggalkan Bunyamin seorang diri di sini tanpa kita mengetahui nasib apa yang akan dialaminya sedang kita telah berjanji dan bersumpah akan membawanya kembali apa pun yang akan kita hadapi untuk menjaga keselamatannya. Kerana itu aku akan tinggal di sini buat sementara waktu dan tidak akan pulang ke rumah sebelum ayah memanggilku dan mengizinkanku kembali. Pergilah kamu segera pulang kembali dan ceritakanlah kepada ayah apa yang telah terjadi dengan sebenarnya dan bila ayah tidak mempercayaimu, sedangkan pengalamannya dengan Yusuf, maka biarlah dia menanya kepada kabilah-kabilah dan orang-orang yang telah menyaksikan peristiwa pergeledahan dengan mata kepala mereka sendiri di tempat kami ditahan."

     Berangkatlah kabilah Ya'qub kembali ke tanah airnya dengan hanya terdiri dari sembilan orang, meninggalkan di belakang mereka abang sulungnya Yahudza dan adik bongsunya Bunyamin. Setiba mereka di rumah hanya dengan sembilan orang dan menghadap ayahnya menceritakan apa yang terjadi pada diri Bunyamin dan Yahudza. Nabi Ya'qub berkata sambil berpaling dari mereka dan mengusap dada.

     "Oh alangkah sedih hatiku kerana hilangnya Yusuf yang masih selalu terbayang wajahnya di depan mataku. Kini kamu tambah lagi penderitaanku dengan meninggalkan Bunyamin di negeri orang. Untuk kedua kalinya kamu melanggar janjimu dan sumpahmu sendiri dan untuk kedua kalinya aku kehilangan putera yang sangat aku sayangi dan hanya dirimu sendirilah yang memandang baik perbuatan itu. Semoga Allah SWT memberi kesabaran kepadaku dan mempertemukanku kembali dengan anak-anakku semuanya."

     Berkata putera-puteranya menjawab: "Wahai ayah, demi Allah SWT engkau akan mengidap penyakit yang berat dan akan binasalah engkau bila engkau terus-menerus mengenangkan Yusuf dan tidak berusaha menghilangkan bayangannya dari fikiranmu."

     Menjawab teguran putera-puteranya itu berkatalah Ya'qub: "Sesungguhnya hanya kepada Allah SWT aku mengadukan nasibku, kesusahan dan kesedihan hatiku. Aku mengetahui dari Allah SWT apa yang kamu tidak mengetahuinya."

     Kemudian, mengenai diri Bunyamin yang ditahan oleh pengawal-pengawal kerajaan, maka sepeninggalan abang-abangnya, oleh Yusuf diberitahu bahawa piala raja yang terdapat dalam muatannya, adalah perbuatan pengawal-pengawalnya yang memang sengaja diperintahkan oleh beliau untuk diisikannya ke dalam muatan Bunyamin itu dengan maksud menahannya tinggal bersamanya di dalam istana. Dia membesarkan hati adiknya dengan meramalkan bahawa akan tiba kelak suatu saat di mana dia dengan adiknya dan seluruh keluarga akan bertemu dan berkumpul kembali.

     Bacalah tentang isi cerita di atas ayat 70 sehingga 86 dari surah Yusuf yang bermaksud:

Ertinya:

"Maka tatkala telah disiapkan untuk mereka bahan makanan mereka, Yusuf memasukkan piala (bekas yang terbuat dari emas yang digunakan untuk minum) ke dalam karung saudaranya. Kemudian berteriaklah seseorang yang menyerukan: "Wahai ahli kafilah! Sesungguhnya kamu adalah orang yang mencuri." Mereka bertanya kepada penyeru-penyeru itu: "Barang apa yang hilang daripada kamu?" Penyeru-penyeru itu berkata: "Kami kehilangan piala (bekas minum) raja dan siapa yang dapat mengembalikannya akan memperolehi bahan makanan (seberat) beban unta dan akulah yang menjamin pemberian tersebut." Saudara-saudara Yusuf menjawab: "Demi Allah, sesungguhnya kamu mengetahui bahawa kami datang bukan untuk membuat kerosakan di negeri (ini) dan kami bukanlah para pencuri." Mereka berkata: "Tetapi apa balasannya jikalau kamu betul-betul pendusta?" Mereka menjawab: "Balasannya ialah pada siapa ditemui (barang yang hilang), maka dia sendirilah yang menerima balasannya (tebusannya). Demikianlah kami memberi pembalasan kepada orang yang zalim." Maka Yusuf mulai (memeriksa) karung-karung mereka sebelum (memeriksa) karung saudaranya sendiri, kemudian dia mengeluarkan piala (bekas minum) raja itu dari karung saudaranya. Demikianlah Kami atur untuk (mencapai maksud) Yusuf. Tidak patut Yusuf menghukum saudaranya menurut undang-undang raja kecuali Allah mengkehendakinya. Kami tinggikan darjat orang yang Kami kehendaki; dan di atas setiap orang yang berpengetahuan itu ada lagi Yang Maha Mengetahui. Mereka berkata: "Jika dia mencuri, maka sesungguhnya saudaranya sebelum itu pun pernah mencuri." Maka Yusuf menyembunyikan (kejengkelan itu) dalam hatinya dan tidak menyatakan kepada mereka. Dia berkata (dalam hatinya): "Kamulah yang lebih buruk kedudukanmu (sifat-sifatmu) dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu terangkan itu." Mereka berkata: "Wahai al-Aziz! Sesungguhnya dia mempunyai ayah yang sudah lanjut usianya, lantaran itu ambillah salah seorang di antara kami sebagai gantinya, sesungguhnya kami melihat kamu termasuk orang yang berbuat baik." Yusuf berkata: "Aku memohon perlindungan kepada Allah daripada menahan seseorang kecuali orang yang kami dapati harta benda kami ada padanya, jika kami berbuat demikian, maka benarlah kami orang yang zalim." Maka tatkala mereka berputus asa daripada (keputusan) Yusuf, mereka menyendiri sambil berunding dengan berbisik-bisik. Berkatalah yang paling tua di antara mereka: "Tidakkah kamu ketahui bahawa, sesungguhnya ayah kamu telah mengambil janji daripada kamu dengan nama Allah dan sebelum itu, kamu telah mensia-siakan Yusuf. Disebabkan itu aku tidak akan meninggalkan negeri Mesir sehingga ayahku mengizinkan kepadaku (untuk kembali) atau sehingga Allah memberi keputusan terhadapku. Dan Dia adalah hakim yang sebaik-baiknya." Kembalilah kepada ayah kamu dan katakanlah: "Wahai ayah kami! Sesungguhnya anakmu (Bunyamin) telah mencuri dan kami hanya meyaksikan apa yang kami ketahui dan kami sekali-kali tidak dapat menjaga (mengetahui) barang yang ghaib." "Dan tanyalah penduduk negeri (Mesir) tempat kami berada di situ dan kafilah yang datang bersama kami dan sesungguhnya kami adalah orang yang benar." Yaakub berkata: "Hanya dirimu sendirilah yang memandang baik perbuatan (yang buruk) itu. Maka kesabaran yang baik itulah (kesabaran-ku). Mudah-mudahan Allah mengembalikan mereka semuanya kepadaku; sesungguhnya Dialah Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana." Dan Yaakub berpaling daripada mereka (anak-anaknya) seraya berkata: "Aduhai dukacitanya aku terhadap Yusuf" dan kedua matanya menjadi putih kerana kesedihan sedang dia diam menahan amarah (terhadap anak-anaknya). Mereka berkata: "Demi Allah, kamu sentiasa mengingati Yusuf sehingga kamu mengidap penyakit berat atau termasuk orang yang binasa." Yaakub menjawab: "Sesungguhnya hanyalah kepada Allah aku mengadukan kesusahan dan kesedihanku dan aku mengetahui daripada Allah apa yang kamu tidak mengetahuinya." (Surah Yusuf: 70-86)









N / F : DARIPADA "KISAH-KISAH PARA NABI & RASUL", OLEH ABDULLAH BIN AHMAD MUBARAK.

Saturday, 19 May 2018

NABI YUSUF A.S. [ BAHAGIAN 5 ]






BAHAGIAN 5








H. Yusuf A.S. Dilantik Sebagai Wakil Raja Mesir

  
     Raja Mesir yang telah mendengar banyak tentang Nabi Yusuf dari pelayannya, teman Nabi Yusuf dalam penjara, dari kesaksian wanita-wanita, tamu Zulaikha dalam jamuan makan dan dari Zulaikha sendiri, makin bertambah rasa hormatnya dan kagumnya terhadap Nabi Yusuf setelah berhadapan muka dan bercakap-cakap dengan beliau setelah keluarnya dari penjara.

     Kecerdasan Nabi Yusuf, pengetahuannya yang luas, kesabarannya, kejujurannya, keramah-tamahannya dan akhlak serta budi pekerti luhurnya, menurut fikiran Raja akan sangat bermanfaat bagi kerajaannya bila Nabi Yusuf diserahkan kepada pimpinan negara dan rakyat. Maka kepada Nabi Yusuf dalam pertemuan pertamanya dengan Raja ditawarkan agar dia tinggal di istana, mewakili Raja menyelenggarakan pemerintahan dan pengurusan negara serta memimpin rakyat Mesir yang diramalkan akan menghadapi masa-masa sukar dan gawat.

     Nabi Yusuf tidak menolak tawaran Raja itu. Dia menerimanya asal saja kepadanya diberi kekuasaan penuh dalam bidang kewangan dan bidang pengedaran bahan makanan, kerana menurut pertimbangan Nabi Yusuf, kedua bidang yang berkaitan satu dengan yang lain itu, merupakan kunci dari kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara. Raja yang sudah mempunyai kepercayaan penuh terhadap diri Nabi Yusuf, terhadap kecerdasan otaknya, kejujurannya serta kecekapannya menyetujui fikiran beliau dan memutuskan untuk menyerahkan kekuasaannya kepada Nabi Yusuf dalam suatu upacara penabalan yang lazimnya dan menurut kebiasaan yang berlaku.

     Pada hari penabalan yang telah ditentukan, yang dihadiri oleh para pembesar negeri dan pemuka-pemuka masyarakat, Nabi Yusuf dikukuhkan sebagai wakil raja, dengan mengenakan pakaian kerajaan dan di lehernya dikalungkan sebuah kalung emas, kemudian Raja di hadapan para hadirin melepaskan cincin dari jari tangannya lalu disarungkannya ke jari tangan Nabi Yusuf, sebagai tanda penyerahan kekuasaan kerajaan.

     Setelah selesai penabalan, dan diserahkan jawatan Nabi Yusuf A.S., maka raja Mesir berkenan untuk mengahwinkan Yusuf dengan Zulaikha (Ra'il) janda majikannya yang telah mati ketika Nabi Yusuf A.S. masih dalam penjara.

     Kemudian setelah Yusuf bergaul dengan isterinya dia berkata: "Tidakkah ini lebih baik daripada apa yang anda kehendaki dahulu itu."

     Jawab Zulaikha (Ra'il): "Wahai orang yang jujur, janganlah mencelaku. Anda mengetahui bahawa aku dahulu sedemikian muda dan cantik, dalam keadaan serba mewah, sedang suamiku lemah, tidak dapat memuaskan isterinya dan engkau dijadikan oleh Allah SWT sedemikian tampannya, maka aku kalah dengan hawa nafsuku. Demikianlah keadaannya, kerana itu Nabi Yusuf A.S. masih bertemu dengan Zulaikha dalam keadaan gadis, dan mendapat dua putera daripadanya, Ifratsim dan Minsya bin Yusuf.

     Demikianlah rahmat dan kurniaan Tuhan yang telah memberi kedudukan tinggi dan kerajaan besar kepada hamba-Nya Nabi Yusuf setelah mengalami beberapa penderitaan dan ujian yang berat, yang dimulai dengan pelemparannya ke dalam sebuah perigi oleh saudara-saudaranya sendiri, kemudian dijual-belikannya sebagai hamba dalam suatu penawaran umum, dan pada akhirnya setelah dia mulai merasakan ketenangan hidup di rumah Ketua Polis Negara Mesir datanglah godaan dan fitnahan yang berat bagi dirinya di mana nama baiknya dikaitkan dengan suatu perbuatan maksiat yang menyebabkan dia merengkok dalam penjara selama bertahun-tahun. Sebagai penguasa yang bijaksana, Nabi Yusuf memulakan tugasnya dengan mengadakan lawatan ke daerah-daerah yang termasuk dalam lingkungan kekuasaannya untuk berkenalan dengan rakyat jelata serta daerah yang diperintahnya dari dekat, sehingga segala rancangan dan peraturan yang akan diadakan dapat memenuhi keperluan dan sesuai dengan iklim dan keadaan daerah.

     Dalam masa tujuh tahun pertama Nabi Yusuf menjalankan pemerintah di Mesir, rakyat merasakan hidup tenteram, aman dan sejahtera. Barang-barang keperluan cukup dibahagi sama rata dan dijangkau oleh semua lapisan masyarakat tanpa berkecuali. Dalam pada itu Nabi Yusuf tidak lupa akan peringatan yang terkandung dalam mimpi Raja Mesir, bahawa akan datang masa tujuh tahun yang sukar dan gawat. Maka untuk menghadapi masa itu, Nabi Yusuf mempersiapkan gudang dan kepuk-kepuk bagi penyimpanan bahan makanan untuk musim kemarau yang akan datang.

     Berkat pengurusan yang bijaksana dari Nabi Yusuf, maka setelah masa hijau dan subur berlalu dan masa kemarau dan kering tiba, rakyat Mesir tidak sampai mengalami krisis makanan atau menderita kelaparan. Persediaan bahan makanan yang dihimpun di waktu masa hijau dan subur dapat mencukupi keperluan rakyat selama masa kering, bahkan masih dapat menolong masyarakat Mesir yang sudah kekurangan bahan makanan dan menghadapi bahaya kelaparan.

     Kisah pengangkatan Nabi Yusuf sebagai penguasa Mesir diceritakan dalam Al-Quran dalam surah Yusuf, ayat 54 sehingga ayat 57 yang berbunyi seperti berikut:

Ertinya:

"Dan raja berkata: "Bawalah Yusuf kepadaku, untuk jadikan dia sebagai orang (kepercayaan) yang rapat denganku." Setelah raja berbual-bual dengan Yusuf, maka raja berkata: "Sesungguhnya kamu (mulai) hari ini menjadi seorang yang berkedudukan tinggi lagi dipercayai di sisi kami." Yusuf berkata: "Jadikanlah aku pengurus perbendaharaan hasil negara (Mesir); sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga lagi berpengetahuan." Dan demikianlah Kami memberi kedudukan kepada Yusuf di negeri Mesir; (dia berkuasa penuh) bebas tinggal di mana saja dia kehendaki di Mesir itu. Kami melimpahkan rahmat Kami kepada siapa yang Kami kehendaki dan Kami tidak mensia-siakan pahala orang yang berbuat baik. Dan sesungguhnya pahala akhirat itu lebih baik bagi orang beriman dan sentiasa bertakwa." (Surah Yusuf: 54-57)


I. Pertemuan Yusuf A.S. Dengan Saudara-Saudaranya


     Kemudian datanglah orang berduyun-duyun dari kota dan desa-desa pinggiran Mesir, bahkan dari negara-negara berhampiran Mesir yang sudah kekurangan bahan makanan bagi rakyat. Mereka datang mengharapkan pertolongan Nabi Yusuf untuk memberi kesempatan membeli gandum serta lain-lain bahan makanan yang masih tersedia dalam gudang-gudang pemerintah.

     Di antara para pendatang yang ingin berbelanja di Mesir terdapat rombongan orang-orang Palestin, termasuk di antara mereka saudara-saudara Nabi Yusuf sendiri iaitu penyebab utama bagi penderitaan yang telah dialaminya. Nabi Yusuf segera mengenali mereka, tetapi sebaliknya mereka tidak mengenali adik mereka yang pernah dilempar ke dalam telaga. Bahkan tidak terlintas dalam fikiran mereka bahawa Yusuf masih hidup, apalagi menjadi orang besar memimpin negara Mesir sebagai wakil Raja yang berkuasa mutlak.

     Atas pertanyaan Nabi Yusuf berkatalah jurucakap rombongan putera-putera Ya'qub: "Wahai Tuan Paduka, kami adalah putera-putera Ya'qub yang kesemuanya adalah dua belas orang. Yang termuda di antara kami putera ayah yang bongsu, kami tinggalkan di rumah untuk menjaga ayah kami yang telah lanjut usia dan buta pula. Seorang saudara lain telah lama meninggalkan rumah dan hingga kini kami tidak mengetahui di mana dia berada. Kami datang ke mari atas perintah ayah kami, agar memohon pertolongan dan bantuan Tuan Paduka yang budiman, kiranya dapat memberi kesempatan memperkenankan kami membeli gandum dari persediaan pemerintah tuan, bagi memenuhi keperluan kami yang sangat mendesak, sehubungan dengan krisis bahan makanan yang menimpa daerah kami."

     Berkata Nabi Yusuf menjawab keterangan saudara-saudaranya itu: "Sesungguhnya kami meragukan identiti kamu dan menyangsikan keteranganmu ini. Kami tidak dapat mengabaikan bahawa adanya kemungkinan bahawa kamu adalah pengintip yang dikirim oleh musuh-musuh kami untuk mengadakan kekecohan dan kekacauan di negeri kami kerana itu kami mengkehendaki kamu memberi bukti-bukti yang kuat atas kebenaran kata-katamu atau membawa saksi-saksi yang kami percaya bahawa kamu adalah betul-betul putera-putera Ya'qub."

     "Tuan Paduka yang bijaksana," menyambut jurucakap itu, "Kami adalah orang-orang musafir gharib di negeri tuan, tidak seorang pun di sini yang mengenali kami atau kami kenal, maka sukar sekali bagi kami pada masa ini memberi bukti atau membawa saksi sebagaimana Tuan Paduka kehendaki. Maka kami hanya berpasrah kepada Tuan Paduka untuk memberi jalan kepada kami dengan cara bagaimana kami dapat memenuhi perintah Tuan Paduka itu."

     "Baiklah," Nabi Yusuf berkata, "kali ini kami memberi kesempatan kepada kamu untuk membeli gandum dari gudang kami secukupnya keperluan kamu sekeluarga dengan syarat bahawa kamu harus kembali ke sini secepat mungkin membawa saudara bongsumu yang kamu tinggalkan di rumah. Jika syarat ini tidak terpenuhi, maka kami tidak akan melayani keperluan kamu untuk memperolehi gandum untuk masa-masa akan datang."

     Berkata abang kepada Yusuf yang tidak mengenalnya itu: "Tuan Paduka kami mengira bahawa ayah kami tidak akan mengizinkan kami membawa adik bongsu kami ke sini kerana dia adalah kesayangan ayah kami yang sangat dicintai dan dia adalah penghibur ayah yang menggantikan kedudukan saudara kami Yusuf, sejak dia keluar dari rumah menghilang tanpa meninggalkan berita. Akan tetapi bagaimana pun untuk kepentingan kami sekeluarga, akan kami usahakan secepat mungkin memujuk ayah kami agar mengizinkan kami membawa adik kami Bunyamin ke mari dalam kesempatan yang akan datang."

     Sejak awal Nabi Yusuf melihat wajah-wajah saudaranya yang datang memerlukan gandum, tidak ada niat sedikit pun dalam hatinya hendak menyukarkan keinginan mereka sebagai balas dendam atas perbuatan yang mereka telah lakukan terhadap dirinya. Soal jawab yang dilakukan dengan mereka hanya sekadar ingin mengetahui keadaan ayah dan adik bongsunya, Bunyamin yang sudah bertahun-tahun ditinggalkan dan hanya sekadar taktik untuk mempertemukan kembali dengan ayah dan saudara-saudaranya yang sudah lama berpisah.

     Kemudian Nabi Yusuf A.S. memerintahkan pegawai-pegawainya mengisi karung-karung saudara-saudaranya dengan gandum dan bahan makanan yang mereka perlukan. Sedang barang-barang emas dan perak yang mereka bawa untuk harga gandum dan bahan makanan itu, diisikan kembali ke dalam karung-karung mereka secara diam-diam tanpa mereka ketahui.

     Setibanya kembali di Palestin berceritalah mereka kepada ayahnya Nabi Ya'qub tentang perjalanan mereka dan bagaimana Yusuf menerima mereka, yang dipujinya sebagai penguasa yang bijaksana, adil, sabar, rendah hati dan sangat ramah-tamah. Tanpa sedikit kesukaran pun mereka telah diberinya hajat mereka dari gandum yang diisikan oleh pegawai-pegawai Yusuf ke dalam karung mereka.

     Disampaikan juga oleh mereka kepada ayahnya, bahawa mereka diarahkan oleh Yusuf membawa adik bongsu mereka ke Mesir, bila mereka datang lagi untuk membeli gandum dan bahan makanan. Tanpa membawa adik mereka, mereka tidak akan dilayani dan diperkenankan membeli gandum yang mereka perlukan. Kerana itu mereka memohon agar mereka diperkenankan membawa adik mereka Bunyamin bila mereka kembali ke Mesir untuk membeli gandum.

     Berkata Nabi Ya'qub serta-merta setelah mendengar cerita putera-puteranya: "Tidak, sekali-kali tidak akan kuberikan izin kepadamu membawa Bunyamin jauh daripadaku. Aku tidak akan membenarkan Bunyamin ikut serta setelah apa yang terjadi dengan diri Yusuf adikmu. Kamu telah berjanji akan menjaganya baik-baik, bahkan sanggup akan mengorbankan jiwa-ragamu untuk keselamatannya. Akan tetapi apa yang telah terjadi adalah sebaliknya. Kamu pulang ke rumah dalam keadaan selamat, sedangkan adikmu Yusuf, kamu lepaskan menjadi mangsa serigala. Cukuplah apa yang telah kualami mengenai diri Yusuf dan janganlah berulang lagi kali ini mengenai diri Bunyamin."

     Ketika karung-karung yang dibawa kembali dari Mesir dibongkar, ternyata di dalamnya terdapat barang-barang emas dan perak yang mereka telah bayarkan untuk harga gandum yang dibeli. Maka sambil tercengang bercampur gembira, berlari-larilah mereka menyampaikan kehairanan mereka kepada ayahnya. Mereka berkata: "Wahai ayah! Kami tidak berdusta dalam cerita kami tentang penguasa Mesir orang yang hati. Lihatlah, barang-barang emas dan perak yang kami telah bayarkan untuk membeli gandum yang kami terima, dipulangkan kembali ke dalam karung-karung kami tanpa kami mengetahui. Jadi apa yang kami bawa ini adalah pemberian percuma dari penguasa Mesir yang sangat murah hati itu."

     Dengan diperolehnya gandum, bantuan percuma dari putera yang tidak mereka kenal keluarga Ya'qub menjadi tenang buat beberapa waktu, bahawa api di dapur rumah akan tetap menyala. Akan tetapi persediaan yang terbatas itu tidak akan bertahan lama jika tidak disusul dengan pengisian stok baru selama musim kemarau belum berakhir.

     Demikianlah maka Nabi Ya'qub yang melihat persediaan gandumnya makin hari makin berkurangan, sedang tanda-tanda meredanya krisis makanan belum nampak, terpaksalah dia mengutus putera-puteranya kembali ke Mesir untuk memperoleh bekalan gandum untuk kedua kalinya dari Yusuf Wakil Raja negeri itu. Dan kerana putera-putera Ya'qub tidak akan berangkat ke Mesir tanpa Bunyamin, sesuai dengan janji mereka kepada Yusuf, maka terpaksalah Ya'qub mengizinkan putera bongsunya Bunyamin dalam rombongan abang-abangnya.

     Dengan iringan doa serta nasihat si ayah, berangkatlah kabilah putera-putera Ya'qub yang terdiri dari sebelas orang. Setiba mereka di perbatasan kota, berpisahlah mereka menjadi beberapa kelompok, setiap kelompok memasuki kota dari arah yang berlainan sesuai dengan pesanan ayah mereka, untuk menghindari timbulnya iri hati penduduk serta prasangka dan tuduhan bahawa mereka adalah pengintip musuh.

     Setibanya di istana kerajaan, mereka diterima oleh adik mereka sendiri Yusuf yang belum mereka kenali kembali dengan penuh ramah-tamah dan dihormati dengan jamuan makan. Bagi mereka disediakan tempat penginapan, untuk setiap dua orang sebuah rumah, sedang adik bongsu Yusuf, Bunyamin diajak bersamanya menginap di dalam istana.

     Sewaktu berada berduaan dengan Yusuf, Bunyamin mencucurkan air mata sambil berkata kepada abangnya yang belum dikenal kembali: "Andai kata abangku Yusuf masih hidup, nescaya engkau akan menempatkan aku bersamanya di sebuah rumah tersendiri sebagaimana saudara-saudaraku yang lain."

     Yusuf lalu menghibur hati adiknya dengan kata-kata: "Sukakah engkau bila aku menjadi abangmu menggantikan abangmu yanghilang itu?"

     Bunyamin menjawab: "Tentu, namun sayang sekali bahawa engkau tidak dilahirkan oleh ayahku Ya'qub dan ibuku Rahil."

     Mendengar kata-kata si adik yang menyedihkan hati itu bercucurlah air mata Yusuf, lalu memeluk adiknya sambil mengaku bahawa dia adalah Yusuf, abangnya yang hilang itu. Dia menceritakan kepada adiknya penderitaan-penderitaan yang telah dialaminya sejak dia dicampakkan ke dalam sebuah perigi, diperjual-belikan sebagai hamba sahaya, ditahannya dalam penjara selama bertahun-tahun tanpa dosa dan akhirnya berkat rahmat serta kurnia Tuhan diangkatlah dia sebagai wakil raja yang berkuasa mutlak. Yusuf, mengakhirnya beritanya dengan berpesan kepada adiknya, agar merahsiakan apa yang dia telah dengar dan jangan sampai diketahui oleh saudara-saudaranya yang lain.

     Alangkah gembiranya Bunyamin mendengar cerita abangnya yang selalu dikenangnya sejak dia hilang meninggalkan rumah bersama saudara-saudaranya berkelah beberapa tahun yang lalu. Dia segera memeluk abangnya kembali sambil berkata: "Aku tidak dapat bayangkan betapa gembiranya ayah bila dia mendengar bahawa engkau masih hidup dalam keadaan segear bugar, sihat afiat, menguasai suatu kerajaan besar, tinggal di dalam istana yang diliputi oleh segala kemewahan dan kemegahan. Sebab sejak engkau menghilang ayah kami tidak pernah melihat gembira. Dia selalu diliputi oleh rasa sedih dan duka, tidak pernah sedetik pun bayanganmu terlepas dari ingatannya. Demikianlah keadaan ayah kami wahai Yusuf sejak engkau meninggalkan rumah dan menghilang, sehingga menjadi kabur matanya kerana kesedihan dan tangisnya yang tidak ada hentinya."

     Kisah pertemuan Yusuf dengan saudaranya dikisahkan dalam Al-Quran pada surah Yusuf ayat 58 sehingga 69 yang bermaksud:

Ertinya:

"Dan saudara-saudara Yusuf datang (ke Mesir) lalu mereka masuk ke (tempat)nya. Maka Yusuf mengenali mereka, sedang mereka tidak mengenalinya (lagi). Dan tatkala Yusuf menyiapkan bahan makanannya untuk mereka, dia berkata: "Bawalah kepadaku saudara seayah dengan kamu (Bunyamin), tidakkah kamu melihat bahawa aku menyempurnakan sukatan dan aku adalah penerima tetamu yang terbaik?" "Jika kamu tidak membawanya kepadaku, maka kamu tidak akan mendapatkan sukatan lagi daripadaku dan jangan kamu mendekatiku." Mereka berkata: "Kami akan memujuk ayah untuk membawanya (ke mari) dan sesungguhnya kami benar-benar akan melaksanakannya." Yusuf berkata kepada pelayan-pelayannya: "Masukkanlah barang-barang (iaitu barang-barang tukaran untuk mendapatkan makanan) ke dalam karung-karung mereka supaya mereka mengetahuinya apabila mereka telah kembali kepada keluarga mereka, mudah-mudahan mereka kembali lagi." Maka tatkala mereka kembali kepada ayah mereka (Yaakub), mereka berkata: "Wahai ayah kami! Kami tidak akan mendapat sukatan (gandum) lagi, (jika tidak membawa saudara kami), sebab itu biarkanlah saudara kami pergi bersama-sama kami supaya kami mendapat sukatan dan sesungguhnya kami benar-benar akan menjaganya." Yaakub berkata: "Bagaimana aku akan membenarkannya (Bunyamin) bersama kamu melainkan seperti aku telah membenarkan saudaranya (Yusuf) bersama kamu dahulu?" Maka Allah adalah sebaik-baik penjaga dan Dia Maha Penyayang di antara para penyayang. Tatkala mereka membuka barang-barang mereka, mereka dapati barang-barang (tukaran) mereka dikembalikan kepada mereka. Mereka berkata: "Wahai ayah kami! Apa lagi yang kita inginkan. Ini barang-barang tukaran kita dikembalikan kepada kita dan kami akan dapat memberi makan keluarga kami dan kami akan dapat memelihara saudara kami serta kami akan mendapat tambahan sukatan (gandum) seberat beban seekor unta. Itu adalah sukatan yang mudah (bagi raja Mesir) untuk ditunaikan." Yaakub berkata: "Aku sekali-kali tidak akan melepaskannya (pergi) bersama kamu sehingga kamu memberikan janji yang teguh atas nama Allah kepadaku bahawa kamu pasti akan membawanya kepadaku kembali, kecuali jika kamu dikepung musuh." Tatkala mereka memberikan janji mereka, Yaakub berkata: "Allah adalah saksi terhadap apa yang kita ucapkan (ini)." Dan Yaakub berkata: "Wahai anak-anakku! Janganlah kamu (bersama-sama) masuk dari satu pintu gerbang dan masuklah dari beberapa buah pintu gerbang yang berlainan; namun demikian aku tidak dapat menyelamatkan kamu barang sedikit pun daripada (takdir) Allah. Keputusan menetapkan (sesuatu) hanyalah hak Allah; kepadaNyalah aku bertawakal dan kepadaNya saja orang yang bertawakal berserah diri." Dan tatkala mereka masuk menurut yang diperintahkan ayah mereka, maka (cara yang mereka lakukan itu) tidak menyelamatkan sedikit pun daripada takdir Allah, akan tetapi itu hanya suatu keinginan pada diri Yaakub yang telah ditetapkannya. Dan sesungguhnya dia mempunyai pengetahuan kerana Kami telah mengajarkan kepadanya. Akan tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahui. Dan tatkala mereka masuk ke (tempat) Yusuf, Yusuf membawa saudaranya (Bunyamin) ke tempatnya, Yusuf berkata: "Sesungguhnya aku (ini) adalah saudaramu, maka janganlah kamu berdukacita terhadap apa yang telah mereka kerjakan." (Yusuf: 58-69)









N / F : DARIPADA "KISAH-KISAH PARA NABI & RASUL", OLEH ABDULLAH BIN AHMAD MUBARAK.